EUR/USD: Semakin Menghampiri 1.0000
- Kami telah berulang kali nyatakan mengenai keinginan dolar untuk mencapai kesetaraan nilai 1:1 dengan euro. Namun kami tidak jangkakan ia akan berlaku secepat ini: pasangan EUR/USD mencecah paras terendah mingguannya iaitu 1.0071 pada hari Jumaat, 8 Julai. Hanya tinggal 71 mata lagi sebelum mencecah kadar 1.0000. Kali terakhir kadarnya serendah ini adalah pada bulan Disember 2002.
Kedudukan tertinggi mingguannya direkodkan pada paras 1.0462. Ini bermakna, mata wang AS telah merampas hampir 400 mata daripada mata wang Eropah di antara 4 Julai dan 8 Julai. Terdapat dua sebab berlakunya perkara ini.
Yang pertama adalah pengukuhan nilai dolar di mana kadar indeks DXY telah memperbaharui kadar tertinggi dalam tempoh 20 tahun dengan mencecah paras 107.77 pada 8 Julai. Seperti sebelum ini, punca kepada dinamik seperti itu terletak pada pengetatan polisi kewangan (QT) oleh Bank Persekutuan AS. Minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) untuk bulan Jun yang dikeluarkan pada hari Rabu, 6 Jun telah sekali lagi mengesahkan keinginan penggubal dasar untuk mengekang kenaikan kadar inflasi dengan apa cara sekalipun. Perkara utama yang boleh dilakukan adalah menaikkan kadar pembiayaan semula tabung persekutuan dengan mendadak. Jika diingat kadarnya itu telah dinaikkan terus sebanyak 0.75% pada bulan Jun, kenaikan pertama seperti itu sejak tahun 1994. Seperti dalam minit mesyuarat FOMC, para ahli jawatankuasa percaya bahawa kadar itu akan dinaikkan lagi antara 50-75 mata asas pada mesyuarat yang akan berlangsung seterusnya pada 27 Julai.
Jika diingat ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell yang turut menyertai forum ECB di bandar Sintra, Portugis telah memberi keyakinan bahawa ekonomi AS berada di landasan yang betul bagi bertahan daripada pengetatan polisi kewangan secara aktif yang dilaksanakan oleh jabatannya.
Harus maklum di sini bahawa situasi yang agak jarang berlaku di pasaran apabila kadar indeks saham AS mengalami pertumbuhan bersama-sama dengan kenaikan nilai dolar. Maka, kadar indeks S&P500 mengalami pertumbuhan sebanyak 7.5% (daripada 3635.60 kepada 3910.60) sejak 17 Jun lalu, manakala kadar indeks Dow Jones - naik sebanyak 6.1% (daripada 29646.60 kepada 31463.00). Punca kepada keadaan ini berkemungkinan adalah para pelabur melaburkan sebahagian dolar yang diperolehi hasil daripada jualan mata wang euro, lain-lain mata wang, serta aset berisiko dari negara yang lain, ke dalam saham syarikat-syarikat di Amerika. Hal ini tetap berlaku walaupun pada hakikatnya Jerome Powell telah menyatakan dengan jelas dalam sidang akhbar di Sintra bahawa kemelesetan ekonomi di AS tidak dapat dielakkan daripada berlaku, dan pihak Bank Rizab Persekutuan Atlanta telah mengumumkan kadar KDNK di AS boleh susut sebanyak 2.1% untuk suku tahun semasa. Namun, tanpa disedari, situasi yang dihadapi negara lain adalah lebih teruk, maka para pelabur tidak memiliki banyak pilihan.
Faktor kedua yang memberi lebih banyak tekanan kepada pasangan EUR/USD adalah masalah yang dihadapi ekonomi di Eropah disebabkan oleh sekatan ekonomi ke atas Rusia akibat serangan ketenteraan terhadap Ukraine, dan perkara ini telah memberi ancaman kepada EU dengan krisis bahan api yang semakin berlarutan.
Minggu lalu, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde ada menyebut “unjuran bagi kadar inflasi di Eurozone adalah lebih tinggi daripada sebelum ini”, sehinggakan “kita tidak mungkin akan merasai kadar inflasi yang rendah dalam masa terdekat”, dan pihak penggubal dasar “akan mengambil langkah yang perlu bagi mengurangkan kadar inflasi yang disasarkan iaitu 2%”. Namun kurang beberapa hari selepas itu, ketua Bundesbank iaitu Joachim Nagel menyeru pihak ECB untuk berhati-hati dalam mengetatkan polisi kewangan mereka kerana kenaikan kadar faedah boleh mendorong ekonomi negara paling lemah di Eurozone ke ambang kemuflisan. Disebabkan kenyataan itu, pasaran memutuskan bahawa pihak penggubal dasar akan perlahan-lahan menaikkan kadar faedahnya dan lebih aktif dalam jualan euro sebagai respon terhadap kata-kata Joachim Nagel itu.
Perlu diingatkan bahawa statistik makro yang dikeluarkan baru-baru ini telah dijadikan sebagai alasan untuk pembetulan, atau sebaliknya, untuk kembali mengikuti trend bearish: secara keseluruhan, pasangan ini telah kerugian kira-kira 2,200 mata sejak Januari 2021, dan penyusutan nilai yang dialaminya telah melebihi 5,800 mata sejak Julai 2008. Setelah melalui pembetulan kecil, kedudukan terakhir pada minggu lalu berada pada paras 1.0177. Semasa ulasan ini ditulis, pada petang 8 Julai, pendapat para penganalisis adalah seperti berikut: 65% penganalisis menjangkakan penurunan akan terus berlaku, 15% memihak kepada bull dan 20% lagi tidak dapat membuat keputusan. Bacaan indikator pada D1 memberikan isyarat yang kabur sepenuhnya: 100% pengayun serta indikator trend adalah berwarna merah. Hanya satu perkara yang boleh diberi perhatian adalah 15% daripada pengayun sudah pun berada di zon lebihan jualan.
Selain daripada paras sokongan 1.0160 dan paras paling rendah minggu lalu iaitu 1.0071, tugas utama bear adalah untuk meraikan kemenangan mereka dengan mencecah paras 1.0000. Dengan kebarangkalian yang kecil akibat inersia, pasangan ini mungkin akan turun lebih rendah ke zon rintangan/sokongan purata pergerakan selama 200 hari yang kukuh, di antara 0.9900-0.9930. Dalam hal ini, paras 1.0000 akan menerima serangan bull, bukannya bear. Namun perkara ini mungkin tidak akan berlaku. Cukup untuk mengimbas kembali pada tahun 2017, apabila kedudukannya turun ke paras 1.0340, pasangan EUR/USD mengubah arah pergerakan dan melonjak naik ke paras 1.2555. Sasaran terdekat bull adalah kembali ke zon di antara 1.0350-1.0450, kemudian zon-zon di antara 1.0450-1.0600 serta 1.0625-1.0760. Jika berjaya, bull akan cuba untuk naik ke zon antara 1.0750-1.0770, dan sasaran berikutnya ialah 1.0800.
Bagi kalendar ekonomi untuk minggu hadapan, hari Rabu, 13 Julai boleh dianggap penting apabila data pasaran pengguna di Jerman dan di AS akan diketahui. Sebahagian lagi statistik makro dijangka akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 15 Julai iaitu data jualan runcit di AS serta kadar Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan.
GBP/USD: Pertarungan Merebut Paras 1.2000
- Tidak seperti penurunan nilai euro, pasangan GBP/USD berjaya untuk bertahan pada paras 1.2000. Setelah memulakan minggu pada paras 1.2095, pertama sekali ia naik ke paras 1.2164, kemudian turun ke paras 1.1875, namun akhirnya berjaya mengakhiri tempoh lima hari dengan berada pada paras 1.2030. Perkara ini terjadi walaupun dengan krisis politik yang berlaku di UK serta kenyataan beberapa orang menteri, termasuklah Perdana Menteri Boris Johnson sendiri, mengenai perletakan jawatan mereka.
Secara logiknya faktor lain, termasuklah faktor ekonomi, seharusnya juga memberi tekanan untuk pound bergerak ke bawah. Antaranya ialah masalah berkaitan dengan Brexit. Jika diingat terdapat rang undang-undang di Parlimen negara tersebut yang membenarkan prosedur kastam diubah secara unilateral antara Britain dan Ireland Utara, dan undang-undang itu telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk keluar dari EU. Sebagai tindak balas, menteri luar Jerman dan Ireland yang berang telah menuduh United Kingdom mencabul perjanjian antarabangsa dan menjangkakan kebanyakan hubungan perdagangan antara negara-negara itu akan terputus.
Kadar inflasi tertinggi dalam tempoh 40 tahun juga agak menyedihkan. Walaupun UK tidak banyak sangat bergantung kepada bekalan tenaga Rusia berbanding EU, perkara ini tidak mengecualikan kemungkinan kadar inflasi di negara tersebut boleh mencecah 11% menjelang bulan November nanti, menolak ekonominya ke lembah kemelesetan yang lebih dalam.
Walau bagaimanapun, ancaman ini mungkin telah bertindak sebagai sokongan kepada pound kerana ia telah mendesak Bank of England (BOE) untuk mengetatkan lagi polisi kewangan mereka dengan lebih cepat. Maka, kenyataan bersifat hawkish oleh barisan kepimpinan penggubal dasar British pada hari Khamis, 7 Julai telah menghalang kejatuhan pasangan GBP/USD dan malah berjaya mengubah arahnya ke atas.
Yang pertama, seorang ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan (MPC) iaitu Katherine Mann berkata bahawa ketaktentuan mengenai proses inflasi telah menguatkan lagi hujah yang memihak kepada kenaikan kadar faedah yang lebih cepat. Tidak lama selepas itu Ketua Pakar Ekonomi Bank of England, Hugh Pill membuat pengumuman bahawa, jika perlu, beliau sedia untuk menerima kadar pengetatan polisi Bank Negara itu yang lebih pantas.
Buat masa ini, 60% penganalisis percaya bahawa pasangan GBP/USD akan terus mengalami penyusutan dalam masa terdekat, 15% pula adalah sebaliknya, menjangkakan perubahan pergerakan ke atas, manakala 25% lagi berpendirian neutral.
Bacaan indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan indikator trend pada D1, nisbah kelebihan adalah sebanyak 85:15% yang memihak kepada warna merah. Dalam kalangan pengayun, kelebihan yang dimiliki bear turun sedikit: 75% menunjukkan penurunan, baki 25% lagi menjangkakan pertumbuhan. Sokongan terdekat adalah 1.2000, diikuti dengan zon 1.1875-1.1930. Sasaran jangka sederhana bear mungkin adalah paras terendah pada Mac 2020 iaitu 1.1409. Jika berlakunya pertumbuhan, pasangan ini akan menemui rintangan di zon dan paras 1.2100, 1.2160-1.2175, 1.2200-1.2235, 1.2300-1.2325, 1.2400-1.2430, 1.2460, kemudian sasarannya berada di sekitar 1.2500 dan 1.2600.
Bagi kalendar makroekonomi di UK, kami nasihatkan untuk memberi tumpuan pada hari Selasa, 12 Julai, apabila ketua Bank of England iaitu Andrew bailey dijangka akan berucap. Data untuk pengeluaran pembuatan serta KDNK di UK akan dikeluarkan pada keesokan harinya, pada hari Rabu, 13 Julai.
USD/JPY: Keadaan Tenang Sebelum Ribut?
- Pasangan USD/JPY tidak memperbaharui paras tertinggi selama 24 tahun buat pertama kalinya dalam masa lima minggu. Seperti yang kami jangkakan, ia bergerak dengan bersahaja, menghabiskan lima hari dengan bergerak dalam julat dagangan antara 134.77-136.55 dan berakhir pada paras 136.06.
Jika diingat bull telah gagal untuk menduduki paras 137.00 pada 29 Jun, terhenti hanya satu mata daripadanya: pada paras 136.99. Adakah ia akan membuat serangan yang baru? Bilangan penyokong senario seperti itu dalam kalangan penganalisis yang mengambil bahagian dalam tinjauan rupa-rupanya adalah sebanyak… 5%. 35% menunggu trend mendatar terus berlaku. Majoriti penganalisis (60%) masih lagi mengharapkan pergerakan ke bawah yang menjadi penentu kepada pasangan ini: bagaimana jika, akhirnya, impian yang dinanti-nanti para pengimport dan suri rumah di Jepun menjadi kenyataan, yen akan membuat serangan, dan mendapatkan semula status sebagai mata wang selamat paling popular?
Untuk indikator pada D1, gambarannya sangat berbeza daripada pendapat penganalisis. Untuk pengayun, 65% berwarna hijau, 10% berwarna merah, dan baki 25% adalah neutral. Untuk indikator trend, 100% menunjukkan pertumbuhan.
Sokongan terdekat adalah 135.50, yang berikutnya adalah 134.75, diikuti dengan zon dan paras 134.00, 133.50, 133.00, 132.30, 131.50, 129.70-130.30, 128.60 dan 128.00. Selain daripada untuk menembusi rintangan paling hampir pada paras 136.35 dan naik ke paras 137.00, agak sukar untuk menentukan sasaran bull yang seterusnya. Menjadi kebiasaan, paras dengan nombor bulat seperti 137.00, 140.00 dan 150.00 sering didapati dalam ramalan. Jika kadar pertumbuhan pasangan ini kekal seperti yang berlaku sejak 3 bulan lalu, kedudukannya mampu mencecah zon 150.00 pada hujung Ogos atau awal September.
Tiada berita yang penting dijangka akan dikeluarkan di Jepun pada minggu ini, sama ada statistik makroekonomi mahupun faktor-faktor politik. Hanya satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah ucapan oleh ketua Bank of Japan, Haruhiko Kuroda pada hari Isnin, 11 Julai. Namun, tiada sebarang kejutan yang boleh dijangka daripada kenyataan beliau itu.
MATA WANG KRIPTO: Lari atau Tunggu?
- Pertarungan pada paras $20,000 masih lagi belum berakhir lebih daripada tiga minggu. Ada satu ketika, malapetaka dilihat pasti akan menimpa, dan pasangan BTC/USD akan jatuh menjunam dalam sekelip mata. Lebih-lebih lagi, beberapa orang penganalisis menjangkakan ia akan kehilangan antara 50-80% daripada nilai semasanya. Robert Kiyosaki, penulis buku paling laris iaitu Rich Dad Poor Dad menjangkakan kejatuhan yang lebih dahsyat, sebanyak 95%, turun kepada $1,100. Namun bull berjaya mengekalkan barisan pertahanannya setakat ini.
Kami telah nyatakan bahawa paras $20,000 adalah kedudukan paling penting dalam sejarah mata wang kripto utama ini. Cukup dengan mengimbau kembali bencana yang dihadapi pada Disember 2017, semasa nilai bitcoin menghampiri paras ini, mencecah ketinggian $19,270, namun kemudian susut nilainya sebanyak 84%. Benar, serangan ke atas nilai $20,000 datang dari arah bawah pada waktu itu, dan sekarang ia datang dari arah atas.
Sesetengah penggemar kripto masih lagi berkeras mengenai pasaran aset digital yang bebas. Mereka percaya bahawa punca kepada jualan dalam skala yang besar serta keruntuhan pasaran sebanyak tiga kali adalah kegagalan beberapa buah projek. Namun, pada pandangan kami, perkaitan dalam kenyataan ini adalah salah sama sekali. Hakikatnya, menghindari risiko di peringkat global menjadi punca utama kepada masalah ini. Takut dengan kemelesetan global yang dijangka akan berlaku serta pengetatan mendadak polisi kewangan Rizab Persekutuan AS, mereka menjual semua aset berisiko yang dimiliki dengan aktif. Pasaran saham global menerima tekanan daripada pihak penjual, dan perkara ini jelas kelihatan pada carta indeks saham seperti S&P500, Dow Jones dan Komposit Nasdaq, indeks yang berkadar langsung dengan BTC. Ke mana arah yang ditujunya, nilai BTC turut akan pergi ke arah yang sama, sudah lama pasaran tersebut hilang kebebasannya. Masalah-masalah berkenaan ekonomi dunia seperti inilah yang mendorong kepada kegagalan beberapa buah projek penting kripto, dan akibatnya, hanya menambah panik dalam kalangan pemilik aset digital.
Menganalisis situasi ini, bekas pengurus lindung nilai Cramer & Co dan juga pengacara rancangan Mad Money di CNBC iaitu Jim Cramer memberitahu bahawa pihak Rizab Persekutuan AS telah mencapai “kejayaan luar biasa” dalam perang menentang mata wang kripto. “Terdapat kejayaan lain dalam kemenangan cemerlang pihak Rizab Persekutuan menentang inflasi: perang menentang spekulasi pasaran. […] Kerja-kerja memusnahkan mata wang kripto hampir selesai, namun mereka dilihat tidak menyedarinya lagi,” jelas beliau.
Menurut Glassnode, penurunan harga bitcoin terbesar pada bulan Jun hampir menolak saki-baki “pelancong pasaran” keluar, hanya meninggalkan hodler “di barisan hadapan”. Dalam konteks dinamik bulanan, hanya situasi yang berlaku pada tahun 2011 adalah lebih teruk daripada keadaan sekarang. Jumlah alamat aktif harian telah turun daripada 1 juta pada November lalu kepada jumlah semasa 870,000. Kadar pertumbuhan bilangan peserta menurun ke paras anti rekod antara tahun 2018-19 dan buat masa ini tidak lebih daripada 7,000 orang pengguna setiap hari.
Aliran keluar terbesar direkodkan dalam kalangan pelabur berinstitusi (syarikat dengan nilai pelaburan minimum $1 juta), penghasil awam (menambah pengeluaran menggunakan kredit), serta pelabur spekulasi dan juga pelabur kasual. Pelabur berinstitusi merekodkan jumlah pengeluaran dari dana kripto tertinggi sebanyak $188 juta pada bulan Jun, dan jumlah “bekalan belum cari” melonjak ke paras tertinggi sejak Julai 2017 iaitu sebanyak 223,000 BTC.
Disebabkan oleh pembetulan yang berlaku dalam pasaran saham AS, bitcoin berjaya naik di atas paras $20,000 pada minggu lalu. Semasa ulasan ini dibuat (pada petang Jumaat, 8 Julai), coin didagangkan di zon $21,800. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $0.966 trilion ($0.876 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto bertambah baik sedikit berbanding minggu lalu, naik daripada 11 mata kepada 20 mata, namun masih berada dalam zon Extreme Fear.
Bagaimanakah masa depan mata wang kripto utama ini? Menurut Timothy Peterson, pengurus pelaburan di Cane Island Alternative Advisors, harga bitcoin akan terus jatuh untuk beberapa bulan selepas ini akibat tekanan daripada faktor yang berlaku di Amerika. Mengikut pengiraan penganalisis itu, kadar kebarangkalian untuk berlakunya kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat telah bertambah kepada 70%, dan dalam masa yang sama, modal akan terus meninggalkan aset berisiko, dan harga BTC mungkin akan turun sebanyak 20% atau 40% menjelang akhir musim panas. Jika diingat, mengikut penyelidik di Arcane Research, penurunan harga bitcoin masih lagi berpotensi untuk jatuh sehingga ke paras $10,350.
Michael Burry, pakar kewangan yang berjaya meramal krisis hartanah 2007 juga mengaku bahawa keadaan pasaran buat masa ini hanya berada di tengah-tengah kitaran bearish. Pelabur yang peranannya dijadikan sebagai watak hero dalam filem berjudul “The Big Short” ini percaya nilai mata wang kripto akan terus jatuh. «Berubah mengikut kadar inflasi, indeks S&P500 susut 25-26%, indeks Nasdaq susut 34-35%, Bitcoin susut 64-65% untuk setengah tahun pertama 2022. Itu adalah pemampatan berganda. Selepas ini, pemampatan perolehan. Mungkin sekarang sudah separuh daripada perolehan hilang,” jelas Burry.
Penganalisis di Deutsche Bank percaya bahawa harga bitcoin mungkin hanya akan naik kepada $28,000 menjelang akhir tahun 2022. Mereka turut menyifatkan pertumbuhan nilai itu adalah disebabkan oleh pertumbuhan kadar pasaran saham di AS. Mereka berpendapat, indeks Nasdaq-100 dan S&P500 mampu untuk pulih seperti paras pada bulan Januari menjelang akhir tahun ini dan menarik nilai bitcoin bersama-samanya.
Ramalan oleh Nikolaos Panigirtsoglou, seorang pakar strategi di sebuah lagi bank, JPMorgan dilihat agak tepat. Beliau akui bahawa keadaan pasaran bear yang paling teruk mungkin sudah berakhir sekarang kerana pelabur utama dalam industri kripto telah “menyelamatkan” pelabur kecil bagi mengekang “jangkitan”. Kenyataan penganalisis itu mungkin adalah berdasarkan kepada keinginan bursa mata wang kripto FTX untuk membeli platform pinjaman BlockFi. Pihak media turut menyebut broker atas talian Robinhood sebagai sasaran untuk pengambilalihan. Sebelum ini, bursa FTX memberi sokongan kepada broker mata wang kripto Voyager Digital. Panigirtzoglou juga menambah “gelombang bagi proses deleveraging akan terus berlaku untuk beberapa ketika,” merujuk kepada hutang yang dimiliki oleh dana lindung nilai Three Arrows Capital.
Pelabur kripto Rekt Capital sedang menantikan ketiadaan golongan penjual di pasaran satu ketika nanti, dan pelabur jangka panjang boleh membeli BTC pada julat harga yang mampu memberi ganjaran maksimum selepas itu. “Sebelum-sebelum ini, purata pergerakan 200 minggu telah dianggap sebagai indikator untuk paras terendah BTC. Mungkin segalanya akan berubah sedikit dalam kitaran yang berlaku sekarang. Bitcoin boleh membentuk julat makro di bawah paras SMA200 dan bukan menjadikan SMA200 sebagai paras terendahnya. Sebenarnya, mana-mana paras di bawahnya akan mewakili peluang paling tinggi untuk membelinya,” jelas Rekt Capital.
Pedagang itu maklum bahawa walaupun nilai bitcoin terus mengikuti trend ke bawah yang kuat, perkara wajib yang menghasilkan kitaran bull yang baru akhirnya akan muncul nanti: “Bitcoin mungkin masih berada dalam fasa memecut ke bawah, dan ia akan diikuti dengan peringkat penyatuan untuk beberapa bulan, dan kemudian berada dalam peringkat trend makro ke atas yang baru selepas itu.”
Semua ramalan di atas menunjukkan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan untuk menunggu lonjakan bullish yang baru. Namun bekas broker saham iaitu Jordan Belfort menasihatkan agar bersabar untuk beberapa tahun, bukannya beberapa bulan. “Jika anda melihat pada tempoh selepas 24 bulan, anda pasti akan mendapat untung jika bernasib baik. Jika melihat pada tempoh tiga atau lima tahun, saya akan terkejut jika anda tidak mendapat sebarang pulangan kerana prinsip asas bitcoin tidak mudah tergugat,” kata beliau, menjelaskan bahawa bekalan mata wang kripto pertama itu adalah terhad sebanyak 21 juta coin digital, dan kadar inflasi dunia terus meningkat.
Jika diingat sebelum ini Jordan Belfort telah didakwa dengan kes penipuan yang berkaitan dengan pasaran sekuriti. Memoir beliau telah menjadi inspirasi kepada pengarah Martin Scorsese untuk menghasilkan filem terkenal berjudul The Wolf of Wall Street. Namun jika dahulu broker ini telah melanggar undang-undang, kini beliau menjadi seorang yang aktif menyokong undang-undang telus terhadap aset kripto.
Charlie Erith, CEO syarikat pelaburan ByteTree berkongsi pendapat yang sama seperti Belfort. Seperti cerita The Wolf of Wall Street, beliau melihat jauh pada masa hadapan, dan mengenal pasti bitcoin dan juga emas sebagai komponen penting dalam portfolio pelaburan jangka masa panjang. Bukan disebabkan oleh nilainya yang dijamin akan naik, tetapi kerana ia dijadikan sebagai cagaran semasa berhadapan dengan era kenaikan inflasi. Walau bagaimanapun, menurut pakar kewangan itu, banyak perkara yang akan bergantung kepada polisi Rizab Persekutuan AS dan bank-bank persekutuan yang lain.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali