EUR/USD: Dalam Keadaan Tidak Menentu
- Apabila memberikan ramalan mereka seminggu lalu, 20% penganalisis bersetuju dengan penyusutan kadar EUR/USD, 50% lagi memihak kepada pertumbuhan, manakala baki 30% pula adalah neutral. Hasilnya, keputusan berpihak kepada 80% yang menjangkakan pertumbuhan dan pergerakan mendatar. Setelah bermula pada paras 1.1600, pasangan ini naik ke paras 1.1668 pada awalnya, kemudian turun ke paras 1.1616, dan kemudian bergerak secara mendatar dalam saluran ini. Setelah Gabenor Rizab Persekutuan berucap pada hari Jumaat, kadar pasangan ini turun ke sempadan bawah julat dagangannya namun berakhir hampir di tengah-tengah pada paras 1.1643.
Menurut Reuters, Jerome Powell menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk mula mengurangkan pembelian aset dan turut menambah sekarang bukanlah waktunya untuk menaikkan kadar faedah. Beliau berpendapat, kadar inflasi yang tinggi akan terus berlaku pada tahun hadapan, namun bank pusat tersebut mensasarkan kadarnya itu akan kembali kepada 2%.
Keputusan dari pasaran buruh AS pada minggu lalu boleh dianggap sebagai positif. Semua ini disebabkan oleh semakan semula secara menyeluruh data berkenaan tuntutan berulang bagi faedah pengangguran yang dikeluarkan sebelum ini, daripada 2.593K kepada 2.603K. Justeru, jumlah 2.481K yang ada sekarang menunjukkan penurunan sebanyak 122K dan bukan seperti yang diunjur iaitu 118K.
Pengiraan matematik yang agak “rumit” itu juga telah memperbaiki data tuntutan faedah utama. Hasil daripada keputusan sebelum ini yang telah dikemas kini, jumlahnya menurun sebanyak 6K dan bukan bertambah sebanyak 2K.
Walau bagaimanapun, semua keputusan positif ini tidak banyak membantu dolar kerana hasil bon Perbendaharaan AS berada di sekitar 2.15%, manakala kebarangkalian untuk jumlahnya mengalami pertumbuhan kepada 3.0% masih lagi sama.
Data PMI Markit di Jerman dan juga Eurozone dalam sektor pembuatan yang lemah mampu menolak turun pasangan EUR/USD ke bawah pada hari Jumaat, 22 Oktober. Namun ia menunjukkan keputusan yang pelbagai. Indeks Kesatuan Eropah berubah menjadi warna merah, turun dari 56.2 kepada 54.3 berbanding 55.2 seperti yang diunjurkan. Namun indeks di negara yang menjadi pendorong utama ekonomi Kesatuan Eropah, Jerman, pula adalah sebaliknya, berwarna hijau pada kadar 58.2 berbanding 56.5 seperti yang dijangkakan.
Hakikat bahawa pasaran buruh AS terus bertambah baik seharusnya dapat memberi sokongan kepada dolar pada akhirnya. Gabenor Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell telah berulang kali menekankan bahawa sasaran program rangsangan kewangan (QE) antara lainnya adalah untuk menstabilkan pasaran buruh. Walaupun tidak disempurnakan sepenuhnya, ia hampir mencapai matlamat. Selepas ini, tiada apa yang boleh menghalang pihak Rizab Persekutuan daripada mula mengurangkan rangsangan ekonominya tidak lama lagi.
Jadi, apa yang boleh kita jangkakan untuk EUR/USD dalam masa terdekat ini? Walaupun 55% pengayun pada D1 berwarna merah, 15% berwarna hijau dan 30% lagi berwarna kelabu neutral seminggu lalu, gambarannya kini berbeza. 50% indikator menunjukkan pertumbuhan, 20% berpendirian neutral, manakala 15% lagi menunjukkan penurunan, dan baki 15% pula memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Bagi indikator trend pula, bacaannya juga dipengaruhi oleh pergerakan mendatar yang berlaku baru-baru ini, menunjukkan peratusan yang sama iaitu 50% dan 50%.
Majoriti penganalisis menjangkakan pengukuhan nilai dolar menjelang hujung tahun ini. Namun pendapat mereka hampir sama apabila membuat ramalan untuk minggu hadapan. 45% penganalisis memilih senario bullish, bearish juga menunjukkan peratusan yang sama, dan baki 10% lagi mengambil pendirian neutral.
Sokongan berada pada paras 1.1615, 1.1585, 1.1560, 1.1520, 1.1485 dan 1.1450. Rintangan pula berada pada paras 1.1670 1.1715, 1.1800, 1.1910.
Untuk perkara yang bakal berlaku minggu hadapan, Laporan Bank Pinjaman Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Oktober harus diberi tumpuan. Data untuk order barangan modal dan tahan lama akan diketahui dari AS pada hari Rabu, 27 Oktober. Kami jangkakan banyak statistik makro yang akan dikeluarkan pada hari Khamis dan Jumaat, termasuklah data pasaran pengguna serta KDNK di Eurozone, Jerman dan juga Amerika Syarikat. Selain itu, Bank Pusat Kesatuan Eropah akan bermesyuarat pada 28 Oktober. Kadar faedah dijangka kekal tidak berubah pada 0%. Oleh itu, sidang akhbar serta ulasan oleh pihak pengurusan ECB yang akan diadakan selepas itu berkenaan polisi kewangan mereka adalah lebih menarik.
GBP/USD: Wherever the Euro Goes, the Pound Goes
- Carta pasangan GBP/USD pada minggu lalu agak sama dengan carta EUR/USD: pergerakan mendatar dengan sedikit kelebihan memihak pada bull dan berakhir sedikit tinggi daripada kedudukan mulanya, pada paras 1.3758. Ini berlaku akibat ketiadaan pelbagai pendorong penting dari seberang Lautan Atlantik, serta statistik di UK sendiri.
Pertumbuhan kadar harga pengguna di UK menurun daripada 3.2 peratus kepada 3.1 peratus, dan ia memberi isyarat baik kepada para pelabur yang takut dengan inflasi di peringkat global. Namun, pasaran agak sukar untuk memberikan reaksinya terhadap jumlah ini, asyik tertumpu pada harga minyak kerana krisis bahan api bukan saja menjadi ancaman utama di Kesatuan Eropah malah juga di UK yang telah berpisah daripadanya. Sudah pasti inflasi itu sangat penting, namun negara ini mengambil jalan sama seperti yang diambil oleh Eurozone serta Amerika Syarikat, sedikit penurunan setelah mengalami pertumbuhan yang agak kukuh.
Data Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) Markit bagi sektor perkhidmatan di British yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 22 Oktober menunjukkan peningkatan, naik daripada 55.4 kepada 58.0 dan bukannya turun seperti yang diunjurkan. Hal ini tidak membantu pound. Dengan bantuan Jerome Powell yang membuat ucapan sebelum pasaran ditutup, nilai dolar mengukuh bukan saja berbanding euro, malah juga berbanding mata wang British.
Tidak seperti rakan di Kesatuan Eropah, nilai pound telah bertumbuh sejak 29 September. Perkara ini telah memberi kesan terhadap bacaan indikator pada D1, namun kelebihan masih berpihak pada warna hijau. Dalam kalangan pengayun, warna hijau diwakili sebanyak 55%, 25% pula berwarna kelabu dan 20% laagi memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, 60% menunjukkan pertumbuhan, dan 40% pula sudah pun menunjukkan penurunan.
Seperti yang para penganalisis bimbangkan, tiada sebarang kelebihan yang dapat dilihat: 35% memilih pertumbuhan pasangan ini, 25% pula memilih penurunan, dan baki 40% lagi menjangkakan pergerakan di saluran sisi.
