Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 21 - 25 Disember, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Menurut Bank of America Merrill Lynch, strategi paling popular yang ada di pasaran kini selepas “beli saham” adalah “jual dolar”. Spekulasi posisi short untuk matawang ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun. Indeks USD (DXY) telah turun di bawah paras 90, dan kedudukannya berada pada paras 102.82 pada 15 Mac, 2020. Bagi penyusutan nilai dolar baru-baru ini, ia berlaku akibat daripada perbincangan Kongres AS berkenaan pakej rangsangan fiskal tambahan. Lagipun, setiap dolar yang masuk ke dalam ekonomi negara tersebut akan menjurus kepada penurunan kuasa membeli.
    Mesyuarat Rizab Persekutuan yang diadakan pada hari Khamis, 17 Disember seperti tidak langsung memberi kesan terhadap sentimen pasaran. Faedah kekal pada kadar yang sama, dan seseorang mungkin berfikir, mood ceria sebelum Krismas akan tiba semasa sidang akhbar diadakan: tiada cerita baru berkenaan prospek untuk melonggarkan lagi nilai kuantitatif serta tiada sebarang kebimbangan terhadap keadaan ekonomi semasa yang disuarakan. Namun begitu, mungkin sikap pasif seperti itu bukan saja disebabkan oleh Krismas, tetapi juga disebabkan oleh pertukaran Presiden AS yang baru. Calon yang terpilih masih belum mendiami White House. Manakala mantan presiden pula sudah tidak begitu berpengaruh.
    Benar, disebabkan oleh harapan menggunung para pelabur terhadap pertumbuhan masa hadapan S&P500 serta keputusan positif daripada rundingan Brexit, pasangan EUR/USD terus bergerak ke atas, menambah lagi 140 mata dalam masa seminggu. Bagi paras terakhir, ia berada pada ketinggian 1.2250;
  • GBP/USD. Dengan nilai USD yang semakin menyusut serta harapan ke atas rundingan Brexit akan berakhir dengan berita menggembirakan pada saat-saat akhir, pasangan ini terus bergerak ke atas. Paras tertinggi mingguan yang berjaya dicapai pada 17 Disember adalah 1.3625, menunjukkan pertambahan sebanyak 400 mata. Walau bagaimanapun, ia kemudian diikuti dengan pembetulan, dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan dengan berada di bawah paras 1.3500.
    Keyakinan terhadap rundingan itu dihangatkan oleh laporan media yang menyatakan masalah perikanan di perairan British kekal menjadi halangan terakhir. Pasaran didorong oleh kenyataan ketua Pesuruhjaya Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen yang mengatakan terdapat “harapan tipis” untuk perjanjian itu dipersetujui, serta Pesuruhjaya bagi Perdagangan Dalaman Kesatuan Eropah iaitu Michel Barnier yang mengesahkan “masih terdapat kemungkinan perjanjian dagangan akan dicapai."
    Britain juga dilihat bersetuju dengan perjanjian itu, namun seperti yang dinyatakan, “tidak menjejaskan kedaulatan, dan pengawasan juga harus tertakluk ke atas lautan.” Perdana Menteri Boris Johnson telah memberi peringatan untuk tidak membenarkan nelayan-nelayan di Eropah memasuki perairan British sekurang-kurangnya lapan tahun jika kuota perikanan selama tiga tahun yang beliau cadangkan tidak dipersetujui.
    Umumnya, seperti pertanyaan Hamlet “To be or not to be?” yang telah berlegar selama 420 tahun, ia turut terpakai untuk Brexit, dan masih belum terjawab;
  • USD/JPY. Nilai yen stabil, Perbendaharaan AS kekal berada pada julat dagangan yang sama, nilai dolar menyusut, indeks USD (DXY) menurun. Semua hal ini telah menyebabkan pasangan USD/JPY meneruskan penurunannya di antara saluran menurun jangka sederhana yang bermula pada akhir Mac lalu. Pada hari Khamis 17 Disember, ia menduduki garis tengah saluran tersebut, mencapai paras terendah mingguan pada 102.85. Paras terakhirnya setelah lima hari berlalu adalah 103.30;
  • Matawang Kripto. Unjuran yang dibuat ke atas bitcoin sepanjang tiga tahun lalu telah menjadi kenyataan. Ia bukan saja memperbaharui rekod nilai tertinggi, bukan saja melepasi paras $20,000, malah melonjak dari kedudukan $18,000 kepada $23,620 untuk tempoh yang singkat antara 12 hingga 17 Disember, tambahan nilai lebih daripada 30%.
    Menurut kebanyakan penganalisis, jika dibandingkan antara lonjakan yang berlaku, penggerak utama pada Disember 2017 adalah pelabur kecil, manakala penggerak utama pada Disember 2020 pula adalah pelabur berinstitusi. Mengikut syarikat analisis Chainalysis, “populasi” pelabur-pelabur besar bitcoin (melebihi 1000 BTC) telah bertambah dengan 302 walet baru sejak awal tahun ini dan jumlahnya meningkat kepada 2274 pada akhir bulan lalu, dan jumlah baki yang dimiliki alamat-alamat walet tersebut meningkat sebanyak 1.4 juta BTC sepanjang tempoh tersebut.
    Secara jujurnya, bilangan pelabur kecil juga turut bertambah. Berdasarkan data perkhidmatan analisis Glassnode, bilangan alamat bitcoin dengan baki bukan sifar telah mencecah jumlah 33 juta, memperbaharui rekod maksimumnya. Bilangan walet dengan baki lebih daripada 1 BTC juga terus bertambah. Rekod bagi indikator itu telah diperbaharui baru-baru ini dengan jumlah 827,105, pulih daripada sedikit penurunan yang berlaku pada akhir September.
    Pastinya kami sudah nyatakan beberapa kali tentang sumbangan wabak coronavirus terhadap kepopularan bitcoin. Walau bagaimanapun, mungkin masih terlalu awal untuk membincangkan tentang penerimaan matawang kripto sepenuhnya dalam kalangan populasi. Justeru, dalam kaji selidik yang dibuat oleh Opinium dan AltFi ke atas penduduk UK, hanya 10% daripada mereka ada membeli matawang kripto. Tidak dinafikan walaupun hasil yang ditunjukkan pada tahun 2020 masih lagi menunjukkan peningkatan - jumlah pada setahun yang lalu adalah separuh daripada jumlah sekarang, 5.3% - namun ia masih menunjukkan peratusan yang kecil, dan meninggalkan ruang potensi untuk pasaran kripto mengalami pertumbuhan, mencapai $670 bilion jumlah keseluruhan modal pasaran pada 17 Disember.
    Perlu sedia maklum walaupun pada hakikatnya kadar sebut harga BTC/USD setakat ini sudah mengatasi paras tertinggi 2017, jumlah modal pasarannya masih belum mencecah nilai tertinggi yang pernah direkodkan pada 7 Januari 2018 iaitu $830 bilion. Pastinya, kenaikan nilai bitcoin ini didorong oleh jumlah fiat yang lebih kecil dari sebelumnya, dan mungkin menunjukkan pasangan ini memiliki terlalu banyak lebihan belian. Hal ini dibuktikan dengan bacaan Indeks Fear & Greed Kripto yang sekali lagi mengalami pertambahan dalam tempoh tujuh hari daripada 89 kepada 95 dan nilai itu sangat hampir dengan nilai maksimumnya iaitu 100 mata. Namun apabila menantikan pembetulan untuk berlaku, seseorang perlu mengambil kira kini kita berada di penghujung tahun, cuti perayaan Krismas bakal tiba, dan perkara yang paling tidak dijangka di pasaran mungkin akan berlaku - tiada sebarang turun naik yang berlaku kepada lonjakan mendadak;

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pada hari Khamis, 24 Disember hadapan, dagangan Forex akan ditutup pada jam 17:00 CET, dan tiada langsung dagangan akan dijalankan pada hari Krismas, 25 Disember. (Sila lawati laman web NordFX, pada bahagian Berita Syarikat untuk maklumat lanjut berkenaan jadual dagangan di pasaran matawang, matawang kripto serta kontrak CFD sepanjang musim cuti Krismas dan Tahun Baru nanti).
    Penghujung tahun adalah satu tempoh bagi pelabur-pelabur besar menutup posisi mereka, mendapatkan pulangan dan pergi bercuti. Seperti yang telah disebutkan di atas, inilah masanya pasaran mengalami kadar likuiditi yang rendah dan para pelabur diminta bersedia untuk sebarang perkara yang mengejut. Kejutan yang bakal berlaku tidak semestinya menggembirakan seperti menerima hadiah daripada Santa Claus. Kejutan paling utama mungkin adalah perjanjian antara EU dan UK berkenaan syarat-syarat Brexit (atau kekurangannya).
    Semasa ulasan ini dibuat, 95% indikator trend pada H4 dan 100% pada D1 adalah berwarna hijau. Juga, 75% pengayun pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan pertumbuhan. Namun, baki 25% lagi menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian, dan pembetulan mungkin akan berlaku.
    Analisis grafik pada H4 meramalkan pergerakan pasangan ini pada julat dagangan di antara 1.2175-1.2300, manakala H4 menjangkakan pertumbuhan yang mungkin akan berlaku ke paras 1.2355. 80% penganalisis turut menyokong perkembangan itu. Baki 20% penganalisis menjangkakan penurunan pasangan ini ke paras sokongan 1.2100, dan jika beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, bilangan penyokong bear meningkat kepada 65%. Paras sokongan paling hampir berada di kedudukan 1.2055 dan 1.1900.

  • GBP/USD. Seperti yang diramal pada minggu lalu, terdapat tiga pilihan yang mungkin akan berlaku berkenaan Brexit.
    1 - neutral dengan baik. Mengambil keputusan untuk memanjangkan tempoh peralihan syarat-syarat yang ada sekarang selama enam bulan atau setahun lagi bagi beransur-ansur beralih ke aturan yang menyamai aturan asas Pertubuhan Perdagangan Dunia. Dalam hal ini, kejatuhan nilai matawang British yang teruk dapat dielakkan walaupun trend penurunan pasangan tersebut akan tetap berlaku. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.3100, kemudian 1.3000 dan seterusnya 1.2850.
    2 - Brexit secara paksa, tanpa sebarang perjanjian serta pemanjangan tempoh yang akan menyebabkan penurunan pasangan ini ke paras 1.2700 pada mulanya, dan lama-kelamaan mungkin turun ke paras terendah pada pertengahan bulan Mei 2020 di sekitar 1.2075-1.2160.
    3 - persetujuan antara EU dan UK yang dicapai sepenuhnya. Jika ia berlaku, kita akan dapat lihat nilai pound naik ke paras 1.3500 pada awalnya, dan kemudian mungkin ke paras tertinggi pada 2018 iaitu di sekitar 1.4350.
    Kita akan dapat lihat pilihan manakah yang bakal berlaku tidak lama lagi;
  • USD/JPY. 90% pengayun dan 100% indikator trend pada D1 masih berwarna merah, menjangkakan penurunan pasangan ini ke paras yang lebih rendah dalam saluran menurun jangka sederhana. Bagi penganalisis pula, setelah mendapat sokongan analisis grafik pada H4 dan D1, mereka menjangkakan kemungkinan besar pasangan ini akan bergerak pada julat dagangan di antara 102.70-104.00, iaitu di antara garis tengah dan juga sempadan atas saluran tersebut;
  • Matawang Kripto. Jadi, berbaloikah untuk menunggu berulangnya peristiwa “kripto dingin” seperti yang berlaku pada penghujung 2017-2018? Adakah nilai pasangan BTC/USD akan melonjak ke paras yang baru sekali lagi setelah mengalami sedikit pembetulan?
    Penulis buku Rich Dad Poor Dad yang terkenal dan juga seorang usahawan iaitu Robert Kiyosaki yakin bahawa nilai matawang kripto akan terus naik ke paras $50,000 pada tahun depan walaupun dengan kemasukan wang pelabur berinstitusi yang lebih banyak. Usahawan yang mengatakan “Amerika sedang berhadapan dengan masalah” itu turut menghalang dolar AS daripada “terkubur” dan juga “masa depan cerah” untuk emas, perak, bitcoin.
    Penganalisis kripto terkenal dari Belanda, PlanB yang membangunkan model penilaian BTC popular iaitu stock-to-flow percaya bahawa harga matawang kripto rujukan itu mungkin akan meningkat kepada $100,000 menjelang akhir 2021, dan mungkin akan melonjak sehingga $300,000. PlanB akui bahawa ramalan beliau itu dilihat terlalu optimis, malah mencuit hati sebilangan pelabur. Walau bagaimanapun, lonjakan harga bitcoin yang pernah berlaku sebelum ini membuatkan beliau berani untuk berkata sedemikian.
    Menurut penganalisis di konglomerat kewangan JPMorgan Chase, pelabur berinstitusi boleh membuat pelaburan sehingga $600 bilion ke dalam matawang kripto utama itu pada tahun-tahun mendatang. Jumlah itu hanyalah pelaburan 1% daripada nilai aset syarikat-syarikat insuran dan dana persaraan dari Amerika, Eropah dan juga Jepun.
    Seperti yang ketua strategi JPMorgan iaitu Nikolaos Panigirtzoglou sedia maklum, pelaburan sebanyak $100 juta yang dibuat Massachusetts Mutual Life Insurance Company baru-baru ini menandakan satu lagi kejayaan terhadap penerimaan matawang kripto utama oleh organisasi seperti itu. Dalam masa yang sama, penganalisis tersebut mengakui agak sukar bagi pelabur tradisional untuk melabur ke dalam matawang kripto kerana masih terdapat penyeliaan syarat-syarat aset pelaburan pilihan dari segi risiko dan juga tanggungjawab yang perlu dipatuhi. Hal ini akan mengehadkan jumlah dana yang boleh diguna untuk membeli BTC.
    Umumnya, topik berkenaan sikap penggubal dasar kerajaan mengenai matawang kripto menjadi faktor utama bagi pembangunan pasaran ini. Isu mengenainya telah hangat diperkatakan pada persidangan BlockShow yang diadakan baru-baru ini. Para penceramah menyatakan walaupun kewangan disentralisasi memerlukan komunikasi dengan penggubal dasar, mereka tidak boleh memiliki konsesi penuh. Jika peraturan ketat dikenakan ke atas pasaran, maka tidak banyaklah bezanya ia dengan fiat.
    Tibalah masa untuk prospek pasangan BTC/USD untuk beberapa minggu yang seterusnya. Mengikut rata-rata ramalan, kebarangkalian nilainya untuk naik ke paras di antara $25,000-26,000 dianggarkan sebanyak 30%, lebih daripada $30,000 - 10%. Untuk penurunan pula, kebarangkalian pasangan ini turun ke zon $18,500-20,000 adalah sebanyak 20%.
    Bagi altcoin, pada sesiapa yang berhati-hati untuk melabur di dalam bitcoin pada peringkat ini mungkin perlu melihat pada ethereum. Jika nilai BTC telah pun melebihi nilai tertinggi yang dicapai pada 2017 sebanyak 16%, maka ETH masih mempunyai ruang untuk mengalami pertumbuhan daripada nilai di sekitar $670 ke paras tertingginya iaitu $1,420. Semua ini boleh berlaku walaupun pada hakikatnya altcoin utama itu menunjukkan dinamik yang lebih baik berbanding bitcoin pada tahun ini: nilainya bertambah sebanyak 640% dari paras terendahnya berbanding 465% untuk BTC.
    Selain itu, blockchain bagi altcoin No.1 tersebut telah mendapat kemas kini baru-baru ini. Ethereum 2.0 telah menjadikan matawang kripto lebih selamat, efisien, berskala, dan mudah-mudahan, berpontensi untuk memberi lebih banyak pulangan.
    Kami merasakan perlu untuk mengingatkan amaran yang dibuat oleh pengasas bersama ethereum iaitu Vitalik Buterin baru-baru ini berkenaan pengambilan pinjaman atau berhutang bagi membeli sebarang aset digital, sama ada bitcoin, ethereum atau lain-lain coin. Beliau menyatakan “hanya memiliki ekuiti bersih berjumlah beberapa ribu dolar saja” sebelum mencipta Ethereum. “Namun, saya menjual separuh daripada bitcoin yang dimiliki untuk memastikan saya tidak muflis jika nilainya jatuh kepada sifar,” jelas beliau.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.