EUR/USD: Kejutan oleh Rizab Persekutuan AS
- Mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS serta sidang akhbar oleh pihak pengurusannya selepas itu sudah pasti menjadi peristiwa penting pada minggu lalu. Penganalisis di JP Morgan menggelar ucapan ketua bank pusat AS tersebut iaitu Jerome Powell sebagai ucapan paling “hawkish” sepanjang beliau memegang jawatan itu.
Untuk kenaikan kali pertama kadar dana persekutuan pada tahun ini, tiada sebarang kejutan yang diberikan: ia mungkin akan dinaikkan pada bulan Mac, seperti yang dirancang. Memang benar, Jerome Powell tidak memberi sebarang jawapan mengenai berapa banyak kenaikan yang akan dikenakan, 25 atau 50 mata asas (basis point atau bp). Namun dalam masa yang sama, beliau menyatakan dengan jelas bahawa pihak Rizab Persekutuan akan mengambil tindakan yang lebih “tangkas” serta sukar untuk “dipengaruhi” bermula daripada sekarang. Nampaknya, penggubal dasar berkenaan tidak lagi akan menumpukan perhatian mereka terhadap strain coronavirus omicron mahupun keruntuhan indeks saham dan lebih tertumpu kepada mengawal kadar inflasi.
Jumlah kenaikan kadar pembiayaan semula yang mungkin akan dikenakan untuk tahun 2022 memberikan pasaran kejutan sebenar. Ucapan Powell telah menyebabkan pasaran memperbaiki kadar kebarangkalian mereka untuk tiga kali kenaikan menjelang bulan Jun daripada 45% kepada 60%. Secara keseluruhan, terdapat lima atau enam kali kenaikan yang akan berlaku pada tahun ini. Sebagai contoh, penganalisis Deutsche Bank mengunjurkan kadar akan dinaikkan sebanyak 25 bp pada bulan Mac, Mei, dan Jun, serta dua kali lagi pengetatan polisi kewangan mereka sebelum berakhirnya tahun ini. Manakala rakan sejawat mereka di BNP Paribas telah mensasarkan enam kali kenaikan. Malah mungkin tujuh kali jika kadar inflasi terus berada pada paras tertinggi dalam enam bulan terakhir tahun tersebut. Lebih-lebih lagi, ketua Rizab Persekutuan telah menyatakan dengan jelas bahawa kadar dana persekutuan adalah cara utama untuk memerangi kadar inflasi.
Disamping itu, bank Negara AS telah memutuskan untuk menggandakan penamatan program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Jumlah pembelian semula bon-bon kerajaan akan dikurangkan kepada $20 bilion setiap bulan bermula pada bulan depan (jumlah sekarang ialah $10 bilion), dan juga daripada pasaran gadai janji sebanyak $10 bilion (jumlah sekarang ialah $5 bilion).
Kesemua isyarat-isyarat bersifat hawkish ini menunjukkan pendirian para penggubal dasar yang lebih tegas dan telah memberi kesan besar terhadap pasaran derivatif. Korelasi secara terus antara hasil bon kerajaan dan juga indeks dolar DXY kini kembali pulih, melonjakkan kadar indeks itu di atas paras 97.35.
Jika diingat mata wang euro menjadi asas kepada kelompok 6 mata wang dunia yang membentuk indeks DXY dengan bahagian yang dimilikinya sebanyak 57.6%. Oleh itu, mata wang Eropah berkenaan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kadar indeksnya serta pengukuhan mata wang dolar dalam situasi sekarang. Perbezaan antara pendirian hawkish pihak Rizab Persekutuan dan pendirian dovish pihak ECB telah berkali-kali dinyatakan sebelum ini. Bank Negara Kesatuan Eropah hanya mahu mula menaikkan kadar mereka pada tahun 2023, namun program sama oleh rakan sejawat mereka di seberang sudahpun selesai. Perbezaan seperti itu bukanlah satu petanda baik untuk mata wang dari Dunia Lama berkenaan.
Pasangan EUR/USD susut lebih daripada 220 mata pada kemuncaknya dalam minggu lalu saja, rekod tertinggi sejak tujuh bulan lalu. Paras terendah mingguan dicapai pada hari Jumaat, 28 Januari pada kedudukan 1.1121, diikuti dengan pembetulan kecil dan berakhir pada paras 1.1148.
Pastinya, jika pihak Rizab Persekutuan AS mengenakan pengetatan yang sangat agresif terhadap polisi kewangan mereka, ia boleh mengakibatkan pengurangan mendadak terhadap permintaan pengguna, dan masalah-masalah yang timbul selepas itu. Namun setakat ini tiada apa lagi yang berlaku. Justeru, kebarangkalian untuk pasangan ini turun ke paras 1.1000 adalah sangat tinggi. Paras ini diunjur oleh pakar strategi dari Internationale Nederlanden Groep serta Imperial Bank of Commerce Kanada.
Semasa ulasan ini ditulis, 100% indikator trend dan 100% pengayun pada D1 adalah berwarna merah, walaupun 30% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan jualan. Dalam kalangan penganalisis, majoritinya (60%) menyokong pengukuhan lebih tinggi nilai dolar, 40% lagi percaya euro masih belum hilang segala-galanya, dan pasangan ini buat sementara masih boleh lagi kembali berada di sempadan saluran mendatar jangka sederhana antara 1.1220-1.1385. Rintangan paling hampir berada di zon 1.1185, kemudian 1.1220, 1.1275, 1.1355-1.1385 dan 1.1485. Zon sokongan paling hampir berada di antara 1.1075-1.1100 dan kemudian 1.0980-1.1025.
Untuk kalendar minggu hadapan, tumpuan pasaran akan lebih fokus pada mesyuarat ECB yang akan berlangsung pada hari Khamis, 3 Februari. Berkemungkinan tiada sebarang kejutan yang akan diberikan, dan kadar faedah mereka akan kekal pada paras 0%. Walau bagaimanapun, tidak mustahil perubahan tertentu akan diambil oleh penggubal dasar Kesatuan Eropah itu terhadap polisi kewangan mereka. Para pelabur dijangka dapat mengetahuinya semasa sidang akhbar terakhirnya.
Secara umum, minggu depan akan dipenuhi dengan statistik makro ekonomi. Data KDNK di Eurozone serta data pasaran pengguna di Jeman akan dikeluarkan pada hari Isnin, 31 Januari. Jumlah bagi jualan runcit di Jerman, kadar indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor pembuatan di AS, serta hasil kaji selidik sektor perbankan di Eurozone akan diumum pada hari Selasa. Pada hari Rabu pula, statistik pasaran pengguna di Eurozone dan kadar pengangguran dalam sektor swasta di AS akan diketahui. Bacaan bagi indeks perniagaan ISM dalam sektor perkhidmatan di AS akan dikeluarkan pada hari Khamis. Selain daripada data jualan runcit di Eurozone, menjadi kebiasaan untuk kami menunggu sebahagian statistik dari pasaran buruh di AS, termasuklah jumlah pekerjaan baru yang ada bukan dalam sektor agrikultur (NFP) pada hari Jumaat pertama setiap bulan, iaitu pada 4 Februari.
GBP/USD: Apakah Respon Bank of England?
- Indeks PMI Markit Services untuk negara UK yang dikeluarkan pada 24 Januari menunjukkan jumlah lebih rendah daripada jangkaan iaitu 53.3 berbanding nilai yang diunjur iaitu 55.0. Selain itu, peningkatan kadar faedah yang aktif oleh pihak Rizab Persekutuan seperti yang dijangka serta data awal kadar KDNK di AS bagi suku keempat 2021 telah memberi kelebihan kepada dolar. Ia menunjukkan kadar yang tiada siapa pun jangka: 6.9% berbanding 5.5% yang diramal dan nilai sebelum ini iaitu 2.3%. Rupa-rupanya, ekonomi di AS bukan saja telah pulih daripada serangan COVID-19 malah lebih baik sehinggakan pertumbuhan ekonominya telah melepasi peratusan yang dicapai pada tahun 2019.
Semua ini sudah pasti tidak memberi sebarang kebaikan kepada mata wang British. Kemudian terdapat pula tuntutan supaya Perdana Menteri British, Boris Johnson untuk meletakkan jawatan, hal ini dianggap sebagai satu lagi faktor bearish. Disebabkan itu, paras terendah mingguan pasangan GBP/USD berada di kedudukan 1.3357, susut hampir 400 mata dalam masa dua minggu.
Bolehkah pound kembali mengalami pertumbuhan walaupun dengan pendirian hawkish yang diambil pihak Rizab Persekutuan AS? Berkemungkinan kita akan dapat mengetahuinya tidak lama lagi. Lagipun, selain daripada mesyuarat ECB, Bank of England juga akan bermesyuarat pada hari Khamis, 3 Februari. Apakah respon mereka terhadap rakan sekutu di Amerika? Sudah pastinya, dengan mempercepatkan kenaikan kadar faedah: mengikut beberapa ramalan, kadar pound mungkin akan dinaikkan sebanyak 0.25 bp lagi, menjadikannya 0.50%.
Untuk berapa lama lagi mata wang British memerlukan sokongan seperti itu? Kebanyakan penganalisis berasa ragu-ragu dengan tindakan yang diambil Bank of England itu akan memenuhi jangkaan pasaran, dan penggubal dasarnya akan bertindak secara agresif seperti Rizab Persekutuan pada tahun ini. Berdasarkan perkara tersebut, pakar ekonomi di Rabobank, bank kedua terbesar Belanda tidak mengecualikan pasangan GBP/USD mungkin akan turun di bawah paras 1.3000 menjelang pertengahan tahun ini.
Untuk situasi sekarang ini, paras 1.3400 (lebih tepat lagi julat antara 1.3360-1.3415) menjadi zon sokongan/rintangan yang kuat dan boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk pasangan ini melonjak naik. Perkara ini mendapat sokongan 30% penganalisis. Rintangan berikutnya menanti pasangan ini pada paras 1.3440, 1.3500-1.3525, 1.3575, 1.3650, 1.3700 dan 1.3750.
70% lagi penganalisis memilih penyusutan pasangan ini ke paras lebih rendah. Sokongan berada pada paras 1.3360, kemudian 1.3275, 1.3200, diikuti dengan zon perubahan arah trend yang kuat pada bulan Disember iaitu di antara 1.3160-1.3185.
Indikator pada D1 adalah seperti ini: hanya 10% pengayun menunjukkan pertumbuhan, baki 90% lagi menunjukkan penurunan, yang mana 20% sudahpun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Dalam kalangan indikator trend, kesemua 100% menunjukkan penurunan.
Selain daripada mesyuarat Bank of England, tumpuan harus diberi kepada data aktiviti perniagaan (PMI) yang akan dikeluarkan pada minggu hadapan: 1 Februari untuk sektor pembuatan, 3 Februari untuk sektor perkhidmatan dan 4 Februari untuk sektor pembinaan di UK.
USD/JPY: Yen Tidak Perlu Berbuat Apa-Apa
- Jika Bank of England perlu memberikan respon mereka terhadap pihak Rizab Persekutuan AS, tiada apa yang perlu dijangka akan dilakukan oleh Bank of Japan dengan kadar faedah negatif mereka (negatif 0.1%) selama-lamanya. Mata wang selamat yen biasanya mendapat sokongan daripada para pelabur yang menjauhi aset berisiko. Namun sekarang terdapat halangan besar menantinya dalam bentuk nilai dolar yang tinggi serta peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS. Manakala Bank of Japan pula tidak memerlukan mata wang kebangsaan yang begitu kukuh nilainya.
Disebabkan itu, seperti yang diramal kebanyakan penganalisis (60%), pasangan USD/JPY sekali lagi meluru ke atas. Memang benar, ia gagal untuk mencecah paras tertinggi pada 4 Januari lalu iaitu 116.35, tetapi peningkatan nilai itu agak memberangsangkan. Jika kedudukan pasangan ini berada pada paras 113.46 pada hari Isnin, 24 Januari, parasnya mencecah ketinggian 115.68 pada penghujung minggu bekerja. Paras akhir setelah selesai lima hari dagangan adalah 115.22.
Semasa ulasan ini dibuat, kebanyakan indikator pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, 90% daripadanya (10% daripada jumlah itu memberikan isyarat ia memiliki lebihan belian) adalah berwarna hijau, baki 10% lagi berwarna merah. Dalam kalangan indikator trend, 100% mengesyorkan untuk membuat belian. Para penganalisis bersetuju dengan indikator tersebut: 70% daripada mereka berpihak pada bull, 20% lagi memilih bear, baki 10% kekal neutral. Sokongan berada pada paras 115.00, 114.45, 114.00, 113.75, 113.45, 113.20, 112.55 dan 112.70. Zon rintangan paling hampir berada di antara 115.50-115.70, sasaran bull yang paling kukuh dan paling hampir adalah 116.35 iaitu paras paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Tiada sebarang statistik makroekonomi yang dijangka akan dikeluarkan di Jepun pada minggu ini.
MATA WANG KRIPTO: Keadaan Reda Selepas Ribut Melanda
- Jika bercakap tentang mata wang kripto, tiada apa yang teruk berlaku akibat mesyuarat Rizab Persekutuan untuk bulan Januari. Ramai yang tahu bahawa penggubal dasar akan mengetatkan polisi kewangan serta mengurangkan suntikan kewangan ke dalam ekonomi mereka. Tidak lupa juga pada hakikat mereka akan menaikkan kadar faedahnya. Benar, aset-aset berisiko pasti akan terkesan dengan perkara ini, tetapi apa yang penting wang akan keluar daripada pasaran saham. Mungkin mata wang kripto langsung tidak akan merasai semua itu, kerana ia adalah aset dengan spekulasi yang amat tinggi: jumlahnya terlalu kecil.
Pertumbuhan pasaran kripto melompat-lompat akibat lambakan jutaan wang yang baru dicetak oleh pihak Rizab Persekutuan disebabkan pandemik. Aliran masuk wang ini akan berakhir, mungkin sia-sia saja untuk menunggu lonjakan kripto yang baru. Pelabur berinstitusi akan bertindak dengan lebih tenang, namun mereka juga tidak akan tergesa-gesa untuk menjual bitcoin dan ethereum yang mereka miliki. Sesiapa yang berkeinginan sudah lama menjualnya. Sesiapa yang mahu menyimpannya, aset tersebut akan dijadikan sebagai pelaburan jangka panjang.
Sudah pasti, tidak mustahil untuk timbulnya sebarang kejutan dalam industri ini: kejutan yang baik mahupun yang tidak begitu menyenangkan. Dalam masa yang sama, pasaran kripto sudah pulih akibat keadaan panik yang berlaku sebelum bermulanya mesyuarat Rizab Persekutuan. Setelah turun ke paras $32,945 pada hari Isnin, 24 Januari, pasangan BTC/USD mengalami pertumbuhan kecil dan didagangkan di zon $37,000 pada petang Jumaat, 28 Januari semasa ulasan ini dibuat. Jumlah keseluruhan modal pasarannya meningkat daripada $1.51 trilion kepada $1.70 trilion, dan bacaan Indeks Greed & Fear Kripto hanya naik kepada 24 mata (bacaan paling rendah adalah 11 mata pada 23 Januari), terperangkap dengan kukuh di zon Extreme Fear. Masih jelas ia terlalu awal untuk menyatakan dengan yakin mengenai keadaan yang semakin pulih serta perubahan arah trend. Lebih-lebih lagi, carta BTC/USD menunjukkan sokongan kukuh yang sering menjadi sandaran kepada pasangan ini pada tahun 2020 dan 2021 berada di zon antara $29,000-30,000. Jadi tiada sebarang ruang untuk ia turun ke bawah.
Peter Schiff, peminat emas dan juga seorang skeptik bitcoin menjangkakan penurunan bitcoin di bawah paras $10,000. Namun Mike Novogratz, pengasas bank kripto Galaxy Digital serta-merta mempertahankan mata wang kripto terunggul itu dan menawarkan Schiff taruhan dengan nilai $1 juta. Ahli bank berkenaan turut berjanji akan menyalurkan wang berkenaan kepada badan kebajikan atau untuk apa saja tujuan yang dipilih pihak lawannya jika BTC didagangkan di bawah $35,000 dalam masa setahun.
Dalam masa yang sama, Novogratz percaya bahawa pasaran bear akan berlaku untuk tempoh yang lama, justeru menasihatkan orang ramai untuk tidak membelinya semasa nilainya jatuh sekarang. “Agak sukar untuk nilai mata wang kripto kembali pulih sehinggalah lonjakan kadar pasaran saham berakhir. Namun begitu, aset digital sudah pernah mengalami jualan besar-besaran dan mula menerima sokongan daripada para pembeli,” jelas beliau.
Robert Kiyosaki, pengarang buku paling laris “Rich Dad Poor Dad” juga memberi saranan supaya tidak membeli dulu, dan berkata beliau hanya akan membeli lebih banyak emas digital itu jika harganya jatuh kepada $20,000. “Keuntungan akan hadir apabila anda membeli, bukan semasa ia dijual. Bitcoin sedang runtuh. Itu satu berita baik. Saya membeli BTC ketika harganya $6,000 dan $9,000. Saya akan beli lebih banyak jika harganya menjadi $20,000. Masa untuk menjadi kaya semakin hampir,” tulis beliau.
Jika diingat Kiyosaki menjangkakan “pasaran saham gergasi akan runtuh” pada bulan Oktober lalu dan memberi amaran perkara sama akan berlaku kepada emas, perak dan bitcoin. Inilah yang sedang kita lihat sekarang.|
Ton Weiss, seorang pedagang dan penganalisis terkenal, juga bekas naik presiden JP Morgan Chase tidak mengecualikan pembetulan bitcoin yang akan tamat tidak lama lagi. Menurut beliau, mata wang kripto telah mencapai purata pergerakan (MA) selama 20 bulan, dan berada pada kedudukan $34,000. Weiss mendakwa inilah “masa paling sesuai” untuk perubahan arah trend dan pertumbuhan semula nilai aset tersebut. Menurut penganalisis itu, jika berlakunya perubahan arah trend, nilai bitcoin akan terus kembali ke paras $40,000 dan bergabung di atas paras itu.
Seorang lagi penganalisis mata wang kripto, Nicholas Merten meramalkan nilai bitcoin mampu naik 7 kali ganda dan mencecah $200,000 menjelang hujung tahun ini walaupun dengan keadaan pasaran sekarang. Merten menyatakan dalam saluran YouTube DataDash beliau (502,000 pengikut) bahawa jika jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin kekal melebihi $600 bilion, ia akan menyiapkan pentas untuk serangan bull ke atas coin itu beberapa dalam masa beberapa bulan lagi.
Penganalisis itu sedar bahawa kesemua lonjakan harga yang pernah berlaku adalah selepas pembetulan dan sering menjadi penggalak untuk pembelian BTC dengan harga yang lebih rendah. Memahami cara pembelian para pelabur besar adalah kunci bagi menelusuri pasaran mata wang kripto yang meruap, jelas Merten.
Menurut peserta pasaran yang lain, nilai bitcoin boleh berada di sekitar $30,000, dan kemudian mungkin akan mengubah arah pergerakannya. Charles Edwards, pengasas syarikat pelaburan kripto Capriole memberitahu bahawa isyarat indikator NVT (Network Value to Transaction ratio) menunjukkan BTC memiliki lebihan jualan: situasi ini jarang-jarang berlaku di pasaran. “Kita telah memasuki zon pembelian terbuka,” komen Edwards mengenai situasi yang berlaku sekarang.
Jika diingat indikator ini adalah buah fikiran dan digunakan dengan aktif oleh penganalisis terkenal iaitu Willy Woo. Pengiraan NVT adalah membahagikan jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin dengan jumlah transaksi (dalam USD) dan menjadi satu metrik yang popular dalam menilai sama ada coin tersebut memiliki lebihan belian atau jualan.
Michael Saylor, pengasas syarikat MicroStrategy memberikan dua sebab mengapa berlakunya pembetulan di pasaran mata wang kripto sekarang. Pertama adalah peraturan yang tidak telus serta ketaktentuan dalam industri kripto. Sebab kedua adalah industri kripto sendiri yang masih belum matang dan tidak sempurna. Dalam masa yang sama, ahli perniagaan itu percaya bahawa keadaan pasaran yang ada sekarang menyediakan “laluan masuk terbaik bagi pelabur berinstitusi yang berminat dengan mata wang kripto tetapi sampai sekarang belum lagi menyertainya.”
Menurut Saylor, terdapat ramai pelabur berinstitusi kini memerhatikan bitcoin dan sedar nilainya adalah 40% lebih rendah berbanding nilai tertinggi dalam sejarahnya dan ianya sedang bergabung. Dalam masa yang sama, mereka juga sedar bitcoin mendapat sokongan daripada pelabur hebat seperti Bill Miller, para penggubal dasar, senator-senator dan ahli-ahli kongres, serta syarikat-syarikat swasta yang besar.
Bagi MicroStrategy sendiri, pembangun perisian tersebut memiliki 124,391 BTC. Syarikat itu telah membelanjakan kira-kira $3.7 bilion untuk pemerolehan mata wang kripto. Oleh itu, harga purata pembeliannya bagi 1 coin adalah sebanyak $30,1000. Jika nilainya sendiri turun di bawah nilai ini, ia akan mengakibatkan kerugian yang amat besar kepada pemilik MicroStrategy.
Dan sekarang, sedikit kenyataan yang agak melegakan bagi mengakhiri ulasan ini. Pertama sekali kenyataan oleh Scott Melker, seorang pedagang, penganalisis dan juga hos audio siar yang mengingatkan para pelanggannya bahawa tiada apa yang luar biasa sedang berlaku di pasaran sekarang. “Orang ramai sudah lupa. Nilai bitcoin jatuh daripada $60,000 kepada $30,000 dalam masa 10 hari dalam bulan Mei. 10 HARI!!! Semua ini telah pun berlaku. Ia berlaku hanya 8 bulan yang lalu. Jadi kenapa perlu takut?” tulis beliau.
Kenyataan kedua dikeluarkan oleh rangkaian makanan segera McDonald’s yang menawarkan pemilik aset digital untuk mendapatkan kerja dalam industri katering semasa berlakunya trend bearish. Sudah tentu ini hanyalah gurauan. Namun, seperti yang sering disebut, dalam gurauan ada kebaikan. Ciapan McDonald’s itu mendapat sambutan baik oleh komuniti kripto dan dengan cepat mendapat hampir 100,000 like.
Kumpulan Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali