Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 07 - 11 Jun, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Apabila memberikan ramalan mereka pada minggu lalu, 50% daripada penganalisis menjangkakan pengukuhan nilai dolar serta penyusutan kadar pasangan EUR/USD ke sekitar 1.2000, 30% pula memilih pergerakan mendatar terus berlaku di saluran 1.2125-1.2265, manakala baki 20% lagi menyokong sempadan atas saluran tersebut berjaya ditembusi.
    Pasangan ini naik ke atas pada awal minggu, dan bergerak menghampiri sempadan atas saluran itu pada hari Selasa, 10 Jun, mencecah ketinggian 1.2255. Bull mendapat kekuatan daripada data pasaran pengguna di Eurozone yang positif. Walau bagaimanapun, semua itu tidak cukup untuk meneruskan momentumnya, dan data PMI ISM dalam sektor pembuatan di AS yang turut memberi keputusan “cemerlang” mengubah arah pergerakan pasangan itu ke bawah. Nilai dolar terus mengukuh setelah statistik pasaran buruh di AS yang mengagumkan diketahui pada hari Khamis, 3 Jun. Bilangan permohonan faedah pengangguran pasca pandemik berada pada jumlah terendah untuk kali kelima berturut-turut, turun kepada 385 ribu. Manakala kadar pengambilan bekerja dalam sektor swasta dari ADP meningkat kepada 978 ribu, jumlah tertinggi dalam tempoh setahun yang lalu. Disebabkan semua itu, indeks dolar DXY naik 0.66%, bertambah 60 mata serta kembali ke kedudukan yang sama pada pertengahan bulan lalu, dan pasangan EUR/USD pula, jatuh ke paras 1.2103 setelah menembusi sempadan bawah saluran berkenaan.
    Pasaran terganggu sementara menunggu data bilangan pekerjaan yang terhasil bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS yang biasa dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan. Namun data ini telah menghampakan mereka yang menantikan pengukuhan nilai dolar yang lebih tinggi: jumlahnya adalah 599K berbanding 650K yang diunjurkan. Hasilnya, pasangan ini hampir serta-merta kembali ke saluran mendatar 1.2125-1.2265 dan mengakhiri tempoh lima hari pada paras 1.2165;
  • GBP/USD. Seorang pengurus Bank of England, Gertjan Vlieghe telah mengumumkan pada hari Khamis, 27 Mei, bahawa kadar faedah mungkin akan dinaikkan bermula seawal enam bulan pertama tahun 2022. Kenyataan ini memberi harapan kepada bull untuk melihat pound memperbaharui paras tertinggi selama 36 bulan pada 1.4240 tidak lama lagi. Bear memutuskan bahawa masih terlalu awal untuk berasa gembira kerana masa untuk tiba ke separuh pertama tahun 2022 masih lagi panjang, macam-macam perkara boleh berlaku. Kemudian, data pasaran buruh di AS yang memberangsangkan dikeluarkan pada 3 Jun, manakala data yang agak membimbangkan pula dikeluarkan pada 4 Jun.
    Umumnya, seperti EUR/USD, pergerakan pasangan GBP/USD dipengaruhi oleh gelombang berita dari pelbagai arah dan berakhir di koridor mendatar selama tiga minggu di antara 1.4075-1.4220, berada di zon 1.4165 iaitu kedudukan terakhirnya;
  • USD/JPY. Kami menggelar bacaan analisis teknikal bagi pasangan ini sebagai Greenpeace. Pada ramalan minggu lalu - warna hijau sangat mendominasi keadaan. 60% penganalisis menyokong sentimen bullish dan jangkaan mereka tidak salah. Bersama-sama pertumbuhan indeks dolar DXY serta perolehan bon Perbendaharaan AS, pasangan ini memperbaharui kedudukan tertingginya iaitu 110.20 yang dicapai sejak dua bulan lalu dan naik ke paras 110.32 pada hari Khamis, 3 Jun. Namun, disebabkan oleh data NFP, ia menerima tekanan hebat bearish dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 109.50;
  • Matawang Kripto. Nilai bitcoin melonjak ke paras tertingginya iaitu $64,595 bagi setiap BTC pada 14 April. Pada hari itu, kontrak depan untuk bulan Jun menunjukkan nilai yang lebih tinggi, $66,450. Kemudian tiba bulan Mei. Disebabkan oleh usaha yang ditunjukkan oleh Elon Musk dan penggubal dasar di China, bitcoin kehilangan separuh daripada nilainya, dan menghabiskan masa dua setengah minggu berada dalam keadaan penyatuan di sekitar $36,000-37,000.
    Kebiasaannya, penyatuan seperti itu akan diikuti pula dengan lonjakan yang memberangsangkan. Persoalannya ke arah mana: ke atas atau ke bawah? Segala yang berlaku mencadangkan tidak masuk akal untuk kita membuat ramalan berdasarkan pada analisis teknikal. Malah membuat tekaan dengan menggunakan bintang atau biji kopi mungkin akan memberi keputusan yang lebih tepat. Pasaran ini dikuasai oleh COVID-19, penggubal dasar dan juga mereka yang berpengaruh.
    Penglibatan budaya korporat moden antara lainnya mengikuti trend persekitaran. Inilah tindakan yang diambil oleh Elon Musk, salah seorang yang berpengaruh seperti yang disebut di atas. Apa yang dilakukannya, beliau terus menghantar ciapan untuk mempengaruhi para pelabur. Jadi pada minggu lalu, beliau berseloroh dengan tidak jelas dan membuat spekulasi berkenaan kemungkinan Tesla akan kekal menyingkirkan bitcoin, dan demikian berakhirlah harapan bull untuk menembusi paras $40,000.
    Hal ini turut dirumitkan lagi oleh penggubal dasar. Kami telah nyatakan dengan jelas dalam ulasan minggu lalu berkenaan pendirian tegas Beijing yang ingit menyingkirkan matawang kripto. Pascal Blanc, seorang pengurus terkenal di salah sebuah syarikat pengurusan aset terbesar iaitu Amundi bersetuju dengan tindakan tersebut dengan menyatakan matawang kripto adalah suatu “sandiwara” dan “angan-angan”, dan akhirnya pihak kerajaan serta penggubal dasar perlu “menghentikan semua itu."
    Walau bagaimanapun, pihak Rizab Persekutuan AS dan juga ECB tidak masuk campur dalam permainan “orkestra kripto”, mereka tidak mengenakan halangan atau sekatan pada peserta pasaran, namun hanya memerhatikan segala apa yang berlaku. Sifat tenang mereka menjadi contoh kepada pihak lain, antaranya penggubal dasar yang kurang disebut-sebut, dan mereka ini juga percaya mereka tiada pengalaman yang mencukupi untuk mengambil langkah seperti itu secara tiba-tiba. Sebagai contoh, Menteri Kewangan Norway, Jan Thor Sanner berkata bahawa semua orang mempunyai pilihan sama ada untuk melabur wang mereka dalam bitcoin atau lain-lain aset. Semua ini benar jika prosesnya betul-betul diselia.
    Changpeng Zhao, pengasas bursa Binance bersetuju dengan menteri dari Norway itu. Beliau berpendapat adalah lebih efektif untuk menggubal dasar berkenaan matawang kripto berbanding cuba untuk “memadam” semuanya. Tiada satu undang-undang pun yang mampu memusnahkan bitcoin dan juga blockchain, jelas Changpeng Zhao. “Lagipun anda tidak boleh musnahkan bitcoin kerana 500 juta orang memikirkannya,".
    Benar, pasaran kripto kini menjadi lebih global, bukan hanya pedagang serta pelabur kecil yang terlibat, malah bank-bank besar dunia, dana pelaburan dan sistem bayaran juga turut serta. Bitcoin sendiri telah dihasilkan untuk melangkau pelbagai larangan dan juga sekatan. Contohnya, pedagang dan pelombong China boleh memindahkan aktiviti mereka ke negara lain. Kita akan dapat lihat sama ada China sendiri akan mendapat faedah daripada semua ini atau tidak.
    Umumnya, kita hanya perlu tunggu dan lihat. Dalam pada itu, seperti yang telah dinyatakan, matawang kripto utama mengalami penyatuan di zon antara $36,000-37,000. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto juga agak tenang, naik hanya 6 mata dalam masa seminggu, daripada 21 kepada 27. Namun Indeks Dominasi sekali lagi turun dengan laju, jatuh daripada 43.11% kepada 41.7% dari jumlah keseluruhan modal pasaran kripto yang berada pada kedudukan $1.663 trilion pada petang Jumaat, 4 Jun.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pasangan EUR/USD terus berada di kedudukan antara 1.2125-1.2265 dalam saluran mendatar untuk tiga minggu berturut-turut dan percubaan untuk menembusinya juga gagal. Justeru, apabila merumuskan bacaan indikator teknikal, kami mendapati kedua-dua trend dan juga pengayun adalah berwarna kelabu neutral.
    Bagi faktor makroekonomi pula, data menunjukkan keadaan pasaran buruh di AS terus bertambah baik. Walaupun lebih rendah daripada jangkaan, jumlah bilangan pekerjaan baru yang terhasil bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di negara itu pada bulan Mei adalah dua kali lebih banyak berbanding jumlahnya pada bulan April.
    60% penganalisis percaya data pasaran buruh yang kukuh mungkin akan meyakinkan pihak Rizab Persekutuan untuk mengurangkan pembelian semula bon yang dibuat sebelum ini serta mengurangkan jumlah program QE. Semua itu akan mengakibatkan jumlah perolehan bon jangka panjang Perbendaharaan meningkat serta mengukuhkan lagi kedudukan USD. Cuaca musim panas yang baik, sejumlah besar penduduk telah menerima vaksin COVID-19, serta berakhirnya sekatan pergerakan disebut-sebut sebagai hujah tambahan.
    Walau bagaimanapun, pihak Eropah juga tidak berdiam diri, kerana mengikut pandangan 40% lagi penganalisis, jika nilai dolar benar-benar mengalami pengukuhan, sudah pasti ianya hanya bersifat sementara. Menurut kelompok penganalisis itu, situasi pasaran buruh di AS yang semakin bertambah baik sekarang ini adalah sama seperti apa yang telah dirancang oleh pihak Rizab dan bukan menjadi penyebab untuk mengetatkan polisi ekonomi serta menaikkan kadar faedah. Tanpa mengambil semua langkah itu, lama-kelamaan para pelabur akan mula mencari aset antarabangsa yang lebih menarik, dan trend pasangan EUR/USD ke atas akan mendapat kekuatan yang baru.
    Sasaran bear yang paling hampir berada di zon antara 1.1985-1.2000, sokongan berada pada paras 1.2135, 1.2100 dan 1.2060 di sepanjang perjalanan itu. Bull masih ingin menembusi sempadan atas saluran 1.2265 dan kembali ke paras tertinggi yang dicapai pada tahun ini iaitu 1.2350.
    Untuk peristiwa yang bakal berlaku pada minggu depan, perkara-perkara ini perlu diberi perhatian: data KDNK di Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 8 Jun, keputusan European Central Bank berkenaan kadar faedah (unjuran - tidak berubah, 0%) pada hari berikutnya, 10 Jun, serta ulasan pihak ECB berkenaan polisi kewangan. Selain itu, para pemimpin negara-negara G7 akan bermesyuarat pada hari Jumaat dan Sabtu, 11 dan 12 Jun. Mesyuarat itu sudah pastinya sesuatu yang penting, namun, tidak berbaloi untuk menunggu reaksi serta-merta daripadanya;
  • GBP/USD. Trend mendatar selama tiga minggu turut memberi kesan kepada ramalan penganalisis terhadap matawang British: 35% daripada mereka memilih pergerakan ke atas untuk pasangan ini, 35% lagi menjangkakan penurunan, manakala baki 30% pula memilih pergerakan ke sisi. Walau bagaimanapun, apabila beralih daripada ramalan mingguan ke ramalan bulanan, bilangan mereka yang menyokong pertumbuhan nilai dolar bertambah kepada 55%.
    Analisis grafik menunjukkan gambaran seperti berikut sehingga penghujung bulan Jun: pertama, penyusutan pasangan ini ke paras sokongan 1.4000, kemudian berada di zon antara 1.3900-1.3925 iaitu paras terendah mingguannya dan selepas itu pasangan ini kembali ke zon antara 1.4200-1.4220. Pengayun memberi isyarat ke pelbagai arah, manakala kebanyakan indikator trend adalah berwarna hijau. Jumlahnya adalah 85% pada H4, 95% pada D1;
  • USD/JPY. Bacaan indikator teknikal untuk pasangan ini menunjukkan keadaan kucar-kacir. Hanya indikator trend pada D1 yang menunjukkan warna hijau memiliki kelebihan ketara sebanyak 75%.
    Ramalan analisis grafik juga agak kontroversi. Pada H4, pertama sekali ia menjangkakan penurunan pasangan ini ke paras 109.00, kemudian turun ke paras terendah bulan Mei iaitu di sekitar paras 108.35. Pada D1 pula, ramalan yang diberi adalah bertentangan: memperbaharui paras tertinggi 110.95 yang dicapai pada 31 Mac. Rintangan di sepanjangnya berada pada paras 109.70, 110.00 dan 110.30.
    Keadaan yang memberangsangkan terus berlaku dikalangan penganalisis. Majoriti daripada mereka (75%) menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, baki 25% pula melihat pada penyusutan.
    Mungkin kedudukan yen akan dibantu oleh data KDNK bagi suku pertama 2021 yang akan diumumkan oleh Kabinet Menteri Jepun pada hari Selasa, 8 Jun. Mengikut ramalan, penurunan kadar KDNK mungkin bergerak sedikit perlahan daripada negatif 1.3% kepada negatif 1.2%, dan hal ini akan menunjukkan kemungkinan ekonomi di negara itu untuk pulih daripada kemelesatan;
  • Matawang Kripto. Mari mulakan dengan pendapat yang agak pesimis untuk minggu depan. Menurut Yahoo Finance, ahli strategi di syarikat kewangan JPMorgan iaitu Nikolaos Panigirtzoglou tidak menolak tentang nilai matawang kripto pertama ini yang akan terus menyusut. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, beliau berkata, kegagalan bitcoin untuk menembusi paras halangan $60,000 akan menyebabkan momentum bearish wujud dan penurunan nilainya secara automatik ke paras yang lebih rendah. Menurut para penganalisis, kejatuhan pasaran pada bulan Mei lalu telah mengurangkan lebih banyak permintaan daripada pelabur berinstitusi, disebabkan itulah harga BTC tidak dapat pulih kepada nilai asalnya. Mengikut perspektif jangka sederhana, Panigirtzoglou begitu yakin nilai bitcoin sewajarnya akan berada di antara paras $24,000-$36,000.
    “Tidak disangkal lagi dinamik letupan dan kemusnahan yang berlaku baru-baru ini telah menjadi batu penghalang kepada penerimaan matawang kripto oleh pelabur berinstitusi,” jelas ahli strategi JPMorgan itu. “Kadar turun naik yang semakin meningkat, terutama sekali yang berkaitan dengan emas telah mewujudkan halangan bagi kebanyakan pelabur, dan menjadikan emas digital ini kurang menarik jika dibandingkan dengan emas tradisional."
    Tidak seperti Nikolaos Panigirtzoglou, pengacara TV dan juga pengasas Heisenberg Capital, Max Kaiser bersikap lebih optimis dan menjangkakan harga bitcoin akan mencecah $220,000 pada enam bulan terakhir tahun 2021. “Nilai yang disasarkan ini agak agresif, semuanya berpunca daripada masalah serius yang dihadapi oleh dolar AS,” jelas pengacara TV itu.
    Kaiser turut menekankan bahawa kadar hash dan juga lain-lain metrik fundamental rangkaian berkenaan adalah lebih penting jika dibandingkan dengan harga bitcoin. Menurut beliau, harga hanya mencerminkan keadaan semasa matawang dolar: apabila nilai dolar susut, kadar matawang kripto pertama itu bertambah, begitu juga sebaliknya. “Saya tidak melihat pada harga, saya memerhatikan kadar hashnya. Indikator ini telah menunjukkan pasaran bull yang stabil dan seperti yang dijangkakan sejak 10 tahun lalu,” beliau menjelaskan.
    Pertumbuhan kadar pasangan BTC/USD juga diramal oleh para penganalisis syarikat Amerika iaitu Fundstrat. Kesimpulan itu dibuat setelah mereka selesai menganalisis corak kadar matawang kripto pertama tersebut pada carta. Mereka berpendapat, walaupun nilai bitcoin jatuh pada bulan Mei, nilainya itu mungkin akan kembali ke paras $50,000 tidak lama lagi. Pada masa yang sama, jika diingat pengasas bersama Fundstrat iaitu Tom Lee sebelum ini pernah berkata bahawa kadar BTC mungkin akan melebihi $100,000 pada tahun ini, manakala ethereum pula - $10,000.
    Namun penganalisis kripto PlanB yang terkenal menggunakan model Stock-to-Flow (S2F) pada bitcoin ternyata sudah mengalah. Beliau memaklumkan kepada 517,300 orang pengikutnya bahawa beliau mempertimbangkan pilihan call terhadap pelaburan BTC miliknya itu. “Sama akan menjadikan nilainya sifar atau $1 juta,” - beliau menyatakan kedudukannya, maklum dengan potensi untuk bitcoin bergerak ke atas adalah lebih tinggi berbanding ke bawah.
    PlanB tidak mengabaikan jualan bitcoin yang berlaku pada bulan lalu. “Jadi, apa yang berlaku pada bulan Mei? Mereka yang lemah semangat menjual kira-kira 1 juta BTC pada harga $30,000-35,000 sedangkan mereka membelinya pada harga $55,000-60,000 sebulan sebelum itu, dan mengalami jumlah kerugian puluhan bilion dolar. Berita baiknya: 1 juta bitcoin ini sekarang berada di tangan mereka yang berjiwa kental,” PlanB mengakhiri penilaian mereka terhadap situasi ini.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.