Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Seperti yang diramal kebanyakan penganalisis dan turut disokong oleh analisis grafik, nilai dolar meningkat, manakala pasangan EUR/USD pula jatuh sebagaimana apa yang berlaku kepada euro. Memang benar nilainya tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu pada 1.1025, paras terendah 1 Ogos lalu, dan ia hanya berada pada nilai 1.1065 iaitu paras terendah setempat.
Punca kejatuhan matawang Eropah ini adalah pertama sekali disebabkan oleh janji-janji “doves” yang diberikan oleh ketua pengarah Bank of Finland yang juga salah seorang bekas calon bagi ECB iaitu Olli Rehn. Menurut kenyataan yang diberi pegawai terkemuka di Kesatuan Eropah, pasaran telah menjangkakan pengurangan kadar utama sebanyak 0.1 (malah mungkin 0.2) peratusan mata (kini pada nilai -0.4%) pada pada bulan September, serta penyambungan semula program pelonggaran kuantitatif QE dengan volum sebanyak 50 bilion euro setiap bulan.
Selain itu, statistik ekonomi di negara Jerman dan juga China yang agak teruk serta pertumbuhan jualan runcit yang tidak disangka-sangka di AS memberi kelebihan kepada dolar. Pasaran telah menjangkakan indikator ini akan menurun dari 0.7% kepada 0.3%, namun ia naik kepada 1.0%. - GBP/USD. Pada minggu lalu, para penganalisis tidak menjangkakan sebarang perubahan besar kepada pound British, dan ramalan mereka dikelaskan sebagai neutral. Bagi analisis teknikal pula, 25% pengayun pada H4 dan D1 menunjukkan pasangan ini telahpun terlebih jual, dan seperti yang biasa berlaku, ini adalah isyarat akan berlakunya perubahan arah trend dan juga proses pembetulan. Ini apa yang telah berlaku: setelah pulih dari paras 1.2015, pasangan ini naik dan mencatatkan paras tertinggi mingguan iaitu 1.2175 pada hari Jumaat. Paras terakhir setelah lima hari dagangan berada pada zon 1.2140, paras Pivot Point yang sama pada minggu pertama bulan Ogos;
- USD/JPY. Satu pertiga daripada penganalisis, yang turut disokong oleh 85% pengayun serta 100% indikator trend pada H4 dan juga D1 sangat pasti matawang Jepun akan terus memainkan peranannya sebagai tempat berlindung daripada ketidakstabilan pasaran, dan pasangan ini akan terus jatuh ke paras terendah 3 Januari, 2019 iaitu pada 105.00. Itulah yang telah berlaku, dan pasangan ini telah menghampiri paras tersebut pada hari Isnin, 12 Ogos lalu.
Satu pertiga daripada penganalisis dan juga analisis grafik pada D1 telah memilih trend ke arah atas dan melonjakkan pasangan ini ke paras 107.00 yang akan dicapai pada keesokan harinya, Selasa 13 Ogos.
Penghujung minggu pula menjadi pilihan satu pertiga lagi penganalisis yang telah mengambil posisi neutral. Jika anda melihat pada graf dua minggu terakhir, pasangan ini bergerak di saluran sisi antara 105.00-107.00 dan mengakhiri minggu dagangan sangat hampir pada titik pertengahan iaitu pada 106.35. Justeru, ketiga-tiga senario bearish, bullish dan neutral dapat dipenuhi; - Matawang Kripto. Para penggemar kripto, seperti Tom Lee, penganalisis di Fundstrat atau pengasas bersama Morgan Creek, Anthony Pompliano, mereka bertubi-tubi ingin menaikkan status Bitcoin, dengan mendakwa ia sudah menjadi sebuat aset yang dijamin selamat seperti emas atau yen Jepun. Persoalannya, perlindungan jenis apakah yang ditawarkan matawang digital ini jika dari 08 Ogos sehingga 15 Ogos lalu, nilainya jatuh daripada $12,000 kepada $9,500, iaitu 20% kerugian daripada nilai asalnya?
Dengan keadaan turun naik tidak yang begitu stabil, Bitcoin bukanlah sesuatu yang dijamin selamat, tetapi sebuat alat yang ideal untuk spekulasi berisiko tinggi. Ia mampu menjadi tempat berlindung, bukan daripada turun naik pasaran kewangan tradisional, tetapi daripada altcoin, “rakan sejawat” dalam pasaran digital yang dilihat berterusan jatuh kadar nilainya.
Jika anda lihat pada dinamik pasaran altcoin, bermula pada paras tertinggi 26 Jun, modal pasarannya jatuh daripada $124 bilion kepada $79 bilion, hilang 36% daripada nilai keseluruhan. Kerugian yang dialami bitcoin adalah dua kali lebih rendah: 18% (turun kepada $187 bilion berbanding $229 bilion pada asalnya). Sememangnya, para pelabur sudah hilang minta terhadap coin-coin utama seperti Ethereum (ETH), Ripple (XRP) dan Litecoin (LTC), dan mula beralih arah ke bitcoin (BTC), di mana bahagian pasarannya sudahpun melangkaui 70%.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Pada satu skala yang mewakili Eropah, sekutu rapat EU - China, sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan, prestasi ekonomi di Jerman yang perlahan, masalah yang berlaku di Itali dan juga Brexit. Pada satu skala lain yang mewakili Amerika, statistik makro untuk Amerika Syarikat dilihat memuaskan dan pucuk pimpinan Rizab Persekutuan mendakwa bahawa ekonomi Amerika adalah kukuh dan tidak terkesan dengan sebarang perang dagangan. Semua ini menjawab persoalan pada pihak manakah kelebihan akan berada: kemenangan berpihak kepada dolar. Itulah yang diunjurkan 65% penganalisis, dan turut disokong hampir 100% pengayun serta indikator trend pada H4 dan juga D1. Sasaran paling hampir adalah paras sokongan di zon antara 1.1000-1.1025, dan jika pasangan ini berjaya mencapainya, perbezaan antara kedua-dua matawang ini hanya tinggal 1000 poin sebelum ia menjadi kesetaraan 1:1. Jika mengikut kadar penurunan semasa, ia memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk merapatkan perbezaan ini. (Jika diingat, pasangan ini sudahpun jatuh ke paras 1.0350 pada Disember 2016).
Namun, jika anda bayangkan pada skala yang lain, hampir semuanya tidak begitu jelas. Pada skala yang mewakili Eropah, penurunan kadar faedah ke atas euro akan diumumkan oleh Olli Rehn pada bulan September serta resusitasi ke atas program QE. Pada skala yang mewakili AS pula - ramalan akan berlakunya kegawatan ekonomi AS, ketidakpuasan hati Donald Trump ke atas tindakan Rizab Persekutuan, kadar faedah dolar yang mungkin akan diturunkan pada penghujung 2019 dari 2.2% kepada 1.85%. Jika ketua Rizab Persekutuan Jerome Powell tunduk kepada tekanan yang dibuat oleh Presiden AS itu, perubahan arah trend ke atas dan juga lonjakan pasangan ini ke paras di sekitar zon 1.1300-1.1400 adalah tidak terkecuali. Untuk masa terdekat, 35% penganalisis tidak mengecualikan peluang seperti itu, dan peratusan ini meningkat kepada 55% jika beralih ke ramalan tempoh sederhana.
Menurut penganalisis, hasil keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan pada hari Rabu, 21 Ogos serta simposium ekonomi tahunan di Jackson Hole yang turut diadakan pada minggu hadapan diharap dapat menjelaskan lagi polisi kewangan di AS. Sebagai tambahan, laporan mesyuarat ECB ke atas polisi kewangannya yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 22 Ogos nanti juga amat dinantikan; - GBP/USD. Sesuatu yang menarik sedang berlaku di UK. Dari satu segi, hasil pengeluaran berkurangan, turun sebanyak 0.6% berbanding tahun lalu. Dari satu segi yang lain pula, jualan runcit yang dijangka akan turun sebanyak 0.3% pada Julai lalu telah bertumbuh sebanyak 0.2%. Ini mungkin menunjukkan para penduduk negara itu lebih gemar berbelanja berbanding menyimpan walaupun dengan kejatuhan nilai pound serta nasib yang bakal menimpa mereka akibat Brexit.
Masih tidak begitu jelas berapa lama situasi ini akan berpanjangan. Kita perlu menanti langkah yang akan diambil Perdana Menteri baru iaitu Boris Johnson serta reaksi Parlimen British terhadap tindakan tersebut. Sehingga semua itu berlaku, jika mengikut majoriti penganalisis (65%), pasangan ini akan terus menangguhkan kejatuhannya, ia akan kekal berada di saluran sisi antara 1.2000-1.2200. Paras sokongan paling hampir adalah pada 1.2050, manakala 1.2175 pula menjadi paras rintangannya.
Bagi analisis grafik pula, pada kedua-dua H4 dan juga D1, ia meramalkan penurunan pasangan ini ke paras terendah bulan Oktober 2016 di zon antara 1.1900-1.1940 selepas beberapa hari bergerak di koridor sisi; - USD/JPY. Keputusan yang dibuat pihak berkuasa AS bagi menangguhkan duti tambahan ke atas import barangan dari China tidak banyak membantu dolar: para pelabur masih lagi ragu-ragu perang dagangan antara AS-China akan berakhir dengan aman. Justeru, yen akan terus menjadi alat kewangan yang selamat. Ramalan akan berlakunya kemelesan ekonomi di AS serta penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS turut tidak membantu dolar. Selain itu, hasil ke atas bon 10 tahun AS juga jatuh, ini bermaksud ia mengalami penurunan sebanyak 1.6%. Tambahan pula, hasil spread daripada sekuriti-sekuriti ini jatuh di bawah paras sifar. Jika mengikut teori, perkara ini akan mengukuhkan lagi nilai matawang Jepun serta penurunan pasangan ini. Namun, para penganalisis yang turut disokong analisis grafik pada H4 lebih cenderung untuk mengatakan pasangan ini akan kekal berada di saluran sisi antara 105.00-107.00 sekurang-kurangnya seminggu lagi. Selepas itu pula, kebanyakan penganalisis (60%) mengunjurkan pengukuhan nilai dolar dan bukannya penurunan, pasangan ini akan melonjak ke zon antara 108.50-109.00. Analisis grafik pada D1 turut bersetuju dengan ramalan ini;
- Matawang Kripto. Membuat ramalan jangka panjang adalah mudah. Lebih lambat perkara yang diramalkan, lebih bagus. Jika ia tidak menjadi kenyataan, tidak mengapa: semua orang sudah lupa tentangnya. Namun jika ia berlaku, anda boleh cuba imbas kembali mengenainya.
Sebagai contoh, Tim Draper, pelabur dan juga ketua Draper Associate telah membuat unjuran nilai Bitcoin mungkin akan mencapai $250,000 pada penghujung 2022, atau awal 2013. Hanya ada tiga tahun sebelum tempoh itu tiba.
Jika bercakap tentang ramalan jangka pendek, penganalisis matawang kripto terkemuka Nicholas Merten sangat yakin nilai Bitcoin akan mencecah $15,000 dalam masa beberapa minggu lagi. Terdapat kemungkinan ramalan beliau itu benar, dan perubahan arah trend bakal berlaku, namun tiada isyarat untuk membeli yang dapat dilihat, dan Indeks Gerun & Gelojoh Bitcoin masih lagi berada pada paras “Gerun”.
Roman Butko, NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali