EUR/USD: Keadaan Huru-Hara dan Paradoks Yang Mengusutkan
- Judul bagi ulasan EUR/USD sebelum ini menimbulkan persoalan adakah pasaran sudah menjadi semakin gila. Ramai penganalisis setuju bahawa pasaran kewangan setidak-tidaknya bertindak di luar jangkaan selepas mesyuarat Rizab Persekutuan untuk bulan Mac. Kebanyakan daripada mereka mengatakan ia langsung tidak masuk akal.
Walaupun dengan pengetatan polisi kewangan oleh penggubal dasar AS, walaupun terdapat kemungkinan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di AS disebabkan keputusan pihak Rizab Persekutuan serta sekatan anti Rusia, walaupun situasi epidemiologi yang semakin teruk di China, kadar indeks saham tetap bertumbuh. Perkara ini berlaku lebih ketara pada indeks S&P500 yang mengalami pertumbuhan hampir 10% sejak 15 Mac lalu, dan pertumbuhan itu naik dua kali ganda dalam tempoh dua tahun sejak bermulanya pandemik COVID-19 (lebih tepat lagi, naik 108%).
Agak sukar untuk menjelaskan apa yang telah berlaku. Penjelasan klasik yang paling boleh diterima akal adalah pertumbuhan pasaran yang disebabkan oleh harapan. Para pelabur mengenang kembali betapa cepatnya indeks saham pulih setelah mengalami kejatuhan semasa bermulanya pandemik dan mengambil keputusan perkara yang hampir sama mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Oleh itu, sekarang adalah masanya untuk membeli saham sebelum harganya melonjak ke paras tertinggi.
Bagi EUR/USD, tingkah laku pasangan ini juga tidak masuk akal. Pasaran menunggu penurunan mendadak pasangan ini akibat perbezaan polisi kewangan antara pihak Rizab Persekutuan dan ECB. Namun, yang berlaku adalah sebaliknya, pasangan ini mengalami penyatuan di sekitar paras 1.1000, memenuhi sepenuhnya ramalan neutral yang diberi para penganalisis dan juga indikator seminggu lalu.
Rupa-rupanya, para pelabur percaya bahawa kenaikan kadar faedah yang mendadak oleh pihak Rizab Persekutuan boleh mewujudkan masalah serius kepada industri di AS walaupun ia bertujuan untuk menghentikan inflasi. Namun pertumbuhan ekonomi yang baik pada Q3 dan Q4 mungkin akan berlaku di Eropah.
Presiden AS Joe Biden sebelum lawatannya ke EU pada minggu lalu berkata beliau ingin mengenakan sekatan yang baru terhadap Rusia, termasuklah embargo penuh ke atas bekalan tenaga dari Rusia. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku,dan ia memberi sokongan kepada mata wang Eropah secara amnya. Tamatnya konflik ketenteraan di Ukraine, atau setidak-tidaknya beralih daripada fasa tegang kepada keadaan yang lebih reda mampu mengukuhkan lagi nilai euro. Keadaan pasaran hutang di Jerman sebagai penggerak utama ekonomi Eropah yang lebih baik berbanding di Amerika Syarikat juga mengekalkan kedudukan pasangan EUR/USD dari jatuh.
Dalam masa yang sama, statistik makro dilihat agak bertentangan, menambah lagi kekeliruan dalam menilai keadaan semasa. Justeru, aktiviti perniagaan di eurozone menunjukkan kebantutan pada bulan ini daripada 55.5 kepada 54.5. Namun ia masih lebih baik berbanding yang diunjurkan iaitu 53.7 mata. Ia menjadi satu lagi paradoks: bagaimana ia boleh terjadi apabilla sekatan anti Rusia memberi tekanan kepada ekonomi di kedua-dua buah negara sempadan Atlantik, dan ketika harga bahan api melonjak tinggi?
Kekeliruan dan keadaan huru-hara bertambah lebih teruk setelah Presiden Putin memutuskan untuk menjual sumber tenaga dari negaranya dalam mata wang ruble. Benar, jualan itu hanya dibuat terhadap negara-negara yang bukan menjadi seteru negaranya, tetapi senarai ini turut mengandungi Amerika Syarikat serta semua negara-negara di EU, Great Britain, Jepun, Australia, New Zealand, Kanada dan juga Switzerland.
Sidang UN terhadap Dagangan dan Pembangunan telah pun menurunkan unjuran mereka bagi KDNK AS untuk tahun 2022 daripada 3.0% kepada 2.4%. Terdapat juga perubahan untuk kadar KDNK di Eurozone, dan ternyata ia lebih ketara: kadarnya dikurangkan separuh, menjadi 1.7%. Ini berlaku disebabkan oleh kedudukan geografi EU yang hampir dengan Ukraine yang sedang bergolak, dan negara-negara Eropah yang lebih banyak bergantung kepada minyak dan gas dari Rusia. Kini tiada siapa yang tahu bagaimana untuk membeli semua itu dalam ruble. Perkara ini tidak pernah berlaku dalam dunia sebenar. Justeru, berkemungkinan jualan akan dilakukan menerusi negara perantara yang menjadi pihak ketiga, sebagai contoh, dari Afrika Utara atau Timur Tengah, dan ia akan menaikkan lagi harganya.
Pasangan EUR/USD bergantung kepada paras sokongan di antara 1.0960-1.0965 sepanjang minggu lalu dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.0982. Kebanyakan penganalisis (60%) percaya bahawa pasangan ini akan cuba menembusi paras sokongan di zon 1.0900 dan menguji semula paras terendah pada 7 Mac lalu iaitu 1.0805. Kemudian, jika bernasib baik, paras terendah tahun 2020 iaitu 1.0635 dan paras terendah 2016 iaitu 1.0325 akan menyusul. Sasaran strategik adalah untuk mencapai kesetaraan pada paras 1.0000. Baki 40% lagi penganalisis menentang senario tersebut dan memilih ramalan bullish. Sasaran terdekatnya adalah untuk mengharungi zon rintangan di sekitar 1.1050. Kemudian di zon antara 1.1100-1.1135, 1.1280-1.1350 dan paras tertinggi pada 13 Januari dan 10 Februari lalu di sekitar 1.1485. Disamping itu, jika kita beralih dari ramalan mingguan kepada ramalan median bagi keseluruhan bulan April, Pivot Point bulanannya berada di sekitar paras 1.1000, paras sama yang ditunjukkan sekarang.
Dalam kalangan pengayun pada D1, gambarannya bercampur-campur: 35% daripada mereka berwarna merah, 30% berwarna hijau dan baki 35% lagi adalah kelabu neutral. Indikator trend 100% menunjukkan warna merah.
Pelbagai statistik ekonomi yang penting akan diketahui pada minggu hadapan. Nilai harmoni indeks harga pengguna di Jerman akan diketahui pada hari Rabu, 30 Mac, manakala jumlah jualan runcit di negara itu dikeluarkan pada keesokan harinya. Statistik harga pengguna secara umum di Eurozone akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 1 April. Selain daripada statistik di Eropah, data pengangguran dalam sektor swasta serta KDNK di AS akan dikeluarkan pada hari Rabu, 30 Mac, dan selain daripada data aktiviti perniagaan (ISM), secara kebiasaannya kami juga menantikan sebahagian daripada statistik dari pasaran buruh AS pada hari Jumaat, termasuklah jumlah pekerjaan baru yang ada bukan dalam sektor agrikultur (NFP).
GBP/USD: Saluran Sempit Di Tengah-Tengah Ketaktentuan
- Seperti Euro, bull dan bear GBP/USD benar-benar mengalami kerugian. Ia disebabkan oleh perkara yang sama: pertambahan pelik selera risiko para pelabur di peringkat global serta situasi yang tidak menentu berkenaan sumber tenaga. Disebabkannya, pasangan ini bergerak secara mendatar sepanjang minggu, tersekat di koridor sempit antara 1.3120-1.3220. Percubaan bull untuk berada di atas paras 1.3300 pada pertengahan minggu berakhir dengan kekalutan, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan di tengah-tengah koridor, di sekitar paras 1.3180.
Ramalan penganalisis untuk pasangan GBP/USD bagi minggu berikutnya adalah seperti berikut: 50% bersetuju dengan pertumbuhan, 25% memilih penyusutan, baki 25% lagi bersetuju dengan pergerakan mendatar. Dalam kalangan pengayun pada D1 ketika ulasan ini dibuat, 70% daripadanya menunjukkan pertumbuhan, 30% pula penurunan. Bagi indikator trend, jumlah yang hampir sama menujukkan arah bertentangan: 80% memihak kepada bear, 20% - memihak kepada bull.
Sokongan terdekat berada di sekitar 1.3150, kemudian di zon antara 1.3080-1.3100 dan selepas itu paras terendah pada 15 Mac (juga antara 2021-2022) iaitu 1.3000, diikuti dengan paras sokongan untuk tahun 2020. Rintangan berada pada paras di antara 1.329-1.3215, kemudian 1.3270-1.3325, 1.3400, 1.3485, 1.3600, 1.3640.
Bagi peristiwa berkenaan dengan ekonomi di United Kingdom, kami akan memfokuskan kepada ucapan Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Isnin, 28 Mac, serta data KDNK di UK bagi Q4 2022 yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 31 Mac.
USD/JPY: Anti Rekod Baru untuk Mata Wang Jepun
- Nilai Yen susut ke paras terendah dalam tempoh enam tahun pada minggu lalu, mencecah 119.15 JPY bagi setiap 1 USD. Rekod itu diperbaharui lagi pada minggu ini: pasangan tersebut berada di kedudukan 122.43 pada hari Jumaat, 25 Mac.
Bank of Japan perlu dipertanggungjawabkan untuk penyusutan nilai Yen yang mendadak itu kerana enggan mengubah polisi kewangan mereka yang teramat longgar. Pendirian penggubal dasar Jepun itu benar-benar bertentangan dengan rancangan serta tindakan pihak Rizab Persekutuan, Bank of England, malah pihak ECB. Mereka masih percaya bahawa penamatan polisi rangsangan sebelum tiba waktunya akan mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Memang diakui, ada beberapa sebab mengapa mereka bertindak sedemikian. Kadar inflasi di negara itu secara tahunan hanyalah berjumlah 0.9% pada bulan Februari berbanding 0.5% pada bulan Januari. Indikator ini, walaupun yang tertinggi sejak April 2019, masih lagi tidak ketara jika dibandingkan dengan kadar inflasi di UK atau di AS yang mencecah 7.9%, tertinggi dalam tempoh 39 tahun.
Pendirian dovish ini sekali lagi disuarakan semasa ketua Bank of Japan iaitu Haruhiko Kuroda memberi ucapannya pada 22 Mac, menyatakan masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan program pelonggaran kuantitatif (QE) akan ditamatkan, serta meningkatkan kadar faedah mereka. Jika diingat kadarnya sudah terlalu lama berada di paras negatif - iaitu negatif 0.1%.
Terdapat juga tiga faktor lain yang menolak nilai Yen ke bawah dan menolak pasangan USD/JPY ke atas. Pertama sekali adalah pelabur yang meninggalkan mata wang selamat dan beralih kepada aset lebih berisiko. Faktor kedua adalah retorik Pengerusi Rizab Persekutuan yang bersifat lebih hawkish. Semasa berucap di Persatuan Ekonomi dan Perniagaan Kebangsaan AS pada 21 Mac lalu, Jerome Powell berkata bank Kebangsaan AS bersedia untuk bertindak dengan lebih agresif jika perlu. Kata-kata ini mendorong pasaran untuk berfikir pihak Rizab akan menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 10-11 kali sehingga akhir tahun 2023. Berdasarkan kepada jangkaan itu, hasil bon 10 tahun kerajaan AS meningkat daripada 2.146% kepada 2.282%, mencecah nilai maksimum sejak Mei 2019. Seperti yang kita tahu, kadar tukaran mata wang Jepun secara tradisinya berkait rapat dengan sekuriti ini. Jika hasil bon sepuluh tahun Perbendaharaan terus mengalami pertumbuhan, pasangan USD/JPY juga sama. Itulah yang berlaku pada minggu lalu.
Akhir sekali, faktor ketiga adalah keputusan baris kepimpinan Rusia yang memperkenalkan kaedah bayaran bagi minyak mentah mereka dalam mata wang Ruble. “Kami tidak begitu pasti apakah niat sebenar Rusia dan bagaimana mereka akan melaksanakannya,” Shun’ichi Suzuki selaku Menteri Kewangan negara itu berkata dalam mesyuarat Parlimen Jepun pada 23 Mac lalu.
Kebanyakan penganalisis telah menunggu agar lonjakan bullish akan berakhir sejak dua minggu lalu, tetapi ia masih lagi belum berlaku. Sebaliknya, pasangan USD/JPY telah berjaya memperoleh 700 mata. Kini “majoriti” sebanyak 70-80% ini menjadi lebih “kecil” kepada 50%. Beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, jumlah mereka yang memilih perubahan arah pergerakan pasangan ini ke bawah dan turun ke paras sekurang-kurangnya di antara 117.00-118.00 masih lagi ramai dan berjumlah 85%.
Dalam kalangan indikator D1, kesepakatan sepenuhnya berjaya dicapai setelah penembusan ke atas yang kukuh seperti itu berlaku. 100% indikator trend dan pengayun menunjukkan pertumbuhan, walaupun 35% daripada pengayun sudah pun berada di zon lebihan belian.
Ramalan bullish sebelum ini menamakan zon 129.80-120.20 sebagai sasaran, dan ia tidak begitu jauh kedudukannya sekarang. Agak sukar untuk memberikan sasaran yang baru dalam situasi sekarang ini. Berkemungkinan, tumpuan boleh diberikan kepada paras bundar seterusnya dengan tindak balas turun/naik antara 15-20 mata. Pendekatan ini menjadi kenyataan pada minggu lalu apabila pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 122.08. Julat bagi zon sokongan juga menjadi lebih besar disebabkan oleh kadar turun naik yang kukuh. Zon-zon ini adalah 120.60-121.40, 119.00-119.40, 118.00-118.35.
Hari Jumaat, 1 April boleh ditanda dalam kalendar ekonomi untuk minggu depan kerana Bank of Japan akan mengeluarkan kadar Indeks Pengeluar Terbesar Tankan. Indikator ini agak penting kerana ia menggambarkan keadaan umum perniagaan bagi syarikat industri besar yang berorientasikan eksport di negara berkenaan.
MATA WANG KRIPTO: Menjangkakan Lonjakan Bull
- Selera risiko para pelabur yang menyebabkan pertumbuhan kadar indeks saham telah menyeret pasaran kripto bersama-samanya. Nilai bitcoin mencecah paras rintangan yang kukuh iaitu $45,000 pada petang Jumaat, 25 Mac untuk kali kelima sejak awal tahun ini. Persoalan sama ada ia mampu untuk kekal di atas paras itu masih lagi terbuka. Percubaan sebanyak empat kali sebelum ini gagal; pasangan BTC/USD turun ke bawah. Walau bagaimanapun, bentuk baji yang terhasil semakin jelas kelihatan pada carta, dan setiap pengundurannya menjadi semakin kecil dan lebih kecil. Jadi nilai mata wang kripto utama itu susut kepada $32,945 pada 24 Januari, naik menjadi $34,415 sebulan kemudian, dan mencecah $37,170 iaitu nilai terendah mingguannya pada 7 Mac.
Jumlah keseluruhan modal pasarannya naik kepada $2,280 trilion semasa nilainya berada di kemuncak pada 25 Mac, tetapi ia juga gagal untuk berada di atas paras penting, dan ia didagangkan dengan jumlah $1.995 trilion ($1.880 trilion seminggu lalu) semasa ulasan ini dibuat. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto akhirnya beralih dari zon Extreme Fear ke bahagian tengah skala, naik daripada 25 mata kepada 47 mata.
Pengasas Ethereum iaitu Vitalik Buterin mengutuk serangan Rusia ke atas Ukraine dalam temubualnya bersama majalah Time. Dalam masa yang sama, beliau berpendapat, kejadian ini mengingatkan komuniti kripto bahawa tujuan sebenar aset digital dihasilkan adalah untuk memberi faedah sebenar kepada orang ramai, dan mata wang kripto boleh mengimbangi kerajaan autoritarian serta melemahkan “kawalan melemaskan” syarikat gergasi teknologi.
Arthur Hayes, pengasas bersama bursa mata wang kripto BitMEX bersetuju dengan Buterin, beliau percaya disebabkan oleh sekatan anti Rusia, bitcoin akan mendapat kelebihan berbanding dolar AS, malah mungkin emas juga. Pada pandangan beliau, sekatan ke atas Rusia dan negara-negara lain hanya menggalakkan lagi para penduduknya untuk melabur dalam emas dan bitcoin, bukan menyimpan dolar. Hayes menjelaskan dalam keadaan ekonomi yang sukar, rakyat lebih yakin pada aset dengan bekalan atau tawaran yang terhad, menganggapnya kaedah yang lebih selamat untuk menyimpan wang.
Pengasas bersama BitMEX itu percaya Rusia yang memutuskan sambungannya dengan sistem bayaran antarabangsa SWIFT, iaitu mengasingkan salah satu peneraju bekalan bahan api, mungkin akan memberi kesan negatif terhadap sistem kewangan global dalam jangka panjang. Emas akan menjadi aset dominan buat sementara waktu kerana ia akan diguna dalam dagangan produk makanan serta bahan api antarabangsa. Selepas beberapa ketika, bank-bank pusat akan mula menyimpan logam berharga itu, menyukarkan untuk menggunakannya sebagai kaedah bayaran. Hal ini akan mendorong kepada penyebaran mata wang kripto secara berleluasa.
Mata wang kripto perlu patuh kepada undang-undang yang jelas untuk menjadi benar-benar popular. Ini adalah pendapat Matt Hougan, pengarah pelaburan di Bitwise Asset Management. Beliau percaya keadaan yang ada sekarang dalam sejarah industri digital akan membuka jalan kepada pertumbuhan nilainya yang akan berlaku dalam tahun ini dan berterusan pada tahun depan.
Menurut pengurus terkenal Bitwise itu, salah satu langkah perundangan yang penting adalah arahan Presiden AS Joe Biden baru-baru ini yang boleh mendorong kepada kenaikan harga bitcoin. Jika diingat dokumen tersebut mengarahkan agensi-agensi persekutuan mengkaji kesan mata wang kripto terhadap keselamatan serta ekonomi negara itu sebelum berakhirnya tahun ini, dan menggariskan perubahan yang perlu dibuat ke atas undang-undang sedia ada. Secara khususnya, perintah itu mengandaikan penyelarasan tugas antara pihak SEC (Securities and Exchange Commission) dan CFTC (Commodity Futures Trading Commission), serta penetapan peranan agensi-agensi kerajaan - daripada Jabatan Negeri sehinggalah Jabatan Perdagangan.
Pakar strategi Bank of America, Alkesh Shah juga percaya undang-undang terhadap pasaran kripto akan menambah keyakinan serta meningkatkan modal pasarannya kepada jumlah tertinggi. “Pada akhirnya kita mahukan sedikit tadbir urus dan saling mempercayai, tetapi pihak penggubal dasar mahu terus mengharamkannya jika sesuatu yang teruk berlaku,” jelas penganalisis itu. Justeru, pada pandangan beliau, satu sistem separa berpusat adalah yang paling optimum: blockchain yang diurus secara rahsia oleh organisasi berpusat. “Saya merasakan jumlah $30 trilion bagi sebahagian daripada ekosistem mata wang kripto separa berpusat adalah modal yang agak hebat,” Shah membuat kesimpulannya.
Jika bercakap tentang masa terdekat ini, syarikat analisis Glassnode menjangkakan bitcoin akan mencapai nilai tertingginya iaitu $69,000 sekali lagi. Coin itu telah didagangkan di bawah paras Simple Moving Average (SMA) sepanjang 200 hari selama 9 minggu tetapi kedudukannya terus meningkat. Situasi yang hampir sama diperhatikan sepanjang tempoh pengumpulannya pada tahun 2021 yang membuka jalan untuk lonjakan harga pada suku keempat, semasa nilai tertinggi dalam sejarahnya dicapai. Data Glassnode juga menunjukkan pemilik jangka masa panjang masih lagi kekal berpegang pada bitcoin dan jumlah bitcoin di bursa semakin berkurangan. Penganalisis di syarikat itu mentafsir data ini sebagai pengakhiran kepada tempoh pembetulan ke bawah.
Menurut sesetengah penganalisis, sekarang keadaan ethereum sedikit lebih baik berbanding bitcoin kerana kebanyakan pelabur kini membeli ETH menggunakan BTC. Disamping itu, komuniti juga sedang menunggu kemas kini terhadap rangkaian utama ethereum yang ditunggu-tunggu. Pelancaran kemas kini Merge semakin hampir disebabkan kejayaan fasa ujian pada rangkaian testnet. Sebelum pelancarannya, lebih daripada $5.0 bilion dalam bentuk token ETH sudah pun dikeluarkan daripada edaran hasil daripada pelupusannya. Disebabkan oleh pelupusan mengurangkan jumlah bekalan ethereum, ia akan memberi kesan positif kepada nilainya, mendorong kepada lonjakan nilai altcoin.
Penganalisis di FXStreet mencadangkan harganya mampu naik sebanyak 20% jika melihat pada trend ke atas semasa. Namun untuk kenaikan ini berlaku, pasangan ETH/USD perlu berada di atas paras $3,033 dengan kukuh yang boleh mendorong penembusan sempurna bullish buat pertama kalinya sejak bulan Oktober 2021.
Kumpulan Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali