EUR/USD: Minggu yang Dipenuhi Rekod Bertahun-tahun
- Walaupun terdapat sebilangan orang yang bersifat terburu-buru yang percaya bahawa kadar faedah mungkin akan dinaikkan terus sebanyak 0.75% seperti ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis, James Bullard, segala yang berlaku di pasaran sudahpun dijangka. Berikutan mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) pada 4 Mei lalu, kadar faedah persekutuan telah dinaikkan daripada 0.5% kepada 1.0%. Kenaikan ini adalah yang terbanyak sejak Mei 2000 kerana pihak Bank Pusat AS telah menaikkan atau menurunkan kadar faedah mereka sebanyak 0.25% setiap kali sejak 22 tahun yang lepas.
Menurut pihak Rizab Persekutuan AS, kadar faedah utama ini akan terus meningkat kerana pasaran buruh masih lagi kukuh, manakala kadar inflasinya pula sangat tinggi, mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Penggubal dasar itu juga telah memutuskan untuk memulakan proses “pengetatan kuantitatif” bermula pada 1 Jun. Kadar kelajuan pengeluaran dari penyata imbang Rizab Persekutuan akan bertambah daripada $35 bilion pada bulan Jun kepada $65 bilion pada bulan Julai, dan kemudian $95 bilion setiap bulan iaitu jumlah maksimumnya bermula pada Ogos nanti.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berkata pihak Bank Pusat tidak mempertimbangkan untuk menaikkan secara aktif kadar faedahnya sebanyak 0.75% pada mesyuarat akan datang. Kata-kata ini sedikit sebanyak meredakan kebimbangan mengenai pengetatan polisi kewangan yang terlalu cepat, sekaligus mengurangkan jumlah perolehan bon Perbendaharaan daripada hasil tertingginya. Pasaran merasakan tindakan yang diambil pihak Rizab Persekutuan tidak cukup agresif, dan dagangan di bursa saham AS berakhir dengan pertumbuhan pada hari Khamis, 5 Mei, menarik nilai mata wang kripto bersama-sama ke atas.
Walau bagaimanapun, kegembiraan mereka yang memperjuangkan aset berisiko tidak begitu lama. Hari keesokannya, pada pagi 6 Mei, indeks dolar DXY mencecah kadar tertingginya dalam tempoh beberapa tahun, naik di atas paras 104.00. Kali terakhir kadarnya naik setinggi itu adalah pada 20 tahun yang lepas.
Jualan perbagai jenis aset dalam pasaran saham dan bon perbendaharaan secara besar-besaran telah dimulakan. Saham syarikat-syarikat teknologi khususnya yang paling terkesan sekali. Kadar indeks S&P 500 susut 4% dan berada pada paras terendahnya sejak Mei 2021, manakala indeks Komposit NASDAQ mengalami kerugian lebih daripada 5%. Dalam masa yang sama, hasil bon Perbendaharaan selama 10 tahun naik ke paras tertingginya sejak tahun 2018, naik melebihi 3%.
Sesetengah penganalisis memanggil kejadian itu sebagai “tarik tali antara pasaran bon yang ingin pihak Rizab Persekutuan bertindak lebih agresif, dan pasaran saham yang ingin Pihak Rizab Persekutuan bertindak lebih sederhana."
Walaupun kadar Indeks DXY mengalami pertumbuhan, pergerakan pasangan EUR/USD agak tenang. Ia bergerak di saluran sisi antara 1.0470-1.0640 sejak 27 April, dan kadang kala menjadi sedikit sempit di antara 1.0500-1.0580. Selain daripada hasil mesyuarat Rizab Persekutuan yang telah dijangka dan sudah diambil kira dalam sebut harganya, serta komen daripada Jerome Powell, data dari pasaran buruh AS yang diterima pada hari Jumaat, 6 Mei mungkin dapat memberi sedikit kebangkitan semula. Namun, indikator yang penting seperti jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS itu kekal tidak berubah seperti bulan sebelumnya, iaitu 428K. Akibatnya, pergerakan pasangan ini sedikit teragak-agak dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan di zon tengah saluran yang disebut tadi: pada paras 1.0540.
