Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Nilai dolar susut nilainya, manakala pasangan EUR/USD pula mengalami pertumbuhan sejak bermulanya wabak COVID-19 pada Mac lalu. Kini nilainya tidak lagi jauh daripada paras tertinggi yang dicapai pada Q1 2018. Memang benar, hasil yang ditunjukkan sejak tiga minggu lalu boleh dianggap sifar. Bukan cuti Krismas dan Tahun Baru saja yang harus dipersalahkan, malah pertumbuhan hasil bon Perbendaharaan AS dan kenyataan bersifat hawkish yang dibuat oleh wakil Rizab Persekutuan juga perlu bertanggungjawab.
Setelah calon presiden pilihan Joe Biden serta majoriti ahli Demokrat di dalam Senat mendapat perakuan, hasil bon 10 tahun Perbendaharaan Amerika melonjak, membawa nilai dolar bersamanya. Thomas Barkin, presiden Federal Reserve Bank of Richmond berkata pertumbuhan hasil bon itu mengesahkan keinginan para pelabur untuk melihat kadar faedah USD yang tinggi, manakala ketua Federal Reserve Bank of Philadelphia iaitu Patrick Harker pula menjangkakan jumlah program QE mungkin akan dikurangkan bermula pada pertengahan tahun 2021. Semua kenyataan itu membuat selera bull hilang, mereka mula menutup posisi long EUR/USD, dan akhirnya pasangan ini menduduki paras 1.2225 pada penghujung minggu; - GBP/USD. Ribut yang dikaitkan dengan perjanjian Brexit telah reda, dan seperti EUR/USD, pasangan GBP/USD dapat menarik nafas lega. Setelah mencecah ketinggian 1.3705 pada 4 Januari, ia kembali ke paras yang pernah didudukinya pada pertengahan Disember lalu semasa menghampiri hujung minggu, dan berakhir pada paras 1.3560;
- USD/JPY. Tiga minggu yang lalu, kami ramalkan pergerakan pasangan ini dari garis tengah ke sempadan atas saluran jangka sederhana, kawasan di mana pasangan ini meluncur ke bawah dengan laju sejak akhir bulan Mac 2020. Ia benar-benar berlaku. Dua kali, pada 4 dan 5 Januari, pasangan ini naik dengan mendadak setelah melantun di garisan tengah, menghampiri sempadan atas saluran dengan berada di kedudukan 104.10 pada 8 Januari. Ia diikuti dengan sedikit pengunduran, dan ia berhenti pada paras 103.95. Sila maklum bahawa zon 104.00 adalah paras sokongan/rintangan yang kuat sejak empat bulan lalu, pasangan ini telah berulang kali melantun di kedua-dua arah dalam zon itu;
- Matawang Kripto. Ia berlaku 12 tahun yang lalu, pada 3 Januari 2009, seorang atau sebuah kumpulan dengan nama gelaran Satoshi Nakamoto telah melancarkan rangkaian utama bitcoin yang menghasilkan satu blok genesis berjumlah 50 BTC. Beberapa hari selepas itu, pada 12 Januari, transaksi bitcoin pertama telah dibuat: Satoshi Nakamoto menghantar 10 BTC kepada Hal Finley. Berita yang lebih baru, pada Julai 2020, munculnya maklumat di akaun Twitter Whale Alert yang mengatakan Nakamoto telah berjaya menghasilkan 1,125,150 BTC sebelum kehilangan misterinya lebih daripada sepuluh tahun lalu. Kini, apabila nilai bitcoin telah mencecah paras $41,000, jumlah nilai kesemua coin tersebut mungkin melebihi $45 bilion, dan Nakamoto mungkin menduduki kedudukan ke 25 dalam kalangan manusia terkaya di dunia.
Hakikatnya di sini adalah, kami telah pun menyatakan berita paling penting untuk minggu lalu: sebut harga matawang kripto utama itu telah melepasi $41,000 pada hari Jumaat, 8 Januari. Justeru, sejak Disember 2020, dalam tempoh lima minggu saja, setiap coin BTC bertambah 115% nilainya.
Perkara itu bukan saja menggembirakan para pelabur, malah para penghasil. Bulan Disember ternyata menjadi bulan paling menguntungkan sejak tiga tahun lalu. Menurut servis analisis Block Research, jumlah untung yang diperoleh para penghasil bagi bulan Disember mencecah $692 juta, hampir $1 juta bagi setiap jam.
Buat masa ini, pasaran penghasilan matawang kripto didominasi oleh China, dan mengikut sesetengah anggaran, jumlah tersebut adalah melebihi 50% daripada kadar hash global. Malah ketua Ripple menggelar matawang kripto Bitcoin dan Ethereum dikawal oleh China.
Mari bincangkan mengenai Ripple pula. Tempoh seminggu setengah yang lalu telah memberi sedikit harapan kepada pemilik altcoin tersebut. Jika diingat ketika kebanyakan coin-coin utama mengalami pertumbuhan, nilai pasangan XRP/USD terus mengalami penurunan sejak 24 November. Bermula dengan nilai $0.77, ia jatuh kepada $0.17 menjelang akhir 2020, susut sebanyak 78%.
Namun bukan itu saja. Bencana besar menanti Ripple dalam pasaran niaga depan. Pada 23 Disember, harga token niaga depan bagi bulan Mac jatuh kepada $0.00023 di platform derivatif BitMEX. Pelabur-pelabur menjual 80 juta coin dalam masa satu minit - itu adalah reaksi pasaran terhadap tuntutan mahkamah yang dibuat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC), dengan tuduhan syarikat-syarikat pemula menjual sekuriti tidak sah dan menyamar sebagai XRP berjumlah $1.3 bilion.
Kini situasinya dilihat agak stabil, dan sebut harga XRP/USD pada 8 Januari adalah $0.31. Jika seorang pedagang terlebih dahulu meletakkan order untuk membeli Ripple pada harga minimum, beliau sudah pun memperoleh keuntungan sebanyak 1350% dalam tempoh dua minggu lalu saja.
Kembali kepada matawang kripto utama, kami sedia maklum bahawa kadar turun naiknya sudah tentu tidak setinggi Ripple, tapi ia masih lagi menunjukkan prestasi menakjubkan, mencecah 10% setiap jam. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto masih lagi berada di zon terlebih beli: 95 daripada 100. Namun, walaupun semua itu berlaku, dengan menuruti sebut harga BTC/USD, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto terus mengalami pertumbuhan, hingga mencecah $1.1 trilion. Dalam masa yang sama, indeks dominasi bitcoin sudah hampir kepada 70%.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Kami telah huraikan secara terperinci bagaimana penganalisis daripada bank-bank dan juga agensi kewangan terkenal dunia menjangkakan kadar pasangan ini untuk tahun 2021 pada minggu lalu. Ramalan median adalah 1.2500, dan ia sepadan dengan kadar tertinggi yang dicapai antara Januari-Februari pada tiga tahun lalu.
Untuk masa terdekat, harapan 60% penganalisis adalah jika Januari bukan bulan untuk berlakunya perubahan arah trend, sekurang-kurangnya biarlah pembetulan mendadak pasangan ini ke bawah dan mengembalikan kedudukannya ke paras 1.2050, atau lebih baik lagi ke paras 1.1900. Paras sokongan paling hampir berada di zon 1.2100. Walau bagaimanapun, bagi indikator pula, perkembangan ini disokong hanya oleh 80% indikator pada H4. Pada D1, kedua-dua pengayun dan juga indikator trend mengambil posisi neutral.
40% daripada penganalisis berpihak kepada bull, dan mendapat sokongan analisis grafik pada H4 dan D1. Menurut mereka, setelah pasangan ini bergerak dari paras 1.2200, ia seharusnya kembali mengikuti trend ke atas, dan mungkin akan mencecah paras 1.2350 tidak lama lagi. Kedudukan itu adalah hampir dengan paras sasaran iaitu 1.2500.
Bagi peristiwa yang bakal berlaku, tumpuan perlu dibuat pada data pasaran pengguna di AS yang akan diketahui pada hari Rabu dan Jumaat, 13 dan 15 Januari. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell juga dijadual akan berucap pada penghujung minggu, dan pasaran menunggu beliau mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh rakannya iaitu Thomas Barkin dan juga Patrick Harker berkenaan kadar faedah yang mungkin akan dinaikkan serta pengurangan jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE); - GBP/USD. Secara umum, ramalan untuk satu atau dua minggu berikutnya adalah sama dengan ramalan ke atas euro/dolar. Indikator teknikal pada D1 menunjukkan sama ada isyarat neutral atau pelbagai arah. 60% daripada penganalisis, 70% pengayun serta 75% indikator trend pada H4 menjangkakan penurunan pasangan ini. 40% lagi penganalisis serta baki indikator pada H4 dan juga analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa mengunjurkan pertumbuhan. Sokongan berada pada paras 1.3525, 1.3485 dan 1.3285. Sokongan kukuh seterusnya berada di zon 1.3185. Paras rintangan berada pada kedudukan 1.3620 dan 1.3725.
Untuk peristiwa penting pada minggu depan, tumpuan harus diberi terhadap ucapan ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey yang dijadual akan berlangsung pada hari Isnin, 11 Januari; - USD/JPY. Apa yang akan berlaku terhadap yen bergantung sepenuhnya pada sentimen risiko para pelabur dan juga hasil daripada sekuriti Perbendaharaan AS. Buat masa sekarang, majoriti penganalisis (55%) berkeyakinan bahawa pasangan ini akan kekal berada di saluran menurun untuk jangka masa sederhana, dan setelah berjuang di sempadan atas iaitu di sekitar 104.00, ia akan kembali ke zon tengah. Kemungkinan ini mendapat sokongan 25% pengayun pada H4 dan D1 yang memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir berada pada paras 103.65, dan 103.00 adalah paras seterusnya. Sasaran mereka terletak di sekitar 102.50.
35% penganalisis dan juga analisis grafik pada D1 memilih hakikat bahawa pasangan ini masih lagi boleh menembusi sempadan atas saluran yang ditetapkan dan naik ke zon di antara 104.70-105.00. Sasaran bull yang berikutnya adalah 105.70; Akhir sekali, baki 10% lagi penganalisis bersikap neutral, menjangkakan pasangan ini akan mengalami turun naik di sekitar Pivot Point 104.00;
- Matawang Kripto. Sikap optimis para pelabur mendapat suntikan tambahan dengan pentadbiran Joe Biden yang sudah pasti akan memegang tampuk tertinggi Amerika Syarikat. Pengasas bank kripto Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz memaklumkan pada CNBC bahawa pasukan Trump tidak pernah mampu untuk menghentikan pertumbuhan nilai tertinggi matawang kripto utama itu, dan menyatakan harapan supaya penggubal dasar kewangan akan mengambil pendekatan yang lebih taat di bawah pimpinan presiden yang baru. “Saya berharap kita akan memperoleh penggubal dasar yang lebih bersikap progresif selepas majlis pelantikan rasmi [20 Januari, 2021] nanti. Kami gembira menunggu barisan pentabiran yang baru dan melihat rangka kerja penyeliaan yang lebih bersifat membantu dan bukannya membanteras matawang kripto,” jelas Novogratz.
Bagi kemasukan pelabur-pelabur berinstitusi besar ke dalam pasaran pula, selain daripada sekatan undang-undang, mereka mendapat halangan daripada turun naik matawang kripto yang amat tinggi. Justeru, para penganalisis di bank pelaburan JPMorgan percaya bahawa imej bitcoin sebagai alternatif kepada emas akan menjadikannya lebih popular dan kemudian meramalkan nilainya akan bertumbuh kepada $146,000. Namun ia memerlukan penumpuan turun naik indikator bitcoin dan juga emas, dan semua itu adalah “proses yang memakan tahun."
Melihat pada perkara yang berlaku terhadap bitcoin baru-baru ini, anggaran yang dibuat oleh JPMorgan mungkin agak konservartif bagi kebanyakan orang. Menurut penganalisis pelaburan di Pantera Capital, hanya tinggal beberapa minggu saja sebelum pasaran melihat harga Bitcoin mencecah $115,000. Bercakap kepada CNBC, CEO syarikat pelaburan Pantera Capital iaitu Dan Morehead menyatakan bekalan bitcoin yang terhad menjadi kunci utama pertumbuhan nilai matawang kripto tersebut. Kini, syarikat-syarikat besar seperti PayPal dan juga Grayscale membeli lebih banyak BTC berbanding jumlah bitcoin yang mampu penghasil hasilkan, beliau menjelaskan.
Buat masa ini, dana terkumpul aset digital Bitcoin dan Ethereum yang dimiliki Grayscale masing-masing adalah berjumlah $14.075 bilion dan $1.808 bilion. Menurut penganalisis Kevin Rooke, syarikat gergasi itu terus membeli bitcoin, dan hal tersebut mencadangkan bahawa Greyscale telah menetapkan untuk pertumbuhan nilai jangka panjang matawang digital terbesar itu.
Seorang lagi penganalisis popular iaitu Willie Woo bersetuju dengan kenyataan tersebut. Pada pandangan beliau, setelah nilai bitcoin melepasi sempadan $24,000, makin jelas bahawa pasaran kini di bawah kawalan pelabur jangka panjang.
Binance, salah satu bursa kripto terbesar juga memberikan ramalan mereka. “Kami merasakan nilai $50,000 adalah berpatutan, tapi nilai tersebut sudah pasti akan naik lebih tinggi. Saya rasa nilainya akan mencecah $75,000 - $100,000 untuk 1 BTC menjelang akhir 2021” jelas Catherine Coley iaitu CEO cawangan syarikat itu di AS.
Akhir sekali, ramalan bagi pasangan BTC/USD paling berani telah dibuat oleh pengasas Insider iaitu Henry Blodget dan juga CEO bursa bitcoin Kraken iaitu Jesse Powell: kedua-dua mereka menyatakan $1 juta bagi setiap coin. Walau bagaimanapun, Blodget percaya semua itu akan berlaku disebabkan oleh spekulator, manakala Powell pula berkata ia bergantung pada pertambahan pelaburan matawang kripto oleh pelabur berinstitusi.
Bagi altcoin No.1, jumlah keseluruhan modal pasaran ethereum telah melepasi $140 bilion, jumlah yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat gergasi permotoran, contohnya General Motors ($50.5 bilion), BMW ($47.1 bilion) dan Ferrari ($36.2 bilion). Aliran masuk modal ETH akan menjadi lebih tinggi pada tahun 2021, jelas penganalisis Messari iaitu Ryan Watkins. Sesetengah pelabur sudah pun tertumpu secara eksklusif terhadap ethereum. Peristiwa penting yang bakal berlaku untuk altcoin ini adalah pelancaran niaga hadapan ethereum di Chicago Exchange (CME). Secara umumnya, mengikut anggaran pedagang di Amsterdam Stock Exchange iaitu Michael van de Poppe, lonjakan pasaran altcoin ke paras yang lebih tinggi akan bermula pada suku pertama tahun ini.
Kumpulan Analitik NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali