Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 19 - 23 Jun, 2023

EUR/USD: Kejayaan Euro Menentang Dolar

  • Perkara utama yang berlaku pada minggu lalu adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (Federal Open Market Committee atau FOMC) Rizab Persekutuan AS pada hari Rabu, 14 Jun, dan juga mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank Negara Kesatuan Eropah pada hari Khamis, 15 Jun. Hasil keputusan daripada mesyuarat-mesyuarat ini telah menjadi penentu kepada kejayaan dolar terhadap dolar.

    Sepanjang pandemik COVID19, pihak Rizab Persekutuan AS telah mencetak dan mengedarkan sejumlah besar wang murah ke dalam pasaran. Tindakan ini telah mendorong kepada kenaikan inflasi, dan kadar itu akhirnya mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun. Setelah berakhirnya pandemik, penggubal dasar Amerika itu mengubah sepenuhnya pendirian polisi kewangan mereka, beralih daripada Pelonggaran Kuantitatif (QE) kepada Pengetatan Kuantitatif (QT). Dalam sepuluh kali mesyuarat terakhir, pihak Rizab Persekutuan telah menaikkan kadar faedah utama mereka untuk membendung inflasi, kenaikan yang pada akhirnya mencecah kadar 5.25%: kadar tertinggi sejak tahun 2006.

    Data yang dikeluarkan pada hari Selasa, 13 Jun menunjukkan kadar inflasi teras (CPI) untuk bulan Mei adalah 5.3% (tahun ke tahun) setelah bulan sebelumnya mencatat kadar 5.5%. Sudah tentu, penurunan ini adalah satu kemajuan, namun begitu kecil, dan kadar sasaran sebanyak 2.0% masih lagi jauh untuk dicapai. Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk mengelak daripada berhadapan masalah ekonomi serta krisis perbankan yang berterusan, para pemimpin Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah mereka dalam mesyuarat itu.

    Keputusan itu tidak mengejutkan pasaran. Timbalan presiden Rizab Persekutuan iaitu Philip Jeferson, dan juga presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia iaitu Patrick Harker ada menyebut tentang perlunya proses pengetatan polisi kewangan dihentikan sementara. Malah ketua Rizab Persekutuan sendiri iaitu Jerome Powell ada menyatakan tentang kemungkinan ia akan dilaksanakan. Akibatnya, sebelum mesyuarat tersebut berlangsung, peserta pasaran telah menjangkakan kadar kebarangkalian sebanyak 95% untuk kadar mereka kekal seperti sebelum ini.

    Lebih-lebih lagi, data yang dikeluarkan pada hari Khamis, 15 Jun menunjukkan hasil pengeluaran industri di AS susut sebanyak 0.2% pada bulan Mei, manakala jumlah tuntutan manfaat pengangguran kekal pada nilai sebelum ini iaitu 262K. Statistik yang lemah ini menambah lagi jangkaan pasaran mengenai penamatan sementara kenaikan kadar faedah yang dilaksanakan oleh pihak Rizab Persekutuan akan berlanjutan lebih lama. Untuk unjuran jangka panjang yang dibuat oleh pihak FOMC, para ahli jawatankuasa melihat kadar 5.6% sebagai kemuncaknya, dan diikuti dengan penurunan selepas itu: kadar 4.60% mengikut perspektif setahun, 3.40% mengikut perspektif dua tahun, dan lebih rendah selepas itu pada kadar 2.50%.

    Jadi, sementara pihak Rizab Persekutuan membiarkan kos pembiayaan mereka tidak berubah pada mesyuarat bulan Jun, pihak Bank Negara Kesatuan Eropah menaikkan kadarnya sebanyak 25 mata asas (b.p) - daripada 3.75% kepada 4.00%. Lebih-lebih lagi, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde menyatakan bahawa pengetatan polisi kewangan mereka akan terus dibuat pada bulan Julai nanti. Disamping itu, unjuran kadar inflasi telah disemak semula dan dinaikkan akibat kenaikan kadar gaji dan juga harga sumber tenaga yang tinggi. Berdasarkan perkara-perkara ini, pasaran bukan saja menjangkakan kadar faedah akan dinaikkan sebanyak 25 b.p pada bulan hadapan, malah juga pada bulan September. Pendirian hawkish ECB ini telah mengakibatkan peningkatan hasil perolehan bon kerajaan Jerman, manakala bon sekuriti A.S. pula jatuh. Hasilnya, kadar Indeks Dolar (DXY) terus susut, manakala pasangan EUR/USD terus mengukuhkan kedudukannya selepas pembentukan impuls bullish pada minggu lalu. Jika pasangan ini didagangkan pada kadar 1.0732 pada hari Isnin, 12 Jun, kadarnya mencecah 1.0970 pada 16 Jun, begitu hampir dengan paras psikologi pentingnya iaitu 1.1000.

    Pasangan EUR/USD mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0940. Untuk prospek jangka masa pendek, semasa ulasan ini dibuat pada malam 16 Jun, kebanyakan penganalisis (65%) menjangkakan trend ke atas akan terus berlaku, 25% lagi memilih penurunan pasangan ini, dan 10% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan indikator trend pada D1, 100% bersetuju dengan bull, manakala dalam kalangan pengayun pula, 90% berwarna hijau, namun begitu satu pertiga daripadanya sudah menunjukkan keadaan lebihan belian. Baki 10% lagi berwarna merah. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0895-1.0925, kemudian 1.0865, 1.0790-1.0800, 1.0745, 1.0670, dan akhir sekali paras terendah pada 31 Mei lalu iaitu 1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0970-1.0985, kemudian 1.1045, dan selepas itu 1.1090-1.1110.

    Tarikh-tarikh penting pada kalendar untuk minggu hadapan termasuklah 21 dan 22 Jun apabila Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijadual akan memberi testimoni beliau di hadapan Kongres. Data baru mengenai kadar pengangguran di AS juga akan dikeluarkan pada hari Khamis. Pada hari terakhir minggu bekerja, data awal Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) di Jerman dan juga di Eurozone secara keseluruhannya, serta dalam sektor perkhidmatan di AS akan diketahui. Disamping itu, pedagang harus tahu bahawa hari Isnin, 19 Jun adalah hari cuti umum di Amerika Syarikat: cuti hari Juneteenth.

GBP/USD: Pasangan Ini Mungkin Akan Terus Mengalami Pertumbuhan

  • Mengambil kelebihan daripada nilai dolar yang lemah, mata wang pound mengukuhkan kedudukannya dengan aktif sepanjang minggu lalu. Setelah naik semula daripada paras terendah mingguan 1.2486 pada hari Isnin, kadar pasangan GBP/USD melonjak naik sebanyak 362 mata pada hari Jumaat dan mencecah ketinggian 1.2848. Paras terakhir pada penghujung minggu adalah sedikit rendah: pada paras 1.2822. Kali terakhir mata wang British ini berada dalam kedudukan terbaik seperti itu adalah lebih daripada setahun lalu, pada bulan April 2022.

    Sentimen para pelabur bullish turut menerima sokongan daripada jangkaan Bank of England (BoE) yang akan menaikkan kadar mereka daripada 4.50% kepada 4.75% pada mesyuarat yang akan berlangsung pada hari Khamis, 22 Jun, turut sama dalam keputusan ini adalah retorik bersifat hawkish dan juga janji berkenaan lanjutan pengetatan polisi kewangan mereka.

    Hasilnya, pakar ekonomi di Scotiabank menjangkakan mungkin pasangan GBP/USD akan naik ke paras 1.3000 tidak lama lagi. Unjuran ini turut disuarakan oleh rakan mereka di ING, sebuah kumpulan perbankan terbesar di Belanda. “Melihat pada carta,” tulis mereka, “kelihatan bahawa tiada paras ketara antara kedudukan sekarang dan juga paras 1.3000 yang ditunjukkan, ini mencadangkan bahawa paras 1.3000 akan dicapai tidak lama lagi."

    Secara keseluruhan, unjuran median oleh para penganalisis dilihat lebih neutral. Sentimen bullish mendapat sokongan 50% penganalisis, 40% bersetuju dengan bear, manakala 10% lagi lebih gemar untuk tidak memberi sebarang komen. Untuk analisis teknikal, 100% indikator trend dan pengayun menunjukkan pertumbuhan, namun suku daripada pengayun sudah pun berada di zon lebihan belian. Jika pasangan ini mengalami penurunan, paras dan zon sokongan yang menanti adalah - 1.2685-1.2700, 1.2570, 1.2480-1.2510, 1.2330-1.2350, 1.2275, 1.2200-1.2210. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2940, 1.3000, 1.3050 dan 1.3185-1.3210.

    Minggu hadapan, sebelum berlangsungnya mesyuarat Bank of England yang telah disebutkan tadi pada hari Rabu, 21 Jun, data statistik inflasi di United Kingdom akan dikeluarkan. Penurunan dijangka akan ditunjukkan oleh Indeks Harga Pengguna (CPI) daripada 8.7% kepada 8.5%. Namun, penurunan sekecil itu tidak akan mengubah pendirian hawkish BoE. Disamping itu, tumpuan harus diberikan pada hari Jumaat, 23 Jun apabila data awal kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan di UK akan diketahui. Oleh kerana kadar PMI di Jerman, Eurozone, dan AS juga akan dikeluarkan pada hari yang sama, perbandingan keadaan ekonomi antara negara-negara itu boleh dibuat dan digambarkan dengan jelas.

USD/JPY: Ingin Kembali Ke Tempat Asal, Namun Gagal

  • Secara logiknya mungkin boleh diandaikan bahawa nilai mata wang Jepun akan menjadi lebih kukuh dan kedudukan pasangan USD/JPY pula mungkin akan mengubah arah pergerakannya disebabkan oleh penurunan kadar Indeks Dolar AS (DXY) dan pengurangan jumlah hasil perolehan bon Perbendaharaan AS: kadarnya kembali ke kedudukan asal dan bukannya melonjak naik. Malah pertumbuhan seperti itu dapat dilihat pada hari Khamis, 15 Jun. Namun hanya bertahan selama satu hari: sehingga berlangsungnya mesyuarat Bank of Japan (BoJ) apabila sekali lagi kadarnya dikekalkan pada paras negatif -0.1%. (Kami teringat bahawa Bank Negara Jepun tidak pernah mengubah kadar ini sejak Januari 2016). Disamping itu, menjadi sebahagian daripada keputusan baru ini, penggubal dasar tersebut turut mengumumkan rancangan mereka untuk membeli sejumlah bon kerajaan yang “perlu” dan terus mensasarkan hasil sekuriti 10 tahun itu hampir kepada sifar.

    Pakar ekonomi di Bank MUFG percaya bahawa jurang perbezaan polisi kewangan yang semakin besar antara Bank of Japan dan lain-lain bank pusat dunia adalah faktor utama kepada nilai yen menjadi semakin lemah. “Peningkatan spread hasil antara bon Jepun dan negara-negara asing, ditambah dengan penurunan kemeruapan kadar tukaran mata wang serta kadar […] menyumbang kepada yen dinilai lebih rendah,” jelas penganalisis MUFG.

    Rakan mereka di Commerzbank percaya bahawa jika pihak Rizab Persekutuan AS memberi isyarat terhadap dua potensi kenaikan kadar dolar yang baru, nilai yen akan terus menjadi lemah. Menurut penganalisis di konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale, jika satu lagi kenaikan kadar faedah diumumkan di AS pada bulan Julai, kadar USD/JPY mampu mencecah paras 145.00. 

    Satu-satunya harapan adalah langkah pertama yang akhirnya diambil BoJ untuk menamatkan polisi kewangan mereka yang teramat longgar dapat mengurangkan tekanan ke atas mata wang Jepun. Sebagai contoh, pakar ekonomi di BNP Paribas menyatakan bahawa “walaupun kami sudah menilai semula unjuran ke atas kami terhadap pasangan USD/JPY dengan mengambil kira kadar terminal Rizab Persekutuan yang tinggi serta lanjutan YCC Bank of Japan selepas ini, kami tetap dengan unjuran trend ke bawah untuk USD/JPY”. Mereka mensasarkan paras 130.00 akan dicapai pada penghujung tahun ini dan paras 123.00 menjelang akhir tahun 2024.

    Setelah mencapai paras tertinggi mingguan pada kadar 141.89, pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari pada paras 141.82. 70% daripada penganalisis menjangkakan bahawa indeks DXY yang lemah mungkin akan menyebabkan pembetulan pasangan ini ke bawah tidak lama lagi, manakala 30% lagi menetapkan ketinggian 143.00 sebagai sasaran mereka. 100% indikator trend pada D1 juga menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, 90% daripadanya turut menunjukkan pertumbuhan (satu pertiga daripada jumlah itu menunjukkan keadaan lebihan belian), baki 10% lagi berwarna kelabu neutral. Paras sokongan paling hampir berada di zon 140.90, diikuti dengan paras 140.90-141.00, 1.4060, 139.45,1.3875-1.3905, 137.50. Rintangan paling hampir berada pada paras 142.20, kemudian bull terpaksa menembusi halangan pada paras 1.4300, 143.50 dan 144.90-145.10. Kedudukan itu tidak jauh daripada paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Tiada sebarang maklumat penting berkenaan keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan. Penyiaran laporan mesyuarat kali terakhir Bank of Japan pada hari Rabu, 21 Jun mungkin satu pengecualian, namun peserta pasaran mungkin tidak akan menemui apa-apa dalam laporan tersebut: segalanya telah diumumkan dalam sidang akhbar yang diadakan pada 16 Jun lalu.

MATA WANG KRIPTO: Rizab Persekutuan dan ECB Menghalang Bencana Bitcoin

  • Kedudukan pasangan BTC/USD naik ke paras $30,989 pada 14 April, nilai tertingginya sejak bulan Jun 2022. Semenjak tarikh itu, pasaran telah didominasi dengan sentimen bearish untuk sembilan minggu berturut-turut. Perkara sama berlaku pada minggu lalu dan tiada apa yang menggembirakan para pelabur. Seperti yang disebut oleh Michael Van De Poppe, pengasas syarikat modal teroka Eight, “ini adalah situasi yang anda tidak ingin lihat.” Penganalisis itu sedar bahawa penembusan paras sokongan mengikut bentuk purata pergerakan 200 minggu (200MWA) akan menunjukkan trend menurun terus berlaku.

    Senario ini lebih jelas dilihat setelah pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa A.S. (SEC) memfailkan saman terhadap Binance dan Coinbase dengan menuduh platform-platform itu menjual aset tidak berdaftar. Sementara itu, mengikut dokumen mahkamah, pihak SEC telah menamakan lebih daripada dua belas jenis token sebagai sekuriti. Menurut para penganalisis, kejayaan yang diraih penggubal dasar itu mampu mendorong kepada penyahsenaraian coin-coin berkenaan serta mengehadkan potensi pembangunan blockchain yang berkaitan. Secara keseluruhannya, lebih daripada 60 coin sudah pun dimasukkan ke dalam senarai hitam penggubal dasar tersebut.

    Mahkamah telah menolak permohonan SEC untuk membekukan aset divisyen Binance di Amerika pada minggu lalu. Namun, seperti yang dilihat oleh sesetengah pemerhati, pertarungan ini masih lagi belum selesai. Ketahuilah bahawa Gary Gensler, ketua penggubal dasar berkenaan telah menyatakan baru-baru ini bahawa secara dasarnya, mata wang kripto langsung tidak diperlukan. Petikan: ”Kita tidak mahukan lebih banyak mata wang digital. Kita sudah ada mata wang digital sendiri. Mata wang itu adalah dolar A.S. Sama seperti euro dan yen. Kini, semua itu adalah digital.".

    Menurut pakar strategi JPMorgan, bursa-bursa bitcoin di AS berkemungkinan besar akan dipaksa untuk berdaftar dengan pihak SEC sebagai sebuah broker, dan kesemua bentuk mata wang kripto akan dikategorikan sebagai sekuriti. Walaupun ramai yang melihat perkara ini sebagai permulaan kepada pengakhiran seluruh industri, masih terdapat mereka yang optimis. Sebagai contoh, JPMorgan percaya bahawa undang-undang baru “akan membebaskan industri daripada amalan buruk dan juga pelabur tidak jujur, dan selepas itu menjadikan industri lebih matang serta melihat lebih banyak penglibatan aktif pelabur-pelabur berinstitusi."

    Adam Back, CEO syarikat Blockstream cuba untuk menenangkan peserta pasaran. Dianggap sebagai salah seorang tokoh penting dalam bidang kriptografi moden dan juga industri kripto, hujah beliau adalah bertentangan sepenuhnya dengan JPMorgan. Penganalisis terkemuka itu menyatakan bahawa pasaran kripto adalah seperti air, sentiasa mengalir dan mencari jalan lain apabila berdepan halangan. Jadi, jika mana-mana bursa kripto besar yang beroperasi di AS berhenti daripada memberikan perkhidmatan kepada para pelanggan mereka akibat desakan undang-undang, industri ini pada akhirnya akan mencari jalan keluar. Pedagang-pedagang bitcoin hanya perlu berdaftar di negara lain dan mula berdagang dalam mata wang asing. Kenyataan Adam Black itu dilihat ada benarnya: penghijrahan keluar para pelabur dari AS sudahpun berlaku. Mengikut data platform analisis Glassnode, peratusan pelabur dari Amerika telah turun sebanyak 11% sejak pertengahan tahun 2022. Dalam masa yang sama, jumlah dari rantau Asia telah bertambah sebanyak 9.9%.

    Harus sedia maklum bahawa walaupun para pemengaruh menjangkakan pengakhiran menyedihkan buat mata wang kripto, mereka sering mengecualikan bitcoin daripada unjuran mereka. Sebagai contoh, pengasas Into The Cryptoverse iaitu Benjamin Cowen menyatakan bahawa likuiditi dalam pasaran kripto telah lama habis, sementara altcoin “menunggu hari-hari terakhirnya, dominasi bitcoin akan terus berkembang.” Sentimen yang hampir sama telah dinyatakan oleh pedagang terkenal iaitu Gareth Soloway yang berkata beliau sering membandingkan pasaran kripto dengan gelembung dotcom. Menurut beliau, keruntuhan pasaran yang berlaku pada awal 2000-an akan berulang semula dalam industri ini. Beliau memberi jaminan bahawa “sistem perlu menyingkirkan sampah” untuk berkembang pesat, dan menyatakan bahawa 95% daripada kesemua token “akan susut nilainya kepada sifar."

    Peter Brandt yang sering mendapat gelaran sebagai “Bijak Pandai Misteri Pasaran” juga turut serta dalam memberi pujian kepada bitcoin. Pedagang dan penganalisis lagenda ini juga secara metafora menyatakan semua coin akan “terhapus”, kecuali bitcoin. “Bitcoin adalah satu-satunya mata wang kripto yang akan bertahan dalam ujian ini. Coin lain adalah palsu dan tiruan, termasuklah ethereum,” tulis beliau. Kebanyakan ahli dalam komuniti kripto berasa terganggu apabila penganalisis yang dihormati itu menyamakan ethereum, mata wang kripto kedua terbesar dari segi modal pasaran, bersama-sama dengan projek-projek penipuan. Sebagai respon, Brandt menyatakan bahawa “mungkin ETH akan dapat bertahan, tetapi BTC adalah legasi sebenar."

    CEO syarikat ARK Invest iaitu Cathy Wood telah menggandakan unjuran bitcoin beliau dengan menyatakan sasaran nilai $1 juta bagi setiap coin akan menjadi kenyataan. Menurut Wood, keadaan ekonomi semasa di peringkat global yang sedang berlaku telah menambah tahap keyakinan beliau terhadap mata wang kripto terunggul itu. Beliau berkata, “Semakin meruap dan tidak menentu ekonomi global, lebih tinggi keyakinan kita terhadap bitcoin, aset yang telah dan akan terus menjadi pelindung nilai terhadap inflasi."

    CEO yang juga pengasas syarikat Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz juga menjangkakan sokongan akan diperoleh daripada keadaan ekonomi global. Lebih tepat lagi, hartawan itu menjangkakan pihak Rizab Persekutuan akan mula menurunkan kadar faedah mereka pada bulan Oktober, menyebabkan peningkatan mendadak aliran masuk likuiditi ke dalam pasaran kripto. Dan Tapiero, pengasas bersama syarikat 10T Holdings dan juga Gold Bullion International memberikan unjuran yang lebih khusus, menjangkakan lonjakan “menggemparkan” akan berlaku. Beliau berkata, “Kita akan dapat lihat rekod paras tertinggi akan dicapai pada enam bulan terakhir tahun 2024 dan juga pada tahun 2025. Saya rasa sepanjang tempoh bull ini, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto akan mencecah $6-8 trilion."

    Walaupun dengan unjuran jangka panjang yang bersifat optimis, gambaran untuk masa terdekat tidak memberikan sebarang inspirasi kepada para pelabur. Pakar strategi Bloomberg iaitu Mike McGlone tidak menolak penurunan mendadak kadar Indeks Komposit Kripto Galaxy Bloomberg, indeks yang mencerminkan prestasi mata wang digital utama. Dalam nota analisis yang beliau sediakan untuk para pelabur, beliau memberi amaran trend bearish akan mendominasi untuk beberapa bulan akan datang sekurang-kurangnya. Fiona Cincotta, seorang pakar strategi di City Bank juga memberi amaran bahawa penurunan nilai bitcoin di bawah paras sokongan kukuh $25,000 mungkin boleh mengaktifkan lebih ramai penjual serta mendorong kepada susut nilai yang lebih rendah.

    PlanB, seorang penganalisis dan juga pembangun model ramalan terkenal iaitu Stock-to-Flow (S2F) bertanyakan kepada 1.8 juta pengikutnya mengenai jangkaan nilai Bitcoin pada penghujung bulan Jun. Ramai yang memberikan respon nilai Bitcoin akan berada di sekitar paras $24,000-25,000 pada penghujung bulan pertama musim panas kali ini. Hanya sebilangan kecil responden yang menyatakan tentang potensi pertumbuhan nilai lebih tinggi melebihi paras $30,000. Seorang lagi penganalisis dengan nama pengguna PROFIT BLUE percaya bahawa nilai BTC tidak akan dapat bertahan dalam julat $25,000, dan sasaran untuk mata wang kripto ini yang seterusnya akan berada pada paras $23,700. Ramalan paling pesimis telah diberikan oleh penganalisis WhaleWire yang tidak menolak nilai coin ini akan kembali berada dalam kitaran nilai terendahnya. Menurut WhaleWire, BTC sedang bersedia untuk bergerak menuju paras $12,000. WhaleWire berasa yakin bahawa penembusan paras $15,000 akan berlaku pada musim panas ini.

    Paras terendah sepanjang tujuh hari dan juga tiga bulan lalu adalah pada $24,791. Nilai mata wang kripto utama ini terselamat daripada turun lebih rendah akibat nilai dolar AS yang semakin susut disebabkan keputusan yang diambil Rizab Persekutuan AS dan juga Bank Negara Kesatuan Eropah mengenai kadar faedah mereka. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 16 Jun, pasangan BTC/USD berjaya pulih daripada kerugian yang dialami sepanjang minggu dan didagangkan pada kadar $26,400. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.064 trilion ($1.102 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto kekal berada di zon Neutral, walaupun bacaannya turun daripada 50 mata kepada 47 mata sepanjang tujuh hari lepas.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.