Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 14 - 18 Mac, 2022

EUR/USD: Acara Mega Minggu Ini: Mesyuarat Rizab Persekutuan AS

  • Seperti yang dijangka, tumpuan utama untuk minggu lalu berlaku pada hari Khamis, 10 Mac, disebabkan oleh mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah. Kadar faedah dibiarkan kekal pada 0%, dan ia tidak mengejutkan sesiapa pun. Tetapi, walaupun keputusan ini sudah dijangka terlebih dahulu, pasangan EUR/USD naik ke paras 1.1120 pada mulanya selepas pihak bank mengeluarkan kenyataan mereka, dan kemudian turun di bawah paras 1.1000. Semuanya akibat percubaan gagal untuk “memuaskan” kedua-dua pihak helang dan pipit.

    Dari satu segi, pihak ECB mengejutkan semua orang dengan keputusan hawkish mereka untuk menamatkan program QE lebih awal. Jumlah pembelian semula aset di bawah program QE akan dikurangkan sebanyak €40 bilion pada bulan April dan €30 bilion pada bulan Mei manakala €20 bilion pada bulan Jun, pengurangan yang agak besar jumlahnya berbanding jangkaan sebelum ini. Unjuran yang dibuat sebelum ini menjangkakan pengurangan kepada €20 bilion hanya akan berlaku pada bulan Oktober.

    Walau bagaimanapun, pendirian ECB berkenaan isu kenaikan kadar faedah menjadi lebih dovish berbanding sebelumnya. Penggubal dasar itu sebelum ini menyatakan jurang masa yang begitu kecil telah dirancang antara penamatan QE dan juga kenaikan faedah seterusnya. Kini, menurut ketua Bank Negara itu, Christine Lagarde, “sebarang perubahan kadar faedah utama ECB hanya akan berlaku selepas pembelian bon berakhir dan dinaikkan secara beransur-ansur.” Kenyataan bersifat dovish seperti itu mengecewakan para pelabur dan menolak pasangan EUR/USD ke bawah.

    Dorongan untuk menjual euro ditambah lagi oleh laporan kadar inflasi di AS yang menunjukkan pertumbuhan harga penggunanya mencecah kadar tertinggi sepanjang 40 tahun. Justeru, bagi kadar bulanan, indeks harga penggunanya naik daripada 0.6% kepada 0.8%, manakala bagi kadar tahunan, inflasi melonjak daripada 7.5% kepada 7.9%. Data-data ini mengesahkan lagi keyakinan pasaran bahawa kenaikan kadar faedah persekutuan di AS akan diumumkan pada mesyuarat Rizab Persekutuan yang seterusnya, dijadual akan berlangsung pada hari Rabu, 16 Mac nanti. Disamping itu, Jerome Powell, ketua Bank Pusat AS berkata beliau bercadang untuk mengusulkan kenaikan sebanyak 0.25% dalam mesyuarat itu.

    Menjadi kebiasaan, kadar inflasi bukan saja naik di AS, malah juga di Eropah. Pihak ECB telah menaikkan anggaran kadar pertumbuhan untuk tahun 2022 daripada 3.2% kepada 5.1%. Menurut penganalisis di Goldman Sachs, nilai ini boleh naik sehingga 8%. Namun perbezaan polisi kewangan serta prospek ekonomi begitu jelas tidak berpihak kepada Eropah. Faktor geografi juga perlu diambil kira: berhampiran dengan zon konflik ketenteraan di Ukraine, serta kebergantungan blok Eropah terhadap sumber tenaga Rusia.

    Buat masa ini, Eropah menanggung kerugian paling besar akibat sekatan yang dikenakan ke atas Rusia. Penganalisis percaya bahawa rantau itu sedang berhadapan dengan keadaan stagflasi yang stabil. AS juga tidak kebal bila berhadapan dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi. Namun negara itu adalah salah satu negara pembekal minyak utama dan memiliki rizab minyak syal yang agak banyak, justeru lonjakan harga bahan api mungkin kurang dirasai di negara tersebut. Selain itu, simpanan wang terkumpul oleh isi rumah di Amerika sepanjang berlakunya pandemik COVID-19 berada pada jumlah tertinggi dalam sejarah. Keadaan kewangan yang selesa ini menyerap sedikit tekanan akibat inflasi, membolehkan pihak Rizab Persekutuan meneruskan pengetatan polisi kewangan mereka.

    Pasangan EUR/USD memperoleh semula kerugian yang dialami pada bulan Februari sepanjang minggu lalu dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0911. Namun, sekiranya ketegangan di Ukraine semakin memuncak dan harga minyak mentah semakin meningkat, sasaran strategik bear yang paling hampir sudah tentunya untuk menguji semula paras paling rendah pada 7 Mac lalu iaitu 1.0805. Ia diikuti dengan paras terendah tahun 2020 iaitu 1.0635 dan kemudian paras terendah 2016 iaitu 1.0325. Dalam ulasan sebelum ini, kami sudahpun memberi bayangan pada suatu ketika nanti sebut harganya mungkin berada pada paras 1.0000. Unjuran ini disokong oleh pakar strategi bank ABN Amro yang menganggap penurunan pasangan ini ke paras pariti sebagai senario dasar.

    Sebaliknya, jika terdapat bayangan berkenaan situasi di Ukraine boleh diselesaikan secara diplomatik, walaupun sedikit, apatah lagi jika serangan dapat dihentikan sepenuhnya, ia sudah tentu mampu memberi sokongan serius terhadap mata wang Eropah serta mendorong kadar pertumbuhannya. Melihat pada kadar turun naik yang semakin meningkat, sasaran paling hampir bull adalah untuk menembusi zon rintangan di sekitar 1.1000. Zon berikutnya adalah di antara 1.1100-1.1125, 1.1280-1.1390, dan kedudukan tertinggi pada 13 Januari dan 10 Februari lalu di sekitar 1.1485.

    Pendapat penganalisis adalah seperti berikut. 50% daripada mereka bersetuju dengan hakikat bahawa EUR/USD boleh kembali sekurang-kurangnya ke paras 1.1200 dalam bulan Mac. 25% lagi berpihak kepada bear, baki 25% pula mengambil pendirian neutral. 90% pengayun pada D1 adalah berwarna merah, 10% lagi kelabu neutral. 100% indikator trend berpihak kepada bear.

    Untuk kalendar minggu hadapan, pihak Rizab Persekutuan AS yang akan bermesyuarat pada hari Rabu, 16 Mac seperti yang telah dinyatakan sebelum ini akan menjadi berita utama. Manakala statistik jualan runcit di Amerika Syarikat pula akan dikeluarkan beberapa jam sebelum berlangsungnya sidang akhbar dan juga  kenyataan media oleh barisan kepimpinan penggubal dasar itu. Tumpuan harus diberikan kepada ucapan ketua ECB, Christine Lagarde pada keesokan harinya, pada hari Khamis, 17 Mac, juga data dari pasaran pengguna di Eurozone dan pasaran buruh di AS.

GBP/USD: Apa yang Boleh Diharapkan dari Bank of England?

  • Kebergantungan EU terhadap bekalan gas Rusia adalah kira-kira 45-50% sebelum sekatan ekonomi dikenakan. Tidak seperti negara-negara di Kesatuan Eropah, UK secara umumnya tidak bergantung dengan bekalan gas Rusia: jumlahnya adalah kurang daripada 3%. Perolehan dagangannya dengan Rusia juga adalah lebih rendah. Secara geografinya, negara itu terpisah kira-kira 2,000 kilometer dari zon konflik ketenteraan antara Rusia-Ukraine. Kesemua faktor ini membolehkan Bank of England mengambil tindakan lebih tegas dalam menormalkan polisi kewangan mereka, tidak seperti rakan sejawatnya di ECB.

    Bank of England juga akan bermesyuarat pada 17 Mac, sehari selepas pihak Rizab Persekutuan mengadakan mesyuarat mereka. Terdapat kemungkinan bahawa keputusan penggubal dasar UK tersebut mengenai kadar faedahnya akan bergantung kepada berapa tinggi kenaikan yang akan dikenakan pihak Bank Pusat AS (ataupun tidak) sebelumnya. Hal ini menjadi satu lagi faktor ketaktentuan dalam meramal kadar tukaran mata wang British.

    Jika diingat Bank of England menjadi bank pertama yang menaikkan kadar faedah mereka, membuat kenaikan sebanyak 0.5%. Namun masih belum jelas berapa lama pendirian hawkish ini akan berterusan.

    Ramalan penganalisis untuk pasangan GBP/USD pada minggu hadapan adalah seperti berikut: 35% daripada mereka bersetuju dengan pertumbuhan, 35% - penyusutan lebih rendah, dan baki 20% lagi memilih trend mendatar. Walau bagaimanapun, apabila beralih kepada ramalan bulanan, kelebihan lebih jelas memihak kepada penyokong bull: 65% memihak kepadanya, dengan 15% lagi bersetuju dengan bear dan baki 20% pula tidak menyuarakan pendapat mereka. 100% indikator pada D1 menunjukkan penurunan semasa ulasan ini dibuat, namun, 30% daripada pengayun telah pun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan.

    Mata wang pound mengakhiri sesi dagangan mingguan pada paras 1.3035. Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.2985-1.3025, diikuti dengan paras sokongan untuk tahun 2020. Rintangan berada pada paras 1.3080, 1.3145, 1.3200, 1.3270-1.3325, 1.3400, 1.3485, 1.3600, 1.3640.

    Selain daripada mesyuarat Bank of England, antara perkara yang akan berlaku minggu depan termasuklah penerbitan data pasaran buruh di UK pada hari Selasa, 15 Mac, ia turut mengandungi paras purata gaji di negara itu, serta perubahan jumlah permohonan bagi manfaat pengangguran.

USD/JPY: Pasaran Telah Memilih Dolar

  • Kami letakkan persoalan: “Yen atau Dolar: Aset Selamat Manakah Lebih Baik?” pada judul ulasan USD/JPY sebelum ini, memberi bayangan para pelabur akan mula mencari tempat selamat bagi mengekalkan modal mereka jika keadaan panik berlaku di pasaran.

    Persoalan ini dimenangi dolar pada minggu lalu. Mata wang itu bukan saja menang, malah mengunggulinya dengan margin yang besar. Setelah bermula pada paras 114.81 pada hari Jumaat, 11 Mac, pasangan USD/JPY mencapai kedudukan tertingginya pada paras 117.35, dan kedudukan terakhir mingguannya berada sedikit rendah pada paras 117.25. Jika diingat kebanyakan penganalisis (75%) meramalkan pertumbuhan pasangan ini, tetapi hampir tiada siapa menjangkakan kejayaan yang dicapai begitu hebat dan membanggakan. Disebabkan oleh pertumbuhan yang kukuh ini, pasangan tersebut bukan saja memperbaharui paras tertinggi yang dicapai antara Januari-Februari iaitu 116.35, malah mencapai zon dagangan yang sudah lama tidak didudukinya sejak tahun 2016/2017.

    Para penganalisis memetik hakikat bahawa Bank of Japan yang masih ingin bertahan daripada menamatkan rangsangan ekonominya sebagai punca kepada permintaan Yen yang lemah. Seperti yang telah kami sebutkan, penggubal dasar negara itu percaya bahawa pengetatan polisi kewangan dalam keadaan sekarang akan memberi lebih banyak keburukan kepada ekonominya berbanding kebaikan. Selain itu, negara berkenaan turut serta dalam mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia, mengurangkan sebahagian besar pulangan yang diperoleh  syarikat berorientasikan eksport.

    Melihat pada serangan Rusia ke atas Ukraine, perkara yang juga patut diberi perhatian adalah perjanjian damai antara Rusia dan Jepun tidak pernah dimeterai semasa berakhirnya Perang Dunia Kedua, dan kedua-dua buah negara itu secara rasminya masih lagi berperang. Puncanya adalah perbezaan pendapat mengenai pemilikan Selatan Sakhalin dan juga Pulau Kuril. Isu ini telah dibangkitkan semula baru-baru ini.

    Statistik yang lemah juga tidak memihak kepada yen pada minggu lalu. Kadar KDNK di Jepun susut daripada 1.3% kepada 1.1% pada Q4 2021 berbanding pertumbuhan sebanyak 1.4% yang diunjurkan. Bagi kadar tahunan, kadar ini susut daripada 5.4% kepada 4.6%, dan ia mengecewakan para pelabur.

    Bagi ramalan pula, 80% daripada penganalisis percaya bahawa potensi pertumbuhan pasangan ini sudahpun berakhir, 20% bersetuju dengan pendapat sebaliknya. Dalam kalangan indikator pada D1, hampir keseluruhannya sebulat suara setelah melihat pertumbuhan yang memberangsangkan. 100% indikator trend, serta 90% pengayun bersetuju dengan pertumbuhan, walaupun satu pertiga daripadanya sudahpun berada di zon lebihan belian. Baki 10% lagi pengayun berpendirian neutral. 

    Para penganalisis menyatakan paras 117.35, 117.70, 118.00 dan 118.60 sebagai paras rintangan. Sokongan berada pada paras dan zon 117.00, 116.75, 116.35, 115.75, 115.00, 114.40-114.65, 114.15, 113.75.

    Mesyuarat Bank of Japan seperti biasa akan diadakan pada hari Jumaat, 18 Mac. Namun jika Bank of England menunggu sesuatu daripada Rizab Persekutuan AS, tiada perkara seperti itu yang boleh kita jangkakan daripada penggubal dasar Jepun ini yang sering mengekalkan kadarnya pada kedudukan negatif (negatif 0.1%). Yen sebagai mata wang selamat biasanya mendapat sokongan pelabur yang cuba menjauhi aset berisiko. Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang berlaku pada minggu lalu, mereka mungkin akan memberi keutamaan kepada dolar.

MATA WANG KRIPTO: Misteri 9 Mac dan Rahsia Pergelutan Puak Kripto

  • Ramai yang mungkin terkejut dengan lonjakan nilai bitcoin yang tidak disangka-sangka pada hari Rabu, 9 Mac. Awal minggu bermula dengan agak tenang: bull cuba untuk berada di atas paras $40,000, bear cuba untuk menurunkan sebut harganya di bawah paras $37,000. Kemudian secara tiba-tiba, dalam masa beberapa jam saja, kadar pasangan BTC/USD naik sebanyak 10%, mencecah ketinggian $42,520.

    Mengapa perkara ini berlaku?

    Berulang kali telah kami katakan nasib pasaran kripto buat masa sekarang dan juga masa hadapan bergantung sepenuhnya pada White House serta bank pusat AS, dan lonjakan harga pada 9 Mac menjadi bukti jelas tentang perkara ini.

    Nilai bitcoin dan aset digital yang lain mengalami peningkatan setelah butir-butir mengenai perintah eksekutif Presiden Joe Biden didedahkan. Dokumen tersebut mengarahkan agensi-agensi persekutuan untuk menyelidik kesan mata wang kripto terhadap keselamatan serta ekonomi negara sebelum akhir tahun ini, dan telah menggariskan perubahan dasar yang diperlukan. Secara khususnya, perintah itu mengandaikan penyelarasan tugas antara pihak SEC (Securities and Exchange Commission) dan CFTC (Commodity Futures Trading Commission), serta penetapan peranan agensi-agensi kerajaan - daripada Jabatan Negeri sehinggalah Jabatan Perdagangan.

    Menurut sebilangan penganalisis, kejadian di Ukraine telah menggesa White House untuk menyediakan dokumen ini. Lebih tepat lagi, mereka takut dengan sesetengah organisasi atau individu yang mungkin menggunakan aset digital bagi mengelak daripada sekatan yang dikenakan ke atas Rusia. Namun, apa juga puncanya, ia tidak mengubah apa-apa. Tidak seperti China sebagai contoh, negara itu cuba menghancurkan pasaran ini sepenuhnya, Amerika Syarikat pula sebaliknya, mahu membangunkannya. Perkara ini diterima secara positif oleh pelabur-pelabur kripto.

    Keinginan Washington itu telah disahkan sendiri oleh Anthony Scaramucci, pengasas SkyBridge Capital dan juga bekas Pengarah Komunikasi White House. Beliau yakin Amerika Syarikat tidak akan menambah kesulitan terhadap pasaran kripto: “Saya tidak rasa AS mahu hilang kedudukannya sebagai peneraju dalam perkhidmatan kewangan. Jika mereka mengambil keputusan untuk mengharamkan atau mengetatkan undang-undang mata wang digital, maka kita akan dapat lihat banyak modal dan bijak pandai yang keluar dari negara ini selepas itu.”

    Ahli perniagaan itu juga menyatakan dalam temubual beliau bersama Magnifi bahawa para pelabur sepatutnya membeli BTC walaupun jika mereka tidak pernah memiliki mata wang kripto sebelum ini. Menurut Scaramucci, pelabur tegar yang tahu menunggu masa yang tepat akan mendapat manfaat pada masa hadapan. Beliau yakin bahawa nilai bitcoin dijamin akan mencecah $100,000 dalam masa beberapa tahun lagi. Sila maklum bahawa ahli perniagaan ini menyimpan kira-kira $1 bilion dalam bentuk bitcoin buat masa ini.

    Kembali kepada sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, menurut seorang lagi hartawan, pelabur lagenda Bill Miller, perkara itu telah menyebabkan harga bitcoin naik mendadak. “Hampir 50% daripada rizab bitcoin dimiliki pelabur dari Rusia dalam bentuk mata wang yang dikawal pihak yang ingin menghancurkannya,” jelas Miller. Dalam hal ini, kerajaan Rusia mungkin cuba untuk menggunakan emas digital itu sebagai mata wang rizab mereka. Oleh itu, menurut Milles, ia adalah “isyarat yang sangat bullish” buat bitcoin.

    Sentimen bullish juga mendapat sokongan penganalisis kripto berwibawa yang dikenali sebagai Dave the Wave. Mengikut unjuran beliau, harga mata wang kripto utama itu seharusnya memperbaharui kedudukan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2022. Dave the Wave telah menyiarkan carta harga BTC dan menerangkan bahawa walaupun nilai bitcoin turun di bawah paras $40,000, ia masih berada di landasan yang betul untuk mencapai nilai $100,000. Melihat pada keadaan pasaran global yang teruk, coin ini berpeluang untuk bergerak ke atas dengan mantap dari paras $36,000.

    Penganalisis kripto dan pedagang kripto terkenal iaitu Michael van de Poppe melihat situasi sekarang ini agak berbeza. Beliau percaya dengan berlatarbelakangkan ketegangan politik di Eropah Timur, nilai bitcoin boleh terus turun ke paras $30,000. “Kenapa?” tanya penganalisis tersebut. Jawapannya adalah: “Disebabkan oleh keadaan panik jangka pendek. Anda harus faham bahawa pedagang adalah manusia yang fokus dengan keadaan sekarang, sangat impulsif, beremosi, dan inilah perkara-perkara yang mencerminkan pasaran.” Dalam masa yang sama, Michael van de Poppe maklum dengan kemelesetan ekonomi yang berlaku sekarang ini memberi peluang baik bagi mereka yang masih bersikap optimis tentang mata wang kripto untuk menambah simpanan mereka.

    Bagi altcoin yang diterajui ethereum, menurut pedagang itu, situasi sekarang ini memberi tekanan yang kuat supaya membuat jualan, dan mampu menolaknya ke paras lebih rendah sehingga nilai Ethereum mencecah kedudukan $2,000.

    Menurut CEO Galaxy Digital Mike Novogratz, tidak lama lagi bitcoin dan emas akan menjadi aset paling selamat. “Anda boleh letakkan tanda sama dengan antara dua instrumen ini dan menghentikan perbincangan tentang mana satu lebih bernilai, BTC atau logam berharga,” hartawan itu berkata.

    Walau bagaimanapun, buat masa sekarang tiada persamaan di antaranya. Sebaliknya, menurut penganalisis di IntoTheBlock, kadar korelasi antara bitcoin dan logam berharga telah susut ke paras terendahnya sejak Ogos 2021. Ini bermakna, kadarnya yang berkaitan  dengan emas dan perak telah mencecah paras terendah sepanjang 7 bulan. Para penganalisis percaya bahawa perubahan ini berlaku akibat operasi ketenteraan yang dijalankan Rusia di wilayah Ukraine. Bitcoin sangat berkorelasi dengan pasaran saham tradisional dan harga komoditi itu terus meningkat.

    Menurut penganalisis lagi, indikator yang menilai perolehan sesuatu aset serta tahap risikonya menunjukkan logam berharga memberikan reaksi yang lebih baik kepada keadaan tidak menentu berbanding mata wang kripto terunggul itu.

    Penganalisis juga maklum bahawa majoriti pemilik bitcoin (57%) tidak menerima kesan yang disebabkan oleh turun naik harga coin tersebut baru-baru ini. Kebanyakan pemilik telah menyimpan aset digital mereka lebih daripada setahun, ini bermakna mereka masih memiliki pulangan positif.

    Semasa ulasan ini dibuat (pada petang 11 Mac), segalanya kembali normal setelah lonjakan harga yang berlaku pada 9 Mac: pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $39,000, jumlah keseluruhan modal pasarannya kembali ke paras seminggu lalu iaitu $1.740 trilion setelah naik kepada $1.854 trilion, manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 27 mata kepada 22 mata, sekali lagi berada di zon Extreme Fear.

    Membuat kesimpulan akhir, satu lagi tip dalam ruangan jenaka petua hidup kripto kami. Jika diingat kami ada membincangkan cara alternatif untuk mendapat pulangan dalam pasaran ini. Nasihat kami kali ini adalah: “Menulis cerita hebat mengenai kripto.” Satu contoh adalah buku paling laris baru-baru ini yang ditulis oleh wartawan Forbes iaitu Laura Shin. Judulnya begitu bermakna: The Cryptopians: Idealism, Greed, Lies, and the Making of the First Big Cryptocurrency Craze. Penulis menceritakan tentang pergelutan berskala besar dalam kalangan hartawan untuk pengaruh dan meneraju industri “kewangan baru” di dalam buku ini.

    Shin memperkenalkan tokoh ternama dalam ruang digital kepada para pembacanya, termasuklah Vitalik Buterin, prodigi Web3, Charles Hoskinson, dan Joe Labin (bekas naib presiden Goldman Sachs yang menjadi salah seorang hartawan mata wang kripto terkenal). “Tikam lidah berlaku akibat pergelutan antara personaliti-personaliti yang disegani ini untuk mendapatkan tempat di dalam dunia perniagaan baru tanpa had,” coret penulis itu, menghuraikan konfrontasi antara “puak kripto”.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.