Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 20 - 24 Julai, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Hubungan antara Beijing dan Washington terus tegang, manakala serangan coronavirus menambah lagi kesukaran. 1.3 juta orang sudah memohon manfaat pengangguran utama di Amerika Syarikat pada minggu lalu. Bagi lebih daripada 17.3 juta penduduk, ini bukanlah kali pertama mereka menerimanya, dan jumlahnya adalah 10 kali lebih banyak berbanding sebelum berlakunya krisis. Namun dalam masa yang sama, selera risiko para pelabur masih lagi ada, pasaran saham terus berkembang. Indeks S&P500 telah mengalami kenaikan sejak 23 Mac dan kini sudahpun hampir dengan paras tertinggi yang dicapai pada bulan Februari. Nasdaq 100 pula telah memecahkan kesemua rekod, kini kedudukannya berada di atas paras 10,650.
    Sesetengah penganalisis menganggap ia disebabkan oleh unjuran terhadap pemulihan ekonomi selepas krisis yang agak lemah. Para pelabur menjangkakan kesan yang akan membinasakan, namun apa yang berlaku tidaklah begitu teruk, dan 80% daripada syarikat yang dilaporkan telah menunjukkan hasil yang amat optimis, menambah lagi selera terhadap aset berisiko.
    Di tengah-tengah pertumbuhan pasaran saham, dolar AS sebagai matawang selamat tidaklah begitu menarik. Jika pada bulan Mac nisbah yang ditunjukkan di indeks USDX adalah 103 untuk dolar berbanding enam matawang paling utama (EUR, JPY, GBP, CAD, SEK dan CHP), kini bacaannya telah turun di bawah 95.
    Nilai dolar juga menyusut berbanding matawang Eropah. Paras EUR/USD semakin meningkat sejak hari Isnin. Walau bagaimanapun, ia gagal mencecah ketinggian 1.1500 seperti yang diramal kalkulator kebarangkalian Bloomberg, terhenti pada paras 1.1450 pada hari Rabu, 15 Julai. Sehari selepas itu, setelah mesyuarat ECB pada 16 Julai, parasnya pulih sedikit, namun nilai matawang dolar susut semula, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.1435;
  • GBP/USD. Kurangnya sebarang petunjuk penting pada minggu lalu telah mengakibatkan matawang British ini bergerak mengikut trend mendatar, perlahan-lahan mengalami penyatuan di zon 1.2560. Pasangan ini gagal untuk naik di atas garis rintangan 1.2670 dan turun di bawah paras 1.2480, justeru paras terakhirnya berada hampir di tengah-tengah koridor tersebut: 1.2570;
  • USD/JPY. Peratusan matawang Jepun pada USDX tidaklah begitu besar - hanya 13.6%, namun sesetengah penganalisis menganggap pergerakan pasangan USD/JPY adalah satu indikator yang baik dalam menentukan selera risiko di pasaran. Walau bagaimanapun, perlu diingat semasa wabak COVID-19 melanda, matawang dolar terus mengukuhkan kedudukannya sebagai aset selamat, menyukarkan lagi untuk menggunakannya sebagai indikator. Ia hampir tidak memberikan sebarang isyarat pada minggu lalu. Pasangan ini memperlihatkan trend mendatar klasik dalam bentuk dua gelombang parabolik di antara 106.65-107.40, mengakhiri sesi dagangan di tengah-tengah saluran itu, hampir pada paras 107.00
  • Matawang Kripto. Berita minggu ini: Penggodaman ke atas Twitter yang terbesar dalam sejarah telah berlaku pada malam 16 Julai. Penipu kripto telah menggodam lebih daripada 50 akaun, termasuklah profil CEO Tesla dan Space X iaitu Elon Musk, pengasas Microsoft Bill Gates, CEO Amazon Jeff Bezos, penyanyi Kanye West, bekas Presiden AS Barack Obama, calon presiden parti Demokrat Joe Biden, jutawan lagenda Wall Street Warren Buffet, serta Bloomberg, Apple dan juga Uber, profil rasmi Bitcoin, Ripple, Cash App, Coindesk, Coinbase serta Binance. Laporan mengatakan profil-profil tersebut memaparkan pemberian bitcoin secara percuma. Modus operandi yang digunakan kumpulan penipu ini adalah sangat klasik: mereka meminta orang ramai memberi sejumlah matawang kripto, dan berjanji untuk menggandakannya sebagai pulangan.
    Walaupun pemilik sebenar akaun serta para pekerja di platform rangkaian sosial tersebut cuba untuk memadamkannya, ianya akan muncul semula. Malah pengesahan dua faktor yang digunakan oleh kebanyakan akaun ini juga tidak membantu.
    Kebanyakan orang menganggap serangan tersebut sebagai serangan terancang ke atas bitcoin dan Twitter, dimana pengasasnya adalah salah seorang penyokong matawang kripto pertama yang terkenal. Namun, ia tidak memberi sedikit kesan pun terhadap bitcoin. Bear telah gagal untuk melepasi paras $9,000, dan pasangan BTC/USD naik ke paras $9,180 pada petang 17 Julai.
    Matawang kripto utama terus mengalami penyatuan nilai selepas penghasilannya dikurangkan pada bulan Mei, amplitud turun naiknya tidak melebihi $350 pada minggu lalu, dan ditambah pula dengan penyusutan jumlah dagangan kepada $15bilion, ini menunjukkan kebanyakan pelabur tidak lagi tertarik dengan keadaan semasa: tiada sebab untuk mereka membuka posisi long mahupun short. Indeks Fear & Greed Kripto bagi Bitcoin berada pada bacaan 41 untuk tiga minggu berturut-turut.
    Terdapat satu lagi versi yang agak menarik. Menurut Paolo Ardoino, pengarah teknikal bursa kripto Bitfinex, punca penyusutan turun naik bitcoin mungkin disebabkan oleh pertambahan bilangan syarikat yang terlibat dalam dagangan berfrekuensi tinggi (high-frequency trading, atau HFT). Menurut pandangannya, 80-90% volum dagangan yang dijalankan di Bitfinex bagi pasangan BTC/USD serta ETH/USD adalah daripada jenis transaksi tersebut.
    Bercakap mengenai Ethereum. Berulang kali telah kami tuliskan mengenai pertambahan minat para pelabur terhadap altcoin ini, sebut harganya juga telah bertambah kira-kira 80% sejak awal 2020. Selain itu, ETH juga menunjukkan pertambahan bilangan walet yang aktif sebanyak dua kali ganda dan ia mendahului BTC jika mengikut indikator tersebut. Walau bagaimanapun, untuk altcoin itu mengejar matawang kripto utama, Ethereum memerlukan pertambahan modal pasaran kira-kira 6 kali ganda, dan sudah semestinya, ia agak mustahil untuk dicapai dalam masa terdekat ini.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pada 16 Julai, pihak ECB telah membuat keputusan untuk mengekalkan kadar faedah mereka pada 0.0%. Bank of Japan mengambil tindakan yang sama sehari sebelumnya dengan tidak mengubah kadar tersebut yang kini berada pada paras negatif iaitu -0.1%. Sudah semestinya kadar inflasi serta penggubal dasar manakah yang akan menaikkan kadar faedah mereka dengan segera selepas berakhirnya wabak akan memainkan peranan yang amat penting. Sebelum perkara itu berlaku, faktor-faktor yang berkait rapat dengan COVID-19 akan terus menjadi aspek utama dalam sentimen pasaran.
    Jika diingat hasil daripada kalkulator kebarangkalian Bloomberg pada minggu lalu, berdasarkan pada pasaran pilihan, bacaannya menunjukkan pasangan EUR/USD berkemungkinan besar akan berada di atas paras 1.1500 berbanding turun di bawah paras 1.1200. Kini ramalan tersebut dipersetujui oleh 80% penganalisis, dengan zon di antara 1.1470-1.1530 menjadi sasaran mereka. Hanya 20% saja yang mengandaikan pasangan ini akan turun ke paras sekitar 1.1200-1.1300.
    75% pengayun serta 95% indikator trend pada H4 dan D1 juga berwarna hijau. Baki 15% pengayun menunjukkan ia memiliki lebihan belian. Analisis grafik pada H4 turut menjangkakan pertumbuhan pasangan ini ke paras 1.1500, dan menurut pada bacaannya, pasangan ini akan kembali ke zon 1.1385 selepas itu.
    Terdapat satu bentuk strategi - berdagang “melawan kehendak orang ramai” yang bermaksud lihat ke manakah arah tujuan sebahagian besar pelabur, dan bertindak mengikut arah sebaliknya. “Atas sebab tertentu” strategi itu melintas di kepala semasa melihat pada sentimen yang berada dalam keadaan “baik-baik belaka” dan mendapat sokongan hampir sebulat suara...

  • GBP/USD. Majoriti penganalisis (70%) menjangkakan permintaan pasaran terhadap aset selamat seperti dolar akan terus berkurang, dan ia akan membantu pasangan GBP/USD untuk meneruskan pergerakannya ke arah atas yang bermula sejak 30 Jun lalu. Sasaran utamanya adalah paras tertinggi yang dicapai pada 10 Jun iaitu 1.2810, dan paras rintangan pula berada pada paras 1.2670 serta 1.2740. Sentimen bullish mendapat sokongan 60% pengayun dan indikator trend pada D1. Bagi bacaan pada tempoh masa H4, terdapat kekeliruan akibat daripada trend mendatar yang berlaku pada minggu lalu.
    Baki 30% penganalisis menyokong penurunan pasangan ini. Paras sokongannya: 1.2480, 1.2350 and 1.2250;
  • USD/JPY. Selain daripada lintasan yang berlaku pada 2-5 Jun lalu, pasangan ini telah bergerak di sepanjang koridor lateral di antara 106.00-108.10 selama 14 minggu, dan menurut penganalisis, ia akan kekal berada pada julat itu. Lebih-lebih lagi, saluran ini telah menyusut sedikit pada minggu lalu, kini julatnya hanyalah sebanyak 75 mata. Dalam keadaan seperti ini, pendapat para penganalisis terbahagi sama rata, 50% memihak bear manakala 50% lagi memihak bull, namun indikator pada D1 lebih memberi keutamaan kepada bear: 85% pengayun serta 100% indikator trend adalah berwarna merah.
    Mereka ditentang oleh 15% pengayun yang memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan jualan manakala analisis grafik pada H4 dengan yakin menunjukkan paras 108.10 adalah paras yang akan dicapai;
  • Matawang Kripto. Seperti biasa, pertama sekali adalah ramalan oleh pakar kripto. - Max Keiser, pengasas Heisenberg Capital menyatakan bagaimana keadaannya apabila matawang kripto utama akan menghapuskan coin-coin yang lain, serta coin manakah yang benar-benar “sampah”. Nilai Bitcoin akan mencecah $100,00, jelas jutawan itu semasa rancangan Keiser Report ditayangkan di saluran Russia Today. Beliau menjelaskan bahawa matawang kripto pertama itu akan menamatkan kesemua projek yang akan dilancarkan pada tahun ini dan juga tahun hadapan, termasuklah token XRP, dan jika mengikut pendapat beliau, token tersebut memang benar-benar “sampah”. Keiser sangat-sangat mengkritik projek yang mendapat pembiayaan dari kerajaan AS semasa krisis melanda. Terdapat 75 syarikat yang terlibat dalam bidang blockchain dan juga matawang kripto yang turut disenaraikan.
    Ramalan yang agak sederhana telah diberikan oleh penulis buku ekonomi tersohor iaitu Robert Kiyosaki, beliau menyatakan pasangan BTC/USD mampu mencapai paras $75,000 dalam tempoh tiga tahun lagi.
    Namun penganalisis di Weiss Crypto berpendapat nilai bitcoin akan mencecah $70,000 menjelang 2021. Perkara ini boleh ditunjukkan dengan model Stock-to-Flow yang dipilih oleh matawang kripto utama itu sendiri. Ia diguna untuk mengukur nisbah nilai sesuatu aset kepada pertumbuhan tahunannya. Malah, jika sebut harga coin tidak berubah sekalipun, ia tetap menjanjikan pulangan untuk pelaburan jangka panjang.
    Menurut para penganalisis, jika model Stock-to-Flow dikekalkan, nilai bitcoin akan menghampiri paras $50,000 menjelang hujung tahun ini. Sedikit pembetulan ke arah bawah mungkin akan berlaku pada bulan Januari, dan ia berlaku hampir setiap tahun. Kemudian diikuti pula dengan dinamik positif, namun ia mungkin akan berakhir dengan paras penurunan yang lebih rendah. Jika para pedagang serta pelabur berjaya mengatasi kerugian yang dialami dan tidak mula menjual bitcoin secara besar-besaran, nilai coin utama itu adalah kira-kira $70,000 menjelang pertengahan tahun depan.
    Bagi ramalan minggu hadapan pula, majoriti penganalisis (55%) telah mengunjurkan kenaikan paras pasangan ini ke zon di antara $9,400-9,700. 10% penganalisis pula memilih pergerakan mendatar pasangan ini di saluran $9,000-9,400, manakala baki 45% lagi berpendapat ia mungkin akan turun ke zon $8,400-8,700.
    Akhir sekali, bagi mereka yang ragu-ragu, terdapat berita yang mendakwa nilai bitcoin akan turun ke paras sifar. “Mustahil perkara itu akan berlaku!” – itulah yang dialami usahawan kripto Alistair Milne dan beliau mengambil keputusan untuk membeli 18.52 juta BTC pada harga 1 sen bagi setiap 1 coin ($174 bilion jika mengikut kadar tukaran semasa) di bursa Bitfinex. “Dengan ini saya akan pastikan nilai bitcoin tidak akan turun ke paras sifar,” jelas Milne. “Saya beli kesemuanya dengan harga $0.01.” Jumlah yang Milne perlu bayar adalah sebanyak $185,000 - kini jumlah itu hanya boleh membeli kira-kira 20 coin saja.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.