Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 07 - 11 Mac, 2022

EUR/USD: Nasib Euro Bergantung Kepada Ukraine

  • Statistik makro bercampur-campur pada minggu lalu. Namun hanya beberapa pihak saja yang memberikan perhatian mereka buat masa ini. Dinamik pergerakan mata wang Eropah itu telah ditentukan dengan perkara yang berlaku di Ukraine untuk dua minggu berturut-turut sekarang. Ketegangan dalam konflik ketenteraan antara Rusia-Ukraine semakin memuncak, menambah lagi permintaan aset tanpa risiko. Dalam hal ini mata wang dolar menjadi pilihan, dan bukannya mata wang pan Eropah.

    Perbezaan antara polisi kewangan pihak ECB dan juga Rizab Persekutuan telah menolak pasangan EUR/USD ke bawah pada tahun 2021 dan juga antara Januari-Februari 2022. Kejadian tragik yang berlaku baru-baru ini hanya menambah lagi dorongan ke bawah. Bagaimana lagi pasaran harus memberikan reaksi mereka jika berlakunya serangan roket di Zaporozhye, kawasan stesen jana kuasa nuklear terbesar di Eropah di selatan Ukraine? Letusan yang berlaku tidak jauh dari loji tersebut berjaya dipadamkan, tetapi ia tidaklah begitu melegakan: Chernobyl masih berada dalam ingatan penduduk Eropah, dan tiada siapa mahukan satu lagi malapetaka nuklear baru yang mampu meragut jutaan nyawa daripada berlaku.

    Gambaran negatif ini menjadi lebih teruk dengan sekatan ekonomi yang luar biasa kerasnya oleh EU terhadap Rusia dalam memberi sokongan kepada Ukraine. Sekatan itu mewujudkan masalah besar dalam pembekalan sumber tenaga Rusia kepada EU, mengehadkan dagangan industri secara serius, dan mengetatkan sektor perbankan mereka. Agak sukar untuk membayangkan dalam keadaan seperti ini, bagaimana pihak ECB akan menamatkan rangsangan kewangan serta menaikkan kadar faedah mereka. Bagi pihak Rizab Persekutuan AS pula, mungkin penggubal dasar itu tidak akan membatalkan rancangan mereka.

    Berucap di hadapan Kongres pada hari Rabu, 2 Mac, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell memberikan beberapa kelebihan mata wang AS. Pertama sekali adalah permintaan para pelabur terhadap aset selamat seperti dolar yang disebabkan oleh kejadian di Ukraine. Kelebihan lain termasuklah perbezaan polisi kewangan dalam kalangan negara-negara di Eropah dan juga pertumbuhan ekonomi di AS. Di samping itu, indikator penting seperti bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS mengesahkan kata-kata Powell, menunjukkan pertambahan kepada 678K berbanding 400K seperti yang diunjur (481K pada sebulan lalu).

    Pihak Bank Pusat AS juga percaya bahawa disebabkan oleh hal yang berlaku di Ukraine serta pengaruh Rusia terhadap pasaran komoditi, kadar inflasi akan menjadi lebih tinggi berbanding jangkaan sebelum ini. Seperti yang dikatakan oleh Jerome Powell, kadar faedah perlu dinaikkan dengan bersungguh-sungguh disebabkan perkara ini. Oleh yang demikian, kadarnya mungkin menjadi lebih tinggi pada akhir tahun 2022 berbanding apa yang dijangka pasaran.

    Ramalan minggu lalu mencadangkan pasangan EUR/USD mungkin akan menguji semula paras sokongan pada 1.1100, dan bear pula akan cuba untuk mencapai paras impian pada 1.1000 selepas itu. Senario sebegitu dilihat agak berani dan hampir tidak boleh dipercayai pada 25 Februari. Namun kejadian yang dinyatakan di atas telah menyimpulkan hakikat bahawa pasangan ini dengan mudah menembusi paras sokongan 1.1000 yang kononnya “tidak dapat ditembusi” dan turun ke 1.0885, susut sebanyak 385 mata dalam seminggu. Setelah mengalami sedikit pembetulan, kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.0932.

    Di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, nilai euro susut lebih daripada 600 mata berbanding dolar sejak 10 Februari dan kini menghampiri paras terendah 2020 dengan cepat. Tidak jauh sebelum mencapai kesetaraan nilai 1:1. Amat sukar untuk menjangka kedudukan manakah yang akan menjadi paras terendahnya dalam situasi sekarang ini. Ia berada di sekitar 1.0635 pada tahun 2020, kedudukan terendah pada tahun 2016 pula adalah 1.0325.  Mungkin kedudukan- kedudukan ini akan menjadi paras sokongannya.

    Bagi bull, dengan mengambil kira peningkatan kadar turun naik, sasaran serta-merta mereka adalah untuk kembali ke zon 1.1000, diikuti sekitar paras rintangan antara 1.1100-1.1125, kemudian zon yang lebih luas di antara 1.1280-1.1390, dan di sekitar 1.1485 iaitu paras tertinggi pada 13 Januari serta 10 Februari lalu. Walau bagaimanapun, sasaran-sasaran itu boleh dicapai pasangan ini hanya jika perang berakhir, atau setidak-tidaknya apabila gencatan senjata bermula. Kebanyakan penganalisis mengharapkan yang terbaik: 65% daripada mereka memilih hakikat bahawa EUR/USD akan mampu untuk kembali sekurang-kurangnya ke paras 1.1200 dalam bulan Mac. Namun indikator trend serta pengayun pada D1 berpendapat sebaliknya: semuanya berwarna merah, walaupun 25% daripada pengayun berada di zon lebihan jualan.

    Untuk statistik ekonomi, data jualan runcit di Jerman akan dikeluarkan pada hari Isnin, 7 Mac, kemudian data KDNK di Eurozone pada hari Selasa. Peristiwa paling penting mungkin berlaku pada hari Khamis, 10 Mac apabila pihak ECB bermesyuarat. Kadar faedah mungkin akan dikekalkan pada 0%, justeru sidang akhbar oleh pihak pengurusan penggubal dasar berkenaan yang berlangsung selepas itu lebih menarik perhatian. Data pasaran pengguna di AS akan dikeluarkan pada hari yang sama, dan kita akan ketahui nilai selaras indeks harga pengguna di Jerman serta indeks keyakinan pengguna University of Michigan AS pada pengakhir minggu, pada hari Jumaat, 11 Mac.

GBP/USD: Great Britain Juga Sebahagian Daripada Eropah

  • Tahap kebergantungan EU terhadap sumber gas Rusia adalah kira-kira 45-50% sebelum sekatan bermula. Tidak seperti negara-negara dalam Kesatuan Eropah, UK sebenarnya tidak langsung bergantung pada bekalan gas Rusia: jumlahnya adalah kurang daripada 3%. Perolehan dagangannya dengan Persekutuan Rusia juga lebih rendah. Secara geografi, UK berada kira-kira 2,000 kilometer dari zon konflik antara Rusia-Ukraine.

    Kesemua faktor-faktor ini membantu pasangan GBP/USD untuk kekal berada dalam trend mendatar selama beberapa hari. Namun berlatarbelakangkan kejadian yang menyelubungi loji nuklear di Zaporizhzhya, ia tidak dapat bertahan dan memperbaharui kedudukan terendahnya pada 24 Februari lalu, turun ke paras 1.3201. Ia mengakhiri minggu pada paras 1.3246. 

    Jangkaan penganalisis untuk pasangan ini pada minggu depan adalah seperti berikut: 50% daripada mereka bersetuju dengan pertumbuhan dan 25% lagi penurunan ke paras lebih rendah, baki 25% pula memilih trend mendatar. Bacaan indikator pada D1 sama sepenuhnya dengan bacaan untuk pasangan EUR/USD. Sokongan kukuh berada pada paras 1.3170 (paras sokongan terendah 2021), diikuti dengan paras sokongan pada tahun 2020. Rintangan berada pada paras di antara 1.3270-1.3325, 1.3400, 1.3485, 1.3600, 1.3640.

    Antara perkara menarik yang menanti pada minggu hadapan termasuklah data jualan runcit di UK yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 8 Mac, serta data kadar pengeluaran dan juga KDNK di UK yang akan diketahui pada hari Jumaat, 11 Mac.

USD/JPY: Yen atau Dollar: Mata Wang Selamat Manakah Lebih Baik?

  • Jepun berada lebih jauh dari Ukraine berbanding UK, kira-kira 8,000 kilometer. Walaupun negara itu turut serta dalam mengenakan sekatan ke atas Rusia, ianya tidak menghalang daripada menjadi tempat selamat buat para pelabur. Justeru, hampir segala yang menyebabkan keadaan kucar-kacir di Eropah tidak memberi kesan kepada dinamik pergerakan pasangan USD/JPY. Ia terus bergerak di sepanjang paras 115.00 pada minggu lalu, mengalami turun naik dalam julat antara 114.65-115.77. Ia mengakhiri tempoh lima hari dagangan tidak jauh dari sempadan bawahnya iaitu 114.81. Penurunan ini berlaku pada hari Jumaat, 4 Mac, bukan disebabkan oleh pengeboman loji nuklear Zaporizhzhya, tetapi penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS.

    Ini bermakna, ketika nilai dolar lebih tinggi berbanding euro dan pound, ianya susut berbanding yen. Persaingan antara dua aset selamat ini sudah pasti akan berterusan pada minggu hadapan. 75% penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan kembali berada di sempadan atas saluran tersebut, manakala 25% lagi percaya mungkin kedudukannya akan turun lebih rendah. Seperti yang biasa berlaku dalam situasi begini, percanggahan pendapat serta-merta wujud dalam kalangan indikator. Dalam kalangan indikator trend pada D1, 65% bersetuju dengan beli, 35% lagi jual. Dalam kalangan pengayun, 20% memilih beli, 25% berpendirian neutral dan 55% lagi bersetuju dengan jual, namun dalam masa yang sama, satu perempat daripada jumlah itu memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Rintangan paling hampir berada di zon 115.00-115.25, kemudian 115.70. Sasaran utama bull adalah untuk memperbaharui kedudukan tertingginya iaitu 116.34 dan naik ke paras yang belum diduduki pasangan ini sejak Januari 2017. Zon dan paras sokongan: 114.40-114.65, 114.15, 113.75, 113.45, 113.20, 112.55 dan 112.70.

    Tiada statistik makro penting berkenaan keadaan ekonomi di Jepun yang akan dikeluarkan pada minggu depan kecuali data kadar KDNK negara itu pada hari Rabu, 9 Mac.

MATA WANG KRIPTO: Sekatan, Bitcoin dan Apa Pilihan Robot

  • Sejurus selepas aset Bank of Rusia dibekukan akibat serangan di Ukraine, jumlah dagangan bitcoin naik mendadak pada hari Isnin, 28 Februari, dan nilai coin itu sendiri melonjak naik kira-kira 17% (daripada $37,840 kepada $44,220). Bilangan alamat bitcoin dengan baki melebihi 1,000 BTC naik lebih daripada 6% kepada 2,226. Jumlah ini tidak dapat dicapai indikator tersebut sejak Mac 2021. Bilangan alamat dengan baki antara 100 dan 1000 BTC juga bertambah pada 28 Februari, walaupun kenaikannya tidak begitu ketara. Indikator ini naik sebanyak 1.3% kepada 15,929 pada hari itu. Perkara ini disahkan oleh data daripada perkhidmatan Glassnode.

    Sesetengah penganalisis mencadangkan kenaikan mendadak jerung bitcoin seperti itu adalah disebabkan oleh percubaan para elit di Rusia untuk mencairkan aset mereka bagi mengelak sekatan serta menukar mata wang ruble yang susut nilai kepada mata wang kripto.

    Menurut Bloomberg, Majlis Keselamatan Kebangsaan White House serta Jabatan Perbendaharaan AS merayu kepada operator bursa berpusat terbesar dunia agar menghentikan sebarang cubaan mengelak sekatan yang dikenakan ke atas Rusia. Jurucakap White House menyatakan mata wang kripto bukanlah pengganti dolar AS yang digunakan secara meluas di Persekutuan Rusia. Namun, pihakt berkuasa AS ingin memerangi penyalahgunaannya. Presiden Bank Kesatuan Eropah iaitu Christine Lagarde juga menyeru agar undang-undang aset digital di rantau Eropah dipertingkatkan.

    Sekurang-kurangnya empat bursa mata wang kripto, termasuklah Coinbase dan Gemini telah bersetuju untuk turut serta dalam mengetatkan kawalan mereka.

    Menurut ahli ekonomi dan penganalisis terkenal iaitu Alex Kruger, jika Rusia menggunakan mata wang kripto bagi mengelak sekatan, ia sudah cukup untuk para penggubal dasar di AS mengharamkan keseluruhan aset digital. “Jangan harap perkara ini akan berlaku. Namun berhati-hatilah dalam bertindak,” beliau memberi amaran, dan menambah jika situasi geopolitik ini tidak bertambah buruk, pelabur akan dapat melihat pertumbuhan pasaran kripto tidak lama lagi.

    Dinamik pergerakan mata wang kripto antara walet persendirian dan walet milik bursa menunjukkan kadar kepastian yang rendah dalam kalangan pelabur mengenai perkembangan pasaran aset digital yang selanjutnya. Hal ini dinyatakan oleh CoinDesk dengan merujuk kepada laporan Bank of America (BofA).

    Menurut penganalisis, pengetatan polisi Rizab Persekutuan serta faktor-faktor makroekonomi akan mengehadkan pertumbuhan mata wang kripto dalam tempoh enam bulan seterusnya. Namun, BofA menegaskan bahawa perkara ini bukanlah permulaan kepada “musim dingin kripto” yang baru kerana kadar penerimaan aset digital oleh para pengguna serta aktiviti para pembangun telah naik mendadak.

    Laporan bank itu turut menyebut agak sukar bagi pasaran aset digital untuk keluar dari julat harga semasa sehinggalah ketakutan mengenai kegawatan yang mungkin berlaku hilang.

    Setelah mengalami lonjakan pada 28 Februari, pergerakan ke atas pasangan BTC/USD mula perlahan antara 1-2 Mac semasa menghampiri zon rintangan kukuh pada paras $45,000. Kemudian, setelah percubaan untuk naik lebih tinggi gagal, ia mula bergerak ke bawah. (Jika diingat paras rintangan ini telah beberapa kali menolak pasangan itu ke bawah antara bulan Januari-Februari).

    Jika mata wang terunggul ini masih berjaya naik di atas paras $45,700 di kemudian hari, boleh kita jangkakan pertumbuhan yang seterusnya di antara $47,000-50,000 disebabkan oleh order belian dalam jumlah yang besar akan dimulakan.

    Pelabur lagenda Henrik Zeberg, penulis buku The Zeberg Report dan juga penganalisis mengenai kitaran makroekonomi telah membentangkan tiga carta yang menunjukkan saham dan mata wang kripto utama bersedia untuk mengalami pertumbuhan dalam Elliot Wave 5. Menurut Zeberg, trend bullish indeks pasaran saham paling penting iaitu S&P500 dan Nasdaq kini kian berubah arahnya jika dilihat pada carta mingguan. Jika unjuran beliau terbukti benar, bitcoin mungkin sekali lagi mampu menambah kadar penyatuannya dengan saham dan indeks saham.

    Semasa ulasan ini ditulis (pada petang 4 Mac), pasangan BTC/USD didagangkan  di sekitar nilai $39,300, jumlah keseluruhan modal pasarannya kembali kepada nilai seminggu sebelum ini iaitu $1.755 trilion setelah naik kepada $1.963 trilion, manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik hanya 6 mata (daripada 27 kepada 33 mata), masih tersekat di zon Fear.

    Ketua Pakar Strategi Bloomberg Intelligence iaitu Mike McGlone mengulangi bahawa bitcoin berada di landasan yang betul untuk menjadi aset rizab antarabangsa. Beliau memberi jaminan bahawa kadar BTC akan mencecah $100,000 dalam tahun 2022. Penganalisis itu juga menegaskan bahawa nilai mata wang digital terunggul itu tidak akan turun kepada $30,000 walaupun wujudnya sentimen bearish di pasaran.

    McGlone turut percaya pengaruh coin seperti Dogecoin perlu dihapuskan supaya bitcoin akhirnya diwartakan sebagai sebuah alat untuk melindungi wang simpanan.

    Sebuah robot penganalisis AI yang dihasilkan syarikat pembangun perisian di Portugis iaitu Tiago Vasconcelos menyokong pandangan ketua pakar strategi Bloomberg Intelligence itu. Pengekod robot berkenaan “melatih robot, menjelaskan peraturan, candle, prinsip sama ada belian atau jualan boleh dibuat, atau tidak berbuat apa-apa.” Robot tersebut akan menerima satu mata bagi setiap dagangan menguntungkan dan hilang satu mata sebagai “hukuman” jika dagangan rugi. Setelah menjalankan ribuan/jutaan langkah untuk menambah baki akaun dagangan, robot penganalisis itu akhirnya memilih strategi “hodling”, atau mengumpul bitcoin. (Jika diingat Hodl adalah meme popular dalam ruangan bitcoin yang wujud daripada satu mesej di forum Bitcointalk pada tahun 2013 akibat tersalah cetak perkataan “hold”).

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.