Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 17 - 21 Ogos, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Memetik data yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, para optimis menyatakan kadar pemulihan ekonomi di AS sedang mendapat momentum. Pasaran buruh yang dilanda wabak kini mula pulih dan mungkin sudah melepasi peringkat paling teruk dalam krisis. Kadar pengangguran turun kepada 10.2% pada bulan Julai (berbanding 15% iaitu kadar tertingginya pada April). 1.8 juta orang kembali bekerja pada bulan Julai, trend yang dilihat berterusan untuk tiga bulan berturut-turut.
    Namun dalam masa yang sama, daripada 21 juta peluang pekerjaan yang hilang sepanjang Mac-April, hanya 43% atau 9 juta saja yang berjaya diwujudkan semula sepanjang tiga bulan lalu. 15.5 juta orang rakyat Amerika masih lagi menerima manfaat pengangguran, jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar maksimum pada krisis kewangan global yang berlaku sebelum ini (6.6 juta).  
    Pasaran sedang menunggu peringkat QE yang seterusnya - melambakkan ekonomi dengan likuiditi dan juga langkah rangsangan fiskal yang lain, namun pihak Demokrat dan Republikan gagal untuk mencapai kata sepakat di dalam Kongres. Presiden Trump enggan memberi lebih banyak pakej bantuan kepada rakyat Amerika kerana beliau percaya tindakan tersebut akan menyebabkan mereka sentiasa bergantung kepada pihak kerajaan. Namun beliau sanggup untuk mencapai kesepakatan bersama Demokrat dengan syarat undi pos bagi pilihanraya presiden AS yang akan datang dibatalkan.
    Rundingan masih berjalan, dalam situasi yang tidak menentu seperti itu, pasaran mengambil langkah tunggu dan lihat. Walaupun indeks S&P500 terus berkembang, ianya tidak berjalan secara aktif. Hasil bon Perbendaharaan AS selama 30 tahun dilihat memberi pulangan setelah seminggu dilelong, namun susut semula selepas itu akibat penurunan sentimen risiko di Eropah yang dikaitkan dengan keadaan epidemiologi yang semakin teruk serta data pengangguran yang membimbangkan. Data makroekonomi terkini dari China yang mengecewakan juga tidak membantu kepada pertumbuhan sentimen risiko.
    Secara umumnya, ketaktentuan masih lagi wujud di mana-mana sektor. Disebabkan itu, kedua-dua bull dan bear memilih untuk tidak bertindak aktif, hanya membuat pergerakan santai. Pasangan EUR/USD tidak mampu untuk melepasi koridor sisi antara 1.1700-1.1910 sejak tiga minggu lalu, manakala sempadan turun naiknya pula makin menyusut, 1.1710-1.1865, kemeruapan maksimum tidak melebihi 155 mata, dan kedudukan terakhirnya pada minggu ini berada pada paras 1.1840;
  • GBP/USD. Ramalan yang dikeluarkan tujuh hari lalu ternyata hampir menyamai dengan apa yang berlaku: KDNK di UK bagi suku kedua turun sebanyak 20.5%. (Sebagai perbandingan, ekonomi di Eurozone turun sebanyak 12.1% dalam suku yang sama). Namun perkara ini tidak memberi kesan terhadap nilai pound. Seperti yang telah disebutkan, pasangan GBP/USD baru-baru ini sudah tidak bergerak sendiri dan hanya mengikut pergerakan EUR/USD sepenuhnya. Justeru, jika ia bergerak secara mendatar di antara paras 1.2980-1.3185 pada dua minggu lalu, kini julat dagangannya semakin kecil di antara 1.3000-1.3140, dan paras terakhir pasangan ini ialah 1.3085; 
  • USD/JPY. Jika diingat pada minggu lalu, kebanyakan penganalisis yang disokong oleh analisis grafik pada H4 telah menjangkakan pasangan ini akan cuba untuk melepasi paras 106.40 sekali lagi, dan jika berjaya, ia akan terus bergerak dan tidak terhenti pada paras tersebut. Inilah sebenarnya yang berlaku: kedudukana pasangan ini naik disebabkan oleh pertumbuhan nilai hasil sekuriti Perbendaharaan AS selama 30 tahun, melepasi paras rintangan 106.40, dan mencecah ketinggian 107.00. Walau bagaimanapun, pertumbuhan nilai dolar terbantut tidak lama selepas itu, dan pergerakan pasangan ini turut berubah, menghabiskan tempoh lima hari dagangan di zon dengan paras sokongan/rintangan yang kukuh iaitu 106.60;
  • Matawang Kripto. Bitcoin gagal melepasi paras $12,000 untuk dua minggu berturut-turut. Seperti yang biasa berlaku, terdapat sekali lagi percubaan dibuat sepanjang malan Ahad hingga Isnin namun ia berakhir dengan kegagalan. Selepas itu, seperti kebiasaannya, berlakunya penurunan mendadak dan mengakibatkan pasangan BTC/USD secara praktikalnya mencecah paras $11,000 pada hari Rabu, 12 Ogos. Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa sekitar paras tersebut kini menjadi paras sokongan kukuh yang baru buat bitcoin, dan ia sama sukarnya untuk matawang kripto utama tersebut lepasi seperti paras rintangan $12,000.
    Penurunan nilai Bitcoin telah disebabkan oleh peningkatan hasil bon kerajaan AS serta penurunan nilai emas kira-kira 10 peratus. Dalam masa yang sama, keadaan BTC secara keseluruhannya dilihat agak baik. Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto bertambah sebanyak $13 bilion dalam tempoh tujuh hari, menghampiri $370 bilion. Dana Grayscale saja memperoleh $1 bilion dalam masa 10 hari, jumlah itu adalah lebih besar berbanding jumlah yang diperolehi untuk keseluruhan suku kedua 2020. MicroStrategy Incorporated, salah sebuah peneraju dalam risikan perniagaan telah mengisytiharkan bahawa aset utama rizab mereka adalah Bitcoin dan membuat pembelian sebanyak 21,454 BTC yang berjumlah $250 juta. Komen CEO syarikat itu, Michael Saylor berkenaan dengan tindakan tersebut, “Bitcoin, menurut pendapat mereka adalah suatu jenis cara penyimpanan yang boleh dipercayai serta aset pelaburan menarik dengan potensi pertumbuhan jangka panjang yang melangkaui wang tunai."
    Menjelang petang Jumaat, 14 Ogos, Bitcoin memperoleh semula kedudukannya dan kembali ke paras permulaan pada hujung minggu lalu - di zon $11,750, tiada sebarang pertumbuhan yang ditunjukkan. Namun berlainan pula dengan ethereum, prospek yang telah berulang kali kami tekankan, sekali lagi ia menggembirakan para pelaburnya, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 13% serta mencapai kedudukan di atas paras $400. Sebelum terlupa, dana GrayScale yang dinyatakan di atas juga menunjukkan minat secara aktif terhadap altcoin terkenal ini, dan mereka telah menghantar permohonan kepada pihak SEC (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS) untuk mendaftar dalam amanah Ethereum.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Hanya pergerakan berterusan sama ada ke bawah mahupun ke atas di saluran antara 1.1700-1.1910 saja yang mampu memberi gambaran jelas mengenai trend dominan bagi pasangan ini. Selain itu, walaupun dengan aktiviti yang semakin berkurangan, indikator trend terus menunjukkan pertumbuhan - 100% pada H4 dan 85% pada D1. Gambaran dikalangan pengayun pula adalah sedikit berbeza. Walaupun 75% daripada mereka di H4 dan 70% lagi pada D1 masih berwarna hijau, baki daripada peratusan tersebut sudahpun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian, dan ia mungkin memberi isyarat kuat mengenai perubahan arah trend ataupun pembetulan ke arah bawah dalam skala yang besar.
    Analisis grafik pada H4 menunjukkan pergerakan berterusan secara mendatar di antara 1.1700-1.1910. Namun jika mengikut unjuran pada D1, setelah mula bergerak dari paras sokongan pada 1.1700, pasangan ini akan terus naik ke atas - mula-mula ke paras rintangan 1.1960, dan kemudian ke paras 1.2100.
    30% penganalisis juga menjangkakan nilai dolar akan terus menyusut serta pertumbuhan pasangan ini. Manakala 25% penganalisis lagi bersetuju dengan ramalan analisis grafik pada H4. Baki 45% pula menunggu pasangan ini kembali ke paras sokongan 1.1450 pada awalnya, dan kemudian turun ke zon 1.1240. Hal ini akan berlaku, namun bukan serta-merta, ia akan mengambil masa beberapa minggu. Lebih-lebih lagi, senario tersebut telah mendapat sokongan daripada hampir 60% penganalisis untuk jangka sederhana;
  • GBP/USD. “Matawang euro dan pound adalah sama” - inilah ramalan untuk pasangan GBP/USD pada minggu ini. Baiklah, jika tidak sama, mungkin agak serupa. Seperti yang berlaku kepada EUR/USD, 45% penganalisis memilih pergerakan pasangan ini ke bawah pada minggu depan, manakala jumlahnya naik kepada 60% untuk jangka sederhana. 20% lagi memilih trend mendatar, dan baki 35% pula memilih pertumbuhan pasangan ini.
    Bagi indikator trend, 90% pada H4 dan 95% pada D1 adalah berwarna hijau. Dikalangan pengayun pada H4, hanya 60% berwarna hijau manakala baki 40% mengambil posisi kelabu neutral. Pada D1, juga 60% berwarna hijau, 35% berwarna kelabu neutral, dan baki 5% pula berubah menjadi merah.
    Paras sokongan berada pada 1.3045, 1.2980, 1.2900, 1.2765 dan 1.2670, paras rintangan - 1.3125, 1.3185, 1.3200 dan 1.3285;
  • USD/JPY. Pada hari Isnin 17 Ogos, data KDNK di Jepun untuk suku kedua akan diketahui, dan mengikut ramalan, ianya hanya akan turun sebanyak 7.6%. Kadar tersebut menjadi antara indikator terbaik dalam kalangan negara-negara maju dan sekali lagi membuktikan bukan saja yen Jepun yang cemerlang sebagai tempat berlindung daripada kemelut ekonomi dan kewangan, malah negara itu sendiri. Setakat ini 100% penganalisis mengunjurkan pengukuhan dolar serta pertumbuhan pasangan ini ke paras 107.55 pada awalnya, dan 108.10 selepas itu. Harus diingat bahawa zon 106.00-108.10 adalah julat 75% dagangan ke atas pasangan ini sejak 20 minggu yang lalu. Disebabkan itu para penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan terus berlegar-legar pada julat tersebut untuk beberapa ketika. Namun, 15% pengayun pada D1 sudahpun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian, dan hal ini perlu diambil kira semasa membuka posisi.
    Perubahan mendadak ramalan penganalisis untuk hujung bulan Ogos dan awal bulan September juga harus diambil kira, 55% daripada mereka menunggu perubahan arah trend serta penurunan pasangan ini ke paras yang baru. Sasaran mereka adalah pada 105.30 dan 104.20.

  • Matawang Kripto. Seperti yang anda ketahui, terdapat sekurang-kurangnya dua arah pergerakan untuk apa-apa jua situasi. Bagi Bitcoin - satu bergerak ke atas, satu lagi ke bawah.
    Menurut Max Kaiser, seorang penganalisis dan pengacara TV terkenal, pertambahan nilai matawang kripto utama itu akan bergantung secara positif terhadap modal yang keluar dari benua Asia akibat peningkatan risiko geopolitik. Lebih tegang hubungan antara Amerika Syarikat dan juga China, lebih tinggi keinginan penduduk di China untuk memindah keluar modal mereka. Cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan matawang kripto.
    Terdapat satu lagi faktor fundamental yang mampu mempengaruhi nilai bitcoin - lambakan berjumlah $10 trilion dalam bentuk program pelonggaran kuantitatif (QE) pada ekonomi global. Pada suku kedua sebelum ini, kadar penurunan KDNK di AS adalah yang tertinggi dalam sejarah pemerhatian - negatif 32.9% dan perkara tersebut mencadangkan polisi kewangan yang lebih longgar akan terus digunakan sehingga penghujung 2020. Justeru, sebahagian dana yang diterima dalam rangka kerja QE akan berada di pasaran kripto. Menurut sebilangan penganalisis, pertumbuhan nilai BTC/USD tidak dapat dielakkan lagi jika hal itu benar-benar berlaku. Contohnya, veteran di Wall Street iaitu Raoul Pal percaya bahawa bitcoin mungkin akan mencecah nilai $100,000 dalam tempoh dua tahun lagi. Indikator penting yang menyokong ramalan ini mungkin adalah tiada lagi korelasi antara bitcoin dengan indeks saham seperti Nasdaq dan S&P500.
    Namun terdapat juga senario yang berbeza. Bagi memahaminya dengan lebih lanjut, lihat pada carta BTC/USD sejak setahun lalu. Pada Ogos 2019, nilai bitcoin juga berjaya melepasi paras $11,000, malah mampu untuk berada pada paras $12,300. Namun setelah beberapa kali cuba untuk bergerak ke paras yang lebih tinggi, nilainya mula-mula jatuh ke paras $10,000, dan selepas itu terus turun hingga mencecah paras terendahnya di sekitar $3,800 pada bulan Mac. Mungkin tiada sebarang penurunan mendadak yang akan berlaku pada kali ini, tapi pembetulan nilai pasangan ini ke paras berdekatan dengan $10,000 adalah hampir pasti. Tambahan pula, Indeks Fear & Greed Kripto telah menunjukkan bacaan 77-78 mata selama tiga minggu berturut-turut, dan jika menurut pada penciptanya, pasaran kini berada dalam keadaan huru-hara akibat sentimen lebihan belian dan ia perlu melalui proses pembetulan.
    Paling menarik, semasa ramalan mingguan ini dibuat, kebanyakan penganalisis (55%) lebih cenderung untuk percaya bahawa pasangan BTC/USD masih akan melepasi paras rintangan $12,000 dan berada di zon antara $12,500-13,000. Walau bagaimanapun, jika beralih ke senario bulanan, 60% penganalisis menjangkakan penurunan bitcoin ke paras di antara $9,500-10,000 serta menawarkan posisi long untuk dibuka pada paras tersebut.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.