Seorang bekas pegawai kanan Bank Pusat AS sebelumnya merasakan bahawa kos pembiayaan persekutuan mungkin akhirnya akan mencecah kadar 5.0% setelah dinaikkan berkali-kali. Jika pasaran bersetuju dengan perkara itu, pertumbuhan bullish nilai dolar akan terus berlaku dan mungkin mencecah kesetaraan nilai 1:1 dengan euro. Dalam pada itu, pendapat penganalisis terbahagi seperti berikut: 75% berasa pasti nilai dolar akan terus mengukuh, manakala hanya 25% saja yang berpendapat sebaliknya. 90% indikator trend dan 85% pengayun pada D1 yang berwarna merah berada di pihak dolar, dan baki masing-masing sebanyak 10% dan 15% lagi adalah berwarna hijau. Sokongan terdekat berada pada paras 1.0500, diikuti dengan paras terendah 28 April iaitu 1.0470, sasaran bearish untuk EUR/USD yang seterusnya mungkin adalah paras terendah 2016 iaitu 1.0325. Zon rintangan terdekat berada di antara 1.0570-1.0600, diikuti dengan zon-zon di antara 1.0750-1.0800, 1.0830-1.0860, 1.0900-1.0935 dan 1.1000.
Terdapat beberapa peristiwa ekonomi yang penting pada minggu hadapan. Hari Rabu, 11 Mei dan Jumaat, 13 Mei boleh ditanda pada kalendar kerana data pasaran pengguna di Jerman dan AS akan dikeluarkan. Juga, perubahan pada bilangan permohonan manfaat pengangguran di Amerika Syarikat yang akan diketahui pada penghujung minggu bekerja. Kita tidak sepatutnya lupa tentang permusuhan yang sedang berlaku di Ukraine, di kawasan berhampiran sempadan EU, serta “kejutan” yang mungkin Kremlin berikan sebagai respon terhadap sekatan yang dikenakan oleh pihak Kesatuan Eropah.
GBP/USD: Mata Sekarang adalah 1.0-1.0 Apa Pula Seterusnya?
- Bukan saja Rizab Persekutuan, malah Bank of England juga telah mencatatkan rekod baru pada minggu lalu. Mereka telah menaikkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas menjadi 1.0% pada mesyuarat yang diadakan pada hari Khamis, 4 Mei, kadar tertinggi sejak tahun 2009. Tambahan lagi, 3 daripada 9 orang ahli MPC (Monetary Policy Committee atau Jawatankuasa Polisi Kewangan) bank tersebut bersetuju untuk menaikkan kadarnya terus menjadi 1.25%. Jumlah undian yang membangkang kenaikan kadarnya adalah 0. Disamping itu, kita mendapati penggubal dasar kewangan United Kingdom itu sedang merangka pelan untuk menjual bon-bon kerajaan yang dibeli selepas krisis, kini jumlahnya adalah kurang daripada £850 bilion.
Bank of England juga telah menaikkan unjuran kadar inflasi untuk tahun 2022 dengan mendadak, daripada 5.75% kepada 10.25%. (Jika diingat pada bulan Mac, kadar inflasinya adalah yang tertinggi sejak tahun 1992 dan berjumlah 7% (tahun ke tahun) dengan kadar sasaran sebanyak 2%). Punca utama adalah kenaikan harga minyak dan juga pengangkutan. Dalam bulan April saja, bil untuk bahan api di UK melonjak sebanyak 54%, dan ini bukanlah jumlah akhirnya. Selain daripada kesan yang ditanggung akibat Brexit dan juga pandemik COVID-19, situasi sekarang menjadi lebih teruk disebabkan oleh sekatan ekonomi ke atas Rusia kerana pencerobohan di Ukraine, serta larangan pergerakan akibat coronavirus yang baru di China. Unjuran kadar inflasi untuk tahun 2023 juga telah diubah dan menjadi lebih teruk: daripada 2.5% kepada 3.5%.
Ramalan ekonomi juga tidak menggembirakan para pelabur. Walaupun Bank of England mengekalkan unjuran bagi pertumbuhan kadar KDNK untuk tahun semasa (+3.75%), kemelesetan ekonomi dijangka akan bermula pada Q4. Bank Negara British menjangkakan penyusutan kadar KDNK sebanyak 0.25% pada tahun 2023 dan bukannya pertumbuhan sebanyak 1.25% seperti yang diunjur sebelum ini. Mengikut unjuran yang baru, kadar KDNK tidak akan bertumbuh sebanyak 1.0%, tetapi hanya sebanyak 0.25% pada tahun 2024.
Kadar faedah Rizab Persekutuan AS dan Bank of England telah mencapai kadar yang sama buat masa ini iaitu 1.0%. Walau bagaimanapun, jika kadar dolar mencecah 3.0-3.5% pada awal tahun depan, malah mungkin lebih tinggi, penggubal dasar kewangan British mencadangkan kenaikan kadar pound akan menjadi 2.5% pada pertengahan 2023, dan berkurang menjadi 2.0% apabila berakhirnya tempoh ramalan selama 3 tahun. Kepantasan berbeza dalam mengetatkan polisi kewangan akan terus memberi tekanan kepada pound British. Namun, pihak Rizab Persekutuan juga akan menyemak semula unjuran inflasi mereka pada bulan Jun, dan apa-apa pun boleh berubah.
Buat masa ini, kedudukan pasangan GBP/USD terus menurun, kembali ke paras yang dicapai pada Jun 2020 dan mencecah paras terendah mingguannya iaitu 1.2275. Untuk kedudukan terakhir, ia berada di ketinggian 1.2340;
55% undian adalah untuk penyusutan lebih rendah mata wang British, 30% lagi menjangkakan pasangan ini akan mengalami pembetulan ke atas dan 15% pula - bergerak secara mendatar. Bagi indikator pada D1, warna merah masih memiliki kelebihan: 100% indikator trend serta pengayun menunjukkan penurunan, walaupun 10% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan jualan. Sasaran bear yang paling hampir adalah untuk melepasi paras sokongan 1.2250, kemudian pada paras 1.2075, paras sokongan kukuh utama bagi pasangan ini adalah paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000. Bagi bull pula, jika mereka berjaya mengambil inisiatif, mereka akan berhadapan rintangan di zon 1.2400, 1.2470-1.2570, 1.2600-1.2635, 1.2700-1.2750, 1.2800-1.2835 dan 1.2975-1.3000.
Dalam kalangan statistik berkaitan ekonomi di United Kingdom, paling menarik adalah data kadar KDNK negara itu yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Mei.
USD/JPY: Sasaran Bull adalah 135.00
- Korelasi antara bon Perbendaharaan AS selama 10 tahun serta pasangan USD/JPY belum lagi berakhir. Jika perolehan sekuriti ini semakin bertambah, nilai dolar berbanding yen Jepun juga bertambah. Kita telah lihat kebenaran tentang perkara ini pada minggu lalu. Pasangan ini mencecah paras 130.80 pada 6 Mei dan kini mensasarkan kedudukan 1.3125 iaitu paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun yang baru. Pakar strategi dari kumpulan kewangan antarabangsa Nordea menjangkakan kedudukannya mampu mencecah 135.00 menjelang hujung tahun nanti. Mereka berpendapat, pengukuhan nilai yen serta penyusutan kadar pasangan ini hanya boleh dijangka akan berlaku pada enam bulan terakhir tahun 2023.
Indeks harga pengguna bukan untuk bahan makanan segar di Jepun, satu indikator utama yang dipantau oleh Bank of Japan, naik sebanyak 2.1% pada bulan April, melebihi sasaran 2.0% buat pertama kali sejak bertahun-tahun lamanya. Jika nilai yen menembusi paras 140 bagi setiap $1, kadar inflasi di Jepun mungkin akan mencecah 3.0%, menurut penganalisis di BNP Paribas. Walau bagaimanapun, ketua Bank of Japan, Haruhiko Kuroda telah berulang kali menyatakan penggubal dasar Jepun akan terus mengekalkan polisi kewangan mereka yang longgar walaupun terdapat ketidakpuasan hati yang diluahkan penduduk negara tersebut mengenai kenaikan harga barang.
Jika Bank Negara berkenaan memutuskan untuk mengetatkan polisi kewangan mereka, ia akan menyukarkan negara itu dalam menstabilkan serta mengurangkan nisbah hutang umumnya dengan kadar KDNK, menurut Fitch Ratings. Menurut Fitch Ratings, nisbah ini telah mencecah 248% untuk tahun fiskal 2021, kadar tertinggi dalam kesemua jenis gred pelaburan negara dan menjadi kelemahan kredit utama untuk Jepun. (Sebagai perbandingan, Itali yang berada di tempat kedua, kadarnya adalah kira-kira 150%).
Laporan untuk mesyuarat terbaru Jawatankuasa Polisi Kewangan penggubal dasar di Jepun akan dikeluarkan pada minggu hadapan, lebih tepat lagi pada hari Isnin, 9 Mei. Namun, ia mungkin tidak akan memberi sebarang kesan terhadap keseimbangan antara dolar dan juga yen. Senario yang membayangkan pasangan USD/JPY akan terus bergerak ke atas mendapat sokongan oleh 65% penganalisis, 35% lagi menunggu pergerakannya ke bawah. 100% indikator trend serta pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, tetapi 15% daripada pengayun sudah memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di antara 129.70-130.15, diikuti dengan zon dan paras 128.60-129.30, 127.80-128.00, 127.00, zon 126.30-126.75 serta paras 126.00 dan 125.00. Sasaran bull adalah untuk memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 28 April iaitu 131.25. Percubaan untuk mendapatkan sasaran bull yang seterusnya adalah seperti menilik nasib. Satu perkara yang boleh kita jangkakan adalah ia akan menjadikan kedudukan tertinggi pada 1 Januari, 2002 iaitu 135.19 sebagai sasarannya. Jika kadar pertumbuhan pasangan ini berterusan, kedudukan tertinggi itu boleh dicapai seawal bulan Jun.
MATA WANG KRIPTO: Semua Bergantung Pada Rizab Persekutuan
- Satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh syarikat penganalisis DappRadar menunjukkan pertambahan aktiviti kripto di AS, Rusia dan Ukraine. Jika pertambahan terhadap permintaan aset digital ini adalah disebabkan oleh sekatan ekonomi dan juga perang kemanusiaan antara Rusia dan Ukraine, penerimaan besar-besaran wang maya di Amerika Syarikat pula adalah hasil daripada pertambahan bilangan pedagang dan syarikat kripto. Dalam masa yang sama, penganalisis di DappRadar maklum bahawa populariti mata wang kripto bukan saja meningkat di negara-negara yang disebutkan tadi, malah di serata dunia. Sebagai contoh, berlatarbelakangkan ancaman terhadap inflasi global, permintaan untuk wang maya itu telah bertambah sebanyak 40% dan 45% masing-masing di Brazil dan di India. Menurut sebahagian daripada penganalisis, jumlah pemilik mata wang kripto akan bertambah 5 kali ganda dalam tempoh 10-20 tahun lagi dan akan mencecah lebih daripada 1 bilion orang.
Para penganalisis itu sedar bahawa buat masa ini, aktiviti pelabur-pelabur kecil yang terus percaya dengan kebangkitan bitcoin di masa hadapan telah menyelamatkannya daripada penyusutan mendadak. Justeru, pemilik walet yang memiliki 0.1 BTC hingga 10 BTC telah menggandakan jumlahnya dalam bulan April saja, menjadikan jumlah keseluruhan simpanan sebanyak 2.5 juta BTC.
Bagi pelabur berinstitusi (dengan pelaburan melebihi $1 juta) pula, dinamiknya adalah berbeza dan punca utamanya adalah tindakan yang diambil pihak Rizab Persekutuan. Pihak Bank Pusat itu telah mencetak lebih daripada satu pertiga wang dolar baru sejak musim bunga 2020, dan jumlah penyata imbangan mereka telah naik kepada $9 trilion. Sementara pihak Rizab Persekutuan melambakkan pasaran dengan wang murah, sejumlah besar daripadanya telah dilaburkan ke dalam aset berisiko oleh para pelabur, memberi sokongan kepada pasaran saham dan juga mata wang kripto. Masa untuk mengetatkan polisi kewangan telah tiba, dan ia akan memberi kesan terhadap aset-aset tersebut. Akibatnya, aliran keluar bersih dari pasaran kripto telah mencecah jumlah tertingginya setakat ini iaitu sebanyak 14,327 BTC. Lebih-lebih lagi, para pelabur Amerika adalah yang paling aktif dalam menyingkirkan bitcoin, mengurangkan jumlah pelaburan mereka sebanyak 11% dalam masa sebulan. (Hal ini tetap berlaku walaupun pada hakikatnya jumlah pelabur dan syarikat kripto di AS semakin bertambah).
Semasa ulasan ini ditulis, pada petang Jumaat, 6 Mei, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.657 trilion ($1.752 trilion seminggu sebelum itu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto sedikit membimbangkan: ia turun sebanyak 1 mata, daripada 23 kepada 22 mata, dan kini berada di zon Extreme Fear. Pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $36,100, paras terendah mingguan berada pada nilai $35,280.
Kenaikan lebih tinggi kadar faedah, bersama-sama dengan pengurangan jumlah penyata imbang Rizab Persekutuan serta pertambahan kadar indeks dolar DXY dan hasil bon perbendaharaan akan terus memberi tekanan kepada sebut harga aset-aset berisiko. Jika kira-kira 50% daripada kesemua coin BTC yang ada dalam edaran telah menguntungkan para pemiliknya pada pertengahan minggu, jumlah ini menjadi lebih kecil apabila nilainya terus menyusut. Maka, hanya 40% daripada coin tersebut yang akan kekal memberi pulangan pada nilai $33,000, dan hal ini akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih panik.
Pedagang dan juga CEO Factor LLC iaitu Peter Brandt menjangkakan nilai bitcoin akan menguji paras $28,000. Penganalisis itu menumpukan perhatian pada corak harga mata wang kripto pertama yang terbentuk sejak permulaan tahun, serta penembusan sempadan bawahnya. “Saluran bearish yang selesai terbentuk kebiasaannya akan menyebabkan penurunan dengan kadar kelebaran yang sama. Dalam hal ini, ia akan bersungguh-sungguh menguji paras $32,000 atau paras sekitarnya, tetapi saya rasa pada paras $28,000,” Brandt memberikan komennya.
Seorang lagi pedagang mata wang kripto terkenal, Benjamin Cowen juga percaya bahawa nilai bitcoin akan turun mendadak sebelum bermulanya perubahan arah menjadi bullish. Menurut beliau, hal tersebut akan memacu satu lagi lonjakan bullish. Memberikan senario kemungkinan untuk berlakunya penurunan ke bawah, Cowen sedia maklum dengan kadar purata pergerakan jangka panjang penting yang mengekalkan BTC pada paras sokongan untuk trajektori pertumbuhan bertahun-tahun: purata SMA 300 minggu, 200 minggu dan juga 100 minggu. Penurunan di bawah SMA 100 hari memberikan peluang hebat kepada bull sebelum ini: “Kini purata SMA 100 minggu berada di sekitar paras $36,000, dan terdapat tempoh masa yang optimum untuk membeli BTC setiap kali kedudukannya berada di bawah paras ini,” jelas Cowen. Namun jika ia turun lebih rendah, pada pendapat beliau, kadar BTC mungkin akan turun ke paras lebih rendah dan menguji purata pergerakan 200 minggu, iaitu $21,600. “Kebanyakan orang tidak percaya perkara ini boleh berlaku,” pedagang itu berkata, “ia boleh berlaku. Saya pernah membeli BTC pada nilai $6,000 dan kemudian harganya turun kepada $3,000. Kemudian saya beli BTC pada harga $7,000 dan $10,000, dan nilainya jatuh lagi kepada $3,800 selepas itu. Maka perkara ini pernah berlaku dan ia boleh berlaku lagi sekarang.”
Purata pergerakan bitcoin sepanjang 300 minggu hanya pernah sekali dicapai dengan pantas semasa pasaran runtuh pada Mac 2020 akibat pandemik COVID-19, dan Cowen tidak jangkakan perkara tersebut akan berulang.
Arthur Hayes, bekas CEO dan juga pengasas bersama BitMEX menjangkakan pada April lalu bahawa nilai bitcoin akan turun ke paras $30,000 pada hujung enam bulan pertama tahun ini. Beliau mengaitkan kemungkinan ini dengan penurunan kadar indeks Nasdaq yang berkorelasi rapat dengan emas digital itu. Penganalisis di Arcane Research mengesahkan bahawa hubungan statistik ini berada pada paras tertingginya sejak Julai 2020.
Walau bagaimanapun, penganalisis syarikat teknologi kewangan yang mengambil bahagian dalam kaji selidik oleh syarikat Finder menjangkakan sebut harga mata wang kripto utama ini akan melebihi $65,000 menjelang hujung tahun dengan pertumbuhan berterusan. Hayes sendiri tidak berasa ragu-ragu tentang prospek yang bitcoin miliki, menjangkakan kenaikan harga coin kepada $1 juta menjelang akhir dekad ini.
Tidak seperti Arthur Hayes dan Benjamin Cowen, penganalisis Michael van de Poppe merasakan data dari rangkaian memberi bayangan mungkin akan berlakunya perubahan arah pergerakan bullish bitcoin. Menurut beliau, “kadar hash BTC telah mencapai satu lagi paras tertinggi dalam sejarahnya, walaupun ruang dalam mata wang menjadi semakin kecil. Justeru, permintaan untuk menghasilkan bitcoin sedang berkembang, rangkaiannya menjadi lebih selamat, dan harga aset itu seharusnya akan memberi respon terhadapnya.”
Menurut van de Poppe, gelombang impulsif yang serius dijangka akan berlaku akibat proses pembetulan yang mungkin akan dialami indeks dolar AS (DXY). “Pada pendapat saya, kenaikan ke atas nilainya mungkin boleh berlaku, lebih-lebih lagi jika dolar AS menjadi lemah,” penganalisis itu berkata. “Jika pihak Rizab Persekutuan memutuskan untuk membatalkan pengetatan polisi kewangan mereka, nilai dolar akan menyusut, dan hal ini akan menjadi pendorong kepada bitcoin untuk bergerak ke atas.”
Mike McGlone, Penganalisis Kanan di Bloomberg Intelligence berharap tentang perkara yang sama. Beliau berharap penurunan mendadak pasaran saham akan memaksa pihak Rizab Persekutuan AS untuk mengubah pendirian mereka berkenaan pengetatan polisi kewangan, dan seterusnya mendorong lonjakan bullish terhadap aset-aset berisiko tinggi. “Rizab Persekutuan akan meneruskan polisi mereka sehinggalah pasaran saham benar-benar jatuh dan memaksa pihak penggubal untuk menghentikannya sementara. Pada waktu itulah saya rasa kita akan dapat lihat kenaikan harga bitcoin, ethereum dan mungkin Solana."
“Jika anda mahukan indikator menurun yang bagus untuk bitcoin dan altcoin, anda boleh lihat pada niaga hadapan Fed Funds. Inilah yang pasaran jangkakan dari pihak Rizab Persekutuan dalam masa setahun. Buat masa ini nilainya adalah 3%, mungkin lebih, dan kadar sebenarnya ialah 1%. Sebaik saja jangkaan ke hadapan ini berkurangan, saya rasa nilai bitcoin akan mencecah paras terendahnya,” jelas penganalisis itu.
Kumpulan Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali