Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 10 – 14 April, 2023

EUR/USD: Tilikan Kadar Rizab Persekutuan Diteruskan

  • Nilai dolar dilihat tidak begitu lemah mahupun lebih kukuh. Dari satu sudut, kadar indeks dolar DXY memperbaharui paras terendah sepanjang dua bulan pada 4 April, turun lebih rendah daripada paras sokongan 101.50, dan kadar EUR/USD naik ke paras tertinggi baru pada 1.0972. Dari sudut yang lain pula, minggu lalu telah melihat pasangan ini kembali ke paras yang telah didudukinya pada 23 dan 31 Mac.

    Indeks DXY terus menerima tekanan daripada statistik makro di AS yang lemah. Kadar pertumbuhan KDNK di negara itu untuk Q4 2022 adalah 2.6%, nilai yang lebih rendah berbanding unjuran dan juga kadar sebelum ini (2.7%). Kadar aktiviti perniagaan untuk bulan Mac menyusut dengan lebih teruk: kadar indeks PMI dalam sektor pembuatan turun kepada 46.3 berbanding 47.5 yang diunjur dan 47.7 untuk bulan Februari, manakala dalam sektor perkhidmatan pula turun kepada 51.2 (54.5 yang diunjur, 55.1 kadar bulan Februari). Pesanan baru untuk barangan industri turun sebanyak 0.7% pada bulan Februari, sekali lagi susut 0.5% lebih rendah berbanding unjuran. Hal ini berlaku walaupun pada hakikatnya kadar itu sudah jatuh sebanyak 2.1% pada bulan lalu. Laporan pasaran buruh JOLT menunjukkan penawaran jawatan kosong turun kepada 9.9 juta, jumlah paling sedikit dalam tempoh dua tahun.

    Biro Statistik Sumber Manusia telah mengeluarkan laporan jumlah pekerjaan untuk bulan Mac pada hari Jumaat, 7 Mac yang lalu. Jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) yang ada di Amerika Syarikat secara realitinya turun kepada 236K dan bukan 240K seperti yang diunjur. Jumlahnya ini adalah lebih tinggi pada Februari lalu iaitu sebanyak 326K. Namun kadar pengangguran turun daripada 3.6% kepada 3.5%, situasi yang dapat memberi sedikit sokongan kepada mata wang AS (dalam pasaran yang tipis, indeks DXY naik di atas paras 102.00). Walau bagaimanapun, reaksi utama pasaran terhadap data-data ini hanya akan dapat dilihat pada minggu hadapan. 7 April adalah hari cuti di Eropah, Amerika Syarikat serta beberapa negara lain kerana sambutan hari Good Friday. Hari Isnin, 19 April juga adalah hari cuti di Eropah kerana sambutan Hari Easter. Kali terakhir kadar NFP dikeluarkan pada hari Good Friday adalah pada tahun 2021, dan kemudian, walaupun terdapat lonjakan mendadak pada indikator ini, respon pasaran sedikit tertangguh dan begitu dihalang.

    Sudah pasti, kesemua indikator di atas ini mungkin akan mendorong pasaran untuk mengubah jangkaan mereka terhadap kadar Rizab Persekutuan AS. Namun, mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang seterusnya hanya akan diadakan pada 3 Mei nanti, dan lebih banyak statistik penting yang akan dikeluarkan sebelum itu. Keadaan ekonomi yang lemah mungkin akan meredakan pendirian hawkish ahli-ahli FOMC dan memaksa mereka untuk menghentikan sementara pengetatan polisi kewangannya, membiarkan kadar yang sama pada 5.00%. Menurut Fedwatch Tool oleh CME Group, ada kemungkinan sebanyak 52.7% buat masa ini untuk satu lagi kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas (bp).

    EUR/USD ditutup minggu lalu pada kadar 1.0901. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 7 April, unjuran para penganalisis dilihat sama rata: 35% daripada mereka menjangkakan penyusutan lebih rendah nilai dolar, 35% - pengukuhannya, manakala baki 30% lagi mengambil pendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 90% adalah berwarna hijau, 10% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 75% mengesyorkan untuk beli, 15% - jual. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada pada paras 1.0885, 1.0860, kemudian 1.0740-1.0760, 1.0675-1.0710, 1.0620 dan 1.0490-1.0530. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0925, kemudian 1.0955, 1.0985-1.1030, 1.1110, 1.1230, 1.1280 dan 1.1355-1.1390.

    Kadar jualan runcit di Eurozone akan diumumkan minggu ini pada hari Isnin, 11 April. Keesokan harinya, data penting bagi kadar inflasi pengguna (CPI) di AS akan dikeluarkan. Minit mesyuarat FOMC untuk bulan Mac juga akan dikeluarkan pada hari Rabu. Pada hari Khamis, kadar CPI di Jerman, jumlah tuntutan awal manfaat pengangguran di AS serta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS akan diketahui. Kita akan mengetahui kesemua statistik mengenai jualan runcit di AS pada hari Jumaat.

GBP/USD: Kadar PMI Memberi Harapan Kepada Pelabur

  • Melihat kepada nilai dolar yang semakin lemah, keadaan GBP/USD menjadi lebih baik, dan mata wang pound mencecah satu lagi paras tertinggi pada 4 April, berada di ketinggian 1.2525. Pasangan itu tidak pernah didagangkan pada kadar setinggi ini sejak awal Jun 2022. Walau bagaimanapun, berlakunya sedikit pembetulan selepas itu, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.2414, kembali ke paras antara pertengahan bulan Disember 2022 - dua minggu terakhir Januari 2023.

    Pada hakikatnya, tiada apa yang boleh dibanggakan mengenai ekonomi di UK, sama seperti di AS. Kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di negara itu telah dikeluarkan pada 3 April, dan ia menunjukkan penurunan daripada 49.3 mata kepada 47.9 mata (diunjur sebanyak 48.0). Kadar PMI dalam sektor perkhidmatan serta kadar komposit indeks berkenaan juga rupa-rupanya adalah lebih rendah berbanding kadar sebelumnya - masing-masing adalah 52.9/53.5 dan 52.2/53.1. Namun, hakikat bahawa kadar kedua-dua indeks itu kekal berada di atas paras 50.0 memberi sedikit sinar harapan bahawa ekonomi British mampu mengelak daripada mengalami kegawatan. Hal ini ternyata memberikan sokongan kepada mata wang negara tersebut.

    Buat masa ini, 40% penganalisis memihak kepada pound, nilai yang sama (40%) mengambil pendirian tunggu dan lihat, dan hanya 20% saja yang memihak kepada dolar. Dalam kalangan pengayun pada D1, keseimbangan skala adalah seperti berikut: 90% bersetuju dengan warna hijau dan 10% lagi berwarna merah. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan memihak kepada warna hijau dengan 85%, warna sebaliknya pula 15%. Sokongan bagi pasangan ini berada pada paras dan zon 1.2390, 1.2330, 1.2275, 1.2200, 1.2145, 1.2075-1.2085, 1.2000-1.2025, 1.1960, 1.1900-1.1920, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2450, 1.2510-1.2525, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

    Berkenaan ekonomi di UK, Gabenor Bank of England (BoE) iaitu Andrew Bailey akan berucap sebanyak dua kali minggu hadapan pada hari Rabu, 12 April. Pada hari Khamis, 13 April, data jumlah pengeluaran dalam sektor pembuatan serta kadar KDNK di negara tersebut akan dikeluarkan. Sebagai peringatan, hari Isnin, 10 April adalah hari Cuti Bank Easter di United Kingdom.

USD/JPY: BoJ Mengekalkan Polisi Longgar

  • Dinamik USD/JPY secara keseluruhannya sepadan (seharusnya sama) seperti yang dialami “rakan” dalam indeks DXY untuk kali ini. Pada awal minggu, kedudukannya turun daripada 133.75 dan merekodkan paras mingguan terendah iaitu 130.60 pada 5 April. Kemudian kadarnya naik, mencecah paras 132.37 dalam pasaran yang tipis serta kadar tenaga kerja yang agak lembab di AS. Kedudukan terakhirnya minggu lalu berada sedikit rendah, pada paras 132.14.

    Berkenaan polisi kewangan Jepun, tiada apa yang berubah setakat ini: pengaruh-pengaruh luar masih berharap ia akan diketatkan, pengaruh domestik menyatakan kadar dovish yang teramat longgar tidak akan berubah. Pada hari Jumaat, 7 April, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu Kristalina Georgieva dengan berhati-hati memberi nasihat bahawa “adalah sesuai untuk menjadikan polisi kewangan Bank of Japan lebih fleksibel.” Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki pada hari Jumaat telah memuji segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Gabenor Bank of Japan sebelum ini iaitu Haruhiko Kuroda dan menyatakan harapan beliau supaya barisan kepimpinan baru Bank Negara itu “akan terus menyokong polisi yang sedia ada wajar dan mencukupi.”

    Kami telah nyatakan dalam ulasan sebelum ini bahawa pakar ekonomi di Societe Generale menjangkakan sebarang perubahan kadar BoJ tidak akan dilaksanakan sebelum bulan Jun nanti. Komen daripada rakan sejawat mereka di ANZ Bank agak sama. “Untuk masa terdekat ini, polisi [BOJ] mungkin tidak akan berubah,” jelas mereka. Mengikut unjuran ANZ Bank, jika terdapat perubahan sekalipun, pelaksanaan itu dijangka hanya akan berlaku selepas Q2 tahun ini.

    Untuk prospek masa terdekat USD/JPY, buat masa ini 55% daripada penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan lebih tinggi pasangan ini ke atas, manakala 45% lagi menunjukkan arah bertentangan. Dalam kalangan pengayun pada D1, 25% menunjukkan penurunan, nilai sama menunjukkan arah bertentangan, dan 50% lagi bersikap neutral. Untuk indikator trend, 40% menunjukkan pertumbuhan, baki 60% pula penurunan. Sokongan terdekat pasangan ini berada di zon antara 131.85-132.00, kemudian paras dan zon 131.25, 130.50-130.60, 129.70-130.00, 128.00-128.15 and 127.20.  Rintangan berada pada paras dan zon 132.80-133.00, 133.60-133.75, 134.35, 135.00-135.35, 135.90-136.00, 137.00, 137.50 dan 137.90-138.00.

    Tiada sebarang statistik berkenaan keadaan ekonomi di Jepun yang penting yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: Rintangan Pada $29,000 Masih Belum Dicapai

  • Permulaan ulasan sebelum ini berbunyi seperti berikut: “Krisis yang menumbangkan Silvergate, Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature serta meruntuhkan Credit Suisse sudah pastinya membantu pasaran kripto dalam mengingatkan tentang mengapa kewangan disentralisasi dihasilkan. Walau bagaimanapun, perasaan takut yang dirasai para pelabur tentang gelombang krisis kewangan yang baru di AS dan Eropah beransur-ansur hilang, situasi ini jelas kelihatan pada carta BTC/USD. Jika nilai emas digital itu berjaya naik hampir 45% sepanjang tempoh lonjakan yang berlaku antara 10-17 Mac, coin itu gagal untuk mengatasi paras rintangan $29,000 sejak dua minggu lalu. […] BTC mendapat sokongan pada paras $26,500.”

    Semua ini ditulis pada tujuh hari yang lalu, namun sehingga sekarang semua kenyataan itu masih lagi relevan. Satu-satunya perubahan yang dapat dilihat adalah julat turun naiknya menjadi lebih kecil pada minggu lalu, dan kedudukan paling rendah untuk minggu itu berada pada paras $27,190. Keadaan ini memerlukan sedikit dorongan agar julat itu dapat ditembusi sama ada ke atas atau pun ke bawah, namun kita masih belum dapat melihatnya lagi.

    Seperti yang telah disebutkan, pasaran kripto, terutama sekali bitcoin telah menerima sokongan secara umumnya daripada krisis perbankan yang berlaku serta keadaan makroekonomi yang semakin membimbangkan. Namun, industri ini terus berdepan dengan tekanan undang-undang daripada agensi-agensi kerajaan AS yang kini turut disertai oleh rakan sejawat mereka dari UK. Disebabkan itu, pada satu sudut, kita dapat melihat penurunan kadar kecairan BTC ke paras paling rendah dalam tempoh 10 bulan, dan pada sudut yang lain pula, jumlah dagangannya semakin bertambah.

    Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh CNBC terhadap orang berpengaruh dalam industri, pada tahap ini pasaran dilihat masih bersikap bullish terhadap masa depan mata wang kripto pertama itu. Menurut syarikat analisis Glassnode, daya tarikannya semakin bertambah. Penganalisis dari syarikat itu maklum bahawa peningkatan aktiviti dagangan telah direkodkan pada enam bulan terakhir tahun lalu, apabila nilai bitcoin susut kepada $15,000, dan trend yang hampir sama juga dapat dilihat pada tahun 2023. Jumlah alamat unik dalam rangkaian bitcoin dengan baki sekurang-kurangnya satu coin telah mencecah 992,243. Jumlah alamat yang memiliki coin antara 100 dan 1000 BTC adalah sebanyak 14,004. Terdapat empat jerung paling besar yang memiliki coin antara 100,000 dan 1 juta BTC, ini termasuklah bursa Binance dan Bitfinex, masing-masing mengawal 248,597 dan 178,010 bitcoin. Dalam masa yang sama, terdapat kemungkinan salah satu daripada empat jerung ini adalah kerajaan AS sendiri. Menurut penganalisis di Dune, jumlah keseluruhan mata wang kripto pertama yang dimiliki oleh pihak berkuasa AS adalah sebanyak 205,515 BTC: lebih 1% daripada keseluruhan coin yang telah dikeluarkan (kebanyakan aset ini diperoleh hasil rampasan daripada penjenayah).

    Wakil dari platform Derebit mengesahkan sikap bullish dalam kalangan umum. Mereka berpendapat, minat terbuka terhadap derivatif bitcoin semakin bertambah secara berterusan. Derebit memberi penekanan bahawa kebanyakan posisi yang dibuka adalah untuk beli kerana para pelabur terus percaya dengan potensi coin terunggul itu di pasaran kripto.

    Selari dengan peningkatan daya penarik yang ada pada aset digital dalam kalangan pelabur, daya tarikannya terhadap penjenayah juga turut meningkat. Penjenayah siber telah mencuri sejumlah $255.8 juta dalam bentuk mata wang digital sejak awal tahun ini. Dalam masa yang sama, “hanya” $8.8 juta telah dicuri pada bulan Januari, 3.5 kali lebih banyak - $35.5 juta dicuri pada bulan Februari, dan jumlahnya meningkat kepada $211.5 juta untuk bulan Mac.

    Seorang penganalisis kripto yang dikenali sebagai Stockmoney Lizards telah membuat analisis terhadap dinamik aset kripto terunggul itu. Pada pendapat beliau, carta bulanan aset berkenaan dilihat agak baik dan menunjukkan potensi untuk bertumbuh lebih tinggi. Andaian penganalisis itu disokong oleh bacaan indikator RSI. Stockmoney Lizards percaya bahawa situasi di pasaran sekarang adalah hampir sama dengan perkara yang berlaku antara tahun 2017 dan 2020, apabila trend berterusan ke atas mula terbentuk, dan nilai bitcoin boleh mencecah paras penting $47,000 tidak lama lagi.

    Seorang lagi penganalisis terkenal iaitu Michael Van De Poppe berkongsi pandangan yang sama. Menurut penganalisis itu, para pembeli masih menjadi penentu situasi. Jika sebut harga bitcoin kekal di atas paras $25,000 untuk beberapa bulan, kita boleh jangkakan nilainya berpotensi untuk naik menjadi $40,000.

    Charles Edwards, pengasas dana lindung nilai Capriole Investments maklum dengan isyarat bullish yang “biasa dilihat” pada metrik SLRV Ribbons. SLRV Ribbons adalah satu alat bagi mengukur potensi pulangan daripada bitcoin. Ia membuat analisis pertembungan antara dua pergerakan purata. Apabila MA jangka pendek selama 30 hari melintasi MA jangka panjang 150 hari, bitcoin akan memulakan fasa bullish. Metrik ini adalah “semudah itu,” Edwards membuat ciapan. “Sekarang ini ia mengulangi pergerakan klasik bullish dengan silangan pada awal tahun 2023.” Tambah penganalisis itu lagi walaupun SLRV Ribbons adalah satu alat yang agak baru, kajian telah membuktikan kebolehpercayaan dan kemampuannya untuk menambah hasil pulangan pelaburan dalam BTC.

    SLRV bukan satu-satunya metrik yang menimbulkan perasaan déjà vu terhadap pengasas Capriole Investments pada bulan ini. Alat Yardstick Bitcoin juga menunjukkan nilai pasaran bitcoin menjejak semula nilai yang relatif dengan kadar hash, namun masih mengklasifikasikan BTC sebagai “murah” mengikut harga semasa. “Corak yang ditunjukkan Yardstick Bitcoin menyamai dengan paras terendah pada 2019 yang dikenali ramai,” komen Edwards terhadap bacaan indikator itu. Pada awal tahun itu, setelah keluar daripada zon “murah”, pasangan BTC/USD hanya turun sekali saja sepanjang bermulanya krisis akibat permulaan pandemik COVID-19 pada Mac 2020. Mengikut indikator tersebut, harga sasaran BTC buat masa sekarang adalah $35,000.

    Beralih kepada jangka masa panjang daripada jangka masa pendek, Arthur Hayes, bekas CEO bursa kripto BitMEX adalah yang paling optimis di sini, menyatakan nilai $1 juta bagi setiap coin sebagai sasaran bitcoin. Beliau terpanggil untuk memberikan sasaran seperti itu disebabkan oleh berita mengenai penurunan nisbah rizab wajib (required reserve ratios atau RRR) yang dilaksanakan People’s Bank of China terhadap semua bank-bank sebanyak 0.25%. (Untuk rujukan: Nisbah rizab wajib adalah sebahagian liabiliti berkanun yang dikenakan kepada bank-bank komersil terhadap deposit yang diterima. Jika kadarnya menurun, jumlah wang pembiayaan atau modal pelaburan yang boleh pihak bank sediakan akan bertambah.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 7 April, jelas sekali bahawa kadar BTC/USD masih jauh untuk mencapai nilai $1 juta dan sekarang ini didagangkan pada kadar $27,860. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.177 trilion ($1.185 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto hanya naik satu mata dalam masa tujuh hari, daripada 63 kepada 64, dan masih berada di zon Greed.

    Akhir sekali, sedikit mengenai dengan altcoin utama iaitu ethereum. Hard fork Shanghai yang sudah lama ditunggu-tunggu akan dilaksanakan ke dalam rangkaiannya pada 12 April nanti. Pelaksanaan ini akan membolehkan para pengesah mengeluarkan coin yang disimpan untuk tujuan staking. Buat masa sekarang, jumlahnya adalah sebanyak 18 juta ETH, atau 15% daripada jumlah keseluruhan bekalan.

    Bagi mengurangkan potensi berdepan dengan tekanan harga serta tidak mahu membebankan rangkaian, mereka yang ingin berhenti daripada menjalankan staking perlu menunggu giliran mereka. Aliran keluar maksimum setiap hari adalah terhad kepada 2,200 transaksi ataupun 70k coin. Giliran ini mungkin agak panjang nanti. Selain itu terdapat juga prosiding pra-perbicaraan terhadap bursa kripto Kraken dan Coinbase bagi menolak staking, serta keinginan pihak SEC untuk menggantikan status ETH sebagai satu bentuk sekuriti. Walaupun dengan hard fork, sudah pasti semua ini akan mengurangkan daya penarik aset tersebut kepada para pelabur, dan mengakibatkan prospek ethereum menjadi tidak jelas. Pedagang dan penganalisis terkenal iaitu Benjamin Cowell percaya bahawa masa terbaik untuk membeli ethereum adalah pada saat ETH/BTC berada pada julat kadar antara 0.03 dan 0.04 (kadarnya adalah 0.067 sekarang). Penganalisis itu memberi jaminan bahawa beliau akan menunggu sehingga ia mencapai nilai tersebut, dan hanya selepas itu beliau akan membuat keputusan pelaburan yang sewajarnya.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.