Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 19-23 November, 2018

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Ramalan awal bagi pasangan ini mengatakan bahawa ia bukan saja akan turun ke paras terendah tahunan iaitu 1.1300 tetapi ia juga mungkin mencecah nilai sekitar 1.1200-1.1250. Itulah yang benar-benar berlaku: pasangan ini merekodkan nilai terendah pada hari Isnin, 12 November, dan kemudian menjunam ke paras 1.1215.
    Kemudian pasaran dikuasai dengan berita mengenai Brexit. Akhirnya terma pengunduran Great Britain daripada Kesatuan Eropah telah dipersetujui, melonjakkan matawang Eropah, dan pasangan ini naik sebanyak 200 poin pada penghujung hari Jumaat, dan mengakhiri sesi mingguan pada paras 1.1415;
  • GBP/USD. Matawang British mengalami pertumbuhan pada mulanya selepas berita positif mengenai Brexit dilaporkan, hingga mencecah ketinggian 1.3070 pada hari Rabu. Kemudian terdapat pula berita perletakan jawatan beberapa menteri utama dalam kerajaan British yang tidak bersetuju dengan terma pengunduran daripada EU. Situasi ini menjadi lebih buruk apabila terdapat khabar angin tentang ancaman pemecatan perdana menteri negara itu, Teresa May. Disebabkan itu, matawang pound jatuh ke paras 1.2722 dalam masa beberapa jam saja secara harfiahnya. Selepas situasi reda sedikit, pasangan ini melonjak ke zon 1.2830, menunjukkan turun naik sebanyak 350 poin;
  • USD/JPY. Perbezaan antara bacaan pengayun dan juga sebut harga pasangan ini menunjukkan kemungkinan berlakunya trend penurunan. Senario ini turut disokong oleh 45% penganalisis, serta 40% indikator dan juga analisis grafik pada H4. Akhirnya, walaupun hanya tinggal 35 poin untuk ia mencapai nilai tertinggi bagi tahun 2018, pasangan ini bergerak ke bawah, melepasi paras sokongan pada 113.10 dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 112.82;
  • Matawang Kripto. Apa lagi yang boleh dikatakan. Pasaran matawang ini mengalami kejatuhan dan tiada siapa dapat menjangka betapa teruknya situasi yang berlaku. Bermula hari Rabu, ia kehilangan 12% daripada modal pasaran, turun sehingga $185 bilion. Kami menjangkakan $6,100 adalah paras terendah penurunan Bitcoin pada minggu lalu. Tetapi realitinya lebih teruk: nilai yang dicatat adalah $5,430.
    Terdapat perbezaan dikalangan penganalisis dalam menentukan puncanya. Versi paling popular adalah kesan daripada hard fork (pemisahan) BCH (Bitcoin Cash) yang tidak stabil kepada dua coin baru, menimbulkan kegusaran kepada para pelabur tentang pemecahan pasaran yang mungkin akan terjadi. Walaupun terdapat versi yang lain, stop loss secara besar-besaran telah berlaku apabila nilai Bitcoin melepasi zon $6,000-$6,100. Punca lain termasuklah penjualan saham syarikat teknologi AS yang turut memberi kesan terhadap pasaran kripto.
    Ethereum (pasangan ETH/USD) gagal untuk melepasi sokongan pada $170, kemudian diikuti pula dengan lonjakan ke ketinggian $185. Ripple (XRP/USD) pula melepasi paras sokongan 0.4140 untuk seketika, dan litecoin (LTH/USD) hampir mencecah nilai 40.00, dan selepas keadaan pasaran reda, pasangan-pasangan tersebut mengalami pengukuhan sebanyak 8%.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pasangan ini mencapai had teratas saluran menurun yang bermula hampir dua bulan lalu, pada 24 September tahun ini. Walaupun kedua-dua indikator trend dan pengayun pada D1 mengambil posisi neutral, hampir 70% penganalisis menjangkakan ia keluar daripada sempadan ini dan bergerak lebih rendah ke bawah. Sokongan paling hampir adalah pada 1.1300, seterusnya adalah 85 poin lebih rendah, pada paras terendah 2018 iaitu 1.1215.
    Senario berbeza menjangkakan peningkatan pasangan ini ke paras 1.1450-1.1550. Walau bagaimanapun, ia hanyalah bersifat sementara, kerana nilai dolar akan terus kukuh dan pasangan ini akan mengalami penurunan. Rizab Persekutuan AS hampir pasti akan menaikkan kadar faedah pada bulan Disember, dan kenaikan ini akan terus berlaku pada tahun 2019, menjadikannya salah satu faktor penentu dalam pengukuhan matawang AS;

  • GBP/USD. Masa depan pasangan ini bergantung kepada situasi Brexit. Ramalan ke atas matawang British juga tidaklah menyenangkan walaupun pound terbukti mampu mendapatkan semula kerugian yang dialami pada hujung minggu lalu. Pertemuan antara pemimpin-pemimpin EU berkenaan perjanjian bersama UK akan diadakan pada 25 November. Tetapi jelas sekali pound akan menerima tekanan pada minggu ini disebabkan oleh ketidaksepakatan yang berlaku dalam kerajaan British dan juga reaksi Parlimen British yang samar mengenai hal yang berlaku. Mengambil kira semua faktor ini, 70% penganalisis meramalkan penurunan pasangan ini. Sokongan paling hampir berada di zon 1.2700, dan yang seterusnya adalah pada 1.2660, paras terendah tahun 2018.
    Bagi pergerakan pasangan ini yang seterusnya, menurut 55% penganalisis, ia akan bergerak ke saluran sisi antara 1,2660-1.3200 dengan Pivot Point yang berada di sekitar 1.2950 sehingga penghujung tahun ini;  
  • USD/JPY. Seperti yang selalu berlaku sejak kebelakangan ini, ramalan penganalisis yang bimbang tentang masa depan pasangan ini terbahagi hampir sama rata: 45% mengatakan ia akan bertumbuh, 45% memilih penurunan, dan 10% memberi reaksi neutral.
    Bagi indikator pula, majoritinya berwarna merah. Namun, hampir 15% daripada isyarat pengayun menunjukkan ia sudah terlebih jual, mungkin menandakan pembetulan ke aras atas.
    Bagi analisis grafik, ia menunjukkan pertumbuhan ke paras 113.10 dan seterusnya jatuh ke paras 111.85 pada H4, dan pada D1 pula – pergerakan lateral ke saluran 112.65-114.20;
  • Matawang Kripto. Terdapat dua versi ramalan buat masa ini: situasi neutral dan situasi paling teruk.
    Ramalan neutral yang paling hampir adalah semasa pasaran kurang aktif, ia akan cuba memahami apa yang berlaku pada minggu sebelumnya serta akibat daripada perkara tersebut. Jika ianya berlaku, pasangan-pasangan utama akan mengalami turun naik dalam julat antara nilai terendah minggu sebelumnya dan juga nilai paling tinggi pada hari Jumaat, 16 November.
    Senario palik teruk (daripada sudut pandangan trend bull) menjangkakan Bitcoin akan bergerak ke paras $5,000, dan kemudian mencetuskan situasi lebih buruk iaitu permulaan jualan panik secara besar-besaran, bukan hanya terhadap matawang kripto tertentu, tetapi juga kepada kebanyakan altcoin. Jika ianya berlaku, kita mungkin akan melihat sebut harga bitcoin di sekitar paras sokongan $3,000 selepas beberapa ketika.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit. Ia juga sangat berisiko hingga boleh menyebabkan kemuflisan.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.