Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 05 - 09 Ogos, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • USD. Dua kejadian yang berlaku pada minggu lalu, lebih tepat lagi pada hari Khamis dan Jumaat, 1 dan 2 Ogos, mampu menggoyahkan pasaran. Namun ia tidak berlaku.
    Pada hari Khamis, buat pertama kali sejak 2008, pihak Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar utamanya dari 2.50% kepada 2.25%. Ramai yang menjangkakan perkara ini. Menjadi kebiasaan sebut harga di pasaran akan turun jika hal seperti itu berlaku. Namun, dalam kes ini, nilai dolar melonjak dan bukannya menurun walaupun ianya tidak banyak (kenaikan nilainya berbanding EUR hanya lebih sedikit daripada 100 poin) dan hanya bertahan untuk seketika (euro mendapat semula 85 poin pada hari Jumaat).
    Punca utama pertumbuhan nilai matawang Amerika adalah disebabkan oleh komen yang dibuat Jerome Powell, ketua Rizab Persekutuan itu berkata pengurangan kadar sebanyak 25 poin ini bukanlah bermaksud permulaan kepada polisi pelonggaran yang berterusan. Jika dilihat, pengurangan yang dibuat hanyalah 0.25% dan bukannya 0.50%, serta dua orang ahli FOMC juga tidak bersetuju pada tindakan tersebut, dan ini secara tidak langsung menguatkan lagi kata-kata beliau itu.
    Justeru, pihak Rizab Persekutuan mengambil tindakan yang agak “lembut” jika dibandingkan dengan bank-bank pusat yang lain dalam melonggarkan polisi mereka, dan ini telah menyebabkan nilai dolar bertumbuh untuk tempoj yang singkat.
    Peristiwa kedua yang telah dirancang adalah pengeluaran statistik pasaran buruh AS. Seperti dijangka, nilai NFP turun sedikit (dari 193K kepada 164K), dan reaksi pasaran terhadap laporan ini agak perlahan, semua ini akibat daripada wujudnya berita yang lebih besar pada penghujung minggu tersebut oleh seseorang yang tidak disangka-sangka! Donald Trump (siapa lagi yang mampu berbuat demikian!).
    Pertama sekali, presiden AS itu menggelar tindakan Powell sebagai perbuatan khianat, dan kemudian mengakhiri perjanjian damai dalam perang dagang antara AS-China dengan mengumumkan pengenalan duti sebanyak 10% ke atas barangan China yang berjumlah $300 bilion bermula 1 September ini. Tindakan Trump seperti itu telah meningkatkan peluang pihak Rizab untuk melonggarkan lagi polisi kewangan mereka, meskipun berbeza daripada kenyataan Powell. Justeru, kebarangkalian pengurangan kadar akan berlaku pada bulan September meningkat daripada 64% kepada 92%, pada bulan Disember pula, naik daripada 42% kepada 75%.
    Ancaman terbaru permusuhan dalam perang dengan China telah menjatuhkan pasaran saham Amerika, dan para pelabur sekali lagi mengalihkan perhatian mereka kepada matawang selamat seperti yen Jepun yang berjaya mengukuhkan nilainya berbanding dolar dengan perbezaan sebanyak 275 poin pada penghujung minggu;
  • Matawang Kripto. Tidak diragui lagi, Bitcoin sentiasa akan menjadi matawang digital nombor 1, kekal berada di puncak pasaran kripto, menjadi sebahagian besar dalam modal pasaran serta mampu menentukan trend dan juga sebut harga majoriti kebanyakan altcoin. Walaupun kadang-kala terdapat cadangan untuk menjadikan sesuatu altcoin itu, contohnya Ethereum sebagai coin dengan fungsi yang lengkap dan meletakkannya setaraf dengan Bitcoin, namun semua itu mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
    Bagi berita semasa pula yang kebiasaannya akan menentukan sesuatu trend, baru-baru ini ia tidak begitu menyerlah. Ini menyebabkan gergasi rangkaian sosial dunia, Facebook telah membatalkan pelancaran matawang digital mereka sendiri iaitu Libra akibat tekanan berterusan daripada pihak berwajib, Suruhanjaya Sekuriti dan Tukaran AS, (US Securities and Exchange Commission atau SEC).
    Dari satu segi, semuanya seperti berpihak kepada Bitcoin: satu lagi persaingan yang kuat dapat dikurangkan. Dari satu segi yang lain pula, selepas berjaya menghalang Libra, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas ke atas pasaran kripto secara keseluruhannya. Perkara seperti ini tidak akan terhenti begitu saja. Sebagai contoh, Lembaga Hasil Amerika Syarikat (The United States Revenue Service atau IRS) telah menghantar surat kepada lebih daripada 10 ribu orang pelabur dan meminta mereka memasukkan maklumat mengenai aset matawang kripto mereka, dan jika ingkar mereka akan didenda.
    Dalam masa yang sama, pasangan BTC/USD terus bergerak di saluran sisi, cuba untuk melepasi paras rintangannya iaitu $10,500. Altcoin utama, termasuklah Litecoin (LTC/USD), Ethereum (ETH/USD) dan juga Ripple (XRP/USD) juga bergerak mengikut trend yang sama dengan turun naik yang rendah. Ini dapat disimpulkan sebab utama mengapa keadaan pasaran begitu tenang adalah disebabkan oleh pertengahan musim panas dimana para pelabur, pihak berwajib, malah pegawai cukai juga sedang pergi bercuti. Ia mungkin juga keadaan tenang sebelum berlakunya “ribut” yang seterusnya.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Penurunan pasangan ini telah hampir ke paras Pivot Point antara tahun 2015-2016. Walaupun ianya pulih sedikit pada hari Jumaat, 2 Ogos, indikator pada H4 masih lagi berwarna kelabu, manakala 90% pengayun dan juga indikator trend pada D1 masih berpihak pada trend menurun yang berterusan. 65% penganalisis bersetuju bahawa matawang Amerika masih lagi berpontensi untuk bertumbuh, dan terus memberi tekanan kepada euro. Sasaran bagi pasangan ini adalah pada paras 1.0950, dan seterusnya pada 100 poin lebih rendah.
    Buat masa ini, hanya 35% penganalisis yang berpihak pada bull, namun jika beralih ke ramalan jangka sederhana, bilangan mereka meningkat kepada 55% disebabkan jangkaan terhadap pelonggaran polisi kewangan yang mungkin diambil oleh pihak Rizab.
    Jika beralih ke petunjuk yang dibuat oleh analisis grafik, pergerakan pasangan ini yang terhasil pada H4 adalah pada julat antara 1.1070-1.1165, dan kemudian naik lagi hampir kepada 1.1225. Paras rintangan seterusnya adalah pada paras 1.1285;
  • GBP/USD. Sejak April 2018, matawang British telah kehilangan sebanyak 2,300 poin berbanding dolar AS. Minggu lalu juga tidak terkecuali: pound kehilangan 430 poin sejak 25 Julai. Ia berpunca daripada perkara yang sama, Brexit. Boris Johnson yang baru memikul tanggungjawab telah membuat para pelabur bimbang disebabkan keputusan beliau untuk berpisah daripada EU pada 31 Oktober ini tanpa sebarang perjanjian dan seterusnya menyebabkan nilai pound jatuh.
    75% penganalisis mengunjurkan pasangan ini akan berada di zon 1.2000 tidak lama lagi. Jika ia berjaya melepasi paras sokongan ini, ia mampu “terbang” ke bawah sebanyak 100-150 poin lagi. Situasi ini disokong oleh 95% indikator trend dan juga 90% pengayun pada D1.
    Baki 10% pengayun menunjukkan pasangan ini telah terlebih jual. Penangguhan juga dijangka akan berlaku oleh 25% baki penganalisis serta analisis grafik pada D1, dan mereka meramalkan pasangan ini akan bergerak di bahagian sisi saluran antara 1.2100-1.2250 untuk seketika. Jika terdapat berita gembira mengenai Brexit, pertumbuhan pasangan ini ke paras 1.2375 mungkin akan berlaku.
    Bagi ramalan jangka sederhana pula, menurut 70% penganalisis, Bank of England akhirnya terpaksa mengakui risiko yang amat tinggi jika berlakunya perpisahan secara “paksa” dari EU dan terus mengetatkan polisi kewangan mereka. Justeru, mereka adalah satu-satunya bank pusat yang akan menaikkan kadar faedah dan ia mampu melonjakkan sebut harga matawang British sehingga melebihi paras 1.2800. Namun, perkara ini hanya akan berlaku jika sekurang-kurangnya syarat umum untuk British keluar daripada EC dapat diketahui;
  • USD/JPY. Konfrontasi dagangan yang memuncak antara Amerika Syarikat dan China serta pengurangan kadar faedah ke atas matawang dolar menambahkan lagi tarikan matawang yen sebagai matawang selamat. Justeru, 60% penganalisis telah mengunjurkan pasangan ini akan terus mengalami penurunan dalam usaha untuk mencecah paras terendah Januari 2019 iaitu di sekitar 105.00. 100% indikator trend dan juga 85% pengayun pada D1 juga menunjukkan arah yang sama. Namun, baki 15% pengayun sudahpun memberi isyarat bahawa pasangan ini telah terlebih jual. Paras rintangan diramal berada pada 107.80, 109.00 dan 110.00;

  • Matawang Kripto. Pelabur Bitcoin masih lagi mencari hujah-hujah bagi menaikkan lagi nilainya. Apa-apa pun boleh digunakan bagi tujuan ini, termasuklah pengurangan kadar faedah oleh pihak Rizab: keinginan pelabur terhadap dolar semakin berkurangan, mereka akan mula melabur di dalam aset yang lebih berisiko tapi lebih menguntungkan, seperti Bitcoin. Namun, jika anda berfikir sejenak, mengapa mereka tidak berbuat demikian sebelum ini? Pengurangan kadar sebanyak 0.25% adalah satu hujah yang lemah dalam kes ini.
    Jutawan yang juga ketua bank kripto Galaxy Digital, Mike Novograz dalam sebuah wawancara bersama Bloomberg mengatakan harga Bitcoin akan meningkat sekali lagi ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu $20 ribu bagi setiap unit menjelang akhir tahun ini. Dalam masa yang sama, beliau juga berkata nilainya mungkin akan jatuh sehingga $8,500 bagi setiap 1 BTC sepanjang tempoh yang disasarkan itu. Penyampai terkenal Joe Kernen telah membuat pengumuman di saluran televisyen CNBC tentang kenaikan harga BTC yang akan mencecah $55,000. Pada bulan Mei 2020, penghasilan bitcoin akan dikurangkan menjadi separuh, dan pada pendapat beliau, ia akan menyebabkan nilai coin tersebut meningkat dengan cepat berpunca daripada pembelian secara besar-besaran sebelum proses penghasilan dihentikan.
    Bagi ramalan jangka pendek pula, walaupun hakikatnya nilai Bitcoin mencecah $10,650 pada 2 Ogos, pasangan BTC/USD ini perlulah melepasi paras $11,000 sebelum boleh membincangkan sama ada ia mampu untuk bertumbuh secara mampan ataupun tidak. Selain itu, pendapat penganalisis terbahagi kepada dua kumpulan, optimis dan juga pesimis. Walaupun begitu, kedua-dua kumpulan berkenaan meramalkan nilai $10,000 sebagai Pivot Point bagi pasangan ini.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.