EUR / USD: Semua Berkisar Tentang Pasaran Buruh
- Pasangan EUR/USD sekali lagi menunjukkan gelombang sinus pada carta: penurunan yang berlaku pada minggu pertama bulan Ogos sama jumlahnya dengan pertumbuhan yang dialaminya pada minggu terakhir bulan Julai.
Statistik yang diterima dari pasaran buruh AS telah menetapkan pergerakan arah trend minggu lalu. Seperti yang dijangka, pasangan ini bergerak pada julat mendatar di antara 1.1850-1.1900 di sepanjang permulaan minggu. Bear cuba untuk menembusi sempadan bawahnya pada hari Rabu, 4 Ogos. Walau bagaimanapun, pergerakan pasangan ini berubah, meskipun statistik pengganguran dalam sektor swasta yang diperoleh dari ADP agak mengecewakan, dan sebaliknya mensasarkan untuk melepasi sempadan atas saluran berkenaan. Namun, percubaan yang dibuat oleh bull pada waktu itu telah gagal. Alasannya adalah kadar indeks ISM bagi aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan di AS telah menunjukkan pertumbuhan tertinggi: ia naik kepada 64.1 pada bulan Julai.
Setelah kembali semula ke paras sokongan 1.1830, pasangan ini tidak menunjukkan sebarang pergerakan sementara menunggi data bagi bilangan pekerjaan baru yang dihasilkan di luar sektor agrikultur AS, non-farm payrolls (NFP) dikeluarkan. Kebiasaannya data ini dikeluarkan pada hari Jumaat minggu pertama setiap bulan. Laporan yang dikeluarkan pada 6 Ogos tidak mengecewakan para pelabur. Tambahan lagi, sesetengah penganalisis berpendapat ianya “luar biasa” kerana kadar pertumbuhannya adalah sebanyak 943 ribu berbanding 870 ribu yang diramalkan. Selain itu, kadar pengangguran pula susut daripada 5.9% kepada 5.4%.
Pasaran memberikan respon serta-merta dengan lonjakan nilai matawang AS, seperti kenyataan pihak Rizab Persekutuan, penentuan masa untuk kenaikan program rangsangan kewangan (QE) serta kadar faedah adalah bergantung sepenuhnya pada kestabilan kadar inflasi serta keadaan pasaran buruh AS yang pulih sepenuhnya.
Selepas laporan itu dikeluarkan, hasil bon 10 tahun AS melonjak naik ke paras 1.30%, dan ia turut menyokong lonjakan dolar. Indeks DXY naik 0.60% kepada 92.80, manakala EUR/USD susut ke paras 1.1755. Paras terakhir mingguannya tidak jauh dari situ, berada pada paras 1.1760.
Data pasaran buruh yang agak mengagumkan telah mengakibatkan Presiden Joe Biden yakin bahawa pendekatan ekonominya berjaya. Memang benar, tokoh yang mendiami White House itu menggesa untuk tidak berehat dan telah menyatakan bahawa lebih banyak usaha keras perlu dibuat. Tambahan pula, negara berkenaan perlu menghalang gelombang baru coronavirus yang dikaitkan dengan strain Delta daripada merebak. Presiden itu percaya bilangan kes jangkitan Covid yang baru akan bertambah pada awalnya, tetapi disebabkan oleh skala program vaksinasi sekarang, jumlah itu akan turun kemudiannya. Justeru, ekonomi di AS tidak akan begitu terkesan seperti sebelum ini.
Mereka yang menunggu pengetatan polisi kewangan Rizab Persekutuan tidak lama lagi turut bersetuju dengan kata-kata Biden itu. Sebagai contoh, ramalan penganalisis di bank pelaburan Kanada iaitu TD Securities mendakwa dolar akan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding matawang yang dipengaruhi mood dovish oleh bank negara mereka.
Secara keseluruhan pasangan ini mengikuti trend bearish, dan kira-kira 70% penganalisis bersetuju dengannya. Mereka percaya bahawa pasangan EUR/USD ingin menguji sekali lagi paras terendah pada akhir Mac lalu iaitu 1.1700. Jika berjaya, ia akan berhadapan dengan sokongan kuat di zon antara 1.1600-1.1610. 100% indikator pada H4 dan D1 bersetuju dengan ramalan ini. Namun pengayun maklum dengan serangan bearish yang semakin lemah. 10% daripada mereka mengambil posisi neutral pada H4, manakala 15% lagi menunjukkan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Lebih tinggi peratusannya pada D1 iaitu 35%, dan ini menunjukkan pembetulan pantas ke atas mungkin akan berlaku. Baki 30% daripada penganalisis juga turut merasakan perkara yang sama. Tambahan pula, mereka berpendapat, pasangan ini mungkin bukan saja akan mengalami pembetulan, tetapi kembali ke saluran antara 1.1850-1.1900 pada awalnya, dan kemudian naik ke paras 1.2000. Namun, sudah pasti, semua ini tidak akan berlaku dalam masa beberapa hari saja.
Untuk statistik makro minggu hadapan, kami di sini sedia maklum dengan data pasaran pengguna di Jerman dan juga di Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 11 Ogos. Selain itu, Indeks Consumer Confidence oleh University of Michigan pula akan diketahui pada penghujung minggu, hari Jumaat, 13 Ogos. Kadar yang diunjurkan mungkin akan menunjukkan sedikit peningkatan, dan hal ini sedikit sebanyak akan mengukuhkan nilai matawang AS.
GBP/USD: Menunggu Permulaan QE
- Bank of England telah mengadakan mesyuarat pada hari Khamis, 5 Ogos, dan seperti yang dijangka tidak langsung memberi sebarang kejutan. Walaupun dengan kadar pulih daripada pandemik yang pantas serta kenaikan kadar inflasi, semua parameter polisi kewangan asas masih lagi sama. Penggubal dasar mengekalkan kadar faedah mereka pada paras terendah dalam sejarah iaitu 0.1%, dan jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) dikekalkan pada jumlah £895 bilion.
Pasangan GBP/USD telah gagal untuk menembusi rekod yang dicapai pada 30 Julai lalu dan terus berada di kedudukan antara 1.3870-1.3935 pada sepanjang minggu. Sama seperti euro, satu percubaan dibuat untuk menembusi sempadan atasnya pada 4 Ogos, dan hasilnya adalah sia-sia. Hasil daripada sesi mingguannya, disebabkan oleh statistik yang kukuh di AS, pasangan ini kembali berada di sempadan bawah saluran berkenaan, kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.3875.
Tumpuan utama para pelabur bukanlah pada keputusan Bank of England yang mudah diramal itu, tetapi kepada komen yang diberikan oleh pihak pengurusannya selepas itu berkenaan masa depan polisi kewangan mereka. Seperti yang dinyatakan di atas, proses pemulihan ekonomi di negara itu kini berada di landasan yang betul. Mengikut data yang dikeluarkan sebelum itu, kadar inflasi bagi bulan Jun naik kepada 2.5%, melebihi sasaran mereka iaitu 2%. Pihak kerajaan telah berjaya dalam menghadapi gelombang COVID-19 yang berikutnya, jadi tiada sekatan mahupun halangan baru yang dilihat akan dimulakan. Walaupun Timbalan Pengerusi Bank of England iaitu Benjamin Broadbent dengan misterinya menyebut perkataan-perkataan hiasan seperti “sederhana (!) mungkin diketatkan (!), mungkin (!) perlu kelak”, semua itu tidak menggembirakan para pelabur. Terutama sekali apabila Broadbent berkata kadar inflasi di negara itu akan naik kepada 4% pada Q4 2021 dan Q1 2022.
Justeru, menurut 75% penganalisis, mana-mana isyarat yang menyebut tentang kemungkinan QE akan ditukar kepada polisi yang lebih ketat sudah cukup untuk menaikkan pasangan GBP/USD ke paras 1.4000. 60% pengayun bersetuju dengan pandangan tersebut, tetapi hanya 40% daripada indikator trend pada H4 yang turut sama bersetuju. Perselisihan bacaan indikator adalah lebih besar pada H4. Analisis grafik pada tempoh masa ini menunjukkan penurunan pasangan itu hampir ke paras 1.3800 pada awalnya, dan kemudian kembali ke paras tertinggi untuk bulan Julai iaitu di zon 1.3980. Paras sokongan/rintangan di sepanjang pergerakan itu jelas menunjukkan berada di sempadan saluran antara 1.3870-1.3935.
Bagi perkara yang bakal berlaku pada minggu depan, kami boleh nyatakan tentang data awal kadar KDNK UK untuk Q2 2021 yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Ogos. Kadar yang diunjur menunjukkan pertumbuhan mendadak, dari negatif 1.6% kepada 4.8%. Jika unjuran itu benar-benar berlaku, matawang pound akan menerima sokongan kukuh, dan menjadikannya satu isyarat bahawa pengurangan program QE mungkin akan dimulakan.
USD/JPY: Lonjakan Akibat Hasil Bon Perbendaharaan
- Bermula pada hari Rabu, 4 Ogos, yen semakin kehilangan kedudukannya, susut sebanyak 150 mata. Pasangan USD/JPY naik daripada 108.71 kepada 110.21 dalam masa tiga hari saja. Sudah pasti, pertumbuhan pasaran buruh AS yang telah menambah hasil bon perbendaharaan Amerika sekali lagi dipersalahkan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kadar indikator itu mencecah 1.30%, dan ia memberi kesan besar kepada matawang Jepun.
Kebanyakan penganalisis (55%) menjangkakan pasangan ini akan kembali ke paras sokongan 109.00. Walau bagaimanapun, menurut 45% penganalisis, pasangan ini masih belum menghabiskan potensi pertumbuhannya, terutama sekali jika hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS terus meningkat. Ramalan ini mendapat sokongan aktif daripada 100% indikator trend pada kedua-dua tempoh masa, 65% pengayun pada H4 serta 50% pada D1. Analisis grafik pada D1 menjangkakan pasangan ini akhirnya akan berjaya mencecah paras 112.00 yang diinginkan. Rintangan untuk mencapai sasaran ini berada pada paras 110.65, 111.10 dan 111.65.
MATAWANG KRIPTO: Adakah Musim Dingin Kripto Tidak Akan Berlaku?
- Pasaran matawang digital berasa optimis. Kerisauan pelabur mengenai ketiadaan aktiviti kripto sudahpun berlalu, bukan kedinginan menyelubungi kripto, tapi sebaliknya keriangan musim bunga yang tiba. Memang benar, warna hijau yang melambangkan sebut harga bitcoin lebih banyak wujud sepanjang dua minggu lalu, dan jumlahnya adalah melebihi warna merah kuning yang suram.
Bangkit dari paras terendahnya iaitu $29,300 pada 20 Julai, pasangan BTC/USD menambah kira-kira 40% nilainya dan didagangkan di zon antara $41,000-42,500 semasa ramalan ini dibuat. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto juga bertambah 40% sepanjang tempoh itu: daripada $1.19 trilion kepada $1.67 trilion. Bagi Indeks Fear & Greed Kripto pula, bacaan indeks tersebut akhirnya bergerak dari zon Extreme Fear ke kedudukan tengah, naik dari 10 mata kepada 52 mata.
Selain daripada sebut harga, kenyataan daripada orang berpengaruh ternama serta statistik makro turut menyokong sikap optimis pasaran. Jika diingat faktor-faktor inilah yang menjadi pendorong utama bagi lonjakan nilai bitcoin pada musim luruh lepas.
Sebagai contoh, ketua MicroStrategy iaitu Michael Saylor berkata dalam temubualnya bersama TV Bloomberg menyatakan bahawa bitcoin memiliki “potensi besar untuk bertumbuh dengan risiko yang kecil” dan disebabkan itu ia mampu menjadi “harta bernilai pada masa depan” yang akan dimiliki oleh segenap orang dari pelabur kecil sehinggalah syarikat teknologi ternama dan juga kerajaan. Kami melihat masa depan Apple, Amazon serta Facebook yang menjadikan aset digital ini sebagai asas inovasi berteknologi dan ia akan mengambil alih penyata imbangan bagi syarikat-syarikat, bandar, negeri malah juga untuk negara,” jelas hartawan itu.
Penganalisis di salah sebuah institusi kewangan terbesar di A.S, Bank of America dengan secara tidak langsung mengesahkan kenyataan Saylor. Mereka percaya bahawa pengiktirafan bitcoin sebagai kaedah bayaran di El Salvador mampu memberi beberapa kelebihan kepada negara tersebut. Ia berpotensi dapat mengurangkan kos kiriman wang dari luar negara yang mengambil hampir satu perempat daripada jumlah KDNK El Salvador, dan memberi kesan positif terhadap kadar pendapatan rakyat negara berkenaan. Para penganalisis turut menyatakan pendemokrasian sektor kewangan adalah satu lagi kelebihan apabila bitcoin diperkenalkan kerana kira-kira 70% daripada populasi orang dewasa di negara itu tidak memiliki akaun bank. El Salvador juga boleh menarik aliran pelabur asing dengan menjadi pusat penghasilan matawang kripto utama.
State Street, bank kedua tertua di Amerika Syarikat dengan portfolio pelaburan sebanyak $3.1 trilion merancang untuk mula menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan matawang kripto. Tujuannya adalah untuk membantu pertubuhan-pertubuhan swasta menjalankan transaksi aset digital dan menyediakan mereka dengan maklumat harga optimum bagi memasuki pasaran kripto.
Namun sudah pasti bukan State Street saja yang mahukannya. Michael Miebach, CEO gergasi sistem bayaran Mastercard berkata matawang kripto harus memasuki sektor perbankan dalam skala yang besar. Tambahan lagi, syarikat yang diterajuinya akan melakukan apa saja untuk menjadi sebahagian daripada kripto. “Mastercard bersedia untuk membantu pihak berkuasa dalam tugasan ini. Kami bersedia untuk menguji dan membuat penilaian ke atas matawang digital, supaya pada akhirnya bank-bank akan mula menggunakannya,” jelas Miebach. Beliau turut menambah Mastercard akan membenarkan 1 bilion orang penggunanya untuk membuat bayaran menggunakan aset digital di lebih 30 buah negara di seluruh dunia pada tahun 2021.
Jika diingat, satu lagi gergasi sistem bayaran iaitu Visa sudahpun mengusahakan penyepaduan stablecoin ke dalam ekonomi global.
Dari segi statistik, menurut syarikat penyelidikan Glassnode, terdapat lonjakan mendadak bagi jumlah keseluruhan alamat bitcoin yang aktif pada bulan Julai. Peningkatan bagi petunjuk ini adalah kira-kira 30% hanya dalam masa seminggu. Manakala simpanan terkumpul para “jerung” adalah sebanyak 9.23 juta BTC buat pertama kalinya dalam sejarah.
Ramalan lonjakan nilai yang lebih tinggi telah dibuat oleh indikator seperti nisbah antara kontrak put dan call dalam pasaran derivatif bitcoin. Bacaan indikator ini yang rendah menunjukkan para pelabur menyambut baik kenaikan harganya. Bacaannya susut ke paras terendah sepanjang 8 bulan pada 1 Ogos, dan ia berada di bawah nilai pada bulan April: nilai sama ketika nilai BTC melonjak di atas paras $60,000.
Indeks kebarangkalian menunjukkan terdapat 30% peluang BTC untuk mencecah paras $46,000 dalam masa terdekat nanti. Tambahan pula, mengikut indikator, kadar kemungkinan nilai bitcoin akan berada di antara $50,000 dan $55,000 adalah sebanyak 28.3%.
Emosi para penganalisis memberi lebih banyak sinar harapan. 60% daripada mereka memilih pertumbuhan di atas paras $46,000. Sebaliknya. 20% menjangkakan penyusutan di sekitar $30,000, manakala baki 20% lagi memilik trend mendatar pada julat antara $35,000-42,000.
Kumpulan Analitik NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali