EUR/USD: Menuju Ke Paras 1.0000
- Nilai dolar terus bertambah, manakala kadar pasangan EUR/USD terus menyusut. Kadar indeks DXY dolar terus melonjak menghampiri paras 104.9 pada hari Khamis, 12 Mei. Kali terakhir ia berada setinggi ini adalah pada 20 tahun yang lalu. Paras terendah mingguan pasangan ini berada di kedudukan 1.0349, di sekitar paras terendah antara Disember 2016 - Januari 2017. Sedikit saja lagi, dan jika ia mengikut jejak langkah indeks DXY, pasangan itu akan berada di kedudukan sama seperti yang didagangkan pada 20 tahun lalu. Kemudian, kesetaraan 1:1 tidaklah jauh daripada sasaran.
Seperti biasa, dua faktor yang menjadi punca kepada pengukuhan lebih tinggi nilai mata wang AS: pasaran buruh yang semakin pulih serta peningkatan kadar inflasi. Kedua-dua faktor inilah yang menentukan kadar kepantasan pengetatan polisi kewangan oleh pihak Rizab Persekutuan.
Menurut unjuran, tuntutan bagi manfaat pengangguran di AS seharusnya menunjukkan sedikit peningkatan. Namun, data sebenar yang dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Mei menunjukkan situasi di pasaran buruh adalah lebih baik daripada yang dijangka. Jumlah permohonan awal telah bertambah, bukan sebanyak 3K seperti yang diramal, tetapi hanyalah 1K. Jumlah permohonan semula, turun sebanyak 44K dan bukannya naik sebanyak 3K.
Sehari sebelum itu, pada 11 Mei, data inflasi telah dikeluarkan. Kadar indeks harga teras pengguna di AS meningkat sebanyak 0.3% pada bulan April dan berjumlah 0.6%. Pertambahan ini adalah sedikit rendah berbanding pertambahan sebanyak 1.2% untuk bulan Mac. Namun perkara ini langsung tidak bermaksud kadar inflasi di negara itu telah mencapai kemuncaknya dan hanya akan menurun. Langsung bukan bermaksud begitu. Harga minyak kekal melebihi $100 setiap tong, menaikkan harga kos barangan, kos pengangkutan serta perbelanjaan isi rumah. Harga kereta baru naik sebanyak 1.1% pada bulan April (naik hanya 0.2% pada bulan Mac), manakala harga tiket penerbangan pula melonjak sebanyak 18.6% sepanjang bulan lalu, menunjukkan kenaikan terbesar dalam tempoh 60 tahun. Disamping itu, dengan kebarangkalian yang sangat tinggi, beberapa siri sekatan pergerakan di China akibat gelombang coronavirus yang baru akan mengakibatkan masalah berkenaan logistik dan juga bursa komoditi, perkara itu juga langsung tidak membantu mengurangkan kadar inflasi.
Kombinasi kesemua faktor-faktor ini memberi bayangan pihak Rizab Persekutuan AS mungkin tidak akan mengubah rancangan mereka untuk mengetatkan polisi kewangannya: untuk mengurangkan penyata imbangan dan juga menaikkan kadar faedah. Mengikut jejak langkah ketua penggubal dasarnya iaitu Jerome Powell, rakan sejawat beliau di FOMC - ketua Bank Rizab Persekutuan Cleveland iaitu Loretta Mester serta ketua Bank Rizab Persekutuan New York, John Williams menyokong niat untuk menaikkan kadar dana persekutuan sebanyak 0.5% pada dua kali mesyuarat yang seterusnya, menjadikan kadarnya sebanyak 2.0%.
Bagi rakan sejawat mereka di seberang Atlantik, tokoh-tokoh penting ECB yang menyokong kenaikan kadar faedah masih lagi berada dalam kelompok minoriti. Kebanyakan ahli-ahli Lembaga Gabenor Bank masih lagi yakin bahawa kenaikan kadar inflasi di Eurozone hanyalah satu fenomena sementara yang berpunca daripada kenaikan harga bahan api akibat sekatan ke atas Rusia yang menyerang Ukraine.
Hasilnya, perbezaan yang begitu ketara antara pendirian Rizab Persekutuan AS yang jelas bersifat hawkish dan pendirian dovish pihak ECB yang samar-samar terus menolak pasangan EUR/USD ke bawah, memaksa ia berada pada kedudukan terendahnya yang baru sejak bertahun lamanya.
Buat masa ini, perbezaan pendapat antara penganalisis adalah seperti berikut: 70% penganalisis berasa yakin nilai dolar akan terus mengukuh, baki 30% lagi sedang menunggu pembetulan pasangan ini ke atas. Dalam masa yang sama, apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, bilangan mereka yang bersetuju dengan pertumbuhan pasangan ini meningkat kepada 80%. 100% indikator pada D1 berpihak kepada dolar, setelah pasangan ini mengalami penurunan sekali lagi. Walau bagaimanapun, 20% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan jualan. Rintangan paling hampir berada di zon 1.0420, sasaran bull EUR/USD yang seterusnya adalah untuk kembali berada di zon antara 1.0480-1.0580. Jika berjaya, ia akan cuba untuk menembusi rintangan pada paras 1.0640 kemudiannya dan naik ke zon di antara 1.0750-1.0800. Untuk bear pula, tugas nombor 1 adalah untuk memperbaharui paras terendah pada 13 Mei iaitu 1.0350, dan kemudian paras terendah pada 2017 iaitu 1.0340, paras lebih rendah adalah paras sokongan pada 20 tahun yang lalu.
Untuk kalendar minggu hadapan, kami syorkan untuk memberi perhatian kepada data harga dan jumlah jualan runcit di AS yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 17 Mei. Ketua ECB iaitu Christine Lagarde dan ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijangka akan berucap pada hari yang sama. Kadar Indeks Harga Pengguna Eurozone akan diketahui pada hari Rabu, 18 Mei, dan data aktiviti pembuatan serta keadaan pasaran buruh di Amerika Syarikat akan diketahui pada hari Khamis, 19 Mei.
GBP/USD: Kadar Faedah GBP Mungkin Dinaikkan, Tetapi Belum Pasti
- Seperti yang dinyatakan di atas, kadar indeks dolar DXY telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Menurut penganalisis, kadarnya naik sebanyak 5.1% sepanjang tempoh 4 minggu. Dalam masa yang sama, kadar pasangan GBP/USD susut 7.4%, melebihi prestasi purata sebanyak 2.3%. Namun, bukan semua yang berlaku kepada mata wang British adalah perkara buruk.
Bank of England telah mengunjurkan kenaikan kadar inflasi mereka dari 7.0% yang ada sekarang (tertinggi dalam 30 tahun) kepada 10.25% semasa bermesyuarat pada 5 Mei lalu. Walaupun penggubal dasar itu mengekalkan unjuran kadar pertumbuhan KDNK tahun semasa (+3.75%), mereka menjangkakan kemelesetan akan mula berlaku pada Q4. Bank Negara British menjangkakan KDNK akan menyusut sebanyak 0.25% pada tahun 2023 dan bukannya bertumbuh sebanyak 1.25% seperti yang diunjur sebelum ini. Mengikut unjuran yang baru, kadar KDNK negara itu tidak akan bertumbuh sebanyak 1.0%, tetapi hanya 0.25% pada tahun 2024.
Pastinya, senario ini tidak boleh dianggap sebagai optimistik. Namun, seminggu selepas itu, pada 12 Mei, statistik menunjukkan kadar KDNK bagi Q1 di negara itu naik sebanyak 8.7% untuk tahun ke tahun, sangat melebihi peratusan sebelumnya iaitu 6.6%. Dinamik ini memberikan para pelabur harapan agar pihak penggubal dasar tidak akan berhenti pada kadar faedah semasa iaitu 1.0%, dan seperti Rizab Persekutuan, akan terus menaikkan kadarnya bagi membendung kadar inflasi. Perkara ini seterusnya akan menyokong mata wang British. Atau sekurang-kurangnya dapat mengekalkan ia daripada terus menurun.
Kadar GBP/USD mencecah paras terendah mingguannya pada 1.2154, dengan kedudukan terakhirnya pada 1.2240. Jika pembetulan ke atas terus berlaku, pasangan ini perlu melepasi rintangan di zon antara 1.2300-1.2330, kemudian zon 1.2400, 1.2470-1.2570, 1.2600-1.2635, 1.2700-1.2750, 1.2800-1.2835 dan 1.2975-1.3000. Apabila bergerak ke bawah, sokongan pertama akan berada pada paras 1.2200, kemudian 1.2154-1.2164 dan 1.2075. Paras sokongan kukuh untuk pasangan ini adalah paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000. 85% penganalisis bersetuju dengan penyusutan lebih rendah nilai mata wang British itu, 15% lagi menjangkakan perubahan arah pergerakan ke atas. Anda perlu maklum di sini bahawa apabila beralih kepada ramalan sehingga akhir bulan Jun, jumlah mereka yang menyokong pertumbuhan pasangan ini bertambah kepada 75%. Kelebihan benar-benar menjadi milik warna merah dalam kalangan indikator pada D1: 100% indikator trend dan 90% pengayun menunjukkan penurunan. Baki 10% lagi pengayun menunjukkan pertumbuhan.
Untuk perkara yang berkaitan dengan ekonomi di United Kingdom pada minggu hadapan, kami boleh tekankan tentang data pengangguran serta gaji di negara itu yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 17 Mei. Kadar baru Indeks Harga Pengguna akan diketahui pada hari Rabu, 18 Mei, manakala data jualan runcit di UK untuk bulan April pada hari terakhir minggu bekerja, pada hari Jumaat, 20 Mei.
USD/JPY: Daripada Kembali Kepada Modal Menjadi Kembali Kepada Selamat
- Pretasi Yen Jepun adalah lebih baik pada minggu lalu berbanding “rakan” mereka, euro dan juga pound British. Seperti yang dijangka kebanyakan penganalisis, bull cuba untuk memperbaharui paras tertinggi pada 28 April lalu iaitu 131.24. Walau bagaimanapun, setelah hanya naik sebanyak 10 pip dan berada pada paras 131.34, ia mengalah, dan pasangan USD/JPY turun ke bawah, bertemu sokongannya hanya pada paras 127.51. Tidak diragui, kadar kemeruapan semasa pasangan ini sangat menakjubkan: julat dagangan mingguannya adalah sebanyak 383 mata. Hal ini tetap berlaku walaupun pada hakikatnya ia bergerak di sekitar 150 mata secara purata di antara Q4 2021 - Q1 2022. Kedudukan terakhir untuk minggu lalu berada di tengah-tengah zon yang dinyatakan, pada paras 129.30.
Selain daripada kadar turun naik semasa berlakunya pandemik coronavirus, penurunan kadar USD/JPY pada 12 Mei adalah perubahan arah dalam masa sehari paling besar sejak tahun 2010. Menurut sebilangan penganalisis, pengukuhan nilai mata wang Jepun adalah disebabkan oleh pertambahan selera para pelabur terhadap aset yang paling bebas risikonya. Sehingga saat itu, nilai dolar semakin naik akibat kenaikan kadar faedah serta peningkatan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS. Namun, jika para pelabur lebih inginkan modal mereka dikekalkan berbanding menerima pulangan, kadar USD/JPY akan terus menyusut.
Nilai yen juga kukuh disebabkan oleh jangkaan mengenai perubahan polisi yang akan dibuat oleh Bank of Japan. Kebanyakan pelabur, terutama sekali pelabur luar menjangkakan mereka mungkin masih akan menaikkan kadar faedahnya walaupun penggubal dasar tersebut sudah memberi jaminan tentang komitmen mereka terhadap polisi kewangan yang tersangat longgar. Tambahan pula, perkara ini pernah berlaku sebelum ini, walaupun pada arah yang berbeza. Pasaran masih ingat pada tahun 2016, semasa ketua Bank Negara tersebut, Haruhiko Kuroda, pada mulanya menafikan tentang kemungkinan untuk memperkenalkan kadar negatif secara kategori, dan kemudian benar-benar mengambil langkah itu dengan tiba-tiba.
Buat masa ini, jangkaan para penganalisis dilihat agak tidak menentu, sama seperti sebut harga pasangan ini. 40% penganalisis memilih pertumbuhan, 50% lagi bersetuju dengan penurunan pasangan ini manakala baki 10% pula mengambil pendirian neutral. Perselisihan pendapat yang hampir sama turut berlaku dalam kalangan indikator pada D1. Untuk indikator trend, 65% adalah berwarna hijau, 35% berwarna merah. 40% daripada pengayun adalah berwarna hijau, 25% pula berwarna hijau dan 35% lagi menunjukkan warna kelabu neutral. Sokongan terdekat berada pada paras 128.60, diikuti dengan zon dan paras pada 128.00, 127.50, 127.00, 126.30-126.75, 126.00 dan 125.00. Sasaran bull adalah untuk naik melebihi paras 130.00 dan memperbaharui paras tertinggi pada 5 Mei lalu iaitu 131.34. Paras tertinggi yang dicapai pada 1 Januari, 2002 iaitu 135.19 dilihat sebagai sasaran mutlaknya.
Data kadar KDNK di Jepun untuk Q1 tahun ini akan dikeluarkan pada minggu depan, hari Rabu, 18 Mei. Indikator ini dijangka akan menunjukkan penyusutan sebanyak 0.4% berbanding nilai 1.1% sebelum ini.
CRYPTOCURRENCIES: "$1 Juta Setiap BTC, Ataupun Kosong"
- Jika anda terbaca tajuk-tajuk utama pada minggu lalu, anda akan mendapat bayangan yang kuat bahawa kewujudan mata wang kripto hanya tinggal beberapa bulan saja lagi, atau beberapa hari saja lagi. “Kemusnahan Pasaran Kripto”, “Pemergian Bitcoin”, “Pecahnya Gelombang Kripto” adalah antaranya. Namun adakah semuanya itu menakutkan?
Memang benar, pasaran sedang berhadapan dengan kerugian yang amat teruk. Nilai bitcoin susut kira-kira 45% sejak akhir bulan Mac, mencecah $26,580 pada 12 Mei. Malah keadaan kebanyakan coin-coin yang lain adalah lebih teruk. Seperti yang telah selalu diperkatakan, penyebab kepada keadaan panik ini adalah penurunan selera risiko para pelabur di peringkat global. Pasaran kripto hanya mengikut jejak langkah pasaran saham: korelasi antara sebut harga aset digital tersebut dengan indeks S&P500, Dow Jonas serta NASDAQ berada pada kadar maksimum.
Pengetatan polisi kewangan oleh Rizab Persekutuan AS, gelombang wabak coronavirus yang baru di China, kebimbangan mengenai masa depan ekonomi di EU: semua ini telah mendorong para pelabur untuk memilih dolar berbanding aset lebih berisiko. Pendorong lain adalah peningkatan hasil daripada bon 10 tahun Perbendaharaan AS. Jumlah ini hampir naik sekali ganda sejak bulan Mac dan bertambah lebih daripada 3%: jumlah tertingginya sejak tahun 2018, melebihi perolehan dari kebanyakan sektor pasaran di AS.
Selain daripada faktor global, keruntuhan coin stabil ketiga terbesar dari segi nilai modal pasaran, UST, memberi tekanan tambahan terhadap pasaran kripto. Coin stabil dipercayai diguna untuk menyediakan transaksi pelaburan dan nilainya haruslah disandarkan kepada nilai sebenar dolar dengan nisbah 1:1. Nilai UST jatuh kepada $0.64 dengan serta-merta, mewujudkan perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan pasukan Terra LUNA dalam mengekalkan kadarnya. Melihat kepada permasalahan yang dihadapi UST, nilai token natif Terra LUNA juga jatuh, susut lebih daripada 90%. Harganya adalah kira-kira $120 pada bulan April lalu, tetapi anda boleh membelinya dengan harga $5 sekarang. Perlu diingatkan di sini bahawa protokol blockchain Terra adalah satu projek yang agak besar dan berada dalam kelompok 10 TERATAS dari segi nilai modal pasaran.
Nasib yang menimpa coin stabil berpusat Tether dengan jumlah modal pasaran sebanyak $82 bilion juga menimbulkan kembimbangan. Audit ke atas projek ini yang dibuat pada tahun 2021 menunjukkan terlalu banyak sekuriti yang ada dalam akaun dan bukannya wang tunai, sesuatu yang diperlukan untuk dijadikan rizab dalam projek tersebut. Melihat kepada perkara itu, USDT lebih giat dijual: jumlah keseluruhan modal pasarannya menyusut sebanyak $1.4 bilion baru-baru ini.
Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto terus mengalami penyusutan. Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 13 Mei, jumlahnya adalah $1.290 trilion ($1.657 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto telah jatuh dari 22 mata kepada 10 mata daripada 100 mata keseluruhan, benar-benar terperuk di zon Extreme Fear. Pasangan BTC/USD pula, setelah keadaannya sedikit pulih, didagangkan di sekitar $30,150. Seperti yang sudah dinyatakan, paras terendah mingguannya berada pada nilai $26,580. Kali terakhir kedudukan pasangan ini sebegitu rendah adalah pada Disember 2020.
Bilangan “jerung” dalam kalangan pemilik bitcoin, iaitu mereka yang memiliki lebih daripada 1000 BTC susut dengan mendadak. Jumlah golongan ini sudahpun rendah sejak awal tahun lalu. Dalam masa yang sama, jumlah mata wang kripto yang terdapat pada bursa pula adalah sebaliknya, berada pada kadar maksimum sepanjang tiga bulan yang lalu. Menurut penganalisis Glassnode, purata jumlah coin yang mengalir masuk ke bursa berpusat kini berada di sekitar 1755 BTC.
Pengasas Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz meluahkan rasa ragu-ragu terhadap kemampuan bull dalam mempertahankan paras sokongan $30,000 untuk bitcoin dan $2,000 untuk ethereum. “Sehingga kita dapat mencapai keseimbagan yang baru,” tulis beliau, “aset digital akan terus didagangkan mengikut korelasi yang ada dengan Nasdaq. Gerak hati mengatakan akan berlakunya pengeluaran kelak, dan ia akan berlaku pada pasaran yang sangat-sangat tidak stabil, terlalu meruap dan amat kompleks.” Mike Novogratz memberi amaran bahawa senario negatif mungkin boleh menjadi kenyataan jika indeks Nasdaq susut di bawah paras 11,000 (kadarnya mencecah 11,688 pada 12 Mei lalu).
Peter Schiff, tokoh yang mempertahankan emas, membuat jangkaan bahawa nilai mata wang kripto utama itu akan jatuh di bawah paras $10,000. Seorang lagi hartawan veteran dalam industri bitcoin, calon Presiden AS 2020 iaitu Brock Pierce berkata bahawa bitcoin boleh benar-benar berjaya, tetapi ia juga boleh gagal dalam temubual beliau bersama Fox Business. “Nilai bitcoin boleh jatuh menjadi sifar. Keputusan binari untuknya adalah seperti berikut. Sama ada nilainya akan menjadi $1 juta bagi setiap BTC, ataupun menjadi sifar,” jelas beliau.
Pierce percaya bahawa “landskap mata wang kripto” yang ada sekarang ini hampir sama dengan gelembung syarikat-syarikat teknologi yang pernah berlaku dulu. “Situasinya hampir sama seperti tahun 1999. Pasaran kini berada pada fasa yang sama. Apa yang berlaku sebelum ini? Setelah berlakunya gelembung dot com, syarikat eBay, Amazon dan lain-lain syarikat yang menarik membuat kemunculannya, tetapi banyak juga perniagaan lain yang gulung tikar. Namun ini tidak bermakna aset digital tidak realistik dan tidak akan memainkan peranan pentingnya dalam masa depan kolektif kami,” hartawan itu berkata. Pierce akui bahawa beliau telah mempelbagaikan portfolio miliknya, terutama sekali menerusi Ethereum. Beliau juga mempertaruhkan sejumlah nilai dengan “sembilan sifar” ke atas EOS, menukar kesemua saham Block.one miliknya kepada mata wang kripto.
Tidak seperti tokoh berpengaruh yang lain, CEO ARK Invest iaitu Katherine Wood terus meluahkan rasa optimis beliau dan percaya bahawa hubung kait yang semakin berkembang antara mata wang kripto dan aset tradisional menunjukkan trend bearish akan berakhir tidak lama lagi. Ahli perniagaan wanita itu berpendapat bahawa susut nilai bitcoin bersama-sama dengan pasaran tradisional adalah satu fenomena sementara: “Mata wang kripto adalah satu kelas aset yang baru dan ia tidak seharusnya mengikut jejak langkah Nasdaq, namun itulah yang berlaku sekarang. Kini kita berada dalam trend bearish di mana semua jenis aset bergerak pada arah yang sama dan dapatlah dilihat satu demi satu pasaran mengalami kegagalan, namun pengakhirannya mungkin sudah hampir buat mata wang kripto.”
Ketua ARK Invest itu percaya bahawa pasaran mata wang kripto akan mengalami pertumbuhan secara eksponen apabila pasaran aset tradisional runtuh. “Kemelesetan ke atas pasaran saham dan bon, komoditi serta mata wang kripto yang berlaku sekarang ini telah menyebabkan sentimen negatif dalam kalangan pelabur. Namun melihat pada hasil penyelidikan kami… Saya tidak tahu bagaimana untuk mengatakan betapa yakinnya kami tentang produk yang mampu mengubah dunia dan sudah pun berada pada trajektori pertumbuhan eksponen.” Menurut Wood, blockchain berada dalam sektor teknologi yang akan berkembang 20 kali lebih besar dalam masa tujuh ke lapan tahun akan datang.
Harapan lain buat pelabur adalah bitcoin sudah pun berada separuh jalan sebelum tibanya proses pengurangan penghasilan yang seterusnya. Ia berlaku pada blok bernombor 735,000 pada 5 Mei lalu. Perkara ini berlaku kepada setiap blok berjumlah 210 ribu, atau kira-kira setiap empat tahun, dengan jumlahnya kurang sedikit daripada 105 ribu sehingga proses yang berikutnya. Tarikh pengurangan penghasilannya boleh dijangka dalam tempoh sehingga beberapa hari saja kerana masa untuk penghasilan blok berubah-ubah sekitar 10 minit. Pengurangan penghasilan sebelum ini berlaku pada 11 Mei, 2020, dan proses seterusnya akan berlaku lebih kurang pada April 2024.
Kitaran mengurangkan penghasilannya ini adalah salah satu mekanisma penting dalam rangkaian bitcoin yang melibatkan pengurangan pulangan BTC kepada para penghasil. Sewajarnya, pengeluaran penghasilan bitcoin juga berkurangan kerana ganjaran inilah menjadi sebab utama penghasil mengeluarkan coin yang baru. Sejak bitcoin diperkenalkan sehingga kepada proses pengurangan penghasilan yang pertama, penghasil diberi pulangan sebanyak 50 BTC bagi setiap blok. Kemudian jumlah pulangan itu dikurangkan kepada 25 BTC, dan kitaran seterusnya sebanyak 12.5 BTC. Buat masa ini, penghasil menerima sebanyak 6.25 BTC untuk setiap blok yang dihasilkan.
Jika penghasil mengalami kerugian akibat penghasilannya dikurangkan, para pelabur pula adalah sebaliknya, mereka mendapat untung. Seperti pemerhatian di atas, sebelum proses pengurangan pertama, kos setiap BTC adalah sebanyak $127, sebelum kitaran kedua, harganya naik kepada $758, dan sebelum pengurangan penghasilan ketiga, naik kepada $10,943. Penantian yang ditunggu-tunggu sudah tidak lama, kurang daripada dua tahun lagi, untuk mengetahui sama ada lonjakan harga BTC yang sama akan berlaku pada tahun 2024 ataupun tidak.
Kumpulan Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali