Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 30 Ogos - 27 September, 2021

EUR/USD: Tiga yang Mendesak dan Seorang yang Memahami di Jackson Hole

  • Kembalinya pasangan EUR/USD ke paras antara 1.1700-1.1900 telah diramal oleh 35% penganalisis dan turut mendapat sokongan 25% pengayun yang menunjukkan ia memiliki lebihan jualan. Setelah memperbaharui paras terendah tahun ini di paras 1.1665 pada 20 Ogos, pasangan tersebut mengalami pembetulan, mencecah kedudukan 1.1775 pada hari Khamis.

    Statistik ekonomi pada minggu lalu terbukti agak lemah di AS dan juga di Eurozone, manakala tumpuan pasaran kesemuanya beralih kepada simposium tahunan di Jackson Hole yang diadakan pada 26 hingga 28 Ogos. Tiga orang wakil dari pihak pengurusan Rizab Persekutuan AS telah memberikan ucapan mereka, dan ucapan-ucapan itu ternyata lebih bersifat hawkish berbanding apa yang para pelabur jangkakan.

    Jadi, presiden Rizab Persekutuan untuk Bank of St. Louis iaitu James Bullard menyatakan bahawa buat masa ini program pembelian aset telah memberi lebih banyak keburukan dan bukannya kebaikan kepada ekonomi AS kerana ia menghasilkan satu lagi gelembung dalam pasaran hartanah. Menurut Esther George, ketua Rizab Persekutuan Bank of Kansas City, penyebaran jangkitan wabak strain Delta yang berlaku sekarang tidak akan memberi kesan besar terhadap situasi ekonomi di negara berkenaan, dan adalah lebih baik jika proses penamatan program QE dimulakan lebih awal.

    Robert Kaplan dari Dallas turut bersetuju dengan kenyataan hawkish rakan sejawatnya itu. Justeru, kenyataan oleh ketiga-tiga pegawai Rizab Persekutuan itu secara keseluruhannya telah meredakan sentimen untuk permulaan penamatan pembelian aset seawal suku pertama dan kedua tahun 2022 yang berjumlah $15 bilion setiap bulan. Langkah seperti itu membolehkan bank pusat AS menaikkan kadar faedah mereka pada penghujung tahun hadapan.

     Ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berucap di simposium Jackson Hole pada hari terakhir minggu bekerja, pada hari Jumaat, 27 Ogos. Sesetengah pelabur berharap beliau mengambil pendirian yang kurang agresif berbanding trio Bullard-George-Kaplan. Jika tidak, ia akan memberi kesan mendalam kepada pasaran saham, melemahkan indeks-indeks utama termasuklah Dow Jones, S&P500 serta Nasdaq Komposit. Sebaliknya, bull yang menduduki indeks dolar DXY pasti akan berasa kecewa dengan kenyataan Jerome Powell yang bersifat hawkish. Walaupun kata sepakat mengenai hakikat bahawa pihak penggubal dasar akan mengumumkan permulaan pengurangan rangsangan kewangan pada November ini dan akan mula melaksanakan rancangan itu antara bulan Disember-Januari telah dicapai sedikit demi sedikit, tidak perlulah untuk menunggu ketua Rizab Persekutuan itu mengumumkan tarikhnya yang sebenar. Itulah yang benar-benar berlaku: pegawai tertinggi itu berkata tarikh sebenar masih lagi dalam perbincangan, dan ia akan bergantung kepada risiko ekonomi dan juga kesihatan, dan pihaknya akan terus mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam menggubal polisi mereka. Nilai dolar susut dengan mendadak setelah kenyataan itu dibuat, manakala indeks saham pula sekali lagi memperbaharui paras tertingginya.

    Para penganalisis dan juga pelabur masih belum membuat analisis tentang kemungkinan kekangan kewangan yang akan berlaku ataupun tidak. Setakat ini, setelah timbulnya keraguan akibat pendirian dovish En. Powell, pasangan EUR/USD bergerak ke atas, merekodkan paras tertinggi mingguan di kedudukan 1.1802 dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.1795.

    Membincangkan tentang minggu hadapan, hanya 30% daripada penganalisis yang membuat tinjauan bersetuju dengan pertumbuhan lebih pesat pasangan ini, mensasarkan paras 1.1830 dan 1.1900. Baki 70% lagi penganalisis berpendapat sebaliknya. Mereka percaya bahawa pasangan ini harus menguji paras 1.1665 sekali lagi. Sokongan berada pada paras 1.1750 dan 1.1700. Secara keseluruhan pendirian yang diambil indikator boleh dianggap sebagai neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 50% menunjukkan pertumbuhan pasangan ini, 25% lagi menunjukkan penurunan, dan baki 25% adalah berwarna kelabu neutral. Bagi indikator trend, 80% menunjukkan pergerakan ke bawah dan 20% lagi pergerakan ke atas.

     Yang menarik minggu hadapan termasuklah statistik pasaran pengguna di Jerman yang akan dikeluarkan pada 31 Ogos dan 1 September. Statistik serupa di Eurozone akan diketahui pada 31 Ogos dan 3 September. Di AS pula, laporan ADP ke atas tenaga kerja di sektor swasta serta indeks ISM untuk aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan di negara tersebut akan dikeluarkan pada 1 September. Manakala pada hari Jumaat pertama setiap bulan, pada 3 September, seperti biasa kita akan dapat ketahui indikator paling penting dari pasaran buruh AS, termasuklah bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) yang ada.

GBP/USD: Ke Mana Euro Bergerak, Di Situ Pound Berada

  • Dinamik GBP/USD secara keseluruhannya mengingatkan kepada pergerakan pasangan itu sebelum ini. Setelah mencecah paras terendah 1.3600 pada 20 Ogos, perubahan arah pergerakan pula menyusul selepas itu hasil daripada pertambahan nilai pound British ke paras 1.3767 pada hari Khamis, 26 Ogos, seperti yang diramal oleh kebanyakan penganalisis (70%).

    Berita dari mesyuarat ahli-ahli perbankan Amerika di Jackson Hole pula tiba selepas itu dan ucapan bersifat hawkish yang dibuat oleh ketua-ketua Bank Rizab Persekutuan seperti di atas telah menyebabkan pengukuhan nilai dolar serta penyusutan pasangan ini ke paras 1.3680. Kemudian, akibat daripada ucapan oleh pengerusi Rizab Persekutuan, nilai matawang Amerika itu mula turun sekali lagi. Seperti yang telah dinyatakan, harapan pasaran agar Powell akan mengumumkan tarikh awal dan spesifik mengenai penamatan program pembelian semula aset tidak menjadi kenyataan. Disebabkan itu, kedudukan pasangan ini naik mendadak, mencecah ketinggian 1.3780, dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.3760.

     Membuat unjuran untuk minggu hadapan, majoriti penganalisis (75%) menjangkakan pengukuhan nilai matawang AS dan juga penurunannya ke paras 1.3600 yang baru. Jika benar berlaku, sasaran berikutnya adalah di ufuk 1.3480. Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.3680-1.3700.

    Baki 25% lagi percaya bahawa peluang matawang British untuk mengalami pertumbuhan masih belum lagi berakhir. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.3780, sasaran berikutnya adalah untuk mengembalikan pasangan GBP/USD ke zon antara 1.3800-1.3875. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.3910 dan juga 1.3960.

    Bagi pengayun di D1, 40% menunjukkan penurunan, 50% menunjukkan pergerakan mendatar, dan hanya 10% yang menjangkakan pertumbuhan. Dalam kalangan indikator trend, nisbah kekuatan ini adalah 60% dan 40% yang memihak kepada warna merah.

USD/JPY: Tenang, dan Kekal Tenang

  • Walaupun keadaan pasaran agak huru-hara yang berpunca daripada kenyataan para eksekutif di Rizab Persekutuan, tidak seperti matawang yang lain, yen dilihat agak selamat dan berjaya mengharungi apa saja jua rintangan. Pasangan USD/JPY yang telah bergerak di sepanjang garis 110.00 sejak Mac lalu membuat percubaan luar biasa untuk keluar dari saluran dagangan antara 108.30-111.00. Kali ini, memulakan minggu dari paras 109.80, paras terakhirnya juga berdekatan kedudukan itu, pada paras 109.82, manakala julat turun naiknya pula lebih sempit: dari 109.40 di paras paling rendah sehingga 110.25 untuk paras tertingginya.

    Pergerakan pasangan ini seperti itu telah menyebabkan para penganalisis memberikan ramalan yang agak pelbagai. 40% daripada mereka berpihak kepada bull kali ini, 30% lagi berpihak dengan bear, dan baki 30% pula mengambil pendirian neutral. Bagi indikator di D1, tiada juga yang dapat memberikan arah pergerakan yang tepat.

    Sokongan berada pada paras 109.40, 109.10, 108.70 dan 108.30. Harapan bear adalah untuk menguji paras terendah April iaitu 107.45. Rintangan berada di zon 110.25, 110.55, 110.80, 111.00 dan 111.65. Sasaran utamanya masih lagi sama: untuk berada di ketinggian 112.00.

MATAWANG KRIPTO: di Persimpangan

  • Kami berikan persoalan pada tajuk kecil ulasan minggu lalu. “Tenang Sebelum Ribut?” - itulah keadaannya sekarang. Kami juga maklum bahawa dorongan yang kuat diperlukan bagi menolak nilai bitcoin di atas paras semasa. Namun tiada dorongan yang wujud, jadi ribut masih belum berlaku. Walaupun keadaan secara umumnya agak positif jika melihat pada berita.

    Salah satu pendorong pasaran digital, MicroStrategy, telah membuat pembelian tambahan sebanyak 3,907 BTC yang bernilai kira-kira $177 juta pada 24 Ogos lalu. Purata harga belian adalah $45,294 bagi setiap coin. Ini menunjukkan syarikat itu tidak menjangkakan sebarang penyusutan kadar pasangan BTC/USD, dan sebaliknya menjangkakan pertumbuhan ke paras lebih tinggi.

    Keseluruhannya, syarikat perisian analisis ini telah melabur lebih daripada $2.9 bilion dalam emas digital berkenaan. Kini terdapat sejumlah 108,992 BTC dalam penyata imbang MicroStrategy yang bernilai lebih daripada $5 bilion.

    Gergasi perbankan Amerika iaitu Citigroup sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa untuk mula berdagang kontrak hadapan bitcoin di Chicago Mercantile Exchange (CME). Justeru Citigroup adalah bank mega kedua yang menawarkan peluang seperti itu selepas Goldman Sachs.

    Penganalisis Bloomberg merasakan bahawa pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS (SEC) bukan saja akan meluluskan satu, tetapi beberapa permohonan untuk melancarkan kontrak hadapan bitcoin ETF. Matlamatnya adalah untuk mengekalkan daya saing dan tidak akan membiarkan ia dikuasai oleh satu pihak. SEC mungkin akan memberi keputusannya pada hujung bulan Oktober. Manakala kontrak hadapan bitcoin yang pertama di Eropah mungkin akan dilancarkan seawal pertengahan September nanti. Perkara ini diumumkan sendiri oleh bursa derivatif terbesar di Eropah iaitu Eurex.

     Setelah mencapai sasaran jangka sederhananya, pasangan BTC/USD “tersekat” pada julat $47,000-50,000. Zon ini adalah seperti sebuah persimpangan antara dua jalan: saluran mendatar dan juga menaik. Mood pasaran untuk minggu depan pula bergantung sama ada pasangan ini mampu untuk menembusi paras sokongan $47,000 atau pun tidak.

    Untuk ramalan jangka sederhana dan jangka panjang, mereka masih kekal positif secara keseluruhannya. Perkara ini ditunjukkan oleh tinjauan yang dibuat oleh Elwood Asset Management ke atas 55 daripada kira-kira 175 dana lindung. Menurut data itu, 65% daripada dana-dana ini menjangkakan bitcoin akan didagangkan pada nilai antara $50,000 dan $100,000 menjelang akhir 2021. 21% lagi meramalkan nilainya adalah antara $100,000 dan $150,000. Hanya 1% daripada dana lindung itu merasakan nilai aset berkenaan akan berada di bawah paras $50,000.

    63% daripada dana lindung tersebut percaya bahawa jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto akan berada antara $2 trilion dan $5 trilion, manakala 11% lagi menganggarkan keseluruhan modal pasarannya adalah berjumlah $5 trilion hingga $10 trilion.

    Malah orang yang sering mengkritik bitcoin, presiden syarikat broker Euro Pacific Capital Inc. iaitu Peter Schiff sendiri mengakui bahawa pada hakikatnya nilai BTC mampu menunjukkan pertumbuhan nilai yang memberangsangkan, sehingga mencecah $100,000.

    “Fanatik emas” ini terkenal sebagai seorang yang mencari apa saja peluang untuk menghentam matawang kripto dan mendesak supaya membeli emas. Walau bagaimanapun, kali ini, beliau tidak berusaha untuk mempertikaikan hakikat bahawa BTC adalah penyimpan nilai yang hebat. Malah, kadar ROI bitcoin sepanjang dekad lalu adalah sebanyak 8,900,000%. Dalam masa yang sama, beliau kekal bearish dan mengecualikan aset tersebut daripada digunakan sebagai kaedah bayaran secara berleluasa. Menurut ahli kewangan itu, merit yang ada pada bitcoin hanyalah spekulasi yang dibuat oleh kebanyakan orang.

    Mike McGlone, pakar strategi kanan di Bloomberg Intelligence juga telah berulang kali mengunjurkan pertumbuhan BTC ke paras $100,000. Namun, menurut penganalisis itu, matawang kripto kedua terbesar di arus perdana dari segi jumlah keseluruhan modal pasaran mungkin mampu menjadi penghalang kepada pertumbuhannya. Ramai yang mula sedar bahawa ethereum adalah “bongkah bagi membangunkan semua teknologi kewangan, DeFi serta infrastruktur di dalam dunia yang sedang menuju ke arah digital,” jelas McGlone.

    Penganalisis itu berkata token bukan fungible (NFT) adalah satu lagi sokongan kukuh bagi nilai altcoin ternama berkenaan. Aset seperti itu menjadi lebih popular dan sering dikeluarkan pada blockchain ETH.

    Dalam pada itu, McGlone mengandaikan ramalan Raoul Pal, bekas pengurus dana lindung nilai di Goldman Sachs terhadap pertumbuhan ethereum kepada $20,000 sebagai melebih-lebih. Namun, menurut penganalisis itu, nilainya juga tidak akan turun di bawah paras $2,000, sebaliknya akan berada di atas paras $4,000.

    Pencipta altcoin ini, Vitalik Buterin bersikap lebih optimis mengenai masa depan ethereum. Beliau menjangkakan harga ETH akan naik 10 kali lebih tinggi berbanding nilai sekarang dan mencecah $30,000 selepas pelaksanaan EIP-1559 dan juga hardfork London yang berlaku baru-baru ini. Jika benar, jumlah keseluruhan modal pasaran altcoin tersebut mampu mencecah $3 trilion, dan ianya melebihi modal pasaran kesemua syarikat teknologi terkenal di dunia. Sementara itu, jumlahnya sekarang adalah sebanyak $380 bilion.

     Seperti yang kami nyatakan pada ulasan sebelum ini, setakat yang jumlah keseluruhan modal pasaran kripto harus bimbangkan, kini ia bergelut di sekitar paras penting psikologinya iaitu $2 trilion. Bermula pada jumlah $2.043 trilion, jumlah ini naik kepada $2.162 trilion pada 23 Ogos, turun kepada $1.973 trilion menjelang 27 Ogos, dan naik sekali lagi ke paras $2.021 trilion pada petang Jumaat.

    Jumlah dagangan di rangkaian BTC masih lagi rendah. Indeks Fear & Greed Kripto secara praktikalnya membeku, hanya naik 1 mata dari minggu lalu, daripada 70 kepada 71.

     Kesimpulannya, terdapat satu lagi tip dalam ruangan petua yang tidak begitu serius tentang cara untuk menjadi lebih kaya dengan matawang kripto. Rupa-rupanya anda hanya perlu berpindah ke Cool Valley di Missouri (AS) untuk berjaya. Datuk bandar di bandar itu telah mengambil keputusan untuk menambah jumlah manfaat kebajikan dengan berjanji akan memindahkan antara $500 dan $1,000 dalam bentuk BTC kepada 1,500 orang penduduknya. Dalam masa yang sama, beliau meletakkan satu syarat: penerima tidak boleh menjual bitcoin yang diterima dalam tempoh lima tahun, dan menurut datuk bandar tersebut, tempoh menunggu itu akan menggandakan nilai BTC mereka kepada setengah juta dolar.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.