Sokongan berada pada paras 1.3740, 1.3675, 1.3600, 1.3575, 1.3525 dan 1.3400. Rintangan dan juga sasaran bull berada pada paras 1.3770, 1.3810, 1.3835, 1.3900 dan 1.4000.
USD/JPY: Kembali ke Tahun 2017
- Pasangan USD/JPY telah memperbaharui kedudukan tertingginya selama empat tahun pada 20 Oktober lalu dan mencecah paras 114.70, kedudukan sama seperti pada bulan November 2017. Selepas itu, semangat bull mula berkurang, dan pasangan itu kembali ke kedudukan yang sama seminggu lalu.
Sementara nilai dolar mengukuh berbanding euro serta pound British akibat ucapan Gabenor Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell pada 22 Oktober, ia agak lemah berbanding yen yang bertindak sebagai mata wang selamat. Akibatnya, kedudukan terakhir mingguannya berada di sekitar 113.42.
Seperti yang diketahui, prestasi pasangan ini amat dipengaruhi oleh hasil bon kerajaan AS, dan setakat ini jumlahnya berada di sekitar 2.15%. Walau bagaimanapun, jika jumlahnya meningkat, kadar turun naik pasangan USD/JPY akan melonjak ke tahap yang baru.
Pada tahap sekarang, 65% penganalisis menjangkakan pasangan ini akan kembali ke paras 113.00 pada mulanya, dan kemudian turun ke zon di antara 111.00-112.00 menjelang akhir November. Baki 35% lagi penganalisis patuh pada sudut pandangan bertentangan, menjangkakan paras tertingginya diperbaharui dan menaikkan pasangan ini pada julat antara 115.00-116.00.
Rintangan berada pada paras 114.45, 114.70 dan 115.50, sasaran jangka panjang bull adalah paras tertinggi Disember 2016 iaitu 118.65. Sokongan berada pada paras 113.25, 112.00 dan 111.65.
Untuk peristiwa yang akan berlaku pada minggu depan, antara yang perlu diberi perhatian termasuklah mesyuarat Bank of Japan yang akan diadakan pada hari yang sama berlangsungnya mesyuarat ECB, pada hari Khamis, 28 Oktober. Namun, tiada sebarang kejutan yang mungkin akan berlaku, manakala kadar faedahnya pula dijangka kekal pada negatif 0.1% seperti sebelum ini.
MATA WANG KRIPTO: $66,925: Nilai Tertinggi Bitcoin yang Baru
- Nilai bitcoin mencecah $64,850 pada 14 April, diikuti dengan penurunan sebanyak 55% dan menjadikan nilainya $29,230. Kini penantian yang ditunggu-tunggu para pelabur kripto telah menjadi kenyataan. Setelah berbulan lamanya berasa bimbang dan penuh harapan, pasangan BTC/USD bukan saja menebus semula kerugian, malah juga memperbaharui rekod tertingginya, mencecah $66,925 pada 20 Oktober. Nilai Ethereum juga mencecah paras tertingginya: pasangan ETH/USD dilihat berada pada ketinggian $4,363.
Penganalisis menyatakan terdapat dua sebab terhadap lonjakan mendadak ini. Pertama sekali adalah pelancaran ETF (dana tukaran dagangan) Bitcoin. Terdahulu, Suruhanjaya Sekuriti dan Tukaran AS (SEC) telah meluluskan niaga hadapan ETF Bitcoin oleh ProShares, kemudian meluluskan permohonan VanEck untuk melancarkan ETF yang hampir sama.
Sebab yang kedua dan paling utama bagi trend bullish ini adalah kebimbangan para pelabur terhadap kadar inflasi. Para penganalisis di JPMorgan Chase, sebuah konglomerat perbankan terbesar telah menunjukkan bahawa tidak seperti emas digital, agak sukar bagi emas sebenar untuk memberi reaksi terhadap kebimbangan kadar inflasi. Hal ini mencadangkan bahawa bitcoin telah memperbaharui peranannya sebagai alat perlindungan modal terbaik untuk para pelabur serta menyokong harapan bullish bagi BTC sehingga penghujung tahun ini.
Ramai penganalisis lain turut bersetuju dengan JPMorgan Chase yang berasa optimis dengan prestasi mata wang kripto utama itu sehingga hujung Disember nanti. Namun pada masa yang sama, mereka mendesak para pelabur agar berhati-hati pada awal tahun 2022 kerana kitaran besar empat tahun BTC akan berakhir. Michael Burry, pengasas dana lindung nilai Scion Capital yang meramalkan krisis gadai janji pada tahun 2007 sudah pun memikirkan untuk membuka posisi short ke atas bitcoin.
Syarikat Finder telah menjalankan kaji selidik terhadap 50 orang penganalisis dalam industri fintech yang disertai oleh wakil dari Cypherpunk Holdings, Bitcoin Reserve, Kraken, Arcane dan CryptoQuant, serta 7 orang profesor yang mewakili universiti-universiti di Asia, Eropah dan juga Australia. Mereka berpendapat, kadar BTC akan memuncak sedikit tinggi di atas paras $80,000 dalam tempoh dua bulan lagi, dan nilai mata wang kripto terunggul itu akan berada di sekitar $71,400 menjelang akhir tahun nanti.
Nilai yang disebut oleh para penganalisis itu ternyata sedikit rendah berbanding nilai yang diunjur oleh penganalisis di Standard Chartered dan juga Bloomberg yang percaya nilai bitcoin mampu untuk menembusi $100,000 pada tahun ini.
Penganalisis kripto popular iaitu Willy Woo percaya bahawa fasa pasaran bitcoin yang berikutnya akan menjadi lebih tidak menentu berbanding tempoh bullish yang lepas, membayangkan tempoh masa untuk kitaran sekarang ini akan berlaku lebih lama. Jika diingat penganalisis ini telah membuat beberapa siri ciapan di Twitter pada tahun lalu, dan mengikut model yang beliau hasilkan, nilai $200,000 bagi setiap coin menjelang akhir 2021 adalah satu ramalan yang agak konservatif. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengecualikan kebarangkalian untuk nilai BTC mencecah $300,000.
CEO Morgan Creek Capital Management iaitu Mark Jusko turut menjangkakan nilai yang hampir sama dengan ramalan Willie Woo. Beliau berpendapat harga mata wang kripto tertua itu mampu mencecah $250,000, namun ia tidak akan berlaku pada tahun 2021, tetapi 5 tahun akan datang. Dengan membuat kenyataan itu, beliau akui laluan untuk ke kemuncak adalah agak sukar.
Dalam pada itu, berlakunya penurunan di pasaran kripto. Pelabur yang begitu berhati-hati menutup posisi long mereka. Jualan bitcoin turut dibuat oleh mereka yang membeli coin tersebut semasa nilainya berada pada kadar tertinggi. Mereka mendapat sedikit untung dan tidak mahu merisikokan semuanya lagi. Algoritma bursa Binance US yang mengalami kerosakan rawak juga turut menambah kebimbangan sehingga menyebabkan nilainya susut sebanyak 87% dengan serta-merta. Walau bagaimanapun, prestasi bursa-bursa serta broker-broker yang lain tidak menerima kesan yang sama, dan pasangan BTC/USD didagangkan pada nilai $61,000 semasa ulasan ini dihasilkan. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $2.6 trilion, manakala Indeks Dominasi Bitcoin berada pada bacaan 45.94%. Indeks Fear & Greed Kripto berada di zon Greed dengan 75 mata. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna pasaran sedang mengalami lebihan belian yang kukuh, dan mengikut pendapat pembangun indeks tersebut, bacaan itu masih lagi berbahaya untuk membuka posisi short dalam keadaan ini.
Kumpulan Analitik NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali