Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 12 - 16 April, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Ekonomi A.S. terus pulih dengan aktif. Indeks S&P500 mencatatkan kadar rekod tertinggi yang baru, nilai bon Perbendaharaan Amerika terus bertambah, dan disebabkan itu, jumlah hasilnya berkurangan. Nilai dolar juga turut sama menyusut.
    Walau bagaimanapun, sebahagian besar pasaran tidak memberikan reaksi terhadap jumlah sebenar pada minggu lalu, tetapi pada ramalan serta unjuran. Seperti yang telah dinyatakan, ekonomi AS kini bertumbuh pesat. Namun ketua Rizab Persekutuan AS berkata walaupun statistik untuk bulan Mac menunjukkan kadar yang memberangsangkan, ia masih belum cukup untuk memulakan perbincangan mengenai pengurangan program rangsangan fiskal. Menurut Jerome Powell, hasil positif untuk beberapa bulan seperti itu diperlukan bagi memulakannya.
    Rakan sejawat beliau bersetuju dengan pendapat itu. Ketua Bank Rizab Persekutuan San Francisco iaitu Mary Daly sedar bahawa ekonomi AS masih belum pulih sepenuhnya, dan pihak Rizab akan menunggu sehingga ianya berlaku. Manakala ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis, James Bullard berkata tiada siapa yang harus berfikir untuk mengubah polisi kewangan AS sebelum berakhirnya pandemik COVID-19.
    Di bahagian lain Lautan Atlantik, para pegawai EU bersungguh-sungguh mengeluarkan lebih banyak kenyataan mengenai penamatan perintah berkurung tidak lama lagi serta kadar pertumbuhan ekonomi di Eurozone yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Walaupun Kaunselor Jerman iaitu Angela Merkel meminta pengasingan yang lebih ketat, data optimis telah ditunjukkan oleh pengeluaran industri negara itu.
    Hasil daripada semua itu, kelebihan lebih berpihak kepada euro. Seperti yang diramal kebanyakan penganalisis, kedudukan pasangan EUR/USD meningkat, naik ke paras 1.1930 pada hari Khamis, 8 April. Ia kemudian diikuti dengan pembetulan dan berakhir pada kedudukan 1.1900;
  • GBP/USD. Masalah defisit dagangan yang besar serta nilai defisit belanjawan negara yang timbul setelah UK keluar daripada EU terus memberi tekanan kepada pound. Walaupun nilai dolar susut berbanding matawang yang lain, ia tetap menghalang pasangan GBP/USD daripada kembali bertumbuh. Dapatlah kita lihat bagaimana matawang British itu sedikit demi sedikit susut nilainya bermula sejak 24 Februari lalu. Pasangan ini hanya mampu naik ke paras 1.3920 pada minggu lepas. Ia diikuti dengan pengunduran, dan seperti yang diramal oleh analisis grafik, kedudukannya jatuh ke paras 1.3670. Kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.3710;
  • USD/JPY. Berulang kali telah kami nyatakan bahawa kadar pasangan ini amat dipengaruhi oleh hasil daripada bon Perbendaharaan AS. Turun naik jumlah hasil sekuriti ini telah membolehkan yen memperkukuhkan sedikit nilainya dan merampas 165 mata daripada dolar sepanjang empat hari pertama minggu lalu, turun ke paras 109.00. Walau bagaimanapun, semangat bear mula hilang, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 109.65;
  • Matawang Kripto. Majoriti penganalisis (70%) pada minggu lalu memberi ramalan negatif untuk pasangan BTC/USD, menjangkakan pergerakannya menuju ke paras $50,000. Sememangnya ia berlaku, dan penurunan nilai bitcoin ke paras $55,540 pada hari Rabu telah menyebabkan ramai yang memperkatakan tentang permulaan bagi “musim sejuk kripto” baru. Nasib menyebelahi para pelabur, keadaan panik itu bersifat sementara dan pasangan ini kembali ke zon $58,000 pada hari Jumaat. Walau bagaimanapun, persoalan mengenai kenapa matawang kripto utama itu masih gagal untuk berada di atas paras $60,000 belum lagi terjawab.
    Salah satu daripada khabar angin yang timbul adalah permintaan oleh pelabur-pelabur berinstitusi semakin berkurangan. Namun, melihat pada statistik bursa kripto yang jelas, para “jerung” terus memindahkan matawang kripto mereka ke dalam walet simpanan. Justeru, mereka berharap pertumbuhan nilainya akan terus berlaku.
    Tindakan para penghasil juga menunjukkan sentimen bullish mereka. Mereka beralih untuk menyimpan coin yang dihasilkan pada bulan April, menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran. Pergerakan matawang kripto dari penghasil ke dalam bursa kripto telah jatuh hampir 40%: daripada 450 bitcoin setiap hari pada bulan Mac kepada 275 bitcoin pada minggu pertama bulan April. Menjadi kebiasaan, kekurangan bekalan akan melonjakkan harganya. Cukuplah untuk mengingat kembali situasi sama yang berlaku sebelum ini apabila nilai pasangan BTC/USD naik daripada $19,000 kepada $30,000.
    Dalam masa yang sama, seperti mana nilai bitcoin gagal untuk berada pada kedudukan $60,000, jumlah keseluruhan modal pasarannya juga gagal untuk melepasi $2.0 trilion, jumlahnya berkurang setelah bergerak menghampirinya. Semasa ulasan ini dibuat pada hari Jumaat, 9 April, jumlahnya sekali lagi menghampiri paras psikologi yang penting itu, mencecah $1.990 bilion. Bagi Indeks Fear & Greed pula, bacaannya hanya berubah 4 mata sepanjang minggu, turun daripada 74 kepada 70.
    Sedia maklum bahawa penguasaan bitcoin dalam modal pasaran kripto terus berkurang: jika peratusannya pada 14 Mac lalu adalah 62%, jumlahnya kini adalah 55% pada 9 April. Tidak syak lagi semua ini akibat daripada kekurangan dinamik harga positif BTC/USD. Para spekulator beralih kepada instrumen lain, dan sekarang ini ia memberikan pulangan yang lebih banyak. Di sini anda perlu beri perhatian kepada ripple.
    Semasa nilai ripple turun ke paras $0.170 pada akhir Disember 2020 akibat saman Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC), ramai yang hilang keyakinan dengannya. Walau bagaimanapun, nilai altcoin mencecah paras tertingginya iaitu $1.108 pada 7 April lalu, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 550% sejak bermulanya tahun ini. Jumlah keseluruhan modal pasarannya juga bertambah sepanjang waktu itu, naik daripada 1.40% kepada 2.42%. Punca kenaikan ini, terutama sekali pada minggu lalu adalah disebabkan oleh berita yang mengatakan peguam ripple telah memperoleh akses ke atas dokumen SEC dan kini menunjukkan kemajuan dalam proses litigasi terhadap penggubal dasar tersebut. 

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Seperti yang telah dinyatakan dalam bahagian pertama ulasan ini, kenyataan para pemimpin Rizab Persekutuan AS, pertumbuhan pasaran saham serta penurunan hasil bon Perbendaharaan AS menjadi faktor utama. Namun semua itu bersifat sementara. Sama juga dengan penyusutan nilai dolar. Pada masa tertentu, segalanya boleh berubah serta-merta. Lebih tinggi kedudukan indeks saham AS - Nasdaq, Dow Jones, S&P500, lebih hangat perbincangan berkenaan “gelembung” yang akan pecah. Sehingga akhir Februari 2021, para pelabur telah membuat pinjaman dengan jumlah tertinggi iaitu sebanyak $814 bilion yang mendapat jaminan daripada portfolio mereka sendiri. Jumlah ini adalah 49% lebih tinggi berbanding setahun yang lalu. Situasi sama pernah berlaku dan ia berakhir dengan keruntuhan pasaran saham serta krisis ekonomi pada tahun 2008.
    Namun sehingga ia berlaku, daya tarikan terhadap dolar terus menyusut, dan memberi kelebihan kepada matawang berkadaran rendah, terutama sekali, euro. Konfrontasi antara pihak Demokrat dan juga Republikan dalam Dewan Senat AS mengenai rangsangan fiskal baru telah memburukkan lagi keadaan.
    Sudah pasti, jalan buntu yang dihadapi ahli politik ini akan berakhir, dan keadaan akan menjadi lebih jelas tentang keputusan program vaksin dengan kepantasan ekonomi di AS dan Eurozone untuk pulih. Walau bagaimanapun, menurut ramalan 65% penganalisis, pasangan EUR/USD akan terus bertumbuh pada minggu depan. Senario ini mendapat sokongan 75% pengayun serta 85% indikator trend pada H4. Kelebihan yang dimiliki “hijau” pada D1 adalah agak lemah, hanya 65% indikator teknikal yang menunjukkan pertumbuhan pasangan ini. Dalam masa yang sama, 15% pengayun berwarna kelabu neutral, manakala 20% lagi sudahpun memberi isyarat mengenai lebihan belian yang ada pada pasangan ini.
    Bagi analisis grafik, ia menunjukkan julat dagangan antara 1.1835-1.1950 pada H4, dan sudah pasti julatnya adalah lebih lebar pada D1: mulanya, pasangan ini akan turun ke sempadan bawah di zon 1.1700, kemudian naik ke paras 1.2000. Sila maklum apabila beralih ke ramalan bulanan daripada ramalan mingguan, 55% penganalisis bersetuju dengan penurunan pasangan ini ke paras dekat dengan 1.1700.
    Bagi peristiwa yang bakal berlaku pada minggu depan, kita harus beri tumpuan pada indikator inflasi dan juga data pasaran pengguna di AS (dikeluarkan pada 13, 15 dan 16 April), di Eurozone (12 April) dan di Jerman (15 April). Tumpuan juga boleh diberi pada ucapan ketua Rizab Persekutuan AS iaitu Jerome Powel pada hari Rabu, 14 April;

  • GBP/USD. Buat masa sekarang, bear benar-benar memiliki kelebihan ke atas pasangan ini. 85% pengayun serta 100% indikator trend pada H4 adalah berwarna merah. Pada D1 pula, masing-masing adalah 85% dan 80%. 65% penganalisis juga memilih penurunan pasangan ini ke paras yang lebih rendah. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.3670, sasarannya adalah untuk beralih ke zon di antara 1.3575-1.3610. Analisis grafik pada D1 juga menunjukkan trend penurunan berterusan. Walau bagaimanapun, menurut apa yang diramalkan, pasangan ini mungkin akan naik ke paras rintangan 1.3900 terlebih dahulu sebelum menuju ke bawah.
    Walaupun pound terus dijual, ramai penganalisis maklum bahawa ia  tidak menjejaskan trend jangka panjang ke atas yang bermula pada 20 Mac, 2020. Penurunan yang berlaku sejak 6 minggu lalu hanya dianggap sebagai pembetulan, dan selepas ini matawang British itu mungkin akan mengalami pertumbuhan berterusan. Matawang pound akan mendapatkan semula daya tarikannya, terutama sekali jika nilai besar modal yang ditinggalkan akibat Brexit mengalir masuk semula ke negara itu. Pound juga disokong oleh kejayaan peringkat awal program vaksinasi COVID-19. Dalam hal ini, menurut 70% penganalisis, pasangan GBP/USD memiliki peluang tinggi untuk mendapatkan semula kedudukannya dan kembali ke zon 1.4000 pada awalnya, dan kemudian menguji kedudukan tertinggi yang dicapai pada 24 Februari iaitu 1.4240 sebelum berakhirnya musim bunga;
  • USD/JPY. Pada awal Mac lalu, jumlah pembelian kontrak hadapan untuk yen telah melebihi jumlah jualan. Namun segalanya berubah apabila ekonomi AS pulih dengan cepat. Menurut Suruhanjaya Dagangan Komoditi Hadapan (CFTC), bilangan kontrak short ke atas matawang Jepun ini mula bertambah sejak pertengahan bulan Mac, mencatatkan rekod tertinggi sejak Januari 2019.
    Buat masa ini, walaupun terdapat kekeliruan yang berlaku ke atas bacaan indikator, majoriti penganalisis (65%) yang disokong analisis grafik pada H4 menjangkakan penyusutan berterusan matawang yen dan kembalinya pasangan USD/JPY, pertama sekali ke paras 111.00, dan kemudian naik 100 mata lebih tinggi ke paras 112.00.
    Baki lagi 35% penganalisis menjangkakan penurunan, ingin melihat bagaimana pasangan ini akan menguji paras sokongan 108.40. Selain itu, apabila beralih pada ramalan bulanan, bilangan penyokong bear bertambah kepada 60%, manakala sasarannya berubah ke zon di antara 105.00-106.20.
    Bagi peristiwa yang bakal berlaku pada minggu depan, anda boleh menumpukan perhatian pada ucapan ketua Bank of Japan iaitu Haruhiko Kuroda pada hari Rabu, 14 April di mana pasaran menunggu untuk sebarang isyarat berkenaan polisi kewangan oleh pihak penggubal dasar dalam masa terdekat ini. Jika diingat Bank of Japan masih gagal untuk memberikan reaksi terhadap pertambahan jumlah hasil sekuriti AS dan apa yang perlu dilakukan pada bon milik negara itu sendiri. Jika hasil bon 10 tahun AS serta harga komoditi terus meningkat, dan para penggubal dasar tidak memberi sebarang respon, yen mungkin akan menerima tamparan besar. Ia sudahpun mengalami kerugian yang amat ketara, rugi kira-kira 700 mata berbanding dolar sepanjang tiga bulan lalu.
  • Matawang Kripto. Minggu lalu dipenuhi dengan bermacam-macam laporan berita. Disebabkan itu, bank pelaburan Morgan Stanley telah membuat permohonan dengan Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS (SEC) untuk melaburkan 12 dana yang dimiliki bank tersebut ke dalam BTC. Dalam permohonan mereka, setiap dana yang dinyatakan boleh dilabur ke dalam matawang kripto pertama sehingga 25% daripada jumlah modal. Ia adalah berita baik untuk para pelabur.
    Dalam berita lain, hartawan yang juga pengasas PayPal, Peter Thiel telah mengisytiharkan dengan tiba-tiba bahawa bitcoin kini menjadi salah satu instrumen dalam polisi di China dan terus-menerus memberi tekanan kepada dolar. Menurut Peter Thiel, disebabkan itulah kerajaan AS seharusnya memberi tumpuan terhadap peraturan ke atas matawang kripto penanda aras tersebut. Anda perlu ingat bahawa sebelum ini ahli perniagaan itu adalah seorang penyokong bitcoin, dan kini seseorang perlu mencari apakah atau siapakah yang telah mengubah fikiran beliau. Jika ianya datang dari White House, ia memberi isyarat yang amat negatif terhadap pasaran matawang kripto.
    Bagi ramalan pula, penganalisis di sebuah lagi bank terbesar, JPMorgan telah menjadikan $130,000 sebagai sasaran jangka panjang untuk kadar bitcoin, mengurangkan sedikit jumlah itu daripada $146,000 akibat penurunan sebut harga emas. Ramalan oleh penganalisis itu adalah berdasarkan pengiraan mengikut teori jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto pertama jika berlakunya aliran masuk dana daripada pasaran logam berharga.
    Umumnya, topik perbandingan bitcoin dan emas yang mengatakan matawang kripto akan menjadi salah satu alternatif digital kini lebih kerap dibincangkan. Ramai bull bitcoin dalam kalangan penganalisis mengatakan BTC akan mengatasi emas dari segi modal pasaran pada masa depan. Dalam hal ini, nilai bitcoin harus bertambah 10 kali ganda dan melebihi paras $11 trilion. Menurut penganalisis di Ark Invest, ia boleh berlaku beberapa tahun akan datang. “Kami percaya bitcoin adalah lebih baik berbanding emas dan selamat untuk saya katakan bahawa ia mampu untuk mengambil sedikit daripada modal pasaran emas, atau mungkin lebih banyak lagi."
    Hartawan dan juga pengasas bank kripto Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz bersetuju dengan ramalan Ark Invest. Dalam komen untuk CNBC, beliau menyatakan beliau agak terkejut dengan tahap kelajuan penerimaan aset digital. Pelabur itu juga turut mengakui bahawa ramalan beliau sebelum ini mengenai nilai matawang kripto utama tersebut ke paras $60,000 adalah agak konservatif. “Bitcoin sedang berada di laluan yang betul untuk mencecah dan mengatasi jumlah keseluruhan modal pasaran emas,” jelas Novogratz.
    Ramalan yang dibuat oleh penulis buku “Rich Dad, Poor Dad” yang juga seorang pelabur dan usahawan iaitu Robert Kiyosaki adalah agak mengejutkan. Beliau menyatakan dalam temubualnya baru-baru ini bahawa nilai matawang kripto pertama itu mampu mencecah $1.2 juta dalam tempoh lima tahun akan datang. Kiyosaki membeli bitoin buat pertama kali pada tahun lalu setelah pandemik memberi kesan terhadap ekonomi global. Ketika itu ia didagangkan pada nilai $9,000. “Seperti kebanyakan orang, saya berharap dapat membelinya pada harga 10 sen, namun saya masih kelihatan seperti seorang genius kerana nilainya pada hari ini adalah kira-kira $55,000. Saya rasa lima tahun lagi nilainya akan menjadi $1.2 juta,” jelas usahawan itu.
    Dalam masa yang sama, walaupun pendapat Kiyosaki yang mempertahankan bitcoin adalah bertentangan dengan Peter Thiel, beliau masih lagi gemar dengan emas dan perak untuk pelaburan utamanya, menjelaskan bahawa matawang kripto pada hakikatnya masih tidak lagi dikawal selia.
    Akhir sekali, di penghujung ulasan, satu lagi petua kripto. Kali ini, berkenaan cara mendapat pulangan tanpa “melombong”, tanpa membeli atau menjual matawang kripto. Rupa-rupanya, cukup jika anda berpandangan jauh dan mendaftarkan alamat Internet dengan nama yang berpotensi untuk menjadikan anda seorang jutawan. Apa yang berlaku, pendaftar nama domain GoDaddy telah mengiklankan domain Bitcoin.com milik Roger Ver akan dijual dengan harga $100 juta awal minggu lalu. Walau bagaimanapun, pada kali ini urusan tersebut gagal: setelah melihat iklan itu, pemiliknya mengatakan bahawa semua itu adalah “100% palsu” dan menuntut agar iklan jualan domainnya diturunkan. Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh mendapatkan sedikit untung daripada nama domain yang lain. Lagipun, masih terdapat banyak matawang kripto di dunia ini yang berpotensi selain daripada bitcoin.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.