EUR/USD: Ketaktentuan yang Melampau
- Pergerakan mata wang-mata wang utama untuk bulan Mac telah dipengaruhi oleh laporan dari sempadan Rusia-Ukraine, perang sekatan tenaga dengan Rusia, serta kadar pengetatan polisi kewangan. Nilai dolar AS telah mengukuh dengan mendadak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh peningkatan hasil bon kerajaan AS dan juga jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan akan dinaikkan. Paras pasangan EUR/USD susut kepada 1.0805 pada 7 Mac, kedudukan paling rendah sejak pertengahan Mei 2020. Walau bagaimanapun, pertumbuhan nilai dolar itu terhenti, dan pasangan ini bergerak secara mendatar di sepanjang Pivot Point 1.1000. Kenyataan bersifat hawkish oleh pihak pengurusan Rizab Persekutuan telah menolak pasangan ini ke bawah, harapan konflik ketenteraan antara Rusia dan Ukraine dapat diselesaikan menolak pasangan ini di atas garis itut.
Faktor yang sama juga menentukan dinamik pergerakan EUR/USD pada minggu lalu. Pasangan ini naik sebanyak 240 mata dari hari Isnin, 28 Mac sehingga hari Khamis, 31 Mac: daripada 1.0944 kepada 1.1184. Pertama sekali, pengukuhan nilai euro telah disebabkan oleh laporan media AS yang menyebut pihak ECB mungkin akan menaikkan kadar pembiayaan semula mereka dengan aktif pada tahun ini. Kononnya, sejumlah kecil pelabur pasaran utama mahu penggubal dasar Kesatuan Eropah menaikkan kadarnya sebanyak empat kali menjelang hujung tahun 2022. Disebabkan itu, para pelabur mula memasukkan kemungkinan pihak ECB akan mengambil langkah tersebut ke dalam sebut harganya, dan hasil bon kerajaan di Eropah bertambah.
Keesokan harinya, 29 Mac, harapan menjelma dalam rundingan damai antara Rusia dan Ukraine yang diadakan di Istanbul (Turki). Kejayaan perang bahan api oleh EU terhadap Rusia juga membantu mata wang Eropah. Presiden Rusia Vladimir Putin telah menandatangani satu dekri bagi jualan bahan api di Eropah dalam mata wang ruble saja seminggu lalu. Matlamatnya sangat jelas: bagi menyokong kadar tukaran ruble di bawah sekatan yang dikenakan. Namun pengguna utama di Eropah enggan melakukannya secara kategori, dan ketua negara Rusia itu terpaksa maklum dengan keputusan berkenaan.
Segalanya nampak elok buat euro, tetapi menjelang hujung minggu khabar angin berkenaan kenaikan kadar EUR pada tahun 2022 rupa-rupanya tidak lebih daripada spekulasi, dan tiada perkembangan serius dalam rundingan di Istanbul. Statistik makroekonomi juga sedikit sebanyak membantu dolar. Akibatnya, pertumbuhan kadar pasangan EUR/USD terhenti, berubah ke bawah dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.1045, tidak jauh dari Pivot Point 1.1000.
Permusuhan di Ukraine masih belum jelas lagi pengakhirannya. Situasi mengenai bekalan dan kaedah bayaran sumber hidrokarbon mentah di Eropah juga masih mengelirukan. Harga minyak susut kira-kira 14% sejak 24 Mac. Begitulah reaksi pasaran terhadap rancangan Presiden Joe Biden untuk menjual minyak tambahan dari rizab negaranya. White House mahu menjual sehingga 1 juta tong minyak setiap hari dalam tempoh enam bulan akan datang. Ini mungkin adalah jualan terbesar dalam sejarah Rizab Strategik Petroleum AS untuk hampir 50 tahun. Perlu maklum di sini bahawa walaupun dalam jumlah yang kecil, buat masa ini jualan minyak memberi lebih banyak keuntungan kepada Rusia berbanding gas. Keputusan Amerika Syarikat seperti itu seharusnya dapat mengurangkan kebergantungan Eropah terhadap pembawa tenaga Rusia, ia akan memburukkan lagi ekonomi di Rusia.
Satu lagi ketaktentuan wujud daripada pihak Rizab Persekutuan. Jika diingat baru-baru ini unjuran kadar KDNK di AS telah dinilai semula. Unjuran itu menunjukkan penggubal dasar menjangkakan kelembapan pertumbuhan ekonomi daripada 4% kepada 2.8% pada tahun 2022 akibat sekatan yang dikenakan ke atas Rusia. Disamping itu, unjuran bagi kadar faedahnya juga berubah. Sebelum ini kenaikannya dikatakan akan mencecah antara 0.75-1.00% menjelang akhir tahun. Kadarnya sekarang dinaikkan kepada 1.75-2.00%. Memandangkan hanya tinggal enam kali untuk mereka bermesyuarat pada tahun ini, nampaknya pihak FOMC (Federal Open Market Committee) akan menaikkan kadarnya sebanyak 0.25% setiap kali bermesyuarat.
Namun bukan itu saja. Unjuran bagi kenaikan kadar menjelang akhir tahun 2023 juga telah dinaikkan daripada 1.50-1.75% kepada 2.75-3.00%. Tambahan pula, kelihatannya kita akan berdepan dengan beberapa lagi sekatan kewangan pada tahun 2024. Oleh itu, ini bukan sekadar semakan semula unjuran, tetapi pengetatan mendadak polisi kewangan di AS yang mampu memberi kesan teruk kepada pasaran buruh dan mendorong kepada berlakunya kemelesetan berskala besar. Pasaran mungkin akan menerima isyarat penting mengenai pergerakan masa hadapan dolar pada hari Rabu, 6 April. Minit mesyuarat FOMC bagi bulan Mac akan diketahui pada hari tersebut.
Buat masa ini, 50% penganalisis bersetuju dengan pengukuhan nilai dolar. 40% lagi bersetuju dengan pertumbuhan kadar pasangan EUR/USD dan baki 10% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, gambarannya bercampur-campur: 30% daripada mereka berwarna merah, 20% berwarna hijau dan baki 35% lagi adalah kelabu neutral. Warna merah memiliki kelebihan pada indikator trend: jumlahnya adalah 85% berbanding 15% yang berwarna hijau.
Sasaran terdekat bull adalah menembusi zon rintangan di sekitar 1.1100-1.1135, diikuti dengan zon 1.1185-1.1280 dan paras tertinggi pada 13 Januari dan 10 Februari lalu di sekitar 1.1485. Bagi bear, sudah pastinya mereka ingin menembusi paras sokongan di antara 1.0950-1.1000 dan turun 100 mata lebih rendah. Jika berjaya, sasaran berikutnya adalah paras terendah pada 7 Mac lalu iaitu 1.0805 serta paras terendah 2020 pada kedudukan 1.0635 dan paras terendah 2016 iaitu 1.0325.
Selain daripada penerbitan minit mesyuarat FOMC, agak sedikit peristiwa ekonomi yang akan berlaku pada minggu depan. Kami ingin tumpukan kepada data ISM PMI dalam sektor perkhidmatan di AS yang akan diketahui pada hari Selasa, 5 April, serta data jualan runcit di Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 7 April.
GBP/USD: Trend Mendatar, di sepanjang 1.3100
- Statistik dari United Kingdom pada minggu lalu rupa-rupanya agak bertentangan. Mengikut data yang dikeluarkan pada hari Khamis, 31 Mac, ekonomi British mengalami pertumbuhan sebanyak 1.3% pada Q4 2021, kadar yang lebih tinggi berbanding suku sebelum ini iaitu 1.0% dan yang diunjurkan iaitu 1.0%. Ekonominya bertumbuh sebanyak 7.5% sepanjang tahun lalu, pertumbuhan tertinggi sejak tahun 1941. Namun penyusutan kadar KDNK yang susut 9.4% pada tahun 2020 perlu diambil kira di sini. Maka, keadaan ekonomi di negara tersebut masih belum pulih sepenuhnya seperti sebelum bermulanya pandemik. Selain itu, data berkenaan akaun semasa negara tersebut untuk Q4 2021 adalah berjumlah 7.3 bilion pound berbanding yang diunjur sebanyak 17.6 bilion serta jumlah sebelum ini iaitu 28.9 billion.
Aktiviti dalam sektor pembuatan di UK juga lebih rendah berbanding jangkaan, seperti yang disahkan oleh laporan IHS Markit pada hari Jumaat, 1 April. Bacaan data Purchasing Managers’ Index (PMI) adalah pada 55.2 untuk bulan Mac berbanding 55.5 seperti yang diunjur.
Seperti yang berlaku kepada euro dan atas sebab yang sama, para pelabur dan pedagang GBP/USD mengalami kerugian. Hasilnya, pasangan ini bergerak secara mendatar di sepanjang paras 1.3100 dalam koridor sempit sepanjang minggu lalu. Paras terendah mingguan berada di kedudukan 1.3050, paras tertingginya ialah 1.3182, dan paras terakhirnya adalah 1.3112.
Memberikan unjuran untuk minggu hadapan, 55% penganalisis berpihak dengan bull, 35% menyokong bear manakala 10% lagi kekal neutral. Unjuran median masih menunjukkan paras 1.3100. Benar, apabila beralih kepada ramalan penuh bulan April, parasnya naik ke zon 1.3235. Kebanyakan indikator trend pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, 55% adalah berwarna merah, 20% berwarna hijau dan baki 25% lagi berwarna kelabu neutral. Seperti EUR/USD, warna merah memiliki kelebihan lebih besar untuk indikator trend: 90% daripadanya.
Sokongan terdekat berada di sekitar 1.3080-1.3100, kemudian 1.3050 dan 1.3000 - paras terendah 15 Mac lalu (juga paras terendah antara 2021-2022), diikuti oleh paras sokongan 2020. Paras rintangan adalah 1.3160, 1.3190-1.3215, kemudian 1.3270-1.3325, 1.3400, 1.3485, 1.3600, 1.3640.
Untuk peristiwa berkaitan ekonomi di United Kingdom, kami ingin tumpukan kepada ucapan Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Isnin, 4 April, data PMI Komposit dan juga Business Indeks UK bagi aktiviti perkhidmatan yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 5 April, serta data PMI untuk Pembinaan pada hari Rabu, 6 April.
USD/JPY: 125.09: Tiada Lagi Anti-Rekod?
- Mata wang yen mencipta anti-rekod setelah memecahkan anti-rekod yang lain. Kadar USD/JPY mencecah 122.43 pada hari Jumaat, 25 Mac, dan kadarnya itu 263 mata lebih tinggi pada hari Isnin, 28 Mac, di kedudukan 125.09. Punca kepada penyusutan lebih rendah mata wang Jepun ini masih lagi sama: Bank of Japan, mereka masih lagi enggan mengubah polisi kewangannya yang sangat longgar. Ketua bank itu, Haruhiko Kurodo sekali lagi menyatakan pada 22 Mac lalu bahawa masih terlalu awal untuk membincangkan tentang kemungkinan mereka menamatkan program pelonggaran kuantitatif (QE), serta menaikkan kadar faedahnya. Jika diingat kadarnya sudah terlalu lama berada di paras negatif, iaitu negatif 0.1%. Selain itu, penggubal dasar tersebut membeli bon kerajaan Jepun (JGB) secara aktif sepanjang minggu sebagai langkah terdesak untuk menghalang hasilnya daripada menembusi paras sasaran 0.25%.
Paras tertinggi minggu lalu iaitu 125.09 sudah begitu hampir dengan paras tertinggi pada tahun 2015 iaitu 125.86. Menurut pakar strategi di Credit Suisse, jika pasangan ini berjaya naik lebih tinggi, maka ia akan membuka jalan untuk berada pada kedudukan 135.20 dalam jangka masa panjang, malah mungkin naik lebih tinggi, di zon antara 147.00-153.00. Namun, mereka berpendapat, pembetulan yang mula berlaku sekarang boleh berterusan sepanjang Q2, pertama sekali ke paras 119.79, kemudian 119.09, dan pasangan ini akan didagangkan dalam julat antara 119.00-125.00 selepas itu. Credit Suisse juga percaya bahawa jika pasangan ini berjaya menembusi sokongan pada paras 119.09, maka penurunannya mungkin menjadi lebih rendah, di zon antara 116.35-116.50.
Paras tertinggi yang sama pada Q2 turut disebut-sebut oleh para penganalisis di Rabobank yang menjangkakan pertumbuhan pasangan ini di atas paras 125.00 hanya akan berlaku pada enam bulan terakhir tahun ini. Mereka percaya bahawa pengetatan polisi Rizab Persekutuan sudah pun dimasukkan ke dalam sebut harga dolar, dan hal ini akan mengekang pertumbuhan pasangan tersebut untuk beberapa bulan akan datang. Walau bagaimanapun, perbezaan kadar faedah serta kedudukan Jepun sebagai pengimport bahan mentah akan memainkan peranan pada Q3 dan Q4, dan nilai yen akan terus menyusut sedikit demi sedikit. Lonjakan pantas USD/JPY di atas paras 125.00 akan menambah kebarangkalian untuk Bank of Japan menyemak semula program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka.
Untuk minggu lalu, setelah kedudukan pasangan ini naik ke paras 125.09, pembetulan berlaku. Paras terendah mingguan direkodkan pada hari Khamis, 31 Mac di kedudukan 121.27, dan kemudian ia naik semula dan berakhir pada paras 122.54.
Dengan 50% penganalisis memberikan pendapat bersifat bullish untuk minggu depan, ia dilihat agak sederhana dan menjangkakan pasangan ini naik ke zon di antara 124.00-124.50 sebagai sasaran. Sebaliknya, 25% daripada penganalisis memilih penurunan lebih rendah pasangan ini, dan 25% lagi berpendirian neutral. Sila ambil maklum bahawa apabila beralih kepada ramalan bulanan, majoriti (85%) penganalisis menjangkakan pengukuhan nilai mata wang Jepun dan meramalkan paras pasangan ini akan berada di zon antara 115.00-117.00.
Setelah kejayaan yang hebat untuk naik ke atas seperti itu, kesepakatan dalam kalangan indikator pada D1 hampir dicapai. 90% indikator trend dan 100% pengayun menunjukkan pertumbuhan, walaupun 25% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Rintangan paling hampir berada pada paras 123.20, 124.20 dan 125.09 iaitu paras tertinggi pada 28 Mac lalu. Kemudian, seperti yang disebut sebelum ini, bull mungkin akan cuba untuk mencapai paras tertinggi tahun 2015 iaitu 125.86. Sokongan paling hampir berada pada paras 122.00, kemudian 121.30. Ia diikuti oleh zon di antara 120.60-121.40, 119.00-119.40, 118.00-118.35.
Tiada statistik penting mengenai keadaan ekonomi di Jepun pada minggu ini yang dijangka akan dikeluarkan.
MATA WANG KRIPTO: Apa yang Jerung dan Spekulator Jangka Pendek Lakukan
- Selera risiko pelabur yang telah menyebabkan indeks saham mengalami pertumbuhan terus membawa sekali pasaran kripto bersama-samanya awal minggu lalu. Nilai bitcoin bertambah 28% manakala ethereum pula sebanyak 40% hanya pada dua minggu terakhir bulan Mac.
Nilai mata wang kripto utama itu mencecah $45,000 iaitu paras rintangan yang kukuh pada petang Jumaat, 25 Mac buat kali kelima sejak awal tahun ini. Ia telah empat kali gagal untuk berada di atas paras tersebut, kemudian pasangan BTC/USD turun ke bawah. Kali ini bull dilihat berjaya mengecap kejayaan yang ditunggu-tunggu akhirnya: sebut harganya merekodkan nilai tertinggi mingguan iaitu $48,156 pada 28 Mac. Walau bagaimanapun, pasangan itu mencecah nilai SMA sepanjang 200 hari selepas itu dan pertumbuhannya terhenti. Penjelasan yang paling masuk akal untuk pemberhentian ini adalah pengukuhan nilai dolar pada penghujung minggu lalu.
Semasa ulasan ini dibuat, pada 1 April, nilai mata wang kripto terunggul itu kembali berada di zon $45,000 yang berubah daripada rintangan kepada sokongan, dan kemudian naik semula ke paras $46,500. Jumlah keseluruhan modal pasarannya naik kepada $2.140 trilion ($1.995 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto juga sedikit naik: daripada 47 kepada 50 mata.
CEO DataDash iaitu Nicholas Merten percaya bahawa para pelabur jangka pendek dan pedagang dengan leveraj mempengaruhu turun naik bitcoin, manakala “jerung-jerung” pula mempengaruhi kadar pertumbuhan. “Keadaan panik yang berkisarkan persekitaran makro banyak kali berlaku sejak beberapa bulan lalu,” coret Merten. Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah… Perang antara Ukraine dan Rusia, potensi berlakunya gelombang COVID-19 yang baru - kesemua masalah ini telah menyebabkan timbulnya perasaan pesimis dalam kalangan pelabur-pelabur kecil. Dalam pada itu, sebaliknya, “jerung-jerung” tidak menjual sebarang mata wang kripto… Malah, kita dapat lihat bagaimana pelabur jangka panjang terus membeli lebih banyak bitcoin atau bertahan.
Satu daripada pelabur itu adalah pembangun perisian terkenal MicroStrategy. Syarikat tersebut baru-baru ini telah menerima pinjaman sebanyak $205 juta dengan dijamin oleh aset kripto mereka sendiri . Pinjaman itu telah diberikan oleh bank Amerika iaitu Silvergate. Tujuan pinjaman itu dibuat adalah untuk membeli bitcoin. Menurut laman web Bitcoin Treasuries, MicroStrategy sudahpun memiliki sebanyak 125,051 BTC dengan nilai hampir $6 bilion. “Dan pinjaman ini,” jelas Michael Saylor, CEO MicroStrategy, “menjadi peluang untuk kami mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam kalangan syarikat-syarikat awam yang melabur dalam bitcoin.”
Sila maklum bahawa MicroStrategy bukanlah satu-satunya syarikat yang menjadikan aset kripto sebagai cagaran. Untuk pinjaman seperti ini, Silvergate Bank menyediakan program khas yang digelar SEN Leverage, jumlah keseluruhan hutang program tersebut sudahpun melebihi $570 juta.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran dari segi makroekonomi dan juga geopolitik, bitcoin mungkin akan memasuki peringkat kedua pasaran bear, jika menurut penganalisis di Glassnode. Hal ini terbukti dengan pengumpulan coin secara aktif semasa nilainya berada di antara $35,000-42,000 serta ketiadaan pembelanjaan ketara bitcoin yang dibeli pada Q1 2021. Peratusan BTC dengan “umur” melebihi setahun telah bertambah sebanyak 9.4% sepanjang lapan bulan lalu dan hampir mencatatkan rekod tertinggi iaitu 62.9%. Pemilik-pemilik coin ini tidak menjual aset mereka ketika berlakunya dua kali pembetulan yang melebihi 50% sejak 12 bulan lalu. Kadar pertumbuhan indikator ini boleh disamakan dengan pemulihan pasaran yang berlaku antara tahun 2018-2019. Perkara ini mungkin mencerminkan keyakinan para pelabur terhadap bitcoin yang semakin bertambah.
Dalam masa yang sama, penganalisis di Glassnode memberikan amaran bahawa proses bottoming (mencari paras paling rendah) dan juga penyerahan pelabur dalam pasaran bear biasanya memakan masa serta menyakitkan. Justeru, mereka menyeru agar tidak tergesa-gesa dalam memastikan bilakah pasaran bear akan berakhir.
Sesetengah penganalisis percaya bahawa hanya menunggu masa saja sebelum berlakunya satu pembetulan yang kuat ke bawah. Masih belum wujud lagi pendorong untuk pertumbuhan mendadak sebut harganya, dan semuanya bergantung kepada keterukan situasi geopolitik serta dinamik pemulihan ekonomi global. Paras $30,000 mungkin menjadi sasaran bearish bagi pasangan BTC/USD.
Peter Brandt, CEO Factor Trading menyeru supaya berhati-hati semasa ramalan menunjukkan keadaan optimis. Pedagang lagenda tersebut menerusi ciapannya kepada 629,000 orang pengikutnya berkata bahawa pergerakan BTC baru-baru ini mengingatkan beliau kepada bulan April 2019 semasa mata wang kripto utama itu mencecah kedudukan terendahnya pada paras $3,500, ketika memulakan fasa pertama kitaran bull. Namun, penganalisis itu menekankan bahawa coin tersebut tidak dijamin akan mengulangi lonjakan pada tahun 2019 walau dengan penembusan teknikal sekalipun.
“Carta TIDAK menunjukkan masa hadapan. Malah carta TIDAK menawarkan sebarang kebarangkalian. Carta menunjukkan peluang dan ia berguna untuk menguruskan risiko dalam program dagangan. Corak carta menghasilkan sesuatu yang berguna, sampah, ataupun berubah-ubah. Jika corak laser eye muncul semula dan BTC berhenti bergerak, anda perlu berhati-hati,” Brandt memberi amaran.
Penganalisis kripto dengan gelaran Dave the Wave menghantar komen yang menyatakan bitcoin kini sedang membentuk satu segitiga menaik yang besar pada carta mingguan dan nilainya mungkin akan naik ke paras tertinggi dalam sejarahnya iaitu $69,000.
Kami maklum dengan ramalan minggu terakhir bulan Mac yang menyebut kedudukan ethereum sekarang adalah sedikit lebih baik daripada bitcoin. Nilai pertumbuhan di atas menjadi bukti yang jelas. Kebanyakan pelabur kini membeli ETH dengan menggunakan BTC. Disamping itu, komuniti tidak sabar menunggu kemas kini yang akan dibuat ke atas rangkaian utama ethreum. Pelancaran kemas kini Merge semakin hampir disebabkan kejayaan fasa ujian pada rangkaian testnet. Sebelum pelancarannya, lebih daripada $5.0 bilion dalam bentuk token ETH sudah pun dikeluarkan daripada edaran hasil daripada pelupusannya. Disebabkan oleh pelupusan mengurangkan jumlah bekalan ethereum, ia memberi kesan positif kepada nilainya, mendorong kepada lonjakan nilai altcoin. Penganalisis di Glassnode menyedari bahawa jumlah ethereum di bursa mula berkurang baru-baru ini. Aliran masuk altcoin itu ke dalam dewan niaga adalah 20% lebih rendah berbanding yang mengalir keluar, ini menghasilkan keadaan yang membentuk kepada defisit ETH.
Pertumbuhan nilai coin dapat dilihat jika mengambil kira pengaktifan sepuluh alamat terbesar ETH. Para jerung telah mengumpul sehingga 23.7% daripada keseluruhan bekalan ethereum, menurut satu laporan baru yang dikeluarkan firma analisis Santiment. Mereka juga tidak akan menjual aset itu, mereka lebih gemar menghantar ETH ke dalam simpanan luar talian. Trend yang hampir sama juga dilihat pada enam bulan pertama tahun 2017, dan kita dapat saksikan kemudiannya lonjakan nilai altcoin terkenal itu semasa zaman kegemilangannya lima tahun lepas.
Di hujung ulasan ini, kami berikan satu lagi nasihat dalam bahagian petua hidup kripto. Jika diingat di bahagian inilah kami bincangkan mengenai kaedah yang menarik dan tidak dijangka untuk mendapatkan pulangan dalam pasaran ini.
Pernahkah anda terfikir apakah kegunaan tandas? Biar kami berikan jawapan: untuk menghasilkan mata wang kripto! Itulah keputusan yang dibuat oleh Gabriel Kozak dan Dušan Matuska dari Slovakia. Hasilnya, mereka telah mencipta ladang penghasilan AmityAge yang menggunakan tenaga elektrik dijana daripada najis manusia dan haiwan. Dušan Matuska berkata bahawa “peranti mereka menggunakan metana yang terhasil semasa proses biodegradasi sebagai bahan api.” Disebabkan penghasilannya menggunakan sumber yang tidak mungkin akan terjejas dalam jangka masa panjang, penghasilan BTC di ladang mereka tidak bergantung kepada kenaikan harga bahan api global. Tambahan lagi, ia dihasilkan secara mesra alam sekitar menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, menghapuskan semua tuntutan terhadap industri kripto.
Kumpulan Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali