Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 19 - 23 Julai, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Semakin banyak data makroekonomi diperoleh pada minggu lalu, ini menandakan ekonomi di AS serta pasaran buruhnya kian pulih. Kadar inflasi yang dikeluarkan pada hari Selasa, 13 Julai juga melebihi nilai unjuran. Indeks harga pengguna naik 0.9% untuk bulan Jun, dan pada asasnya nilai tahunannya adalah sebanyak 5.4%, pertumbuhan kadar tertinggi sejak 2008. Indeks utama yang mengecualikan harga makanan dan tenaga telah menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi sejak 1991, pada kadar 4.5% untuk tahun ke tahun.
    Jumlah tuntutan utama bagi faedah pengangguran turun sebanyak 26,000 kepada 360,000 permohonan antara 4 hingga 10 Julai. Jumlah ini adalah yang terendah sejak 20 Mac semasa pandemik coronavirus mula melanda ekonominya. Awal bulan ini, Jabatan Buruh AS mengeluarkan data yang menunjukkan pertambahan jumlah pekerjaan di negara itu pada bulan sebelumnya sebanyak 860,000 (berbanding 583,000 pada bulan Mei).
    Indeks harga import AS naik 1% untuk bulan Jun, manakala indeks harga import tanpa minyak mentah naik 0.7% untuk bulan Jun. Indeks pembuatan Fed-New York pula naik daripada 17.4 kepada 43.0 untuk bulan ini, dan bacaan itu adalah lebih tinggi daripada yang diramal. Mengikut data Rizab Persekutuan yang dikeluarkan pada hari Khamis, 15 Julai, pengeluaran industri di AS untuk bulan Jun secara keseluruhannya meningkat sebanyak 0.4% berbanding bulan Mei, hal ini turut menunjukkan pemulihan ekonomi AS berada di landasan yang betul.
    Jika mengikut logik “sebelum covid”, kesemua data ini mungkin dapat mengukuhkan lagi nilai dolar. Walau bagaimanapun, nilai matawang itu hanya naik kira-kira 50 mata berbanding euro sejak empat minggu lalu. Manakala kedudukan pasangan ini secara umumnya berada pada koridor mendatar dengan dominasi kecil oleh bear sejak dua minggu lalu: ia didagangkan pada julat antara 1.1780-1.1895 pada 5 hingga 9 Julai lalu, dan berada pada julat antara 1.1770-1.1880 daripada 12 hingga 16 Julai.
    Jumlah-jumlah ini mengesahkan sepenuhnya senario berkompromi yang dibuat oleh penganalisis. Bagi ramalan oleh analisis grafik pula, ternyata ia hampir tepat sepenuhnya. Jika diingat ia menunjukkan trend mendatar di antara paras 1.1780-1.1900 pada H4.
    Mengapa matawang Amerika tidak mengalami pertumbuhan? Ia disebabkan oleh rasa sangsi dan ragu-ragu yang menyelubungi Rizab Persekutuan AS. Ketua penggubal dasarnya iaitu Jerome Powell dalam ucapan beliau semasa Jawatankuasa Khidmat Kewangan bagi Kongres AS bersidang pada 14 Julai lalu menyatakan bahawa jabatannya tidak akan tergesa-gesa untuk mengetatkan polisi kredit dan kewangan serta mengurangkan pembelian aset dalam rangka kerja QE. Beliau mengulangi kenyataan yang sama pada hari berikutnya, di hadapan Jawatankuasa Senat Bank.
    Powell mengakui bahawa kadar inflasi naik lebih cepat berbanding jangkaan, dan jika ia terus naik dan melepasi had yang telah ditentukan, polisi kewangan akan diperketatkan lebih awal daripada yang telah dirancang. Namun buat masa ini, keadaan ekonomi negara itu “masih jauh” daripada matlamatnya. Seperti kebanyakan faktor lain, kenaikan kadar inflasi hanyalah bersifat sementara. Setelah kadarnya kembali pulih, polisi tersebut boleh digantikan dengan yang lain. Kini, penyebaran strain COVID-19 yang baru telah menyokong dolar berbanding dengan matawang komoditi, tetapi tidak jelas bagaimana pasaran akan memberi reaksi mereka pada masa depan. Turut samar-samar adalah apakah kesan terhadap emosi mereka jika program rangsangan fiskal ditamatkan lebih awal.
