Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 09 – 13 Disember, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Nilai Euro naik mendadak pada hari Isnin. Namun ia bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. 35% penganalisis serta analisis grafik pada H4 dan D1 telah meramalkan lonjakan pasangan ini ke paras 1.1100. Sebahagian daripada mereka berpendapat pertumbuhan ini berhubung kait dengan prestasi ketua Bank Pusat Kesatuan Eropah yang baru iaitu Christine Lagarde. Tetapi semua itu dilihat tidak begitu tepat, kerana kebanyakan kenyataan pegawai tertinggi tersebut tidak banyak menyebut tentang prospek polisi kewangan tetapi lebih kepada prospek penghasilan kripto-Euro. Namun begitu, sedikit penerangan daripada pengawal selia terbesar pasti dapat menyumbang kepada pengukuhan matawang Eropah ini.
    Indeks aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan di Jerman dan juga Kesatuan Eropah yang menunjukkan sedikit peningkatan turut menyumbang kepada mood yang positif. Namun statistik makroekonomi dari Amerika Syarikat tidak begitu menggembirakan para pelabur: indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sekot pembuatan serta perkhidmatan menunjukkan penurunan. Hasilnya, nilai Euro berada pada paras tertingginya iaitu 1.1116.
    Tiada kejutan sehingga penghujung minggu. Seperti yang dijangka, indikator penting seperti bilangan pekerjaan baru yang terhasil di AS bagi sektor agrikultur (Non-Farm Payrolls, NFP) meningkat melebihi 70%. Serta-merta pasaran memberikan reaksinya dengan pengukuhan nilai dolar sebanyak 60 mata. Pasangan ini kemudian pulih sedikit, dan ia melonjak ke paras 1.1060;
  • GBP/USD. Kelihatan semuanya seperti terhenti sementara menantikan pilihanraya parlimen yang bakal diadakan pada hari Khamis, 12 Disember. Memang benar, umumnya masa depan mengenai Brexit serta negara UK akan bergantung kepadanya. Tetapi nilai matawang British terus naik sepanjang minggu, disokong oleh andaian mengenai keputusan pilihanraya, statistik makroekonomi dari AS yang lemah serta perkembangan yang berlaku di kemuncak OPEC+. Matawang British sangat berkait rapat dengan “cecair berharga”, dan keputusan yang diambil negara-negara pengeluar minyak untuk mengurangkan pengeluaran kepada 1.7 juta tong sehari bermula 1 Januari nanti turut menyokong nilai pound. Pasangan GBP/USD mengakhiri minggu tersebut dengan berada pada paras 1.3132, tambahan mata sebanyak 215 dalam tempoh lima hari;  
  • USD/JPY. Menurut senario pada minggu lalu, pasangan ini seharusnya bergerak ke bawah, mencecah paras 110.00. Namun, ia terhenti pada paras kurang 25 mata daripada sasaran yang disebut-sebutkan. Kemudian segalanya berlaku seperti apa yang diramal: penurunan ke paras sokongan 109.00, kekal di situ buat sementara, dan turun lagi ke paras sokongan seterusnya di zon 108.50. Pasangan ini mengakhiri sesi dagangan tidak jauh dari paras tersebut iaitu pada 108.55;
  • Matawang Kripto. Twitter membawa secebis berita yang tidak disangka-sangka. Lebih mengejutkan, ia dibuat oleh CEO rangkaian sosial berkenaan iaitu Jack Dorsey, dengan mengatakan masa depan industri matawang kripto akan ditentukan oleh… Afrika. Atas alasan apa? Sebab Afrika adalah… sebuah negara yang mundur, jadi ia menjadi satu daripada dorongan utama negara-negara di benua tersebut mengguna pakai Bitcoin serta matawang kripto yang lain.
    Mungkin ada logiknya, tetapi buat masa ini, apa yang berlaku di pasaran digital ditentukan oleh negara AS, Eropah dan juga China. Minggu lalu, Eropah menempa nama. Rupa-rupanya, pengawal selia terbesar di Eropah meneroka dengan aktif sebarang kemungkinan untuk mereka melancarkan secara rasmi Euro berbentuk digital. “Misi kami adalah untuk menghasilkan sistem bayaran di Eropah yang inovatif, dipercayai serta bersepadu,” jelas ketua baru ECB iaitu Christine Lagarde di Parlimen Kesatuan Eropah. “Ia akan memberi keuntungan kepada semua penduduk di rantau Eropah dan seterusnya mengukuhkan lagi posisi matawang Euro di dunia.” Tambah beliau lagi, penting untuk mereka menilai segala risiko serta menimbang semua “kelebihan” serta “kekurangan” dengan berhati-hati sebelum mengambil langkah tersebut.
    Bagi ramalan minggu lalu pula, ternyata semuanya berlaku. Cuba ingat, menurut kebanyakan penganalisis, pasangan BTC/USD akan bergerak mengikut trend ke sisi dalam julat antara $7,000-8,000. Dalam masa yang sama, 40% penganalisis tidak menolak kemungkinan cubaan untuk melepasi hadi atas saluran ini.
    Realitinya, semua berlaku seperti yang diramalkan. Bermula pada paras hampir dengan had atas, pasangan ini bergerak ke bawah menuju $7,095. Kemudian, berlakunya pertukaran arah pergerakan secara mendadak pada hari Rabu, 4 Disember namun usaha bull itu hanya mampu meletakkan nilai Bitcoin hampir pada $7,865. Arah pergerakan bertukar sekali lagi selepas itu, turun ke paras $7,110, dan akhirnya ia kembali ke zon tengah saluran tersebut, bersama-sama dengan penurunan nilai turun naiknya di antara $7,330-7,465.
    Sebut harga altcoin terkenal seperti Ripple (XRP/USD), Ethereum (ETH/USD) dan Litecoin (LTC/USD) secara umumnya mengulangi pergerakan “ketua” mereka. Walaupun hakikatnya mereka berada di zon hijau pada penghujung minggu, hasil untuk tujuh hari tersebut boleh dikategorikan sebagai sederhana negatif. Disebabkan itu, Ripple kerugian sebanyak 3.5% nilainya, Ethereum kerugian 5%, dan nilai Litecoin turun sebanyak 9%.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Tiga peristiwa penting bakal berlaku di AS dan Eropah pada minggu depan, antaranya: keputusan pihak Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah pada hari Rabu, 11 Disember manakala pihak ECB pula pada Khamis, 12 Disember, serta pilihanraya Parlimen UK yang dijadualkan pada hari Khamis. Jika pihak Rizab Persekutuan dan ECB mengekalkan kadar faedah mereka, beberapa kejutan dijangka akan berlaku semasa pilihanraya di UK nanti. Keputusan undian akan diketahui pada petang Khamis, waktu Eropah Tengah, manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada hari Jumaat, 13 Disember. Ketika itulah kita menjangkakan reaksi yang kuat berlaku di pasaran.
    Walaupun hari Jumaat yang jatuh pada tanggal 13 mendapat reputasi buruk menurut pengamal tahyul, ramalan penganalisis tidak begitu pesimis. 65% daripada mereka yang turut mendapat sokongan analisis grafik pada D1 memilih pertumbuhan pasangan ini ke paras rintangan 1.1100, dan jika pihak yang menentang Brexit secara paksa memenangi pilihanraya di UK, pasangan ini dengan mudah mampu mencapai ketinggian 1.1175.
    Bagi ramalan sehingga hujung bulan Disember pula, kebanyakan penganalisis percaya pasangan ini akan bergerak di sepanjang Pivot Point 1.1000, menjadikan paras turun naiknya berada di antara 1.0900- 1.1100;
  • GBP/USD. Seperti yang dinyatakan di atas, masa depan pound akan ditentukan pada 12 Disember. Dalam masa yang sama, penganalisis hanya boleh menunggu. Bagi mereka yang gemar menggunakan carta serta corak lilin berbanding analisis fundamental, bolehlah kami katakan bahawa analisis grafik pada D1 menunjukkan pertumbuhan pasangan ini pertama sekali ke zon rintangan pada paras 1.3175, kemudian ke paras 1.3370, dan berada di ketinggian 1.3500 menjelang Tahun Baru. 100% indikator trend serta 85% pengayun pada D1 menyokong ramalan ini. Baki 15% memberi isyarat bahawa pasangan ini sudah dibeli secara berlebihan, satu petanda kemungkinan berlakunya perubahan trend ke arah bawah;
  • USD/JPY. Pasangan ini kini berada di zon sokongan/rintangan yang kuat, jelas kelihatan sejak April 2017. Kita juga boleh bercakap mengenai pergerakan ke sisi pada paras sokongan 108.25 yang bermula pada musim luruh tahun ini.
    Kebanyakan penganalisis (65%) percaya bahawa walaupun segala usaha telah dilakukan, pasangan ini tidak akan mampu melepasi paras sokongan tersebut dalam masa terdekat dan ia akan terus bergerak di antara dua koridor sisi yang telah bermula sejak Oktober lalu. Mereka berpendapat, jika dilihat pada indikator makroekonomi yang lemah di Eropah serta Amerika Latin, tarikan dolar sebagai matawang selamat kepada para pelabur akan meningkat. Dengan mengambil kira perbezaan kadar faedah, dolar dilihat lebih menarik berbanding yen, dan ini akan menaikkan lagi pasangan ini. Paras rintangan paling hampir adalah pada 109.00, paras seterusnya berada pada 109.30, dan sasarannya pula adalah 109.75.
    Sudah tentu sebut harga pasangan ini juga boleh dipengaruhi dengan perkembangan rundingan dagangan antara AS-China, serta keputusan pilihanraya parlimen UK. Oleh itu, senario bearish tidak dikecualikan, ini menyebabkan pasangan tersebut akan meluru ke paras minimum pada 3 Oktober lalu iaitu 106.50. Paras sokongan pertengahan berada pada zon 107.90, 107.50 dan 107.00. 35% penganalisis serta 70% indikator pada D1 bersetuju dengan ramalan ini;

  • Matawang Kripto. Peristiwa paling penting pada minggu ini adalah pelancaran penyelesaian niaga hadapan bitcoin di platform Bakkt pada 9 Disember nanti. Tidak pasti sama ada perkara ini dapat membantu Bitcoin atau pun tidak. Terdapat khabar angin yang mengatakan platform ini mendapat “bantuan” daripada kerajaan AS, mereka mampu melemahkan pasaran kripto pada sesuatu masa, dan mengukuhkannya pada masa yang lain. Perkara ini dapat disahkan berdasarkan hakikat bahawa CEO Bakkt Kelly Loeffle memegang jawatan di Washington sebagai Senator dari Georgia.
    Tekanan dari pengawal selia ke atas pasaran digital serta keinginan mereka untuk mengawalnya tidak membantu pertumbuhan sebut harga matawang kripto. Ancaman kerugian teruk yang mungkin dialami turut dirasai pelabur-pelabur besar. Menurut Bloomberg, perkara ini telah menyebabkan penutupan 70 dana terhad matawang kripto dalam tahun 2019. Bilangan dana kripto baru yang dihasilkan turut menurun dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Justeru, ramalan para apologis bitcoin yang menyatakan nilai matawang kripto akan melonjak sekali lagi ke sekitar $20,000 menjelang penghujung tahun ini tidak akan menjadi kenyataan.
    Namun, menurut penganalisis dari Ceteris Paribus, hampir 600 ribu coin BTC (dengan nilai hampir $5 bilion) kekal tidak bergerak sepanjang setahun setengah yang lalu. Perkara ini menjadi harapan bagi pelabur persendirian mengenai lonjakan nilai Bitcoin. Ia mungkin disebabkan oleh Halving-2020. Menurut sesetengah “pakar kripto”, kadar kripto boleh naik sehingga 4000% akibat daripada pengurangan penghasilan ini. Mereka memberikan hujah dengan berkata lonjakan mendadak nilai aset digital yang berlaku selepas pengurangan sebanyak dua kali sebelum ini memberi keuntungan kepada para penghasil. Selepas pengurangan kali pertama, nilainya naik sebanyak 3420%. Naik 4080% lagi selepas pengurangan kali kedua. Namun, apa yang berlaku kepada Litecoin setelah penghasilannya dikurangkan pada penghujung musim panas 2019 menggambarkan anggapan menggunung seperti itu mungkin hanya sia-sia. Memang benar sebut harga LTC mula bertumbuh pada petang sebelum penghasilannya dikurangkan, tetapi tiada apa yang berlaku pada hari kejadian, dan kemudian paras pasangan LTC/USD terus menurun.
    Kembali kepada Bitcoin, katakanlah ramalan kebanyakan penganalisis untuk bulan Disember tidak memberi apa-apa makna kepada pasangan BTC/USD. 65% daripada mereka menjangkakan ia akan berada di zon antara $6,000-6,600. Walau bagaimanapun, sekali lagi diingatkan, semuanya bergantung kepada apa yang berlaku semasa dagangan di Bakkt dibuka. Buat masa ini, Indeks Fear & Greed Kripto masih kekal di paras ketiga terendah, berada pada nilai 29 iaitu ketakutan sederhana para pelabur.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.