EUR/USD: Polisi FOMC Mengukuh Nilai Dolar
- Statistik makroekonomi dilihat bercampur-campur di AS dan di Eurozone. Kadar inflasi di kedua-dua rantau semakin berkurang (sesuatu yang baik), namun pertumbuhan kadar KDNK juga menjadi perlahan (tidak baik untuk ekonominya). Menurut Jabatan Perdagangan AS, perkembangan kadar perbelanjaan pengguna di negara itu adalah +1.4% untuk Q4 setelah mencapai +2.3% pada Q3 (diunjur pada +2.1%). Mengikut anggaran awal, kadar pertumbuhan tahunan KDNK di AS mungkin adalah lebih rendah berbanding unjuran iaitu +2.7% (kadar unjuran dan sebelum ini adalah +2.9%). Namun, walaupun begitu, statistik bagi pasaran buruh masih lagi positif. Jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran sebenarnya berkurang daripada 195K kepada 192K dan bukannya 200K seperti yang diunjur. Mengikut data akhir yang dikeluarkan oleh Eurostat, kadar inflasi di Eurozone susut kepada +8.6% untuk tahun ke tahun pada bulan Januari (+9.2 bulan lalu). Keadaan menjadi lebih sulit di Jerman, negara penggerak ekonomi utama Eropah. Mengikut data bulan Januari, kadar inflasi tahunannya adalah 9.2% berbanding +9.6% pada Disember lalu, namun dalam masa yang sama, kadar KDNK negara itu juga turut berkurangan, susut sebanyak -0.4% (kadar unjuran dan sebelum ini adalah -0.2%). Data CPI terbaru untuk bulan Februari juga tidak memberangsangkan, menunjukkan peningkatan daripada +8.1% kepada +8.7%.
Berlatarbelakangkan perkara ini, sentimen pasaran terus kekal bersama dolar AS. Semua ini disebabkan oleh minit mesyuarat Federal Open Market Committee's (FOMC) yang telah dikeluarkan pada hari Rabu, 22 Februari oleh Rizab Persekutuan AS. Minit mesyuarat itu tidaklah memberi sebarang kejutan. Namun, peserta pasaran sekali lagi melihat penggubal dasar tersebut tidak akan berhenti daripada memerangi kadar inflasi.
Berikut adalah kesimpulan penting daripada minit mesyuarat itu seperti yang diringkaskan oleh United Overseas Bank (UOB): 1) Walaupun terdapat kemajuan dalam usaha memerangi kadar inflasi, kadarnya masih lagi tinggi berbanding 2% yang disasarkan. 2) Untuk mencapai kadar sasaran, semua ahli jawatankuasa bersetuju bahawa kenaikan lebih tinggi kadar faedah perlu diteruskan dan mengekalkannya pada paras tertinggi sehinggalah pihak Rizab Persekutuan berasa yakin penurunannya itu terus berlaku. 3) Walaupun pihak FOMC bersetuju untuk menaikkan kadarnya sebanyak 25 mata asas (bp) pada bulan Februari, beberapa orang ahlinya ingin melihat kenaikan sebanyak 50 bp. 4) Pihak Rizab Persekutuan masih lebih bimbangkan kadar inflasi berbanding pertumbuhan ekonomi yang terbantut.
Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen telah mengesahkan kesemua kesimpulan yang dibuat. Beliau menyatakan “kadar inflasi telah turun jika diukur mengikut tempoh 12 bulan, namun kadar inflasi teras masih lagi melebihi 2%” pada mesyuarat menteri-menteri kewangan dan gabenor bank-bank negara G20 pada hari Jumaat, 24 Februari lalu. Menurut Janet Yellen, keadaan ekonomi yang “selesa” tanpa mengalami kegawatan boleh dicapai. Semuanya disebabkan oleh pasaran buruh serta penyata imbang AS yang kukuh.
Kesemua perkara di atas itu telah mendorong kepada kenaikan lebih tinggi kadar indeks dolar AS iaitu indeks DXY, mencecah kedudukan tertinggi mingguan dengan 105.26 mata, manakala pasangan EUR/USD mengakhiri minggu bekerja pada paras 1.0546 (paras terendah mingguan pada 1.0535).
Berkemungkinan besar, faktor utama yang akan menjadi penentu kepada dinamik dolar sebelum berlangsungnya mesyuarat FOMC yang seterusnya pada 21-22 Mac nanti adalah spekulasi mengenai sekuat manakah keinginan para penggubal dasar dalam usaha mereka memerangi inflasi. Mengikut unjuran UOB, kadarnya mungkin akan dinaikkan sebanyak 25bp pada bulan Mac dan Mei, mencecah 5.25% akhirnya, dan kekal pada kadar tersebut sehinggalah pada penghujung tahun. Mengikut anggaran sesetengah pihak yang lain, kemuncak bagi kadar faedah dana persekutuan menjelang Julai nanti adalah 5.38%.
Menurut para penganalisis di ING, syarikat perbankan terbesar di Belanda, bulan Februari dan Mac adalah bulan bermusim bagi nilai dolar yang kukuh, dan kadar 4.50% untuk faedah semalaman mungkin dapat memberi sedikit sokongan kepada dolar. Walau bagaimanapun, menurut rakan sejawat mereka di Commerzbank, semakin lama semakin sukar untuk mata wang AS menjadi lebih kukuh berbanding euro. Sebahagian besarnya sudahpun diambil kira, dan tiada sebarang pendorong baru yang kuat dapat dilihat. Terutama sekali apabila melihat pendirian tidak tetap ECB mengenai polisi kewangan mereka. Data terkini indeks harga pengguna di Eurozone yang kadar terasnya dinaikkan kepada 5.3% setelah disemak semula dan telah dikeluarkan pada 23 Februari lalu akan menjadi perangsang bagi QT seperti itu yang seterusnya.
Semasa ulasan ini dibuat (malam 24 Februari), 40% penganalisis menjangkakan nilai dollar menjadi semakin kukuh (separuh daripada jumlah minggu lalu), 50% menjangkakan pembetulan EUR/USD ke atas, manakala baki 10% lagi mengambil pendirian neutral.
100% pengayun pada D1 berwarna merah, namun begitu suku daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Dalam kalangan indikator trend, 75% mengesyorkan untuk jual manakala 25% lagi mengusulkan untuk beli. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di zon antara 1.0500-1.0525, selepas itu paras dan zon 1.0440 dan 1.0370-1.0400, 1.0300, 1.0220-1.0255. Bull akan berdepan rintangan pada paras antara 1.0560-1.0575, 1.0600-1.0620, 1.0680-1.0710, 1.0745-1.0760, 1.0800, 1.0865.
Antara perkara-perkara yang akan berlaku minggu hadapan termasuklah penyiaran data pesanan barangan modal dan tahan lama di AS pada hari Isnin, 27 Februari. Hari Rabu, hari pertama bulan Mac akan memberikan sejumlah besar daripada statistik makro di Jerman. Ini termasuklah kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) Terlaras, kadar Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan, serta kadar pengangguran di negara tersebut. Disamping itu, kadar PMI dalam sektor pembuatan di AS akan diumumkan pada hari yang sama. Kami menjangkakan kadar CPI untuk bulan Februari di Eurozone, kenyataan pihak ECB mengenai polisi kewangan mereka serta data pengangguran di AS akan dikeluarkan pada hari Khamis, 2 Mac. Terdapat sebahagian lagi statistik dari Amerika yang akan dikeluarkan pada hari terakhir minggu bekerja, ini termasuk kadar Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dalam sektor perkhidmatan.
GBP/USD: Aktiviti Perniagaan Bertumbuh, namun Pound Susut Nilainya
- Pound British bergelut dengan kemaraan nilai dolar. Walaupun kerap memberikan serangan balas, nilainya susut sedikit demi sedikit. Memulakan minggu pada paras 1.2040, pasangan GBP/USD mencecah paras tertinggi mingguannya pada 1.2147, namun kemudian turun dan mengakhiri tempoh lima hari pada paras 1.1942.
Perlu diingat bahawa ekonomi UK telah berjaya mengelak daripada mengalami kegawatan pada penghujung 2022 lalu, dan data aktiviti perniagaan di United Kingdom yang dikeluarkan pada hari Selasa, 21 Februari dilihat agak optimis. Kadar Indeks PMI Komposit yang diunjur sebanyak 49 mata bertumbuh daripada 48.5 mata kepada 53.0 mata sepanjang bulan lalu. Walau bagaimanapun, ini hanyalah data awal, data akhir akan diketahui pada 1 dan 3 Mac nanti. Dalam masa yang sama, keyakinan pengguna di British berada pada tahap yang lebih rendah berbanding semasa berlakunya krisis kewangan, pandemik COVID-19, serta kegawatan pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Walaupun kadar inflasi di negara itu turun, kadarnya kekal pada dua digit dan lima kali lebih tinggi berbanding kadar yang disasarkan oleh Bank of England. (Kadar CPI susut kepada +10.1% pada bulan Januari berbanding +10.3% yang diunjur dan +10.5% untuk bulan Disember). Inflasi kekal berada pada kadar yang tinggi adalah disebabkan oleh pasaran buruh, serta tiada sebab munasabah buat masa ini untuk percaya bahawa pertumbuhan kadar gaji di UK akan menjadi perlahan.
Seperti yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan, pasaran menjangkakan Bank of England akan menaikkan 25 mata asas kepada kadar faedah utama mereka sebanyak dua kali pada bulan Mac dan April, menjadikan kadar tertingginya kepada 4.5%. Namun, kebanyakan ahli barisan kepimpinan BoE berasa amat bimbang kenaikan mendadak kadar seperti itu boleh melembabkan ekonominya dengan teruk. Justeru, polisi kewangan penggubal dasar itu yang sememangnya tidak begitu jelas boleh diubah pada bila-bila masa.
Bagi ramalan median para penganalisis, 45% daripada mereka bersetuju dengan nilai pound yang menjadi lebih lemah, 25% pula menjangkakan pertumbuhan kadar GBP/USD, manakala 30% lagi enggan memberikan sebarang unjuran. Dalam kalangan indikator trend pada D1, keseimbangan kekuatan memihak kepada warna merah dengan perbezaan 85% berbanding 15%. Dalam kalangan pengayun, warna merah memiliki 100% kelebihan, 15% daripada itu berada di zon lebihan jualan. Sokongan bagi pasangan ini berada di zon dan paras 1.1900-1.1915, 1.1840, 1.1800, 1.1720, dan 1.1600. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.1960, 1.1990-1.2025, 1.2075-1.2085, 1.2145, 1.2185-1.2210, 1.2270, 1.2335, 1.2390-1.2400, 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750, dan 1.2940.
Bagi ekonomi di United Kingdom, selain daripada data akhir kadar aktiviti perniagaan (PMI) di UK yang akan dikeluarkan pada 1 dan 3 Mac, kami boleh nyatakan di sini bahawa Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey dijadual akan berucap pada hari Rabu, 1 Mac.
USD/JPY: Harapan QT Semakin Pudar, namun Masih Ada
- “Nampaknya perlantikan ahli akademik Kadsuo Wada sebagai ketua Bank of Japan (BoJ) yang baru tidak memberikan kelebihan kepada mata wang Jepun,” kami tuliskan dalam ulasan sebelum ini. Sekarang, setelah melihat pada carta USD/JPY, kami boleh sahkan kenyataan itu. Selain daripada nilai dolar yang semakin kukuh, satu lagi tamparan hebat buat yen telah berlaku disebabkan oleh Kadsuo Wada sendiri. Ucapan beliau yang dibuat pada hari Jumaat, 24 Februari telah membantu kadar pasangan ini untuk naik ke paras 136.41 daripada 134.04. Komen bakal ketua bank negara itu yang berucap di dewan rakyat Parlimen Jepun secara umumnya adalah sepadan dengan polisi semasa BoJ, dan hanya diburukkan dengan kekecewaan terhadap mereka yang berharap perubahan drastik akan dibuat pada polisi kewangan penggubal dasar tersebut. Para pelabur tidak dapat melihat isyarat “hawkish” yang jelas dalam kenyataan itu yang mampu merangsang penyambungan semula permintaan bersifat spekulatif terhadap yen, sesuatu yang sudah pun lemah disebabkan pertambahan kadar indeks DXY serta peningkatan hasil bon perbendaharaan selama 10 tahun. Harus diingatkan bahawa terdapat hubung kait langsung antara USD/JPY dengan bon Perbendaharaan AS. Jika hasil sekuriti ini bertambah, maka nilai dolar menjadi lebih kukuh berbanding yen Jepun.
Kami sudah maklumkan pada minggu lalu bahawa sesetengah penganalisis menjangkakan nilai mata wang Jepun yang sangat kukuh pada masa hadapan. Contohnya, pakar ekonomi di Danske Bank menjangkakan kadar USD/JPY akan susut dan mencecah paras 125.00 dalam masa tiga bulan. Pakar strategi di BNP Paribas Research berpendapat yang sama. Mengikut unjuran mereka, hasil positif yang diperoleh di Jepun jika polisi kewangan mereka diketatkan mungkin dapat merangsang semula aliran masuk modal pelabur-pelabur tempatan, mengakibatkan kadar USD/JPY turun ke paras 121.00 menjelang tahun 2023. Namun semua ini adalah andaian yang masih lagi agak goyah, namun begitu 75% daripada penganalisis bersetuju dengannya. Untuk prospek jangka masa terdekat, buat masa ini hanya 35% daripada penganalisis menjangkakan pergerakan pasangan ini ke bawah, manakala jumlah peratusan sama melihat pada arah bertentangan, dan baki 20% pula kekal neutral. Dalam kalangan pengayun pada carta D1, 100% menunjukkan pergerakan ke atas (15% sudah berada di zon lebihan belian). Dalam kalangan indikator trend, 75% menunjukkan pertumbuhan manakala 25% lagi penurunan. Sokongan terdekat berada di zon 135.90, diikuti dengan paras dan zon 134.90-135.15, 134.40, 134.00, 133.60, 132.80-133.20, 131.85-132.00, 131.25, 130.50, 129.70-130.00. Rintangan berada pada paras dan zon 136.70, 136.00, 137.50, 139.00-139.35, 140.60, 143.75.
Tiada sebarang statistik makroekonomi berkaitan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Namun, Kadsuo Wada dijangka akan berucap sekali lagi pada hari Isnin, 27 Februari, namun berkemungkinan tiada apa yang baru dan revolusioner dalam ucapan beliau.
MATA WANG KRIPTO: Bitcoin Berhadapan Tekanan, tapi Belum Mengalah. Belum Lagi
- Mengenai minggu lalu, ini yang boleh kami katakan: bitcoin berdepan tekanan, namun masih lagi bertahan. Kami boleh nyatakan di sini bahawa antara faktor utama yang memberikan tekanan adalah laporan kewangan bursa Coinbase untuk Q4 2022 serta nilai dolar yang semakin kukuh. Nilai keuntungan Coinbase merosot sebanyak 75% untuk suku terakhir tahun lalu, tempoh yang luar biasa sukarnya bagi pasaran mata wang kripto. Punca kepada kemerosotan itu adalah jelas: aliran keluar modal para pelabur yang berpunca daripada beberapa siri skandal serta kemuflisan beberapa pemain utama dan pemain tidak terkenal dalam industri. Hasilnya, kerugian yang dialami Coinbase adalah $2.46 bagi setiap coin (Sebagai perbandingan, keuntungan bagi setiap coin yang diperoleh syarikat ini pada tahun lalu adalah $3.32). Tidak diketahui jika Coinbase akan runtuh seperti FTX ataupun tidak. Namun apapun, para pelabur tidak seharusnya lupa tentang risiko yang dikaitkan dengan pasaran ini. Untuk faktor kedua yang memberi tekanan, seperti biasa ia adalah mengenai Sistem Rizab Persekutuan (FRS) Amerika Syarikat. Pertambahan jangkaan pasaran mengenai kadar faedah telah mengukuhkan kadar sebut harga BTC/USD, dan seterusnya melemahkan bahagian asasnya. Perlu diketahui bahawa bitcoin telah membuktikan dalam situasi ini ia adalah aset yang lebih kuat berbanding indeks saham, sesuatu yang sering ia berkorelasi. Maka, kadar indeks S&P500 kembali berada di kedudukan pertengahan Januari lalu, indeks Dow Jones pula susut ke paras Disember tahun lalu, manakala nilai mata wang kripto terunggul ini bertambah sebanyak 40% sejak 1 Januari, 2023.
Debat mengenai masa hadapan aset digital masih terus diperbincangkan. Naib Pengerusi syarikat induk lagenda Berkshire Hathaway selaku orang kanan Warren Buffet iaitu Charlie Munger masih mendesak pihak berkuasa AS untuk mengharamkan terus mata wang kripto. Hartawan berusia 99 tahun itu menggelar sesiapa yang tidak bersetuju dengan beliau sebagai “bodoh” dan menambah lagi, “Saya berasa malu dengan negara sendiri kerana meneruskan perbuatan kotor ini. Sangat tidak masuk akal kerana semua orang membelinya [aset digital]. Sangat teruk. Tidak masuk akal. Ini semua hanya akan merosakkan saja.” Kevin O’Leary, pelabur, wartawan, dan juga seorang hos rancangan popular iaitu Shark Tank turut memberi pendapat yang sama. Beliau berkata bahawa “penggubal dasar kewangan Amerika sudah bosan” melihat gelombang kebankrapan yang berlaku dalam industri kripto. “Para pegawai di Washington berasa sangat marah. Keruntuhan bursa FTX telah membangkitkan trend bear. Ia satu kebangkitan yang sangat teruk. Para senator sudah bosan untuk bertemu sesama mereka setiap enam bulan disebabkan terdapat syarikat mata wang kripto utama lain yang muflis. Mereka sudah jemu dengan industri yang tidak dikawal selia dan sesiapa pun boleh mengeluarkan token yang langsung tidak berguna,” jelas usahawan dari Kanada itu. Kesimpulan yang beliau berikan tidaklah begitu tegas seperti yang disuarakan oleh Charles Munger. O’Leary mendesak semua peserta industri supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak SEC serta lain-lain agensi kerajaan dan berkata bahawa syarikat yang mematuhi undang-undang akan menarik lebih banyak pelaburan besar berbanding pesaing mereka yang tidak dikawal selia.
Buat masa ini sebut harga bitcoin mendapat sokongan terutama sekali daripada pelabur-pelabur kecil dan juga sederhana. Menurut syarikat analisis Glassnode, jumlah walet yang memiliki sekurang-kurangnya 1 BTC sentiasa mencecah rekod baru. Jumlahnya telah bertambah sebanyak 20% sepanjang tahun lalu, hampir mencecah 982,000. Untuk walet dengan baki 1000 BTC atau lebih, jumlahnya telah jatuh daripada kedudukan tertingginya pada Februari 2021 (kira-kira 2,500) kepada jumlah pada Ogos 2019. Walet yang ada kini (setakat 20.02.2023) hanya berjumlah 2,024. Walau bagaimanapun, jumlah alamat dengan baki yang melebihi 10,00 BTC (berjumlah $240 juta mengikut nilai semasa) kekal pada paras tertingginya secara konsisten, menyamai jumlah pada November 2022 dan juga Oktober 2018. Buat masa ini, terdapat sejumlah 115 walet “jerung besar” seperti itu.
Menurut pengasas bersama bursa kripto Gemini iaitu Cameron Winklevoss, para pelabur di Asia mungkin boleh menolak harga bitcoin ke atas. Winklevoss percaya bahawa fasa pertumbuhan nilai yang seterusnya akan berlaku di benua Timur, manakala para pelabur di AS pula akan menyesuaikan diri dengan undang-undang yang baru. Menurut Chainalysis, rantau Asia Pasifik sudah pun berada di kedudukan ketiga dunia dari segi jumlah pelaburan mata wang kripto.
Sesetengah penganalisis percaya bahawa amat penting untuk pasaran bitcoin mengekalkan nilainya di atas paras rintangan tengah pada $24,500. Ini membolehkan nilai coin tersebut naik pertama sekali ke paras $25,000, dan kemudian berada di antara julat $29,000-30,000. Menurut penganalisis di Matrix, lonjakan ke paras $29,000 mungkin boleh berlaku pada musim panas nanti, dan nilai BTC mampu mencecah kepada $45,000 menjelang akhir tahun ini. Walau bagaimanapun, mereka maklum bahawa perkara ini hanya boleh berlaku jika kadar inflasi pengguna di AS terus turun dengan cepat. Penganalisis di Matrix juga menekankan harga mata wang kripto sudahpun beberapa kali melebihi $25,000 sejak kebelakangan ini, walaupun terdapat khabar angin negatif mengenai penggubalan undang-undang yang lebih ketat di AS dan juga Eropah, kenaikan itu dilihat sebagai satu petanda baik.
Bercakap mengenai ramalan, Matrix juga merujuk kepada “kesan bulan Januari”: harga yang tinggi pada bulan pertama sering menjadi penentu kepada nilai mata wang kripto untuk sepanjang tahun. Disamping itu, penganalisis juga maklum bahawa sejarah menunjukkan bitcoin menguji nilai minimumnya pada 12-15 bulan sebelum pengurangan penghasilan yang seterusnya. Kali ini, tempoh seperti itu adalah antara Disember 2022 - Mac 2023.
Penganalisis terkenal Plan B juga menjangkakan kemungkinan untuk berlakunya lonjakan, menganggarkan bitcoin mungkin akan menguji paras $42,000 pada bulan Mac nanti. Semasa ulasan ini dibuat (malam Jumaat, 24 Februari), BTC/USD didagangkan di sekitar $23,100. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.059 trilion ($1.106 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto susut daripada 61 mata kepada 53 mata sepanjang minggu lalu dan kembali dari zon Greed ke zon Neutral.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali