Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 27 Jun - 1 Julai, 2022

EUR/USD: Minggu Yang Tenang

  • Keadaan agak tenang buat pasangan EUR/USD pada minggu lalu. Ia bergerak di sepanjang Pivot Point 1.0500, dan julat maksimum turun naiknya adalah kurang daripada 140 mata (1.0468-1.0605), jumlah yang agak kecil mengikut situasi sekarang ini.

    Hakikatnya, selain daripada cadangan untuk memperkenalkan pengecualian cukai ke atas bahan api selama 3 bulan, rayuan Presiden Joe Biden terhadap Kongres AS tidak memberi apa-apa makna. Manakala cukai kerajaan persekutuan yang dikenakan ke atas bahan api hanyalah sebanyak 18 sen bagi setiap gelen, iaitu kurang daripada 4%. Maka, untuk jangka masa pendek, langkah-langkah yang diambil ini tidak akan memberi kesan ke atas ekonomi, apatah lagi untuk mengurangkan inflasi.

    Bagi Rizab Persekutuan, ketuanya iaitu Jerome Powell juga tidak mengatakan apa-apa yang baru semasa berucap di hadapan Kongres. Beliau hanya mengesahkan bahawa organisasi di bawah seliaannya akan terus mengetatkan polisi kewangan bagi mengekang kenaikan kadar inflasi walaupun dengan ancaman berlakunya kemelesetan ekonomi. Keinginan itu turut disahkan oleh rakan sejawat Powell iaitu Michelle Bowman, ahli Lembaga Gabenor Rizab Persekutuan yang menyatakan kenaikan kadar faedah utama sebanyak 0.75% pada bulan Julai dan sekurang-kurangnya 0.50% pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang berikutnya bukan saja wajar diambil, malah sangat-sangat perlu.

    Tiada sebarang kejutan dalam kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua pihak, dan rupa-rupanya pasaran sudah lama memasukkan kenaikan yang disasarkan itu ke dalam sebut harganya. Namun, hasil bon 10 tahun kerajaan AS mengubah arah pergerakannya setelah melihat keadaan semasa dan turun ke paras paling rendah dalam tempoh dua minggu, susut daripada 3.5% kepada 3.0%. Sebaliknya, kadar pasaran saham (S&P500, Dow Jones dan Nasdaq) serta aset berisiko yang lain mengalami sedikit pertumbuhan. Kenaikan ini dibantu oleh ketiadaan sebarang berita penting dari perang antara Ukraine-Rusia serta penurunan harga sumber tenaga asli yang berkaitan dengannya. Sebagai contoh, kos minyak mentah telah turun kira-kira 10-13% sepanjang 10 hari yang lalu.

    Walaupun statistik makro yang dikeluarkan pada hari Khamis, 23 Jun pada mulanya telah mengakibatkan pertambahan kadar turun naiknya, namun kedudukan pasangan EUR/USD pada akhirnya kembali ke titik keseimbangan seperti buaian. Punca perkara itu berlaku adalah aktiviti perniagaan di EU dan AS rupa-rupanya lebih membimbangkan daripada jangkaan. Mengikut jangkaan, indeks aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan di Eurozone seharusnya menurun daripada 54.6 kepada 54.0, tetapi sebenarnya ia turun kepada 52.0 mata. Indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan pula menunjukkan indikator yang sama: turun kepada 52.8 berbanding 55.8 yang diunjur daripada 56.1 mata. Justeru, kadar indeks komposit Markit susut sebanyak 2.9 mata berbanding 0.6 mata, daripada 54.8 kepada 51.9 (diunjur kepada 54.2).

    Seperti di Eropah, statistik sama yang dikeluarkan di Amerika rupa-rupanya juga mengecewakan. Maka, kadar indeks aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan susut sebanyak 4.6 mata daripada 52.4 (bacaan sebelum ini ialah 57.0, diunjur 56.0). Bacaan pada indikator sama dalam sektor perkhidmatan dilihat sedikit baik: turun daripada 53.4 kepada 51.6 mata (diunjur 53.0). Hasilnya, kadar indeks komposit aktiviti perniagaan susut daripada 53.6 kepada 51.2 mata, berbanding 52.8 mata yang diunjur.

    Pasangan EUR/USD mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.0555. Semasa ulasan ini dibuat, pada petang 24 Jun, pendapat penganalisis adalah seperti berikut: 35% memihak kepada bull, 55% - memihak kepada bear, dan 10% lagi tidak dapat membuat keputusan. Bacaan indikator pada D1 dilihat agak kacau-bilau. Dalam kalangan pengayun, 35% adalah berwarna merah, 25% berwarna hijau dan 40% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 60% berwarna merah dan 40% berwarna hijau. Rintangan kuat yang paling dekat berada di zon 1.0600, jika berjaya diatasi, bull akan cuba untuk menembusi rintangan pada paras 1.0640 dan naik ke zon di antara 1.0750-1.0770, sasaran berikutnya ialah 1.0800. Selain daripada 1.0500, tugas nombor 1 bear adalah untuk melepasi paras sokongan di sekitar 1.0470, kemudian memperbaharui paras terendah 13 Mei iaitu 1.0350 selepas itu. Jika berjaya, mereka akan menuju ke paras terendah untuk tahun 2017 iaitu 1.0340, di bawah paras itu hanyalah paras sokongan daripada 20 tahun yang lalu.

    Untuk minggu hadapan, data dari pasaran pengguna AS akan dikeluarkan pada hari Isnin, 27 Jun, data dari pasaran pengguna di Jerman pula pada 29 dan 30 Jun, manakala indeks harga pengguna (CPI) di Eurozone pula pada hari Jumaat, 1 Julai. Bacaan indeks PMI Pembuatan di AS juga akan diketahui pada 1 Julai. Disamping itu, tumpuan boleh diberikan kepada data KDNK (Q1) di AS yang akan dikeluarkan pada 29 Jun. Selain itu, ketua ECB iaitu Christine Lagarde dijadualkan akan membuat pelbagai kenyataan pada minggu hadapan: beliau akan berucap pada 27, 28 dan 29 Jun. Rakan sejawat beliau di negara seberang iaitu Jerome Powell juga akan memberikan ucapan, tetapi hanya sekali, pada hari Rabu, 29 Jun.

GBP/USD: Mencari Dorongan

  • Setelah memulakan minggu dagangan pada paras 1.2216, pasangan GBP/USD mengakhirinya dengan berada pada kedudukan 1.2280. Jika julat turun naik maksimum antara 13 Jun dan 17 Jun adalah lebih daripada 470 mata, julatnya adalah 3 kali lebih rendah pada minggu lalu, hanya kekal dalam lingkungan 160 mata. Keadaan tenang ini besar kemungkinan disebabkan oleh ketiadaan data makroekonomi yang penting. Walau bagaimanapun, ia juga menandakan pasaran gagal memutuskan apa yang perlu dibuat dengan pound, dan sedang mencari pendorong untuk menggerakkan pasangan ini sama ada ke atas atau pun ke bawah.

    Menurut sebilangan penganalisis, pengukuhan nilai mata wang British terhalang dengan keadaan politik yang tidak stabil. Perdana Menteri Boris Johnson sudah pun terselamat daripada undi tidak percaya pada Jun lalu, dengan beberapa orang menteri daripada Parti Konservatif beliau sendiri mengundi menentangnya. Disamping itu, selepas berakhirnya pilihanraya kecil tersebut, parti itu kehilangan dua kerusi dalam Parlimen UK.

    Dari segi ekonomi negara, mengikut Jabatan Statistik Kebangsaan, untuk bulan Mei jualan runcit susut sebanyak 0.5% bulan ke bulan. Kadar ini dilihat sedikit baik berbanding jangkaan pasaran yang menjangkakan penyusutan sebanyak 0.7%. Namun ia tidak banyak membantu mata wang British kerana kadar tahunannya sudah mencecah 9.1%, kadar tertinggi yang baru dalam tempoh 40 tahun. Penyebab utama kepada peningkatan kadar inflasi adalah berpunca daripada kenaikan harga minyak serta produk makanan.

    Menurut sebilangan penganalisis, kadar inflasi di United Kingdom akan terus meningkat dan mungkin akan mencecah 11% menjelang bulan November nanti. Perkara ini jelas menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduknya kerana ia mengurangkan jumlah pendapatan, menyusutkan nilai simpanan, serta melemahkan kuasa membeli sedia ada. Bagi membendung perkara-perkara ini, pihak Bank of England telah menaikkan kadar faedah daripada 1.00% kepada 1.25% pada 16 Jun lalu. Akibatnya, mata wang British memperolehi 365 mata dalam masa beberapa jam saja. Namun bolehkan pihak penggubal dasarnya bertahan daripada berasa takut ekonomi di negara itu akan jatuh meleset dan terus menaikkan kos pinjaman secara berkala seperti yang dilakukan oleh pihak Rizab Persekutuan AS? Kebanyakan pedagang dan pelabur berasa ragu-ragu dengan perkara itu.

    Buat masa ini, 40% daripada penganalisis percaya bahawa pasangan GBP/USD akan sekali lagi cuba menguji paras rintangan 1.2400 tidak lama lagi, 25% pula adalah sebaliknya, menunggu untuk menguji paras sokongan di sekitar 1.2170-1.2200, baki 35% lagi penganalisis berpendirian neutral.

    Dalam kalangan indikator trend pada D1, keseimbangan yang memihak kepada warna merah adalah 75-25%. Tiada kelebihan yang jelas kelihatan dalam kalangan pengayun: hanya 45% yang menunjukkan penurunan, 25% menunjukkan arah bertentangan, dan baki 30% menunjukkan pergerakan mendatar. Sokongan berada pada paras 1.2170-1.2200, kemudian 1.2075 dan 1.2040. Paras sokongan yang kukuh buat pasangan ini terletak pada paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000, diikuti dengan paras terendah 14 Jun lalu iaitu 1.1932. Jika berlakunya pertumbuhan, pasangan ini akan bertemu dengan rintangan di zon dan paras 1.2300-1.2325, 1.2400-1.2430, 1.2460, kemudian paras sasaran di sekitar 1.2500 dan 1.2600 selepas itu.

    Untuk data makroekonomi yang berkaitan United Kingdom pada minggu hadapan, kami boleh katakan tentang data KDNK di negara itu untuk Q1 2022 yang akan diketahui pada hari Khamis, 30 Jun. Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey dijangka akan memberi ucapan sehari sebelum itu, pada Rabu, 29 Jun mungkin juga menarik minat. Kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di UK akan dikeluarkan pada hari terakhir minggu bekerja, hari Jumaat, 1 Julai.

USD/JPY: Corak "Head" dan "Shoulders" Kelihatan. Apakah Seterusnya?

  • Pergerakan USD/JPY membentuk corak klasik analisis teknikal iaitu head dan shoulder sepanjang minggu lalu. Bermula pada paras 134.95, ia bergerak naik ke ketinggian 136.70, kemudian turun ke paras terendah mingguan pada 134.25, dan berakhir pada paras 135.20.

    Perbezaan polisi kewangan antara Bank of Japan dan juga Rizab Persekutuan AS telah membantu kadarnya memperbaharui paras tertinggi sepanjang 24 tahun sekali lagi, melonjak ke paras 136.70 pada hari Rabu, 22 Jun. Telah banyak kali kami nyatakan tentang perkara ini. Bagi penurunan yang berlaku selepas itu, berkemungkinan besar ia disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah dunia untuk bulan Jun, sesuatu yang negara ini banyak bergantung, serta penyusutan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS.

    Semua orang tahu mengenai bon 10 tahun Perbendaharaan AS yang berkorelasi secara langsung dengan pasangan mata wang USD/JPY. Jika hasil yang diperoleh daripada sekuriti ini berkurang, nilai yen akan lebih kukuh berbanding dolar, manakala kadar pasangan USD/JPY akan membentuk trend ke bawah. Inilah yang dapat kami perhatikan dalam beberapa hari sebelum minggu lalu berakhir, apabila hasik bon kerajaan itu susut sebanyak 3%.

    Reuters melaporkan bahawa kadar tahunan inflasi pengguna teras di Jepun untuk bulan Mei mungkin akan melebihi sasaran bank negara berkenaan iaitu 2% pada bulan Mei untuk dua bulan berturut-turut. Ini adalah isyarat yang menunjukkan pertambahan tekanan terhadap ekonomi rapuh di Jepun akibat kenaikan harga bahan mentah dunia.

    Sebilangan penganalisis percaya bahawa unjuran yang dibuat oleh Bank of Japan (BOJ) mengenai kenaikan harga yang bersifat sementara adalah tidak benar. Oleh itu, polisi kewangan “super-dove” yang diambil penggubal dasarnya juga adalah salah. Para penganalisis ini berkata, kos import yang meningkat akibat nilai yen yang lemah serta kenaikan harga minyak dan makanan yang berpunca daripada serangan ketenteraan Rusia terhadap Ukraine mampu mengekalkan kadar inflasi di atas paras sasaran Bank of Japan untuk sebahagian besar tahun 2022.

    Barisan kepimpinan negara Jepun tidak menafikan masalah ini. Maka, pihak Kerajaan dan juga Bank of Japan telah mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 17 Jun lalu yang menyatakan kebimbangan mereka mengenai penurunan mendadak nilai mata wang negara tersebut. Seiji Kihara, Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun juga berkata impak inflasi terhadap sentimen pengguna akan dipantau dengan rapi. Walau bagaimanapun, menurut Masayoshi Amamiya, Timbalan Gabenor Bank Negara Jepun, ekonomi negara itu mula mendapat momentum, maka BOJ akan terus mengenakan polisi kredit kewangan yang longgar.

    Mengambil kira perkara di atas, kelebihan dari segi fundamental secara umumnya masih berada pada pihak bull USD/JPY, dan penurunan semasa yang berlaku boleh dianggap sebagai satu pembetulan bagi lonjakan ke paras tertinggi berbilang tahun yang dicapai sebelum ini akibat harga minyak yang rendah serta penyusutan hasil bon Perbendaharaan.

    Kebanyakan penganalisis (50%) menjangkakan pembetulan akan terus berlaku sekurang-kurangnya ke paras 133.00-133.50. 30% penganalisis pula bersetuju dengan hakikat bahawa pasangan ini akan cuba untuk memperbaharui paras tertingginya sekali lagi dan naik di atas paras 137.00, manakala 20% pula percaya pasangan ini akan kembali tenang, dan bergerak mengikuti trend mendatar. Untuk indikator pada D1, gambarannya sangat berbeza dengan pendapat penganalisis. 85% pengayun berwarna hijau (10% daripadanya berada di zon lebihan belian), baki 15% lagi berpendirian neutral. Untuk indikator trend, 85% menunjukkan pertumbuhan dan hanya 15% yang menunjukkan penurunan. Sokongan terdekat berada pada paras 134.40, diikuti dengan zon dan paras 134.00, 133.50, 133.00, 132.30, 131.50, 129.70-130.30, 128.60 dan 128.00. Selain daripada menembusi rintangan pada paras 135.40 serta paras tertinggi pada 22 Jun lalu iaitu 136.70, agak sukar untuk menentukan sasaran bull yang seterusnya. Menjadi kebiasaan, paras dengan nombor bulat seperti 137.00, 140.00 dan 150.00 sering didapati dalam ramalan. Jika kadar pertumbuhan pasangan ini kekal seperti yang berlaku sejak 3 bulan lalu, kedudukannya mampu mencecah zon 150.00 pada hujung Ogos atau awal September.

    Untuk kalendar pada minggu hadapan, kami boleh tandakan hari Jumaat, 1 Julai iaitu hari indeks sentimen Tankan (Q2) bagi syarikat-syarikat pembuatan dan bukan pembuatan yang besar akan dikeluarkan.

MATA WANG KRIPTO: Unjuran Kadar BTC Oleh Presiden El Salvador

  • Kami memberikan judul “Pertumpahan Darah atau Bertarung untuk $20,000” pada ulasan sebelum ini. Pada minggu lalu, tidak banyak pertumpahan darah yang berlaku, tetapi seperti yang dijangka, pertarungan untuk $20,000 masih lagi belum berakhir. Paras paling rendah minggu lalu berada pada nilai $17,597, paras maksimumnya ialah $21,667, dan kedudukan pasangan BTC/USD pada hari Sabtu, 25 Jun ialah $21,350. Pada tahap ini, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $0.960 trilion ($0.895 trilion seminggu sebelum itu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto masih belum meninggalkan zon Extreme Fear dan berada di sekitar 11 mata daripada 100 mata keseluruhannya (7 mata pada seminggu yang lalu).

    Keadaan di pasaran secara umumnya adalah sangat konsisten dengan Extreme Fear. Sekali lagi wujudnya perbincangan tentang pengakhiran bitcoin di Internet. Mengikut data Google Trends, bilangan carian untuk pertanyaan berkenaan topik ini kembali mencecah jumlah maksimumnya, hampir menyamai jumlah pada Disember 2017. Jika diingat pada waktu itu, semasa kadarnya menghampiri nilai $20,000 yang diimpikan, ia mengubah arah pergerakan dan jatuh ke bawah, susut lebih 40% daripada nilainya dalam masa beberapa hari. Satu perkara yang membezakan situasi penurunan itu dengan keadaan sekarang adalah nilai bitcoin menghampiri paras $20,000 dari arah bawah, kini ia datang dari arah atas. Dulu, pasaran mahu nilai itu sebagai paras tertinggi, sekarang nilai itu menjadi paras terendahnya. Tambahan pula, menurut sebilangan orang berpengaruh, nilai $20,000 itu tidak semestinya akan menjadi paras paling rendahnya.

    Menurut Peter Schiff, Presiden syarikat Euro Pacific Capital, seorang pengkritik mata wang kripto terkenal, “setakat ini, tiada sebarang petanda keadaan ini akan berakhir yang kebiasaannya membentuk bahagian bawah pasaran bearish”. Menurut penyokong emas itu, paras $20,000 akan menjadi “perangkap bull” seperti yang sama berlaku pada paras $30,000 sebelum ini. “Nilainya tidak akan terus jatuh dengan mendadak. Sebenarnya ia adalah penurunan yang teratur dalam gerak perlahan,” jelas Schiff. Jika diingat pada bulan Mei lalu beliau ada menjangkakan bitcoin mungkin akan menguji nilai $8,000. Beliau juga ada mencadangkan nilai minimumnya adalah lebih rendah pada pertengahan Jun, sekitar $5,000.

    Menurut presiden Euro Pacific Capital itu, kejatuhan pasaran mata wang kripto akan memberi kebaikan kepada keadaan ekonomi. Kevin O’Leary, pengacara bersama rancangan TV perniagaan berjudul Shark Tank juga mengatakan perkara yang sama. Beliau percaya bahawa sesiapa pun tidak seharusnya takut apabila syarikat-syarikat besar menjadi muflis semasa musim dingin kripto berlaku. “Ini adalah perkara baik buat kesemua syarikat yang lain kerana mereka akan mempelajari sesuatu daripadanya. Saya rasa kita akan dapat lihat ramai orang yang muflis dalam pasaran mata wang kripto tidak lama lagi. Saya tidak tahu siapakah mereka itu. Nanti bolehlah kamu mengenali wajah mereka yang berani mengambil risiko besar. Namun saya yakin saya pernah melihatnya sebelum ini. Hidup mereka telah musnah, dan ia adalah sesuatu yang baik,” jelas jutawan tersebut.

    Saluran kripto InvestAnswers pula menamakan 3 pemangkin yang mungkin akan menjatuhkan lagi pasaran. Harga BTC mungkin akan menjadi lebih rendah jika CEO MicroStrategy iaitu Michael Saylor mengambil keputusan untuk menjual bitcoin dalam rizab yang dimiliki syarikat berkenaan. Disamping itu, potensi untuk coin stabil Tether (USDT) runtuh serta masalah yang dihadapi oleh syarikat lindung nilai mata wang kripto Three Arrows Capital mungkin juga akan menambah lagi kebarangkalian kejatuhan nilai BTC. Menurut InvestAnswers, kita juga tidak boleh lupa tentang kemungkinan untuk Tesla menjual aset kripto mereka.

    MicroStrategy melaporkan kerugian sebanyak $1.2 bilion pada minggu lalu akibat kejatuhan harga bitcoin. Bagi dana Three Arrows Capital pula, kini hanya $2.4 bilion saja aset yang tinggal daripada jumlah $18 bilion.

    Masalah besar bukan saja dihadapi oleh para pelabur, malah juga para penghasil. Disebabkan harga BTC yang jatuh serta pertambahan kadar kerumitan pengiraannya, jumlah pulangan daripada penghasilannya kini adalah 65% lebih rendah berbanding nilai puratanya pada tahun ini. Dalam masa yang sama, tahap keberkesanan mesin Antminer S19 ASIC oleh Bitmain adalah 80% lebih teruk berbanding pada tahun November 2021, dan model S9 yang popular pula telah hilang reputasinya sama sekali. Situasi ini telah mengakibatkan syarikat-syarikat penghasil terpaksa menjual BTC yang dimilikinya untuk membayar semula pinjaman serta menampung kos operasi semasa, dan perkara ini menambah tekanan kepada pasaran. Baki rizab mereka dianggarkan berjumlah 46,000 coin (kira-kira $920 juta). Jika kesemua jumlah bitcoin ini turut dijual, sudah pasti sebut harganya akan jatuh menjunam.

    Penganalisis dengan nama Capo yang telah meramalkan dengan tepat tentang keruntuhan pasaran mata wang kripto pada tahun ini, memperbaharui ramalan beliau. Pada pendapatnya, nilai BTC dijangka akan turun kepada $16,200, manakala ETH pula turun kepada $750. Menurut Capo, para pelabur menipu diri mereka sendiri dengan mempercayai lonjakan singkat nilainya bermaksud bitcoin sudah mencapai kitaran paras terendahnya: “Perangkap bull. Wang dari altcoin mengalir masuk ke dalam BTC yang juga akan dijual tidak lama lagi. Kedudukan paling rendah masih lagi belum dicapai,” jelas beliau.

    Menurut seorang lagi penganalisis, pakar strategi kripto iaitu Kevin Svenson, nilai bitcoin berpeluang untuk mencecah paras paling rendahnya dalam julat antara $17,000-18,000, dan selepas itu lonjakan di atas paras $30,000 mungkin akan berlaku. Dalam masa yang sama, walaupun Svenson menjangkakan pertumbuhan jangka masa pendek, beliau tidak nampak sebarang sebab untuk mewujudkan pasaran bull yang baru dalam masa terdekat: “Mengatasi rintangan penting ke bawah menjadi penghalang utama dan proses ini mungkin akan berterusan sehingga akhir tahun nanti.” Menurut pakar strategi itu, setelah rintangan berbentuk pepenjuru itu diatasi, bitcoin boleh didagangkan dalam julat sempit untuk beberapa bulan dan hanya memulakan trend ke atas yang baru pada tahun 2024.

    Walaupun dengan nilai semasa bitcoin yang rendah, ramai peserta dalam industri kripto percaya dengan pertumbuhannya pada masa hadapan. Contohnya, ada yang mempercayai nilai BTC mampu mencecah $100,000 menjelang 2025. Salah seorang penyokong sikap optimis seperti itu ialah penganalisis dengan nama gelaran PlanB yang memberikan ramalan berdasarkan kepada model Stock-to-Flow (S2F). Model ini memberikan hasil yang baik sepanjang tiga tahun ini sehinggalah pada bulan Mac 2022 lalu apabila ia memberikan ramalan yang salah.

    Pengasas The Daily Gwei iaitu Anthony Sassano dan pengasas bersama Ethereum iaitu Vitalik Buterin baru-baru ini telah mengkritik S2F, menasihatkan PlanB untuk memadam akaun beliau.

    Penganalisis itu berhati-hati dalam memberikan reaksi terhadap kritikan yang diterimanya. Beliau menyatakan apabila berlakunya bencana seperti keruntuhan pasaran, ramai yang tercari-cari kambing hitam untuk dipersalahkan, termasuklah para pemimpin. Kemudian PlanB membentangkan satu graf untuk lima model ramalan harga BTC yang berbeza. Mengikut ilustrasi yang ditunjukkan, gambaran paling tepat telah ditunjukkan oleh anggaran berdasarkan kepada tahap kerumitan dan kos penghasilan mata wang kripto pertama itu. Model S2F pula menunjukkan gambaran yang tersangat-sangan optimis.

    Seorang lagi penganalisis, Benjamin Cowen, mencadangkan model paras terendah bitcoin miliknya. Beliau percaya bahawa paras paling rendah boleh diunjur dengan berdasarkan pada korelasi antara kadar inflasi, indeks saham S&P 500 dan juga harga BTC. Penganalisis itu memberi hujah bahawa sebelum ini kadar indeks S&P 500 tidak pernah jatuh ke paras paling rendah sehinggalah kadar inflasi memuncak dan kemudian menurun. Oleh itu, nilai BTC juga tidak akan mencapai paras paling rendahnya atas sebab yang sama. “Indikator makroekonomi dilihat sangat-sangat suram buat masa ini. Jika anda kembali ke zaman 1970-an, anda boleh lihat jenis pergerakan yang sama iaitu kadar indeks S&P mencecah kedudukan terendahnya apabila inflasi mencapai kadar tertingginya buat pertama kali. Pada ketika itu, kadar indeks S&P susut kira-kira 50%,” jelas Cowen.

    Bagi mengakhiri ulasan ini, kami sediakan satu lagi “model ramalan” untuk dimasukkan ke dalam bahagian petua hidup kripto kami yang melucukan. Ia disampaikan oleh Presiden El Salvador, Nayib Bukele. “Nasihat saya adalah berhenti melihat carta dan nikmati hidup anda. Jika anda telah melabur di dalam BTC, pelaburan anda selamat, nilainya akan naik tidak terkira apabila pasaran bear ini berakhir. Yang penting adalah bersabar,” coret beliau. Untuk rujukan, terdapat sebanyak 2,301 BTC dalam dana bitcoin umum El Salvador, dibeli dengan purata harga sebanyak $43,900. Maka, buat masa ini, kerugian yang mereka alami adalah kira-kira 55%. Namun, mengikut “model” yang dihasilkan oleh Nayib Bukele, jangan terlalu berikan perhatian kepada “perkara remeh”. Paling utama adalah untuk menikmati kehidupan ini!

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.