Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 24 - 28 Januari, 2022

EUR/USD: Mesyuarat FOMC: Hari yang Dinantikan oleh Pasaran

  • Peristiwa yang bukan saja penting untuk minggu hadapan, tetapi untuk keseluruhan bulan ini sudah pastinya adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS pada 26 Januari nanti. Adakah para penggubal dasar akan menaikkan kadar faedahnya sekarang? Atau pada bulan Mac? Adakah mereka akan menangguhkan pengurangan insentif mereka buat selama-lamanya? Masih tiada jawapan untuk persoalan ini.

    Jika diingat tiga kunci utama dalam hala tuju mereka sekarang termasuklah: 1) penamatan program rangsangan kecemasan pada bulan Mac, 2) tiga kali kenaikan kadar utama dalam tahun 2022, kali pertama kenaikannya mungkin juga berlaku dalam bulan Mac, dan selepas itu 3) penggubal dasar akan mula menormalkan penyata imbangan mereka. Walau bagaimanapun, hari tidak sentiasa cerah, begitu juga dengan polisi kewangan Rizab Persekutuan. Oleh itu, faktor-faktor ini bukanlah sesuatu yang tetap dan ianya boleh berubah-ubah.

    Malah Christine Lagarde selaku Presiden ECB juga berkata pada minggu lalu bahawa bank Negara Kesatuan Eropah sudah pun mula memberikan tindak balasnya dan bersedia untuk mengubah polisi mereka jika nombor dan fakta memerlukannya. Namun begitu masih tidak jelas apakah maksud “sudah pun memberikan tindak balasnya”. Dan “bersedia” adalah suatu yang tidak jelas maknanya.

    Menurut Cik Lagarde juga, kadar faedah yang naik terlalu cepat mampu melembabkan pertumbuhan kadar KDNK di Eurozone. Jadi mengapa jumlah rangsangan kewangan dikurangkan dan kadar faedah utama dinaikkan, jika, mengikut kenyataan pengurusan bank, lonjakan kadar inflasi hanyalah satu fenomena sementara? Kadar inflasi di AS naik lebih pantas berbanding di Eurozone. Jadi biarkan saja pihak Rizab Persekutuan memerah otak untuk menanganinya. Pihak ECB bolehlah menunggu sehingga tahun 2023 untuk menaikkan kadar faedah mereka, dan dalam masa yang sama melihat bagaimana segalanya berjalan.

    Perbezaan yang jelas antara pendirian hawkish Bank Pusat AS dan juga pendirian dovish rakan sejawat mereka di Kesatuan Eropah memberikan sokongan yang kukuh kepada dolar, menolak EUR/USD ke bawah. Walau bagaimanapun, ada kalanya tindak-tanduk pelabur bukan saja ditentukan oleh faktor sebenar terhadap ekonomi dan juga politik, tetapi oleh khabar angin yang tersebar akibat spekulasi.

    Perkara yang hampir sama berlaku pada 11 Januari. Bercakap di hadapan Kongres AS pada hari itu, Jerome Powell sekali lagi menyatakan bagi memerangi kadar inflasi tertinggi dalam sejarah sepanjang empat puluh tahun, pihak Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar pembiayaan semula mereka sebanyak dua kali sekurang-kurangnya pada tahun ini, dan jika perlu, ia akan dinaikkan sebanyak tiga kali. Itu saja, tiada apa yang baru. Namun, disebabkan oleh khabar angin, tidak tahu mengapa pasaran menunggu nombor “empat” dan berasa kecewa kerana ia tidak disebutkan. Akibatnya, indeks dolar DXY jatuh menjunam, manakala pasangan EUR/USD pula bergerak ke atas dan bukannya ke bawah.

    Disebabkan oleh data inflasi di AS, mata wang euro mengukuhkan lagi kedudukannya pada keesokan harinya, 12 Januari, dan pasangan EUR/USD naik lebih tinggi setelah menembusi sempadan saluran mendatar jangka sederhana antara 1.1220-1.1385. Paras paling tinggi sepanjang sembilan minggu dicapai pada pagi 14 Januari iaitu 1.1482. Selepas itu, semuanya kembali seperti sedia kala. Pasaran sedar tiada sebab sebenar untuk euro mengukuh, dan pasangan tersebut sekali lagi bergerak di sepanjang saluran antara 1.1220-1.1385  pada hari Selasa, 18 Januari, mencecah paras terendah mingguannya iaitu 1.1300 pada 21 Januari. Paras terakhirnya adalah 1.1343.

    Semasa ulasan ini dibuat, kebanyakan (55%) pengayun pada D1 adalah berwarna merah, 20% berwarna hijau dan 25% lagi kelabu neutral. 90% indikator trend berwarna merah dan hanya 10% berwarna hijau. Dalam kalangan penganalisis, majoritinya (55%) menyokong dolar untuk mengukuh, 45% pula penyusutan nilainya. Zon rintangan paling hampir berada di antara 1.1370-1.1385, kemudian 1.1400-1.1435, 1.1480 dan 1525. Zon sokongan paling hampir berada di antara 1.1300-1.1315, kemudian 1.1275 dan 1.1220. Ia diikuti dengan paras terendah pada 24 November tahun lalu iaitu 1.1185 dan juga zon di antara 1.1075-1.1100.

    Bagi kalendar ekonomi untuk minggu hadapan, selain daripada mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan AS serta sidang media oleh pihak pengurusannya, kami sedia maklum dengan penerbitan data aktiviti perniagaan di Jerman dan juga Eurozone (indeks Markit) pada hari Isnin, 24 Januari. Data awal bagi KDNK di AS akan dikeluarkan pada hari Khamis, 27 Januari, serta data bagi jumlah pesanan untuk barangan modal dan tahan lama. (Disebabkan pembelian barangan seperti itu melibatkan pelaburan yang besar, data ini mencerminkan keadaan ekonomi di Amerika Syarikat, termasuklah komponen inflasi). Akhir sekali, data untuk KDNK di Jerman akan diketahui pada pengakhir minggu bekerja, pada 28 Januari.

GBP/USD: Bertaruh Kadarnya Menaik

  • Dolar mengukuhkan sedikit kedudukannya berbanding pound sepanjang minggu lalu. Jika kedudukan pasangan GBP/USD berada di ketinggian 1.3748 pada 13 Januari, parasnya itu turun kepada 1.3545 pada petang 21 Januari. Menurut beberapa orang penganalisis, ia berpunca daripada mata wang British yang secara umumnya dibeli dengan berlebihan. Setelah Bank of England dalam mesyuarat bulan Disember memutuskan untuk menaikkan kadar faedah daripada 0.1% kepada 0.25% buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun, pasangan ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 575 mata. Maka penurunan 200 mata baru-baru ini mungkin bukan bermaksud perubahan arah trend jangka sederhana, tetapi hanyalah pembetulan yang bersifat sementara.

    Pound memiliki banyak peluang untuk kembali bertumbuh, walaupun dengan pendirian hawkish yang diambil Rizab Persekutuan AS. Indeks CPI yang dikeluarkan pada 19 Januari menunjukkan kadar inflasi di UK meningkat ke paras tertingginya dalam tempoh lebih daripada 15 tahun, mencecah 5.4% (kadar sebelum ini 5.1%, diunjur 5.2%). Tekanan akibat kadar inflasi yang terus meningkat mungkin akan memaksa penggubal dasar untuk menaikkan kadar faedah utama mereka seawal mesyuarat berikutnya yang akan berlangsung pada 3 Februari nanti. Mungkin dalam masa yang sama, berlatarbelakangkan kepada kesan strain omicron yang sederhana terhadap ekonomi di United Kingdom, pelan untuk mengurangkan rangsangan kewangan (QE) yang diperkenalkan ketika berlakunya pandemik COVID-19 mungkin juga akan disemak semula.

    Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Reuters ke atas 45 orang penganalisis menunjukkan kebanyakan daripada mereka (65%) menjangkakan Bank of England akan menaikkan kadar faedahnya sekali lagi pada 3 Februari, kali ini kepada 0.5%. Jika ia berlaku, maka, menurut pakar strategi  Scotiabank, pasangan GBP/USD mungkin akan kembali berada di sekitar 1.3800.

    Lebih daripada 75% penganalisis menjangkakan kadarnya akan dinaikkan kepada 0.5% menjelang hujung Mac. Juga, menurut unjuran median, pihak penggubal dasar British akan menaikkan kadarnya sebanyak 25 mata asas lagi pada Q3 (tiga bulan lebih awal dari jangkaan). Selepas itu, satu lagi kenaikan akan dibuat, naik kepada 1.0%, lebih kurang pada permulaan tahun 2023.

    Walau bagaimanapun, bagi ramalan untuk beberapa hari berikutnya, 60% penganalisis berpihak kepada bear, menjangkakan pasangan ini turun sekurang-kurangnya ke zon di antara 1.3450-1.3500. Kebanyakan indikator pada D1 bersetuju dengan ramalan ini: 60% pengayun memberi petunjuk untuk jual (walaupun 10% daripada mereka sudahpun berada di zon lebihan jualan), 20% mencadangkan untuk beli dan 20% lagi kekal neutral. Dalam kalangan indikator trend, 40% menunjukkan pertumbuhan, 60% menunjukkan penyusutan.

    Sokongan berada pada paras 1.3525, 1.3480, 1.3430, 1.3375, paras sokongan yang kukuh berikutnya berada 100 mata lebih rendah. Paras dan zon rintangan berada di kedudukan antara 1.3570-1.3600, 1.3640, 1.3700, 1.3750, 1.3835 dan 1.3900.

    Mesyuarat Bank of England hanya akan berlangsung pada awal Februari, dan tidak banyak data makro penting yang ada di UK untuk minggu hadapan. Data indeks aktiviti perniagaan Markit yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 24 Januari mungkin akan meningkatkan kadar turun naiknya. Namun begitu, besar kemungkinan, para pelabur tidak akan memberi terlalu banyak perhatian pada malam sebelum berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS.

USD/JPY: Yen Sebagai Tempat Selamat

  • Satu lagi mesyuarat bank negara, di Jepun, berlangsung pada minggu lalu, pada 18 Januari. Seperti dijangka, kadar faedahnya kekal pada paras negatif, iaitu negatif 0.1%. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, menurut penggubal dasarnya, negara itu tidak perlukan nilai mata wang yang kukuh, dan yen yang lemah akan lebih banyak membantu ekonominya dengan menyokong perolehan korporat dan eksport negara Jepun.

    Secara umum, hasil pasangan USD/JPY pada minggu lalu boleh dinilai sebagai neutral. Pertama, ia naik dan melonjak ke paras 115.05 pada hari Selasa, 18 Januari. Kemudian, trend itu berubah kepada menurun, dan pasangan ini turun ke paras ia didagangkan seminggu lalu, di zon antara 113.60-114.00 semasas berakhirnya tempoh lima hari dagangan.

    Mata wang Jepun mendapat sokongan daripada selera risiko yang lemah di pasaran. Pelabur mula menyingkirkan aset berisiko dan sekali lagi memilih yen yang memainkan peranannya sebagai “tempat selamat”. Punca kepada perubahan sentimen ini adalah kadar inflasi yang diunjur meningkat, ketaktentuan polisi kewangan bank-bank pusat dunia serta ketegangan geopolitik yang semakin bertambah.

    Pasangan USD/JPY mengakhiri minggu lalu pada paras 113.66, kedudukan yang masih berada dalam julat dagangan antara 113.40-114.40, dan paras yang sering dikunjunginya sepanjang tiga bulan lalu. Walaupun 60% penganalisis memilih pertumbuhan, 25% lagi menjangkakan penurunan dan 15% pula mahukan trend mendatar, unjuran median menunjukkan ia akan terus berada dalam saluran ini. Sudah pasti, hal itu akan berlaku jika pihak Rizab Persekutuan AS tidak memberikan sebarang kejutan dalam mesyuaratnya. Anda juga tidak harus lupa tentang situasi politik antarabangsa, ia juga mungkin memberi kejutan, pastinya tidak begitu menyenangkan jika berlaku.

    Dalam kalangan pengayun pada D1, 100% menunjukkan penurunan, walaupun 25% daripada mereka sudahpun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Dalam kalangan indikator trend, 65% mengesyorkan untuk jual, 35% mencadangkan untuk beli. Sokongan berada pada paras 113.50, 113.20, 112.55 dan 112.70. Zon rintangan paling hampir berada di antara 114.00-114.25, 114.40-114.65, kemudian pada paras 115.00, 115.45, 116.00 dan 116.35.

MATA WANG KRIPTO: Bukan Saja Dingin di Pasaran Kripto, Ianya Membeku

  • Sebut harga aset berisiko terus mendapat tekanan yang kuat sementara menantikan mesyuarat Rizab Persekutuan AS. Indeks saham Dow Jones, S&P500 dan Nasdaq hilang kedudukannya hampir sepanjang bulan Januari. Namun bagi mata wang kripto utama, mereka agak berjaya dalam menahan serangan bear sejak dua minggu lalu. Jika kita bercakap tentang bitcoin, pelabur berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan sebut harga pasangan BTC/USD daripada turun ke paras psikologi penting iaitu $40,000. Walau bagaimanapun, bear berjaya menembusi barisan pertahanannya pada hari Jumaat, 21 Januari dan menolak pasangan tersebut ke paras $36,160. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto juga jatuh, susut kepada $1.72 trilion, manakala bacaan Indeks Fear &Greed pula terus kekal di zon Extreme Fear, jatuh ke mata 19.

    Menurut sebilangan penganalisis, situasi yang berlaku sekarang ini bukanlah satu petanda baik untuk mata wang kripto. Gelembung semakin mengecil, nilai bitcoin mungkin akan turun kepada $30,000. Pendapat ini disuarakan oleh para penganalisis dari syarikat pelaburan Invesco, membuat analogi persamaan seperti keruntuhan pasaran yang berlaku pada tahun 1929.

    Penyusutan dari paras tertinggi $69,000 benar-benar sejajar dengan corak gelembung, jelas penganalisis. Trajektori ini membuat anggapan bahawa aset akan kehilangan 45% daripada nilainya dalam tempoh 12 bulan setelah mencecah paras tertingginya. Mengikut pengiraan mereka, ini bermaksud nilainya akan jatuh kepada $34,000-$37,000 menjelang bulan Oktober nanti dan $30,000 pula menjelang akhir tahun 2022.

    Dalam masa yang sama, Invesco mengaku bahawa mereka membuat kesilapan dalam membuat ramalan untuk tahun 2021, apabila mengunjurkan penurunan harga BTC di bawah paras $10,000. Para penganalisis menjelaskan kesilapan itu dengan berkata bitcoin dilihat akan bergerak bukan hanya dalam satu gelembung, tetapi dalam beberapa siri gelembung. (Namun, mungkin penganalisis Invesco bersikap tergesa-gesa, dan unjuran tersebut akan benar-benar berlaku pada tahun ini).

    Penganalisis popular iaitu PlanB juga telah tersilap dalam membuat ramalannya untuk tahun lalu. Jika diingat beliau telah membangunkan sebuah model bagi meramal pergerakan kadar bitcoin (S2F), dan model tersebut telah menunjukkan prospek nilai BTC yang akan naik kepada $100,000 pada tahun 2021. Walaupun pada hakikatnya ramalan S2F tidak menjadi kenyataan, PlanB tetap dengan teorinya itu. Beliau yakin bahawa bitcoin masih belum menunjukkan keseluruhan potensi yang ada di hadapannya setelah penghasilannya dikurangkan pada tahun 2020. Menurut penganalisis itu, coin tersebut kini menghampiri nilai terendahnya dan bersedia untuk memperbaharui paras tertinggi dalam sejarahnya pada bulan Mac. Menurut penganalisis itu lagi, nilai bitcoin yang paling tinggi untuk kitaran kali ini boleh didapati di antara bulan Julai-Ogos 2022.

    Satu lagi ramalan yang tidak tepat telah dibuat oleh pengacara TV dan juga bekas pelabur iaitu Max Kaiser. Beliau memberi penjelasan mengapa ramalannya untuk nilai bitcoin yang gagal mencecah $220,000 pada tahun lalu dalam satu temubual yang lain. “Untuk tahun 2021, saya mengatakan nilainya akan mencecah $220,000 setiap coin, nilai biasa dalam kitaran setiap empat tahun. Apa yang kita hadapi pada tahun 2021 adalah keruntuhan besar-besaran penghasilannya di China, dan kadar hash jatuh sebanyak 50%. Kita telah kembali pulih sejak daripada itu dan hampir mencapai kadar hash paling tinggi dalam sejarah. Disebabkan itulah saya memindahkan sasaran untuk tahun 2021 kepada tahun 2022."

    “Kita perlu ambil kira tentang nilai, ambil kira tentang kadar hash serta keadaan rumit yang berlaku: anda perlu sentiasa ingat tentang tiga perkara ini,” jelas Max Kaiser. “Saya sering menyebut nilainya jauh ketinggalan di belakang kadar hash, jadi apabila kadarnya itu merekodkan jumlah paling tinggi dalam sejarah, nilai bitcoin paling tinggi dalam sejarahnya juga akan menyusul selepas itu.”

    Guido Buehler, CEO bank mata wang kripto SEBA menyebut sasaran yang tiga kali lebih sederhana. Beliau percaya nilai emas digital ini akan melonjak naik kepada $75,000 menjelang akhir tahun 2022. “Model penilaian dalaman kami menunjukkan nilai antara $50,000 dan $75,000. Saya begitu pasti kita akan dapat lihat nilai tersebut,” beliau berkata, dan menambah tahap kecairan bitcoin akan terus meninggi, tetapi aset itu sendiri mampu untuk menguji paras paling tinggi yang baru, satu-satunya persoalan adalah bila ia akan berlaku.

    Ramalan Justin Bennet, seorang penganalisis mata wang kripto juga boleh diklasifikasikan sebagai optimis, walaupun nilai yang diberikan adalah lebih kecil. Bennet menyemak model pergerakan harga BTC terdahulu yang menunjukkan nilai aset ini dijangka akan naik sebanyak 20-30%. “Boleh dilihat bermula pada awal tahun 2021, nilai bitcoin mula bergerak ke atas setelah berada pada paras minimum di bawah nilai pembubaran sebelum itu. Kadar purata bagi pergerakan seperti itu adalah kira-kira 63%, dan kadar paling rendah dicatatkan pada bulan April, kira-kira 27%. - penganalisis itu berkata. “Jika anda ambil data ini dan melihat pada nilai terendahnya di sekitar $40,000, pergerakan minimum sebanyak 27% akan menaikkan nilai dalam pasaran ke sekitar $50,000. Kedudukan itu mungkin akan berjaya dicapai kerana nilai antara $50,000-53,000 adalah julat yang penting, dan para pelabur akan menjadikan julat tersebut sebagai satu rintangan.

    Juga tiada pendapat yang jelas diberikan untuk masa hadapan ethereum. Sesetengah daripada mereka mengharapkan pasangan ETH/USD akan berada di sekitar $7,000-10,000 pada tahun 2023, manakala yang lain menjangkakan coin itu akan runtuh selepas bitcoin. Contohnya, Peter Brandt, seorang pelabur di Wall Street yang memiliki 45 tahun pengalaman menjangkakan penyusutan nilai ethereum. Pada pandangan beliau, dari sudut teknologi, altcoin ini adalah suatu platform yang “sangat rumit, mahal, dan tidak mesra pengguna dari segi penggunaannya terhadap NFT, token-token khas, serta penglibatannya dalam metaverse.” Berdasarkan semua itu, Brandt membuat kesimpulan ETH akan hilang daya tarikan di mata pelabur, memberi laluan kepada pesaingnya.

    Ramalan Peter Brandt itu menimbulkan kontroversi. Benar, protokol yang perlahan telah menyebabkan kelewatan transaksi serta pertambahan fi yang agak besar jumlahnya. Kadangkala satu transaksi memakan kos lebih daripada $50, jumlah yang agak tinggi berbanding pesaing-pesaing yang lain. Sebagai contoh, komisen untuk Solana adalah kurang daripada satu sen. Namun, disebabkan oleh kadar disentralisasinya yang tinggi, ethereum masih lagi berada di kedudukan pertama dari segi penggunaan kontrak pintar. Buat masa sekarang, altcoin ini mendominasi seluruh blockchain dalam sektor DeFi dengan $157 bilion blok dana atau 66% daripada keseluruhan pasaran. Kedudukannya adalah jauh lebih baik dalam sektor NFT: ETH hampir memonopoli pasaran dengan bahagian yang dimilikinya melebihi 90%.

    Jumlahnya itu lama-kelamaan mungkin akan berkurang akibat persaingan, tetapi ramai penganalisis masih menjanjikan masa depan yang cerah buat altcoin tersebut. Peralihan kepada protokol proof-of-stake serta penskalaan rangkaiannya selepas itu seharusnya dapat membantu dalam mengekalkan kedudukannya. “X hour” atau tempoh pelaksanaan langkah-langkah itu dijadual akan dibuat pada Q2 2022. Walau bagaimanapun, ada risiko tertentu tarikh tersebut akan ditunda sekali lagi. Hal ini dilihat tidak begitu membimbangkan para pelabur. Menurut platform Glassnode, mereka terus membeli coin walaunpun nilainya menyusut.

    Ethereum telah kehilangan kira-kira 50% daripada nilainya dalam masa dua bulan. Dalam masa yang sama, bilangan walet ETH dengan baki bukan sifar telah mencecah jumlah tertinggi yang baru iaitu 73,025,019. Aktiviti dalam rangkaian juga meningkat, ini menunjukkan keinginan para pelabur untuk mengambil kesempatan ke atas pembetulan yang berlaku dan membeli sebanyak mana token yang boleh. Jumlah purata transaksi harian dalam blockchain buat masa ini adalah melebihi 1.2 juta.

    Menurut penganalisis di Glassnode, ETH akan didagangkan dalam julat yang kecil sehinggalah vektor pergerakan pasaran saham AS terbentuk dengan jelas. Jika dana modal sekali lagi mengalir masuk ke dalam aset berisiko, maka nilai ethereum akan terus bertambah bersama-sama bitcoin.

    Namun bilakah ia akan berlaku?

    Adakah ianya boleh berlaku?

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.