Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 27 September - 01 Oktober, 2021

EUR/USD: Hampir Mula Menamatkan QE

  • Pihak Rizab Persekutuan tidak membuat sebarang perubahan terhadap polisi kewangan mereka semasa bermesyuarat pada 21-22 September. Walau bagaimanapun, penggubal dasar itu menyatakan dengan jelas dalam komennya bahawa mereka mungkin sudah bersedia untuk mula menamatkan program rangsangan kewangan (QE) beransur-ansur seawal bulan November.

    Lebih daripada separuh ahli FOMC (Federal Open Market Committee) percaya bahawa kenaikan kadar faedah akan bermula beberapa bulan selepas QE ditamatkan, iaitu sebelum berakhirnya tahun 2022. Keseluruhannya, pihak Rizab merancang untuk menaikkan kadar faedah mereka sekurang-kurangnya 6 kali antara tahun 2022-2024. (Sebagai perbandingan, pihak ECB hanya akan mula berbuat demikian dalam tempoh tiga tahun).

    Prospek seperti itu memberi kelebihan kepada dolar, indeks DXY naik kepada 93.498, manakala pasangan EUR/USD mencapai paras terendah bulanan yang baru, turun ke paras 1.1683.

    Terdapat kemungkinan yang kecil untuk permulaan penamatan QE akan diumumkan sekarang. Namun ia masih belum berlaku, dan pihak Rizab Persekutuan akan terus mencetak dolar baru buat masa ini dengan jumlah sekurang-kurangnya $120 bilion sebulan. Jumlah wang pada penyata imbang isi rumah di AS meningkat kepada $16.5 trilion untuk Q2 dan akan terus meningkat pada masa terdekat nanti (jumlahnya adalah $12.7 trilion pada hujung 2019). Namun akan tiba masanya untuk populasi di negara itu mula membelanjakan wang tersebut bagi menyokong ekonomi Amerika selepas QE ditamatkan.

    Statistik seperti itu telah memberi keyakinan kepada para pelabur berkenaan masa depan yang cerah serta mengembalikan selera risiko mereka, sekali lagi menolak indeks saham S&P500, Nasdaq dan juga Dow Jones ke atas. Menjelang pengakhiran minggu, pasaran saham secara harfiahnya telah mengimbangi kerugian yang dialami pada hari Isnin setelah tersebarnya maklumat bahawa syarikat pembinaan terbesar di China, Evergrande mungkin menjadi muflis. Hutang berjumlah 2 trilion yuan ($309 bilion) adalah hutang terbesar yang pernah ditanggung di dunia dan jumlah itu adalah 80 kali lebih besar berbanding nilai bersihnya (kira-kira $3.9 bilion). Menurut Bloomberg, Evergrande adalah sebuah konsortium yang mengandungi 200 syarikat luar persisir dan 2,000 syarikat China yang beroperasi di pelbagai negara, justeru kebankrapan gergasi seperti itu mampu memberi tamparan hebat ke atas ekonomi global.

    Kembalinya minat pelabur terhadap aset berisiko serta wang yang mengalir masuk ke dalam pasaran saham telah mengubah arah trend pasangan EUR/USD ke atas pada hari Khamis. Nilai dolar terus menyusut dengan cepat setelah data yang lemah dari pasaran buruh AS diketahui.

    Tuntutan awal bagi yang menganggur meningkat kepada 351,000 pada minggu lalu, berbanding 320,000 seperti yang diunjurkan. Bilangan permohonan berulang untuk faedah kebangsaan itu meningkat kepada 2.8 juta. Sudah pasti ini bukanlah bencana, tetapi sesuatu yang perlu diteliti pihak Rizab Persekutuan. Jika data NFP dan lain-lain indikator yang akan dikeluarkan pada 8 Oktober nanti juga menunjukkan bacaan yang mengecewakan, penggubal dasar itu mungkin boleh mempertimbangkan semula untuk melewatkan penamatan QE.

    Kedua-dua faktor ini telah membantu bull EUR/USD menaikkan pasangan itu ke paras 1.1750 pada 23 September. Menjelang hujung minggu, pasangan ini mencapai paras terakhirnya di sekitar 1.1715 selepas Pengerusi FRS iaitu Jerome Powell memberikan ucapan beliau pada petang Jumaat.

    Hakikat bahawa Bank Pusat AS boleh mula mengurangkan jumlah program QE dalam tempoh 1-2 bulan dan menamatkan sepenuhnya proses itu menjelang pertengahan 2022 serta terus menaikkan kadar faedah selepas itu telah membolehkan unjuran ke atas dolar yang lebih kukuh dibuat untuk jangka sederhana. Kebanyakan penganalisis (55%) menjangkakan peningkatan nilai mata wang AS serta penurunan pasangan EUR/USD ke paras lebih rendah pada minggu hadapan. Mereka disokong oleh 85% pengayun dan juga 100% indikator  trend pada D1. Baki 35% penganalisis memillih pertumbuhan pasangan ini, manakala 15% pengayun juga menunjukkan ia memiliki lebihan jualan.

    Sokongan berada pada paras 1.1705, 1.1685, 1.1600 dan 1525. Rintangan pula berada pada paras 1.1750, 1.1800, 1.1845, 1.1908, 1.1975, 1.2025 dan 1.2100.

    Bagi peristiwa minggu hadapan, pilihanraya persekutuan Jerman yang akan diadakan pada hari Ahad, 26 September serta Kaunselor Angela Merkel yang akan meninggalkan pejabatnya selepas itu perlu diberi perhatian. Data pesanan modal dan barang tahan lama di AS akan dikeluarkan pada hari Isnin, 27 September. Terdapat statistik terhadap pasaran pengguna di Jerman dan juga Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari terakhir bulan ini, serta data KDNK di AS. Akhir sekali, data indeks PMI Pembuatan ISM akan diketahui pada hari Jumaat, 1 Oktober.

GBP/USD: Kemenangan Helang Bank of England

  • Minggu lalu boleh dianggap sebagai minggu bank-bank pusat. Bukan saja mesyuarat Rizab Persekutuan AS, malah mesyuarat oleh Bank of England, Jepun dan juga Switzerland juga membuahkan hasil. Walaupun bank pusat di Jepun dan Switzerland masih belum bersedia untuk mengubah pendirian mereka lagi, penggubal dasar di UK telah mengeluarkan retorik hawkish dengan tiba-tiba.

    Bank of England telah bersikap pasif beberapa tahun kebelakangan ini, mengikuti jejak ECB dan juga Rizab Persekutuan. Dan ia berakhir pertengahan minggu lalu. Namun, nampaknya meninggalkan EU menjadikan agak mustahil untuk terus bersifat demikian. Pada mesyuarat yang diadakan pada hari Khamis, 23 September, pihak bank telah membuat keputusan sehingga menyebabkan pasaran tersentak, manakala kadar pasangan GBP/USD melonjak 140 mata, daripada 1.3608 kepada 1.3748. Penggubal dasar itu bukan saja telah mengumumkan rancangan mereka untuk mengetatkan polisi kewangan, malah juga menggariskan tempoh masa untuk kenaikan kadar pembiayaan semulanya. Kenaikan pertama kepada 0.25% akan dibuat pada Mei 2022 dan akan dinaikkan kepada 0.5% pada bulan Disember.

    Berbanding garis waktu Rizab Persekutuan yang samar-samar, rancangan Bank of England menunjukkan tanda aras yang jelas, dan seperti yang dinyatakan, pasaran menerimanya dengan penuh semangat. Namun pasangan GBP/USD tidak berjaya melepasi paras 1.3748 kerana walaupun terdapat kekurangan dalam rancangan mereka buat masa ini, tetapi penamatan program QE Rizab Persekutuan akan tetap dilaksanakan, dan akan berjalan dalam tempoh yang singkat. Perkara ini meredakan semangat para penyokong pound, dan hasilnya, pertarungan sepanjang minggu antara bull dan bear pasangan GBP/USD berakhir dengan kejayaan milik bear: setelah memulakan lima hari dagangan pada paras 1.3730, ia berakhir pada paras 1.3670.

    Analisis teknikal juga berpihak kepada bear: kedua-dua pengayun serta indikator trend pada D1 adalah berwarna merah. Ia bukan saja mempengaruhi trend pada dua minggu terakhir ini, malah dinamik tiga bulan sepanjang musim panas lepas. Namun bagi penganalisis yang membuat ramalan minggu hadapan, pendapat mereka terbahagi sama rata.

    Rintangan berada pada paras 1.3690, 1.3765, 1.3810, 1.3910, selepas itu 1.3960, 1.4000 dan 1.4100. Bull mensasarkan untuk memperbaharui paras tertinggi 1 Jun iaitu 1.4250. Sokongan berada di zon 1.3640, 1.3600, 1.3570 dan 1.3520.

    Dari segi statistik makro, kadar KDNK di UK untuk Q2 2021 akan diketahui pada hari Khamis, 30 September. Walaupun sebelum ini kadarnya menunjukkan nilai positif (+4.8%), kini ia diunjur menjadi negatif, negatif 1.5%.

USD/JPY: Kekalahan Pipit di Jepun

  • Pasangan USD/JPY telah bergerak di sepanjang ufuk 110.00 sejak Mac lalu, membuat percubaan luar biasa untuk keluar daripada saluran dagangan 108.30-111.00. Kali ini juga, setelah memulakan dagangan lima hari pada paras 109.95, ia mencecah ketinggian 110.78 menjelang hujung minggu, dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 110.75.

    Tidak seperti bank-bank pusat di negara berekonomi maju yang lain, Bank of Japan kekal komited dengan polisi kewangan yang begitu longgar serta kadar faedah negatif. Disebabkan itulah yen masih lagi menjadi mata wang selamat, bukan aset untuk menghasilkan keuntungan.

    Permulaan minggu agak baik: penghindaran risiko akibat kemungkinan Evergrande akan bankrap telah menolak pasangan USD/JPY ke bawah ke paras 109.10. Walau bagaimanapun, segalanya berubah selepas itu. Para pelabur mahu mendapatkan pulangan, beralih kepada aset berisiko. Setelah pihak Rizab Persekutuan bermesyuarat, hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS melonjak naik melebihi 1.44%. Malah, hasil spread ke atas bon 10 tahun Jepun dan bon-bon AS lain telah melangkaui paras penyatuan yang berlaku baru-baru ini dengan memihak kepada bon AS. Kekuatan yang seimbang seperti itu memberi kelebihan kepada bull USD/JPY, dan melemahkan kedudukan yen.

    Jika Bank of Japan terus mengekalkan polisi dovish mereka dan pihak Rizab Persekutuan AS pula mengurangkan jumlah program rangsangan fiskal mereka secara aktif, mata wang yen tidak akan berasa selamat. Namun pasangan USD/JPY masih lagi akan mencecah paras 112.00 dengan cepat. Mata wang Jepun hanya akan selamat jika permintaan aset berisiko mulai kurang atau keengganan pasaran untuk membiarkan pasangan itu bergerak di atas koridor jangka panjang yang sedia ada.

    Buat masa ini, 60% penganalisis percaya bahawa pasangan USD/JPY mampu untuk menghampiri paras 112.00. Namun hanya separuh daripada jumlah itu bersetuju ia akan bergerak di atasnya. Separuh lagi percaya pasangan ini akan kembali semula pada koridor yang disebutkan di atas.

    Bagi indikator pada D1, 65% pengayun menunjukkan pertumbuhan ke atas, bakinya pula sama ada berwarna kelabu neutral ataupun memberi isyarat pasangan itu memiliki lebihan belian. Namun indikator trend sebulat suara bersetuju dengan pergerakan ke atas yang akan terus berlaku.

    Paras sokongan tidak berubah: 110.15, 109.60, 109.10, 108.70 dan 108.30. Impian bear (dilihat agak mustahil) adalah untuk menguji semula paras terendah bulan April iaitu 107.45. Rintangan paling hampir berada pada paras 110.80, 111.00 dan 111.65. Sasaran utama bull masih lagi sama: untuk mencapai paras 112.00 iaitu ketinggian yang menjadi impian. Malah mungkin ia akan dapat menembusinya.

    Bagi peristiwa yang akan berlaku di Jepun pada minggu depan, kami maklum dengan mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan yang akan berlangsung pada hari Selasa, 28 September serta penerbitan Tankan Index of Large Producers di negara tersebut bagi Q3 pada hari Jumaat, 1 Oktober. Namun adakah ia mampu memberi kesan besar terhadap sebut harga USD/JPY? Pada pendapat kami, mungkin tidak.

MATA WANG KRIPTO: Jerung Sedia Berhadapan dengan Serangan Bear

  • Carta BTC/USD dan ETH/USD pada minggu ini menunjukkan corak yang agak sama dengan indeks saham S&P500 dan Dow Jones. Puncanya adalah sentimen pelabur yang berubah-ubah.

    Risiko terhadap kegagalan tanggungjawab salah sebuah syarikat pembinaan terbesar di China, Evergrande yang mengumpul hutang berjumlah 2 trilion Yuan ($309 bilion), telah menimbulkan keadaan panik di pasaran kewangan pada 20 September lalu. Para pelabur mula menjual aset berisiko mereka, sehingga meruntuhkan pasaran. Pasaran mata wang kripto juga tidak terkecuali. Jika nilai bitcoin pada hari Isnin adalah $52,870, nilai itu turun ke paras $39,666 untuk seketika pada hari Selasa, penyusutan sehingga 25% nilainya.

    Keadaan panik yang disebabkan oleh Evergrande mula reda pada 22 September, diikuti dengan pembetulan, manakala selera risiko para pelabur yang sederhana kembali setelah berakhirnya mesyuarat Rizab Persekutuan, dan cartanya terus bergerak ke atas. Namun, masih terlalu awal untuk merasakan penjualan aset itu sudah berakhir. Setelah naik ke paras $45,150, nilai bitcoin turun sekali lagi pada hari Jumaat, 24 September, kemudian melawan semula dan ia didagangkan pada kadar $43,000 semasa ulasan ini dibuat.

    Penyusutannya sekali lagi berpunca dari negara China, apabila People’s Bank of China mengisytiharkan pengharaman semua jenis aktiviti yang berkaitan dengan mata wang kripto, dan berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggarnya. Antara lain, larangan tersebut akan dikenakan terhadap perkhidmatan tukaran kripto asing yang disediakan di negara itu.

    Selain menerima tekanan dari penggubal dasar, tindak-tanduk para jerung juga menunjukkan isyarat berjaga-jaga. Dari suatu segi, jumlah coin yang mereka miliki kian bertambah. Jika purata pemilikan bagi setiap jerung adalah sebanyak 3236 BTC pada bulan Februari, jumlah ini bertambah kepada 3722 BTC pada bulan September. Namun bilangan jerung itu sendiri turun sebanyak 15% dan kini jumlahnya adalah sebanyak 2,125. Ini adalah jumlah terendah dalam tempoh 15 bulan. Disamping itu, sejumlah besar coin yang mereka miliki telah mengalir keluar daripada walet ke akaun tukaran. Perkara ini membayangkan bahawa para jerung sedang bersedia terhadap kemungkinan untuk pasaran bear akan terus berlaku.

    Sudah pasti, jerung-jerung ini bukanlah terdiri daripada entiti persendirian. Walaupun keinginan biasa adalah untuk mendapatkan pulangan, ianya boleh dikategorikan sebagai pelabur jangka pendek dan jangka panjang. Pelabur jangka pendek lebih terdedah kepada spekulasi serta pantas dalam mendapatkan keuntungan kecil. Pelabur jangka panjang, seperti MicroStrategy pula, lebih gemar untuk membuat pembelian apabila nilainya susut. Dan atas jasa mereka inilah pasaran masih belum lagi runtuh sepenuhnya.

    Bagi sentimen pelabur, data yang disediakan oleh Glassnode dalam laporan terkini mereka dilihat agak menarik. Sejak penghujung Julai lalu, apabila harga bitcoin meningkat daripada $31,000 kepada $52,000, pelabur jangka panjang telah menjual coin yang mereka beli pada harga antara $18,000 dan $31,000. Menurut penganalisis, hal ini menunjukkan sesetengah pelabur pasif telah memasuki kategori pedagang aktif dengan menjual coin yang dibeli hampir pada nilai semasa.

    Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto sekali lagi turun di bawah paras psikologi pentingnya iaitu $2.0 trilion dan kini berada pada $1.84 trilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto pula telah beralih daripada zon neutral (48 mata) kepada zon Fear. Bacaannya adalah 27 pada hari Khamis, 23 September, iaitu bacaan terendah mingguan, dan naik sedikit pada hari Jumaat, 24 September - naik kepada 33 mata.

    Umumnya, pasaran kripto kini berada dalam keadaan tidak menentu, sesetengah orang berpengaruh menjangkakan pertumbuhan luar biasa, manakala yang lain, seperti presiden Euro Pacific Capital, Peter Schiff, beliau percaya bahawa “gelembung” ini akan pecah tidak lama lagi. Pastinya, perbezaan pendapat ini bukan saja untuk bitcoin, tetapi juga terhadap ethereum.

    Nilai ETH susut 40%, daripada $4,020 kepada $2,650 dalam masa tiga hari saja, dari 20 September sehingga 22 September. Dalam masa yang sama, ahli strategi bank JPMorgan iaitu Nikolaos Panigirtzoglou percaya bahawa nilai itu seharusnya lebih rendah. Beliau berpendapat, harga altcoin ini sepatutnya ialah $1,500 jika berdasarkan pada metrik aktiviti rangkaian.

    Pendapat berbeza diberikan oleh pedagang dan juga penganalisis mata wang kripto Lark Davis yang berkata ETH akan mencecah nilai $10,000 dalam beberapa minggu akan datang. Beliau maklum bahawa pelabur-pelabur, bank-bank dan juga syarikat-syarikat besar akan terus melabur dalam ekosistem ethereum. Davis memetik bekalan terhad pada pasaran sebagai satu lagi faktor yang memihak kepada pertumbuhan altcoin. Tiada sebarang pergerakan ke atas 87% coin Ethereum untuk tempoh lebih daripada tiga bulan, dan ini menunjukkan keengganan para pelabur untuk menjual simpanan mereka. Selain itu, kekurangan bekalan yang ketara juga wujud akibat pembatalan fi transaksi yang menjadi dasar serta peningkatan deposit bertindih ethereum 2.0.

    Dalam membuat kesimpulan, satu penemuan ini mungkin boleh dianggap sebagai sensasi. Rupa-rupanya 100 tahun yang lalu, tokoh perindustrian automobil terkenal iaitu Henry Ford telah pun mengutarakan idea untuk menggantikan emas dengan sesuatu yang digelar sebagai “mata wang tenaga.” Isu tersebut telah beliau bangkitkan dalam New York Tribune seawal tahun 1921. Amat mengejutkan projek yang dicadangkan oleh Ford untuk melancarkan satu mata wang baru adalah serupa dengan perihal BTC yang dibentang oleh Satoshi Nakamoto pada tahun 2008.

    Muka hadapan akhbar berkenan menampilkan artikel yang menghuraikan tentang “mata wang tenaga” dan Ford percaya bahawa ia mampu menggantikan emas serta menjadi tulang belakang kepada sistem kewangan era baru. Mata wang tersebut berfungsi sepenuhnya berdasarkan “unit tenaga”, dan pembinaan stesen janakuasa hidroeletrik terbesar telah dicadangkan untuk penghasilannya. Justeru, ia mampu menjadi unit kewangan paling stabil dan paling selamat serta dapat mengelakkan pertambahan hasil kekayaan akibat spekulasi emas.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.