    Disebabkan itu, setelah menyuarakan kesemua rasa ragunya kepada ahli-ahli kongres, Powell memberi jaminan bahawa pihak Rizab Persekutuan sudah pasti akan memantau situasi yang berlaku dengan dekat dan akan memberi respon serta-merta jika keadaannya berubah. Namun, ketua bank pusat itu gagal untuk mempengaruhi sentimen para pelabur dalam apa acara sekalipun (atau mungkin memang niatnya), dan hasilnya pasangan EUR/USD kekal berada dalam julat dagangan yang sempit dan mengakhiri dagangan lima hari pada paras 1.1805;
  • GBP/USD. Pasangan ini gagal untuk menjejakkan kaki di atas paras rintangan 1.3900 sepanjang minggu lalu. Seperti EUR/USD, bear memiliki sedikit kelebihan, mendapat bantuan dari statistik ekonomi yang positif di AS. Great Britain langsung tidak senang dengan perkara itu. Walaupun jumlah permohonan faedah pengangguran bulanannya turun sebanyak 24% - daripada 151,400 kepada 114,800, kadar pengangguran masih berada pada paras yang sama iaitu 4.8% (dan bukan turun kepada 4.7% seperti yang diramal). Para pelabur turut bimbang dengan permulaan gelombang baru COVID-19 yang mengakibatkan jumlah jangkitan barunya melebihi 50,000 sehari. Disebabkan itu, walaupun pada hakikatnya bull berjaya mengekalkan kedudukan pasangan ini di saluran antara 1.3800-1.3900 sepanjang minggu, sempadan bawahnya ditembusi pada hari Jumaat, 16 Julai dan pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 1.3760;
  • USD/JPY. Minggu lalu, agak sukar untuk memahami sentimen para pelabur dan juga indikator. Pendapat penganalisis juga terbahagi sama rata: 30% memihak kepada bull, 40% dengan bear, dan 40% lagi tidak ambil peduli. Bacaan indikator yang tidak konsisten juga teah menyebabkan ia gagal untuk diletakkan pada mana-mana penyebut. Setelah lima hari berlalu, ketiadaan unjuran ini terbukti sebagai ramalan yang paling tepat sekali: pasangan USD/JPY melakarkan corak sinusoid penuh.
    Seperti yang dijangka, Bank of Japan tidak memberi sebarang kejutan pada hari Jumaat, 16 Julai, dan tindakan tersebut tidak mengejutkan mana-mana pihak, sekali lagi mengesahkan reputasi negara itu sebagai tempat paling selamat untuk para pelabur. Gabenor Bank, Haruhiko Kuroda langsung tidak menyebut sebarang perkara yang menarik semasa berlangsungnya sidang akhbar. Para pelabur sedar ekonomi di Jepun masih berada dalam keadaan yang sukar tanpa beliau menyatakannya, namun tahap aktiviti akan terus meningkat apabila lebih ramai orang menerima suntikan vaksin.
    Keseimbangan kuasa antara dolar dan juga yen tidak terjejas akibat percanggahan indikator makroekonomi Amerika Syarikat dan Jepun. Hasilnya, pasangan ini mengakhiri minggu dengan berada pada kedudukan hampir dengan paras ia bermula, 110.05;
  • Matawang Kripto. Nilai bitcoin melonjak sejak akhir Jun sehingga awal Julai, mahu menembusi rintangan pada $36,000. Walau bagaimanapun, tiada satu daripada percubaan bull itu berjaya. Kini inisiatif itu telah beralih kepada bear, dan kita telah lihat gambaran berbeza pada minggu lalu: keinginan untuk menurunkan pasangan BTC/USD di bawah paras psikologi penting $30,000, dan diikuti dengan satu lagi gelombang jualan besar-besaran yang mungkin akan berlaku selepas itu.
    Menurut CryptoCompare, jumlah dagangan di bursa-bursa kripto utama termasuklah di Coinbase, Kraken, Binance serta Bitstamp susut lebih 40% untuk bulan Jun. Penurunan jumlah ini adalah disebabkan oleh penyusutan nilainya serta kadar turun naik yang rendah. Namun bukan itu saja. Ketiadaan pelabur besar yang kebanyakannya kini aktif di pasaran tradisional dan cuba untuk memahami situasi coronavirus yang menyelubungi serta langkah-langkah yang diambil penggubal dasar juga turut mempengaruhi.
    Semasa ulasan ini dibuat, nilai matawang kripto terunggul ini kekal di sekitar $31,000-32,000. Menurut pengasas bank kripto Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz, semua ini disebabkan oleh AS. Beliau menyatakan dalam komennya kepada CNBC bahawa komuniti matawang kripto di AS telah menghasilkan garis pertahanan penting di pasaran bearish yang berasal dari Asia. “Orang di Asia menjual bitcoin mereka dan kemudian dibeli oleh orang di AS. Negara China telah mengisytiharkan perang terhadap industri kripto sebagai sebahagian daripada Perang Dingin yang kita sendiri turut terlibat."
    Sejujurnya, masih belum jelas sama ada perkembangan industri kripto adalah sesuatu yang bagus atau tidak untuk menjadi sebahagian daripada polisi ekonomi kuasa-kuasa besar dunia. Masa akan menentukan. Sudah pasti Mike Novogratz boleh mempertimbangkan penghijrahan para pelombong dari China sebagai sesuatu “kelebihan” dan mengatakan polisi Beijing yang menindas tidak akan menghalang perkembangan industri itu. Namun dengan melihat pada carta, kelebihan masih memihak kepada China setakat ini. Ramai pelabur serta pedagang lebih gemar untuk tidak menyertai pasaran akibat takut sebut harganya turun lebih rendah. Purata perolehan dagangan harian kini 76% di bawah paras tertinggi semasa nilainya melebihi $60,000. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto susut hampir $100 bilion dalam tempoh tujuh hari, daripada $1.370 trilion kepada $1.275 trilion. Manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto gagal keluar dari zon Extreme Fear untuk beberapa minggu sekarang, turun naik pada julat antara 20 dan 22 mata. (Jika diingat sentimen pasaran dilihat agak optimis sebulan lalu, dan purata nilai Indeks ini adalah 33 mata).

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Kami telah bincangkan mengenai keraguan yang melanda Rizab Persekutuan dalam bahagian pertama ulasan ini. Dalam keadaan demikian, perpaduan antara penganalisis yang jarang berlaku nampak lebih mengejutkan. Justeru, 75% daripada mereka memilih pengukuhan nilai dolar serta penurunan pasangan EUR/USD, manakala baki 25% lagi memilih trend mendatar, dan 0% meramalkan pertumbuhan nilai euro. Mungkin prinsip “beli dolar jika anda tidak pasti” berkesan.
    Menurut 39 daripada 41 orang penganalisis Reuters, pihak Rizab Persekutuan akan menghentikan program pembelian aset bulanannya yang berjumlah $120 bilion sebelum berakhirnya tahun 2022. Tiga orang daripadanya percaya bahawa ia mungkin berlaku lebih awal, tamat pada tahun ini. Bilangan mereka yang menjangkakan kadar faedah akan dinaikkan pada tahun 2022 dan bukannya 2023 juga bertambah. Justeru, unjuran sepakat menyatakan QE akan dihentikan pada tahun ini, dan ia memberi sokongan kepada dolar AS. Gelombang COVID-19 yang baru juga memberi kelebihan kepada matawang Amerika, jika diingat matawang dolar dianggap sebagai matawang rizab yang penting semasa keadaan pandemik melanda.
    Sila maklum apabila beralih ke ramalan pada penghujung musim panas, bilangan yang menyokong penyusutan dolar serta pengukuhan euro dikalangan penganalisis naik dari 0% kepada 50%.
    Analisis grafik pada H4 masih menunjukkan trend mendatar di saluran antara 1.1780-1.1900. Warna merah, hijau dan kelabu neutral bercampur-campur dikalangan indikator trend dan juga pengayun pada H4, namun situasi berbeza berlaku pada D1: 100% indikator trend serta 85% pengayun menunjukkan penurunan.
    Sasaran bull yang paling hampir adalah 1.1880-1.1900, kemudian 1.1975-1.2000, 1.2050 dan 1.2150. Cabaran sebelum berakhirnya musim panas adalah untuk memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 25 Mei lalu iaitu 1.2265. Bear ingin menguji paras terendah bulan Mac iaitu 1.1700. Sokongan paling hampir sebelum tiba di situ berada pada paras 1.1780.
    Kalendar ekonomi pada minggu depan yang boleh diberi perhatian adalah keputusan ECB mengenai kadar faedah mereka yang akan diumumkan pada hari Khamis, 22 Julai. Kemungkinan besar kadarnya tidak akan berubah, pada 0%. Justeru, sidang akhbar oleh pihak pengurusan bank yang akan diadakan selepas itu serta komen-komen mereka mengenai polisi kewangan adalah lebih menarik. Menurut Reuters, pihak ECB perlu membuat keputusan mengenai maksud sebenar sasaran kadar inflasi baru terhadap masa depan mereka pada mesyuarat hari Khamis itu. Jika penggubal dasar bersungguh untuk menaikkan kadar inflasi kepada 2% (berbanding sasaran sebelum ini - hampir, kurang dari 2%), ini bermaksud pembelian aset berskala besar akan terus berlaku. Namun para “helang” berkeras untuk menamatkan insentif, justeru pada pelabur berminat untuk mengetahui sama ada ketua Bank, Christine Lagarde akan berjaya untuk bertolak ansur pada tahap-tahap tertentu ataupun tidak.
    Nilai PMI Markit di Jerman serta Eurozone akan dikeluarkan sehari selepas berlangsungnya mesyuarat ECB, pada 23 Julai, dan mungkin kita akan dapat mengetahui tanggapan mengenai berapa cepat ekonomi di Kesatuan Eropah akan pulih secara asasnya;
  • GBP/USD. Para penganalisis sedikit optimis mengenai masa depan matawang British berbanding matawang euro. Oleh itu, 25% daripada penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan pasangan GBP/USD untuk masa terdekat ini (berbanding 0% untuk EUR/USD). Jumlah yang tinggi juga ditunjukkan untuk tempoh sebulan setengah akan datang: 65% daripada mereka adalah penyokong bull (euro memiliki 50%).
    Bagi analisis teknikal, kemungkinan untuk pasangan ini mengalami pertumbuhan hanya ditunjukkan secara samar-samar. 100% indikator trend serta 75% pengayun pada H4 adalah berwarna merah (baki 25% lagi berada di zon lebihan jualan). 85% indikator trend serta 75% pengayun pada D1 menunjukkan penurunan.
    Sokongan berada pada paras 1.3740, 1.3700, 1.3670 dan 1.3600, manakala rintangan berada pada paras 1.3800, 1.3840 dan 1.3900. Sasaran bull yang lebih tinggi adalah untuk menduduki paras di sempadan atas saluran jangka sederhana antara 1.3700-1.4000;
  • USD/JPY. Seperti yang berlaku kepada dua pasangan sebelum ini, majoriti penganalisis (70%) menjangkakan pengukuhan nilai dolar serta cubaan baru pasangan ini untuk berada di atas paras 111.00. Ramalan seperti itu sedikit bercanggah dengan apa yang digambarkan oleh analisis teknikal pada D1. Di sini, 65% pengayun serta 80% indikator trend adalah berwarna merah.
    Bagi analisis grafik, ia menunjukkan pergerakan pasangan ini pada julat antara 109.70-110.40 untuk H4, dan selepas itu turun ke paras sokongan 109.30. Julat turun naiknya sedikit lebar pada D1: pertama, ia turun ke zon antara 108.65-109.30, dan kemudian naik ke paras rintangan 111.00 dan terus naik ke paras tertinggi pada 2 Julai lalu iaitu 111.65;
  • Matawang Kripto. Anggaran utama bagi pasaran digital pada minggu lalu telah kami bincangkan dalam bahagian pertama ulasan ini. Nilai yang ditunjukkan tidak begitu memberangsangkan. Mungkin masih terlalu awal untuk bercerita tentang permulaan “kedinginan kripto”, namun tidak mustahil untuk menggelar situasi yang berlaku sekarang sebagai “pembekuan kripto”. Carta BTC/USD terus menunjukkan pembentukan segitiga dengan rintangan ke arah bawah serta sokongan melintang di sekitar $31,000. 65% penganalisis bersetuju paras tersebut akan berjaya ditembusi pada bulan yang akan datang. Oleh itu, menurut beberapa orang penganalisis, jika bull gagal mengekalkan momentumnya, kita berpeluang untuk melihat pasangan ini berada di sekitar $10,000 pada hujung tahun ini.
    Namun, seperti biasa, terdapat juga pendapat sebaliknya. Sebagai contoh, penganalisis Will Clemente percaya bahawa harga bitcoin sudah bersedia untuk bergerak ke atas. Beliau telah meletakkan sebuah carta pada akaun Twitter beliau (136 ribu pengikut) bersama-sama dengan indikator yang menggambarkan kemungkinan pergerakan keluar nilai matawang kripto utama tersebut daripada julat sempit yang tetap akan berlaku. Untuk arah pergerakan kadar bitcoin pula, Clemente menyatakan bahawa beliau sangat optimis. Menurutnya, pasaran kini berada pada tahap pengumpulan, dan pelabur-pelabur besar terus membeli matawang kripto utama itu dengan aktif. Stok yang dimiliki para “jerung” bertambah sebanyak 65,429 BTC hanya pada minggu lalu. Menurut Clamente, kekurangan bekalan matawang kripto utama itu mungkin akan berlaku tidak lama lagi akibat pembelian aset tersebut bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh para pelabur besar.
    Para penganalisis juga turut menegaskan bahawa bilangan pemilik matawang kripto terus bertambah. Sedangkan menjadi kebiasaan untuk jumlah tersebut berkurang setiap kali nilainya berada di kemuncak. Namun jumlahnya sekarang tidak berkurangan, hal ini juga menjadi hujah mengenai pertumbuhan nilai BTC yang akan berlaku nanti.
    Seorang lagi penganalisis, Mike McGlone iaitu penganalisis di Blommberg turut bersetuju dengan pandangan Clemente. Beliau berpendapat, matawang kripto terunggul itu telah berada pada kedudukan yang mampu untuk meneruskan lonjakannya ke paras $100,000. “Bitcoin telah bersedia untuk mengembalikan trend bullish pada enam bulan terakhir tahun ini, manakala minyak mentah pula bersedia untuk Kembali mengikuti trend bearish,” McGlone dalam ciapan Twitter beliau. Penganalisis itu begitu yakin dengan pertumbuhan matawang kripto pada kali ini akan “memberi impak besar terhadap makroekonomi”. Walau bagaimanapun, sedia maklum bahawa ini bukan kali pertama McGlone mengunjurkan pertumbuhan mendadak aset digital. Sebagai contoh, beliau menyatakan kadar turun naik bitcoin akan melebarkan jurang antara harganya dengan emas “beratus kali ganda” pada awal Februari lalu.
    Masih tiada seorang pun yang tahu ramalan manakah yang bakal menjadi kenyataan. Namun terdapat beberapa cara untuk mendapat pulangan daripada matawang kripto tanpa perlu membelinya. Namun, ia adalah kaedah yang dikategorikan sebagai perniagaan “haram”. Inilah yang akan diperkatakan dalam petua hidup kripto kami.
    Pertama, anda boleh membantu James Howells, seorang jurutera IT warganegara British mencari sampah beliau. Lelaki hebat ini telah membuang cakera keras yang mengandungi 7,500 BTC pada lapan tahun lalu, hakikatnya beliau tersilap melupuskan cakera. Kemudian beliau telah meminta kebenaran pihak berkuasa tempatan untuk menggali semula sebuah tapak pelupusan sampah bagi mencari cakera itu namun ditolak. Kini Howells telah membangunkan satu pelan pencarian baru yang menggunakan sistem super dengan bermacam tali sawat, pengimbas sinar X serta kecerdasan buatan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini memerlukan kos yang tinggi. Bagaimana jika seseorang dengan tiba-tiba ingin membantu jurutera tersebut mencari cakera miliknya dengan cara yang lebih mudah, menggunakan penyodok saja, beliau pasti akan berkongsikan kekayaan barunya itu. Pada hari ini, bitcoin miliknya itu bernilai lebih daripada $230 juta, dan ia “hanya” perlu dicari dalam sampah seberat 300-400 tan.
    Satu lagi cara untuk mendapatkan hasil yang “kotor” telah dilaporkan oleh Reuters. Menurut agensi berkenaan, para penuntut di Institut Sains dan Teknologi Kebangsaan Ulsan (Korea Selatan) menjana untung daripada… pergi ke tandas. Setiap kali mereka ke tandas, mereka dibayar satu amaun khas dalam matawang digital Ggool.
    Salah seorang profesor di institut itu telah membina sebuah loji yang menghasilkan biogas daripada najis para penuntutnya. Mengikut pengiraan saintis berkenaan, seseorang akan menghasilkan 500g tinja setiap hari, dan ia boleh ditukar kepada 50 liter metana. Jumlah gas yang sama mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 0.5kW, dan ia bersamaan dengan kos perjalanan sebuah kereta sejauh 1.2 km.
    Para penuntut mampu memperoleh 10 Ggool setiap hari dari inisiatif sains itu. Coin tersebut boleh diguna untuk membuat bayaran di kedai-kedai di sekitar kampus. Manakala tenaga yang dihasilkan dengan bantuan pelajarnya telah menggerakkan beberapa peralatan di kawasan institut itu.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.