EUR/USD: ECB Mencetus Penurunan Euro
- Terdapat dua perkara penting yang berlaku pada minggu lalu. Perkara pertama adalah penyiaran kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Amerika Syarikat pada 13 September. Yang kedua adalah mesyuarat Jawatankuasa Pentadbir Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) pada 14 September.
Berkenaan perkara pertama, kadar CPI tahunan di Amerika Syarikat naik daripada 3.2% pada bulan Julai kepada 3.7% pada bulan Ogos, lebih tinggin berbanding 3.6% yang diunjur pasaran. Untuk bulan ke bulan, kadar CPI naik daripada 0.2% kepada 0.6%, sama seperti yang diunjur pasaran. Pasaran kewangan memberikan reaksi penuh semangat terhadap data ini. Menurut CME Group, terdapat 78.5% kebarangkalian pihak Federal Open Market Committee (FOMC) akan mengekalkan kadar faedah utamanya untuk tahun ke tahun pada paras 5.50% yang ada sekarang Ketika bermesyuarat pada 20 September nanti. Walau bagaimanapun, statistik mengenai CPI itu memberikan sedikit ruang kepada pihak penggubal dasar untuk mengubah polisi kewangan mereka pada masa hadapan. Jika kadar inflasi di Amerika Syarikat terus naik, terdapat kemungkinan besar pihak Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar pembiayaan mereka sebanyak 25 mata asas (BP) lagi nanti. Perkara ini mungkin berlaku terutama sekali jika melihat ekonomi A.S. yang menunjukkan kadar pertumbuhan stabil serta pasaran buruh negara yang kekal mantap. Jumlah tuntutan awal manfaat pengangguran adalah sebanyak 220K, lebih rendah berbanding 225K yang diunjur.
Perkara kedua memberikan respon yang lebih meruap kepada pasaran. Pada hari Khamis, 14 September, pihak ECB menaikkan 25 mata asas (bp) lagi terhadap kadar faedah utama euro mereka buat kali kesepuluh berturut-turut, naik daripada 4.25% kepada 4.50%. Ini adalah kadar tertinggi yang pernah dicatatkan sejak tahun 2001. Pelbagai pendapat diberikan oleh para penganalisis terhadap kenaikan itu, melabelkannya sebagai tindakan hawkish mahupun dovish. Secara teori, kenaikan kadar faedah seharusnya dapat menyokong nilai mata wang Eropah yang biasa. Namun sebaliknya, kadar EUR/USD susut di bawah paras 1.0700, mencatatkan paras terendah mingguan pada kedudukan 1.0631. Kali terakhir parasnya rendah seperti itu adalah pada musim bunga 2023.
Penurunan nilai euro telah disebabkan oleh komen-komen bersifat dovish yang diberikan oleh barisan kepimpinan ECB. Sesiapa saja dapat membuat kesimpulan daripada kenyataan-kenyataan itu bahawa pihak bank negara tersebut sudah pun menaikkan kadarnya ke paras di mana jika berjaya kekal untuk satu jangka masa yang panjang, ia boleh menurunkan kadar inflasi di Eurozone ke paras sasaran iaitu 2.0%. Kenyataan oleh Presiden ECB iaitu Christine Lagarde, “Saya tidak katakan kadar ini akan menjadi yang tertinggi”, gagal untuk menarik perhatian pasaran. Mereka membuat kesimpulan bahawa kenaikan kadar semasa ke paras 4.50% mungkin adalah langkah terakhir dalam kitaran pengetatan polisi kewangan mereka. Disebabkan itu, ditambah pula dengan kemungkinan Rizab Persekutuan akan menaikkan lagi kadarnya kepada 5.75%, bear EUR/USD menerima kelebihan yang begitu ketara.
Momentum bearish bertambah lebih banyak selepas penyiaran data pada hari Khamis yang menunjukkan jualan runcit di A.S. untuk bulan Ogos naik sebanyak 0.6% bagi bulan ke bulan (MoM), kenaikan yang sangat tinggi berbanding 0.2% yang diunjurkan. Dalam masa yang sama, kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) untuk bulan Ogos naik sebanyak 0.7%, juga lebih tinggi berbanding unjuran dan kadar sebelum ini iaitu 0.4%.
"Kami jangkakan bahawa keadaan ekonomi A.S. yang agak kukuh ini akan terus memberi tekanan kepada pasangan EUR/USD untuk beberapa bulan akan datang kerana perbezaan kadar pertumbuhan akan memainkan peranan penting. Kami mengekalkan unjuran kami bahawa kadarnya akan berada di antara julat 1.0600-1.0300 untuk 6-12 bulan seterusnya,” komen pakar strategi di Danske Bank, salah satu bank terkemuka di Eropah Utara. Mereka berkata lagi: “Memandangkan agak sukar untuk menjangkakan peralihan mendadak dinamik mata wang A.S. dan ditambah dengan kenaikan harga komoditi baru-baru ini, unjuran 6 bulan kami kami mungkin boleh dicapai lebih awal berbanding jangkaan."
Pakar strategi HSBC menjangkakan penurunan pasangan ini yang lebih cepat, mengunjurkan kadarnya akan mencecah paras 1.0200 menjelang akhir tahun ini. Menurut para penganalisis di ING, pasangan ini boleh turun di sekitar paras 1.0600-1.0650 menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan pada minggu hadapan. “Kami percaya mengikut situasi semasa, kadar EUR/USD akan besar dipengaruhi dengan nilai dolar,” jelas mereka. “Pasaran telah menerima bahawa pihak ECB telah menetapkan nilai tertinggi untuk kadar faedah mereka, dan ini bermakna data dari Eurozone seharusnya tidak lagi relevan. Kita mungkin boleh lihat kadar EUR/USD naik semula pada hari ini [15 September], namun penurunan di sekitar 1.0600-1.0650 pada tarikh mesyuarat Rizab Persekutuan nanti amat tinggi kebarangkaliannya.".
Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 15 September, kedudukan pasangan ini benar-benar naik dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0660. 55% penganalisis bersetuju dengan pembetulan berterusan ke atas, manakala 45% lagi bersetuju dengan pendapat pakar ekonomi ING dan menjangkakan penurunan pasangan ini. Bagi analisis teknikal pula, hampir tiada sebarang perubahan daripada minggu lalu. Dalam kalangan indikator trend dan pengayun pada tempoh masa D1, 100% masih lagi memihak kepada mata wang A.S. dan berwarna merah. Namun, 25% daripada pengayun sudahpun memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan terdekat bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0620-1.0630, diikuti dengan 1.0515-1.0525, 1.0480, 1.0370, dan 1.0255. Bull akan berdepan rintangan di zon antara 1.0680-1.0700, kemudian 1.0745-1.0770, 1.0800, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985, dan 1.1045.
Minggu depan akan dipenuhi dengan pelbagai perkara. Pada hari Selasa, 19 September, data inflasi pengguna (CPI) di Eurozone akan dikeluarkan. Tidak dinafikan lagi, hari yang paling penting dalam minggu depan, malah mungkin paling dinantikan pada bulan ini adalah hari Rabu, 20 September, apabila mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan akan diadakan. Selain daripada keputusan mengenai kadar faedah, para pelabur menjangkakan akan menerima maklumat berguna daripada unjuran jangka panjang FOMC serta daripada pihak pengurusan Rizab Persekutuan semasa berlangsungnya sidang akhbar. Pada hari Khamis, 21 September, data tuntutan awal bagi manfaat pengangguran yang biasa akan dikeluarkan di Amerika Syarikat, beserta dengan kadar Indeks Aktiviti Pembuatan oleh Bank Rizab Persekutuan Philadelphia. Hari Jumaat menjanjikan kebanjiran statistik aktiviti perniagaan dengan penyiaran data PMI dari Jerman, di Eurozone dan juga di Amerika Syarikat.
GBP/USD: Menantikan Mesyuarat Bank of England
- Mengikut statistik terbaru, ekonomi di UK sedang berdepan dengan masa-masa yang sukar. Malah terdapat sesetengah penganalisis yang beremosi menjelaskan keadaannya adalah lebih teruk. Kadar pasangan GBP/USD terus susut akibat data KDNK negara yang mengecewakan. Mengikut kadar terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) pada hari Rabu, 13 September, ekonomi UK menguncup sebanyak -0.5% setiap bulan, berbanding penurunan sebanyak -0.2% yang diunjur.
Sehari sebelum itu, hari Selasa, pihak ONS mengeluarkan data berkenaan pasaran buruh yang sama mengecewakan. Kadar pengangguran sepanjang tiga bulan sehingga Julai naik kepada 4.3% berbanding jumlah untuk tempoh yang sama sebelum itu iaitu 4.2%. Kadar jawatan kosong turun sebanyak 207,000 pekerjaan, manakala ekonomi telah kehilangan pekerja sebanyak 66,000 sebulan sebelum itu. Unjuran konsensus pasaran adalah pengurangan sebanyak 185,000 pekerjaan.
Usaha Bank of England bagi membendung inflasi ternyata dilihat agak sederhana. Walaupun kadar pertumbuhan tahunan di UK susut daripada 7.9% kepada 6.8% (terendah sejak Februari 2022), kadar inflasinya masih lagi yang tertinggi dalam kalangan negara-negara G7. Lebih-lebih lagi, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) kekal tidak berubah daripada bulan sebelumnya iaitu 6.9% untuk tahun ke tahun, hanya 0.2% lebih rendah berbanding kadar tertinggi yang dicapai dua bulan lalu.
Sarah Briden, Timbalan Gabenor BoE percaya bahawa “risiko berdepan inflasi […] buat masa ini semakin bertambah,” dan ia hanya akan mencapai kadar sasaran 2% dua tahun daripada sekarang. Sementara itu, mengikut data kaji selidik suku tahunan, hanya 21% daripada keseluruhan populasi negara tersebut berpuas hati dengan tindakan Bank of England dalam mengawal pertumbuhan harga. Ini adalah jumlah terendah yang pernah direkodkan.
Penganalisis di Scotiabank Kanada percaya bahawa penurunan kadar GBP/USD boleh menuju ke paras 1.2100 dalam masa beberapa minggu lagi, dan menjadi lebih rendah pada paras 1.2000. Pakar ekonomi di bank Societe Generale Perancis memberikan pandangan yang sama. Menurut mereka, walaupun penurunan ke paras 1.1500 tidak mungkin berlaku, pasangan ini masih boleh turun ke paras 1.2000.
Pasangan GBP/USD ditutup pada paras 1.2382 pada minggu lalu. Unjuran median menunjukkan bahawa 50% penganalisis menjangkakan pembetulan pasangan ini ke atas, 35% pula menjangkakan penurunan lebih rendah ke bawah, dan baki 15% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Pada carta D1, 100% indikator trend dan pengayun adalah berwarna merah dengan 15% menunjukkan pasangan ini berada di zon lebihan jualan. Jika pasangan ini terus jatuh, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2300-1.2330, 1.2270, 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Jika pasangan ini mengalami pembetulan ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2440-1.2450, 1.2510, 1.2550-1.2575, 1.2600-1.2615, 1.2690-1.2710, 1.2760, dan 1.2800-1.2815.
Antara peristiwa penting yang berkaitan dengan ekonomi UK, penyiaran kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) pada hari Rabu, 20 September menjadi tumpuan. Indikator inflasi ini sudah pastinya akan memberi impak terhadap keputusan Bank of England berkenaan kadar faedah mereka (diunjur naik sebanyak 25 bp, daripada 5.25% kepada 5.50%). Mesyuarat BoE akan diadakan pada hari Khamis, 21 September. Selain itu, sebelum berakhirnya minggu bekerja, data jualan runcit serta kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) di UK akan dikeluarkan.
USD/JPY: Tiada Kejutan yang Boleh Dijangka Daripada Bank of Japan Lagi
- Sejak awal tahun ini, nilai yen sedikit demi sedikit susut berbanding dolar A.S., dan kadar USD/JPY kembali berada pada paras November 2022. Ketahuilah bahawa pada kedudukan inilah Bank of Japan (BoJ) memulakan campur tangan mata wang secara aktif setahun yang lalu. Namun, untuk tahun semasa, setakat ini pihak BoJ hanya melaksanakan campur tangan secara lisan saja, namun begitu denga nagak aktif: pegawai tertinggi kerajaan Jepun sering memberikan komen umum.
Dalam temubual bersama akhbar Yomiuri baru-baru ini, Gabenor BoJ iaitu Kazuo Ueda menyatakan bahawa pihak bank negara itu mungkin tidak lagi melaksanakan polisi kadar faedah negatif jika mereka mendapat sasaran inflasi 2% yang stabil telahpun dicapai. Menurut Ueda, setiap tahun, penggubal dasar itu akan menerima data yang mencukupi bagi menilai sama ada keadaan sudah bersedia untuk perubahan polisi atau tidak.
Campur tangan secara lisan ini memberikan impak: pasaran memberi respon dengan pengukuhan nilai yen. Namun, “keajaiban” itu hanyalah sementara, dan pasangan USD/JPY meneruskan trajektori ke atas tidak lama selepas itu, menutup dagangan lima hari pada paras 147.84.
Pakar ekonomi di Danske Bank percaya bahawa persekitaran global memihak kepada yen Jepun dan menjangkakan penurunan kadar USD/JPY ke paras 130.00 dalam tempoh 6-12 bulan akan datang. “Kami percaya perolehan bon di A.S. sudah berada di kemuncaknya atau hampir mencapainya, dan perkara itulah yang menjadi dasar kepada pendirian bearish kami terhadap USD/JPY,” jelas mereka. “Selain itu, mengikut keadaan ekonomi global sekarang di mana kadar pertumbuhan dan inflasi semakin menurun, sejarah menunjukkan bahawa inilah keadaan yang menguntungkan yen Jepun.” Danske Bank turut menjangkakan Amerika Syarikat akan mula mengalami kegawatan dalam masa dua suku tahun yang seterusnya, mendesak pihak Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah dolar. Sehingga Rizab Persekutuan menamatkan kitaran pelonggaran polisinya itu, Bank of Japan dijangka akan mengekalkan polisi kewangan mereka. Justeru, tiada sebarang tindakan yang mungkin diambil pihak BoJ sebelum tibanya enam bulan terakhir tahun 2024.
Bagi ramalan jangka pendek, Societe Generale tidak menolak tentang kemungkinan kedudukan USD/JPY mampu untuk berada hampir dengan paras 150.00 berikutan keputusan FOMC oleh pihak Rizab Persekutuan pada 20 September nanti. Untuk mesyuarat Bank of Japan pada hari Jumaat, 22 September pula, tiada sebarang kejutan dijangka, dan berkemungkinan ia akan melibatkan satu lagi campur tangan secara lisan. Sementara itu, majoriti penganalisis (80%) percaya bahawa jika kadar Rizab Persekutuan kekal tidak berubah, berkemungkinan besar pasangan USD/JPY akan mengalami pembetulan ke bawah. Hanya 10% daripada mereka menjangkakan pasangan ini akan meneruskan trajektori ke atas, dan 10% lagi berpendirian neutral. Semua indikator dan pengayun pada tempoh masa D1 berwarna hijau, walaupun 10% daripadanya memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian.
Sokongan paling hampir berada di zon 146.85-147.00, diikuti dengan 145.90-146.10, 145.30, 144.50, 143.75-144.05, 142.90-143.05, 142.20, 141.40-141.75, 140.60-140.75, 138.95-139.05, dan 137.25-137.50. Rintangan paling hampir berada pada paras 147.95-148.00, diikuti dengan 148.45, 148.85-149.10, 150.00, dan akhir sekali paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.90.
Kami sudahpun menyebut tentang mesyuarat Bank of Japan yang akan berlangsung pada 22 September nanti. Tiada sebarang data ekonomi melibatkan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Walau bagaimanapun, para pedagang harus sedar bahawa hari Isnin, 18 September adalah cuti umum di Jepun kerana negara itu menyambut Hari Menghormati Orang Tua.
MATA WANG KRIPTO: Persilangan Maut dan Paradoks Bitcoin
- Death Cross, atau “persilangan maut” yang menunjukkan garis purata pergerakan 50 hari dan 200 hari bersilang telah dapat dilihat pada carta harian bitcoin. Kali terakhir corak ini terhasil adalah pada pertengahan Januari 2022, kemudian diikuti pula dengan penurunan hampir tiga kali ganda nilai bitcoin pada bulan November selepas itu, dan perkara ini menimbulkan kebimbangan. Apa yang menarik adalah corak Death Cross yang hampir sama juga dapat dilihat pada Julai 2021, namun ia tidak mengakibatkan penurunan nilai, memberikan sedikit ruang kelegaan.
Keadaan di pasaran mata wang kripto pada minggu lalu adalah sangat meruap, dengan jumlah dagangan untuk mata wang kripto terkemuka itu mencecah $15 bilion. Jumlah aktiviti sebanyak itu biasanya hanya dapat dilihat apabila tarikh peristiwa makroekonomi penting hampir tiba. Dalam hal ini, peristiwa itu termasuklah penyiaran data inflasi di A.S. yang akan diketahui pada hari Rabu, 13 September, serta mesyuarat Rizab Persekutuan pada 20 September nanti.
Carta mingguan BTC/USD menunjukkan trend seperti berikut. Pada hari Isnin, 11 September, nilai bitcoin berada di bawah paras $25,000 walaupun dengan nilai dolar yang lemah serta pertumbuhan kadar indeks saham. Penurunan ini disebabkan oleh khabar angin yang tersebar mengenai kontroversi bursa FTX merancang untuk menjual aset digital sebagai sebahagian daripada langkah prosiding kebankrapan mereka. Pada hari Selasa, para pelabur meneruskan pembelian pada harga yang rendah, mendorong kepada kenaikan harga coin melebihi $26,500. Pada hari Khamis, berikutan keputusan ECB mengenai kadar faedah mereka, nilai bitcoin terus menjadi lebih kukuh, mencecah ketinggian $26,838. Perkara ini tetap berlaku walaupun dengan nilai dolar yang kukuh.
Pada hakikatnya, dinamik harga yang berlaku baru-baru ini adalah agak paradoks. Cuba bayangkan BTC/USD sebagai satu alat penimbang. Jika satu sisi menjadi lebih berat, sisi yang sama akan turun ke bawah dan sisi yang satu lagi akan ke atas. Namun, kita telah dapat saksikan kedua-dua sisi turun dan naik pada masa yang sama. Menurut sebilangan penganalisis, tiada sebarang sebab fundamental yang boleh menjelaskan pergerakan bitcoin seperti itu. Dengan kadar likuiditi yang rendah dan jumlah modal pasaran yang semakin menyusut, aset ini hanya “bergerak” sedikit daripada golongan spekulator kepada pihak yang lain.
Walaupun dengan testimoni Gary Gensler, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) A.S. di hadapan Senat A.S. tidak mengejutkan peserta pasaran. Beliau menyatakan bahawa kebanyakan mata wang kripto berada di bawah undang-undang agensinya. Sehubungan dengan itu, semua bank pengantara di pasaran, bursa, broker, para peniaga, dan agensi penjelasan perlu berdaftar dengan pihak SEC.
Gensler membandingkan keadaan industri kripto yang berlaku sekarang ini dengan zaman “wild west” pada awal kurun ke-20, ketika dasar bagi pasaran sekuriti masih lagi dibangunkan. Pada waktu itu, agensi berkenaan telah mengambil beberapa tindakan undang-undang yang ketat bagi mengekang industri, dan kebanyakan kes berjaya di bawah ke mahkamah. Tindakan serupa juga perlu diambil sekarang ini, bukan saja sebagai langkah pencegahan, malah juga bagi melindungi para pelabur, jelas Pengerusi SEC berkenaan. (Perlu dinyatakan di sini, menurut CEO Ripple iaitu Brad Garlinghouse, pihak SEC harus dipersalahkan kerana menjadikan A.S. sebagai salah satu “negara paling teruk” untuk melancarkan projek mata wang kripto.)
Namun selain daripada SEC, terdapat juga penggubal dasar lain seperti pihak Rizab Persekutuan. Jelas sekali bahawa keputusan dan unjuran yang akan dibuat oleh pihak Rizab Persekutuan pada 20 September nanti akan member kesan terhadap dinamik aset berisiko, termasuklah mata wang kripto. Mike McGlone, Pakar Strategi Kanan di Bloomberg Intelligence sudah pun memberikan amaran kepada para pelabur bahawa sektor kripto dilihat berdepan tempoh yang mencabar tidak lama lagi. Menurut beliau, aset digital meraih populariti semasa kadar faedah berada hampir dengan nilai sifar. Walau bagaimanapun, disebabkan peralihan polisi kewangan, cabaran boleh mula wujud dalam industri. McGlone merujuk kepada hasil bon Perbendaharaan A.S. yang dijangka akan mencecah kadar 5.45% menjelang bulan November nanti jika berdasarkan kepada kontrak depan. Sebaliknya, hasil perolehan ini hanyalah kira-kira 0.6% setahun antara 2011 dan 2021, tempoh di mana bitcoin dan lain-lain aset digital menunjukkan kadar pertumbuhan yang memberangsangkan. Justeru, adalah tidak mengejutkan jika likuiditi mengalir keluar daripada mata wang kripto.
Sekali lagi, kebanyakan penganalisis memberikan unjuran jangka sederhana dan jangka panjang yang positif, namun bukan untuk jangka masa pendek. Michael Van De Poppe, pengasas firma modal teroka Eight menjangkakan pembetulan harga yang terakhir akan berlaku sebelum lonjakan bull nilai mata wang kripto terkemuka ini pada masa hadapan. Menurut beliau, jika bear berjaya menembusi garis purata pergerakan eksponen yang kini berada pada paras $24,689, nilai coin ini boleh turun sehingga ke paras $23,000 jika mengikut senario paling teruk. Van De Poppe percaya pembetulan yang akan berlaku nanti adalah peluang terakhir untuk membeli bitcoin pada harga yang rendah.
Dan Gambardello, pengasas syarikat Cyrpto Capital Venture menjangkakan kitaran bull yang seterusnya boleh menjadi kenaikan paling menakjubkan dalam sejarah pasaran mata wang kripto. Namun, beliau juga mengingatkan pelabur bahawa pasaran kripto mengikuti kitaran dan kini dilihat sedang berada dalam kitaran fasa pengumpulan. Memandangkan perkara ini, Gambardello memberi amaran bahawa terdapat kemungkinan harga bitcoin boleh turun ke paras $21,000 dalam masa terdekat ini. Beliau menyatakan bahawa manipulasi pasaran oleh pelabur-pelabur besar menjadi punca kepada potensi penurunan ini kerana mereka ingin menurunkan harganya supaya dapat mengumpul lebih banyak coin dalam menunggu kitaran bull yang berikutnya.
Menurut penganalisis popular yang dikenali sebagai CrypNuevo, nilai mata wang kripto terunggul itu boleh mencecah paras $27,000 tidak lama lagi. Namun, penganalisis itu menekankan bahawa kenaikan ini mungkin adalah hanya sementara, dan penurunan ke paras $24,000 sepatutnya dijangka berlaku selepas itu. (Perlu diketahui bahawa pada 17 Ogos, harga BTC melepasi garis trend menaik yang bermula pada Disember 2022 dan berakhir di bawah paras itu, memberi petunjuk trend bearish berpanjangan sangat berisiko tinggi untuk berlaku.)
Untuk prospek jangka pendek berkenaan altcoin terkemuka, ia juga kedengaran tidak begitu optimis. Penganalisis di Matrixport telah memberikan amaran bahawa jika nilai ETH turun kepada $1,500, laluan untuk turun ke paras $1,000 akan terbuka luas: penganalisis menganggap paras itu sebagai wajar jika berdasarkan kepada unjuran pulangan untuk ekosistem blockchain Ethereum. Matrixport sedar bahawa ETH bukanlah “wang super selamat” yang berupaya untuk menentang inflasi kerana jumlah coin yang dihasilkan minggu lalu telah melebihi jumlah 4,000 yang dileburkan. Hal ini menunjukan percanggahan dalam model deflasi yang digunakan blockchain itu dengan peralihan algoritma konsensus Proof of Work (PoW) kepada Proof of Stake (PoS).
Penganalisis Benjamin Cowen menetapkan sasaran yang lebih rendah. Beliau mendakwa bahawa Ethereum sedang berada di ambang “kemeruapan yang sangat tinggi”, berpotensi untuk turun di antara $800 dan $400 menjelang akhir tahun ini. Puncanya masih lagi sama: penurunan kadar keuntungan yang mungkin berlaku pada platform blockchain yang menggunakan teknologi kontrak pintar ETH. Menurut Cowen, bull dan bear ETH “telah koyak dan gagal untuk melaksanakan strategi mereka” hingga mengakibatkan kedua-dua pihak mengalami kerugian menjelang akhir tahun 2023.
Dengan hanya tinggal tiga bulan setengah sebelum berakhirnya tahun ini, keadaan semasa di pasaran semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 15 September menunjukkan pasangan ETH/USD didagangkan di sekitar $1,620 manakala BTC/USD pula sebanyak $26,415. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah berjumlah $1.052 trilion, naik daripada $1.043 pada minggu lalu. Mata wang kripto terkemuka itu mengambil sebanyak 48.34% dalam pasaran, manakala bahagian altcoin utama pula adalah sebanyak 18.84%. Indeks Fear & Greed Kripto untuk bitcoin kekal di zon ‘Fear’ dengan bacaan 45 mata, walaupun begitu hampir dengan zon ‘Neutral’ (bacaannya adalah 46 mata pada minggu lalu).
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali