Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 30 Januari - 03 Februari, 2023

EUR/USD: Minggu Hadapan: Lima Hari Kekecohan dan Kekacauan

  • Sepertinya perayaan Tahun Baru Cina disambut di seluruh dunia pada minggu lalu. Sudah tentu berlakunya sedikit turun naik terhadap pasangan mata wang utama, namun kita dapat lihat trend mendatar yang hampir sempurna pada akhirnya. Kami tidak menafikan tentang betapa pentingnya perayaan Tahun Baru itu, namun keadaan tenang yang berlaku ini sudah pasti bukan disebabkan olehnya, tetapi akibat daripada perkara penting yang menanti kita pada minggu hadapan.

    Tanggal 1 Februari, semasa malam menyelubungi benua Eropah dan fajar mula menyingsing di Asia, pihak Rizab Persekutuan AS akan mengumumkan keputusan berkenaan kadar faedah utama mereka, manakala pihak pengurusan penggubal dasar itu pula akan memberitahu (atau setidak-tidaknya memberi bayangan) tentang masa depan polisi kewangannya. Bank Negara Kesatuan Eropah akan membuat keputusan tentang kadar faedah mereka beberapa jam selepas itu, pada hari Khamis, 2 Februari.

    Namun, sebelum kami memberikan ramalan, mari kembali kepada peristiwa yang berlaku sepanjang lima hari lalu. Data yang dikeluarkan pada hari Khamis, 26 Januari menunjukkan bahawa keadaan ekonomi di AS adalah lebih baik berbanding jangkaan. Mengikut anggaran awal, kadar KDNK di negara tersebut naik sebanyak 2.9% untuk tahun/tahun dalam Q4 berbanding 2.6% yang diunjur. Dalam masa yang sama, tuntutan awal bagi manfaat pengangguran untuk tempoh seminggu sehingga 21 Januari turun kepada 186K (diunjur sebanyak 205K, 192K jumlah sebelum ini). Ini adalah jumlah mingguan paling sedikit sejak April 2022. Pesanan barangan asas tahan lama juga lebih baik berbanding anggaran, turun sebanyak -0.1% berbanding -0.2% yang dijangka. Jualan bagi hartanah baru juga dilihat semakin baik, dengan jualan sehingga 616K untuk bulan Disember berbanding 602K pada bulan November.

    Melihat kepada angka-angka ini, kami boleh simpulkan bahawa semuanya tidaklah begitu teruk di Amerika Syarikat dan tiada kegawatan berlaku di sana. Pengetatan polisi kewangan (QT) yang agresif oleh pihak Rizab Persekutuan pada tahun 2022 tidak memberikan kesan teruk kepada ekonominya. Maka, terdapat kemungkinan mereka akan beralih pula kepada pelonggaran (QE). Namun, sesetengah ahli ekonomi menunjukkan bahawa kadar permintaan pengguna kehilangan momentumnya (2.1% pada Q4 berbanding 2.9% yang diunjur dan 2.3% pada suku sebelumnya). Berdasarkan perkara-perkara ini, mereka sependapat bahawa kemungkinan untuk berlakunya kegawatan berskala sederhana masih lagi ada.

    Buat masa ini, pasaran percaya bahawa pihak Rizab Persekutuan akan menaikkan kadarnya sebanyak 25 mata asas (bp) dalam mesyuarat bulan Februari nanti. Kadar semasa adalah 4.50%, dan pasaran sebulat suara menyatakan kemuncak bagi kadar itu adalah antara 4.90-5.00% pada tahun 2023. Kebarangkalian untuk kadar tersebut dinaikkan lagi sebanyak 25 bp pada bulan Mac dianggarkan sebanyak 85%. Namun begitu terdapat sebilangan penganalisis yang percaya bahawa kadar tertingginya akan berhenti pada nilai 4.75%. Lebih-lebih lagi, kadar tersebut malah mungkin akan diturunkan pada paras antara 4.25-4.50% menjelang akhir tahun 2023. Dinamik seperti itu sudah pastinya tidak akan memberi kelebihan kepada dolar, tetapi akan menaikkan mata wang pesaing daripada kelompok DXY serta aset berisiko.

    Bagi mata wang Euro, pasaran benar-benar pasti bahawa pihak ECB akan menaikkan kadarnya sebanyak 50 bp pada 2 Februari nanti. Namun, menurut para penganalisis, perbezaan kenaikan kadar antara USD dan EUR sudah pun diambil kira ke dalam sebut harganya oleh pasaran, disebabkan itu kedudukannya kekal di antara 1.0845-1.0925. Jangkaan untuk masa depannya bergantung kepada petunjuk serta komen barisan kepimpinan Rizab Persekutuan dan ECB yang akan membuat kenyataan di penghujung mesyuarat akan data.

    Berada di kedudukan 1.0855 pada hari Isnin, 23 Januari, pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 1.0875. Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 27 Januari), perbezaan pendapat antara bull dan bear adalah hampir sama. 50% penganalisis menjangkakan nilai euro yang lebih kukuh serta pertumbuhan kadar pasangan ini. 45% lagi merasakan mata wang AS mampu untuk mendapatkan semula sebahagian daripada nilai yang susut. Baki 5% penganalisis pula lebih gemar untuk tidak memberikan apa-apa pandangan langsung dalam menantikan mesyuarat Bank Persekutuan nanti. Dalam kalangan indikator pada D1, gambarannya adalah berbeza: 90% pengayun berwarna hijau, 5% menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian, manakala 5% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 80% mengesyorkan untuk beli, 20% menasihatkan untuk jual. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di zon antara 1.08350-1.0845, kemudian zon dan paras 1.0800, 1.0740-1.0775, 1.0700-1.0710, 1.0620-1.0680, 1.0560 dan 1.0480-1.0500. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0895-1.0935, 1.0985-1.1010, 1.1130, selepas itu ia akan cuba untuk berada di eselon antara 1.1260-1.1360.

    Tidak syak lagi minggu hadapan akan dipenuhi dengan banyak perkara dan keadaan yang kacau-bilau. Selain daripada mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB, tumpuan juga seharusnya diberi kepada data KDNK yang akan dikeluarkan pada 30 Januari, data kadar pengangguran serta kadar inflasi (CPI) pada 31 Januari, dan kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di Jerman pada 1 Februari. Kita akan ketahui situasi berkenaan harga pengguna (CPI) di Eurozone dan kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) di AS juga pada hari Rabu, 1 Februari. Selain itu, menjadi kebiasaan untuk kami menunggu sebahagian daripada statistik menarik dari pasaran buruh di AS pada 1, 2, dan 3 Februari, termasuklah kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP).

GBP/USD: Masa Depan Pound Begitu Kabur

  • Bank of England (BoE) juga akan membuat keputusan mengenai kadar faedah mereka pada hari Khamis, 2 Februari. Jika kadar kebarangkalian untuk Rizab Persekutuan dan ECB menaikkan kadar faedah mereka hampir mencecah 100%, perkara sama tidak sebegitu mudah buat pound. Menurut sesetengah penganalisis, BoE mungkin akan memberi kejutan kepada pasaran dengan menghentikan sementara dan memperlahankan pengetatan polisi kewangan mereka.

    Walaupun mereka tidak menghentikan buat sementara, kita akan dapat lihat kitaran QT yang baru dan bukannya QE. Kaunselor Perbendaharaan British iaitu Jeremy Hunt berkata pada hari Jumaat, 27 Januari lalu bahawa “pemulihan sektor awam yang lemah selepas pandemik telah memaksa kepada pembaharuan” dan “pemotongan cukai yang terbaik sekarang adalah dengan menurunkan kadar inflasi.” Seperti pengalaman yang ditunjukkan oleh negara-negara luar, cara terbaik (jika bukan satu-satunya) untuk pulih daripada inflasi adalah dengan menaikkan kadar faedah.

    Bull pound mengharapkan Bank of England akan menaikkan kadar pound sebanyak 50 bp, dan terus naik sekurang-kurangnya kepada 4.50% menjelang musim panas nanti daripada 3.50% yang ada sekarang. Untuk bear pula, mereka percaya bahawa ancaman terhadap kemerosotan dan kegawatan ekonomi akan menghalang Bank Negara tersebut daripada menaikkan kadarnya melebihi 25 bp sekarang, dan kenaikan ini adalah yang terakhir, sebelum terpaksa melonggarkan polisi kewangan mereka walaupun berdepan dengan kadar inflasi yang tinggi.

    Secara umum, masa depannya diselubungi dengan kegelapan. Namun hakikatnya sangat jelas bahawa ekonomi negara itu berdepan dengan masalah besar. Perkara ini terbukti dengan penurunan kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) daripada 49.0 kepada 47.8 mata berbanding pertumbuhan kepada 49.3 mata yang diunjur.

    Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey baru-baru ini telah menyatakan bahawa ekonomi British telah berhadapan dengan kekurangan lebih daripada 300,000 orang pekerja pasca Brexit setelah pergerakan bebas tenaga buruh dari EU dihentikan. Jumlah defisit sebanyak itu telah menjadi penghalang dalam memerangi kadar inflasi kerana ia melibatkan kenaikan gaji. Disamping itu, ekonomi di negara tersebut terus menerima tekanan hebat akibat kenaikan harga sumber tenaga serta gangguan bekalan, dan juga lain-lain masalah yang melibatkan sekatan terhadap Rusia akibat serangan ketenteraan ke atas Ukraine.

    Sebut harga GBP/USD tidak banyak berubah sepanjang lima hari yang lalu: bermula pada paras 1.2395, kedudukan terakhirnya juga berada pada paras yang sama. Unjuran median untuk masa terdekat ini juga agak kabur: 35% penganalisis percaya bahawa sekarang adalah masanya untuk pasangan ini turun ke bawah, peratusan yang sama pula menunjukkan pergerakan ke atas, dan baki 30% menjangkakan pergerakan mendatar. Dalam kalangan pengayun pada D1, 85% berwarna hijau, manakala 15% lagi memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. 100% indikator trend berada pada bahagian warna hijau. Sokongan bagi pasangan ini berada pada paras dan zon 1.2360, 1.2300-1.2330, 1.2250-1.2270, 1.2200-1.2210, 1.2145, 1.2085-1.2115, 1.2025, 1.1960, 1.1900, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

    Untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan ekonomi di United Kingdom pada minggu hadapan, selain daripada mesyuarat Bank of England, kita boleh tumpukan pada tarikh 1 dan 3 Februari apabila data aktiviti perniagaan (PMI) di negara itu untuk bulan Januari akan dikeluarkan.

USD/JPY: Masa Depan Pasangan ini Bergantung Kepada Rizab Persekutuan

  • Tidak seperti rakan sejawatnya, Bank of Japan (BoJ) telah membiarkan kadar faedah utama mereka tidak berubah pada negatif -0.1% semasa bermesyuarat pada 18 Januari lalu. Mesyuarat yang berikutnya tidak akan diadakan dalam masa terdekat ini, pada 10 Mac nanti. Ketua BoJ yang ada sekarang iaitu Haruhiko Kuroda akan mempengerusikan mesyuarat tersebut buat kali terakhir. Tempoh perkhidmatan beliau akan tamat pada 8 April, dan mesyuarat BoJ pada 28 April nanti akan dipengerusikan oleh ketua Bank Negara yang baru. Pada mesyuarat itulah pasaran menjangkakan terdapat kemungkinan polisi kewangan negara tersebut akan berubah. Dalam pada itu, pendapat peserta pasaran sekarang ini lebih tertumpu kepada Rizab Persekutuan AS.

    Seperti pasangan sebelum ini, USD/JPY tidak begitu aktif pada minggu lalu, memulakan minggu pada paras 129.57 dan berakhir pada paras 129.85. Unjuran para penganalisis tidak banyak membantu sehinggalah tibanya hari mesyuarat Rizab Persekutuan yang seterusnya: 50% daripada mereka memihak kepada bull, 40% pula memihak bear, dan baki 10% lagi mengambil keputusan untuk tidak langsung memberikan apa-apa. Dalam kalangan pengayun pada D1, 10% menunjukkan pertumbuhan, 35% menjangkakan penurunan, dan 55% pula menunjukkan pergerakan mendatar. Bagi indikator trend, 15% menunjukkan pertumbuhan, 85% pula melihat pada arah yang bertentangan. Paras sokongan paling hampir berada di zon 129.50, diikuti dengan paras dan zon 128.90-129.00, 127.75-128.10, 127.00-127.25, 126.35-126.55, 125.00, 121.65-121.85. Rintangan berada di zon dan paras 130.50, 131.25, 132.00, 132.80, 133.60, 134.40 dan kemudian 137.50.

    Tiada sebarang perkara penting yang berkaitan dengan ekonomi di Jepun dijangka akan berlaku pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Strategi Dagangan Baru: Tahun Baru Cina

  • Pergerakan bitcoin adalah lebih tenang berbanding indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq sebelum tibanya mesyuarat Rizab Persekutuan pada 1 Februari nanti. Sudah pasti, beberapa hubung kait antara kedua-duanya masih lagi wujud, namun kadar turun naik mata wang kripto utama ini sudah berkurang dengan agak ketara. Namun begitu, masih ada kemungkinan semua ini hanyalah keadaan tenang sebelum ribut melanda. Seperti biasa, ini membawa maksud keadaan yang ditentukan oleh hala tuju penggubal dasar Amerika tersebut berkenaan polisi kewangan mereka serta kadar utama bagi USD.

    Menurut CEO Ark Invest iaitu Cathy Wood, pasaran mata wang kripto akan memasuki fasa yang baru pada tahun 2023. Pertumbuhan nilai bitcoin dan lain-lain mata wang maya adalah berpunca daripada pelonggaran polisi kewangan oleh Rizab Persekutuan pada enam bulan terakhir tahun ini. Langkah inilah yang akan menjadi pencetus kepada para pelabur untuk menguji pasaran saham serta mata wang digital. (Pakar strategi Bloomberg iaitu Mike McGlone menyatakan pandangan yang hampir sama sebelum ini, menyebut nilai BTC yang akan naik kepada $30,000).

    Adam Farthing, Ketua Pegawai Risiko di syarikat kripto B2C2 sedia maklum bahawa mata wang kripto pertama ini perlu mengatasi kedudukan penting di sekitar $25,000 bagi meneruskan pertumbuhan nilainya. “Ia akan menjadi satu perjalanan yang sukar,” penganalisis itu berkongsikan pendapatnya. Menurut beliau, selepas berjaya melepasi penanda aras yang telah ditetapkan itu, minat pedagang baru yang ingin kembali ke pasaran akan bersambung semula.

    Walau bagaimanapun, para penganalisis di syarikat broker Bernstein berasa yakin bahawa pertumbuhan nilai mungkin tidak akan terus berlaku buat masa ini kerana tiada tanda-tanda “sebarang suntikan baru” langsung ke dalam industri. Namun, pada pandangan mereka, pelabur-pelabur berinstitusi masih akan mula menunjukkan minat yang lebih mendalam terhadap mata wang kripto pada tahun ini kerana ia berada dalam kelas aset yang semakin diselia undang-undang. (Kami juga sudah berulang kali membincangkan topik pengawalseliaan serta konflik tentangnya dengan idea sebenar mata wang kripto dalam ulasan kami).

    Penganalisis dan juga pengasas saluran DataDash iaitu Nicholas Merten juga percaya bahawa walaupun mata wang kripto mempunyai masa depan yang cerah, ramai orang memandang rendah tentang situasi semasa di peringkat global. Pada pendapat beliau, kebinasaan yang berpunca daripada FTX, Celcius, Three Arrows Capital dan Terraform Labs telah meninggalkan kesan besar dalam industri. Disamping itu, komponen makroekonmi juga perlu diambil kira kerana banyak negara yang bergelut dengan kenaikan mendadak kadar inflasi, manakala rantaian bekalan masih belum pulih sepenuhnya sejak pandemik coronavirus bermula. Menurut penganalisis itu, para pelabur perlu memahami trend jangka masa panjang bullish telah pun berakhir. Malangnya, industri aset digital perlu bersedia dengan cabaran yang baru, dan trend bullish yang berlaku di pasaran sekarang hanyalah pembetulan kecil dalam seluruh trend bearish.

    Jim Cramer dari CNBC bersetuju dengan Nicholas Merten. Pengacara rancangan TV “Mad Money” itu turut memfokuskan pada risiko yang dihadapi akibat keruntuhan FTX. Beliau maklum bahawa situasi yang sama boleh berlaku pada bila-bila masa kepada mana-mana syarikat kripto besar yang lain. Beliau berpendapat, tiada siapa tahu apakah yang sebenarnya disembunyikan oleh pelabur-pelabur besar dalam industri. Tiada siapa juga boleh memberi jaminan jika mereka benar-benar jujur dengan pelanggan mereka. Menurut beliau, apa-apa skandal baru yang timbul boleh menyebabkan sebut harga bitcoin jatuh mendadak, ini bermakna aset-aset milik para pelabur berada dalam risiko. Memetik kata-kata Carley Garner, pegawai kanan strategi komoditi yang juga seorang broker di DeCarley Trading, beliau mengesyorkan supaya tidak mendekati mata wang maya dan memilih emas fizikal sebagai aset lindung nilai untuk berhadapan dengan kenaikan kadar inflasi dan juga keadaan ekonomi yang kacau-bilau.

    Personaliti berwibawa seperti Jamie Dimon, ketua gergasi perbankan Amerika iaitu JPMorgan juga telah mengecam emas digital tersebut dengan teruk. Beliau berasa ragu-ragu dengan jumlah sebenar bekalan bitcoin yang benar-benar terhad sebanyak 21 juta coin saja semasa bersiaran langsung di CNBC. “Macam mana anda tahu? Mungkin jumlahnya akan melebihi 21 juta, dan foto Satoshi pula muncul selepas itu sambil mentertawakan anda semua,” seloroh beliau. Pengurus terkenal ini sudahpun menyatakan kesangsian beliau secara terbuka pada Oktober 2022 lalu berkenaan kod terbina dalam yang ada pada algoritma mata wang kripto pertama itu. “Adakah anda semua sudah meneliti algoritmanya? Anda semua, adakah anda percaya dengan semua ini?” Dimon tersengih pada pada waktu itu.

    Untuk pengetahuan anda saja. Berdasarkan kepada pengurangan penghasilan yang telah dirancang, jumlah 21 juta seharusnya akan dicapai pada tahun 2141. Dalam masa yang sama, penganalisis berkata bahawa had pengeluaran bitcoin dilaksanakan hanya menggunakan lima baris kod. Ianya terbuka pada semua, sesiapa pun boleh meneliti dan mengesahkannya.

    Di sini terdapat persoalan yang timbul: bagaimana jika serangan Jamie Dimon terhadap bitcoin itu ada hubung kaitnya dengan keinginan beliau untuk menyingkirkan kejayaan pesaingnya? Lagi pun, disebabkan lonjakan bullish yang berlaku baru-baru ini, jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto telah melebihi $443 bilion, dan telah mengatasi jumlah modal pasaran kesemua institusi kewangan tradisional, indikator ini termasuklah juga bank-bank global dunia. Sebagai contoh, jumlah keseluruhan modal pasaran gergasi perbankan Amerika iaitu JPMorgan Chase adalah sebanyak $406.42 bilion, manakala jumlah modal pasaran Bank of America pula adalah sebanyak $277.56 bilion. Disamping itu, jumlah modal pasaran BTC adalah lebih tinggi berbanding syarikat-syarikat seperti Alibaba ($317.01 bilion), Samsung ($335.37 bilion), Mastercard ($365.09 bilion) dan Walmart ($385.15 bilion). Namun, jumlahnya itu agak sedikit ketinggalan di belakang Tesla ($454.72 bilion).

    Menurut CompaniesMarketCap, bitcoin adalah aset ke-16 paling bernilai di dunia. Aset paling bernilai adalah emas ($12.77 trilion), kemudian Apple ($2.25 trilion) dan Saudi Aramco ($1.94 trilion).

    Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 27 Januari), pasangan BTC/USD didagangkan di zon $23,070. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.060 trilion ($1.038 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto telah naik sepanjang minggu lalu daripada 51 mata kepada 55 mata dan telah bergerak dari zon Neutral ke zon Greed, dan menurut pencipta indeks ini, zon itu bermaksud sudah agak berbahaya untuk membuka posisi short.

    Di penghujung ulasan ini, kami sediakan ruang bagi jenaka mengenai petua hidup kripto yang semakin dilupakan. Kali ini kami akan berikan satu pemerhatian yang menarik. Sudah pasti, jika akan memilih untuk menggunakannya, anda harus bertanggungjawab sepenuhnya. Namun jika anda mendapat pulangan daripadanya, pastikan anda memberitahu kami. Jangan lupa untuk katakan terima kasih.

    Jadi, membeli bitcoin pada penghujung hari pertama perayaan Tahun Baru Cina dan menjualnya semula selepas sepuluh hari dagangan rupa-rupanya dapat menjamin keuntungan purata lebih daripada 9%. Perkara ini disedari oleh Pengarah Strategi dan Penyelidikan Matrixport iaitu Markus Thielen. Mengikut pemerhatian beliau, kaedah ini telah memberi pulangan terhadap 100% kes di bawah seliaan beliau sepanjang lapan tahun lalu, daripada tahun 2015 sehingga 2022. Tahun 2017 menunjukkan keuntungan paling besar untuk operasi seperti itu: 15%. Malah pada tahun 2018, dengan berlatarbelakangkan musim dingin kripto yang dialami sebelum itu, para pelabur masih mendapat pulangan walaupun hanya 1%.

    Untuk melaksanakan rancangan ini pada tahun 2023, adalah perlu untuk membeli emas digital tersebut pada 22 Januari, dan menjual semula aset berkenaan 10 hari kemudian, pada 1 Februari. Bitcoin didagangkan hampir pada nilai $22,900 pada hari yang telah dicadangkan tadi. Thielan percaya nilainya itu seharusnya akan mencecah $25,000 pada awal Februari. Kita akan ketahui tidak lama lagi jika fenomena ini benar-benar boleh berlaku pada tahun ini. Jika ada sesiapa yang memilih untuk mengikuti cadangan Thielen pada masa hadapan, kami ingin katakan bahawa perayaan Tahun Baru Cina yang seterusnya akan bermula pada hari Sabtu, 10 Februari, 2024.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.