EUR/USD: Eksperimen Polisi Kewangan ECB: Memintas Helang dengan Pipit
- Kadar mata wang tunggal Eropah ini mengalami sedikit pertumbuhan pada awal minggu lalu, menetapkan paras tertinggi mingguannya pada kedudukan 1.0272. Terdapat tiga punca kepada situasi ini. Yang pertama dan paling teruk adalah perubahan arah pergerakan selepas pembetulan pasangan EUR/USD yang menemui kedudukan terendah mingguannya iaitu 0.9951 pada 14 Julai setelah berjaya mencapai kadar kesetaraan 1.0000. Yang kedua ialah penyambungan semula bekalan gas Rusia ke EU menerusi saluran paip Nord Stream. Akhir sekali, yang ketiga dan paling penting adalah jangkaan mengenai kenaikan kadar faedah euro. Ini adalah faktor yang penting, lebih-lebih lagi kerana pasaran menjangkakan kadarnya akan dinaikkan terus sebanyak 50 mata asas (bp) seperti yang diumumkan sendiri oleh pihak ECB dalam mesyuarat sebelum ini, dan bukannya sebanyak 25 mata asas. Apa yang berlaku adalah seperti berikut. Buat pertama kalinya dalam tempoh 13 tahun, penggubal dasar Kesatuan Eropah itu menaikkan kadar pembiayaan mereka daripada 0% kepada 0.5% pada hari Khamis, 21 Julai, dan mengeluarkan kadar deposit mereka daripada zon negatif, naik daripada -0.5% kepada 0%.
Pihak ECB menjelaskan dalam sidang akhbarnya dengan menyatakan bahawa sekarang ini adalah masa yang dirasakan sesuai untuk mengambil langkah sebesar itu ke arah menormalkan kadarnya dan diambil atas dua sebab. Sebab pertama adalah sangat jelas dan berkait dengan penilaian kadar pertumbuhan inflasi yang disemak semula. Untuk sebab kedua, pihak ECB mengumumkan pelancaran instrumen baru, Transmission Protection Instrument (TPI) yang seharusnya tidak akan meningkatkan kos pinjaman secara agresif dalam ekonomi Eurozone yang lemah sekarang ini walaupun dengan kenaikan kadar faedah. Penerangan untuk TPI menjelaskan bahawa instrumen ini diperkenalkan bagi menentang pergerakan pasaran yang tidak munasabah dan tidak menentu pada pertengahan bulan Jun lalu.
Ringkasnya, TPI adalah instrumen yang membolehkan pihak ECB membeli semua sekuriti yang dikeluarkan terhadap negara-negara EU akibat keadaan kewangan yang tidak stabil dan berpunca daripada faktor fundamental yang tidak wajar pada pasaran kedua. Jumlah pembelian ini tidak dihadkan oleh apa-apa pun dan akan bergantung pada tahap keterukan risiko. Dengan kata lain, penggubal dasar ini cuba untuk memintas helang dengan pipit: dari satu sudut, dengan menaikkan kadarnya (QT), dan dari sudut yang lain pula, dengan meneruskan program pelonggaran kuantitatif (QE) yang berpotensi untuk tiada had. Reaksi pasaran terhadap eksperimen kewangan ini dilihat agak wajar dan telah dapat dijangka: kadar pasangan EUR/USD susut kepada 1.0152. Selepas itu, kedudukannya naik semula dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0210.
Mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan akan diadakan pada minggu hadapan, pada hari Rabu, 27 Julai. Hampir semua orang menjangkakan kadar faedah utamanya akan dinaikkan dalam mesyuarat itu. Namun berapa banyak? Adakah 100 mata asas, kenaikan yang tidak pernah dilakukan sejak 1981, atau sebanyak 75 mata asas? Jika pihak FOMC memilih kenaikan yang pertama, kadarnya akan mencecah 2.75%. Kadar pertumbuhan inilah yang pasaran telah masukkan dalam sebut harga mereka, menjangkakan serangan baru pasangan EUR/USD pada paras 1.0000. Namun, jika pihak Rizab Persekutuan mengabaikan idea ini dan kenaikan yang dibuat hanyalah bersifat sederhana, maka perubahan arah pergerakan pasangan ini yang lebih tinggi ke atas mungkin akan berlaku.
Semasa ulasan ini dibuat, pada petang 22 Julai, 25% penganalisis menyokong pertumbuhan nilai pasangan ini. Baki 75% pula menjangkakan penurunan. Bacaan pengayun pada D1 memberikan isyarat yang sedikit berbeza: 60% adalah berwarna merah, 25% berwarna hijau dan 15% lagi berwarna kelabu neutral. Bagi indikator trend, 65% menunjukkan penurunan, baki 35% pula berpendirian sebaliknya. Sokongan terdekat pasangan EUR/USD berada di zon antara 1.0150-1.0200, kemudian, sudah tentu paras 1.0000. Jika berjaya ditembusi, sasaran bear adalah paras terendah pada 14 Julai iaitu 0.9950, lebih rendah lagi ialah zon rintangan/sokongan tahun 2002 yang kukuh antara 0.9900-0.9930. Tugas penting bear yang seterusnya adalah untuk melepasi paras rintangan 1.0270 dan kembali ke zon antara 1.0400-1.0450, diikuti dengan zon 1.0520-1.0600 dan 1.0650-1.0750.
Seperti yang telah dinyatakan, peristiwa paling penting untuk minggu hadapan adalah mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan AS dan keputusan mereka terhadap kadar faedah. Jumlah pesanan barangan modal dan barangan tahan lama di AS akan diketahui pada hari yang sama, Rabu, 27 Julai. Data pasaran pengguna (CPI) di Jerman dan Eurozone masing-masing akan dikeluarkan pada hari Khamis, 28 Julai dan Jumaat, 29 Julai. Jumlah awal kadar KDNK di AS (Q2) akan diketahui pada 28 Julai, manakala kadar KDNK di Jerman dan di Eurozone pula pada 29 Julai.
GBP/USD: Persaingan Merebut Paras 1.2000 Terus Berlaku
- Minggu lalu adalah minggu yang agak sibuk buat pound kerana pelbagai statistik makro yang penting di UK telah dikeluarkan. Walaupun semuanya agak samar-samar saja, terdapat antaranya yang menunjukkan perbezaan positif, terutama sekali data yang berkaitan dengan pasaran buruh. Bilangan permohonan bagi faedah pengangguran di negara itu menurun pada bulan lalu daripada 34.7K kepada 20.0K, dan bukannya naik kepada 41.2K seperti yang diunjur.
Tidak seperti EUR/USD, pasangan GBP/USD menunjukkan pertumbuhan yang lebih meyakinkan disebabkan statistik seperti itu dan berjaya kembali ke kedudukan dagangan yang sama seperti pada dua dan lima minggu yang lalu, mengakhiri minggu di sekitar paras 1.2000. Persoalan yang timbul sekarang: adakah paras ini akan menjadi sokongan atau rintangan yang kukuh?
Buat masa ini, 75% daripada penganalisis percaya bahawa mata wang British akan terus mengalami susut nilai, 25% pula adalah sebaliknya, menjangkakan pergerakannya berubah ke atas. Bacaan indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan indikator trend, keseimbangan kekuatan adalah sebanyak 65-35% yang memihak kepada warna merah. Dalam kalangan pengayun, kelebihan yang dimiliki bear adalah kurang sedikit: 35% menunjukkan penurunan, 25% menunjukkan pertumbuhan, baki 40% lagi kekal neutral. Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.1875-1.1915. Di bawahnya adalah paras 1.1800, kemudian paras terendah pada 14 Julai lalu iaitu 1.1759, 1.1650, 1.1535 dan paras terendah Mac 2020 di zon antara 1.1400-1.1450. Bagi bull pula, mereka akan bertemu rintangan di zon dan paras 1.2100, 1.2160-1.2175, 1.2200-1.2235, 1.2300-1.2325 and 1.2400-1.2430.
Kalendar makroekonomi tidak memasukkan sekali berita-berita penting dari United Kingdom sendiri. Faktor yang akan menentukan dinamik pasangan GBP/USD sudah pastinya adalah mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada hari Rabu, 27 Julai. Jika diingat buat masa ini kadar faedah ke atas pound adalah sebanyak 1.25%, dan mesyuarat Bank of England (BOE) yang seterusnya telah dijadualkan pada 4 Ogos, 2022.
USD/JPY: Pembetulan atau Perubahan Trend?
- Apa yang sudah terlalu lama diimpikan oleh kebanyakan penganalisis akhirnya menjadi kenyataan. Pasangan USD/JPY sekali lagi tidak memperbaharui paras tertinggi selama 24 tahunnya lagi, malah juga tidak bertahan, tetapi secara harfiahnya runtuh ke bawah. Semua ini berlaku walaupun pada hakikatnya Bank of Japan (BOJ) telah sekali lagi membiarkan kadar faedahnya tidak berubah pada paras negatif -0.1% pada hari Khamis, 21 Julai. Malah pihak pengurusan penggubal dasar itu tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa polisi kewangan mereka akan diketatkan. Sebaliknya, mereka menyatakan bahawa pihak Bank Negara Jepun tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah pelonggaran (QE) tambahan yang baru jika perlu, dan juga menjangkakan kadar faedah jangka masa pendek dan panjangnya tidak akan berubah atau turun (!) menjadi lebih rendah.
Walaupun kadar inflasi di Jepun lebih cenderung untuk naik, ia masih lagi di bawah kadar 2%, lebih rendah berbanding kadar inflasi di AS dan di Eropah. Maka, melihat pada dinamik permintaan domestik serta pertumbuhan kadar gaji yang lemah, masih ada sedikit insentif buat BOJ untuk mengubah polisi kewangan mereka yang terlalu longgar itu. Maka nilai yen yang mengukuh baru-baru ini serta penurunan pasangan USD/JPY daripada 139.98 kepada 135.56 sudah lama ditunggu dengan kadar kebarangkalian yang tinggi kerana ia memiliki banyak lebihan belian.
Kali ini, 70% penganalisis menunggu dorongan baru pasangan ini ke paras 142.00. 15% berharap trend penurunan akan terus berlaku, baki 15% lagi menjangkakan pergerakan mendatar. Gambaran untuk bacaan indikator pada D1 tidak begitu jelas: indikator trend menunjukkan kesetaraan 50% kepada 50%, 25% pengayun melihat kepada pertumbuhan, 40% pengayun menunjukkan penurunan manakala 35% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Sokongan berada pada paras dan zon 135.55, 134.75, 134.00, 133.50, 133.00 dan 131.40. Rintangan pula berada pada paras 136.35-137.00, 137.90-138.40, 138.50-1.139.00, diikuti dengan kedudukan tertinggi pada 14 Julai iaitu 139.38 serta paras bundar yang disasarkan bull iaitu 140.00 dan 142.00.
Tiada sebarang peristiwa penting dijangka akan berlaku di Jepun pada minggu ini. Sudah pasti, kami maklum dengan laporan mengenai mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 26 Julai nanti, tetapi data itu bukan saja tidak mungkin akan mengakibatkan huru-hara, malah gangguan kecil di pasaran juga tidak akan berlaku. Jadi, seperti pasangan mata wang yang lain, tumpuan harus diberikan kepada mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan berlangsung pada hari Rabu, 27 Julai.
MATA WANG KRIPTO: Sabar Sedikit, Tuan dan Puan Sekalian!
- Buat pertama kalinya sejak 13 Jun, kadar BTC/USD naik di atas paras $23,000 dan malah mencecah $24,263 pada minggu lalu. Adakah semua ini perubahan arah trend yang sudah lama ditunggu-tunggu? Atau adakah ia satu lagi jerat licik yang dirancang oleh bear terhadap para pelabur yang mudah tertipu? Mari kita lihat bersama-sama.
Telah berulang kali kami sebutkan bahawa kadar purata pergerakan selama 200 minggu (SMA200) adalah penanda yang paling popular dalam kalangan penganalisis kripto dan baru-baru ini lebih sering menjadi rujukan. Sebabnya ialah kadar itu pernah diguna sebagai sokongan utama buat pasangan BTC/USD. Namun belum pasti sama ada perkara yang pernah berlaku sebelum ini akan berulang pada masa hadapan. Buktinya adalah penurunan di bawah paras SMA200 yang berlaku baru-baru ini. Walau bagaimanapun, analisis teknikal ini masih lagi menjadi salah satu indikator yang sering digunakan dalam membuat unjuran.
Jadi, nilai bitcoin berjaya naik di atas paras purata pergerakan selama 200 minggu pada minggu lalu. Sudah pastinya, punca kepada kejayaan ini bukanlah disebabkan oleh nilai mata wang kripto terunggul ini menjadi lebih kukuh, tetapi nilai dolar AS yang sedikit susut. Atas faktor itu, kadar indeks saham AS, S&P500, Dow Jones dan Nasdaq mengalami pertumbuhan, dan selepas itu sebut harga aset berisiko seperti mata wang kripto pula turut sama naik.
Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 22 Julai), bitcoin didagangkan di sekitar nilai $22,670. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.026 trilion ($0.945 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 15 kepada 33 mata dalam masa seminggu, dan akhirnya berjaya keluar daripada zon Extreme Fear untuk berada di zon Fear.
Justeru, nilai bitcoin naik kira-kira 20% daripada nilai paling rendah pada 13 Julai ($18,886) dan berada betul-betul di atas kadar purata selama 200 minggu ($22,565). Mengikut penganalisis di bursa kripto Binance, nilai mingguan yang ditutup seperti itu memberi harapan kepada pemulihan sokongan kukuh dalam bentuk SMA200 yang biasa berlaku dalam kitaran bear bitcoin.
Kejayaan bitcoin untuk berada di atas paras SMA 200 minggu telah mengakibatkan pertambahan semangat berkobar-kobar dalam kalangan pelabur. Pedagang di Bursa Saham Amsterdam iaitu Michael van de Poppe yang pertama membuat ciapan mengenai unjuran dalam bentuk grafik dan menjangkakan nilai mata wang kripto itu akan melonjak ke paras $28,000, dan kemudian membandingkan keadaan pasaran semasa dengan keadaan pasaran yang jatuh apabila pandemik coronovirus diumumkan pada Mac 2020. Pada waktu itu, nilai bitcoin jatuh kepada $3,782, tetapi kemudian naik sebanyak 1,600% sepanjang 13 bulan setreusnya (kepada $64,853 pada April 2021).
Para penganalisis di bursa mata wang kripto Kraken juga sama-sama bersikap optimis, dan mereka juga menggunakan kadar purata pergerakan 200 minggu sebagai indikator utamanya. Secara khususnya, mereka menumpukan perhatian kepada nilai pengganda dalam dagangan BTC sebelum ini yang berkait dengan kadar SMA 200 minggu. Maka, setelah berada di bawah kadar SMA200, nilai bitcoin bertambah sebanyak 15.2 kali ganda pada Disember 2017. Kadar pertumbuhannya adalah sebanyak 13.2 kali ganda pada November 2013. Pada waktu itu, BTC didagangkan hampir pada nilai purata pergerakan 200 minggunya. Jika coin tersebut menunjukkan kadar pengganda dalam julat antara 13x - 15x sekali lagi, nilainya mungkin akan naik kepada $300,000.
Sudah pasti, kadar pengganda BTC tidak selalunya akan menjadi 10x apabila mencecah kadar SMA200. Kadar pertumbuhannya memuncak sebanyak 5.8x pada Mac 2021 sebelum pasaran kripto mula jatuh dengan ketara. Namun, walaupun dengan nilai gandaan seperti itu, nilai bitcoin masih akan naik kepada $130,000. Namun bila ia akan berlaku? Tahap kesabaran kebanyakan peserta pasaran mula menipis.
Kami sudah nyatakan bahawa menurut data yang disediakan oleh Glassnode, penurunan harga bitcoin yang terbesar pada bulan Jun lalu telah hampir menyingkirkan saki-baki “pelancong pasaran” daripada permainan, hanya meninggalkan hodler “di barisan hadapan”. Dalam konteks dinamik bulanan, situasi yang lebih teruk daripada ini hanya berlaku pada tahun 2011. Aliran keluar modal terbesar telah direkodkan dalam kalangan pelabur berinstitusi (syarikat dengan nilai pelaburan bermula daripada $1 juta), penghasil awam (menambah hasil pengeluaran menggunakan kredit), serta pelabur-pelabur kasual dan juga spekulator.
Dengan mengandaikan kitaran pasaran ini akan berulang, fasa bearish bitcoin dijangka akan berakhir pada awal musim bunga nanti. Kesimpulan seperti itu boleh didapati daripada data lampau yang disediakan oleh penganalisis di Grayscale Investments. Ia mengambil masa selama 1,290 hari dan 1,257 hari masing-masing pada tahun 2012 dan 2016 untuk bitcoin membentuk kitaran yang sama sepenuhnya. Ia mengambil masa selama 391 hari untuk susut sebanyak 73% daripada paras tertinggi pada 2012 dan 364 hari untuk susut sebanyak 84% pada tahun 2016. Tempoh kitaran semasa yang bermula pada tahun 2020 sudahpun mencecah 1,206 hari (setakat 20 Julai, 2022). Dalam kata lain, ia mungkin akan mengambil dua atau tiga bulan lagi sebelum nilainya mencecah kedudukan paling rendahnya.
Seorang pakar strategi kripto dengan nama gelaran Rekt Capital membuat kesimpulan yang hampir sama. Beliau berpendapat, walaupun terdapat isyarat lebihan jualan, pergerakan ke bawah kadar tukar mungkin akan terus berlaku untuk satu jangka masa panjang. Penganalisis itu maklum bahawa kadar Indeks Kekuatan Relatif (RSI) bulanan BTC kini berada di bawah paras pasaran bear pada tahun 2015 dan 2018, dan ia mungkin boleh menjadi paras rintangan bitcoin yang baru.
Menurut Rekt Capital, prospek jangka pendek untuk coin ini dilihat tidak begitu baik, dan paras terendahnya boleh dicapai hanya dalam masa beberapa bulan: “Bitcoin hanya ada masa kira-kira 650 hari sebelum pengurangan penghasilan yang seterusnya (April 2024). Sebelum-sebelum ini, nilai paling rendahnya akan direkodkan antara 517-547 hari sebelum penghasilannya dikurangkan. Dengan mengandaikan sejarah akan berulang, nilai bitcoin memerlukan 100-150 hari lagi sebelum mencecah paras terendahnya, mungkin ianya akan berlaku pada suku keempat 2022 nanti.”
Ahli perniagaan Amerika iaitu Thomas Peterffy yang dianggarkan memiliki kekayaan sebanyak $18.4 bilion sudah bersedia untuk membeli bitcoin apabila nilai mata wang kripto itu turun kepada $12,000. Pengerusi syarikat Interactive Brokers itu mengaku dalam temubualnya bersama Forbes baru-baru ini bahawa beliau tidak berniat untuk membeli mata wang kripto dengan nilai sekarang, nilai yang sangat tinggi pada pendapatnya kerana beliau percaya, bitcoin mungkin akan susut nilai atau diharamkan terus di Amerika Syarikat pada masa hadapan.
Kebanyakan pedagang dari China bersolidariti dengan Thomas Peterffi. Satu kaji selidik yang dilakukan di rangkaian sosial Weibo dengan penyertaan lebih daripada 2,200 orang peserta menunjukkan pedagang China menunggu harga bitcoin untuk turun lebih rendah. 8% daripada responden berkata mereka akan membeli BTC dengan nilai $18,000 setiap coin. 26% lagi responden akan mula membelinya pada nilai $15,000. Namun jika nilai bitcoin susut kepada $10,000, 40% daripada responden akan membeli mata wang kripto pertama itu.
Boleh dilihat daripada semua perkara-perkara ini masih tiada isyarat yang jelas untuk melabur ke dalam coin ini walaupun terdapat prospek kenaikan nilai BTC ke paras $300,000. Pihak Rizab Persekutuan AS akan membuat keputusan mereka mengenai kadar faedah pada hari Rabu, 27 Julai. Berkemungkinan besar, prospek untuk pasangan BTC/USD akan menjadi lebih ketara selepas itu. Kenaikan kadar yang mendadak akan mengakibatkan kenaikan kadar indeks dolar DXY serta penurunan lebih rendah selera pelabur terhadap risiko. Peluang untuk melihat nilai bitcoin berada pada paras $10,000 selepas itu akan meningkat secara tiba-tiba. Jika tidak, kami akan mensasarkan nilai $30,000. Tidak terlalu lama sebelum berlakunya situasi ini. Oleh itu, pelabur dan pedagang sekalian, marilah sama-sama bersabar.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali