Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Majoriti daripada penganalisis (75%), dan turut disokong oleh 100% indikator trend serta 90% pengayun, membuat ramalan pada minggu lalu dengan berkata jika pasangan ini melepasi paras sokongan 1.1200, ia akan terus bergerak secara menurun. Sasaran paling hampir ialah paras terendah 2018-19 iaitu pada 1.1175 yang direkodkan pada 7 Mac. Dalam masa yang sama, analisis grafik pada D1 menyatakan bahawa pasangan ini tidak akan berjaya melepasi paras sokongan tersebut dan akan kembali hampir pada 1.1340.
Tapi sebenarnya inilah yang berlaku. Memang benar, amplitud ayunan lebih rendah daripada yang dijangka: paras terendah minggu tersebut berada pada 1.1183, manakala 1.1254 adalah paras tertingginya. Disebabkan itu, pasangan ini menunjukkan trend ke arah sisi yang klasik. Malah para pedagang tidak menghiraukan laporan pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 5 April yang menunjukkan dolar AS yang semakin positif, dan pasangan ini mengakhiri minggu tersebut pada paras 1.1215; - GBP/USD. Pola pasangan ini masih lagi bergantung kepada berita terkini mengenai operasi politik dan ekonomi yang dikenali dengan panggilan Brexit. Utusan yang diterima dari “medan perang” – iaitu Parlimen Great Britain – pada mulanya membantu pound mengukuhkan kedudukannya, kerana Teresa May berjanji untuk menjayakan rundingan bersama ketua pihak pembangkang. Pelabur mula membeli pound secara aktif, dan seperti yang diramal analisis grafik, ia mencapai kedudukan bahagian tengah koridor sisi antara 1.2960-1.3350 selama lima minggu iaitu pada paras 1.3150.
Akan tetapi rundingan kali pertama berakhir dengan kegagalan, dan dana pelaburan mula menutup posisi pound. Dalam masa yang sama, keadaan negatif ini turut dibantu oleh berita yang mengatakan Parlimen Eropah seperti beria-ia memantau pergolakan yang berlaku di British. Akhirnya, trend pasangan ini berubah setiap dua hari, dan setelah mengalami turun naik yang begitu kerap, ia akhirnya berhenti di kedudukan sama seperti minggu lalu, di sekitar 1.3035; - USD/JPY. Jika diimbas kembali pada permulaan minggu, pasangan ini secara praktikalnya berada di tengah saluran antara 109.70-112.15. Persoalannya sama ada ia akan turun atau naik. Walaupun hanya 35% penganalisis memilih pertumbuhannya, kejayaan yang ditunjukkan Donald Trump terhadap rundingan dagangan antara AS dan China, serta pertumbuhan pasaran saham AS telah menaikkan nilai pasangan ini. Setelah mencapai ketinggian 111.80 pada hari Jumaat, 5 April, pasangan ini mengakhiri lima hari dagangan 10 poin lebih rendah selepas berlakunya sedikit penarikan;
- Matawang Kripto. Ramalan kami minggu lalu mengatakan bitcoin akan mampu untuk melepasi paras rintangan pada $4,200 dan berada di paras antara $4,200-4,280. Tetapi pada hari Selasa, 2 April, matawang kripto rujukan itu telah membuat lonjakan yang tidak disangka-sangka, naik sebanyak 14.4% melepasi nilai $5,000. Ini adalah lonjakan terkuat yang berlaku sejak kepesatannya pada penghujung 2017.
Para pedagang tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku, dan bermacam-macam pendapat telah dikeluarkan. Pendapat yang dikemukakan Oliver von Landsberg-Sadie, ketua Kumpulan BCB, dalam interviewnya bersama Reuters tampak paling menyakinkan. Beliau berkata lonjakan harga bitcoin berpunca daripada seorang pelabur, dimana beliau telah mengagihkan bidaan untuk pembelian BTC sebanyak $100 juta di tiga bursa utama – Coinbase, Kraken dan juga Bitstamp. Jumlah transaksi yang dicatatkan hampir mencecah 20.000 BTC, dan kemudian jumlah modal pelaburan pasaran kripto pula telah melebihi $170 bilion.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Pada hari Rabu, 10 April, kami menantikan keputusan bagi kadar faedah yang seterusnya oleh pihak ECB. Berkemungkinan besar ianya tidak berubah. Tetapi umum mengetahui bahawa pihak penyeliaan di Eropah sedang sibuk membincangkan pilihan yang ada bagi menstimulasikan ekonomi dengan lebih agresif. Hal ini sama ada dengan mengurangkan kadar faedah ataupun meningkatkan program pelonggaran kuantitatif QE mereka. Berita ini telah menyumbang kepada pertambahan minat pelabur dalam saham-saham syarikat dan penurunan minat terhadap matawang Eropah. Selain itu, minit mesyuarat Jawatankuasa Rizab Persekutuan AS akan dikeluarkan pada hari Rabu, ini seharusnya dapat memberi penjelasan lebih lanjut mengenai polisi kewangan yang dikawal selia Amerika.
Dalam masa terdekat ini, faktor paling kukuh bagi memberi tekanan ke atas euro sudah tentunya adalah kucar-kacir mengenai Brexit. Mungkin disebabkan itu 60% penganalisis, turut disokong oleh 100% indikator dan 80% pengayun pada D1 telah bersetuju pasangan ini akan mengalami penurunan. Sasaran paling hampir adalah paras terendah pada 07 Mac 2019 iaitu pada 1.1175, dan paras sokongan seterusnya adalah 60 poin lebih rendah, paras yang telah direkodkan pada musim panas 2017.
40% penganalisis lebih berpihak kepada bull. Lebih-lebih lagi, 20% pengayun di D1 telah pun memberi isyarat pasangan ini sudah terlebih jual. Pada pendapat mereka, selepas mencapai paras sokongan di zon 1.1200, pasangan ini akan terus naik ke paras rintangan iaitu pada 1.1255, dan jika ia berjaya melepasinya, ia akan berada di ketinggian 1.1300. Rintangan seterusnya adalah pada 1.1345. - GBP/USD. Apa yang menariknya, jika kebanyakan penganalisis percaya Brexit akan terus memberi impak negatif terhadap euro, pendapat mengenai pound adalah bertentangan. 65% daripada penganalisis mengunjurkan pengukuhan matawang British pada minggu hadapan. Ramalan tersebut dibuat berdasarkan mesyuarat tergempar Majlis Kesatuan Eropah yang dijangka akan diadakan pada 10 April akan menyokong lanjutan tarikh akhir prosedur Brexit kepada tempoh yang lebih lama, oleh itu perpisahan UK daripada EU tanpa sebarang perjanjian pada 12 April tidak akan berlaku. Analisis grafik pada D1 juga menyokong ramalan tersebut, memberi gambaran pasangan ini akan bertumbuh, pertama sekali ke zon 1.3120, dan kemudian terus ke paras rintangan pada 1.3200 dan 1.3265.
Kejatuhan pasangan ini diunjurkan oleh 35% penganalisis dan 90% indikator. Dalam masa yang sama, 10% pengayun telah menyatakan pasangan ini sudah dijual secara berlebihan, ini menunjukkan keraguan para pelabur mengenai masa depan pasangan ini. Paras sokongan berada pada 1.2975, 1.2900 dan 1.2830; - USD/JPY. Sepanjang dua minggu lalu, pasangan ini telah bergerak dari saluran jangka sederhana antara 109.70-112.15 hinggalah hampir mencapai had atasnya, mengakhiri minggu tersebut pada 111.70. 85% penganalisis percaya ia pasti akan cuba untuk melepasi paras rintangan pada 112.15. Tetapi hanya 35% sahaja yang percaya ia mampu untuk naik lebih tinggi dan mencapai ketinggian 113.00. Jadi, kemungkinan pasangan ini untuk tidak menjangkaui had atas saluran tersebut adalah sangat besar. 25% pengayun pada D1 yang telah menunjukkan pasangan ini sudah terlebih beli bersetuju dengannya. Paras sokongan paling asas berada pada Pivot Point iaitu di saluran 110.80;
- Matawang Kripto. Lonjakan nilai bitcoin yang tidak diduga telah menimbulkan segala bentuk cerita dan khabar angin. Kemudian, pencipta Bitcoin yang penuh dengan misteri iaitu Satoshi Nakamoto telah muncul semula. Beliau telah mengaktifkan semula akaun Bitcointalk miliknya yang sudah bertahun-tahun tidak aktif. Sejak 10 tahun lalu, identiti Satoshi tidak pernah didedahkan, walaupun terdapat pelbagai andaian dibuat mengenai siapa di sebalik nama itu. Justeru, sekumpulan penggodam yang telah membuat onar di beberapa bursa kripto utama telah mengandaikan bahawa beliau adalah Ilon Musk, seorang usahawan, pencipta dan jurutera rakyat Amerika. Mereka berpendapat, transaksi matawang kripto terbesar (mungkin transaksi $100 juta terakhir) itu dibuat di kawasan Bel Air di Los Angeles. Di situlah tempat pengasas lagenda bagi SpaceX dan Tesla tinggal selama ini.
Bagi ramalan kami, 70% penganalisis percaya turun naik utama pasangan BTC/USD pada minggu hadapan akan berlaku di antara nilai $5,000-5,500. Namun, baki 30% lagi yakin bahawa walaupun terdapat pembelian bitcoin oleh seorang pelabur, walaupun nilainya mencecah $100 juta, ia masih belum cukup untuk memulakan trend bull. Oleh itu terdapat banyak kemungkinan pasangan ini boleh turun di bawah lingkungan $4,800. Dalam hal ini, paras rintangan utamanya adalah pada lingkungan $5,100.
Roman Butko, NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali