Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 06 - 10 Mac, 2023

EUR/USD: Tersekat di Zon 1.0600

  • Indeks dolar DXY sekali lagi menembusi halangan pada kadar 105.00 mata pada hari Khamis, 2 Mac namun gagal untuk terus berada di situ. Seperti biasa, nilai dolar menerima sokongan daripada pertambahan hasil bon kerajaan AS. Hasil sekuriti 10 tahun itu melonjak kepada jumlah tertingginya sejak 10 November lalu iaitu 4.09%, hasil sekuriti 2 tahun pula naik kepada 4.91% dan memperbaharui jumlah paling tinggi sejak tahun 2007. Statistik pasaran buruh di AS bagi Q4 2022 serta kadar Indeks Aktiviti Perniagaan Pembuatan (PMI) ISM  bagi sektor pembuatan di negara itu yang telah disemak semula turut menyokong nilai mata wang AS. Dalam pada itu, mata wang dolar menerima tekanan daripada mata wang yuan yang semakin bertambah kukuh disebabkan oleh statistik makroekonomi dari China. Kadar indeks pembuatan PMI di China berada pada paras tertinggi sejak tahun 2012. Kadar aktiviti dalam sektor perkhidmatan juga meningkat, dan pasaran hartanah di China juga sudah kembali stabil.

    Walau bagaimanapun, faktor utama yang telah menentukan dinamik pergerakan USD masih lagi adalah pihak Rizab Persekutuan yang dijangka akan mengambil tindakan lebih lanjut dalam membendung kadar inflasi. Disebabkan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk bulan Januari naik lebih tinggi berbanding jangkaan iaitu sebanyak 6.4%, peserta pasaran mula bercakap-cakap tentang kadar yang mungkin akan dinaikkan oleh penggubal dasar itu untuk bulan Mac pada hakikatnya bukanlah sebanyak 25 mata asas (bp), tetapi naik terus sebanyak 50. (Buat masa ini, alat FedWatch oleh pihak CME menganggarkan kadar kebarangkalian sebanyak 23% untuk kenaikan seperti itu berlaku).

    Jangkaan ini disokong oleh komen yang bersifat hawkish sesetengah ahli FOMC (Federal Open Market Committee). Ketua Bank Rizab Persekutuan Atlanta iaitu Rafael Bostic berkata kadar faedah utama itu pada akhirnya haruslah dinaikkan kepada 5.00-5.25% dan terus kekal berada di sekitar itu sehinggalah tahun 2024. Ketua Bank Rizab Persekutuan Minneapolis iaitu Neil Kashkari masih belum membuat keputusan sama ada akan bersetuju dengan kenaikan sebanyak 25bp atau 50bp untuk bulan Mac nanti, namun memberi bayangan bahawa pihak Rizab Persekutuan sendiri merancang untuk ia dinaikkan. Dalam masa yang sama, kedua-dua pegawai tertinggi itu menegaskan bahawa kadar inflasi perlu dibendung dengan memberi penekanan bahawa pasaran buruh serta ekonomi yang kukuh di AS dapat mengekang tekanan yang berpunca daripada polisi kewangan agresif oleh Rizab Persekutuan. Walau bagaimanapun, Rafael Bostic kemudiannya melembutkan sedikit mood hawkish beliau dan berkata pihak penggubal dasar mungkin akan menggantung kitaran kenaikan kadar pada musim panas nanti. Nilai dolar akan menjadi sedikit lemah selepas itu.

    Sesetengah penganalisis tidak menolak bahawa kadar tertinggi untuk USD akan mencecah 5.5%, malah mungkin 6.0% pada September nanti. Tiada siapa yang menjangka kadarnya akan diturunkan langsung pada penghujung tahun nanti. Jangkaan-jangkaan ini memberi kelebihan kepada mata wang AS, dan disahkan oleh pasaran niaga hadapan. Namun apabila bercakap tentang EUR/USD, kita tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan yang diambil oleh Rizab Persekutuan. Pihak di seberang Atlantik juga tidak boleh tidur lena. Data inflasi dari beberapa buah negara di Kesatuan Eropah menunjukkan bahawa pihak ECB juga akan terpaksa mengekalkan lebih lama pendirian hawkish mereka berbanding jangkaan. Ekonomi China yang kembali dibuka bukan saja boleh memberi tekanan kepada AS, malah juga di Eropah, lebih menyukarkan kedua-dua penggubal dasar dalam memerangi inflasi. Justeru, peserta pasaran menjangkakan Bank Kesatuan Eropah akan mengetatkan lagi polisi kewangan mereka yang mengekalkan kedudukan pasangan ini di sekitar paras 1.0600.

    Kedudukan terakhir pasangan ini minggu lalu berada pada paras 1.0632. Semasa ulasan ini dibuat (malam 3 Mac), unjuran para penganalisis dilihat tidak menentu seperti yang ditunjukkan oleh sebut harga EUR/USD: 50% daripada mereka berpendirian neutral, 30% lagi penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, dan baki 20% pula memihak kepada euro. Dalam kalangan pengayun pada D1, 50% berwarna merah, 15% berwarna hijau dan 35% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 35% mengesyorkan untuk jual, 65% - beli. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada pada paras 1.0575-1.0605, kemudian paras dan zon 1.5000-1.0530, 1.0440, 1.0375-1.0400, 1.0300 dan 1.0220-1.0255. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0680-1.0710, 1.0740-1.0760, 1.0800, 1.0865, 1.0930, 1.0985-1.1030.

    Terdapat peristiwa dan statistik ekonomi yang agak banyak akan diketahui pada minggu hadapan. Data jualan runcit di Eurozone akan dikeluarkan pada hari Isnin, 6 Mac. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijangka akan memberi kenyataan di Kongres AS pada hari Selasa dan Rabu. Terdapat juga data jualan runcit di Jerman, kadar KDNK di Eurozone serta kadar buruh di AS yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 8 Mac. Jumlah awal permohonan bagi manfaat pengangguran di AS serta kadar inflasi (CPI) di China akan diketahui pada hari Khamis. Data harga pengguna di Jerman akan diketahui pada hari Jumaat, 10 Mac. Menjadi kebiasaan untuk kita mengetahui sebahagian daripada statistik penting di pasaran buruh AS pada hari yang sama, termasuklah kadar pengangguran dan jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP). 

GBP/USD: Sentimen Menunjukkan Warna Merah

  • GBP/USD telah berada di saluran mendatar untuk dua minggu berturut-turut walaupun kadar kemeruapan yang ditunjukkannya agak tinggi. Julat turun naiknya (1.1942-1.2147) melebihi 200 mata, manakala kedudukan terakhir mingguannya berada di tengah-tengah saluran tersebut, pada paras 1.2040. Kami telah jelaskan mengenai faktor yang menjadikan dolar lebih kukuh di atas tadi. Mata wang British menerima sedikit sokongan daripada maklumat yang diterima pada minggu lalu mengenai persetujuan yang dicapai antara UK dan EU berkenaan Protokol Ireland Utara. Pertikaian dagangan kini telah berjaya diselesaikan, walaupun ini adalah berita positif untuk ekonomi UK, kebanyakan penganalisis percaya bahawa kesan positif yang diterima pound daripada perjanjian ini hanya bersifat sementara.

    Sebut harga pasangan ini masih lagi bergantung kepada tindak-tanduk Bank Negara. Ketua Bank of England (BoE) iaitu Andrew Bailey terus bersikap acuh tak acuh mengenai isu yang timbul semasa berucap pada hari Rabu, 1 Mac dengan mengatakan bahawa keputusan akhir berkenaan prospek polisi kewangan Bank Negara British masih lagi belum dibuat, dan pihak penggubal dasar itu seharusnya bersikap lebih fleksibel pada bulan-bulan akan datang untuk tidak menakutkan pasaran.

    Ramalan median para penganalisis untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 70% penganalisis bersetuju dengan nilai pound yang menjadi lebih lemah serta penurunan kadar GBP/USD, hanya 10% yang menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, manakala 20% lagi lebih suka untuk tidak menjangkakan apa-apa. Dalam kalangan indikator trend pada D1, keseimbangan skala adalah 65% kepada 35% yang memihak warna hijau. Gambarannya adalah berbeza sama sekali dalam kalangan pengayun. Warna merah memiliki kelebihan besar di sini iaitu 70%, 10% adalah warna hijau, dan 20% lagi berpendirian neutral. Sokongan pasangan ini berada pada paras dan zon 1.1985-1.2025, 1.1960, 1.1900-1.1925, 1.1840, 1.1800, 1.1720 and 1.1600. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2055, 1.2075-1.2085, 1.2145, 1.2185-1.2210, 1.2270, 1.2335, 1.2390-1.2400, 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

    Untuk kalendar ekonomi minggu hadapan, tiada data makro penting di UK yang dijangka akan dikeluarkan kecuali data penghasilan industri serta kadar KDNK di UK untuk bulan Januari yang akan diketahui pada hari Jumaat, 10 Mac.

USD/JPY: Sabar dan Hanya Bersabar

  • Pasangan USD/JPY naik ke paras 137.10 pada hari Khamis, 2 Mac setelah data ekonomi di AS diketahui. Ini adalah kedudukan paling tinggi yang dicapai sejak 20 Disember, 2022 lalu. Nilai yen menerima tentangan daripada perbezaan antara polisi Rizab Persekutuan dan BoJ, serta hasil spread antara bon 10 tahun AS dan Jepun yang bertambah kepada jumlah tertinggi sejak November 2022 pada bulan Mac.

    Mata wang Jepun berdepan satu lagi masalah yang berpunca daripada Kazuo Ueda, calon yang dipilih sebagai ketua Bank of Japan (BoJ). Pemilihan beliau itu telah menambah lagi kekecewaan mereka yang mengharapkan rombakan akan dibuat terhadap polisi kewangan penggubal dasar itu. Para pelabur gagal untuk mendapatkan isyarat “hawkish” yang jelas dalam ucapan beliau, sesuatu yang amat diperlukan bagi merangsang penyambungan semula permintaan yen sebagai aset spekulatif yang kini sudah pun menjadi lemah disebabkan pertumbuhan kadar indeks DXY serta pertambahan hasil bon 10 tahun.

    Pasangan USD/JPY memulakan bulan Februari pada paras 130.08, dan kini berada pada paras 135.84 pada 3 Mac. Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan penganalisis yang masih berharap nilai mata wang Jepun itu akan menjadi lebih kukuh. “Sejak nilai dolar mencapai paras tertingginya pada hujung bulan September, yen adalah mata wang kedua yang menunjukkan prestasi terbaik dalam kalangan negara G10 menjelang akhir bulan Januari lalu,” pakar ekonomi di MUFG berkata.  - Dalam konteks ini tidak apa jika nilainya turun sedikit. Namun kami percaya bahawa kadar inflasi akan turun dan hasil bon di seluruh dunia akan mencapai jumlah tertingginya, satu petanda nilai yen akan kembali pulih, terutama sekali akibat polisi Bank of Japan yang juga akan berubah.”

    Pakar strategi di HSBC, sebuah konglomerat kewangan terbesar turut berpendapat yang sama. “Kami akan terus memihak dengan bull yen untuk tempoh sederhana,” unjuran mereka menyebut, “namun kami syak mata wang ini perlu bersabar sebelum menerima kekuatan sendiri disebabkan keputusan Bank of Japan. Buat masa sekarang, kadar USD/JPY mungkin kekal dipengaruhi dengan perkembangan di AS yang lebih cenderung memihak kepada nilai dolar yang lemah.”

    Mesyuarat Bank of Japan yang seterusnya akan diadakan pada hari Jumaat, 10 Mac. Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh bekas ketuanya iaitu Haruhiko Kuroda buat kali terakhir sebelum jawatan itu diambil alih Kazuo Ueda. Penganalisis di JPMorgan (seperti kebanyakan yang lain) tidak menjangkakan polisi BoJ akan berubah atau isyarat pembetulan diberikan pada mesyuarat itu. Besar kemungkinan Kuroda tidak akan mengkucar-kacirkan keadaan sebelum beliau meninggalkan jawatannya; mungkin kadar faedah akan kekal pada paras negatif -0.1% yang sama. Justeru, para penyokong yen hanya boleh mengikuti nasihat HSBC dan terus bersabar.

    Seperti yang sudah dinyatakan, terdapat penganalisis yang menjangkakan nilai mata wang Jepun akan menjadi lebih kukuh tidak lama lagi. Selain daripada pakar strategi di MUFG Bank dan HSBC yang disenaraikan di atas, penganalisis BNP Paribas Research turut berpendirian yang sama, manakala pakar ekonomi di Danske Bank menjangkakan kadar USD/JPY akan turun ke paras 125.00 dalam masa tiga bulan. Pada pendapat mereka, jika polisi kewangan diketatkan, hasil bon yang positif di Jepun mampu merangsang semula aliran masuk modal oleh pelabur tempatan, dan disebabkan itu kedudukan USD/JPY akan berada di sekitar 121.00 menjelang hujung tahun 2023. Namun semua ini masih lagi andaian saja, walaupun 60% penganalisis sudah bersetuju dengannya. Bagi prospek masa terdekat, hanya 10% penganalisis buat masa ini mengharapkan penurunan pasangan ini, 45% melihat pada arah pergerakan bertentangan, dan baki 45% lagi kekal neutral.

    Dalam kalangan pengayun pada D1, 85% menunjukkan pertumbuhan, baki 15% lagi bergerak pada arah bertentangan. Bagi indikator trend, 65% menunjukkan pertumbuhan dan baki 35% lagi penurunan. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di zon 134.90-135.20, diikuti dengan paras dan zon 134.40, 134.00, 133.60, 132.80-133.20, 131.85-132.00, 131.25 130.50, 129.70-130.00.  Rintangan berada pada paras dan zon 136.00-136.30, 136.70-137.10, 137.50, 139.00-139.35, 140.60, 143.75.

    Untuk kalendar minggu hadapan, selain daripada mesyuarat Bank of Japan yang telah dinyatakan di atas tadi, hari yang menjadi tumpuan termasuklah hari Khamis, 9 Mac apabila data kadar KDNK negara ini bagi Q4 2022 diketahui.

MATA WANG KRIPTO: Bitcoin Menunggu Pemangkin yang Baru

  • Ayat pertama kami pada ulasan sebelum ini: “Bitcoin berdepan tekanan, namun masih lagi bertahan”. Memulakan ulasan untuk kali ini, kami hanya boleh ulangi: bitcoin berdepan tekanan, namun masih lagi bertahan. Sekarang, mari kita bincangkan tentang berita global. Berita baiknya adalah penggubal-penggubal dasar utama dunia tidak akan mengharamkan sepenuhnya mata wang kripto. Berita buruknya pula desakan penggubal dasar terhadap industri ini akan terus bertambah.

    Penyeliaan pasaran kripto adalah salah satu daripada topik yang dibincangkan oleh para menteri kewangan dan juga wakil-wakil bank negara pada mesyuarat negara-negara G20. Hasilnya, Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen berkata amat penting untuk mengawal selia industri kripto, dan sementara itu pihak Washington pula mempertimbangkan untuk tidak mengharamkannya terus. “Penting untuk kita menghasilkan rangka kerja undang-undang yang boleh dipercayai. Kita sedang berusaha [menggubal undang-undang] bersama agensi kerajaan yang lain,” jelas beliau dalam temu bual bersama Reuters. Pengarah Urusan IMF iaitu Kristalina Geordieva bersetuju dengan rakan sejawatnya itu: organisasi beliau turut menyokong penyeliaan aset digital yang secukupnya serta menentang pengharaman terus.

    Perlu diketahui di sini bahawa kawalan undang-undang yang lebih ketat dan dalam masa yang sama, memaksa beberapa syarikat utama untuk keluar daripada zon selesa mereka akhirnya akan memberi kesan positif kepada industri tersebut, mengurangkan kejutan seperti keruntuhan bursa FTX. Selain itu, undang-undang yang jelas akan menarik lebih ramai pelabur-pelabur berinstitusi, menambah modal pasaran kripto kepada jumlah yang belum dicapai sebelum ini.

    Namun semua ini bakal terjadi pada masa hadapan. Buat masa sekarang, bilangan “golongan” jerung (memiliki lebih daripada 1,000 BTC) terus berkurang, mencecah jumlah paling sedikit dalam masa tiga tahun iaitu 1,663 individu. Jumlahnya adalah 2,500 semasa berada di kemuncak pada Februari 2021. Penurunan ini berlaku walaupun pada hakikatnya pasaran kripto menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding jangkaan para penganalisis dan peserta pasaran pada awal tahun 2023. Ini adalah penemuan yang dibuat oleh penganalisis di Bank of America.

    Buat masa ini, sebut harga bitcoin mendapat sokongan terutama sekali daripada pelabur-pelabur kecil dan sederhana. Menurut syarikat analisis Glassnode, bilangan walet dengan jumlah 1 BTC terus memperbaharui rekod terbanyak secara berterusan, menghampiri jumlah 1 juta. Aliran masuk modal ke pasaran untuk tempoh 30 hari adalah melebihi aliran keluar buat pertama kalinya dalam masa 9 bulan dan telah kembali ke zon “hijau”. Kedudukan nilai bersih pasaran terealisasi secara kumulatifnya juga menjadi positif buat pertama kali sejak April 2022 (metrik ini menunjukkan kadar negatif sejak sembilan bulan lalu). Pelabur jangka masa panjang turut memperbaharui jumlah simpanan paling banyak sepanjang tempoh empat bulan lalu.

    Selain itu, menurut penganalisis di Glassnode, penurunan jumlah walet milik jerung boleh dianggap sebagai satu faktor positif. Ini bermakna aset berkenaan telah diagih dengan lebih rata dan tidak hanya tertumpu pada golongan pelabur-pelabur besar yang lebih kecil jumlahnya. Keadaan ini lebih sesuai bagi keseluruhan ekosistem kerana ia menyingkirkan kemungkinan berlakunya manipulasi pasaran oleh beberapa orang pelabur.

    Menurut sebilangan penganalisis, satu lagi faktor positif adalah korelasi antara mata wang kripto dan indeks saham serta indikator makroekonomi di AS menjadi semakin lemah. Mata wang kripto terunggul itu telah bergerak di sepanjang julat sempit antara $23,000-24,000 hampir keseluruhan minggu lalu, dan kedudukannya turun sedikit pada hari Jumaat, 3 Mac. Mungkin ia disebabkan oleh berita yang melaporkan satu lagi wakil dalam industri kripto iaitu Silvergate Bank di California (AS) berada di ambang kebankrapan. 

    Menurut penganalisis di syarikat pelaburan Bernstein, korelasi antara mata wang kripto pertama itu dengan indeks Komposit Nasdaq telah turun daripada 0.94 kepada 0.58 sejak awal Februari lalu. Menurut mereka, pasaran berada dalam keadaan seimbang antara bull dan bear, “menunggu pemangkin yang lain”, dan tahap kerentanannya terhadap situasi yang berlaku dalam dunia kewangan tradisional “sudah tidak seperti dulu lagi."

    Kami juga dapat perhatikan korelasi dengan pasaran saham yang lemah dan kemudian menjadi kukuh semula antara Ogos-September lalu. Mungkin agaknya “penyahgandingan” antara BTC dan indeks saham yang sedang berlaku ini adalah fenomena sementara. Jelas bahawa kebimbangan paling besar yang dirasai oleh semua aset berisiko adalah berkait rapat dengan kenaikan berterusan kadar faedah utama oleh Rizab Persekutuan AS, sesuatu yang boleh menjadi pendorong kepada penyambungan semula trend bearish BTC/USD.

    Michael van de Poppe, seorang pedagang terkenal yang juga CEO syarikat Eight percaya bahawa buat masa ini bitcoin adalah aset yang dinilai paling rendah. Beliau telah mengeluarkan video ulasan yang mengunjur pertumbuhan nilai coin tersebut kepada $40,000 pada tahun ini. Dalam masa yang sama, data makroekonomi yang membimbangkan serta unjuran kadar faedah oleh Rizab Persekutuan telah gagal mengurangkan sikap optimis Van de Poppe. Pada pandangan beliau, perbezaan bullish yang dapat dilihat pada carta mingguan menunjukkan bahawa nilainya sudah pun berada pada paras paling rendah. Apa yang akan berlaku sekarang adalah bergerak keluar daripada kedudukan purata pergerakan selama 200 minggu dan mengalami penyatuan. Menurut pelabur itu, pergerakan yang paling mungkin berlaku pada tahap ini adalah secara mendatar. Untuk senario paling teruk pula, kadar BTC/USD akan turun pada julat paling rendahnya iaitu $18,000, dan penurunan ini akan menjadi peluang pelaburan yang terbaik.

    Menurut Van de Poppe, kegawatan tidak akan berlaku sekarang, tapi ia mungkin akan bermula akibat keruntuhan pasaran hutang dan juga pasaran hartanah sebenar. Namun sebelum ia bermula, nilai bitcoin mungkin telah naik kepada $40,000 kerana menjadi kebiasaan untuk berlakunya krisis setelah 6-12 bulan kadar faedah Rizab Persekutuan naik mendadak. Petanda kepada permulaan lonjakan bull yang baru mungkin sama ada pengharaman penghasilan di China yang ditarik balik, atau penerimaan Hong Kong untuk menggunakan mata wang kripto.

    Bencana yang melanda sektor kewangan global turut diramal oleh penulis beberapa buah buku pelaburan termasuklah buku terlaris Rich Dad Poor Dad iaitu Robert Kiyosaki. Beliau telah lama mengkritik polisi kewangan Rizab Persekutuan dan menyatakan kebimbangannya tentang mata wang dolar yang susut nilai. Kini penulis buku ekonomi itu membuat kenyataan berani dengan menyatakan pendapat beliau bahawa wang murah akan mendorong kepada kejatuhan empayar Amerika. Pendirian Kiyosaki ini mendapat persetujuan daripada komuniti kripto yang menerangkan tentang kelebihan bitcoin. Para penganalisis maklum bahawa tidak seperti mata wang fiat, aset digital seperti BTC tidak terkesan dengan tekanan inflasi kerana bekalannya adalah terhad dan ditentukan dahulu oleh algoritma yang sewajarnya.

    Jika diingat bahawa baru-baru ini Kiyosaki telah menjangkakan pertambahan nilai bitcoin kepada $500,000 menjelang tahun 2025. ““Pasaran akan runtuh dengan teruk tidak lama lagi. Kegawatan mungkin akan berlaku. Pihak Rizab Persekutuan terpaksa mencetak berbilion-bilion wang murah. Nilai emas akan menjadi $5,000, nilai perak pula $500, manakala nilai bitcoin akan menjadi $500,000 menjelang tahun 2025,” jelas Kiyosaki. Tambah beliau lagi emas dan perak adalah wang untuk para “tuhan”, manakala bitcoin adalah dolar untuk orang-orang kebanyakan.

    Matt Hougan, ketua pegawai pelaburan di Bitwise dalam temu bualnya baru-baru ini berkata “sangat-sangat optimis untuk tiga tahun akan datang.” Beliau berpendapat, penerimaan besar-besaran mata wang kripto akan berlaku antara tahun 2023-2025 dan nilainya pasti akan bertambah. “Kitaran pasaran bull kali ini akan menjadi kitaran paling besar dari segi penerimaan pengguna, dari segi peningkatan kumulatif modal pasaran, dari segi apa jua yang kita sasarkan,” jelas ahli kewangan itu. “Namun ia bukanlah satu pertumbuhan yang sempurna dan terus berlaku.” Juga, “Saya sebenarnya optimis berkenaan dengan penguatkuasaan undang-undang,” tambah Matt Hougan lagi.

    Pengasas bersama syarikat Apple iaitu Steve Wozniak juga bersikap bullish pada minggu lalu. Pada pendapat beliau, mata wang kripto utama itu memiliki potensi besar dan nilainya akan bertambah pada tahun-tahun mendatang, sehingga mencecah $100,000.

    Dalam pada itu, semasa ulasan ini dibuat (malam Jumaat, 3 Mac), pasangan BTC/USD didagangkan di zon $22,250. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.024 trilion ($1.059 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 53 mata kepada 50 mata dalam masa seminggu dan berada di tengah-tengah zon Neutral.

    Akhir sekali, kisah yang boleh diceritakan dalam bahagian petua hidup kripto kami. Ia ditujukan buat mereka yang bimbang dengan khabar angin mengenai penguatkuasaan undang-undang seperti yang dibincangkan pada awal ulasan tadi. Kami mendapat berita bahawa salah sebuah kerajaan di UAE iaitu Ras Al Khaimah (RAK) telah merancang untuk membangunkan satu zon bebas buat syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri aset digital. Menurut kenyataan yang telah diumumkan, RAK Digital Assets Oasis akan menjadi hab bagi aktiviti industri luar selia, dan permohonan akan dibuka seawal Q2 2023.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Material ini bukanlah cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.