Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 5 - 9 Julai, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Membuat ramalan pada minggu lalu, majoriti penganalisis (60%), disokong oleh 85% pengayun serta indikator trend memilih pengukuhan dolar serta penyusutan pasangan EUR/USD ke paras terendah pada 18 Jun lalu iaitu 1.1845. Ternyata ramalan itu tepat, dan pasangan tersebut mencapai matlamatnya seawal hari Rabu, 30 Jun. Namun pergerakan dolar tidak terhenti di situ dan indeks DXY memperbaharui paras tertingginya selama tiga bulan pada hari Jumaat, 2 Julai, mencecah 92. 699.
    Pertumbuhan nilai matawang Amerika itu adalah disebabkan oleh unjuran masa bagi ekonomi di AS untuk pulih akan memaksa pihak Rizab Persekutuan dalam mempercepatkan rancangan pengurangan program rangsangan kewangan serta kredit (QE). Manakala pasaran menjangkakan data pasaran buruh yang kukuh, dan hanya akan diketahui pada tengah hari Jumaat untuk memaksa dolar bergerak ke kedudukan yang lebih tinggi.
    Menurut Jabatan Buruh, bilangan pekerjaan baru yang ada bukan dari sektor agrikultur di Amerika Syarikat (Nonfarm Payrolls) sebenarnya adalah 150 ribu lebih tinggi berbanding daripada yang dijangka: 850 ribu dan bukannya 700 ribu. Pasangan EUR/USD terus mengalami penurunan ke bawah, namun setelah mencecah paras 1.1805, tidak disangka-sangka pergerakannya berubah dan melonjak naik dengan mendadak. Puncanya adalah indikator kedua yang dikeluarkan: menurut jangkaan, kadar pengangguran seharusnya turun daripada 5.8% kepada 5.7%, walau bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku, kadarnya naik kepada 5.9%.
    Keputusan ini menunjukkan pasaran buruh AS masih belum pulih, jangkaan para pelabur berkenaan pengetatan polisi kewangan yang akan diambil pihak Rizab Persekutuan semakin berkurangan, dan hal ini menyokong sentimen risiko. Indeks Dow Jones meningkat, manakala indeks S&P500 serta indeks Komposit Nasdaq sekali lagi memperbaharui paras tertinggi mereka. Indeks DXY susut kepada 92.24 manakala EUR/USD mengakhiri sesi mingguannya pada paras 1.1863;
  • GBP/USD. Kebimbangan mengenai strain Delta COVID-19 telah memberi banyak tekanan kepada pound sterling. Para pelabur tidak gembira dengan data KDNK di UK bagi Q1, keputusannya adalah lebih teruk dan bukan seperti yang dijangka (negatif 1.6% berbanding negatif 1.5%).
    Berkenaan dengan inflasi pula, ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey dalam ucapannya menekankan kadar tinggi semasa yang berlaku sekarang adalah bersifat sementara, dan ia disebabkan oleh ekonomi British yang kembali sederhana serta mengalami kadar pertumbuhan yang perlahan. Jika bukan kerana data pengangguran di AS yang mengecewakan, pasangan GBP/USD pasti sudah menguji paras sokongan 1.3670. Realitinya, penurunannya terhenti hampir pada paras 1.3730, dan kedudukan terakhir mingguannya berada 100 mata lebih tinggi, pada paras 1.3830;
  • USD/JPY. Bank of Japan telah mengeluarkan keputusan kadar indeks Tankan bagi Q2 tahun ini pada 1 Julai. Indeks ini mencerminkan keadaan perniagaan bagi syarikat-syarikat besar di negara tersebut secara umum. Bacaan melebihi 0 dianggap sebagai faktor positif untuk JPY, manakala bacaan kurang daripada 0 dianggap sebagai negatif. Unjuran bagi indeks ini adalah meningkat kepada 15, bertambah 5 mata berbanding pada Q1 2021. Indeks Tankan bertumbuh, naik ke kedudukan 14 dan bukannya 15. Namun tiada satu pun yang memberikan sebarang kesan terhadap pasangan USD/JPY antara pertumbuhan yang berlaku dan juga bacaannya. Hal ini disebabkan oleh pasangan berkenaan tidak begitu terkesan dengan penurunan nilai hasil bon Perbendaharaan AS. Secara umumnya pasangan ini hanya mengikuti apa yang berlaku terhadap indeks DXY. Nilai dolar naik, pasangan ini juga naik, menembusi rintangan penting pada 111.00 dan meduduki ketinggian 111.65 - sangat hampir dengan paras tertinggi pada 24 Mac, 2020 - 111.70. Kemudian nilai dolar susut, kedudukan pasangan ini juga turun. Benar, ia berjaya kekal berada di atas paras 111.00 dan mengakhiri minggu pada paras 111.05;
  • Matawang Kripto.  Ramalan yang dibuat tujuh hari lalu menyebut “dengan kebarangkalian yang tinggi, pertarungan antara bull dan bear di sekitar $30,000 akan terus berlaku.” Itulah yang benar-benar berlaku. Paras terendah mingguan mencecah $30,200. Kemudian bull berjaya menolak pasangan BTC/USD ke paras $36,590, tetapi gagal untuk menembusi paras psikologi penting pada $36,000, dan harga bitcoin turun ke paras $32,700 pada hari Jumaat, 2 Julai.
    Kedua-dua pihak yang gagal untuk menunjukkan kejayaan ketara telah dibantu oleh berita-berita yang agak tenang. Kami hanya senaraikan sedikit daripada berita-berita itu, mana yang agak ketara:
    - Terdapat khabar angin yang mengatakan Paraguay akan menjadi negara kedua selepas El Savador untuk mengiktiraf bitcoin sebagai wang sah. Walau bagaimanapun, kemudian mereka menjelaskan tujuan rang undang-undang yang akan dibentang di Parlimen pada 14 Julai nanti adalah berbeza sepenuhnya dan hanya untuk mengawal selia aset digital, bukan untuk mengubah bitcoin menjadi matawang kebangsaan.
    - Keadaan panik setelah penghasilannya di China diharamkan sudah semakin reda. Di negara China sendiri, pihak berkuasa telah mengharamkan syarikat bekalan tenaga daripada membekalkan tenaga elektrik kepada para pelombong. Secara teori, hal ini sepatutnya akan menjadikan kadar hash di negara itu turun kepada sifar. Namun, sebilangan kecil perusahaan pelombong kripto cuba untuk meneruskan perniagaan mereka dengan menggunakan stesen jana kuasa hidroelektrik milik syarikat-syarikat swasta kecil. Lain-lain syarikat penghasilan telah berpindah - sesetengahnya ke AS, dan sebahagian lagi, ke negara Kazakhstan contohnya. Melihat pada perkembangan itu, Presiden Kazakhstan telah menandatangani rang undang-undang untuk memperkenalkan bayaran tambahan bagi penggunaan elektrik yang diguna untuk menghasilkan matawang kripto, dan perkara itu mungkin akan memberi kesan negatif terhadap daya tarikan industri tersebut di negara itu.
    - Ark Invest yang diuruskan oleh Katie Wood adalah syarikat kesembilan yang memohon untuk melancarkan Dana Dagangan Bursa (Exchange Traded Fund atau ETF) Bitcoin di Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS.
    - Menurut perkhidmatan analisis Chainalysis, jumlah pelabur kripto di India adalah melebihi 15 juta orang, dan pelaburan dalam matawang kripto sepanjang tahun lalu berkembang daripada kira-kira $200 juta kepada hampir $40 bilion, ini bermaksud peningkatan sebanyak 20,000%.
    - Seorang veteran pasaran kripto dan salah seorang pemilik BTC paling banyak, Mircea Popescu yang berusia 41 tahun mati lemas di Costa Rica. Beliau dikenali sebagai seorang penulis blog dan menggelarkan dirinya sebagai “penulis erotik terhebat di dunia.” Dalam kalangan komuniti kripto, beliau dikenali sebagai “genius nakal maksimalisme bitcoin”, “bapa ketoksikan bitcoin” serta “gergasi tidur” yang “mampu menjadikan nilai bitcoin kepada sifar dan membiarkannya di situ untuk seketika.” Jumlah sebenar coin yang dimiliki Popescu adalah antara 50,000 dan 300,000 BTC, menjadikannya sebagai salah seorang pemilik matawang kripto terbesar di dunia. Kini, sebahagian besar bitcoin nampaknya akan terus hilang selama-lamanya.
    Sedikit mengenai Elon Musk (kami tidak boleh meminggirkannya!) Mungkin hartawan itu sudah puas bermain dengan bitcoin dan Dogecoin, dan kini beliau ada hobi yang baru - BabyDoge. Setelah ciapan dengan teks bersahaja yang berulang sebanyak tiga kali “Baby Doge, doo, doo, doo, doo, doo, …”, nilai coin tersebut melonjak sebanyak 500% dalam tempoh dua minggu, dan jumlah dagangannya naik tiga kali ganda. Masih belum diketahui sama ada Musk sendiri berjaya memperoleh pulangan daripada tindakan “pump” seperti itu.
    Bagi pasaran kripto secara keseluruhannya, tidak seperti BabyDoge, jumlah modal pasarannya naik sedikit sepanjang minggu lalu: daripada $1.336 trilion kepada $1.381 trilion. Indeks Dominasi Bitcoin turun daripada 47.05% kepada 45.52%, manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto sekali lagi berada di zon Extreme Fear, berada di sekitar 21 mata.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Data untuk kadar inflasi dan juga pasaran pengguna di Jerman serta Eurozone adalah yang paling tidak memberangsangkan. Keuntungan daripada sektor pelancongan susut akibat jangkitan strain Delta coronavirus serta perpisahannya dengan UK. Secara umum, perasaan optimis mengenai pemulihan ekonomi di Eurozone adalah semakin berkurangan.
    Bagi Amerika Syarikat, pihak Kongres telah menaikkan unjuran bagi pertumbuhan kadar inflasi serta pertumbuhan ekonomi mereka bagi tahun 2021 - masing-masing daripada 1.7% kepada 2.8% dan juga daripada 3.7% kepada 7.4%. Pihak IMF mengunjurkan kadar KDNK di AS akan bertumbuh sebanyak 7%, peningkatan terpantas sejak tahun 1984. Bagi kadar faedah, menurut penganalisis di IMF, pihak Rizab Persekutuan akan menaikkannya sama ada pada penghujung 2022 atau awal 2023. Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia iaitu Patrick Harker mencadangkan untuk mula menamatkan Program Pembelian Aset (QE) seawal tahun ini. Lebih cepat ia dimulakan, lebih awal kadar faedah akan dinaikkan pada tahun 2022.
    Pihak Rizab Persekutuan berulang kali menyatakan bahawa kadar faedah hanya akan dinaikkan jika pengangguran berada pada kadar sifar. Jika data pasaran buruh yang dikeluarkan pada 2 Julai menunjukkan nilai positif, ia mungkin akan menurunkan EUR/USD ke paras terendah pada 31 Mac iaitu 1.1700. Walau bagaimanapun, daripada menurun, kadar pengangguran naik daripada 5.8% kepada 5.9% untuk bulan Jun, mengundang keraguan trend menurun pasangan ini akan berterusan.
    Sebelum data pengangguran diketahui, 70% penganalisis memihak kepada bear. Kini situasinya telah berubah, dan 65% telah menjangkakan pertumbuhan pasangan ini sepanjang bulan Julai. Hal yang sama berlaku pada indikator: 100% pengayun dan indikator trend pada H4 dan D1 adalah berwarna merah sehingga tengah hari Jumaat, 2 Julai. Apabila pasaran ditutup, skema warna pada H4 telah berubah: sesetengah indikator berubah kepada kelabu neutral, sebahagian lagi berubah menjadi warna hijau.
    Sasaran paling hampir untuk bull adalah 1.1975, kemudian 1.2000, 1.2050 dan 1.2150. Cabaran untuk bulan Julai adalah memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 25 Mei lalu iaitu 1.2265. Tugas bear pula adalah untuk menguji paras terendah pada Mac lalu iaitu 1.1700. Sokongan di sepanjang sasaran ini adalah 1.1845, 1.1800 dan 1.1765.
    Kalendar ekonomi untuk minggu depan pula dilihat agak sederhana. Tumpuan adalah pada hari Selasa, 6 Julai apabila data jualan runcit di Eurozone serta indeks aktiviti perniagaan ISM di AS akan dikeluarkan;

  • GBP/USD. Tiada kesepakatan yang dicapai dalam kalangan pegawai kanan Bank of England bagi anggaran kadar inflasi. Cukup untuk mendengar kenyataan menenangkan ketua Bank itu, Andrew Bailey, serta kenyataan bertentangan oleh Andy Haldane - ketua pakar ekonomi yang sangat bimbang dengan risiko inflasi. Telah kami nyatakan pada awal ulasan ini bahawa disebabkan oleh pendirian Bailey, matawang pound mendapat tekanan, dan peningkatan kadar pengangguran di AS telah menjadi “penyelamat” daripada penyusutan lebih rendah sebut harganya. Jika tidak, kedudukan pound sebagai pasangan euro mungkin akan terus mengalami penurunan.
    Seperti EUR/USD, vektor ramalan bagi GBP/USD juga berubah dengan mendadak pada penghujung minggu lalu. Jika sebelum data pengangguran di AS diketahui, 60% penganalisis menjangkakan nilai matawang UK akan terus menyusut, 75% memilih pertumbuhan pasangan di sepanjang bulan ini. Bacaan analisis teknikal pada H4 juga bercampur-campur, walaupun 90% pengayun dan 100% indikator trend pada D1 masih menunjukkan penyusutan. Analisis grafik pada H4 menunjukkan pertumbuhan pasangan ini ke paras 1.3900, manakala pada D1 menunjukkan pergerakan pada julat antara 1.3730-1.3870 untuk keseluruhan minggu.
    Sokongan berada pada paras 1.3800, 1.3730 dan 1.3670, manakala rintangan - 1.3900, 1.4000, kemudian ke zon antara 1.4100-1.4165;
  • USD/JPY. Indikator bagi pasangan ini hampir tiada bezanya dengan rakan mereka di EUR/USD dan GBP/USD. (Untuk situasi ini, warnanya berubah daripada merah ke hijau). Namun pendapat penganalisis di sini agak sama, ia hanya berubah secara kuantitatif: jika 55% telah memilih nilai yen yang lebih kukuh serta penyusutan kadar pasangan ini, jumlah mereka bertambah kepada 75%. Analisis grafik pada H4 menunjukkan pergerakan mendatar pasangan ini di sepanjang garis sokongan/rintangan 111.00, pada D1 pula ramalannya adalah turun ke paras 110.40, dan kemudian naik di atas paras tertinggi pada 24 Mac, 2020 iaitu 111.70.
    Sasaran bear adalah untuk berada di zon antara 109.75-110.10 dan 108.00-108.55. Bagi bull pula, jika ia berjaya naik ke paras 111.70, mereka akan cuba untuk menaikkan pasangan itu ke paras tertinggi pada 20 Februari, 2020 iaitu 112.25;
  • Matawang Kripto. Menurut satu laporan oleh syarikat penganalisis kripto iaitu Glassnode, kadar permintaan bitcoin oleh pelabur-pelabur berinstitusi sedang menyusut. Salah satu faktor yang menyokong pergerakan trend ke atas BTC adalah aliran masuk pelaburan berinstitusi yang mendadak ke dalam dana amanah GBTC Grayscale. Para penganalisis di Glassnode maklum dengan kadar premium yang berkurangan, pengaliran keluar bersih ETF, serta penyata imbang Coinbase yang mendatar menunjukkan permintaan untuk matawang kripto utama itu oleh pelabur berinstitusi kekal lemah.
    Walaupun begitu, kebanyakan penganalisis bersikap optimis dengan keadaan semasa. Menurut penganalisis di JPMorgan, “pasaran matawang kripto masih belum pulih lagi; walau bagaimanapun, proses pemulihannya sudah pun bermula.” Walaupun nilai bitcoin masih agak rendah, sedikit demi sedikit matawang kripto mula mendapat momentumnya. Sebagai contoh, aktiviti yang sedikit di pasaran hadapan digambarkan sebagai “faktor positif” oleh penganalisis JPMorgan. Namun, pada pendapat mereka, unjuran jangka pendek dilihat “agak membimbangkan."
    Sam Trabucco, seorang pedagang di Alameda Research juga percaya bahawa pasaran bitcoin sudah bersedia untuk mengalami pertumbuhan. Beliau berpendapat, berita-berita negatif yang kedengaran baru-baru ini adalah tidak berasas dan hanya bertujuan untuk mencipta sentimen negatif jangka pendek.
    Trabucco menjelaskan bahawa berita hangat dari negara China, kebimbangan Elon Musk terhadap hubungan antara bitcoin dengan alam sekitar serta kebarangkalian MicroStrategy menjalani proses insolvensi akibat penyusutan nilai BTC telah menyebabkan reaksi negatif yang melampau. Sebelum ini, harganya juga memberi reaksi sama apabila Tesla membeli BTC serta mesej optimis yang dibuat oleh Musk. “Namun tiada satu pun daripadanya yang memberi sebarang kesan kepada nilai bitcoin dan bagaimana orang ramai perlu menilai semua itu untuk jangka sederhana,” jelas penganalisis itu. Beliau menambah lagi harga $30,000 boleh dipertimbangkan sebagai isyarat untuk membeli.
    Jason Urban, pengasas bersama Galaxy Digital juga sedang menunggu untuk pasaran berkembang pesat. Beliau sedar bahawa berita-berita negatif akan lenyap menjelang musim bunga nanti, dan bitcoin akan terus bergerak ke atas. Urban percaya masih banyak lagi pelabur berinstitusi yang belum turut serta dalam pasaran kripto akibat ketidaktentuan berkenaan dasar-dasar, namun, lambat laun, perkara tersebut akan meningkatkan permintaan untuk BTC. Menurut penganalisis tersebut, “kita akan dapat lihat nilainya mencecah paras tertinggi yang baru,” dan harganya mampu mencecah $70,000 pada akhir tahun ini.
    Bekas CEO Gyft yang juga pengasas bersama projek Civic iaitu Vinny Lingham juga turut menyuarakan pendapatnya. Sebelum ini beliau mendapat gelaran “the oracle” kerana kemahirannya dalam membuat ramalan harga masa hadapan matawang kripto terawal itu.
    Ramalan Lingham mengenai BTC tidak selalunya bersifat optimis, dan menjadi kebiasaan pendapat beliau lebih bersifat konservatif berbanding mereka yang memiliki idea-idea hebat. Si oracle menjelaskan dalam akaun Twitter beliau bahawa jika harganya terus berada pada paras $30,000, mungkin kita akan dapat lihat harga bitcoin mencecah $100,000 menjelang akhir tahun nanti.
    Menurut Forbes, Ricardo Salinas Pliego, salah seorang dari tiga hartawan terkaya di Mexico berkata apabila memilih aset untuk 30 tahun akan datang, beliau “tidak akan memilih fiat yang teruk”, dan lebih menggemari bitcoin. Salinas percaya bahawa setiap pelabur perlu memiliki bitcoin dalam portfolio mereka. “Ia adalah satu aset yang memiliki nilai di peringkat antarabangsa dan didagangkan dengan kadar likuiditi yang menakjubkan di setiap pelusuk dunia. Semua faktor tersebut sudah cukup untuk menjadi sebahagian daripada portfolio, percayalah."
    Menurut hartawan itu, kelebihan utama bitcoin adalah penghasilannya yang terhad. Untuk sebab yang sama, beliau tidak percaya terhadap Ethereum, menjelaskan bahawa penghasilan tanpa had akan menyebabkan aset sedia ada akan susut nilainya.
    Bekas pengurus dana lindung nilai di Cramer & Co serta pengacara rancangan Mad Money di CNBC iaitu Jim Kramer berpendapat sebaliknya. Beliau sekali lagi menambah jumlah simpanannya dalam matawang kedua paling bernilai itu. Paling mengejutkan, dorongan utama beliau membeli lebih banyak Ethereum adalah… dinamik positif bitcoin. “Saya kembali kepada Ethereum disebabkan oleh nilai bitcoin kekal di atas $30,000,” dakwa beliau. Beliau menjelaskan lagi altcoin itu menjadi pilihannya kerana Ethereum lebih berguna kepada orang ramai berbanding matawang kripto utama.


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.