Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 23 - 27 November, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Minggu lalu, sekali lagi kami tekankan berkenaan ketaktentuan yang menyelubungi pasaran apabila para pelabur hanya berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan, semuanya kerana mereka tidak mampu untuk menjangka apakah yang bakal berlaku selepas ini. Ramalan yang dibuat pula adalah mengikut keadaan tersebut: 50% daripada penganalisis berpihak kepada bull, 40% lagi menyokong bear, dan baki 10% mengambil posisi neutral. Ternyata ia memberi gambaran yang paling tepat: pasangan ini bergerak pada julat yang sangat sempit di antara 1.1815-1.1890 sepanjang minggu dan mengakhiri tempoh dagangan selama lima hari di bahagian tengah, pada kedudukan 1.1858.
    Semua ini disebabkan oleh ketaktentuan sama yang berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa memerintah selepas berakhirnya pilihan raya di AS, dan seperti yang anda jangkakan, ketaktentuan yang berpunca daripada gelombang kedua wabak COVID-19.
    Selain daripada hakikat bahawa Presiden Donald Trump sudah bertindak untuk mencabar keputusan pilihan raya di Mahkamah Agung, kini wujud satu lagi konflik di Amerika Syarikat, iaitu antara Setiausaha Perbendaharaan Stephen Mnuchin dan juga pihak Rizab Persekutuan.
    Mnuchin berkata program pembiayaan kecemasan yang dibuat sudah mencapai sasaran yang ditetapkan dan perlu ditamatkan pada tahun ini. Pihak Rizab Persekutuan ingin melihat program-program yang dihasilkan khusus untuk menyokong ekonomi negara itu semasa berlakunya serangan wabak diteruskan. 12 daripada 13 kemudahan kredit yang diguna pihak Rizab bagi melambakkan jutaan wang murah ke dalam ekonominya akan ditutup pada 31 Disember nanti, dan jika ia berlaku, pasaran saham akan menerima tekanan yang hebat. Semua itu akan menyebabkan jualan saham secara besar-besaran dan menjadikan dolar sebagai matawang selamat.
    Menurut kedua Rizab Persekutuan Jerome Powell, program pembiayaan kecemasan tidak mungkin akan dihentikan dalam masa terdekat ini. Perkara tersebut turut mendapat sokongan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa yang percaya bahawa terdapat banyak keperluan dalam melihat keadaan ekonomi yang sebenar dan pemberhentian pembiayaan akan menyebabkan keruntuhan nilai KDNK dunia sekali lagi.
    Seperti yang dilaporkan pada hari Khamis, 19 November, Mitch McConnell selaku Ketua Majoriti Republikan di Dewan Senat AS sudah bersedia untuk membuat rundingan berkenaan pakej rangsangan yang baru. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang boleh ramalkan bagaimana rundingan ini akan berakhir.
    Situasi berkenaan langkah-langkah pencegahan penyebaran COVID-19 masih lagi tidak menentu. Pihak berkuasa cuba untuk menghalang penyebaran baru daripada berlaku. New York sudah membuat keputusan untuk menutup sekolah, dan kedudukan pasaran saham jatuh pada hari Khamis selepas Datuk Bandar Bill de Blasio mengumumkan sekatan untuk makan di tempat awam mungkin akan diperkenalkan. Walaupun situasi wabak di Eropah juga agak teruk, namun ia lebih baik berbanding di Amerika Syarikat: akibat daripada langkah sekatan yang diambil oleh EU, penyebaran wabak kini agak terkawal. Namun dalam hal ini, membuat sebarang ramalan adalah sia-sia saja;
  • GBP/USD. Menjelang akhir minggu, matawang pound mengalami pertumbuhan walaupun sedikit, naik dari paras 1.3200 kepada 1.3310. Semua ini berlaku walaupun pada hakikatnya rundingan antara EU dan UK mengenai syarat-syarat Brexit ditangguhkan pada hari Khamis akibat daripada salah seorang delegasi dari Kesatuan Eropah yang dijangkiti coronavirus. Pound mendapat sokongan daripada maklumat mengenai penyambungan semula rundingan rangsangan fiskal antara wakil Demokrat dan juga Republikan AS seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini. Satu lagi sokongan adalah hasil daripda pengeluaran data berkenaan jualan runcit di UK yang naik sebanyak 1.2% bagi bulan Oktober. Hasilnya, pasangan ini mengakhiri sesi dagangan hampir pada paras tertinggi selama dua minggu iaitu 1.3290;
  • USD/JPY. Sementara ekonomi di AS dan juga EU hanya mahu membendung serangan kedua coronavirus daripada berlaku, Jepun pula menunjukkan kejayaan yang menakjubkan. Kadar KDNK di negara itu mengalami peningkatan kepada 5.0% untuk suku ketiga. Peningkatan itu tetap berlaku walau pada hakikatnya kadar bagi suku kedua adalah negatif 8.2%. Indikator seperti itulah yang membolehkan matawang yen mengekalkan statusnya sebagai matawang selamat, dan menjadikannya nampak lebih menarik berbanding dolar AS.
    Disebabkan itu, ramalan yang dibuat oleh 60% penganalisis serta mendapat sokongan 90% indikator trend dan juga 70% pengayun adalah yang hampir tepat. Jika diingat mereka merasakan pasangan ini akan terus berada di saluran ke bawah dan mahu menguji paras sokongan di zon 103.00 sekali lagi. Benar, pasangan ini gagal untuk berada hampir pada sasarannya dan hanya mencapai paras terendah mingguan di kedudukan 103.65. Namun aspirasinya untuk turun ke bawah memang tidak disangkal lagi: memulakan tempoh lima hari dagangan pada paras 104.60, kedudukan terakhirnya berada pada paras 103.80;
  • Matawang Kripto. Ramalan yang kami sediakan pada minggu lalu mencadangkan pasangan BTC/USD seharusnya akan melalui penyatuan di atas paras $17,000 menjelang akhir November. Dalam masa yang sama, semua sedia maklum bahawa sia-sia saja bagi mereka yang ingin membuat jualan secara besar-besaran dalam masa terdekat ini kerana tindakan itu dikekang oleh sifat tamak yang berpunca daripada jangkaan pertumbuhan nilai sekurang-kurangnya pada $20,000. Terutama sekali apabila tiada paras rintangan yang kukuh wujud di sepanjang laluannya.
    Realitinya apa yang berlaku jauh melebihi apa yang diramal: setelah berjaya melepasi paras $17,000 dan $18,000, pasangan ini terus naik ke ketinggian $18,780, menunjukkan pertumbuhan mingguan sebanyak 15%. Secara keseluruhan, tiga minggu pertama bulan November menunjukkan nilai pertumbuhan bitcoin naik 35%, manakala jumlah keseluruhan modal pasaran kripto bertambah daripada $401 bilion kepada $515 bilion, dan semasa ramalan ini dibuat pada 20 November, pertumbuhannya terus berlaku. Nilai seperti itu hanya dapat dilihat semasa lonjakan harga tertinggi dalam sejarah yang berlaku pada 2017.
    Memetik pendapat penganalisis, antara sebab berlakunya pertumbuhan ini adalah pertambahan penerimaan bitcoin oleh pelabur persendirian dan juga pelabur berinstitusi besar. Tinjauan ke atas 700 orang jutawan yang dijalankan oleh DeVere Group menunjukkan 73% daripada mereka sudahpun memiliki matawang kripto atau berkeinginan untuk melabur di dalamnya.
    Sebab yang lain berpunca daripada polisi kewangan pihak Rizab Persekutuan AS. Walaupun wabak coronavirus sedang melanda dan kadar faedah telah dikurangkan, pembekalan matawang AS naik sebanyak 22% pada tahun ini. Peningkatan ini belum lagi berakhir kerana satu lagi pakej rangsangan dengan jumlah kira-kira $2 trilion dijangka akan dibuat di bawah program QE.
    Akhir sekali, sebab ketiga mengapa matawang kripto pertama ini mengalami pertumbuhan mendadak. Sejak kebelakangan ini, jumlah pembelian bersih bitcoin di bursa-bursa kripto adalah lebih besar berbanding jualan daripada para penghasil. Melihat pada data daripada firma analisis Glassnode, penganalisis kripto Will Wu menunjukkan pembelian BTC setiap jam di bursa-bursa adalah hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah jualan para penghasil. Seorang lagi penganalisis, Lark Davis turut mengesahkan perkara itu dengan menyatakan hanya 27,000 BTC yang dihasilkan pada bulan lalu, namun sebanyak 145,000 coin telah dibeli di bursa kritpo. Tambahan lagi, kebanyakan daripada coin-coin tersebut dipindahkan ke dalam “walet simpanan” sebagai objek pengumpulan.
    Harus diingat di sini bahawa, menurut para penganalisis, ketidakseimbangan antara bekalan dan juga permintaan BTC hanya akan mengalami peningkatan, sekaligus merangsang pertumbuhan nilai coin tersebut. Ia disebabkan oleh kerajaan China yang mula memberi tentangan kepada komuniti terbesar penghasil: Beijing telah mengharamkan ICO, matawang kripto pula dikelaskan sebagai spekulasi yang tidak diingini, dan bank akaun para penghasil telah mula disekat. Semua ini tetap berlaku walaupun separuh daripada pengeluaran bitcoin dihasilkan di China buat masa ini.
    Kembali pada keputusan minggu lalu, kami dapati bacaan Indeks Fear & Greed Bitcoin kekal pada paras 86 menjelang petang Jumaat, 20 November, berada di zon yang dikategorikan sebagai “Extreme Greed” oleh penghasil indeks tersebut. Nilai ini menyamai kedudukan pasangan BTC/USD yang memiliki banyak lebihan belian serta mengundang untuk berlakunya proses pembetulan.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Masalah yang sedang berlaku di AS telah dibincangkan pada bahagian pertama ulasan ini. Mengambil kira senario yang akan berlaku pada tahun depan, Goldman Sachs mengunjurkan penurunan sebanyak 6% bagi kadar wajar USD bagi tahun 2021, Citibank tidak mengecualikan indeks dolar mungkin akan mengalami penurunan sebanyak 20%, manakala Morgan Stanley menjangkakan pasangan EUR/USD akan bertumbuh daripada nilai semasa iaitu antara 1.1800-1.1900 kepada 1.2500.
    Melihat pada keadaan semasa, para penganalisis juga lebih berpihak kepada matawang Eropah. Dengan demikian, 65% daripada mereka menjangkakan pasangan ini akan melepasi paras rintangan 1.1900 pada minggu hadapan dan kemudian tiba di zon antara 1.2000-1.2100. Sebaliknya, 35% penganalisis mengunjurkan penurunan pasangan ini ke paras di antara 1.1700-1.1750. Kemungkinan untuk nilainya turun ke paras terendah pada 4 November iaitu 1.1600 hanya dianggar oleh 10% penganalisis saja setakat ini.
    Di pihak bull, sokongan analisis grafik diperoleh daripada 90% indikator trend dan juga 75% pengayun pada D1. Baki 25% pengayun memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1740 serta 1.1685.
    Bagi acara penting ekonomi pada minggu depan, tumpuan harus diberikan untuk data aktiviti perniagaan di Jerman dan juga Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 23 November, kemudian statistik makro dari Amerika Syarikat, ini termasuklah kadar KDNK bagi suku ketiga serta data pesanan bagi barangan tahan lama pada hari Rabu, 25 November, serta hasil mesyuarat Rizab Persekutuan pada hari Khamis, 26 November;
  • GBP/USD. Pertumbuhan aktiviti pengguna di UK berkemungkinan disebabkan oleh populasinya yang membuat pembelian barang untuk kegunaan akan datang sebelum bermulanya sekatan pergerakan. Justeru, angka ini mungkin akan berada pada bacaan negatif bagi bulan November. Jualan secara online juga tidak mungkin akan menyelamatkannya. Juga tidak harus dilupa mengenai perpisahan negara itu dengan EU tanpa sebarang perjanjian. Menurut akhbar The Times, para pemimpin negara-negara Kesatuan Eropah sudah membuat persedian untuk Brexit secara paksa.
    Setakat ini pendapat penganalisis terbahagi sama rata. Namun jika beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, bacaan skalanya lebih condong kepada bear, dan 65% daripada penganalisis tidak memberi petanda baik kepada pound, menjangkakan pasangan GBP/USD turun sebanyak 300-400 mata.
    Namun analisis teknikal masih kelihatan agak optimis. 75% pengayun, 100% indikator trend pada H4 dan D1, serta analisis grafik pada H4 adalah berwarna hijau. Pendapat alternatif diberikan oleh 25% pengayun serta analisis grafik pada H1. Sokongan berada pada paras 1.3200, 1.3165, 1.3100, 1.3035 dan 1.2855, rintangan - 1.3310, 1.3400 serta paras tertinggi pada 1 Ogos iaitu 1.3480.
    Bagi indikator makroekonomi, kami nasihatkan untuk beri tumpuan pada data Markit PMI bagi bulan November yang akan dikeluarkan pada 23 November, dan menurut ramalan, kadarnya mungkin akan turun lebih daripada 15%, daripada 51.4 kepada 42.5;
  • USD/JPY. Sehingga situasi berkenaan polisi kewangan di Amerika Syarikat menjadi lebih jelas, pilihan utama wakil-wakil daripada pasaran konservatif akan kekal di pihak matawang Jepun. Inilah yang dirasakan oleh sekurang-kurangnya 45% penganalisis, ia turut mendapat sokongan daripada 80% indikator pada kedua-dua tempoh masa. 25% penganalisis pula menyokong pertumbuhan nilai dolar serta pasangan USD/JPY, manakala baki 30%, bersama-sama dengan analisis grafik pada D1 hanya mengambil posisi neutral. Sokongan berada pada paras 103.65, 103.15 dan 102.00, rintangan pula berada pada paras 104.50, 105.15 dan 105.70.
    Bagi analisis grafik, ia menunjukkan lantunan ke atas dari garis tengah saluran menurun di zon 103.40 pada D1, dan kembalinya pasangan ini ke sempadan atas di sekitar 105.40-105.65;
  • Matawang Kripto. Ramai pelabur yang tertanya-tanya adakah sudah terlewat bagi mereka untuk membeli bitcoin sekarang. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto dan juga lain-lain indikator telah menunjukkan ia sudah lama berada di zon lebihan belian, manakala nilai pasangan ini hampir mencecah $20,000, namun proses pembetulan yang serius masih belum lagi berlaku.
    Pelakon Maisie Williams yang membawa watak Arya Stark dalam Game of Thrones bertanyakan peminatnya mengenai perlukah beliau melabur dalam bitcoin. Lebih daripada 650 ribu orang pengguna telah menyatakan pendapat mereka, 50.7% daripada mereka mengiakan soalan itu, 49.3% pula - tidak bersetuju. Keputusan itu agak seimbang, dan ini menunjukkan kemungkinan trend ke bawah mungkin akan berubah.
    Sebilangan penganalisis menjangkakan pasangan BTC/USD akan turun ke paras sokongan di zon $15,700. Namun terdapat juga mereka yang pesimis dan mengingatkan bencana yang berlaku pada 2018, apabila nilainya jatuh daripada paras tertinggi iaitu $20,000 kepada $3,125.
    Walau bagaimanapun, situasi yang dialami sekarang agak berbeza berbanding pada tahun 2018. Bitcoin bukan saja telah membuktikan daya ketahanan yang dimilikinya sepanjang masa ini, malah kebolehannya untuk menjana jumlah keuntungan yang besar. Perkara ini turut diakui oleh Jamie Dimon, CEO gergasi perbankan JPMorgan. Dimon menggelarkan matawang kripto sebagai “penipuan dan mengarut” pada tahun 2017, kini para penganalisis di bank itu menggesa para pelabur untuk melabur di dalamnya. Satu lagi syarikat besar adalah sistem pembayaran PayPal yang baru-baru ini telah memperkenalkan satu perkhidmatan pelaburan matawang kripto. Disebabkan oleh kadar permintaan yang tinggi, mereka telah menggandakan nilai had pelaburan yang kini sudah pun mencecah $20,000.
    Satu ramalan telah dibuat oleh Tom Fitzpatrick, Pengarah Urusan di salah satu bank terbesar di dunia iaitu Citibank. Menurut ramalan tersebut, nilai matawang kripto pertama itu mampu mencecah $318,000 menjelang akhir 2021 yang berpunca daripada penyatuan statusnya sebagai emas digital. Fitzpatrick percaya bahawa pasaran bitcoin yang ada sekarang mengingatkan kita dengan era 1970an, apabila inflasi dolar mengakibatkan permintaan emas meningkat. Pada tahun 1971, Presiden AS Richard Nixon telah menjalankan beberapa siri pembaharuan, tidak lagi menggunakan sistem Bretton Woods dan menyandarkan nilai dolar dengan emas. Akibatnya, harga logam berharga itu menunjukkan peningkatan yang stabil untuk 50 tahun seterusnya.
    Dalam laporan terbaru beliau, Bitcoin: Gold for the 21st Century, Fitzpatrick menjelaskan: “Bitcoin terhasil selepas berlakunya bencana Krisis Kewangan Hebat pada tahun 2008, apabila perubahan ke atas rejim kewangan dilakukan dan kita menurunkan kadar faedah kepada sifar”. Beliau sedia maklum, langkah-langkah rangsangan kewangan yang diambil akibat wabak coronavirus akan menghasilkan keadaan yang hampir sama dengan era 1970an.
    Kelihatan para penggubal dasar di Washington juga beralih ke matawang kripto. Dikala Beijing memberi tekanan kepada para penghasil, Senator AS yang baru iaitu Cynthia Lummis bercadang untuk membincangkan mengenai matawang kripto pertama itu di peringkat kebangsaan. “21 juta bitcoin akan dihasilkan dan itulah saja jumlah yang ada, penghasilan yang sangat terhad. Justeru, saya begitu yakin lama kelamaan ia akan menjadi aspek yang penting sebagai storan nilai” jelas Lummis.
    Robert Kiyosaki, usahawan Amerika dan juga penulis buku paling laris, Rich Dad Poor Dad, juga bersetuju dengan pendapat senator tersebut. “Lonjakan nilai Bitcoin telah melebihi emas dan perak”, jelas beliau. - Apakah maksudnya? Ini bermaksud anda perlu membeli bitcoin dan juga logam berharga sebanyak yang mungkin dan tidak menangguhkannya lagi. Peluang tidak akan menunggu. Apabila nilai dolar menyusut, harganya tidak akan penting lagi. Apa yang penting adalah berapa banyak emas, perak dan bitcoin yang anda miliki.”
    Untuk ramalan minggu hadapan, majoriti penganalisis (80%) menyokong pergerakan mendatar pasangan BTC/USD pada julat di antara $18,000-19,000. Hanya 20% saja yang menjangkakan nilainya turun di bawah paras $18,000. Tiada siapa yang mengunjurkan rintangan pada $19,000 akan dilepasi pada minggu depan. Namun, jika beralih ke ramalan sebelum berakhirnya tahun ini, 70% penganalisis bersetuju bitcoin mampu untuk memperbaharui nilai paling tinggi dalam sejarah.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.