Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 07 - 11 Ogos, 2023

EUR/USD: NFP Mengecewakan Bull Dolar

  • Sepanjang minggu lalu, sehinggalah pada hari Khamis, 3 Ogos, dolar terus mengukuhkan kedudukannya serta menguatkan serangan yang telah pun bermula sejak 18 Julai lalu. Pasaran sekali lagi dilihat telah beralih kepada mata wang Amerika sebagai aset selamat akibat bimbang dengan keadaan ekonomi global.

    Menariknya, dolar dilihat menerima manfaat daripada penurunan gred rating kredit jangka panjang oleh Fitch buat kali pertama dalam masa 12 tahun. Agensi berkenaan telah menurunkan rating mereka daripada kedudukan paling tinggi iaitu AAA kepada AA+, satu tindakan yang dilihat sebagai langkah bereputasi dan bukannya pendorong kepada keruntuhan pasaran. Namun, dalam situasi seperti ini, para pelabur lebih cenderung untuk melepaskan aset paling berisiko dan paling lemah dalam portfolio mereka, kemudian memilih bon perbendaharaan AS serta dolar yang bersifat lebih cair. Adalah elok untuk mengingati semula apabila penurunan rating mata wang AS oleh agensi Standard & Poor pada tahun 2011 telah mencetuskan kejatuhan pasaran saham serta pertumbuhan terbaik dolar sejak beberapa tahun sebelum itu kerana situasi yang dihadapi negara lain rupa-rupanya adalah lebih teruk. Keadaan membimbangkan yang dihadapi bon-bon korporat yang berisiko tinggi tidak perlu dijelaskan lagi kerana ia sangat jelas kelihatan.

    Sebilangan penganalisis tidak menolak tentang kemungkinan situasi sama boleh berlaku sekali lagi pada kali ini. Kadar penting Indeks Dolar DXY yang berada pada kedudukan 100.0 mata boleh dijadikan sebagai paras permulaan untuk pertumbuhan lebih tinggi. (Bacaan kadar genap seperti 80.0 sepanjang tahun 1990 sehingga 1995 dan tahun 2014, serta 90.0 antara tahun 2017 dan 2021 turut memainkan peranan yang sama.).

    Data makroekonomi di Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada minggu lalu terbukti bercampur-campur. Pada satu sudut, kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan di negara itu mengalami pertumbuhan daripada 46.0 kepada 46.4 untuk bulan ke bulan, namun pada sudut yang lain pula, kadar itu adalah lebih rendah berbanding yang telah diunjur iaitu 46.8. Sebaliknya, kadar PMI dalam sektor perkhidmatan susut daripada 53.9 kepada 52.7 dan bukannya 53.0 yang diunjur. Walaupun kadar indeks masih lagi berada di zon pemulihan (lebih tinggi daripada 50.0), bacaan-bacaan ini mencadangkan bahawa sektor ekonomi di negara itu turut bergelut dengan kesan daripada polisi hawkish Rizab Persekutuan dan juga permintaan para pengguna yang semakin berkurangan. Pertambahan tuntutan manfaat pengangguran daripada 221K kepada 227K turut memberi tekanan kepada dolar.

    Bagi Eurozone, data awal menunjukkan bahawa kadar inflasi mereka sudah mula turun walaupun perlahan. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) turun daripada 5.5% kepada 5.3%, penurunan yang telah dijangka sepenuhnya oleh pasaran. Kadar penurunan jumlah jualan runcit juga agak perlahan, bergerak daripada -2.4% kepada -1.4% dan bukannya -1.7% yang diunjur.

    Berdasarkan statistik seperti itu, segalanya seperti akan diputuskan pada hari Jumaat, 4 Ogos. Pasaran menunggu data baru dari pasaran buruh AS, termasuklah indikator seperti kadar gaji, kadar pengangguran, serta Penggajian Bukan Ladang (Non-Farm Payrolls atau NFP): jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur. Kadar-kadar ini memainkan peranan khusus dalam menunjukkan keadaan pasaran buruh, sama seperti kadar inflasi, untuk mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan mengenai masa depan polisi kewangan mereka.

    Pada akhirnya, kadar-kadar ini tidak banyak berubah. Walau bagaimanapun, peserta pasaran membuat keputusan bahawa terdapat lebih banyak petunjuk bearish dolar berbanding sentimen bullish. Kenaikan kadar purata gaji jam (bulan ke bulan) kekal pada kedudukan 4.0% seperti sebelum ini, kadar pengangguran sedikit susut daripada 3.6% kepada 3.5% (diunjur 3.6%). Kadar NFP juga kekal tidak banyak berubah, mencatatkan jumlah 187K berbanding 185K pada bulan lalu. Namun, jumlah itu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan 200K yang diunjur.

    Kadar NFP adalah satu petunjuk terhadap potensi kelembapan ekonomi AS. Penyusutan kadar NFP mencadangkan bahawa ‘skru’ telah dipasang terlalu ketat, ekonominya terbantut, dan mungkin pelaksanaan polisi kewangan yang lebih ketat perlu dihentikan sementara. Itulah setidak-tidaknya. Atau mungkin inilah masanya untuk menghentikan kitaran pengetatan polisi kewangan sepenuhnya. Keadaan ini telah menolak kadar DXY ke bawah dan menolak kedudukan EUR/USD ke atas. Hasilnya, pasangan ini mengakhir tempoh lima hari dagangan pada paras 1.1008.

    Untuk prospek jangka pendek, semasa ulasan ini dibuat pada malam 4 Ogos, hanya 25% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan pasangan ini serta nilai dolar yang lebih susut, dan 75% lagi berpendirian sebaliknya. Gambaran yang sama ditunjukkan oleh pengayun pada D1: 75% menunjukkan penurunan (15% daripadanya berada di zon lebihan jualan), 15% menunjukkan pertumbuhan, dan hanya 10% berada di zon neutral. Indikator trend memberikan isyarat bertentangan: 75% mengesyorkan untuk beli, dan baki 25% lagi mengesyorkan untuk jual.

    Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0895, kemudian 1.0945, 1.0895-1.0925, 1.0845-1.0865, 1.0780-1.0805, 1.0740, 1.0665-1.0680, dan 1.0620-1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.1045, kemudian 1.1090-1.1110, 1.1150-1.1170, 1.1230, 1.1275-1.1290, 1.1355, 1.1475, and 1.1715.

    Kami sudahpun menyebut bahawa keadaan di pasaran buruh dan kadar inflasi menjadi faktor penentu dalam pembentukan polisi kewangan Rizab Persekutuan. Walaupun kita sudah menerima statistik pasaran buruh yang banyak pada minggu lalu, kita akan menerima data inflasi pada minggu hadapan. Hari Isnin, 8 Ogos, kita akan ketahui keadaan inflasi di Jerman, manakala pada hari Khamis, 10 Ogos, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS akan dikeluarkan. Pada hari yang sama juga, statistik pengangguran di AS akan diketahui. Bagi mengakhiri minggu, satu lagi indikator inflasi yang penting iaitu Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 11 Ogos.

GBP/USD: Adakah Tepat Keputusan BoE?

  • Minat terhadap kenaikan kadar faedah utama oleh Bank of England (BoE) pada 3 Ogos sama ada sebanyak 50 mata asas atau 25 mata asas berakhir dengan keputusan yang lebih berhati-hati. Kadar itu naik daripada 5.00% kepada 5.25%, mengembalikan pasangan GBP/USD ke zon paling rendah sepanjang lima minggu, dengan kedudukan terendah mingguannya berada pada paras 1.2620.

    Komen pakar ekonomi di Commerzbank mengenai keputusan penggubal dasar itu adalah seperti berikut: “Bank of England cuba untuk mengembalikan penguasaannya”, jelas mereka. “Namun, masih belum diketahui lagi berapa besar kejayaan yang akan dicapai”. Commerzbank percaya bahawa keputusan BoE untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka dengan hanya berdasarkan kepada hakikat bahawa inflasi untuk bulan Jun berada pada kadar yang rendah tidak semestinya menunjukkan keinginan Bank Negara itu dalam mengubah seluruh pendirian mereka. Pakar ekonomi bank itu percaya, “Jika keadaan inflasi di UK terus bertambah baik, keputusan sedia ada berkenaan kadar faedah mereka mungkin sudah mencukupi. Namun jika laporan inflasi bulan Jun rupa-rupanya adalah satu kes terpencil, maka Bank of England mungkin sekali lagi akan teragak-agak untuk bertindak, seterusnya memberi tekanan terhadap.".

    Untuk bulan Jun, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di United Kingdom susut daripada 8.7% kepada 7.9% (diunjur 8.2%). Walau bagaimanapun, kadar inflasi di negara itu kekal menjadi yang tertinggi dalam kalangan negara-negara membangun. Memandangkan kadar itu adalah lebih tinggi daripada penanda aras 2% yang disasarkan, menurut sebilangan penganalisis, penggubal dasar itu masih akan mengekalkan pendirian lebih aktif dan terus menaikkan kadar faedah mereka, walaupun terdapat risiko berlakunya gawat.

    Setelah kadar DXY jatuh akibat data pasaran buruh di AS yang mengecewakan, pasangan GBP/USD mengakhiri minggu pada paras 1.2748. Unjuran median para penganalisis unutk minggu hadapan dilihat agak neutral. 45% menyokong bear, 30% lagi menyokong bull, dan baki 25% pula enggan memberikan sebarang unjuran. Dalam kalangan pengayun pada D1, 10% berwarna hijau, 15% berwarna kelabu neutral, dan 75% lagi berwarna merah (satu perempat daripadanya menunjukkan isyarat lebihan jualan). Nisbah antara warna hijau dan merah adalah sama seperti minggu lalu iaitu 50% dan 50%. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2675-1.2695, 1.2575-1.2600, 1.2435-1.2450, 1.2300-1.2330. 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2800-1.2815, kemudian 1.2880, 1.2940, 1.2980-1.3000, 1.3050-1.3060, 1.3125-1.3140, 1.3185-1.3210, 1.3300-1.3335, 1.3425, 1.3605.

    Sila maklum bahawa data KDNK di UK yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 11 Ogos menawarkan sebahagian maklumat mengenai keadaan ekonomi di negara berkenaan. Namun, anda boleh jangkakan kadar tukaran yang lebih meruap pada hari Khamis, 10 Ogos, apabila data inflasi (CPI) di A.S. akan dikeluarkan. Indikator-indikator ekonomi seperti ini memberi pengaruh besar kepada kadar tukaran, dan akan dinilai dengan teliti oleh para pedagang dan pelabur. Data yang dikeluarkan itu berpotensi untuk mempengaruhi keputusan polisi kewangan Bank of England pada masa hdapan, dan seterusnya, memberi kesan kepada kadar GBP/USD.

USD/JPY: Inflasi Adalah Segala-galanya

  • Sepanjang awal minggu lalu, nilai yen susut seperti lain-lain mata wang dalam kelompok DXY setelah menerima tekanan daripada dolar, dan kadar pasangan USD/JPY pula mencecah ketinggian 143.88. Walau bagaimanapun, Bank of Japan (BoJ) memberikan bantuan kepada mata wang negara mereka kemudiannya.

    Kami telah laporkan dalam ulasan sebelum ini bahawa buat pertama kali sejak beberapa tahun lalu, ketua baru Bank tersebut iaitu Kazuo Ueda mengambil keputusan untuk mengubah sasaran lengkung hasil bon yang tegar kepada lengkung yang lebih fleksibel. Paras hasil bon 10 tahun kerajaan Jepun (JGB) yang disasarkan masih lagi 0%. Julat perubahan hasil yang dibenarkan sebanyak +/-0.5% juga masih dikekalkan. Namun bermula dari sekarang, had ini tidak seharusnya lagi dilihat sebagai sempadan yang tegar tetapi fleksibel. Benar, dalam had-had tertentu - Bank of Japan menetapkan “garis merah” pada paras 1.0% dan mengumumkan mereka akan menjalankan operasi pembelian agar hasilnya tidak akan naik melebihi paras tersebut.

    Kini, kurang daripada seminggu selepas langkah revolusi BoJ itu diambil, hasil perolehan JGB mencecah jumlah tertinggi dalam tempoh sembilan tahun di sekitar paras 0.65%. Akibatnya, bank negara itu dengan cepat campur tangan dalam perkara tersebut, dan bagi mengelak hasilnya daripada terus naik, mereka menjalankan campur tangan dengan membeli sekuriti-sekuriti itu, dengan yang demikian dapat menyokong nilai yen.

    Mata wang Jepun itu menerima lebih banyak sokongan pada hari Jumaat, 4 Ogos akibat data NFP di AS yang lemah. Akibatnya, pasangan USD/JPY itu mengakhiri minggu pada paras 141.73.

    Tidak disangkal lagi data inflasi menjadi sesuatu yang bermakna buat bank negara, dan seterusnya, buat pasaran mata wang. Ketika ini, terdapat banyak perkara yang dapat membuktikan inflasi di Jepun akan terus naik. Beberapa hari lalu, kerajaan negara itu mengesyorkan kenaikan gaji minimum sebanyak 4%, dan rundingan gaji tahunan antara majikan dan kesatuan pekerja menyaksikan kenaikan gaji tertinggi sejak tiga dekad lalu. Berdasarkan perkara ini, terdapat bukti yang cukup untuk mengatakan majikan dan perniagaan sudah bersedia untuk memindahkan pertumbuhan itu kepada para pengguna, mengakibatkan kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI). Trend ini mencerminkan kesanggupan syarikat-syarikat Jepun dalam memberikan respon terhadap peningkatan kos buruh dengan menaikkan harga sehingga berpotensi mencetus inflasi. Ini bermakna, situasi itu mungkin memberi kesan kepada keputusan Bank of Japan terhadap polisi mereka serta mempengaruhi nilai yen dalam pasaran mata wang. Situasi yang berlaku sekarang amat tertumpu kepada perkaitan antara pasaran buruh, polisi kewangan, dan nilai mata wang, serta menggariskan betapa pentingnya memantau indikator ekonomi dan tindak-tanduk bank negara.

    Untuk memerangi kenaikan harga, rakan sejawat Bank of Japan di A.S. dan Eropah telah mengetatkan polisi kewangan serta menaikkan kadar faedah mereka. Penganalisis di Rabobank Belanda meletakkan harapan agar BoJ akhirnya mengikut jejak langkah itu dan perlahan-lahan mengetatkan polisinya yang teramat longgar. Jika perkara itu berlaku, mereka menjangkakan kadar tukaran USD/JPY boleh kembali kepada 138.00 dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

    Pendapat pakar strategi di Bank MUFG Jepun tidak begitu optimis. Mereka menulis, “Buat masa ini, kami jangkakan Bank of Japan akan menaikkan kadar faedah mereka buat pertama kalinya pada enam bulan pertama tahun hadapan. Peralihan kepada pengetatan polisi BoJ menyokong unjuran kami berkenaan pengukuhan nilai yen pada tahun hadapan.” Untuk perubahan polisi kawalan lengkung hasil bon yang dibuat baru-baru ini, MUFG percaya bahawa tindakan itu sendiri tidak cukup untuk memulihkan mata wang nilai Jepun.

    Pakar ekonomi di Commerzbank Jerman dan juga Nordea Bank di Finland bersetuju bahawa jika penggubal dasar Jepun itu berjaya membendung inflasi, kadar tukaran yen seharusnya akan bertambah. Walau bagaimanapun, perubahan terhadap polisi Bank of Japan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini. Justeru, menurut kebanyakan penganalisis, peralihan ketara hanya dijangka boleh dilihat pada tahun 2024.

    Bermacam-macam pendapat dan unjuran yang dibuat pada waktu ini begitu tertumpu kepada keadaan ekonominya yang rumit serta cabaran dalam menjangkakan perubahan polisi kewangan serta pergerakan mata wang. Situasi di Jepun amat berbeza, memandangkan kepayahan berpanjangan BoJ dalam memerangi inflasi serta komitmennya yang sangat membantu pendirian polisi kewangan mereka. Peserta pasaran dan penggubal polisi perlu memberikan lebih banyak tumpuan kepada pelbagai indikator ekonomi, isyarat bank negara, serta trend ekonomi global dalam menyelusuri landskap yang kian berkembang.

    Bagi unjuran jangka pendek para penganalisis, tiada sebarang kesepakatan yang jelas. Satu pertiga daripada mereka percaya pasangan USD/JPY akan mengalami pertumbuhan dalam beberapa hari lagi, satu pertiga menjangkakan in akan mengalami penurunan, dan baki satu pertiga lagi menjangkakan pergerakan mendatar. Indikator pada tempoh masa D1 adalah seperti berikut:

    Pengayun: 75% berwarna hijau, dan 25% lagi berwarna kelabu neutral. Indikator trend: Warna hijau jelas memiliki kelebihan dengan 85%, dan hanya 15% berwarna merah.

    Sokongan paling hampir berada pada paras 141.40, diikuti dengan 140.60-140.75, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, 137.25-137.50, 135.95, 133.75-134.15, 132.80-133.00, 131.25, 130.60, 129.70, 128.10, and 127.20. Rintangan paling hampir berada pada paras 141.20, kemudian 142.90-143.05, 143.75-144.04, 145.05-145.30, 146.85-147.15, 148.85, dan akhir sekali, paras paling tinggi tahun 2022 iaitu 151.95.

    Melihat kepada perbezaan pendapat dalam kalangan penganalisis serta bacaan indikator teknikal yang bermacam, peserta pasaran seharusnya berhati-hati apabila menggunakan pasangan mata wang ini. Pemeriksaan lebih teliti data ekonomi yang bakal dikeluarkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh bank negara, serta lain-lain faktor fundamental boleh memberi maklumat tambahan dalam menentukan arah pergerakan pasangan USD/JPY.

    Tiada sebarang maklumat penting berkenaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan. Pedagang perlu maklum hari Jumaat, 11 Ogos, adalah hari cuti umum di Jepun, negara itu menyambut Hari Gunung.

MATA WANG KRIPTO: ETH/BTC - Siapa Pemenangnya?

  • Judul untuk ulasan kripto pada minggu sebelum ini adalah “Mencari Semangat yang Hilang”. Sepanjang minggu lalu, semangat itu belum lagi ditemui. Setelah kadarnya susut pada 23-24 Julai, pasangan BTC/USD beralih ke fasa pergerakan mendatar yang baru, bersungguh-sungguh bertahan daripada nilai dolar yang kukuh. Lonjakan ke paras $30,000 yang berlaku pada 1-2 Ogos dilihat sedikit sebanyak seperti perangkap bull dan berakhir dengan keengganan pasangan itu untuk bertindak dan kemudian kembali bergerak mengikuti Pivot Point di sekitar $29,200. Tidak seperti emas fizikal, emas digital sukar untuk memberikan reaksi terhadap data pasaran buruh di AS yang dikeluarkan pada 4 Ogos.

    Sesetengah penganalisis percaya bahawa krisis yang melanda DeFi memberi lebih banyak tekanan kepada Bitcoin, malah mereka menjangkakan penyusutan ketara mata wang kripto terunggul itu dalam masa terdekat nanti. Walau bagaimanapun, pada pandangan kami, “krisis” yang mereka gelarkan itu bukanlah keadaan sebenar. Segalanya berpunca daripada kelemahan yang ada dalam versi awal bahasa pemprograman Vyper, bahasa atur cara yang digunakan dalam menulis kontrak pintar dalam operasi bursa desentralisasi (DEX). Pada 30 Julai, kelompok likuiditi empat pasangan (CRV/ETH, alETH/ETH, msETH/ETH, pETH/ETH) yang menggunakan versi awal Vyper 0.2.15-0.3.0 telah digodam di bursa Curve Finance. Kelompok lain yang berjumlah lebih daripada dua ratus tidak terkesan. Jumlah kerugian yang dialami adalah kira-kira $52 juta.

    Menurut penganalisis di CertiK, pedagang mengalami kerugian dalam bentuk aset digital berjumlah $330 juta akibat serangan penggodam pada bulan Julai. Mengikut data PeckShield, antara bulan Januari dan Jun 2023, industri kripto telah berdepan dengan sekurang-kurangnya 395 godaman, mengakibatkan nilai kecurian berjumlah kira-kira $480 juta. Maka, serangan yang berlaku di bursa Curve Finance memanglah menyedihkan, tetapi bukan sesuatu yang luar biasa. Kejadian itu tidak begitu teruk jika dibandingkan dengan keruntuhan Terra (LUNA) dan bursa FTX pada tahun lalu.

    Mungkin untuk mengurangkan rasa bersalah dan lebih selesa, para pelabur seharusnya tidak meletakkan semua modal hanya pada satu jenis aset. Inilah mesej yang disampaikan oleh CEO Galaxy Investment Partners iaitu Michael Novogratz dalam temu bual bersama Bloomberg. “Jika seseorang pelabur itu muda dan berhati-hati dalam mengambil risiko, saya pasti akan nasihatkan beliau untuk membeli saham syarikat Alibaba,” jelas hartawan itu. “Saya juga akan mengesyorkan untuk melabur dalam perak, emas, bitcoin, dan ethereum. Itulah portfolio yang akan saya gunakan."

    Rasa yakin Novogratz terhadap masa depan bitcoin diperkukuhkan lagi setelah syarikat pelaburan terbesar iaitu BlackRock telah memfailkan permohonan bagi ETF spot bitcoin. Ahli perniagaan itu sedar bahawa CEO BlackRock iaitu Larry Fink tidak pernah percaya dengan bitcoin, namun kini telah mengubah pendiriannya. “Sekarang beliau mengatakan bahawa BTC akan menjadi mata wang di peringkat global, dan semua orang di seluruh dunia mempercayainya. Beliau telah mengakui kewujudan bitcoin. Beliau telah mempercayainya,” jelas Michael Novogratz.

    Peter Brandt, seorang pedagang lagenda dan veteran dalam industri kewangan juga telah “mengambil orange pill.” Beliau percaya lama kelamaan, mata wang kripto pertama itu akan “keluar dari bayang-bayang” aset pelaburan yang lebih tradisional seperti saham dan emas, dan pada masa akan datang, bitcoin akan menjadi penentu trend dalam pasaran kewangan.

    Peter Brandt memberi penekanan bahawa penggubal dasar A.S. pastinya akan meluluskan pelancaran ETF spot bitcoin. Walau bagaimanapun, pada pendapat beliau, kelulusan itu tidak akan menjadi berita penting, sama seperti pelaksanaan pengurangan penghasilan yang tidak akan menjadi peristiwa penting. Brandt menjelaskan, “Sepanjang 48 tahun berhadapan spekulasi, saya sering menyedari bahawa pasaran akan mengambil kira kejadian penting sebelum berlakunya sesuatu perkara.” Ikutlah kata pepatah “Beli mengikut khabar angin, jual berdasarkan fakta,” nasihat lagenda Wall Street itu.

    Sikap pesimis yang sederhana berkenaan dengan kesan pelaksanaan pengurangan penghasilan turut disuarakan oleh para penganalisis di CME Group. Mereka sedar bahawa permintaan terhadap aset kripto yang amat kukuh sepanjang lapan tahun pertama kewujudan bitcoin telah berkurang sedikit demi sedikit sejak lima tahun lalu. Justeru, pada pendapat mereka, tiada sebarang jaminan proses pengurangan penghasilan akan mendorong kepada pertumbuhan nilai BTC atau altcoin.

    Walaupun amaran telah diberikan, kebanyakan orang berpengaruh dan penggemar kripto terus berlumba-lumba dalam mengunjurkan setinggi manakah nilai bitcoin pada masa akan datang. Kami akan ulas beberapa pendapat, mengikut susunan menaik. Seorang penganalisis dengan nama gelaran TechDev mengunjurkan nilai BTC akan bergantung kepada keadaan pasaran tradisional, termasuklah kadar bon 10 tahun China, dinamik Indeks Dolar, serta keseimbangan antara bank-bank pusat di kebanyakan negara utama, dll. Menurut beliau, kadar coin itu benar-benar mengikuti pergerakan indikator likuiditi global, dan kitaran ekonomi sekarang ini seharusnya akan diakhiri dengan pertumbuhan bekalan wang yang besar sekali lagi. Justeru, bitcoin sedang bersiap sedia untuk mengalami pertumbuhan. Mengikut pendapat penganalisis itu, indikator lengkung pertumbuhan logaritma yang mengecualikan kadar turun naik aset untuk jangka masa pendek telah menunjukkan mata wang terunggul itu akan mencecah paras $140,000 menjelang tahun 2025.

    "Saya akan mengambil kira bahawa unjuran ini adalah anggaran kasar yang dibuat berdasarkan kepada parameter-parameter indikator tertentu serta kadar kecuraman momentum,” TechDev memberikan amaran. Penganalisis itu juga maklum bahawa indikator Bollinger Bands berada dalam julat yang sangat sempit. Kali terakhir bitcoin berjaya keluar daripada julat seperti itu, trend bull berskala besar pun bermula.

    Unjuran seterusnya dalam tempat 3 teratas adalah pelabur modal teroka dan hartawan iaitu Tim Draper yang menyatakan lambat laun seluruh dunia akan menerima mata wang kripto pertama itu apabila ditemu bual FOX Business. “Hanya menunggu masa saja sebelum para peruncit sedar mereka boleh berjimat sebanyak 2% jika mereka menerima bitcoin. Mereka tidak perlu membayar bank dan pengeluar kad kredit,” jelas beliau. Drapper mengulangi unjuran beliau mengenai pertumbuhan nilai mata wang kripto pertama itu ke paras $250,000, dan menjangkakan ia boleh dicapai menjelang tahun 2025. (Harus diketahui bahawa pelabur ini sudah pun mensasarkan nilai tersebut pada tahun 2018, dan pada Ketika itu beliau merujuk tahun 2022 sebagai “Tahun X”. Seperti yang boleh dilihat, unjuran hartawan itu adalah salah.)

    Akhir sekali, tempat pertama podium unjuran optimis untuk kali ini telah diberikan oleh pengasas bersama BitMEX iaitu Arthur Hayes. Beliau telah mengeluarkan satu artikel yang mengunjurkan nilai mata wang kripto terunggul itu akan melonjak ke paras $760,000. Pada pendapat beliau, integrasi projek-projek Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence atau AI) ke dalam blockchain BTC akan menaikkan minat terhadap coin tersebut dengan mendadak sebagai aset asas dalam ekosistem.

    Hayes percaya bahawa ethereum seharusnya menunjukkan pelan pembangunan yang sama. Jika projek-projek AI digabungkan ke dalam altcoin, daya tarikan pelaburan ETH sebagai instrumen utama transaksi dalam rangkaian akan naik dengan mendadak. Dalam perkara ini, nilai altcoin mungkin akan naik sebanyak 1,556%. Dengan kata lain, pengasas bersama BitMEX itu tidak menolak nilai ETH mungkin melonjak kepada $31,063.

    Menurut Hayes, satu lagi faktor yang merangsang pertumbuhan nilai ETH dalam tempoh lima tahun akan datang adalah perkembangan pasaran kewangan disentralisasi (DeFi). Kebanyakan protocol dalam ekosistem ini adalah berasaskan ethereum, dan tahap populariti altcoin itu terus bertambah. Pertambahan jumlah pengguna bursa disentralisasi (DEX) akan mendorong kepada peningkatan jumlah transaksi yang menggunakan ETH, dan secara tidak langsung, menambah nilai altcoin itu.

    Satu kaji selidik yang menggunakan platform Finder bagi menilai prospek masa depan ethereum telah dijalankan dalam kalangan penganalisis industri. Para penganalisis menjangkakan ETH akan dinilai sebanyak $2,400 secara purata menjelang akhir tahun 2023. Mereka turut mengunjurkan nilai ethereum akan mencecah $5,845 menjelang hujung tahun 2025, dan $16,414 menjelang akhir tahun 2030. Sila maklum bahawa 56% penganalis percaya sekarang adalah masanya untuk membeli ETH, sementara 41% lagi menasihatkan untuk terus menyimpan mata wang kripto yang ada, dan hanya 4% yang mengesyorkan untuk jual.

    PwC, firma perunding kedua terbesar di dunia telah menjalankan kaji selidik yang melibatkan wakil-wakil dari dana lindung nilai tradisional dan mata wang kripto. 93% daripada mereka yang dikaji selidik percaya bahawa pasaran sudah mencapai paras terendahnya, dan mereka menjangkakan pasaran mata wang kripto akan mengalami pertumbuhan menjelang akhir tahun 2023. Antara mata wang kripto yang ada, mereka masih terus memihak kepada bitcoin dan ethereum. Namun, 72% daripadanya merasakan bahawa ethereum langsung tidak berpeluang untuk mengatasi bitcoin dari segi jumlah modal pasaran. Majoriti daripada baki 28% penganalisis yang percaya dengan kejayaan altcoin menjangkakan pencapaian itu akan berlaku dalam tempoh antara 2 dan 5 tahun.

    Satu laporan yang dikeluarkan oleh CME Group menyatakan bahawa pasangan ETH/BTC hampir langsung tidak menunjukkan korelasi terhadap perubahan kadar faedah, niaga depan emas, dan minyak mentah. Walau bagaimanapun, ia dipengaruhi dengan ketara oleh faktor-faktor seperti nilai dolar yang kukuh, perubahan bekalan bitcoin dalam pasaran, serta dinamik saham syarikat-syarikat teknologi. Kaji selidik itu menunjukkan bahawa ETH lebih terdedah dengan nilai USD yang kukuh, dan perubahan bekalan BTC lebih mempengaruhi pasangan ETH/BTC berbanding perubahan bekalan ETH. Dalam masa yang sama, nilai ETH sering naik secara relatif dengan BTC ketika saham syarikat-syarikat teknologi (dalam indeks S7P 500 dan Nasdaq-100 Tech) mengalami pertumbuhan.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 4 Ogos, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar paras $28,950, ETH/USD di sekitar $1,820, manakala ETH/BTC pada kadar 0.0629. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto terus susut dan berada pada jumlah $1.157 trilion ($1.183 trilion pada minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto kekal berada di zon Neutral pada bacaan 54 mata (52 mata pada minggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.