Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 20 - 24 April, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Bilangan permohonan manfaat bagi mereka yang menganggur di Amerika Syarikat adalah berjumlah 22 juta sepanjang empat minggu lalu. Sebagai perbandingan, angka ini kekal pada paras 930 ribu bagi tempoh beberapa tahun sebelumnya. Dengan kata lain, kadar pengangguran di sana telah meningkat 23 kali ganda! Bilangan pekerja di AS sedikit melebihi 150 juta, justeru kerugian akibat daripada krisis COVID-19 menghampiri 15% untuk semua jenis pekerjaan.
    Bank-bank utama seperti Morgan Stanley dan JP Morgan telah memperbaharui ramalan mereka dengan mengunjurkan kejatuhan ekonomi AS mungkin akan mencecah 40%. Manakala ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis, James Boulard pula menyatakan satu daripada tiga orang rakyat Amerika akan kehilangan kerja tidak lama lagi.
    Perkara yang sama juga berlaku di Eropah, dan ini telah menghalang pasangan EUR/USD daripada mengalami turun naik yang mendadak. Tindakan yang diambil oleh pentadbiran Trump dan juga Rizab Persekutuan A.S. bagi menggalakkan ekonomi A.S. juga membantu dolar. Hasilnya, turun naik maksimum pada minggu lalu adalah kurang daripada 180 mata, nilai yang boleh dianggap rata buat masa ini. Bagi paras terakhir sebut harganya, nilainya adalah lebih rendah: pasangan ini hanya rugi 70 mata dalam tempoh lima hari, mengakhiri sesi pada paras 1.0870;
  • GBP/USD. Matawang British juga menunjukkan “ketenangan”, walaupun IMF dan juga ramalan domestik telah menyatakan bahawa ekonomi di Britain mungkin antara yang paling banyak menerima kesan akibat wabak, dan nilai KDNK untuk suku kedua mungkin akan menyusut sehingga mencecah 35 peratus. Pasangan GBP/USD kembali ke paras 1.2500 berkali-kali untuk tiga minggu berturut-turut. Menurut sebilangan penganalisis, walaupun kini semua pelabur lebih tertumpu kepada S&P500 serta dolar, urusniaga matawang pound ditangguhkan selepas nilainya jatuh pada Mac dekad kedua lalu dan kemudian mengalami pembetulan.
    Seperti yang diramal oleh analisis grafik pada H4, nilai pound naik pada permuulaan minggu dan mencecah ketinggian 1.2650, kemudian beralih arah lalu turun menghampiri paras 1.2400. Paras terakhirnya berada pada Pivot Point selama tiga minggu iaitu 1.2500;
  • USD/JPY. 60% penganallisis mengunjurkan penyusutan berterusan nilai dolar serta kejatuhan pasangan ini ke paras sekitar 107.00 pada minggu lalu. Ternyata ramalan ini adalah 100% tepat: pasangan ini mencecah paras sasarannya pada hari Rabu, 15 April, selepas itu nilainya sedikit pulih dan bergerak ke arah sisi di saluran sempit antara 107.15-108.05, kemudian mengakhiri lima hari dagangan dengan berada di bahagian tengah pada paras 107.60;
  • Matawang Kripto. Semuanya telah tersebar pada minggu lalu berkenaan pertambahan bilangan alamat yang menyimpan coin melebihi 1000 BTC dan kini jumlahnya mencapai rekod tertinggi dalam tempoh dua tahun. Penganalisis agensi GlassNode berkata pemilik matawang kripto telah membuka posisi secara aktif sejak dua minggu lalu bagi menghadapi proses pengurangan penghasilan coin utama tersebut. Mereka berpendapat, kebanyakan pelabur meletakkan harapan tinggi nilai bitcoin akan melonjak sekurang-kurangnya dua kali. Namun, penganalisis GlassNode menegaskan bahawa bergantung kepada ramalan seperti itu hanyalah sia-sia kerana situasi krisis akibat COVID-19 kian berubah hari demi hari.
    Sindiket penipuan kripto juga semakin aktif akibat daripada wabak ini. Pihak FBI telah menyusun senarai jenis-jenis penipuan yang paling biasa dilakukan termasuklah memeras ugut dengan ancaman menggodam data peribadi serta meminta derma dengan alasan untuk menentang coronavirus.
    Apa yang menariknya, walaupun terdapat pertambahan bilangan transaksi alamat-alamat matawang kripto sindiket penipuan, hasil yang mereka perolehi semakin berkurangan. Menurut Chainalysis, jumlah wang yang diterima para penipu ini tidak lebih $400 ribu setiap hari pada bulan April, berbanding dua kali ganda jumlahnya pada bulan Januari.
    Kami sedar dalam ramalan sebelum ini, matawang kripto utama gagal untuk berada pada paras melebihi $7,000 sejak 20 Mac lalu. Minggu lalu juga tidak terkecuali. Pertarungan antara bull dan bear terus berlaku dan memberikan hasil yang pelbagai, mengekalkan matawang kripto ini di saluran antara $6,550-7,180. Bagi jumlah keseluruhan modal pasaran kripto pula, tiada banyak yang berubah sepanjang seminggu dan nilainya berada di sekitar $200 bilion. Indeks Fear & Greed Kripto juga tidak banyak berubah. Nilainya kini berada pada bacaan 15 daripada keseluruhan 100 mata, dan itu menunjukkan masih terdapat perasaan takut di pasaran.
    Altcoin terkenal seperti Ripple (XRP/USD), Litecoin (LTC/USD) dan Ethereum seperti biasa menuruti segala pergerakan matawang kripto utama. Ethereum menunjukkan sedikit perbezaan apabila terdapat peningkatan sebanyak 6.5% sepanjang tempoh tujuh hari.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Jika pasaran jangka sederhana dilihat agak lembap, tindakan jangka pendek bagi menghidupkan semula ekonomi A.S seperti yang diumumkan oleh Presiden Trump telah menunjukkan impak positif. Penurunan kadar jangkitan coronavirus di Amerika Syarikat turut membantu. Setelah menolak data makroekonomi serta ramalan, sebilangan pelabur berasa optimis dengan masa hadapan. Mereka menjadikan China sebagai contoh dengan menyatakan 100% syarikat besar serta lebih kurang 80% industri kecil telah kembali beroperasi seperti sedia kala.
    Buat masa ini, 60% penganalisis yang mendapat 65% sokongan indikator pada H4 serta D1 mengunjurkan pengukuhan nilai dolar serta penurunan pasangan ini ke paras 1.0750. Sasaran berikutnya adalah lebih rendah daripada 1.0635. Baki 40% penganalisis masih ragu-ragu dengan dolar, mereka menjangkakan pasangan ini akan bertumbuh sekurang-kurangnya ke paras 1.1000, dan mungkin 100 mata lebih tinggi selepas itu.
    Aktiviti perniagaan di Jerman dan juga Eurozone serta permohonan manfaat bagi penganggur di Amerika Syarikat adalah antara perkara yang akan berlaku pada minggu depan. Kesemua data-data ini akan dikeluarkan pada hari Khamis, 23 April. Dinamik pesanan bagi barangan tahan lama di AS yang akan diketahui pada hari Jumaat, 24 April pula boleh mempengaruhi pembentukan trend semasa;
  • GBP/USD. Bukan saja indikator perniagaan di Jerman dan Eurozone akan kita ketahui pada hari Khamis, 23 April, malah di UK juga. Selain itu, data bagi pengangguran akan dikeluarkan pada hari Selasa, 21 April, manakala data indeks harga pengguna pula pada hari Rabu, 22 April.
    Seperti yang dinyatakan di atas, jika melihat pada ramalan, negara ini adalah antara negara yang paling terkesan dengan coronavirus, dan pengangguran yang sedang dialami sekarang mampu mencapai nilai yang hampir sama dengan Amerika Syarikat. Risiko berkenaan politik dan ekonomi yang berkaitan dengan Brexit masih lagi ada, kebanyakannya belum lagi selesai. Walau bagaimanapun, para pelabur mengharapkan perpisahan akhir dengan EU akan ditunda untuk satu tempoh yang agak lama, atau sekurang-kurangnya negara kepulauan itu masih boleh lagi berdagang secara baik dengan Eropah jika melihat pada situasi yang berlaku sekarang.
    Dalam situasi yang tidak menentu sekarang ini, ramalan mingguan serta bulanan para penganalisis juga hampir tidak meyakinkan: 15% daripada mereka memilih pertumbuhan pasangan ini, 25% - penurunannya, manakala 60% lagi tidak menyatakan pendapat masing-masing. Bacaan indikator pada H4 juga neutral, manakala 75% pengayun serta 60% indikator trend pada D1 berwarna hijau.
    Gambaran yang ditunjukkan oleh analisis grafik pula agak berbeza: pada H4 dan D1, pada mulanya ia menunjukkan penurunan ke paras sokongan masing-masing iaitu 1.2335 dan 1.2200, kemudian kedua-duanya kembali ke paras 1.2500 dan 1.2650;
  • USD/JPY. Paras 107.00 telah menjadi satu zon sokongan/rintangan yang kuat bagi yen untuk tahun-tahun yang mendatang. Pasangan ini telah banyak kali bergerak hampir dengan paras tersebut pada beberapa hari lalu. Majoriti penganalisis (70%) meramalkan pasangan ini akan sekali lagi cuba untuk melepasi dari arah atas, dan jika berjaya, ia akan turun ke paras hampir dengan 105.80. Sasaran mereka yang seterusnya adalah pada 105.00 dan 104.40.
    Mereka yang berbeza pendapat (30% jumlahnya) percaya bahawa selepas berlakunya perkara-perkara dramatik antara Februari-Mac lalu, nilai yen akan kembali ke koridor antara 107.60-110.00 dan ia akan kekal di situ untuk beberapa minggu. Paras rintangan paling hampir berada pada 108.40.
    Indikator pada kedua-dua tempoh masa mencadangkan untuk membuka posisi short, namun 15% pengayun sudahpun memberi isyarat bahawa pasangan ini mempunyai lebihan jualan;

  • Matawang Kripto. - Dalam temubual bersama Bloomberg TV, ketua Galaxy Digital Mike Novogratz berkata masa untuk Bitcoin menyerlah telah tiba. Tinggal kurang daripada sebulan lagi sebelum pengurangan penghasilannya akan dimulakan, dan sebab itulah para pelabur harus bersedia untuk sebarang perubahan mendadak dalam kos penghasilan matawang kripto utama itu, dan jika senario perkongsian keuntungan bagi penghasil yang optimis berlaku, inilah masanya untuk membeli bitcoin. “Jika trend ini berterusan, jumlah modal pasaran bitcoin akan naik mendadak sebelum bermulanya pengurangan penghasilan”, jelas jutawan itu.
    Berkenaan dengan pertambahan populariti aset digital pula, Mike Novograts menjadikan China sebagai contoh, apakah kesannya terhadap bitcoin jika matawang yuan juga dihasilkan dalam bentuk digital? Mungkin ia akan menarik sebahagian besar dana pelabur terutama sekali warga China. Justeru, tidak semuanya indah berkenaan dengan prospek matawang kripto utama ini.
    Tambahan pula, pihak berkuasa AS yang ingin pasaran sekuriti pulih semula juga mampu menghalang pertumbuhan bitcoin. “Negara AS cuba sedaya upaya mereka untuk membina ekonominya semula, namun proses itu mungkin akan terbantut disebabkan oleh wabak dan beberapa faktor penting lain, termasuklah penyusutan nilai dolar. Akibat sokongan yang dibuat terhadap pasaran fiat, Bitcoin tidak lagi menerima sokongan para pelabur,” jelas Dan Topier, seorang ahli kewangan. Pada pandangan beliau, penurunan nilai bitcoin sebanyak 20% dalam bulan Mac dengan satu-satunya lonjakan sebanyak 50% menunjukkan bahawa hubung kait antara pasaran aset digital dengan pasaran sekuriti telah bertambah. Hubung kait antara coin utama itu dengan emas nampaknya sudah mula berkurangan.
    Kembali kepada ramalan mingguan dan kebarangkalian pasangan BTC/USD akan melepasi paras rintangan pada nilai $7,000, kami tekankan bahawa 60% penganalisis memilih pertumbuhan pasangan ini ke zon di antara $7,200-7,800. Apa yang menariknya, tidak seperti Mike Novogratz, tiada seorang pun penganalisis yang menjangkakan peningkatan berganda matawang kripto utama itu akibat daripada pengurangan penghasilannya. Nilai tertinggi yang diramalkan hanyalah pada nilai $9,000, manakala 35% lagi penganalisis mengunjurkan penurunan sebut harganya di antara nilai $5,700-6,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.