Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Disebabkan bukan pound saja yang bergantung kepada apa yang bakal berlaku ke atas Brexit, sebagai permulaan, kami akan kongsikan situasinya jika UK keluar daripada EU seminggu sebelum ia terjadi (jika ia benar-benar terjadi) dan kesannya terhadap Euro. Ia kelihatan seperti… sebuah kitaran yang amat menakutkan.
Dari suatu sudut, Perdana Menteri Boris Johnson enggan menarik balik Perjanjian keluar daripada EU sehingga Parlimen bersetuju untuk mengundi pada 12 Disember. Namun Parlimen tidak bersetuju kerana pihak pembangkang mahu Johnson melupakan hasrat beliau untuk keluar tanpa Perjanjian dengan EU, serta mereka mahu EU bersetuju dengan terma untuk memanjangkan lagi perpisahan ini. Bagi EU untuk memutuskan berapa lama tempoh penangguhan Brexit ini, mereka akan menunggu persetujuan (atau penolakan) Parlimen mengenai undian awal yang akan diadakan pada 12 Disember nanti.
Adakah semuanya jelas? Atau sebaliknya? Jika mengikut reaksi pasaran, adalah sukar untuk memahami situasi yang berlaku, malah lebih sukar untuk memberikan ramalan. Disebabkan itu tiada lonjakan besar sebut harga dapat dilihat pada minggu lalu. Nilai Euro sedikit lemah berbanding dolar, namun penurunan ini hanyalah sebanyak 100 mata, dan pasangan ini mengakhiri sesi lima hari dagangan pada 1.1080.
Selain daripada ketidaktentuan Brexit yang tidak berpenghujung, kelembapan ekonomi di Eropah juga memberi lebih banyak tekanan ke atas Euro. Walaupun dengan bantuan pihak ECB, kadar inflasi gagal mencapai sasarannya iaitu 2%. Pada bulan September, pengawal selia di Eropah telah menurunkan kadar faedah utamanya ke nilai negatif -0.5% serta mengumumkan keinginan mereka untuk menyambung semula program pelonggaran kuantitatif (QE). Pada 31 Oktober, ketua ECB yang sedia ada akan meninggalkan jawatannya dan dengan kehadiran ketua yang baru, Christine Lagarde, polisi Bank Pusat Eropah diharap akan melalui beberapa perubahan. Namun buat masa ini, mengikut pendapat para pelabur, kelebihan memihak kepada dolar kerana kadar Rizab Persekutuan AS adalah positif dan berada pada paras 2%; - GBP/USD. Undian mengenai terma Brexit di Parlimen UK pada 19 Oktober sepatutnya menjelaskan lagi keadaan, namun perkara sebaliknya yang berlaku. Disebabkan itu, “super Saturday” bukan saja tidak mengakibatkan kerancakan di pasaran kewangan, malah hanya menyebabkan penurunan nilai matawang British itu sebanyak hampir 200 mata, mengembalikan sebut harganya ke paras tujuh hari sebelum itu di zon 1.2825;
- USD/JPY. Apabila memberi ramalan pasangan ini pada minggu lalu, kami menekankan terdapat kekeliruan serta percanggahan pendapat antara penganalisis dan juga alat analisis teknikal. Spekulator seperti sudah hilang minat terhadap matawang Jepun buat sementara waktu, akibatnya pasangan ini bergerak di koridor antara 108.45-108.75 pada kebanyakan masa. Dua percubaan bear untuk mengubah situasi tersebut tidak boleh diambil kira kerana pasangan ini kembali ke saluran yang amat sempit, hanya 30 mata lebar, dengan begitu cepat sekali, terlalu hampir dengan sempadan atas dan berhenti di situ, berada pada paras 108.65;
- Matawang Kripto. Salah seorang penganalisis ada mengatakan, ketua Facebook telah “menutup segala pintu yang ada untuk matawang kripto” pada minggu lalu. Lebih tepat lagi, Zuckerberg serta ahli-ahli kongres bersama-sama menutupnya semasa beliau tampil di hadapan Jawatankuasa Khidmat Kewangan di Dewan Rakyat. Ahli-ahli kongres bukan saja bimbang tentang penyebaran matawang kripto secara umumnya serta mengenai projek Libra secara khususnya. Mereka berpendapat matawang kripto menimbulkan ancaman ke atas pasaran matawang tradisional malah mampu digunakan untuk aktiviti jenayah serta penggubahan wang haram. Namun, bukan itu saja: semasa sesi pendengaran, satu cadangan telah dikemukakan untuk meluluskan rang undang-undang bagi mengharamkan sepenuhnya matawang kripto.
Bagi Mark Zuckerberg pula, beliau berkata Libra tidak akan dilancarkan selagi tidak menerima kelulusan pihak berkuasa. Beliau berkata secara umum, Libra adalah suatu projek yang berisiko, dan beliau sendiri tidak pasti sama ada inisiatif beliau itu mampu memberi pulangan ataupun tidak.
Jika diingat sebelum ini, disebabkan masalah yang timbul dengan undang-undang di Amerika, Telegram “memecut ke arah bertentangan” dan menunda pelancaran TON iaitu matawang kripto mereka sendiri.
Berulang kali telah kami ingatkan bahawa pasaran kripto bergantung sepenuhnya terhadap unsur-unsur berita. Hakikatnya, perkhabaran dari Kongres AS pada hari Rabu 23 Oktober telah meruntuhkan penanda aras matawang ini ke paras paling rendah sejak lima bulan lalu, jatuh hampir $1,000 dalam masa sehari, dan mencecah paras terendah pada $7,330.
Namun kejutan yang dibuat kripto tidak berakhir di situ, rupa-rupanya masih terlalu awal untuk melemahkan pasaran ini. Pada hari Jumaat, 25 Oktober, pasaran tersebut melonjak, dan kadar tukaran bitcoin naik secara luar biasa sebanyak $3,000, pertambahan maksimum sebanyak 40% dan mencecah nilai $10,500.
Ini adalah peningkatan tertinggi sejak Februari 2014, dan sekali lagi disebabkan oleh khabar berita: Presiden Xi Jinping menyokong pembangunan blockchain. Dalam masa yang sama, editor di akhbar berbahasa Cina People’s Daily yang membuat liputan berita tersebut langsung tidak menyebut tentang bitcoin mahupun matawang kripto, namun bull tidak menghiraukannya.
Mengikut jejak bitcoin, hampir semua altcoin dari TOP 100 melonjak naik. Ethereum (ETH/USD) naik hampir 30%, ripple (XRP/USD) – 31%, litecoin (LTC/USD) – 35%.
Akibatnya, pemilik serta pedagang coin yang sudah membuka posisi long ke atas bitcoin dan juga matawang kripto lain mampu memperoleh keuntungan yang agak lumayan. Mereka yang hanya baru-baru ini berbuat demikian juga tidak mengalami kerugian yang besar: pasangan BTC/USD beralih arah dengan cepat dan turun ke paras $9,055 – paras sokongan yang agak kuat sejak pertengahan bulan Jun dan tempat di mana ia bergantung.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Sesetengah penganalisis percaya bahawa minggu hadapan mungkin adalah minggu yang “rancak” bagi tahun ini. Walaupun hakikatnya UK mungkin akan meninggalkan Kesatuan Eropah pada hari Khamis, 31 Oktober, pihak Rizab Persekutuan AS mungkin akan menurunkan kadar faedah dolar dari 2.0% kepada 1.75% pada sehari sebelumnya iaitu pada hari Rabu. Ketua Rizab Persekutuan Jerome Powell dilihat seperti tunduk mengikut nasihat yang diberi Presiden Trump. Kerajaan beliau sudahpun melancarkan program pembelian aset berjumlah $60 juta sebulan pada bulan Oktober, dan ini adalah satu lagi langkah untuk merangsang sektor sebenar di Amerika. Atas beberapa sebab, Powell tidak menganggap langkah tersebut sebagai satu kaedah pelonggaran kuatitatif (QE), namun mungkin ada benarnya: sebilangan penganalisis percaya penurunan tersebut adalah satu langkah pelepasan dolar secara besar-besaran serta suntikan ekonomi dengan dana yang tidak terjamin. Dengan mengambil kira kebarangkaliannya, semua ini berpunca daripada pilihanraya presiden di Amerika Syarikat yang akan diadakan tidak lama lagi. Bagi Trump yang mahu dipilih semula sebagai Presiden untuk penggal kedua, beliau terus memberi tekanan kepada pihak Rizab dengan mengurangkan lagi kadar faedah sehingga menjadi kosong.
Sejurus sebelum pihak Rizab bermesyuarat pada 30 Oktober, data awal KDNK AS akan diketahui, dan jika menurut ramalan, ia akan menunjukkan kelembapan pertumbuhan ekonomi bagi suku III daripada 2.0% kepada 1.6%. Jika benar, Trump akan terus memberi tekanan ke atas Powell serta Rizab Persekutuan yang diterajuinya.
Bagi hal lain yang akan berlaku pada minggu depan, tumpuan boleh diberi ke atas anggaran awal pertumbuhan KDNK serta data inflasi di Eurozone yang akan diketahui pada hari Khamis, 31 Oktober. Pada kebiasaannya, data pasaran buruh di AS (termasuk NFP) dan juga indeks aktiviti perniagaan ISM akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 1 November.
Adalah mustahil untuk membentuk sesuatu yang pasti walaupun dengan mengambil kira semua ramalan penganalisis pada minggu hadapan: 50% memilih penurunan pasangan ini, 50% lagi memilih pertumbuhannya. Perbezaan pendapat yang hampir sama ditunjukkan oleh bacaan indikator pada D1. Ini berpunca daripada ketidaktentuan dan juga keputusan yang akan dibuat pihak Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah, serta sama ada Britain akan keluar atau tidak daripada EU.
Harus diingat walaupun tiada perpisahan akan berlaku tanpa sebarang perjanjian dan Brexit ditangguhkan sekali lagi, ia masih boleh memberi impak negatif ke atas kadar tukaran Euro, dan akibatnya pasangan ini akan meluru ke paras minimum pada 1 Oktober di sekitar 1.0880 menjelang November. 70% penganalisis bersetuju dengan ramalan ini. Paras sokongan utamanya adalah pada paras 1.1065, 1.1000 serta 1.0940.
Perjanjian bersama EU yang mendapat sokongan Parlimen UK dan ditandatangani akan melonjakkan pasangan ini ke zon 1.1350-1.1400. Paras rintangan berada pada 1.1180, 1.1240 dan 1.1300; - GBP/USD. Kebanyakan penganalisis (60%) tidak menjangkakan sebarang berita baik buat pound dalam masa terdekat ini. Setelah bersetuju dengan analisis grafik pada D1 serta 80% indikator pada H4, mereka menunggu pasangan ini untuk jatuh ke paras 1.2500. Paras sokongan adalah pada 1.2770 dan juga 1.2580.
Di sudut yang lain pula, 20% pengayun pada H4 sudahpun memberi isyarat bahawa pasangan ini telah terlebih jual, manakala 90% pengayun pada D1 adalah berwarna hijau. 85% indikator trend pada D1 dilihat menuju ke atas, dan sasaran mereka adalah pada ketinggian 1.3200.
Hanya 30% penganalisis yang berada dalam senarai “positif” pada minggu ini. Baki 30% enggan memberi sebarang ramalan, mungkin andaian mereka benar: ahli-ahli politik British mampu menidakkan sebarang hujah, pengiraan malah ramalan; - USD/JPY. Secara teori, sasaran bagi yen masih kekal sama. Zon sokongan berada pada 107.00, 106.65 dan 105.70, manakala rintangannya pula pada 109.00 serta 109.85. Namun semua ini hanyalah teori saja. Realitinya, bon jangka panjang yang berkolerasi secara kukuh dengan matawang Jepun ini kekal terhimpit di julat yang sempit, menghalang selera risiko para pelabur. Sudah tentu, perkara-perkara yang bakal berlaku pada minggu ini serta keputusan Bank of Japan mengenai kadar faedah yang akan dibuat pada 31 Oktober nanti mungkin akan menjana minat terhadap yen, namun sekali lagi, semua ini hanyalah teori. Kebarangkaliannya adalah hampir 100% pihak berkuasa tidak akan mengubah kadar faedah yang berada pada -0.1%.
Menariknya, penganalisis di J.P. Morgan Chase percaya kadar negatif yang ditentukan Bank Pusat adalah satu “idea buruk” dan hanya akan menghalang ekonomi daripada bangkit daripada kemelesetan. 80% daripada penganalisis yang dikaji selidik bersetuju dengan rumusan itu, mereka menjangkakan nilai yen akan terus jatuh, pasangan ini akhirnya berjaya melepasi koridor had atas antara 108.45-108.75 dan seterusnya bergerak lebih tinggi ke atas. Namun analisis grafik pada H4 meramalkan trend ke arah sisi yang berterusan sekurang-kurangnya pada permulaan minggu; - Matawang Kripto. Beginilah, sepanjang minggu, nilai pasangan BTC/USD mulanya akan turun sebanyak $1,000, kemudian naik sebanyak $3,000, dan seterusnya jatuh sekali lagi, kerugian nilai sebanyak $1,445. Membuat sebarang ramalan dalam keadaan turun naik seperti ini adalah satu tugas yang tidak akan dihargai. Manakala jika hanya fokus pada analisis teknikal pula adalah sesuatu yang tidak berguna. Pasaran perlu diberi peluang untuk kembali reda serta memahami apa yang dimaksudkan oleh Presiden China itu.
Roman Butko, NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali