Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 13 - 17 Mei, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Rundingan dagangan antara AS-China yang berakhir dengan kegagalan menjadi berita ekonomi paling utama baru-baru ini. Amerika Syarikat memutuskan untuk menaikkan duti barangan dari negara China daripada 10% kepada 25%, dan selepas itu Menteri Perdagangan China pula mengumumkan mereka akan mengambil tindakan balas. Namun, reaksi pasaran terhadap berita ini masih lagi perlahan, julat turun naik mingguan pasangan ini tidak melebihi 85 poin, dan ia masih belum dapat menembusi paras rintangan pada 1.1250;
  • GBP/USD. Pergerakan pasangan ini masih lagi bergantung pada satu patah perkataan: Brexit. Persetujuan antara Perdana Menteri British Theresa May dengan ketua pembangkang mengenai syarat-syarat meninggalkan EU yang diharap membuahkan hasil hilang seperti kabus pagi. Akhirnya, matawang British jatuh melebihi 200 poin, mencecah paras paling bawah iaitu pada 1.2965. Ianya kemudian melalui proses pembetulan, dan pasangan ini mengakhiri mingguan pada paras 1.3000;
  • USD/JPY. Melihat pada carta pasangan-pasangan utama, matawang Jepun adalah yang paling terkesan di pasaran. Masalah rundingan antara AS-China serta penurunan paras keinginan pelabur terhadap pelaburan berisiko membolehkan yen mendapatkan semula 150 poin daripada dolar dan kembali berada pada nilai penghujung bulan Mac di zon antara 109.70-109.95;
  • Matawang Kripto. Persoalan sama ada Bitcoin mampu menjadi satu daripada aset global yang mampan masih lagi belum terjawab. Namun, kejayaannya untuk meraih tempat TERATAS bagi bentuk pelaburan kini sudah terbukti. Kajian yang dibuat Binance research baru-baru ini menunjukkan sejak awal tahun 2019, nilai matawang kripto rujukan itu telah meningkat lebih daripada 50%, manakala harga minyak naik sebanyak 33%, saham teknologi meningkat sebanyak 18%, dan emas kerugian hampir 1% daripada nilainya. Dinamik sebegitu yang ditunjukkan BTC telah meninggalkan kesan mendalam terhadap para pelabur. Sebagai contoh, menurut agensi perunding deVere Group, 68 peratus hartawan dengan nilai yang dimiliki melebihi $500 juta berhasrat untuk melabur dalam Bitcoin untuk tempoh 2-3 tahun seterusnya (700 ahli perniagaan dari Amerika Syarikat, Great Britain, Switzerland, Sepanyol dan UAE telah turut serta dalam kaji selidik tersebut.
    Dalam masa yang sama, modal pasaran bagi matawang ini telah hampir ke paras $190 bilion, rekod tertinggi sejak awal tahun ini, dan Bitcoin sedang mempercepatkan pelaksanaan senario bulan Mei dengan pantas. Jika diimbas, 70% penganalisis meramalkan pasangan BTC/USD akan naik melebihi paras $6,000 pada bulan Mei. Hal tersebut benar-benar berlaku seawall 3 Mei, dan pasangan ini mencecah paras $6,400 pada penghujung minggu lalu.
    Tidak seperti “abang kawasan”, altcoin utama lain hanya menunjukkan sama ada trend sifar, seperti Ethereum (ETH/USD), ataupun trend negatif: Litecoin (LTC/USD) turun sebanyak 11.0%, dan Ripple (XRP/USD) pula turun 9%.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Mengikut keadaan pasaran buat masa ini, China lebih memerlukan perjanjian antara negara tersebut dengan Amerika Syarikat menjadi kenyataan kerana ekonominya yang sedang mendapat tekanan kuat. Walau bagaimanapun, perang dagangan yang berterusan akan memberi masalah kepada rakyat Amerika, sehingga menyebabkan kemelesetan di negara itu. Dalam situasi ini, menurut hasil undian di Wall Street Journal edisi Mei, 51% penganalisis percaya bahawa pihak Rizab Persekutuan AS dilihat akan mengambil langkah mudah dan bukan mengetatkan lagi polisi kewangannya. (44% responden memilih langkah mudah pada bulan April, dan hanya 19% undian pada bulan Mac). Kini, 60% penganalisis yang disokong oleh grafik analisis pada D1 menjadikan euro sebagai pilihan, mereka percaya pasangan ini akan naik ke zon antara 1.1280-1.1325 dalam masa terdekat. Sasaran seterusnya adalah paras tertinggi bulan Mac iaitu pada 1.1400 dan juga 1.1450.
    Sebaliknya, masalah yang sedang berlaku di China mungkin akan memberi impak negatif pada ekonomi di Eurozone, disebabkan keakraban antara dua-dua pihak. Rasa bimbang mula timbul mengenai kekukuhan matawang Eropah ini. Beralih ke ramalan bulanan, 70% penganalisis memihak bear, mereka percaya pasangan ini akan terus bergerak di sepanjang saluran penurunan jangka sederhana dan sekali lagi akan mencecah ke paras terendah bulan April iaitu pada 1.1110. Analisis grafik pada H4 serta 15% pengayun pada H4 dan D1 yang telah menunjukkan pasangan ini telah terlebih beli juga memihak kepada bear. Paras sokongan paling hampir adalah pada 1.1175 dan 1.1140;
    Antara berita yang akan berlaku dan harus diambil perhatian adalah, data pelaburan asing secara terus ke atas ekonomi negara China akan dikeluarkan pada hari Isnin, 13 Mei, statistik KDNK di Jerman dan juga Eurozone serta data jualan runcit di Amerika Syarikat pula akan dikeluarkan pada hari Rabu, 15 Mei.
  • GBP/USD. Statistik pasaran buruh UK akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Mei. Walau apapun data yang ditunjukkan, masalah utama masih lagi berkisar tentang Brexit. Terdapat ura-ura yang berpendapat Perdana Menteri May tidak mampu untuk menyelesaikan masalah ini, dan seterusnya memberi tekanan lebih kuat kepada matawang British.
    65% penganalisis percaya pound akan terus mengalami penurunan, dan ia turut dipersetujui oleh kebanyakan indikator trend serta analisis grafik pada H4 dan D1. Paras sokongan paling hampir adalah pada 1.2985, sasaran paling rendah bulan April adalah di zon 1.2870.
    Baki 35% penganalisis memilih kembalinya pasangan ini ke paras di atas 1.3100, mereka menyasarkan kedudukan 1.3200. Bagi pengayun pula, semasa ramalan ini dibuat, ia berada pada posisi neutral pada kedua-dua tempoh masa;     
  • USD/JPY. 55% penganalisis yang turut disokong oleh analisis grafik serta 85% indikator percaya bahawa yen, sebagai matawang selamat, akan terus mengukuhkan kedudukannya, menolak dolar turun ke paras sokongan pada 109.00 dan 50 poin lagi selepas itu. Buat masa ini, hanya 45% penganalisis dan juga 15% pengayun memihak kepada bull, memberi isyarat bahawa pasangan ini telah terlebih jual. Namun, jika beralih ke ramalan jangka panjang, 80% penganalisis sudahpun menjangkakan pasangan ini akan kembali ke kedudukan antara 111.00-112.00;
  • Matawang Kripto. Jadi, Bitcoin telah mencecah zon sokongan/rintangan yang kuat, seperti yang berlaku pada Februari 2018. Penganalisis di syarikat Galaxy mengandaikan harga coin ini boleh naik sehingga 400 ribu dolar pada masa akan datang. Ia hanya akan berlaku jika ia tidak lagi menggunakan desentralisasi sepenuhnya dan beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan institusi pelabur utama. Dalam masa yang sama, 60% penganalisis percaya pasangan ini akan mengalami turun naik pada julat antara $6,100-6,840 dalam masa terdekat ini, paras di mana ia kekal berada pada September-Oktober lalu, sebelum jatuh pada pertengahan bulan November.
    20% penganalisis cenderung untuk percaya bahawa dinamik positif bulan lalu akan terus berlaku jika berita-berita yang menggalakkan lebih kerap dikeluarkan, dan sebut harga Bitcoin akan mencecah nilai $7,400. Baki 20% pula, mereka melihat situasi ini dengan lebih pesimis, mengunjurkan pasangan ini kembali ke zon antara $5,570-5,850.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.