EUR/USD: Menanti Mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB
- Semasa kadar Indeks Dolar DXY susut ke paras bulan April 2022 (99.65) pada 14 Julai lalu, kebanyakan peserta pasaran membuat kesimpulan bahawa tempoh terbaik untuk mata wang Amerika sudah pun berakhir. Kadar inflasi hampir mencapai sasarannya, dan bagi tidak membantutkan ekonomi mereka, pihak Rizab Persekutuan akan memulakan kempen untuk melonggarkan polisi kewangan mereka. Walau bagaimanapun, segalanya tidak semudah itu. Setelah kadarnya mencecah paras tertinggi 1.1275 pada hari Selasa, 18 Julai, pasangan EUR/USD mengubah arah pergerakannya dan mula turun.
Berlatarbelakangkan laporan makroekonomi dari Amerika Syarikat yang lemah, dolar secara umumnya boleh mengalami kerugian berpuluh malah beratus mata kepada euro. Kadar pengeluaran industri di negara itu susut untuk dua bulan berturut-turut, dengan bulan Jun mencatatkan penurunan sebanyak 0.5%. Jualan runcit yang dijangka naik sebanyak 0.5% pula hanya naik 0.2% (kenaikan sebanyak 0.5% pada bulan Mei). Kadar Indeks Aktiviti Pembuatan oleh pihak Bank Rizab Persekutuan Philadelphia terus berada di kelompok negatif (-13.5). Data dari pasaran hartanah juga lebih teruk berbanding jangkaan. Contohnya, jumlah kerja pembinaan baru di A.S. jatuh sebanyak 8.0% untuk bulan Jun setelah kadarnya naik sebanyak 15.7% pada bulan sebelumnya. Jumlah permit pembinaan yang telah diluluskan juga jatuh sebanyak 3.7% setelah naik 5.6% pada bulan Mei. Jumlah jualan dalam pasaran perumahan kedua berada lebih rendah berbanding jumlah bulan terdahulu (4.16 juta pada bulan Jun, 4.30 juta pada bulan sebelumnya, diunjur 4.20 juta). Namun, data dari pasaran buruh rupa-rupanya adalah lebih baik berbanding jangkaan - jumlah awal bagi tuntutan manfaat pengangguran adalah sebanyak 228K (237K nilai sebelum ini, diunjur 242K). Maka, semua ini adalah indikator dengan kadar kemeruapan yang sangat tinggi, dan mungkin ia tidak mencerminkan keadaan sebenar, namun pasaran berpuas hati dengan keadaan sedikit positif ini.
Secara keseluruhan, statistik makro yang telah dikeluarkan menggambarkan dengan jelas pembantutan ekonomi di Amerika. Situasi dalam pasaran hartanah yang teruk dengan jelas memberi isyarat bahawa usaha mengekalkan kadar faedah yang tinggi memberi tekanan kepada sektor utama ini. Cukuplah dengan mengingati Krisis Kewangan Global antara tahun 2007-2008 yang bermula akibat krisis pinjaman hartanah di A.S.
Dalam situasi seperti ini, pendirian hawkish Rizab Persekutuan mungkin sudah berada di penghujungnya. Hampir kesemua penganalisis di Bloomberg menjangkakan pihak Federal Open Market Committee (FOMC) akan menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas, menjadikannya 5.5% pada 25 Julai nanti. Malah ada kemungkinan bahawa kenaikan yang dibuat adalah lebih rendah: bukan 25 mata asas, tetapi hanya 10 mata asas. Selepas itu, penggubal dasar berkenaan dilihat akan mengambil pendirian tunggu dan lihat, mungkin berpanjangan sehingga hujung tahun ini. Pasaran niaga hadapan menganggarkan kadar kebarangkalian kenaikan kadar faedah kepada 5.75% dalam tahun 2023 adalah sebanyak 28%.
Walau bagaimanapun, bukan mata wang Amerika saja yang ada dalam pasangan EUR/USD, mata wang Eropah juga turut terlibat. Statistik yang telah disemak semula menunjukkan pada Q1, kadar KDNK di Eurozone adalah hampir tiada, ekonominya terbantut, manakala prospek pertumbuhan ekonomi dilihat agak lemah. Jelaslah bahawa kenaikan kadar faedah utama mata wang eropah itu yang berubah dari 0% menjadi 4.00% dalam kitaran pengetatan kali ini terus memberikan impak negatif. Kelewatan kesan akibat pengetatan ekonomi lebih kian dirasai sekarang.
Pada sudut yang lain, walaupun dengan kenaikan kadar sebanyak 400 mata asas, kadar inflasi (CPI) di Eurozone turun dengan perlahan-lahan - untuk bulan Jun, kadarnya adalah 5.5% tahun ke tahun berbanding 6.1% pada bulan lalu. Kadar itu masih lagi jauh daripada nilai 2.0% yang disasarkan.
Justeru, pada satu sudut, kita dapat lihat tekanan harga yang mendadak, pada satu sudut lain - kesukaran yang dihadapai ekonomi EU. Dalam situasi yang tidak begitu jelas seperti itu, langkah yang akan diambil oleh barisan pimpinan Bank Negara Kesatuan Eropah selepas ini juga agak samar-samar. Masa depan polisi kewangan yang lebih jelas dijangka akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank Negara Kesatuan Eropah pada hari Khamis, 27 Julai nanti. Setidak-tidaknya, itulah yang diharapkan oleh peserta pasaran.
Malah data yang tidak begitu jelas seperti dari pasaran buruh AS sudah cukup untuk mendorong kepada pembetulan indeks DXY ke atas dan menolak pasangan EUR/USD ke bawah. Kedudukan terakhir minggu lalu adalah pada paras 1.1125. Bagi prospek jangka pendek, semasa ulasan ini dibuat, pada malam 21 Julai, hanya 20% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan lebih tinggi pasangan ini, 50% menjangkakan penurunan, dan baki 30% lagi berpendirian neutral. Untuk analisis teknikal, 75% indikator trend pada D1 menunjukkan pertumbuhan, 25% lagi penurunan. Bagi pengayun, 85% mengesyorkan untuk beli, manakala baki 15% berpendirian neutral. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.1090-1.1110, 1.1045, 1.0995-1.1010, 1.0895-1.0925, 1.0845-1.0865, 1.0800, 1.0760, 1.0670, 1.0620-1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.1145, kemudian 1.1170, 1.1230-1.1245, 1.1275-1.1290, 1.1355, 1.1475, dan 1.1715.
Tidak diragui lagi, perkara utama yang akan berlaku minggu hadapan adalah mesyuarat FED pada 26 Julai serta mesyuarat ECB pada 27 Julai, bersama-sama dengan sidang akhbar oleh barisan kepimpinan kedua-dua penggubal dasar selepas itu. Tambahan pula, pada hari Isnin, 24 Julai, banyak data awal bagi aktiviti perniagaan (PMI) akan dikeluarkan di Jerman, Eurozone, dan juga AS. Keesokan harinya, keputusan Kaji Selidik Pinjaman Bank Eurozone serta kadar Indeks Keyakinan Pengguna AS akan diketahui. Pada hari Khamis, data pesanan barangan tahan lama akan diterima dari Amerika Syarikat, bersama-sama dengan statistik hartanah dan juga pengangguran. Akhir sekali, pada penghujung minggu bekerja, hari Jumaat, 28 Julai, kita akan ketahui data awal kadar inflasi (CPI) di Jerman, serta data perbelanjaan penggunaan peribadi di AS.
GBP/USD: Adakah 50 atau 25 Mata Asas?
- Mesyuarat Bank of England (BoE) yang seterusnya akan diadakan pada 3 Ogos. Sesetengah peserta pasaran lebih cenderung untuk percaya penggubal dasar berkenaan akan menaikkan kadar asas bagi pound sebanyak 50 mata asas (bp) lagi kepada 5.50% dalam mesyuarat tersebut. Pakar ekonomi dari konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale telah memformulakan tiga faktor utama kenapa pihak BoE akan bertindak sedemikian.
Pertama sekali, kadar inflasi dalam sektor perkhidmatan serta penggajian mungkin telah mencecah kadar tertingginya pada bulan Jun, namun kedudukan kedua-dua indikator tersebut agak goyah. Walaupun kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) turun daripada 8.7% kepada 7.9% sepanjang bulan lalu (diunjur 8.2%), kadar itu masih jauh daripada 2.0% yang disasarkan.
Kedua, Societe Generale percaya para pelabur mengelak daripada membeli bon UK disebabkan oleh kadar inflasi yang tinggi di negara itu. Kadar inflasi yang tinggi dan berterusan seperti itu memberi maksud bahawa pelabur memerlukan bayaran pampasan yang lebih tinggi untuk memiliki bon UK berbanding bon-bon AS dan Jerman. Untuk meyakinkan semula para pelabur, polisi kewangan yang ketat perlu diteruskan pada tahap ini.
Ketiga, Bank of England dan gabenor institusi tersebut iaitu Andrew Bailey telah dikritik hebat sejak beberapa minggu lalu kerana mengekalkan pendirian polisi kewangan yang longgar untuk tempoh yang lama, justeru mengakibatkan lonjakan inflasi yang hebat. Langkah yang diambil pihak BoE mungkin sekarang terlalu melebih-lebih dalam membuktikan kritikan itu adalah salah. Hal ini boleh mendorong kepada tindakah lebih agresif seperti kenaikan ketara kadar faedah. Namun, kita juga perlu mengambil kira kemungkinan pihak BoE masih boleh mengambil keputusan lebih konservatif dengan kenaikan sebanayk 25 mata asas saja.
Benar, tidak semua bersetuju dengan faktor-faktor yang diberikan oleh pakar ekonomi Perancis itu. Sebagai contoh, rakan mereka di Commerzbank Jerman sedia maklum bahawa kadar indeks harga pengguna (CPI) di UK naik dengan kadar yang lebih perlahan berbanding jangkaan pada bulan Jun. Justeru, kenaikan kadar yang sudah diambil kira dalam jangkaan pasaran adalah terlalu tinggi dan memerlukan pembetulan ke bawah. Hal ini sebaliknya akan melemahkan nilai pound. Pendapat sama telah disuarakan oleh pakar strategi kumpulan perbankan terbesar Belanda, ING yang percaya 25 mata asas adalah nilai maksimum untuk kenaikan kadarnya.
Data CPI yang disebutkan di atas tadi telah dikeluarkan pada hari Rabu, 19 Julai. Namun, selain daripada data tersebut, Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) UK turut menyiarkan data dagangan runcit di negara tersebut pada hari Jumaat, 21 Julai. Rupa-rupanya pada bulan Jun, jumlah dagangan runcitnya meningkat sebanyak 0.7% secara bulanan, berbanding 0.2% yang diunjur dan nilai 0.1% untuk bulan lalu. Indikator utama jualan runcit, kecuali jualan bahan api kenderaan naik sebanyak 0.8% sepanjang bulan lalu berbanding 0.1% yang diunjur dan 0% untuk bulan Mei. Jumlah jualan runcit tahunan di UK susut sebanyak -1.0% pada bulan Jun berbanding -1.5% yang diunjur serta penurunan sebanyak -2.3% pada bulan Mei, sementara jumlah asas bagi jualan runcit turun sebanyak -0.9% berbanding -1.6% yang diunjur dan -1.9% pada bulan lepas.
Setelah data-data yang menyenangkan ini dikeluarkan, Menteri Kewangan UK iaitu Jeremy Hunt menyatakan bahawa “kita akan dapat melihat hasilnya jika terus berpegang kepada pelan pengekangan inflasi kami”. Kenyataan Menteri tersebut boleh ditafsirkan sebagai satu sokongan terhadap pelaksanaan lebih ketat polisi kewangan BoE yang bersifat hawkish. Namun, pasaran tidak mengendahkannya, dan nilai dolar yang menjadi lebih kukuh terus memberi tekanan kepada GBP/USD, mengakhiri tempoh dagangan lima hari pada paras 1.2852.
Untuk pergerakan pasangan ini, sudah pastinya ia bergantung kepada keputusan dan juga kenyataan yang dikeluarkan Rizab Persekutuan pada 26 Julai nanti. Tidak disangkal lagi, mesyuarat ECB pada 27 Julai juga akan mempengaruhi nilai pound menerusi pasangan EUR/GBP. Namun, semua itu akan berlaku tidak lama lagi. Buat masa ini, semasa ulasan ini dibuat, unjuran median para penganalisis berkenaan pasangan GBP/USD dilihat agak neutral: satu pertiga daripadanya memilih pertumbuhan pasangan ini, satu pertiga - penurunan, dan satu pertiga lagi kekal neutral. Untuk pengayun pada D1, 35% berwarna hijau, 25% - warna merah, dan baki 40% - kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 60% berada dalam warna hijau, manakala 40% lagi dalam warna merah. Jika kedudukan pasangan ini turun, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2800-1.2815, kemudian 1.2675-1.2695, 1.2570, 1.2435-1.2450, 1.2300-1.2330, 1.2190-1.2210. Jika ia mengalami pertumbuhan, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2940, kemudian 1.2980-1.3000, 1.3050-1.3060, 1.3125-1.3140, 1.3185-1.3210, 1.3300-1.3335, 1.3425, 1.3605.
Selain daripada mesyuarat FED dan ECB, satu lagi perkara penting yang akan berlaku dalam kalendar minggu hadapan adalah data awal aktiviti perniagaan (PMI) untuk pelbagai sektor di UK yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 24 Julai.
USD/JPY: Maju Dua Langkah Ke Depan, Undur Selangkah Ke Belakang
- Pencetus revolusi Rusia iaitu Vladimir Lenin menulis sebuah buku pada tahun 1904 yang berjudul “One Step Forward, Two Steps Back”. Apa yang berlaku kepada pemilik mata wang yen sejak tiga minggu lalu boleh digelar sebagai “Maju Dua Langkah Ke Depan, Undur Selangkah Ke Belakang”. Bagi dua minggu pertama dalam bulan Julai, nilai mata wang Jepun itu bertambah, manakala pada minggu ketiga pula, ia mengalami kerugian lebih daripada separuh pertumbuhan nilainya. Sementara rakan seangkatan - euro dan pound susut nilainya akibat nilai dolar yang lebih kukuh, bagi pasangan USD/JPY pula, nilai mata wang negara tersebut menjadi lemah bukanlah disebabkan oleh AS, tetapi kadar inflasi yang menjadi lebih rendah di Jepun.
Perlu diingat bahawa semasa ramalan minggu lalu dibuat, bilangan mereka yang bersetuju dengan nilai yen yang lebih lemah adalah tiga kali ganda lebih banyak berbanding mereka yang menjangkakan pertumbuhan lebih tinggi (45% berbanding 15%). Ternyata unjuran kelompok majoriti benar-benar berlaku. Laporan Inflasi yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 21 Julai telah menolak mata wang Jepun itu ke bawah. Kadar USD/JPY naik lebih daripada 1%. Rupa-rupanya kadar pertumbuhan harga pengguna jatuh walaupun dengan polisi kewangan BoJ yang sangat longgar serta kadar faedah negatif -0.1%. Walaupun diunjur sebanyak 3.5%, realitinya kadar inflasi (CPI) untuk bulan Jun adalah 3.3%. Kadar indeks harga pengguna tidak termasuk harga makanan dan bahan api susut kepada 4.2% berbanding 4.3% pada bulan lalu.
Walaupun data-data ini tidak lengkap, namun ia telah menghancurkan harapan untuk polisi kewangan Bank Negara Jepun diperketatkan buat satu tempoh yang agak lama sekurang-kurangnya. Lebih-lebih lagi, Perdana Menteri negara itu iaitu Fumio Kishida yang berucap sehari sebelum itu telah memberikan sokongan beliau terhadap polisi kewangan penggubal dasar tersebut. Justeru, dengan kadar kebarangkalian yang tinggi, Bank of Japan akan membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah semasa bermesyuarat pada hari Jumaat, 28 Julai nanti. Bagi mengekalkan nilai mata wang negara itu, mereka terpaksa campur tangan jika perlu seperti sebelum ini.
Dalam pada itu, bagi menghalang nilai yen menjadi lebih rendah, Ketua Diplomat Mata Wang Jepun iaitu Masato Kanda melibatkan diri dengan “campur tangan lisan”. Lebih tepat lagi, beliau menyatakan bahawa beliau “merasakan tiada sebarang had kemungkinan untuk campur tangan mata wang” dan jika ia berlaku, beliau akan mengambil pelbagai langkah bagi mengelak daripada hilang “kelebihan”.
Situasi pasaran dilihat menjadi agak tenang setelah kenyataan yang dibuat oleh Masato Kanda itu, manakala pasangan USD/JPY mengakhiri minggu lalu pada paras 141.80. Semasa ulasan ini dibuat, 25% penganalisis menjangkakan pergerakan berterusan ke atas pada minggu hadapan, 55% bersetuju dengan trend penurunan, dan 20% lagi berpendirian neutral. Bacaan indikator pada D1 adalah seperti berikut: dalam kalangan pengayun, 25% berwarna merah, 50% berwarna hijau, dan 25% lagi berwarna kelabu. Indikator trend menunjukkan warna hijau memiliki kelebihan jelas dengan kadar 90%, dan hanya 10% yang bersetuju terhadap sebaliknya. Sokongan paling hampir berada di zon 141.40, diikuti dengan 140.45-140.60, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, then 137.25-137.50, 135.95, 133.75-134.15, 132.80-133.00, 131.25, 130.60, 129.70, 128.10, dan 127.20. Rintangan paling hampir berada pada paras 142.20, diikuti dengan 143.75-144.00, 145.05-145.30, 146.85-147.15, 148.85, dan akhir sekali paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.95.
Selain daripada mesyuarat Bank of Japan, tiada sebarang maklumat ekonomi penting berkaitan ekonomi negara itu yang dijangka akan diketahui pada minggu hadapan.
MATA WANG KRIPTO: Pengurangan Penghasilan Litecoin - Latihan Pelaksaan untuk Bitcoin
- Para pemerhati sedia maklum bahawa kadar tertinggi yang dicapai Indeks Dolar DXY untuk tahun 2023 adalah hampir bertepatan dengan penyusutan nilai bitcoin. Tiada apa yang mengejutkan tentang perkara ini: pasangan BTC/USD adalah seperti skala. Jika nilai dolar lebih tinggi, nilai bitcoin akan jatuh. Minggu lalu, pertumbuhan nilai mata wang Amerika itu telah menyebabkan penurunan nilai mata wang digital tersebut. Sila ambil maklum bahawa bitcoin sangat terdesak untuk terus berada di zon sokongan $29,850 dan cuba untuk mengelak daripada turun ke paras terendah pada bulan Jun lalu di sekitar $25,000.
Hubung kait antara BTC dan USD adalah sangat logik dan boleh difahami. Walau bagaimanapun, sesetengah penggemar kripto cuba meletakkan bitcoin sebagai aset utama dan penting, manakala dolar pula hanya mengekorinya dari belakang. Mempertikaikan perkara ini, mereka memetik sebagai contoh hakikat bahawa bitcoin telah memasuki saluran mendatar pada pertengahan tahun lalu, namun Indeks Dolar hanya berjaya mengejar beberapa minggu kemudian. Jika anda lihat dengan dekat, anda boleh menemui pelbagai situasi seperti itu yang berlaku pada carta. Namun pada pendapat kami, anda tidak seharusnya memandang rendah tentang kepentingan mata wang kripto utama itu.
Pada masa ini, kebanyakan penganalisis dan juga orang berpengaruh terus meletakkan masa depan yang cerah buat bitcoin. Namun begitu terdapat bermacam paras tertinggi yang disasarkan buat masa sekarang, kadang kala sehingga puluhan kali ganda. Sebagai contoh, pakar ekonomi Standard Chartered iaitu Geoff Kendrick baru-baru ini menyatakan bahawa syarikat kewangan beliau telah menggunakan unjuran yang lebih optimis untuk nilai pasaran bitcoin, mensasarkan paras $120,000 menjelang akhir tahun 2024.
Sebagai respon, penganalisis di BBC World iaitu Glen Goodman menulis bahawa nilai $120,000 “dilihat seperti satu angka yang hanya diteka dan bukannya benar-benar diunjur.” Beliau percaya bahawa jangkaan seperti itu dibuat oleh mereka yang memihak kepada bull dan tidak mengambil kira pelbagai faktor utama yang lain. Antara yang paling penting adalah penggubal dasar kewangan AS sedang giat meneliti industri kripto, menyesakkan para pelabur dengan tuntutan mahkamah dan juga siasatan. Lebih-lebih lagi, Goodman merujuk kepada ramalan pakar ekonomi Amerika yang menjangkakan kegawatan akan berlarutan pada tahun hadapan, situasi yang boleh membantutkan aktiviti dalam pasaran kewangan, termasuklah pasaran aset digital.
Tidak seperti Glen Goodman, CEO Real Vision yang juga bekas pengurus utama di Goldman Sachs iaitu Raoul Pal percaya bahawa masalah ekonomi, kekeliruan dalam sektor perbankan, serta krisis pasaran hartanah memberi manfaat kepada bitcoin kerana ia digunakan sebagai aset pelindung daripada perkara-perkara yang disebutkan tadi. Menurut Raoul Pal, lonjakan bullish untuk emas digital itu tidak dapat dielakkan lagi, dan nilai BTC boleh mencecah paras $50,000 lewat tahun ini.
Penganalisis dengan nama gelaran PlanB sebaliknya pula tidak percaya lonjakan kuat ke atas mata wang kripto terunggul itu boleh berlaku sebelum penghasilannya dikurangkan pada April 2024. Unjuran beliau itu adalah berdasarkan kepada indikator MA-200. Pertumbuhan garis ini adalah sebanyak $500 secara purata sebulan, justeru parasnya akan mencecah $32,000 dalam tempoh sembilan bulan. Menurut PlanB, harga coin ini malah mungkin boleh naik kira-kira 50% lagi dari paras itu, namun jika begitu pun, nilainya hanya boleh naik sebanyak $48,000.
Michael Van De Poppe, pengasas firma modal teroka Eight telah menyatakan unjuran beliau pada minggu lalu. Beliau percaya bahawa trend semasa adalah menembusi kedudukan minimum yang boleh menurunkan nilai bitcoin ke paras $29,500 malah mungkin $29,000. Namun, beliau merasakan bahawa pergerakan harga seperti itu adalah pendahuluan kepada lonjakan bullish yang akan menaikkan nilai mata wang kripto utama tersebut kepada $32,500 sebagai permulaan, kemudian $34,000, diikuti dengan lonjakan ke paras $38,000 selepas itu.
Beralih daripada unjuran jangka pendek dan sederhana kepada unjuran jangka panjang, pendapat Catherine Wood selaku CEO syarikat ARK Invest boleh dibincangkan. Kelihatannya beliau tidak begitu tertarik dengan lonjakan ke paras $38,000 atau $120,000. Sekali lagi, beliau menegaskan semula unjurannya bahawa dalam masa kira-kira tujuh tahun, berlatarbelakangkan kepada kadar inflasi serta krisis perbankan, bitcoin akan didagangkan pada nilai $1,500,000 bagi setiap coin, atau setidak-tidaknya $625,000.
Melihat kepada sikap optimis Catherine Wood yang tidak berbelah bagi, data daripada CryptoVantage yang membuat kaji selidik ke atas 1,000 orang pelabur kripto dari A.S., boleh dijadikan sebagai suatu mandian kesedaran. Rupa-rupanya hanya 23% daripada mereka yang percaya kadar Bitcoin akan mencecah paras paling tinggi pernah direkodkan iaitu $68,917 pada tahun hadapan. 47% pula merasakan nilai coin itu akan naik ke paras tersebut dalam masa lima tahun. 78% berasa yakin bahawa pada akhirnya BTC akan kembali menduduki paras tertingginya, tapi kini berada dalam keadaan tidak menentu. 9% pula percaya lonjakan ini tidak akan berlaku lagi.
Kami telah berikan perhatian penuh kepada pengurangan penghasilan bitcoin yang akan dilaksanakan pada April 2024 dalam ulasan sebelum ini. Kini mari cuba kita ingat semula bahawa pengurangan penghasilan Litecoin akan dilaksanakan tidak lama lagi, pada 2 Ogos tahun ini. Ganjaran untuk menghasilkan satu blok akan dikurangkan kepada 6.25 LTC. Melihat kepada hakikat bahawa Litecoin adalah satu variasi bitcoin, dan keseluruhan pengeluarannya dihadkan kepada 84 juta coin, agak menarik untuk memerhatikan apakah perubahan yang bakal berlaku kepada nilai Litecoin serta percubaan dalam mengunjur prestasi bitcoin setelah penghasilannya dikurangkan berdasarkan kepada pemerhatian ini.
Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 21 Julai, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $29,850. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto tidak banyak berubah dan berjumlah $1.202 trilion ($1.198 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto berada di zon Neutral, pada bacaan 50 mata (turun daripada 60 mata minggu lalu).
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali