Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 21 - 25 Mac, 2022

EUR/USD: Adakah Pasaran Semakin Menggila?

  • Apa yang telah berlaku di pasaran setelah mesyuarat Rizab Persekutuan AS berakhir boleh dianggap sebagai “keadaan tidak masuk akal”. Seperti yang dijangka, pihak penggubal berkenaan telah menaikkan kadar faedah utama mereka kepada 0.5% daripada 0.25% pada hari Rabu, 16 Mac, kenaikan setinggi itu sejak tahun 2018. Seperti yang telah dijangka juga, nilai dolar mula bertumbuh selepas keputusan tersebut dibuat. Namun tiada siapa yang dapat menjangka pengukuhan itu hanya bertahan kira-kira sejam dan hanyalah berjumlah 50 mata. Kemudian, bukan mata wang Amerika yang mula mengalami pertumbuhan, tetapi mata wang Eropah. Akibatnya, pasangan EUR/USD telah menetapkan kedudukan tertinggi mingguannya pada paras 1.1137 keesokan harinya.

    Semua yang berlaku adalah bertentangan sepenuhnya dengan logik. Unjuran bagi kadar KDNK di AS telah dikaji semula. Unjuran tersebut menunjukkan pihak Rizab Persekutuan menjangkakan kelembapan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2022 daripada 4% kepada 2.8% akibat sekatan ekonomi ke atas Rusia. Disamping itu, unjuran kadar faedahnya juga telah diubah. Sebelum ini kadarnya dijangka akan mencecah nilai antara 0.75-1.00% menjelang akhir tahun. Sekarang nilai tersebut telah dinaikkan kepada 1.75-2.00%. Memandangkan hanya tinggal enam kali mesyuarat yang akan diadakan, pihak FOMC (Federal Open Market Committee) dilihat perlu menaikkan kadarnya sebanyak 0.25% setiap kali mereka bermesyuarat.

    Namun bukan itu saja yang berubah. Unjuran bagi tahun berakhir 2023 juga dinaikkan daripada 1.50-1.7% kepada 2.75-3.00%. Disamping itu, nampaknya kita akan berhadapan dengan beberapa lagi sekatan kewangan yang akan dikenakan pada tahun 2024. Oleh itu, ini bukan saja unjuran yang disemak semula, tetapi pengetatan polisi kewangan AS yang mampu memberi kesan serius terhadap pasaran buruh dan mendorong kepada berlakunya kegawatan ekonomi berskala besar.

    Dalam situasi seperti itu, nilai dolar akan terus mengalami pertumbuhan, manakala kadar indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq pula akan menyusut dengan mendadak. Namun yang berlaku adalah bertentangan semuanya: indeks DXY dolar menyusut dengan mendadak, manakala kadar indeks saham melonjak naik.

    Seperti yang telah dinyatakan, tiada sebarang penjelasan logik berkenaan hal ini. Sesetengah orang percaya punca semua ini berlaku adalah kadar faedah hanya dinaikkan sebanyak 0.25%, dan bukannya 0.5%. Mengikut khabar angin yang lain, puncanya adalah disebabkan oleh pihak penggubal tidak menjelaskan rancangan mereka berkaitan dengan penyata imbang Rizab Persekutuan. Ada yang berfikiran faktor tamak mungkin berhasil. Para spekulator teringat betapa cepatnya kadar indeks pulih setelah ia mengalami kejutan ketika pandemik bermula dan perkara sama mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Justeru sekarang adalah masa yang sesuai untuk membeli saham AS sementara nilainya masih rendah setelah menyusut selama 10 minggu.

    Logik mula kembali ke pasaran di akhir minggu dagangan. Nilai dolar mula naik semula, manakala kedudukan pasangan EUR/USD menurun, berakhir pada paras 1.1050. Untuk minggu hadapan, pendapat penganalisis adalah seperti berikut: 45% daripada mereka menyokong pertumbuhan pasangan ini, 35% lagi bersetuju dengan penurunan, dan baki 20% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, gambarannya bercampur-campur: 30% daripadanya berwarna merah, 30% lagi berwarna hijau dan baki 40% pula berwarna kelabu neutral. Indikator trend lebih memihak kepada warna merah: jumlahnya adalah 65% berbanding 35% yang bersetuju dengan warna hijau.

    Sasaran terdekat bear adalah untuk menembusi paras sokongan pada 1.1000, kemudian 1.0900. Jika berjaya, kita boleh jangkakan ia menguji paras terendah yang dicapai pada 7 Mac lalu iaitu 1.0805. Ia diikuti pula dengan paras terendah tahun 2020 iaitu 1.0635 serta paras terendah tahun 2016 iaitu 1.0325. Sasaran paling strategik adalah untuk mencapai kesetaraan pada paras 1.0000.

    Sasaran terdekat bull adalah untuk melepasi zon rintangan di sekitar 1.1100-1.1135. Kemudian zon di antara 1.1280-1.1390 dan paras tertinggi pada 13 Januari serta 10 Februari lalu iaitu 1.1485.

    Untuk minggu hadapan, terdapat beberapa data makro yang boleh kita jangkakan. Hari Khamis, 24 Mac boleh dianggap penting dalam kalendar ekonomi mingguan apabila data aktiviti perniagaan di Jerman dan juga Eurozone akan dikeluarkan. Jumlah bagi pesanan barangan modal serta barangan tahan lama di AS juga akan diketahui pada hari yang sama.

GBP/USD: Bank of England Selangkah Di Hadapan Rizab Persekutuan

  • Reaksi pelik pasaran terhadap mesyuarat Rizab Persekutuan juga telah membantu pound. Statistik positif daripada pasaran buruh kebangsaan juga berpihak kepada mata wang British. Kadar pengangguran yang diunjur sebanyak 4.0% sebenarnya menyusut daripada 4.1% kepada 3.9% pada bulan Januari, manakala bilangan permohonan manfaat pengangguran untuk bulan Februari berkurang sebanyak 48.1K (31.9K pada bulan sebelumnya). Purata gaji meningkat daripada 3.7% kepada 3.8%. Mengambil kira pembayaran bonus, kadar pertumbuhannya adalah sebanyak 4.8%, juga lebih baik berbanding yang diunjur sebanyak 4.6%. Semua ini membolehkan Bank of England sekali lagi berada selangkah di hadapan Rizab Persekutuan AS serta menaikkan kadar faedah mereka daripada 0.50% kepada 0.75% semasa bermesyuarat pada hari Khamis, 17 Mac.

    Pihak penggubal dasar United Kingdom itu berkemungkinan besar akan terus mengetatkan polisi kewangan mereka serta menaikkan kadar pembiayaan semula pada mesyuarat akan datang, sebulan setengah dari sekarang. Unjuran kadar inflasi yang baru turut akan memaksa ia dilakukan. Tidak seperti rakan sejawat mereka dari AS dan Kesatuan Eropah, Bank of England menjangkakan kadarnya akan mencecah 7.25% untuk bulan April. Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk kembali kepada sasaran mereka iaitu 2.0% dalam situasi seperti ini.

    Hasil mesyuarat Bank of England pada mulanya telah mengakibatkan pelabur memberikan reaksi paradoks sama seperti yang berlaku kepada Rizab Persekutuan AS. Paras pasangan GBP/USD turun daripada 1.3210 kepada 1.3087 dalam menjangkakan kenaikan kadar yang aktif dan bukannya bertumbuh. Walau bagaimanapun, kemudian, seperti yang berlaku kepada euro, pasaran mengubah pendirian mereka, dan pasangan ini mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.3175.

    Ramalan penganalisis untuk pasangan GBP/USD pada minggu hadapan adalah seperti berikut: 50% menjangkakan pertumbuhan, 40% lagi memilih penurunan berterusan, dan baki 10% pula mengambil pendirian neutral semasa ulasan ini dibuat. Bagi indikator trend, 65% daripadanya berpihak kepada bear, 35% lagi berpihak kepada bull.

    Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.3080-1.3100, kemudian paras terendah minggu lalu (kedudukan sama antara 2021-2022) - 1.3000, diikuti dengan paras sokongan untuk tahun 2020. Rintangan berada pada paras di antara 1.3185-1.3210, kemudian 1.3270-1.3325, 1.3400, 1.3485, 1.3600, 1.3640.

    Untuk berita minggu hadapan, perhatian boleh diberikan kepada data dari pasaran pengguna UK yang akan diketahui pada hari Rabu, 23 Mac. Data PMI (Markit) bagi sektor perkhidmatan negara tersebut akan dikeluarkan keesokan harinya, Khamis, 24 Mac, dan dijangka akan naik daripada 60.5 kepada 60.7 untuk keseluruhan bulan.

USD/JPY: Nilai Yen Paling Rendah Dalam Tempoh Enam Tahun

  • Tajuk bagi ulasan USD/JPY sebelum ini menyebut “pasaran telah memilih dolar”. Minggu lalu telah mengesahkan kesimpulan yang dibuat. Walaupun pada hakikatnya nilai mata wang AS jatuh berbanding euro dan pound, kadarnya terus mengalami pertumbuhan berbanding yen. Paras tertinggi mingguannya berada pada paras 119.40, manakala kedudukan terakhirnya adalah sedikit rendah, pada paras 119.15. Sudah terlalu lama pasangan USD/JPY tidak didagangkan dengan kadar setinggi ini, kali terakhir ia berlaku adalah antara tahun 2016/2017.

    Bank of Japan menjadi puncanya, mereka enggan mengubah polisi kewangan yang terlalu longgar. Pendirian penggubal dasar Jepun itu sangat-sangat berbeza daripada pendirian yang diambil oleh pihak Rizab Persekutuan, Bank of England, malah ECB. Namun, perlu diakui, ada beberapa sebab mengapa mereka mengekalkannya. Kadar inflasi di negara itu hanya berjumlah 0.9% untuk bulan Februari berbanding 0.5% pada bulan Januari secara tahunan. Walaupun kadar itu adalah yang tertinggi sejak April 2019, indikator ini tidak begitu penting jika dibandingkan dengan kadar inflasi di UK ataupun di AS yang mencecah 7.9%, tertinggi sepanjang 39 tahun lalu.

    Walaupun pihak Bank Pusat Jepun telah membuat pengumuman mengenai tekanan inflasi yang dijangka akan meningkat akibat kenaikan harga bahan api dan komoditi, mereka masih mengekalkan kadar faedahnya pada paras negatif, iaitu negatif 0.1%, dan menyasarkan hasil bon kerajaan selama sepuluh tahun hampir kepada sifar.

    Bagi ramalan pula, 70% penganalisis percaya bahawa inilah masanya untuk pasangan ini turun, 20% berpendapat sebaliknya, dan 10% lagi hanya berdiam diri. Dalam kalangan indikator pada D1, hampir keseluruhannya sebulat suara menyatakan pendapat setelah mengalami pertumbuhan menakjubkan seperti itu. 100% indikator trend dan pengayun bersetuju dengan pertumbuhan, walaupun 35% daripada pengayun sudahpun berada di zon lebihan belian.

    Pasangan ini menembusi kesemua paras rintangan dengan mudah seminggu lalu, dan sekarang seseorang itu mungkin boleh memfokuskan nilai dengan penambahan/pengurangan antara 15-20 mata untuk minggu hadapan. Zon paling hampir berada di antara 119.80-120.20. Sokongan berada pada paras dan zon 119.00, 118.00-118.35, 117.70, 116.75, 115.80-116.15.

    Data inflasi di Tokyo yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Mac adalah antara statistik makro mingguan yang perlu diberi perhatian. Mengikut unjurannya, indeks utama harga pengguna di ibu kota negara berkenaan mungkin akan turun daripada 0.5% kepada 0.4%. Laporan mengenai mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan penggubal dasar Jepun akan dikeluarkan sehari sebelumnya. Namun, semua keputusan yang diambil sudahpun diketahui, jadi tiada sebarang kejutan yang dijangka boleh diambil daripada dokumen ini.

MATA WANG KRIPTO: Bitcoin Akan Diselamatkan oleh Pemilik Kecil

  • Jadi, ucapan oleh Jerome Powell semasa berakhirnya mesyuarat Rizab Persekutuan telah mengembalikan minat para pelabur terhadap pasaran saham, menjadi pendorong utama bagi kadar pertumbuhan terbaik indeks S&P500 sejak April 2020. Kadar kedua-dua indeks Dow Jones serta Nasdaq juga naik. Kami bukan ingin mengatakan pertambahan selera risiko seperti itu memberi banyak bantuan kepada mata wang kripto, tetapi setidak-tidaknya ia menghalang penyusutan berterusan nilainya. Bull BTC/USD sekali lagi cuba untuk berada di atas paras $40,000, manakala rakannya iaitu ETH/USD pula cuba untuk naik hampir pada nilai $3,000.

    Bitcoin didagangkan di zon $41,650 semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 18 Mac. Jumlah keseluruhan modal pasarannya naik daripada $1.740 trilion kepada $1.880 trilion sepanjang minggu. Manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto kekal berada di zon Extreme Fear, naik sedikit daripada 22 mata kepada 25 mata.

    Mungkin, pertumbuhan kadar indeks saham AS juga boleh dianggap sebagai berita baik buat pasaran digital. Satu lagi berita baik datang dari seberang lautan Atlantik, dari benua Eropah. Jawatankuasa Ekonomi dan Hal Ehwal Kewangan Parlimen Kesatuan Eropah (Committee on Economic and Monetary Affairs atau ECON) telah meluluskan undang-undang bagi mengawal selia mata wang kripto. “Berita baik untuk sektor kripto! Parlimen EU telah membuka jalan untuk mengawal selia mata wang kripto secara berinovatif yang akan menetapkan standard di seluruh dunia,” jelas salah seorang penggubal undang-undang itu. Satu lagi perkara positif adalah dokumen berkenaan tidak memasukkan pindaan ke atas pengharaman penghasilan berdasarkan algoritma Proof-of-Work yang dipersetujui, salah satu cara de facto bagi mengharamkan bitcoin.

    Keputusan pihak Parlimen Kesatuan Eropah itu dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden AS iaitu Joe Biden menandatangani arahan eksekutif terhadap perkara yang sama. Jika diingat dokumen tersebut mengarahkan agensi-agensi persekutuan mengkaji kesan mata wang kripto terhadap keselamatan serta ekonomi negara itu sebelum berakhirnya tahun ini, dan menggariskan perubahan yang perlu dibuat ke atas undang-undang sedia ada. Secara khususnya, perintah itu mengandaikan penyelarasan tugas antara pihak SEC (Securities and Exchange Commission) dan CFTC (Commodity Futures Trading Commission), serta penetapan peranan agensi-agensi kerajaan - daripada Jabatan Negeri sehinggalah Jabatan Perdagangan.

    Menurut sebilangan penganalisis, kejadian di Ukraine telah menggesa pihak White House dan juga Parlimen EU untuk mengambil keputusan berkenaan. Lebih tepat lagi, mereka takut dengan sesetengah organisasi atau individu yang mungkin menggunakan aset digital bagi mengelak daripada sekatan yang dikenakan ke atas Rusia. Tidak syak lagi percubaan seperti itu pernah dibuat.

    Jadi, minggu lalu kita mendapat tahu sebahagian besar pelabur dari Rusia telah menyimpan rizab mata wang kripto mereka di bursa Swiss dengan mengharapkan sifat berkecuali negara berkenaan. Walau bagaimanapun, tanpa disangka-sangka Switzerland mengumumkan penyertaan mereka dalam sekatan yang dikenakan Eropah. Kini, golongan oligarki Rusia sedang cuba menyelamatkan aset mereka. Sebagai contoh, pihak Reuters melaporkan sebuah syarikat mata wang kripto (tidak menyebut namanya) mendapat arahan daripada broker di Swiss untuk menjual bitcoin sebanyak 125,000 yang bernilai kira-kira $5 bilion, dan menukarkannya ke dalam wang tunai.

    Syarikat analisis Elliptic berkata mereka telah menyerahkan maklumat mengenai walet digital yang didakwa berkait dengan golongan pegawai serta oligarki Rusia kepada pihak berkuasa AS, lapor Bloomberg. Dalam menyokong rejim sekatan ke atas Rusia, para pekerja Elliptic telah mengenal pasti lebih daripada 400 penyedia perkhidmatan aset virtual (kebanyakannya bursa) yang menjual mata wang kripto dalam rubles (menurut penganalisisnya, perolehan platform-platform berkenaan berlipat ganda dalam masa seminggu). Disamping itu, para penganalisis syarikat tersebut juga telah mengenal pasti ratusan ribu walet kripto yang dikaitkan dengan individu serta entiti sah yang mendapat kebenaran.

    Mengikut sebilangan penganalisis, dengan berlatarbelakangkan situasi geopolitik yang tegang serta polisi kewangan Rizab Persekutuan yang akan diperketatkan nanti, bitcoin mungkin akan kembali mengikuti trend bearish. Christopher Yates selaku editor AcheronInsights menjangkakan kadar BTC/USD akan turun ke paras $30,000. Penganalisis terkenal Willy Woo juga berkongsi rasa takut yang sama. Pengiraan beliau menunjukkan tiada penurunan yang diperlukan dalam pengiraan kos relatif. Beliau berpendapat, perkara ini menunjukkan “tiada ruang untuk turun sekali lagi."

    Selain daripada pertambahan selera risiko para pelabur, bitcoin mengekalkan aktiviti pembeli-pembeli kecil dengan jumlah walet kurang daripada 10 BTC daripada jatuh: mereka menambah jumlah pembelian dengan harapan paras terendah mingguan akan terbentuk. Jadi, perkhidmatan SMM oleh CoinMarketCap telah menjalankan kaji selidik dalam kalangan pelanggan mereka, keputusannya adalah 4 daripada 5 pengguna menyatakan keyakinan mereka harga BTC akan naik sehingga hampir kepada $50,000 menjelang akhir bulan Mac ini.

    Menurut penganalisis dari IntoTheBlock, bilangan pemilik mata wang kripto terunggul itu kini telah mencecah jumlah tertingginya: 39.79 alamat unik. Kira-kira 888 ribu orang pemilik BTC baru telah menyertai rangkaian berkenaan sejak awal tahun ini. Dalam masa yang sama, menurut Finbold, kadar pertumbuhan yang agak serius dilihat berlaku dalam kalangan pelabur kecil yang memiliki kurang daripada 1 BTC dalam baki mereka. Bagi jerung pula (miliki antara 1000 dan 10,000 BTC), mereka tidak banyak menambah simpanannya. Menurut para penganalisis, perkara ini mencadangkan bahawa pertumbuhan serius dalam tempoh sederhana tidak mungkin akan berlaku.

    Pengasas bersama Apple iaitu Steve Wozniak lebih bersikap optimis mengenai prospek mata wang kripto terunggul itu; beliau percaya nilai bitcoin akan naik sehingga $100,000. Menurut beliau, BTC adalah “keajaiban matematik paling menakjubkan” yang melangkaui emas disebabkan oleh keterbatasan jumlahnya dari segi digital yang disahkan.

    Tokoh berpengaruh dalam dunia kripto yang lain juga percaya bahawa nilai coin itu boleh mencecah paras tertinggi yang baru. CEO Bitbull iaitu Joe DiPasquale adalah salah seorang penyokong terbesar mata wang kripto. Walaupun nilai bitcoin menyusut sejak bulan November, beliau percaya aset digital masih berada di landasan betul untuk mencecah paras $100,000 yang ditunggu-tunggu.

    CEO Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz menjangkakan nilainya adalah lima kali lebih tinggi dalam ucapannya bersama Bloomberg TV. Beliau sekali lagi mengesahkan ramalannya, iaitu nilai tertinggi mata wang kripto paling besar itu boleh mencecah sehingga $500,000 dalam masa lima tahun. Pertumbuhan itu akan berjalan dengan lancar, bukan secara agresif.

    Hartawan tersebut telah menjangkakan dengan tepat pasaran mata wang kripto akan mengalami kebantutan pada permulaan tahun 2022. Menurut beliau, lonjakan bitcoin yang berlaku pada tahun 2021 telah didorong oleh perasaan takut pihak Rizab Persekutuan akan “terus mencetak wang”. Kini, setelah pihak Rizab Persekutuan menamatkan program rangsangan mereka, mata wang kripto terbesar itu berada di tengah-tengah trend bearish.

    CEO bank kripto Abra iaitu Bill Barhydt menyatakan prospek yang tidak kurang hebatnya mengenai ethereum. Beliau percaya bahawa penurunan jumlah fi yang berterusan dalam rangkaian ethereum boleh menjadi pendorong kepada pertumbuhan kadar aset tersebut ke zon di antara $30,000-40,000. Pada waktu ini, rangkaian ethereum menjadi salah satu rangkaian paling dicari-cari dalam industri kerana penggunaannya dalam bidang token tidak terpiawai (non-fungible token atau NFT), kewangan disentralisasi DeFi, permainan, dll. Bilangan pemilik ethereum akan bertambah dengan pelancaran Ethereum 2.0 dan juga pelancaran staking yang semakin hampir.

    Walau bagaimanapun, Bill Barhydt tidak mengecualikan kemungkinan sejumlah kecil ETH akan dijual dalam bulan Jun atau Julai. Menurut beliau, proses pembetulan ini telah dijangka sepenuhnya disebabkan oleh pertumbuhan kadar mata wang kripto.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.