Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Statistik di Amerika Syarikat (termasuk ISM dan NFP) dilihat agak optimis. Indeks AS berada pada paras tertingginya yang baru sepanjang lima hari lalu: Dow Jones berada pada 29393 manakala S&P500 pula pada 3345. Penghasilan pesanan di Jerman jatuh 0.5% untuk tiga bulan berturut-turut, mengesahkan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi di Eropah yang berada di ambang kemelesetan. Akibatnya, harapan para pelabur agar pelonggaran kuantitatif (QE) di zon Eropah akan diperluas telah bertambah, dan keyakinan kadar dolar akan terus kekal juga turut meningkat. Perkara tersebut telah dinyatakan sebelum ini oleh Timbalan Presiden Rizab Persekutuan Randal Quarles. Donald Trump juga berkongsi sikap optimis beliau menjelang pilihanraya presiden dengan bersungguh-sungguh mengingatkan para pengundinya tentang kadar pengangguran di AS berada pada paras terendah iaitu 3.5%.
Ingat semula pendapat penganalisis dan juga kebanyakan indikator pada D1 mengenai sebut harga pasangan ini bagi tempoh lima hari sebelumnya, ianya kelabu-neutral: 50-50. Pertama sekali, ia disebabkan oleh kekeliruan yang berlaku mengenai coronavirus. Namun dalam masa yang sama, lebih kurang 15% pengayun pada kedua-dua tempoh masa iaitu H4 dan D1 memberi isyarat bahawa pasangan ini telah dibeli secara berlebihan dan trend ke arah bawah akan berlaku. Analisis grafik pada H4 bersetuju dengan ramalan itu, mengingatkan ia akan kembali berada pada paras sokongan kukuh di antara 1.0990-1.1000.
Inilah yang sebenarnya telah berlaku: pergerakan pasangan tersebut mula berubah dan mencecah paras sokongan yang disebut pada hari Rabu, 5 Februari. Kemudian diikuti dengan pertarungan antara bull dan bear selama 20 jam, dan akhirnya kemenangan menjadi milik bear. Nilai dolar terus meningkat, namun nilai euro terus jatuh. Penurunan kadar jangkitan coronavirus serta sokongan yang diberi Bank Pusat China terhadap pasaran berpihak kepada matawang AS. Akhirnya, setelah memperbaharui paras terendahnya untuk beberapa bulan pada hari Jumaat, 7 Februari, pasangan ini menemui paras terendah setempatnya pada 1.0940 dan mengakhiri sesi dagangan pada 1.0945; - GBP/USD. Seperti euro, nilai pound jatuh berbanding dolar. Kebimbangan terhadap UK yang dilihat tidak mampu untuk mencapai persetujuan bersama EU mengenai perjanjian dagangan semasa tempoh peralihan selepas Brexit menambahkan lagi tekanan.
Sama seperti EUR/USD, sekurang-kurangnya 15% pengayun pada minggu lalu memberi isyarat bahawa pasangan ini telah dijual secara berlebihan, manakala analisis grafik meramalkan penurunan matawang British tersebut pertama sekali hampir pada 1.2970, kemudian ke paras 1.2800. Apa yang berlaku adalah, penurunan tersebut berakhir pada hari Jumaat, 7 Februari, dan ia berada di tengah-tengah julat yang diramal iaitu di sekitar zon 1.2880; - USD/JPY. Penurunan kadar jangkitan coronavirus dan juga harapan tinggi terhadap terhentinya penularan jangkitan tersebut telah mengurangkan permintaan matawang selamat seperti yen Jepun di pasaran. Akibatnya, pasangan ini berjaya melepasi paras yang disebut-sebut iaitu 110.00 pada pertengahan minggu dan kemudian mencecah paras 110.16. Nilainya pulih sedikit selepas itu, dan kedudukan terakhirnya adalah pada 109.75 - berada di zon sokongan/rintangan yang kukuh bagi tempoh sederhana;
- Matawang Kripto. - Januari adalah bulan terbaik bagi Bitcoin sepanjang tujuh tahun lalu. Nilai coin utama ini naik hampir 30 peratus. Jumlah keseluruhan aset bertambah sebanyak $39 bilion. Menurut penganalisis, lonjakan ini berpunca daripada situasi geopolitik. Tempoh pengurangan penghasilannya yang semakin hampir juga memberi kesan. Kali terakhir Bitcoin menunjukkan dinamik pertumbuhan mendadak seperti ini adalah pada Januari 2013. Pada ketika itu nilai coin ini naik sebanyak 54 peratus. Harus diingat pada waktu itu penghasilan aset tersebut juga ingin dikurangkan.
Punca lain yang melonjakkan pasangan BTC/USD ke atas adalah coronavirus. “Pelabur di Asia membeli matawang kripto tanpa henti kerana situasi coronavirus yang mereka hadapi. Bayaran menggunakan matawang dolar mungkin telah disekat, jadi hanya Bitcoin serta coin yang lain adalah satu-satunya cara untuk membuat bayaran,” Vijay Ayyar, salah seorang pengurus terkenal di bursa kripto Luno menjelaskannya di CNBC. Beliau juga berpendapat nilai Bitcoin dipengaruhi oleh pasaran “gelap”. Kebanyakan syarikat dari China telah menghentikan eksport barangan, ini mungkin menjelaskan mengapa skala bayaran bagi aktiviti penyeludupan menggunakan matawang kripto meningkat dengan mendadak.
Tidak kira sama ada disebabkan oleh pengurangan penghasilan, virus mahupun penyeludupan, nilai Bitcoin hampir naik ke paras yang ditunggu-tunggu iaitu $10,000: benar-benar mengikut ramalan penganalisis, kos bagi satu coin mencecah nilai $9,860 pada hari Khamis, 6 Februari.
Seperti biasa, pertambahan nilai matawang kripto utama memberi kesan secara terus terhadap altcoin terkenal: Ethereum (ETH/USD) mencecah $223.9, Litecoin (LTC/USD) - $75.30 manakala Ripple (XRP/USD) – $0.2800.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Sepanjang minggu lalu, hampir kesemua pasangan matawang popular mencecah paras yang diharapkan: EUR/USD(1.1000), GBP/USD (1.3000) dan USD/JPY (110), menjadikan tugas untuk meramalkan pergerakan mereka yang seterusnya lebih sukar disebabkan oleh paras-paras tersebut mampu bertindak sebagai sokongan ataupun rintangan yang kukuh.
Semasa ramalan ini dibuat (Sabtu, 8 Februari), keadaan indikator bagi pasangan EUR/USD sama dengan apa yang kami perhatikan seminggu yang lalu. 100% indikator trend serta 85% pengayun pada H4 dan D1 kini berwarna merah. Baki 15% pengayun pula menunjukkan pasangan ini telah dijual secara berlebihan dan kini menjangkakan pergerakan ke atas.
60% penganalisis, disokong oleh analisis grafik pada H4 percaya bahawa pasangan ini akan terus mengalami penurunan, mensasarkan paras terendah antara November-Disember 2019 di sekitar 1.0880. Jika berjaya, ia akan membuka jalan untuk berada di zon antara 1.0500-1.0800 yang pernah dicapai pada tahun 2015-2017.
Walau bagaimanapun, perspektif berbeza yang dibuat analisis grafik menggambarkan nilai pasangan ini akan pulih daripada paras sokongan 1.0880: pertama sekali ke paras rintangan 1.100, dan kemudian 100 mata lebih tinggi. Majoriti penganalisis (60%) bersetuju pasangan ini akan sekali lagi mencecah paras 1.1100 dan juga 1.1200 bagi jangka sederhana.
Bagi analisis makroekonomi, kita akan beri liputan terhadap beberapa peristiwa penting pada minggu depan. Antaranya adalah penerangan pihak Rizab oleh Jerome Powell kepada Kongres AS, statistik pasaran pengguna di Jerman dan juga Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada 13 dan 14 Februari, serta data KDNK di Jerman dan juga Eurozone yang akan diketahui pada penghujung minggu iaitu pada hari Jumaat, 14 Februari; - GBP/USD. Pada hari Selasa, 11 Februari, data KDNK UK bagi suku ke-4 2019 akan diketahui. Peningkatan kadar yang dijangka adalah sifar, dan ini akan memberi lebih banyak tekanan kepada pound. Perlu diingat situasi mengenai Brexit dan juga polisi kewangan Bank of England telah menyebabkan prospek matawang British menajdi agak kabur. Sekurang-kurangnya, kini pendapat para penganalisis terbahagi kepada tiga kumpulan yang hampir sama nilainya: 30% memilih pertumbuhan, 30% pula memilih penurunan manakala 40% lagi memilih pergerakan pasangan ini ke arah sisi. Bagi jangka sederhana, majoriti penganalisis (65%) masih berharap rundingan dagangan antara Britain dan EU akan menjanjikan kejayaan.
Bagi analisis teknikal, situasinya adalah sama dengan EUR/USD: indikatornya berwarna merah, dan hanya 15% pengayun berada di zon terlebih jual.
Pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 1.2880 - di zon Pivot Point, mengulangi kitaran sama pada penghujung Oktober sehingga awal Disember 2019. Oleh itu, sempadan turun naik paling hampir adalah sempadan koridor yang sama pada tahun lalu - 1.2800 dan juga 1.3000. Namun, penurunan nilai pound sebanyak 320 mata sepanjang lima hari lalu mencadangkan ia mungkin tidak akan kekal di saluran berkenaan. Sasaran bear seterusnya adalah di zon 1.2400-1.2580. Jika trend bertambah baik, kita akan melihat pasangan ini berada di zon 1.2975-1.3200 dengan Pivot Point pada 1.3100. Akibat daripada peningkatan turun naik pasangan ini, amat mustahil untuk meramalkan tanda arasnya (pada Disember 2019, parasnya “terbang” 600 mata dalam masa 10 hari!); - USD/JPY. Jepun adalah sebuah negara yang paling bergantung kepada tenaga disebabkan oleh kurangnya sumber yang dimiliki, terutama sekali sekarang setelah beberapa stesen jana kuasa nuklearnya ditutup, amat ketara negara itu perlu meningkatkan pembelian produk petroleum. Oleh itu, kenaikan mendadak harga minyak sering menyebabkan matawang Jepun menjadi lemah.
Sepanjang minggu lalu, pasaran minyak mengalami peningkatan dalam turun naiknya berikutan jangkaan mengenai keputusan Jawatankuasa OPEC + untuk mengurangkan pengeluaran minyak. Mereka telah memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran kepada 600,000 tong sehari dalam usaha untuk menghentikan kejatuhan “emas hitam” tersebut. Pelonggaran polisi dagangan China juga turut membantu pasaran minyak, khususnya keputusan Beijing untuk mengurangkan duti ke atas barangan AS bernilai $75 bilion. Semua hal ini berkemungkinan besar telah membantutkan pertumbuhan pasangan USD/JPY serta kejatuhan matawang Jepun ke paras 110 yen bagi setiap dolar pada minggu lalu. 60% penganalisis mengunjurkan pasangan ini akan terus bertumbuh, bukan saja turut dibantu oleh faktor ke atas minyak, malah juga situasi coronavirus yang semakin baik.
Walau bagaimanapun, jangan kita lupakan niaga hadapan minyak Brent telah turun hampir 21% sejak 6 Januari – daripada $68.91 kepada $54.45, dan ini memberikan baki 40% penganalisis sebab mengapa mereka memihak kepada matawang Jepun.
Situasi bagi analisis teknikal adalah seperti berikut. Bagi tempoh masa H4, 80% pengayun serta 75% indikator trend menunjukkan arah atas, manakala bagi D1 pula, 85% pengayun serta 90% indikator trend menunjukkan warna hijau. Ternyata ia memberi kelebihan penuh terhadap sentimen bullish.
Analisis grafik pada H4 menunjukkan penurunan pasangan ini ke zon di antara 109.10-109.30, paras sokongannya berada pada 108.30 dan juga 107.65. Gambaran yang sebaliknya ditunjukkan pada D1: pertama, pertumbuhan ke paras 110.80-111.30, dan kemudian ke paras 111.70. Rintangan paling hampir adalah pada 1.2575. - Matawang Kripto. Jadi, nilai Bitcoin kini berada pada kadar tertinggi sepanjang 3 bulan. “Hati-hati dengan perubahan trend!” - 20% penganalisis memberikan amaran. Melihat pada epidemik coronavirus, hubungan antara AS dan China mungkin akan stabil hingga menyebabkan permintaan matawang fiat oleh para pelabur mula meningkat. Jika ini berlaku, nilai Bitcoin akan jatuh dengan teruk. Walaupun tanpa coronavirus, kedua-dua gergasi industri ini sedang mengambil langkah untuk menamatkan perang dagangan. Namun berapa besarkah kesannya terhadap nilai Bitcoin?
80% penganalisis percaya penurunan mendadak (di bawah paras $9,100) tidak akan berlaku, dan tidak lama lagi pasangan ini akan mencecah paras $10,450. Mungkin mencecah paras $12,300 selepas itu. Pengasas bersama Fundstrat Global Advisors, Thomas Lee, meramalkan pertumbuhan yang lebih tinggi. Beliau berpendapat, purata hasil Bitcoin akan mencapai 200% dalam masa enam bulan akan datang.
Tetapi, menjadi kebiasaan nilainya akan turun apabila semua orang berpendapat yang sebaliknya. Justeru, kami berharap anda tidak akan mengendahkan ramalan 20% penganalisis yang meminta supaya lebih berhati-hati.
Roman Butko, NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali