Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 20 - 24 Disember, 2021

EUR/USD: Kisah Sama dari pihak Rizab Persekutuan dan ECB

  • Minggu lalu adalah berkisarkan tentang bank-bank pusat. Untuk kali terakhir tahun ini, pihak Rizab Persekutuan AS bermesyuarat pada hari Rabu, 15 Disember, manakala pihak ECB serta Bank of England mengadakan mesyuarat mereka pada 16 Disember, dan Bank of Japan pula pada hari terakhir minggu bekerja, Jumaat, 17 Disember.

    Terdapat satu model dagangan yang digelar FIFO: singkatan bagi “first in, first out”. Kami akan gunakannya, dan akan menilai hasil mesyuarat-mesyuarat itu mengikut giliran hari ia diadakan.

    Seperti yang kami sebutkan, pertama sekali adalah mesyuarat oleh pihak FOMC (Federal Open Market Committee atau Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan) Rizab Persekutuan AS. Sesetengah pelabur menjangkakan keputusan radikal akan dibuat, dan retorik oleh wakil-wakil daripada Rizab Persekutuan pada hari Rabu adalah bersifat lebih hawkish berbanding jangkaan. Hal ini telah menolak pasangan EUR/USD ke sempadan bawah saluran mendatar selama tiga minggu. Walau bagaimanapun, setelah mencecah paras 1.1220, arah pergerakannya berubah dan dolar mula hilang kedudukannya.

    Pasaran sedar bahawa pada hakikatnya hampir kesemua parameter polisi kewangan kekal tidak berubah. Hanya program pelonggaran kuantitatif (QE) disemak semula: kadar pengurangan pembelian aset ditambah daripada $15 bilion kepada $30 bilion setiap bulan. Program tersebut boleh ditamatkan sepenuhnya antara bulan Mac-April 2022.

    Prospek untuk pasaran buruh sedikit bertambah baik tetapi turut disertakan dengan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya “varian virus baru”. Kadar inflasi utama untuk tahun 2022 juga mungkin diunjur sedikit tinggi: 2.7%, dan bukan 2.3% seperti yang diunjur sebelum ini. Kadar inflasi untuk 2023 dijangka akan naik hanya 0.1%, dan kadar itu tidak akan berubah pada tahun 2024.

    Menurut Financial Time, walaupun kenyataan yang dibuat oleh pihak Rizab Persekutuan agak agresif, mereka masih menganggap inflasi yang berlaku hanyalah fenomena sementara, dan menjangkakan kadarnya akan kembali berada pada julat sasaran dalam tempoh dua tahun, beransur-ansur menaikkan kadar faedah persekutuan.

    Kadar faedah utama mereka dikekalkan iaitu sebanyak 0.25% pada mesyuarat terakhir mereka. Untuk rancangan penggubal dasar itu pada tahun hadapan, jika sebelum ini kenaikan kadarnya adalah antara dua atau tiga kali, carta titik pihak Rizab Persekutuan sekarang menunjukkan akan terdapat tiga kali kenaikan. Namun semua itu hanyalah rancangan yang akan menjadi kenyataan jika keadaan makroekonomi bertambah baik seperti yang dijangka oleh penggubal dasar tersebut.

    Umumnya, semua kenyataan yang dibuat oleh bank pusat Amerika Syarikat itu pada kali ini tidak memberi apa-apa yang spesifik. Pasaran mengambil iktibar dari kejadian sebelum ini. Justeru, reaksi yang mereka berikan adalah lebih sederhana: pasangan EUR/USD mengubah arahnya dan bergerak ke atas. Setelah melepasi 140 mata pada hari Khamis, 16 Disember, kedudukannya sudah pun berada di sempadan atas saluran mendatar, pada paras 1.1360.

    (Sudah pasti, semua ini berlaku dengan bantuan pound, disebabkan keputusan yang diambil oleh Bank of England, dolar berhadapan lebih banyak tekanan. Kami akan terangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti).

    Hasil daripada mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah juga tidak mengejutkan para pelabur. Seperti Rizab Persekutuan, penggubal dasar bagi Kesatuan Eropah itu juga menaikkan unjuran kadar inflasi mereka untuk tahun hadapan. Mereka juga menganggapnya sebagai fenomena sementara. Mereka membuat kenyataan itu secara terbuka dan menganggap tiada keperluan untuk menanganinya sekarang. Mereka mengumumkan sekali lagi bahawa kadar pembiayaan semula akan dikekalkan mengikut kadar sedia ada sehinggalah kadar inflasi mencapai sasarannya iaitu 2.0%, kedudukan yang akan kekal untuk jangka masa panjang. Disebabkan itu, hasil mesyuarat paling “utama” adalah kenyataan oleh ketua bank berkenaan, Christine Lagarde, bahawa “kadar faedah berkemungkinan tidak akan dinaikkan pada tahun 2022”. Semua orang tahu tentangnya.

    Pendirian ECB yang bersifat dovish telah menghalang pergerakan pasangan EUR/USD untuk melepasi sempadan saluran mendatar, dan kebimbangan mengenai strain Omicron pula telah menolaknya ke bawah dengan mendadak, mengakhiri sesi dagangan mingguan pada paras 1.1238.

    Untuk minggu hadapan, ianya minggu perayaan Hari Krismas. Tujuh hari selepas Krismas, tibalah Malam Tahun Baru. Dengan ketiadaan pelabur-pelabur besar, keadaan di pasaran agak rapuh sekarang, kadar likuiditi yang rendah, dan boleh dipenuhi dengan bermacam-macam kejutan. Hal ini menambah kadar kemeruapannya, menghasilkan jurang nilai sebut harga yang lebih besar, keadaan yang digelar sebagai “Santa Claus Rally” oleh para pedagang. Namun, sudah pasti, pilihan sebaliknya boleh diambil: dengan pergerakan “lembab” pasangan pada julat sempit.

    Bagi penganalisis, 50% menjangkakan pengukuhan lebih tinggi mata wang AS serta penyusutan kadar pasangan EUR/USD, 30% lagi bertaruh nilai euro akan bertumbuh. Baki 20% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 80% menunjukkan penurunan (walaupun 15% daripadanya sudah berada di zon lebihan jualan), 10% menunjukkan pertumbuhan, manakala 10% lagi menunjukkan pergerakan ke tepi. 100% indikator trend berpihak kepada bear.

    Rintangan berada di zon dan paras 1.1265, 1.1300, 1.1355, 1.1380, 1.1435-1.1465 dan 1525. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1225, kemudian 1.1185 dan antara 1.1075-1.1100.

    Agenda ekonomi pada tahun ini secara umumnya sudah berakhir, dan tiada sebarang berita penting yang boleh dinantikan pada minggu hadapan. Bagi faktor untuk mengubah arah trend atau pertambahan kadar turun naik, kami maklum dengan pengeluaran data KDNK tahunan di AS pada hari Rabu, 22 Disember, serta data untuk pesanan barangan modal dan tahan lama oleh Biro Banci A.S pada keesokan harinya, 23 Disember.

GBP/USD: Langkah Pertama Bank of England

  • Telah kami maklumkan dalam ulasan sebelum ini bahawa tugas No. 1 bull GBP/USD adalah untuk menembusi rintangan utamanya di zon antara 1.3285-1.3300. Jika Bank of England menaikkan kadar faedah mereka pada 16 Disember, kami jangka tiada masalah yang akan timbul. Inilah sebenarnya yang berlaku.

    Sementara pihak Rizab Persekutuan dan ECB tidak memberi sebarang kata putus, Bank of England sebaliknya mengambil langkah sebenar untuk memerangi kenaikan harga. Setelah kadar inflasi di UK melonjak kepada 5.1%, kadar tertingginya dalam tempoh 10 tahun, para penggubal dasar menaikkan kadar faedah mereka dari 0.1% kepada 0.25% buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun. Keputusan itu diambil walaupun situasi epidemiologi yang disebabkan oleh strain coronavirus Omicron semakin membimbangkan. Walau bagaimanapun, menurut ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey, adalah penting untuk mengekang tekanan harga yang dihadapi ekonomi dan juga rakyat negara itu.

    Pastinya, kenaikan sebanyak 15 mata asas tidak boleh dianggap sebagai ketara, tetapi, apa yang penting ialah, langkah pertama sudah diambil, dan pasaran menjangkakan kenaikan kedua akan berlaku pada bulan Februari nanti.

    Sukar untuk mengatakan kenapa banyak penerbitan kewangan menyebut keputusan terbaru Bank of England itu sebagai mengejut. Jika dilihat pada ramalan kami sebelum ini, 40% penganalisis menjangkakan kadar dinaikkan, dan seterusnya, mengukuhkan lagi nilai pound.

    Namun mata wang British itu gagal untuk menggandakan kejayaan mereka. Setelah mengalami pertumbuhan ke paras tertinggi mingguannya iaitu 1.3373 pada hari Khamis, 16 Disember, arah pergerakan pasangan GBP/USD berubah dengan mendadak dan turun ke bawah. Para pelabur mula menjual pound mereka akibat kebimbangan berkenaan Omicron yang semakin memuncak. Mengelak daripada risiko telah menyumbang kepada pengukuhan nilai dolar yang lebih selamat, dan seterusnya, memberi kesan teruk kepada indeks saham serta sebut harga mata wang euro dan juga pound British, yang mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.3235.

    Jangkaan para penganalisis untuk minggu hadapan adalah pra-musim cuti, iaitu, tidak pasti. 35% daripada mereka memihak kepada bull, jumlah sama memihak kepada bear, dan baki 30% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, situasinya hampir sama: 30% menunjukkan isyarat beli, 45% mahu menjual, dan baki 25% lagi ingin berehat tanpa berbuat apa-apa. Indikator trend secara asasnya menunjukkan mood berbeza: 100% berwarna merah.

    Sokongan berada di antara paras 1.3210-1.3220, kemudian 1.3170-1.3190, 1.3135, 1.3075. Jika paras terakhir itu ditembusi, pasangan ini mungkin akan turun ke paras berdekatan dengan 1.2960. Rintangan berada di zon dan paras berikut - 1.3285-1.3300, 1.3340, 1.3370, 1.3410, 1.3475, 1.3515, 1.3570, 1.3610, 1.3735, 1.3835.

    Sedikit statistik makro yang penting untuk pound juga boleh didapati pada minggu depan. Antara yang menarik adalah data KDNK di UK untuk Q3, akan diketahui pada hari Rabu, 22 Disember. Namun pasaran akan memberikan perhatian mereka terhadap situasi berkenaan penyebaran gelombang COVID-19 yang baru. 

USD/JPY: Trend Mendatar Terus Berlaku

  • Antara mata wang yang tidak mengelak daripada risiko adalah yen. Sebaliknya, ia amat gembira dengan hal itu. Mengikut ramalan sebelum ini, kebanyakan penganalisis (80%) menjangkakan pasangan USD/JPY akan bertumbuh setelah mendapat bantuan daripada Rizab Persekutuan AS, dan mungkin akan menembusi sempadan atas saluran antara 113.40-114.40. Inilah sebenarnya yang terjadi: dolar mula mengorak langkah, dan pasangan ini mencecah ketinggian 114.25 pada 15 Disember. Kemudian, disebabkan oleh pelabur-pelabur yang panik, ia berjaya memperoleh semula kerugian dan mencecah paras terendah mingguannya, turun ke paras 113.13, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah julat dagangan mingguan: pada paras 113.70.

    Agak sukar untuk menjangkakan bagaimana situasi berkenaan Omicron dan apakah kesannya terhadap keadaan panik di pasaran. Setakat ini, mata wang AS mendahului dengan margin yang agak kecil dalan pergelutan antara yen dan dolar: 55% penganalisis memilih pertumbuhan pasangan USD/JPY, manakala 45% lagi penurunannya.

    Bacaan indikator teknikal hanya mengesahkan pergerakan mendatar pasangan ini di sepanjang garis 113.50 sejak 10 minggu lalu. Dalam kalangan pengayun pada D1, 30% menunjukkan penurunan, 35% kekal neutral, dan baki 35% lagi menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan indikator trend, warna hijau memiliki sedikit kelebihan, 60% berbalas 40%.

    Sokongan berada pada paras 113.20, 112.70, 112.00, 111.60 dan 111.20. Rintangan pula berada pada paras 114.00, 114.25, 115.00 dan 115.50.

    Sekarang adalah mengenai maklumat yang dijanjikan berkenaan mesyuarat Bank of Japan, dan rupa-rupanya, mereka tidak berminat untuk mengukuhkan nilai mata wang mereka. Walaupun penggubal dasar itu telah mengurangkan jumlah pembiayaan kecemasan berkaitan dengan pandemik pada hari Jumaat, 17 Disember, seperti yang dijangka, mereka membiarkan saja kadar faedahnya tidak berubah, iaitu pada kadar negatif sebelum ini, negatif 0.1%.

    Bank tersebut mengekalkan polisi dan dasar kewangan yang sangat longgar untuk menyokong peniaga-peniaga kecil, dan ketuanya iaitu Haruhiko Kuroda dalam sidang akhbar berkata nilai yen yang lemah mungkin dapat membantu ekonomi Jepun dan bukan memudaratkannya. Menurut pegawai itu, jika nilai yen menyusut, ia dapat membantu eksport dan juga perolehan korporat. Justeru kami boleh mengatakan dengan yakin bahawa polisi kewangan penggubal dasar ini akan kekal menjadi paling dovish dalam masa terdekat.

MATA WANG KRIPTO: Segalanya Rumit: Sama ada Dingin, atau Terus Berbunga

  • Segalanya agak kabur di pasaran kripto. Jumlah keseluruhan modal pasarannya kekal hampir tidak berubah sepanjang 7 hari lalu berjumlah $2.270 trilion ($2.215 trilion seminggu sebelumnya). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto hanya naik sedikit dari 24 mata kepada 29 mata, beralih dari zon Extreme Fear kepada Fear.

    Dalam situasi ini, sesetengah penganalisis berharap trend pertumbuhan bagi coin utama akan pulih, manakala yang lain-lain adalah sebaliknya, menjangkakan penurunan lebih rendah. Kemudian perkara yang berlaku pada hujung 2017 terlintas di fikiran. Pada waktu itu, setelah mencecah ketinggian $19,270 pada bulan Disember, nilai bitcoin jatuh dan bukannya menembusi paras ikonik $20,000. Nilainya sudah pun mencecah $5,900 pada awal Februari 2018, susut nilai sebanyak 70% dan telah menyebabkan para pelabur serta peminat kripto mengalami kemurungan yang teruk. Kemudian ia diikuti pula dengan jangkaan dan harapan yang berlarutan berbulan-bulan lamanya, digelar sebagai “musim dingin kripto”. Petunjuk pertama mengatakan nilainya akan pulih hanya tiba pada Mac 2019, dan lonjakan sebenar nilai kripto berlaku setahun kemudian, pada Mac 2020.

    Adalah lebih tepat untuk mengatakan para pesimis sedang membincangkan tentang “kedinginan” baru yang mungkin akan tiba. Kami sudah memetik kenyataan pelabur yang juga ahli ekonomi terkenal iaitu Louis Navellier. Beliau berkata, satu gelombang besar telah terhasil di pasaran saham, ia mampu mengakibatkan pembetulan yang kuat terhadap aset berisiko, dan hasil daripada itu akan menyebabkan nilai bitcoin jatuh ke paras $10,000. Navellier, seperti seorang lagi penganalisis, pelabur dan penganalisis teknologi lagenda iaitu Peter Brandt memberi amaran kepada para pelabur bahawa corak “puncak berganda” yang berbahaya telah kelihatan pada carta mata wang kripto pertama itu. “Penurunan di bawah paras $64,000 (purata pergerakan 200 hari) adalah isyarat bearish,” jelas beliau. “Nilai bitcoin mestilah turun ke paras $28,500 untuk melengkapkan corak puncak berganda, dan penurunan seperti itu mungkin menunjukkan penurunan di bawah $10,000.”

    Menurut Nikita Soshnikov, pengarah syarikat perkhidmatan kripto Alfacash, pasaran akan berdepan dengan sentimen mengecewakan untuk satu tempoh panjang jika corak puncak berganda benar-benar berlaku. Walau bagaimanapun, “nilai bitcoin tidak akan jatuh kepada $5,000 ataupun $15,000,” penganalisis itu memberi jaminan. “Anda boleh abaikan harga mata wang kripto seperti itu. Nilainya mungkin akan turun di bawah paras $40,000 dan kekal di sekitarnya untuk beberapa minggu. Malah saya akui kadarnya akan turun ke paras $35,000 namun tidak mungkin akan turun ke paras lebih rendah”.

    Menurut Michael van de Poppe, pengasas sumber analisis Material Indicators, sentimen bearish masih wujud dalam kalangan jerung. “Mereka belum membuat sebarang pembelian sejak awal Oktober apabila harganya jatuh,” kata beliau, “dan hanya membuat jualan sejak kebelakangan ini.” Jika anda lihat pada carta sejak dua minggu lalu, anda boleh nampak dengan jelas bagaimana bear cuba untuk menolak pasangan BTC/USD turun di bawah zon $46,000, kedudukan yang dilalui oleh purata pergerakan sepanjang 200 hari.

    Semasa ulasan ini dibuat, pergelutan masih lagi berlaku. Inisiatif dilihat kembali berpihak pada bear semasa berakhirnya minggu bekerja. Pasaran berdepan dengan satu lagi gelombang panik yang disebabkan oleh strain coronavirus Omicron, dan juga permulaan jualan aset berisiko, termasuklah mata wang kripto. Nilai pasangan ini jatuh ke paras $45,525 pada lewat hari Jumaat, 17 Disember tetapi naik semula ke paras $46,500. Menurut penganalisis di IntoTheBlock, kebarangkaliannya adalah lebih besar untuk BTC turun ke zon $43,000 jika melihat pada situasi ini. Pada paras inilah coin tersebut boleh menemui paras terendah mingguannya. Kira-kira 344,000 buah walet membeli coin sebanyak 395,000 semasa harganya berada di sekitar paras sokongan ini. Pelabur-pelabur inilah yang perlu menghalang pengundurannya daripada jatuh merudum.

    Zon sokongan yang sedikit berbeza telah terhasil berdasarkan pada analisis terhadap rekod belian di bursa Bitfinex. Datanya menunjukkan jumlah order belian bitcoin yang sangat besar telah dibuat apabila harganya berada di antara $44,500-$46,000.

    Hari Krismas dan Tahun Baru masih lagi musim perayaan yang menggembirakan. Justeru, sebelum tibanya hari itu, kami ingin lengkapkan ramalan dengan kenyataan yang lebih kurang positif. Menurut sebilangan penganalisis, kemunculan corak “puncak berganda” pada carta tidak semestinya akan terbentuk dengan sempurna dan pasaran akan mengalami pembetulan yang lebih rendah.

    Jabatan analisis di Bestchange percaya walaupun nilai aset berisiko tinggi terus turun, nilai mata wang kripto utama masih mampu naik dengan pesat pada jangka sederhana. “Hari ini situasinya sangat tidak jelas, tetapi ramalan jangka sederhananya masih lagi positif sehinggalah pertengahan tahun 2022. Bitcoin harus kehilangan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah keseluruhan modal pasarannya dan menduduki paras di bawah $28,000-30,000 dengan selamat untuk menyingkirkan senario paling positif. Sehingga perkara itu berlaku, harapan untuk nilainya mencecah $100,000 masih lagi relevan,” akui Bestchange.

    Agensi penilai Weiss Crypto juga menunjukkan nilai magik yang sama. Walaupun pembetulan terus berlaku, ia masih lagi mengikuti senario optimis. Penganalisis di agensi itu menyokong unjuran yang dibuat oleh rakan sejawat mereka di Bloomberg yang sebelum ini mengumumkan terdapat kemungkinan besar nilai bitcoin akan mencecah $100,000 pada tahun 2022.

    Kebarangkaliannya adalah lebih tinggi untuk ia mencecah paras psikologi ini berbanding risiko penurunan ke paras lebih rendah, mengikut ulasan Weiss Crypto. Berdasarkan pada konfrontasi dengan China, Amerika Syarikat akan mempercepatkan lagi proses dalam membenarkan sektor kripto yang akan memberi kesan positif terhadap nilai mata wang digital.

    Para penulis kaji selidik itu menekankan bahawa mata wang kripto masih akan menerima manfaat paling besar jika pasaran saham jatuh dalam konteks pengetatan polisi kewangan oleh Rizab Persekutuan. Para pelabur boleh menjual saham mereka dan memilih mata wang digital sebagai alat untuk melindungi modal. Disamping itu, penurunan hasil bon Perbendaharaan AS juga mungkin akan memberi kesan positif kepada sebut harga BTC dan juga ETH.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.