Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 06 - 10 September, 2021

EUR/USD: Penyusutan Nilai Dolar dan Peningkatan Selera Risiko

  • Pendapat majoriti tidak selalunya betul. Justeru, hanya 30% daripada penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan EUR/USD ke paras 1.1900 pada minggu lalu. Namun unjuran mereka adalah yang terbukti tepat. Setelah data pasaran buruh di AS dikeluarkan pada hari Jumaat, 3 September, kedudukan pasangan ini naik ke paras 1.1908, dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.1880. Penyusutan nilai mata wang AS terus berlaku setelah ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell mengeluarkan kenyataan yang bersifat dovish semasa persidangan di Jackson Hole dan juga ketaktentuan yang menyelubungi tentang bilakah pengurangan program rangsangan fiskal (QE) akan dimulakan.

    Pengurusan Rizab Persekutuan dipetik menyatakan situasi pengangguran yang semakin baik dan berterusan menjadi syarat utama sebelum program rangsangan dikurangkan. Namun, data ADP mengenai jumlah pekerjaan dalam sektor swasta di AS yang dikeluarkan pada hari Rabu menunjukkan keputusan lebih teruk berbanding jangkaan, sebanyak 374K dan bukannya 613K seperti yang diunjurkan. Indikator yang hampir sama pentingnya iaitu bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NGP) untuk bulan Ogos menambah lagi sikap pesimis: jumlah sebenar adalah 3.2 kali lebih rendah berbanding jangkaan (235K berbanding 750K). Hal ini tetap berlaku walaupun pada hakikatnya jumlah NFP untuk bulan Julai adalah sebanyak 1053K. Semua ini menunjukkan bahawa kadar pemulihan ekonomi di AS mula perlahan, dan masih terlalu awal untuk berbincang mengenai pengurangan QE, malah juga, penambahan kadar faedah dolar.

    Hasilnya, indeks DXY dolar (nisbah nilai USD berbanding enam lagi mata wang asing utama) susut daripada 93.63 kepada 92.07 sejak 20 Ogos, manakala sentimen risiko di pasaran pula adalah sebaliknya, semakin bertambah. Indeks saham S&P500 terus memperbaharui kedudukan tertingginya, dan corak pada cartanya kini menunjukkan peningkatan setiap hari. Ia kelihatan sama seperti yang digambarkan oleh corak penganalisis berasaskan martingale sehinggalah… bila berlakunya penurunan. Sebilangan penganalisis juga menjangkakan gelembung di pasaran saham akan pecah tidak lama lagi.

    Untuk kedudukan pasangan EUR/USD pada minggu hadapan, hanya 35% daripada penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan yang berterusan, 20% lagi memilih penyusutan pasangan ini. Baki 45% pula mengambil pendirian neutral dalam menjangkakan isyarat lebih jelas daripada pihak Rizab Persekutuan berkenaan tempoh pengurangan QE akan bermula.

    Indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan pengayun, 85% menunjukkan pertumbuhan, baki 15% lagi memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, 75% menunjukkan pergerakan ke atas (hanya 20% menunjukkan arah sama pada minggu lalu). Sokongan berada pada paras 1.1845, 1.1800, 1.1750, 1.1705 dan 1.1665. Rintangan pula berada pada paras 1.1910, 1.1975, 1.2025 dan 1.2100.

    Untuk peristiwa yang bakal berlaku pada minggu depan, data KDNK di Eurozone bagi Q2 yang akan dikeluarkan pada 7 September perlu diberi perhatian. Unjurannya sedikit mengecewakan: nilainya dijangka  turun 0.6% berbanding naik 2.0% untuk suku sebelum ini. Keputusan ECB ke atas kadar faedah mereka akan diketahui pada hari Selasa, 9 September, tetapi berkemungkinan tidak akan berubah dan kekal pada 0%. Justeru, sidang akhbar oleh tampuk pimpinan penggubal dasar Kesatuan Eropah yang berlangsung selepas itu dilihat lebih menarik. Akhir sekali, HICP, atau Indeks Harga Pengguna di Jerman yang menganggarkan kadar inflasi di negara tersebut dan menjadi pendorong terhadap ekonomi di Eropah akan diketahui pada hari Jumaat, 10 September.

GBP/USD: Ke Mana Euro Bergerak, Di Situ Pound Berada

  • Kami namakan bahagian ulasan ini dengan “Ke Mana Euro Bergerak, Di situ Pound Berada” pada minggu lalu dan kami gunakan judul yang sama untuk minggu ini. Semuanya kerana tiada apa yang dapat memulakan pergerakan bebas pasangan GBP/USD telah berlaku. Seperti mata wang Kesatuan Eropah, dan untuk sebab yang sama, mata wang British juga mengalami pertumbuhan berbanding dolar sejak 20 Ogos. Paras tertinggi sepanjang dua minggu iaitu 1.3890 berjaya dicapai pada 3 September, dan paras 1.3865 menjadi kedudukan terakhirnya semasa sesi dagangan tamat.

    Buat masa sekarang kedudukan pasangan ini berada di bahagian tengah saluran antara 1.3800-1.4000, saluran yang kadang kala dikunjunginya sejak Februari 2021. Jika ia terus bergerak ke atas (senario ini disokong oleh 60% penganalisis sekarang), rintangan kukuh terdekatnya yang perlu ia tempuhi berada pada paras 1.3960, dan kemudian 1.4100. Bull ingin berada semula pada paras tertinggi yang dicapai pada 1 Jun lalu iaitu 1.4250. Jika perkara sebaliknya berlaku (pilihan 20% penganalisis), ia akan mendapat sokongan di zon 1.3730, 1.3665 dan 1.3600. Baki 20% lagi penganalisis memilih trend mendatar.

    Dalam kalangan pengayun pada D1, 60% adalah berwarna hijau, 20% mengambil pendirian neutral, dan baki 20% lagi menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Untuk indikator trend, warna hijau memiliki kelebihan dengan nisbah 9:1.

     Seperti yang kita tahu, terdapat dua faktor yang menjadi indikator utama bagi pemulihan ekonomi serta isyarat permulaan bagi pengurangan program rangsangan kewangan: keadaan pasaran buruh dan juga kadar inflasi. Sebab itulah penting untuk kita berikan perhatian pada Laporan Kadar Inflasi UK minggu ini yang akan diketahui pada hari Jumaat, 10 September.

USD/JPY: Pasangan Paling Tidak Dapat Dilupakan

  • Sebagai sebuah tempat selamat, pasangan USD/JPY telah bergerak di sepanjang ufuk 110.00 sejak Mac lalu, membuat percubaan luar biasa untuk keluar dari saluran dagangan antara 108.30-111.00. Untuk kali ini, setelah memulakan dagangan lima hari pada paras 109.80, pasangan ini jatuh 20 mata pada mulanya, kemudian naik 80 mata, jatuh semula dan mengakhiri minggu di kedudukan yang hampir sama pada permulaan minggu, pada paras 109.70.

    Malah kenyataan oleh Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga berkenaan perletakan jawatannya juga tidak dapat mempengaruhi kadar yen. Populariti beliau jatuh akibat sukan Olimpik Tokyo musim panas tahun ini. Ramai yang beranggapan negara berkenaan menjadi hos bukanlah suatu sambutan terhadap sukan tetapi lebih kepada menggalakkan gelombang baru coronavirus untuk berlakunya, menjadikan insiden jangkitan COVID-19 tiga kali lebih tinggi berbanding gelombang sebelum itu.

    Beberapa orang penganalisis menganggap perletakan jawatan Yoshihide Suga sebagai satu petanda bahawa polisi kewangan kerajaan Jepun mungkin akan berubah, dan ia dikaitkan dengan peningkatan kadar indeks Nikkei sebanyak 2%, tetapi nilai yen membuat keputusan untuk tidak memberikan reaksi yang sama, menunjukkan keadaan yang benar-benar tenang.

    Ramalan penganalisis untuk masa terdekat ini adalah seperti berikut: 35% daripada mereka memihak pada bull, 45% - memihak pada bear, manakala 20% lagi mengambil pendirian neutral. Bagi indikator pada D1 pula, masih lagi mustahil untuk semuanya memberikan petunjuk pada mana-mana arah.

    Sokongan berada pada paras 109.40, 109.10, 108.70 dan 108.30. Impian bear adalah untuk menguji paras terendah bulan April iaitu 107.45. Rintangan paling hampir berada pada paras 109.85, 110.25, 110.55, 110.80, 111.00 dan 111.65. Sasaran utama bull masih lagi sama: untuk berada pada paras 112.00 yang diimpi-impikan.

MATA WANG KRIPTO: Ethereum menentang Bitcoin

  • Di tengah-tengah keadaan dolar yang terus menyusut serta peningkatan selera risiko, pasangan BTC/USD cuba untuk berada di atas paras $50,000 yang penting dari segi psikologi untuk dua minggu berturut-turut. Ia berjaya menembusi paras rintangan untuk kali ketiga dan mencecah paras $51,085 semasa ulasan ini ditulis, pada hari Jumaat, 3 September.

    Indeks Fear & Greed Kripto bertambah hanya 1 mata pada minggu lalu, naik daripada 71 kepada 74. Namun jumlah keseluruhan modal pasaran kripto telah bertambah daripada $2.021 trilion kepada $2.275 trilion. Manakala matawang kripto utama hanya menyumbang kira-kira $58 bilion saja: dominasi bitcoin terus berkurangan. Jumlahnya susut daripada 43.77% kepada 41.41% dalam masa tujuh hari, manakala ethereum sedikit demi sedikit mengukuhkan kedudukannya. Jika agihan jumlah keseluruhan modal pasaran untuk ETH adalah sebanyak 18.07% pada 28 Ogos, jumlahnya sudah pun menjadi 20.45% pada 3 September.

    Kebanyakan penganalisis dan juga personaliti berpengaruh terus berdendang berkenaan ethereum, menyatakan ia akan menolak jatuh bitcoin ke kedudukan kedua pada satu ketika nanti. Seminggu sebelum ini, kami memetik pendapat Vitalik Buterin, pencipta altcoin tersebut yang menjangkakan harga ETH akan mencecah $30,000. Dalam hal ini, jumlah modal keseluruhan pasaran coin akan bertambah kepada $3 trilion, dan melebihi modal pasaran kesemua syarikat teknologi utama di dunia.

    Penganalisis Aaron Arnold bersetuju dengan pandangan Buterin. Dalam saluran YouTube miliknya (pengikut seramai 952 ribu), beliau berpendapat faktor fundamental akan merangsang pertumbuhan mendadak ethereum. Penganalisis tersebut menganggap ciri utama yang memperkenalkan mekanisma pembakaran coin digital telah ditambah pada blockchain altcoin tersebut baru-baru ini. Kemas kini London telah dilancarkan ke dalam rangkaian ethereum pada 5 Ogos, dan mengubah sepenuhnya mekanisma fi transaksi. Sebahagian kecil daripada komisen yang diperoleh penghasil sebagai ganjaran sebelum ini kini dibakar. Menurut perkhidmatan Ultrasound.Money, lebih daripada 174,000 coin bernilai melebihi $565 juta telah dibakar sejak kemas kini tersebut diaktifkan. Kadar purata pembakaran adalah sebanyak 3.77 coin setiap minit.

    Penganalisis itu menyatakan penyusutan kadar inflasi bersih pada Ethereum sebagai faktor pertumbuhan kedua. Menurut pengiraan Arnold, buat masa ini kadarnya hanyalah sebanyak 1.1% setahun, sementara indikator untuk bitcoin pula berada pada kadar 1.75%.

    Arnold juga maklum dengan pertumbuhan berganda blok dana dalam sektor kewangan disentralisasi (DeFi). Pada pandangannya, ini adalah faktor ketiga yang akan menyumbang kepada lonjakan harga ethereum. Menurut DeFi Pulse, jika jumlah blok dana pada 1 Januari tahun ini adalah sebanyak $16 bilion, jumlah tersebut sudahpun mencecah $82 bilion pada 30 Ogos (peningkatan sebanyak 412% sejak permulaan tahun ini).

    Harus maklum bahawa dinamik yang berlaku sejak beberapa bulan lalu mengesahkan sepenuhnya unjuran gembira ke atas ethereum. Jika nilai BTC meningkat kira-kira 72% sejak 20 Julai, nilai ETH pula bertambah sebanyak 130%. Minggu lalu saja, nilai altcoin ini naik 22%, sementara nilai bitcoin hanya naik sebanyak 2.5%. Kelebihan juga jelas memihak kepada ethereum dalam tempoh 12 bulan: ETH naik 820%, BTC pula naik 350%.

    Jika Vitalik Buterin menjangkakan nilai hasil buah fikirannya itu akan naik kepada $30,000, anda masih boleh dengar nilai $100,000 dalam ramalan pasangan BTC/USD. Itulah nilai yang Kevin Wadsworth, penganalisis dari British dan juga pengasas bersama Northsat & Badcharts percaya akan berjaya diduduki pasangan ini sebelum berakhirnya tahun 2021. Kemudian, pergerakan bullish bagi mata wang kripto yang berlaku sekarang akan berakhir.

    Bercakap mengenai mata wang kripto pertama, Wadsworth percaya bahawa nilainya akan naik “pada bulan September, Oktober, dan mungkin, pada bulan November.” Beliau berkata, nilai sesetengah altcoin terkenal (seperti ethereum) juga mungkin akan naik dengan ketara kerana kenaikan nilai BTC sebanyak 3-4 kali ganda mungkin akan berlaku.

    Penganalisis PlanB juga turut yakin nilai BTC akan melepasi paras $100,000 menjelang Krismas nanti. Perkara ini ditunjukkan oleh isyarat pada model ramalan S2F beliau.

    Prospek pertumbuhan nilai bitcoin ke paras lebih tinggi juga ditunjukkan oleh analisis pergerakan mata wang kripto tahunan. Penganalisis di saluran Twitter Root yakin bahawa pendorong utama bagi BTC adalah pengurangan penghasilan (2 kali pengurangan ganjaran melombong). Perkara tersebut menyebabkan bekalan coin di pasaran berkurangan, dan seterusnya memberi kesan positif terhadap nilai aset digital berkenaan. Bagi bitcoin, potensi pertumbuhannya masih lagi belum berakhir sejak penghasilannya mula dikurangkan pada bulan Mei 2020.

    Selain penghasilannya dikurangkan, satu lagi perkara yang mendorong pertumbuhannya adalah keupayaan Rizab Persekutuan AS dalam mencetak wang. Lebih-lebih lagi, syarikat-syarikat serta para individu menerima sebahagian besar daripada keseluruhan wang itu. CNBC mendedahkan bahawa 11 peratus daripada penduduk muda di AS telah melaburkan sebahagian daripada modal yang diterima dalam bentuk bantuan semasa pandemik COVID-19 berlaku ke dalam bitcoin serta coin-coin yang lain. 60 peratus daripada jumlah itu telah menjadikannya sebagai aset jangka panjang.

    Selain daripada itu, CEO Euro Pacific Capital yang juga “fanatik emas” iaitu Peter Schiff berkata, beliau menganggap sesiapa yang masih menyimpan bitcoin dan  tidak menjualnya sebagai “benar-benar dungu”. Pelabur John Paulson menyatakan pendapat yang agak sama. Hartawan tersebut menggelar mata wang kripto sebagai “gelembung” dalam temu bualnya bersama Bloomberg. Beliau berpendapat, pasaran aset digital akan “terbukti tidak berharga,” justeru sia-sia saja untuk melabur ke dalamnya. “Mata wang kripto adalah sejenis gelembung. Saya menggambarkannya sebagai bekalan terhad yang tidak bernilai. Jika permintaan lebih tinggi berbanding bekalan yang ada, nilainya akan naik. Namun, jika permintaannya berkurang, nilainya juga akan berkurang. Tiada satu pun mata wang kripto yang memiliki nilai intrinsik,” Paulson menjelaskan pendapatnya.

    Sebagai kesimpulan, seperti biasa, kami akan berikan satu lagi nasihat bagaimana cara untuk kaya dengan mata wang kripto dalam seksyen petua tidak serius kami. Rupa-rupanya anda hanya perlu membeli sebuah kereta elektrik berjenama IM untuk menjadi kaya. Disokong oleh gergasi Internet Alibaba, pembuat kereta elektrik Zhiji Auto telah membangunkan satu aplikasi bagi pemilik untuk menjana mata wang kripto bagi setiap batu perjalanan.

    Pemandu kenderaan perlu memasukkan maklumat mengenai setiap kilometer perjalanan mereka bagi melayakkan untuk masuk dalam kumpulan penghasil. Mereka akan menerima mata wang digital Stone sebagai ganjaran. Syarikat itu merancang untuk mengeluarkan 500 coin sebanyak 144 kali setiap hari sebagai permulaan. Pengeluaran akan dikurangkan setiap empat tahun bagi mengekalkan likuiditi.

    Aset tersebut boleh ditukar kepada pelbagai jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan. Apabila nilai jarak tempuhnya mencecah 5,000km, pemiliknya boleh membeli sistem pemanduan pintar generasi baru atau menambah kapasiti bateri kepada 120 kWh dengan coin.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.