Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada hari Rabu, 16 Jun menjadi tajuk utama untuk minggu lalu. Tiada keputusan khusus yang penting diambil pada hari itu: kadar faedah tidak berubah pada kadar 0.25%. Pihak Rizab Persekutuan juga akan terus mencetak wang dan membeli semula aset dengan jumlah sama seperti sebelum ini sebanyak $120 bilion. Namun, seperti yang dijangka, hasil daripada mesyuarat tersebut, satu pelan hala tuju para penggubal dasar telah dilancarkan, ia menyebabkan penantian bull terhadap dolar seperti yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua.
Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dan juga rakan sejawatnya telah menaikkan unjuran kadar KDNK di AS untuk tahun 2021 kepada 7%, dan mereka juga maklum tentang proses mengurangkan jumlah program rangsangan fiskal (QE) perlu mula dibincangkan. Pihak Rizab tidak mahu menutup sebelah mata terhadap peningkatan kadar inflasi ke paras tertinggi sejak tahun 90an daripada terus berlaku. Walau bagaimanapun, menurut Powell, keadaan pasaran buruh di AS masih belum pulih seperti sebelum krisis dulu, dan oleh itu nasihat beliau adalah mengekalkan keadaan kewangan yang tidak ketat seperti sekarang. Bagi mesyuarat yang akan diadakan selepas ini, para penggubal dasar akan mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah QE. Beliau juga akan menetapkan di mana tahap pengangguran supaya insentif dapat dikurangkan pada mesyuarat yang akan diadakan pada 28 Julai nanti.
Para pelabur juga menerima isyarat mengenai keperluan untuk menaikkan kadar faedah lebih awal daripada yang dijangka. Purata unjuran oleh para eksekutif Rizab Persekutuan menunjukkan kadar tersebut mampu beransur-ansur naik kepada 0.5-0.6 peratus menjelang akhir 2023. Dalam masa yang sama, Jerome Powell maklum dengan kesan positif terhadap pasaran buruh yang disebabkan oleh program vaksinasi, dan kita mungkin akan dapat lihat laporan pengambilan pekerja yang kukuh tidak lama lagi. Kadar inflasi juga mungkin akan lebih tinggi dan lebih stabil berbanding dengan apa yang dijangka oleh para pegawai bank. Respon yang lebih cepat diperlukan untuk menangani setiap perkara yang bakal berlaku.
Ramalan “hawkish” oleh pihak Rizab Persekutuan seperti itu terus memulakan semula selera pasaran terhadap dolar. Para pelabur terus membeli USD walaupun statistik makro yang lemah, menjangkakan indikator itu akan bertambah baik apabila ekonomi di AS semakin pulih.
Salah satu matawang utama yang menerima kesan teruk adalah euro. Ekonomi di Eropah masih jauh ketinggalan berbanding ekonomi di Amerika dalam apa jua keadaan. Menurut Philip Laine, ketua ahli ekonomi di ECB, masih terlalu awal untuk penggubal dasar mula berbincang tentang pengurangan jumlah program QE di Eurozone walaupun pada bulan September.
Hasilnya, bermula di ketinggian 1.2125 dan meraih 280 mata pada 16 Jun, pasangan EUR/USD turun ke paras terendah mingguannya iaitu 1.1845 pada hari Jumaat, 18 Jun. Kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.1865, zon di mana pasangan ini kembali setelah 10 minggu menghilang; - GBP/USD. Jika nilai euro susut sebanyak 280 mata berbanding dolar, pound turun ke paras lebih rendah, rugi 340 mata berbanding matawang AS. Sentimen positif terhadap matawang UK hilang bak kabus pagi di London setelah perdana menteri negara itu, Boris Johnson, menunda tarikh untuk aktiviti perniagaan dibuka sepenuhnya selama sebulan. Ini berpunca daripada peningkatan kes strain Delta coronavirus yang pertama kali ditemui di India, dan menggandakan risiko untuk dimasukkan ke dalam hospital. Jangkitan ini masih berlaku walaupun pada hakikatnya 80% orang dewasa di negara tersebut telahpun mendapat suntikan pertama vaksin, dan 30% daripada itu telah mendapat suntikan yang kedua.
Pound juga menerima tekanan akibat hubungan antara London dan Brussels yang semakin tegang selepas Brexit. Ketegangan ini khususnya adalah mengenai aktiviti dagangan antara Ireland Utara dengan negara UK yang lain.
Melihat pada faktor-faktor yang tidak menggembirakan ini, satu lagi “serangan” telah dibuat pada 16 Jun oleh pihak pengurusan Rizab Persekutuan AS. Hasilnya adalah penurunan pound ke paras 1.3790, tidak jauh dari paras semasa sesi dagangan berakhir; - USD/JPY. Membuat ramalan pada lima hari yang lalu, majoriti penganalisis (60%) memilih pengukuhan nilai dolar serta pertumbuhan pasangan ini ke zon antara 110.00-110.30. Melihat pada hasil mingguannya, jangkaan mereka adalah tepat: bermula pada paras 109.70, kedudukan terakhir pasangan ini adalah 110.20.
Jelas menunjukkan kenyataan yang dibuat oleh Jerome Powell dan lain-lain eksekutif Rizab Persekutuan AS tidak mampu untuk memberi kesan terhadap pasangan USD/JPY: kedudukan tertingginya mencecah 110.80. Selain daripada nilai dolar yang mengukuh, statistik makroekonomi di Jepun yang lemah juga menambah tekanan kepada yen. Kadar pertumbuhan pesanan bagi produk kejuruteraan susut daripada + 3.7% kepada + 0.6% berbanding daripada ramalan iaitu 2.7%. Sudah pasti, kadar itu naik sebanyak 6.5% dalam tempoh setahun, namun ternyata ia lebih rendah berbanding daripada jangkaan iaitu 8%.
Walaupun jumlahnya susut, begitu juga dengan matawang utama lain yang mengalami penurunan, matawang Jepun telah menunjukkan daya tahan maksimum berbanding dolar. Pada ketika euro, pound, serta lain-lain matawang susut nilainya, yen pula adalah sebaliknya, berjaya mendapatkan semula kira-kira 60% kerugian yang dialaminya. Menurut sebilangan penganalisis, puncanya terletak pada selera risiko di pasaran yang rendah serta peningkatan minat pelabur terhadap aset selamat; - Matawang Kripto. Sudah lama diakui bahawa berita dengan jelas memberi kesan besar terhadap kadar matawang kripto. Walau bagaimanapun, kadar turun naik dalam pasaran ini yang lebih hebat adalah berpunca daripada jumlah pelaburan besar. Tiada pelaburan yang besar dibuat pada minggu lalu. Sebaliknya, jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto sedikit jatuh, turun daripada $1.585 trilion kepada $1.560 trilion. Jadi tinggallah berita yang mana orang berpengaruh serta penggubal dasar menjadi sumbernya.
Bagi orang berpengaruh, Elon Musk sekali lagi menyerlah dengan ciapannya. Kali ini, pemilik Tesla itu menyatakan syarikat beliau akan menyambung semula penerimaan BTC dalam penjualan kereta elektrik mereka apabila sekurang-kurangnya separuh daripada kelompok penghasil beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Menurut CoinGecko, nilai bitcoin naik 12% apabila ciapan itu dibuat.
Perlu tahu bahawa ciapan berkenaan adalah respon terhadap kritikan yang disuarakan oleh ketua syarikat kewangan Sygnia iaitu Magda Wierzycki. Dalam podcast The Money Show, beliau menyatakan pengasas syarikat Tesla itu telah memanipulasi nilai matawang kripto pertama tersebut. Mengikut pengamatannya, hartawan itu dengan sengaja menaikkan nilai emas digital berkenaan dan menjual kebanyakan posisi yang dimiliki semasa nilainya mencecah kedudukan tertinggi. CEO Sygnia itu menekankan lagi jika ciapan Musk adalah mengenai mana-mana syarikat awam lain, beliau pasti sudah menjadi sasaran Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC).
Sekarang masa untuk penggubal dasar, berita mengenainya hadir dari setiap pelusuk dunia. Menteri Kewangan Tunisia, Ali Kuli mengumumkan terdapat keperluan untuk meminda undang-undang negara berkenaan bagi “membebaskan” pemilik matawang kripto pertama itu. Kerajaan India juga tidak lagi menentang dan kini berpihak kepada bitcoin. Seperti Tunisia, India tidak ingin lagi mengharamkan kelompok kripto, tetapi mengawalnya. Bank-bank di Texas (AS) telah dibenarkan untuk menerima serta menyimpan bitcoin milik pelanggan, dan juga mengendalikan transaksi matawang kripto mereka. Perlu diingat dari kesemua negeri-negeri di Amerika, Texas adalah antara yang pertama yang memilih untuk menggubal undang-undang bagi pasaran ini seawal tahun 2019.
Perkara yang sama juga berlaku di El Salvador. Presiden negara itu, Nayib Bukele telah mencadangkan “undang-undang bitcoin” untuk dipertimbangkan parlimen negaranya. Di bawah undang-undang tersebut, matawang kripto diiktiraf sebagai sah dan syarikat-syarikat perlu menerima bayaran dalam bentuk BTC. Selain itu, dagangan bitcoin akan dikecualikan daripada cukai keuntungan modal.
Walau bagaimanapun, sebilangan pegawai di Eropah mula hilang minat terhadap aset digital berkenaan. Peter Hasekamp, pengarah di Biro Analisis Ekonomi untuk Menteri Kewangan Belanda berkata pengharaman sepenuhnya penghasilan serta transaksi bitcoin harus dimulakan secepat mungkin. Beliau berpendapat, emas digital berkenaan tidak memiliki nilai hakiki, sering diguna dalam persekitaran jenayah, serta keruntuhan pasaran kripto tetap akan berlaku.
Namun, melihat pada trend yang ada, En. Hasekamp akan kekal sebagai golongan minoriti. Kebanyakan penggubal dasar akan cuba untuk mengawal aset digital. Seperti yang sering dilaungkan oleh Otto von Bismarck, Kaunselor Jerman terulung pada kurun ke-19, “Jika gagal mengalahkannya, pimpinlah ia."
Didorong oleh berita serta keinginan bull untuk membalas dendam, pasangan BTC/USD memecut laju ke atas pada permulaan minggu, mencecah $41,260 pada hari Selasa, 15 Jun. Namun, nilai dolar yang kukuh dengan mendadak setelah berakhirnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS telah mengubah arah trend itu, membawa pasangan berkenaan di bawah paras $36,000 pada penghujung minggu bekerja.
Bacaan indeks dominasi bitcoin sedikit bertambah, naik daripada 44.03% kepada 45.33%. Perkara sama turut berlaku pada Indeks Fear & Greed Kripto, bacaannya naik daripada 21 kepada 25 mata. Sila maklum bahawa sejak pasangan BTC/USD bergerak secara mendatar pada akhir bulan Mei, nilainya tidak pernah melewati julat antara 20-40 mata.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Adakah penurunan EUR/USD bermaksud perubahan arah trend? Adakah semuanya akan kembali normal tidak lama lagi dan dolar akan terus mengalah? (Jika diingat, kedua-dua matawang ini hampir mencapai kesamarataan antara tahun 2016-17. Kemudian nilai euro hanya sebanyak $1.034, dan hanya setahun selepas itu nilai matawang Eropah menjadi $1.2565).
Disebabkan oleh komen pihak Rizab Persekutuan, sesetengah bank mula mengakhiri ramalan bullish mereka terhadap euro. Yang lain berhenti membuat ramalan. Pihak yang lain lagi, seperti Societe Generale menjangkakan pasangan ini kembali ke paras 1.2000. Pendapat dalam kalangan penganalisis hampir sama: 55% daripada mereka memilih penyusutan ke paras lebih rendah, manakala 45% lagi yang mendapat sokongan analisis grafik pada H4 memilih pertumbuhan. Mengikut kelompok kedua, masih terlalu awal untuk membincangkan tentang perubahan arah trend, pengesahan tambahan diperlukan, dan penurunan yang berlaku adalah hasil daripada spekulasi akibat kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Rizab Persekutuan hingga menyebabkan penutupan panik posisi long.
Bacaan analisis teknikal adalah seperti berikut: 100% indikator trend dan 100% pengayun pada H4 dan D1 adalah berwarna merah. Namun dalam masa yang sama, 35% pengayun pada kedua-dua tempoh masa sudah pun berada di zon lebihan jualan, dan hal ini menunjukkan mungkin ia sedang menghampiri pembetulan ke atas.
Pasangan ini mengakhiri minggu lalu di zon sokongan-rintangan yang kukuh, kedudukan di mana ia melonjak dari semasa ke semasa sejak 2017. Sasaran paling hampir untuk bear adalah kedudukan terendah yang dicapai pada 31 Mac, 2021, 1.1700, seterusnya - paras terendah 4 April, 1.1600. Bull akan cuba untuk mendapatkan semula kedudukannya. Rintangan kukuh yang pertama berada di zon antara 1.1985-1.2000, seterusnya adalah 100 pip lebih tinggi. Sasaran mereka adalah untuk memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada bulan Mei iaitu 1.2265. Walau bagaimanapun, jelas bahawa ia akan memakan masa lebih dari seminggu untuk mencapainya. Perlu diingat di sini bahawa jika beralih ke ramalan jangka sederhana, kelebihan memihak kepada bull, peratusannya meningkat daripada 45% kepada 60%.
Bagi peristiwa penting dari segi strategik yang akan berlaku pada minggu depan, ada baiknya untuk kita menumpukan perhatian terhadap ucapan oleh ketua ECB iaitu Christine Lagarde pada hari Isnin, 21 Jun dan juga hari Rabu, 23 Jun, mesyuarat Majlis Kesatuan Eropah yang akan berlangsung pada 24-25 Jun, serta ucapan oleh ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell di Kongres pada 22 Jun. Selain itu, data aktiviti perniagaan Markit di Jerman akan dikeluarkan pada 23 Jun, diikuti dengan pesanan modal dan barang tahan lama serta data tahunan KDNK di AS pada hari berikutnya; - GBP/USD. Pada hari Khamis, 24 Jun, satu mesyuarat oleh Bank of England akan berlangsung. Sebelum tiba harinya, para penganalisis terus membuat analisa data ekonomi yang ada untuk cuba menjangka apa langkah yang akan diambil oleh pihak penggubal dasar.
Seperti yang dinyatakan pada bahagian pertama ulasan ini, faktor negatif termasuklah risiko kekurangan tenaga buruh akibat Brexit, kontroversi yang melanda Ireland Utara serta masalah berkaitan dengan strain coronavirus yang baru.
Melihat pada statistik makro yang umumnya agak memberangsangkan, jualan runcit di UK turun secara tiba-tiba, terutama sekali makanan. Ini membuatkan seseorang berfikir kadar KDNK di UK untuk bulan Mei serta suku kedua 2021 mungkin tidak akan kukuh seperti yang dijangkakan
Laporan yang dikeluarkan pada hari Rabu lalu menunjukkan kadar keseluruhan inflasi di negara berkenaan bertambah, manakala kadar tahunan CPI meningkat sebanyak 2.1%, melepasi sasaran 2% buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Selain daripada data positif pasaran buruh di UK yang dikeluarkan pada 15 Jun, Bank of England dijangka akan memulakan perbincangan bagi menghentikan program pelonggaran kuantitatif (QE) dalam masa terdekat ini. Bagi langkah khusus yang diambil sementara oleh pihak penggubal dasar, seperti rakan sejawat mereka di Eropah dan juga Amerika Syarikat, mereka berkemungkinan tidak akan mengenakannya secara mendadak dan membiarkan parameter kreditnya - polisi kewangan mereka tidak berubah. Namun begitu, pihak pengurusan Bank of England sekali lagi tidak menolak daripada mengeluarkan kenyataan hawkish seperti yang dibuat oleh pihak Rizab Persekutuan AS. Begitu juga mereka mungkin akan menolak matawang British itu ke atas.
55% daripada penganalisis menjangkakan nilai pound akan naik, disokong oleh analisis grafik pada D1. Lebih-lebih lagi, apabila beralih kepada ramalan untuk bulan Julai-Ogos, bilangan mereka meningkat kepada 70%. Bacaan indikator teknikal adalah hampir sama dengan bacaan untuk pasangan EUR/USD: kesemua 100% mereka pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan penyusutan. Benar, 25% pengayun berada di zon lebihan jualan di sini, bukannya 35%. Sokongan kukuh paling hampir berada di zon antara 1.3670-1.3700, diikuti dengan 1.3600. Rintangan - 1.3920, 1.4000, 1.4150 dan 1.4250; - USD/JPY. Menjangkakan perkara yang akan berlaku pada minggu depan, majoriti penganalisis (55%) mengunjurkan pengukuhan nilai dolar yang lebih tinggi serta pertumbuhan pasangan ini di atas paras 111.00. Mereka mendapat sokongan 85% pengayun dan juga 95% indikator trend pada D1. Analisis grafik pada H4 juga bersetuju dengan ramalan ini, namun, ia tidak mengecualikan pasangan ini akan melonjak ke atas, bergantung pada paras sokongan di antara 109.70-109.80.
Baki 35% lagi penganalisis, bersama-sama dengan analisis grafik pada D1 percaya bahawa sokongan ini tidak akan menjadi batu penghalang untuk nilai yen mengukuh, hingga mampu menyebabkan kedudukan pasangan USD/JPY turun di sekitar 108.00-108.55; - Matawang Kripto. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto sudah hampir sebulan berada di zon fear. Takut dengan keruntuhan nilainya yang berlaku antara bulan April-Mei, kebanyakan orang, terutama sekali ahli perniagaan, pelabur serta pedagang telah menjualnya untuk mendapatkan pulangan jika mereka merasakan terdapat ancaman walaupun dalam petanda kecil, dan hal ini telah menghalang pasangan BTC/USD daripada menjejakkan kaki di atas paras psikologi penting iaitu $40,000.
Pihak Rizab Persekutuan AS juga memainkan peranan mereka, menambah minat mereka terhadap dolar serta menurunkan kadar indeks saham. Cukup dengan membandingkan carta S&P500 dan juga BTC bagi melihat korelasi di antara mereka, dan jika menurut sebahagian penganalisis, kini kadar korelasi tersebut akan menjadi semakin kukuh.
Jika berlakunya penjualan saham secara aktif, kemungkinan besar ia juga tidak banyak membantu bitcoin, iaitu antara aset berisiko tinggi dikalangan pelabur berinstitusi. (Bahkan pula altcoin).
Benar, dana lindung nilai bukan saja faham tentang risiko, malah juga faedah melabur dalam aset digital. Menurut Financial Times, mereka ingin menambah pegangan matawang kripto mereka dengan “banyak” menjelang 2026. Namun, pertama sekali kita masih jauh dari tahun 2026. Yang kedua, pegangan “besar” ini tidaklah begitu “banyak”. Mengikut kaji selidik yang dibuat terhadap 100 dana lindung nilai oleh Intertrust, mereka berniat untuk memperuntukkan secara purata sehingga 7.2% portfolio pelaburan mereka ke dalam matawang kripto, dan ianya berjumlah kira-kira $312 bilion, iaitu kira-kira 20% daripada jumlah keseluruhan pasaran kripto yang ada sekarang. Pertumbuhan untuk 5-6 tahun seperti ini memang dilihat agak cukup sederhana.
Sebelum ini, pengasas dana lindung nilai Tudor Investment iaitu Paul Tudor Jones berkata dalam satu temubual dengan CNBC menyatakan beliau telah memperuntukkan 5% daripada modal yang dimilikinya ke dalam bentuk emas, bitcoin, kontrak tukaran dan juga tunai. Hartawan tersebut dalam proses untuk menentukan dalam bentuk apakah baki 80% lagi dana miliknya harus dimasukkan setelah membuat analisis terhadap keputusan yang diperoleh daripada mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada 16 Jun lalu. Pelabur membayangkan beliau mungkin akan menambah pegangan instrumen “berinflasi” jika pihak berkuasa kewangan tidak mengendahkan lonjakan “mendadak” harga pengguna yang berlaku baru-baru ini. Mesyuarat telah berakhir, mungkin kita akan mengetahui apakah peratusan akhir portfolio Tudor Investment tidak lama lagi.
Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan perkara di atas, walaupun bahaya menghampiri, pelabur berinstitusi terus percaya dengan prospek pasaran kripto. Seorang lagi hartawan, pengasas Avenue Capital Management iaitu Mark Lasry mendapati daripada pemerhatiannya, pasaran matawang kripto telahpun terbentuk dan kini tiada apa yang boleh mengancamnya. “Jika sesebuah pasaran itu telah terhasil, ia tidak akan hilang ke mana-mana,” akui ahli kewangan tersebut.
Lebih menggalakkan lagi pemilik bitcoin yang mendapat gelaran hodlers telah mula membeli dan tidak menjual aset tersebut buat pertama kalinya dalam tempoh enam bulan, sejak Oktober 2020. Manakala jerung (jumlah dalam walet antara 100 BTC dan 10,000 BTC) pula telah membeli kira-kira 90,000 coin berjumlah $3.4 bilion pada bulan lalu.
Mereka yang optimis termasuklah Tim Draper, pelabur teroka yang juga seorang hartawan. Pada tahun 2018, beliau meramalkan nilai matawang kripto pertama itu akan bertambah kepada $250,000 menjelang tahun 2022. Kini beliau mengesahkan ramalan beliau itu, walaupun dengan sedikit pemanjangan tempoh masa. Mengikut kenyataan terbarunya, bitcoin akan mencecah nilai $250,000 pada penghujung 2022 atau awal 2021, walaupun dengan kadar turun naik yang mendadak. Hartawan itu masih menyebut perkara yang sama bagi punca pertumbuhan tersebut: penghasilan coin yang terhad serta permintaan emas digital sebagai perlindungan inflasi yang bertambah.
Pada penghujung ulasan kami seperti kebiasaannya, sedikit mengenai ikhtiar hidup kripto. Kali ini, Nayyib Bukele iaitu Presiden Salvador yang baru-baru ini telah mengemukakan satu lagi inisiatif adalah heronya. Beliau telah mengarahkan ketua syarikat elektrik milik kerajaan iaitu LaGeo untuk membangunkan pelan penghasilan bitcoin dengan tenaga yang “murah, 100% bersih, 100% diperbaharui, sifar pelepasan”… daripada lebih 20 gunung berapi di negara itu. Justeru, sekiranya anda memiliki gunung berapi aktif, anda mungkin boleh mengikut jejak langkah ketua negara El Salvador. Elon Musk pasti sangat berpuas hati.
Kumpulan Analitik NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali