Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 14 - 18 Ogos, 2023

EUR/USD: Kadar Inflasi, KDNK, dan Prospek Polisi Kewangan

  • Melihat pada trend mendatar sepanjang dua minggu dalam carta EUR/USD, perlu diingat bahawa bulan Ogos adalah bulan percutian. Malah data inflasi di AS yang dikeluarkan pada hari Khamis, 10 Ogos gagal untuk mengganggu suasana tenang para pelabur. Namun begitu, mereka tetap memberi tumpuan teliti. Pertumbuhan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk tahun ke tahun sebanyak 3.2% dan juga inflasi teras sebanyak 4.7% adalah lebih rendah berbanding unjuran (masing-masing diunjur sebanyak 3.3% dan 4.8%). Kadar CPI bulanan kekal tidak berubah pada 0.2%, menjadi kadar paling rendah dalam tempoh dua tahun. Untuk kadar KDNK, data yang dikeluarkan sebelum ini mengesahkan tidak wujud lagi risiko untuk ekonomi negara itu menjadi gawat. Setelah kadar tahun ke tahunnya mengalami pertumbuhan sebanyak 2.0% pada suku pertama tahun 2023, suku kedua merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.4%, lebih tinggi berbanding 1.8% yang diunjur pasaran.

    Justeru, negara AS memiliki ekonomi yang teguh dengan pasaran buruh yang beransur-ansur stabil serta kadar inflasi yang terus menghampiri kadar sasaran iaitu 2.0%. Semua ini mencadangkan bahawa polisi kewangan Rizab Persekutuan telah membuahkan hasil positif. Setidak-tidaknya penggubal dasar itu boleh menghentikan proses pengetatan mereka buat masa ini. Malah mereka mungkin boleh menamatkan kitaran pengetatan polisi yang dilaksanakan sekarang. Kebarangkalian kadar faedah dolar kekal pada paras sekarang iaitu 5.50% untuk bulan September dianggar sebanyak 89%, manakala kemungkinan kadar itu dinaikkan sebanyak 25 mata asas (b.p) menjelang akhir tahun ini hanyalah 27%. 

    Dalam situasi seperti itu, dolar seharusnya boleh mula melepaskan kedudukannya, namun perkara itu tidak berlaku. Benar, sejurus selepas data inflasi dikeluarkan, pasangan EUR/USD melonjak naik kira-kira 50 mata namun berundur tidak lama kemudian. Mengapa perkara ini berlaku? Walaupun musim percutian mungkin boleh diambil kira, terdapat dua lagi faktor yang mungkin dianggap lebih penting. Faktor pertama adalah hasil perolehan mengecewakan bon 30 tahun Perbendaharaan AS yang menunjukkan hasil sebanyak 4.199%, lebih rendah berbanding kadar pada pasaran sekunder. Faktor kedua adalah data lemah yang ditunjukkan rakan dolar di Eropah.

    Maklumat terbaik tentang prestasi ekonomi di Eurozone telah diberi oleh “Buletin Ekonomi” yang dikeluarkan oleh pihak Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) pada hari yang sama, hari Khamis, 10 Ogos. Antara poin-poin pentingnya:

    “Kadar inflasi terus menyusut, namun kadar itu dijangka akan kekal tinggi untuk tempoh yang panjang.” “Gambaran ekonomi di Eurozone untuk jangka masa terdekat ini agak membimbangkan, terutama sekali akibat permintaan domestik yang lemah. Kadar inflasi yang tinggi serta syarat pembiayaan yang lebih ketat telah menyekat kadar pertumbuhan perbelanjaan.” “Suku ketiga dijangka menunjukkan pertumbuhan pengeluaran yang sederhana di Eurozone, besar kemungkinan didorong oleh sektor perkhidmatan.” “Risiko inflasi yang lebih tinggi turut melibatkan potensi kenaikan harga makanan dan bahan api, serta risiko berkaitan dengan keputusan unilateral Rusia untuk keluar daripada Black Sea Grain Initiative.” “Prospek pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi masih sangat tidak jelas.” Mengikut tinjauan yang dibuat oleh Reuters baru-baru ini, buletin oleh pihak ECB seperti itu telah menyebabkan peserta pasaran berteka-teki mengenai tindakan mereka selepas ini.

    Minggu hadapan, pihak Eurostat akan mengeluarkan satu laporan mengenai data KDNK di Eurozone untuk Q2 2023 yang telah disemak semula, serta kadar inflasi dan juga pengeluaran industri untuk bulan Julai. Kadar awal KDNK dijangka akan menunjukkan pertumbuhan sebanyak +0.3% (+0.6% untuk tahun ke tahun) setelah pertumbuhan ekonominya terbantut pada Q4 2022 dan susut sebanyak -0.1% pada Q1 2023. Walaupun kadar inflasinya susut (buat masa ini berada pada kadar 5.5% berbanding 10.6% pada Oktober 2022), ia masih kekal tinggi berbanding kadar 2.0% yang disasarkan. Jika ECB meneruskan polisi kewangan yang ketat serta menaikkan harga bahan api, kebanyakan pakar ekonomi percaya perkara itu akan mengakibatkan kadar KDNK di Eurozone susut sebanyak 5.0% untuk tahun 2024.

    Perbandingan daripada data-data yang ada mencadangkan bahawa buat masa ini mata wang AS memiliki peluang lebih cerah untuk menunjukkan kejayaan. Peranan dolar sebagai aset selamat juga memberikan kelebihan kepadanya. Oleh itu, banyak perkara yang akan bergantung kepada tindakan pihak Rizab Persekutuan dan ECB pada musim luruh nanti. Untuk minggu lalu, setelah data inflasi pengeluaran (PPI) di AS dikeluarkan, nilai dolar menjadi lebih kukuh, manakala pasangan EUR/USD pula ditutup pada paras 1.0947.

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam 11 Ogos, 35% penganalisis menyuarakan sokongan mereka terhadap pertumbuhan pasangan ini dalam masa terdekat, 50% lagi memihak kepada dolar dan berpendirian sebaliknya, manakala baki 15% pula bersetuju dengan trend mendatar yang berterusan. Dalam kalangan pengayun pada D1, majoritinya iaitu 80% memihak kepada mata wang AS (15% daripadanya berada di zon lebihan jualan), 10% menunjukkan pertumbuhan, dan 10% lagi berada di zon neutral. Dalam kalangan indikator trend, 65% mengesyorkan untuk jual, dan baki 35% lagi mencadangkan untuk beli. Sokongan terdekat bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0895-1.0925, diikuti dengan 1.0845-1.0865, 1.0780-1.0805, 1.0740, 1.0665-1.0680, dan 1.0620-1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0985, kemudian 1.1045, 1.1090-1.1110, 1.1150-1.1170, 1.1230, 1.1275-1.1290, 1.1355, 1.1475, dan 1.1715.

    Untuk minggu hadapan, antara perkara yang boleh diberi tumpuan termasuklah penyiaran data jualan runcit di A.S. pada hari Selasa, 15 Ogos. Pada hari Rabu, 16 Ogos pula, kadar KDNK di Eurozone akan diketahui, dan minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang terbaru juga akan turut dikeluarkan. Data pengangguran serta kadar aktiviti pembuatan di A.S. akan dikeluarkan pada hari Khamis. Untuk menutup minggu hadapan, kita akan ketahui maklumat berkenaan kadar inflasi (CPI) di Eurozone pada hari Jumaat, 18 Ogos.

GBP/USD: Hari X - 16 Ogos

  • Mengikut data yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 11 Ogos oleh Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) UK, kadar pertumbuhan ekonomi di negara itu untuk suku kedua adalah sebanyak 0.2%, berbanding pertumbuhan 0.1% pada suku pertama (diunjur 0.0%). Walaupun kadar tahun ke tahun diunjur sebanyak 0.2%, kadar pertumbuhan KDNK sebenar adalah sebanyak 0.4% (kadar sebelum ini adalah 0.2%). Jumlah pengeluaran industri untuk bulan Jun juga naik, mencatatkan kadar +1.8% berbanding +0.1% yang diunjur serta penurunan -0.6% pada bulan Mei. Secara keseluruhan, momentum ke atas terbukti berlaku. Hal ini telah mengurangkan risiko untuk berlakunya keadaan gawat serta meningkatkan kemungkinan untuk Bank of England (BoE) mengekalkan pendirian hawkish mereka setidak-tidaknya sehingga hujung tahun 2023. Terutama sekali apabila melihat kadar inflasi di negara itu masih lagi kekal tinggi, dengan kadar CPI tahun ke tahun sebanyak 7.9%. Mengikut jangkaan, pihak BoE mungkin akan menaikkan kadar faedah utama mereka sebanyak 2-3 kali lagi daripada 5.25% yang ada sekarang kepada 6.00% pada tahun ini bagi membendungnya, dan ia mampu memberikan kelebihan ketara kepada mata wang British.

    Pakar strategi di kumpulan perbankan terbesar Belanda iaitu ING percaya bahawa kadar KDNK positif ini tidak akan menjadi faktor penentu buat Bank of England. “Kadar pertumbuhan KDNK di UK untuk bulan Jun adalah melebihi jangkaan,” mereka bersetuju. “Namun, kami percaya bahawa implikasinya terhadap Bank of England mungkin agak terhad kerana kadar tersebut tidaklah begitu jauh berbanding yang diunjurkan. Fokus utama adalah kadar inflasi dalam sektor perkhidmatan serta kadar pertumbuhan gaji pada minggu hadapan, […] yang begitu penting buat pound."

    Pasangan GBP/USD ditutup pada kadar 1.2695 pada hari Jumaat, 11 Ogos. Unjuran masa terdekat oleh para penganalisis adalah seperti berikut: 60% adalah bearish pasangan ini, 20% pula bersikap bullish, dan jumlah peratusan yang sama memilih untuk kekal neutral. Untuk pengayun pada D1, bear menerima 100% sokongan penuh, dengan 15% daripadanya sudah menunjukkan keadaan lebihan jualan. Indikator trend menunjukkan nisbah 65% yang memihak kepada bear (merah) dan 35% pula sebaliknya. Jika pasangan ini mengikuti trend ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2675, 1.2620-1.2635, 1.2575-1.2600, 1.2435-1.2450, 1.2300-1.2330, 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Jika ia naik ke atas, rintangan dijangka berada pada paras 1.2760, diikuti dengan 1.2800-1.2815, 1.2880, 1.2940, 1.2980-1.3000, 1.3050-1.3060, 1.3125-1.3140, 1.3185-1.3210, 1.3300-1.3335, 1.3425, dan 1.3605.

    Untuk statistik makroekonomi di UK, pelbagai data dari pasaran buruh negara itu dijangka akan diketahui pada hari Selasa, 15 Ogos, termasuklah indikator seperti pertumbuhan kadar gaji serta jumlah pengangguran. Keesokan harinya, pada hari Rabu, 16 Ogos, kadar inflasi utama (CPI) di United Kingdom akan dikeluarkan. Akhir sekali, pada hari Jumaat, 18 Ogos, kita akan mengetahui statistik jualan runcit di negara berkenaan.

USD/JPY: Pasangan Ini Kembali Naik Ke Langit

  • Sementara pasangan EUR/USD dan GBP/USD menghabiskan minggu lalu dengan bergerak secara mendatar, pasangan USD/JPY sekali lagi melonjak ke atas. Pada hari Jumaat, kadarnya mencecah ketinggian 144.995, hampir-hampir mencecah ketinggian pada 30 Jun tahun lalu. Kali terakhir ia didagangkan hampir pada kedudukan itu adalah pada bulan Jun 2022, lebih setahun yang lalu. Untuk minggu lalu, pasangan ini ditutup sedikit rendah daripada itu pada kadar 144.93. Tiada satu faktor pun yang mampu memberikan sokongan kepada yen, bukan keputusan Bank of Japan (BoJ) untuk beralih daripada lengkung sasaran hasil bon kerajaan yang tegar kepada pendekatan yang lebih fleksibel baru-baru ini, bukan juga campur tangan oleh penggubal dasar Jepun itu.

    Data inflasi adalah sesuatu yang penting buat kebanyakan bank negara. Untuk memerangi kenaikan harga, penggubal dasar di AS, EU dan UK telah mengetatkan polisi kewangan serta menaikkan kadar faedah mereka. Namun, BoJ tidak mengendahkan kaedah seperti itu walaupun kadar inflasi di negaranya terus bertambah. Lebih-lebih lagi, kerajaan negara itu telah mengesyorkan kenaikan gaji minimum sebanyak 4%, dan rundingan gaji tahunan antara majikan dan kesatuan pekerja menyaksikan kenaikan gaji tertinggi sejak tiga dekad lalu. Berlatarbelakangkan perkara ini, terdapat bukti yang cukup bahawa perniagaan sudah bersedia untuk meletakkan kenaikan ini kepada para pengguna, tindakan yang boleh mendorong kepada kenaikan kadar CPI.

    Penganalisis di Bank MUFG Jepun menjangkakan Bank of Japan mungkin hanya akan membuat keputusan untuk menaikkan kadar faedah mereka buat pertama kalinya pada enam bulan pertama tahun hadapan. Hanya selepas itu wujudnya peralihan kepada pengukuhan nilai yen. Bagi perubahan polisi kawalan lengkung hasil perolehan yang dibuat baru-baru ini, MUFG percaya bahawa tindakan itu sendiri tidak cukup untuk memulihkan nilai mata wang Jepun.

    Penganalisis di Commerzbank Jerman merasakan bahawa polisi Bank of Japan yang tidak begitu jelas telah memberi lebih banyak tekanan kepada yen serta membantutkan pertumbuhannya. Sepanjang beberapa bulan lalu, apabila semua bank-bank negara menaikkan kadar faedah utama mereka kecuali bank negara Jepun, satu perkara menjadi begitu jelas: polisi kewangan Bank of Japan tidak akan memberi kelebihan kepada yen untuk masa terdekat ini, kongsi Commerzbank. Mereka menambah lagi bahawa yen adalah satu mata wang yang sukar untuk difahami, mungkin disebabkan oleh kaitannya dengan polisi kewangan BoJ.

    Pakar strategi di Societe Generale berpendapat bahawa jika pasangan USD/JPY mengalami penyatuan di antara paras 144.50-145.00, pertumbuhan itu mungkin akan berterusan sehingga 146.10 (76.4% daripada pembetulan pergerakan sejak Oktober lalu) dan malah mungkin lebih tinggi ke paras 147.90.

    Penganalisis di Credit Suisse turut mengekalkan unjuran bullish mereka terhadap pasangan ini dan mensasarkan kedudukan yang lebih tinggi. “Kami terus menantikan paras interim yang kami sasarkan antara 145.00-145.12 diuji semula,” jelas mereka. “Walaupun ia dijangka boleh kekal pada kedudukan itu, unjuran teras kami masih kekal bullish, kami jangkakan ia akan ditembusi pada akhirnya. Hal ini akan mendorong pasaran untuk menembusi rintangan pada paras 146.54-146.66, dan akhir sekali, menduduki paras sasaran 148.57.".

    Melihat kepada perspektif masa terdekat ini, unjuran median para penganalisis sangat-sangat berbeza daripada yang disebutkan di atas tadi. Kebanyakan daripada mereka (80%) menjangkakan pembetulan pasangan USD/JPY ke bawah. (Antara punca kepada penurunan itu mungkin disebabkan oleh satu lagi campur tangan mata wang lain). Baki 20% lagi memilih untuk terus neutral. Jumlah mereka yang menjangkakan pertumbuhan lebih tinggi pasangan tersebut untuk kali ini adalah sifar. Kedua-dua indikator trend serta pengayun pada D1 adalah 100% berwarna hijau walaupun satu perempat daripadanya sudah pun memberikan isyarat keadaan lebihan belian. Sokongan paling hampir berada pada paras 144.50, diikuti dengan 143.75-144.04, 142.90-143.05, 142.20, 141.40-141.75, 140.60-140.75, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, 137.25-137.50. Rintangan terdekat berada pada paras 145.30, diikuti dengan 146.85-147.15, 148.85, dan akhir sekali, paras paling tinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Antara perkara yang akan berlaku dalam kalendar pada minggu hadapan dan perlu diberikan tumpuan adalah hari Selasa, 15 Ogos, apabila data perbelanjaan pengguna, jumlah pengeluaran industri, serta kadar KDNK di Jepun akan dikeluarkan. Keesokan harinya, kadar Indeks Keyakinan Perniagaan Tankan Reuters pula akan diketahui, manakala pada hari Jumaat, 18 Ogos, kita akan ketahui kadar Indeks Harga Pengguna Negara (CPI).

MATA WANG KRIPTO: Pencarian Dorongan Masih Diteruskan

  • Dua minggu lalu, kami telah berikan judul “Mencari Semangat yang Hilang” untuk ulasan kami. Setelah dua minggu berlalu sejak daripada itu, semangat yang dicari masih lagi belum ditemui. Selepas penurunan yang berlaku pada 23-24 Julai, kadar BTC/USD beralih ke fasa pergerakan mendatar, bergerak di sepanjang Pivot Point di sekitar $29,500. Menurut sesetengah penganalisis, peserta pasaran cuba mengelak daripada mencetuskan pergerakan mendadak sebelum data inflasi di AS dikeluarkan pada hari Khamis, 10 Ogos. Disebabkan itu, pasaran kripto benar-benar diabaikan sepenuhnya.

    Indikator rangkaian bitcoin menunjukkan fasa pengumpulan telah berlaku dalam menjangkakan lonjakan harga. Menurut surat berita Blockware Intelligence, jumlah bekalan aset yang cair dan terlalu cair susut ke paras paling rendah sejak tahun 2018. Seperti yang Blockware sedia maklum, jumlah coin yang bertukar tangan dalam kalangan pedagang spekulatif telah berkurang, manakala pemilik jangka panjang pula telah memindahkan pemilikan mereka ke dalam walet luaran.

    Menjadi kebiasaan, pendapat mengenai arah pergerakan yang mungkin berlaku adalah berbelah bagi. Sebagai contoh, pedagang, penganalisis, serta pengasas firma modal teroka Eight iaitu Michael Van De Poppe menyangkal pendapat mengenai penurunan nilai mata wang kripto pertama itu ke paras $12,000 serta meyakinkan golongan yang membincangkan tentang kemusnahan altcoin sepenuhnya.

    "Pasaran bear terus berlaku lebih daripada dua tahun,” tulis beliau, tempoh pasaran paling lama dalam sejarah mata wang kripto. Walau bagaimanapun, itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika melihat kepada serangan godaman yang dialami, kebankrapan, serta litigasi yang dikenakan terhadap industri kripto. Daripada pemerhatian penganalisis itu, sentimen paling bearish sering ditemui dalam kalangan mereka yang mula melabur ke dalam aset digital ini pada tahun 2021 secara khususnya. “Bagi mereka, kerugian berpanjangan yang dialami adalah sesuatu yang sangat menyakitkan, dan mereka hanya menjangkakan nilai portfolio yang susut lebih teruk,” maklum penganalisis berkenaan.

    Pada pendapat beliau, fasa kedua penurunannya sedang berlaku sekarang: tempoh paling membosankan dalam kitaran, tempoh seperti tiada apa yang langsung berlaku dalam pasaran. “Bersabar, nikmati saat-saat kesedaran yang anda masih berada dalam pasaran, mengumpul posisi. […] Syarikat-syarikat besar mula turut serta dalam pelaburan ini, dan perkara paling bijak yang boleh anda lakukan adalah mengikuti tindak-tanduk mereka,” nasihat Van De Poppe.

    Unjuran yang boleh dianggap kurang optimis telah diberikan oleh seorang lagi pedagang terkenal iaitu Tone Vays. Beliau maklum bahawa tekanan untuk jual semakin bertambah dan nilai mata wang kripto pertama itu mungkin akan turun mendadak. Bitcoin terus bergelut, namun saya berpendapat bahawa terdapat kemungkinan besar nilai BTC akan turun ke paras purata pergerakan yang seterusnya. Jika lilin harian terus ditutup lebih rendah berbanding lilin sebelumnya, saya menasihatkan supaya mengurangkan jumlah posisi sebanyak 50% kerana saya tidak dapat menjangka berapa lama nilai bitcoin akan jatuh. Nilainya mungkin boleh turun dengan mudah ke paras $25,000. Disebabkan sebab-sebab tertentu, terdapat ramai orang di pasaran yang terus menjual coin mereka,” jelas penganalisis itu.

    Tone Vays yakin bahawa: jika benar nilai bitcoin turun ke paras $25,000, terdapat kemungkinan besar penurunan itu akan berpanjangan. Mengikut perspektif penganalisis itu, kedudukan mata wang kripto pertama ini “berada di hujung tanduk, dan keadaannya begitu membimbangkan.” “Nilainya perlu naik dengan cepat, maksud saya - dalam bulan ini. Kita tidak mempunyai masa untuk turun lebih rendah, jika tidak, keadaan panik akan berleluasa di pasaran, dan saya tidak akan terkejut jika BTC didagangkan di bawah kadar $20,000. Para penghasil juga akan mula mencairkan pegangan mereka, satu tindakan yang sangat berbahaya,” penganalisis itu memberikan amaran. (Perlu diketahui bahawa pada penghujung bulan Mei, Vays menjangkakan pertumbuhan nilai mata wang kripto pertama itu yang akan naik di atas paras $30,000. Unjuran itu ternyata tepat, namun BTC gagal untuk mengekalkan kedudukannya.).

    Satu pencetus yang berpotensi untuk memulakan lonjakan bullish mungkin adalah berita berkenaan syarikat gergasi PayPal yang ingin mengeluarkan coin stabil mereka sendiri iaitu PayPal USD (PYUSD). Perkara ini telah diumumkan pada hari Isnin, 7 Ogos. Pengasas yayasan kebajikan The Bitcoin Foundation iaitu Charlie Shrem (Charles Shrem) dengan serta-merta menyatakan bahawa tindakan itu boleh mendorong kepada pertumbuhan nilai bitcoin sekurang-kurangnya ke paras $250,000. Lebih-lebih lagi, pertumbuhan itu akan berlaku lebih cepat daripada jangkaan. Pada pendapat beliau, nilai ETH juga akan naik dengan cepat ke paras $18,000 kerana PYUSD dikeluarkan dalam blockchain Ethereum. Disebabkan itu, nilai altcoin tersebut mungkin akan naik akibat pertambahan jumlah pengguna daripada para pelanggan PayPal.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti Charlie Shrem, kebanyakan penganalisis memberikan reaksi skeptik tentang berita itu kerana coin tersebut tidak menawarkan sebarang kegunaan baru atau berguna kepada para penggunanya. Ia juga masih menjadi misteri tentang kenapa Shrem dengan tiba-tiba memutuskan PYUSD boleh memberi kesan positif terhadap nilai bitcoin. Secara logiknya, pengeluaran coin stabil seharusnya memberikan kesan bertentangan iaitu menurunkan nilai BTC kerana ia akan menambah daya penarik untuk melabur di dalam pesaingnya - ETH. Namun, PYUSD tidak menjadi pencetus lonjakan sama ada terhadap bitcoin atau Ethereum sebagaimana yang boleh dilihat pada carta BTC/USD serta ETH/USD.

    Disebabkan itu, para pelabur telah “merizabkan” tiga perkara yang berpotensi untuk menolak pasaran kripto ke atas. Faktor-faktor itu adalah: 1) pelonggaran radikal polisi kewangan Rizab Persekutuan AS, 2) kelulusan untuk melancarkan ETF spot bitcoin oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), dan 3) pengurangan penghasilan bitcoin.

    Sedia maklum bahawa pengurangan penghasilan yang seterusnya dijadualkan secara tentatif pada 12 April, 2024. Pelaksanaan ini akan mengurangkan pulangan yang diterima para penghasil dalam penghasilan blok dan berlaku pada setiap blok ke-210,000 atau sekali setiap 4 tahun. Langkah ini dibuat bagi menghasilkan persekitaran deflasi serta menyokong nilai BTC dengan mengurangkan kadar pengeluaran coin baru. (Jumlah pengeluaran telah ditetapkan pada had 21 juta coin). Pada awalnya, sejak tahun 2009, para penghasil menerima 50 BTC bagi setiap blok yang dihasilkan. Pada tahun 2012, jumlah itu dikurangkan kepada 25 BTC, 12.5 BTC pada tahun 2016, dan selepas tahun 2020, menjadi 6.25 BTC. Apabila pengurangan penghasilan dilaksanakan pada tahun 2024, pulangan bagi penghasilan akan turun kepada 3.125 coin.

    Disebabkan perkara ini, para penghasil perlu menyesuaikan diri mereka dengan realiti yang baru. Mereka perlu menggunakan peralatan baru yang lebih berkuasa dan jimat tenaga atau menaik taraf peralatan sedia ada. Mengikut jangkaan, kebanyakan syarikat kecil mungkin akan meninggalkan pasaran ataupun dibeli oleh syarikat-syarikat yang lebih besar. Sehubungan dengan itu, pasaran penghasilan yang lebih bersepadu dijangka akan terhasil, dan gabungan ini akan diambil alih oleh kelompok penghasilan yang lebih besar. Ini akan menjadikan rangkaiannya lebih mudah terdedah kepada manipulasi dan juga serangan penggodam. Walau bagaimanapun, kenaikan mendadak nilai BTC setidak-tidaknya boleh mengimbangi sebahagian daripada faktor-faktor negatif itu.

    Kebanyakan peserta pasaran menjangkakan nilai bitcoin mungkin akan melonjak sekali lagi setelah langkah tersebut dilaksanakan seperti yang ditunjukkan oleh data lampau. Selepas penghasilannya dikurangkan pada tahun 2012, nilai BTC naik daripada $11 pada bulan November 2012 kepada $1,100 pada November 2013. Pengurangan penghasilan 2016: nilainya naik daripada $640 pada bulai Julai kepada $20,000 pada Disember 2017. Pengurangan penghasilan 2020 menyebabkan nilai coin itu naik daripada $9,000 pada Mei 2020 kepada nilai tertinggi yang pernah direkodkan iaitu $69,000 pada November 2021. Namun, walaupun dengan statistik-statistik ini, para penganalisis memberikan amaran bahawa keputusan terdahulu tidak menjamin akan memberikan hasil yang sama pada masa hadapan.

    Antara tokoh terkemuka dalam industri kripto yang juga CEO syarikat Blockstream iaitu Adam Back telah bertaruh sebanyak satu juta satoshi (0.01 BTC) dengan mengatakan bahawa nilai bitcoin boleh mencecah $100,000 sebulan sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan. Unjuran itu dibuat hasil daripada pertaruhan beliau dengan seorang pengguna platform X (sebelum ini Twitter) dengan nama gelaran Vikingo yang percaya bahawa nilai emas digital itu tidak akan mencecah kedudukan tersebut sehinggalah pada tahun 2025.

    Bekas rakan sejawat Back di Blockstream iaitu Samson Mow yang kini menjadi CEO di syarikat Jan3 turut bersetuju. Para penganalisis dari Seeking Alpha turut mengunjurkan nilai yang sama. Mereka percaya bahawa nilai mata wang kripto itu seharusnya berada pada kadar kira-kira $98,000 supaya para penghasil dapat kekal bertahan setelah pengurangan penghasilan dilaksanakan. Namun, seorang penganalisis popular yang dikenali sebagai PlanB menyatakan bahawa berdasarkan kepada model S2F beliau, nilai BTC akan menjadi lebih rendah daripada itu setelah penghasilannya dikurangkan - hanya kira-kira $55,000.

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 11 Ogos, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar paras $29,400, manakala ETH/USD pula di sekitar $1,840. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto bertambah dan kini berjumlah $1.171 trilion ($1.157 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear &  Greed Kripto kekal berada di zon Neutral pada bacaan 51 mata (54 mata minggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.