Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 02 - 06 Oktober, 2023

EUR/USD: Pembetulan Belum Menunjukkan Trend Pengunduran

  • Dinamik pasangan EUR/USD pada minggu lalu bukanlah satu pergerakan tipikal. Mengikut senario biasa, membendung inflasi berdasarkan keadaan ekonomi yang kukuh serta pasaran buruh yang sihat mendorong kepada kenaikan kadar faedah bank negara. Hal ini seterusnya akan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur serta mengukuhkan nilai mata wang negara. Namun, situasi yang berlaku kali ini ternyata agak berbeza.

    Data makroekonomi di A.S. yang dikeluarkan pada hari Khamis, 28 September menunjukkan kadar pertumbuhan KDNK yang kukuh untuk Q2 iaitu 2.1%. Jumlah tuntutan awal pengangguran adalah sebanyak 204K, tinggi sedikit berbanding jumlah bulan lalu iaitu 202K, tapi lebih rendah berbanding 215K yang diunjurkan. Sementara itu, jumlah keseluruhan penduduk yang menerima manfaat seperti itu adalah sebanyak 1.67 juta, rendah sedikit berbanding 1.675 juta yang diunjur.

    Data-data ini mencadangkan bahawa keadaan ekonomi dan pasaran buruh di A.S. kekal stabil, ia seharusnya akan mendorong pihak Rizab Persekutuan A.S. untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bp). Perlu diketahui bahawa Neil Kashkari, Presiden Bank Rizab Persekutuan Minneapolis baru-baru ini telah mengesahkan sokongan penuh beliau bagi kenaikan seperti itu kerana membendung inflasi yang tinggi terus menjadi objektif utama bank pusat tersebut. Jamie Dimon, CEO JPMorgan menyatakan dengan lebih tegas bahawa beliau tidak menolak sebarang kemungkinan untuk kenaikan kadar yang tinggi daripada 5.50% sekarang kepada 7.00%.

    Walau bagaimanapun, angka-angka dan unjuran-unjuran ini tidak menggembirakan peserta pasaran. Terutama sekali apabila ianya bertentangan dengan retorik yang diberikan oleh pegawai-pegawai Rizab Persekutuan. Sebagai contoh, Thomas Barkin, Presiden Bank Rizab Persekutuan Richmond tidak percaya bahawa kadar KDNK di A.S. akan terus mengalami pertumbuhan pada Q4. Beliau turut menekankan bahawa terdapat bermacam-macam pendapat mengenai kadar faedah pada masa hadapan dan masih tidak jelas lagi jika lebih banyak perubahan perlu dilaksanakan terhadap polisi kewangannya. Austin Goolsbee, Presiden Bank Rizab Persekutuan Chicago sedar bahawa sifat terlalu yakin dalam sikap bertolak ansur antara kadar inflasi dan juga pengangguran menimbulkan risiko terhadap kesilapan polisi.

    Kenyataan seperti itu telah mewujudkan sentimen bullish terhadap dolar. Di tengah-tengah keadaan tidak menentu dan bercanggah, hasil perolehan bon Perbendaharaan A.S. yang menyokong dolar susut daripada kadar tertingginya. Keadaan tidak menentu menyelubungi belanjawan persekutuan A.S. dan ancaman pembubaran kerajaan juga memberi tekanan kepada dolar. Disamping itu, tarikh 28 dan 29 September menandakan hari terakhir dagangan untuk Q3, dan setelah 11 minggu menunjukkan pertumbuhan, bull dolar mula menutup posisi long pada indeks DXY bagi mendapatkan pulangan.

    Bagi Eurozone, kadar inflasi mula menunjukkan penurunan yang jelas. Data awal menunjukkan pertumbuhan kadar tahunan Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jerman telah turun daripada 6.4% kepada 4.3%, mencecah kedudukan paling rendah sejak bermulanya serangan ketenteraman Rusia ke atas Ukraine. Kadar CPI di seluruh Eurozone juga turun - walaupun kadar sebelum ini adalah 5.3% dan diunjur sebanyak 4.8%, kadar itu susut kepada 4.5%.

    Penurunan kadar CPI ini telah mendorong kepada penjadualan semula jangkaan perubahan polisi dovish Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) dari Q3 2024 kepada Q2 2024. Lebih-lebih lagi, kebarangkalian untuk kenaikan kadar faedah yang baru telah turun dengan mendadak. Secara teori, keadaan ini sepatutnya melemahkan nilai euro. Namun, kebimbangan terhadap nasib dolar terbukti lebih memberi banya kesan, dan setelah kedudukannya mula naik daripada paras 1.0487, pasangan EUR/USD bergerak ke atas, mencecah ketinggian 1.0609.

    Menurut penganalisis di Commerzbank Jerman, sesetengah pedagang berasa tidak puas hati dengan kedudukan di bawah 1.0500, justeru data makro dan juga kenyataan para pegawai Rizab Persekutuan tidak akan dapat memberi sebarang pengaruh besar terhadapnya. Namun, perubahan arah pergerakan tidak memberi petunjuk bahawa trend akan berubah mahu pun pengakhiran lonjakan nilai dolar sepenuhnya. Penganalisis Commerzbank percaya bahawa disebabkan pasaran benar-benar telah menjangkakan bermulanya pemulihan ekonomi A.S., dolar mungkin memberikan reaksi yang agak teruk terhadap data yang tidak selari dengan jangkaan tersebut.

    Penganalisis di Bank MUFG turut percaya bahawa zon 1.0500 akhirnya menjadi paras sokongan kukuh yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan arah trend. Walau bagaimanapun, pada pandangan pakar ekonomi bank itu, pembetulan yang berlaku adalah teknikal semata-mata dan mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

    Pada hari Jumaat, 29 September, pedagang menunggu penyiaran kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) di A.S., salah satu indikator penting. Untuk tahun ke tahun, kadarnya adalah 3.9%, benar-benar menepati ramalan (kadar sebelum ini adalah 4.3%). Pasaran memberikan reaksi dengan menambah sedikit kadar turun naik, dan selepas itu pasangan EUR/USD menutup dagangan mingguan, bulanan, dan suku tahunan pada paras 1.0573. Pakar strategi di Wells Fargo, salah sebuah bank “empat terbesar” di A.S. percaya bahawa kadar metrik di Eropah yang lebih rendah berbanding di A.S. seharusnya akan memberi tekanan ke bawah yang lebih besar terhadap euro. Mereka juga percaya Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) sudah pun menamatkan kitaran pengetatan polisi kewangan mereka, dan disebabkan itu kedudukan pasangan tersebut mungkin akan turun ke paras 1.0200 menjelang awal tahun 2024.

    Beralih daripada unjuran jangka sederhana kepada jangka pendek, pada malam 29 September, pendapat para penganalisis terbahagi sama rata pada tiga kategori: satu pertiga daripada mereka menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh dan kadar EUR/USD menjadi susut, satu pertiga lagi menjangkakan pembetulan ke atas, manakala satu pertiga lagi berpendirian neutral. Bagi analisis teknikal, majoriti 90% daripada kedua-dua indikator trend dan juga pengayun pada carta D1 masih lagi bersetuju dengan pengukuhan nilai dolar A.S. dan berwarna merah. Hanya 10% yang bersetuju dengan euro. Paras sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0560, diikuti dengan 1.0490-1.0525, 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0620-1.0630, kemudian 1.0670-1.0700, diikuti pula dengan 1.0745-1.0770, 1.0800, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985, dan 1.1045.

    Penyiaran data yang berkaitan dengan pasaran buruh A.S. dijangka akan dibuat sepanjang minggu dari 3 Oktober sehingga 6 Oktober. Kemuncak minggu hadapan adalah pada hari Jumaat, 6 Oktober apabila indikator penting, termasuklah kadar pengangguran serta nilai Gaji Bukan Ladang (NFP) akan dikeluarkan. Pada awal minggu, lebih tepat lagi pada hari Isnin, 2 Oktober, petunjuk untuk kadar aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan akan diketahui. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell juga dijadual akan memberi ucapan pada hari itu. Pada hari Rabu, 4 Oktober, maklumat mengenai tahap aktiviti perniagaan di A.S. dalam sektor perkhidmatan serta kadar jualan runcit di Eurozone akan diketahui umum.

GBP/USD: Tiada Pendorong Bagi Pertumbuhan Nilai Pound

  • Mengikut data terkini yang dikeluarkan Jabatan Statistik Kebangsaan UK, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara itu naik sebanyak 0.6% untuk tahun ke tahun pada Q2, lebih tinggi berbanding 0.4% yang diunjur serta naik daripada kadar 0.5% pada suku tahun sebelum ini. Sementara trend positif ini semestinya menggembirakan, kadar pertumbuhan sebanyak 0.6% di UK adalah 3.5 ganda lebih rendah berbanding kadar yang sama di Amerika Syarikat, iaitu 2.1%. Justeru, sebarang komen yang menyatakan ekonominya semakin baik adalah tidak berasas.

    Pakar strategi di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda percaya bahawa pertumbuhan kadar GBP/USD pada dua hari terakhir minggu lalu adalah semata-mata kerana pembetulan yang dialami dolar A.S. Menurut mereka, tiada sebarang pemangkin ketara di United Kingdom yang dapat mewajarkan kenaikan berterusan nilai mata wang British pada ketika ini.

    Penganalisis di UOB Group menjangkakan pergerakan kadar GBP/USD boleh turun dan naik dalam julat yang agak luas antara 1.2100-1.2380 untuk 1-3 minggu akan datang. Namun, pakar strategi Wells Fargo menjangkakan kadar pasangan ini akan terus susut, mencecah zon 1.1600 pada awal tahun 2024, kedudukan dagangan terakhir pada November 2022. Kebarangkalian untuk penurunan itu berlaku disahkan oleh isyarat daripada Bank of England yang mencadangkan bahawa kadar faedah ke atas pound mungkin sudah tiba di kemuncaknya.

    Pasangan GBP/USD ditutup pada paras 1.2202 pada minggu lalu. Pendapat para penganalisis terhadap masa depan pasangan ini untuk jangka masa pendek adalah bercampur-campur, tidak memberi petunjuk jelas: 40% berada dalam golongan bullish, 40% lagi adalah bearish, dan baki 20% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan indikator trend dan pengayun pada carta harian (D1), 90% berwarna merah, manakala 10% lagi berwarna hijau. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2120-1.2145, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Sebaliknya, jika kedudukan pasangan ini naik, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2270, 1.2330, 1.2440-1.2450, 1.2510, 1.2550-1.2575, 1.2600-1.2615, 1.2690-1.2710, 1.2760, dan 1.2800-1.2815.

    Tiada sebarang peristiwa berkaitan ekonomi United Kingdom yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

USD/JPY: Menunggu Paras 150.00 Ditembusi

  • “Langkah-langkah bersesuaian akan diambil bagi menghalang pergerakan kadar mata wang yang melampau, tidak menolak mana-mana cara,” “Kami memantau kadar tukaran mata wang dengan teliti”. Adakah ayat-ayat ini biasa kedengaran? Memang benar, ia biasa didengari: ini adalah skrip daripada satu lagi campur tangan mata wang yang dibuat oleh Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki pada hari Jumaat, 29 September. Beliau menambah bahawa “pihak kerajaan tidak menetapkan sebarang sasaran buat yen Jepun yang boleh dijadikan sebagai pencetus bagi campur tangan mata wang."

    Sesiapa juga boleh bersetuju dengan kenyataan terakhir beliau, terutama sekali setelah mempertimbangkan kadar USD/JPY mencecah paras 149.70 pada minggu lalu, kedudukan yang dicapai kali terakhir pada Oktober 2022. Lebih-lebih lagi, di tengah-tengah penjualan bon berskala besar di peringkat global, Bank of Japan mengambil tindakan untuk membendung jumlah hasil perolehan bon 10 tahun JGB serta mengumumkan operasi pembelian bon-bon tersebut yang tidak dirancang pada 29 September. Dalam senario seperti itu, jika bukan disebabkan oleh pembetulan nilai dolar di seluruh dunia, berkemungkinan besar operasi ini mungkin dapat mendorong pasangan USD/JPY menembusi paras 150.00.

    Seperti yang telah kami maklumkan sebelum ini, menurut kebanyakan penganalisis, penjualan dolar mungkin adalah berkait dengan pengambilan untung pada hari terakhir minggu, bulan, dan sukuan tahun. Justeru, trend ini mungkin akan hilang tidak lama lagi, menyebabkan penembusan ke paras 150.00 tidak dapat dielakkan lag.

    Bolehkan kadar 150.00 menjadi “nombor magik” yang akan mendesak pihak berkuasa kewangan Jepun untuk memulakan campur tangan mata wang? Paling tidak pun, peserta pasaran melihat kedudukan tersebut sebagai potensi pemangkin bagi campur tangan itu. Semua ini adalah perkara yang masuk akal memandangkan keadaan indikator ekonomi semasa. Kadar keluaran industri kekal tidak berubah pada bulan Ogos jika dibandingkan dengan bulan Julai, manakala kadar teras inflasi di ibu negara Jepun pula mula turun dengan perlahan pada bulan September untuk tiga bulan berturut-turut. Melihat kepada keadaan-keadaan ini, pakar ekonomi di Mizuho Securities percaya bahawa walaupun campur tangan mata wang mungkin memberikan kesan yang kecil, “pihak kerajaan tidak akan rugi apa-apa secara politik dengan menunjukkan kepada umum bahawa mereka memandang serius kenaikan mendadak harga import yang disebabkan oleh nilai yen yang lemah.".

    Dagangan USD/JPY ditutup pada paras 149.32 minggu lalu. Majoriti penganalisis (60%) menjangkakan pembetulan ke bawah untuk pasangan USD/JPY, malah nilai yen yang mungkin lebih kukuh akibat campur tangan mata wang. Sementara itu, 20% menjangkakan pasangan ini akan terus mengikuti trajektori ke atas, manakala 20% lagi berpendirian neutral. Pada tempoh masa D1, kesemua indikator trend dan pengayun adalah berwarna hijau; namun, 10% daripada pengayun sudah memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Paras sokongan paling hampir terletak pada kedudukan 149.15, diikuti dengan 148.45, 147.95-148.05, 146.85-147.25, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, 142.20, 140.60-140.75, 138.95-139.05, dan 137.25-137.50. Rintangan paling hampir terletak pada paras 149.70-150.00, diikuti dengan 150.40, 151.90 (paras tertinggi bulan Oktober 2022), dan 153.15.

    Selain daripada penyiaran kadar Indeks Pengilang-Pengilang Besar Tankan untuk Q3 pada 2 Oktober, tiada sebarang data ekonomi penting lain yang berkait dengan keadaan ekonomi di Jepun yang akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Berharap Pada Pengurangan Penghasilan dan Hari Halloween  

  • Pada permulaan minggu lalu, pasangan BTC/USD mengalami trend penurunan, menyerah kalah dengan nilai dolar A.S. yang menjadi lebih kukuh. Namun, pasangan itu berjaya mengekalkan kedudukannya di zon $26,000, dan selepas itu dinamik pergerakannya berubah: kadar Indeks Dolar (DXY) mula susut, memberi peluang kepada bull untuk menolak kedudukan pasangan ini ke paras sokongan/rintangan di sekitar $27,000.

    Jelaslah bahawa polisi kewangan Rizab Persekutuan yang lebih ketat akan terus memberi tekanan khususnya kepada bitcoin, serta pada pasaran mata wang kripto secara umumnya. Sementara penggubal dasar A.S. lebih bersetuju untuk tidak menaikkan kadar pembiayaan mereka pada penghujung bulan September, perkara itu pada hakikatnya tidak menolak kemungkinan kenaikan akan dilaksanakan pada masa hadapan. Keadaan tidak menentu di pasaran diburukkan lagi dengan kelulusan yang belum diberi pihak SEC terhadap permohonan ETF spot bitcoin.

    Mark Yusko, CEO Morgan Creek Capital percaya bahawa keputusan SEC yang memihak kepada permohonan itu boleh mencetuskan aliran masuk pelaburan sebanyak $300 bilion. Dalam senario seperti itu, jumlah keseluruhan modal pasaran dan juga nilai coin akan naik dengan mendadak.

    Namun, kata kuncinya di sini adalah “jika”. Anthony Scaramucci, pengasas SkyBridge Capital turut maklum dengan kewujudan “penghalang” bagi bitcoin dalam bentuk kadar faedah yang tinggi oleh Rizab Persekutuan serta tentangan oleh Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler semasa ditemui pada Persidangan Messari Mainnet di New York. Namun begitu, pelabur serta bekas pegawai White House ini yakin bahawa bitcoin memberi prospek lebih besar berbanding emas. Jika permohonan ETF bitcoin akhirnya diluluskan, ia akan menyebabkan penerimaan aset digital yang lebih meluas. Scaramucci percaya bahawa perkara buruk sudah pun berlalu dalam pasaran bear sekarang ini. “Jika anda memiliki bitcoin, saya tidak syor untuk menjualnya. Anda telah berjaya mengharungi cabaran. […] 10-20 tahun akan datang akan benar-benar bullish,” jelas beliau. Menurut ahli kewangan itu, generasi muda akan membawa mata wang kripto pertama itu masuk ke dalam arus perdana, sama seperti yang berlaku terhadap internet.

    Di tengah-tengah keadaan tak menentu yang menyelubungi keputusan Rizab Persekutuan dan juga SEC, harapan utama bagi pertumbuhan pasaran kripto terletak pada pelaksanaan pengurangan penghasilan berikutnya yang dijadualkan pada bulan April 2024. Perkara ini hampir pasti akan berlaku. Namun, terdapat pelbagai pandangan yang diberikan di sini. Sebilangan penganalisis menjangkakan nilai bitcoin akan jatuh sebelum penghasilannya dikurangkan.

    Seorang penganalisis yang dikenali sebagai Rekt Capital membandingkan situasi pasaran sekarang dengan dinamik harga BTC pada tahun 2020 dan membuat spekulasi bahawa nilai coin ini akan jatuh ke dalam segi tiga penurunan, berpotensi untuk berada pada paras paling rendah iaitu $19,082.

    Pedagang terkenal Bluntz yang menjangkakan dengan tepat penurunan berpanjangan bitcoin semasa trend bear pada tahun 2018 turut menjangkakan trajektori ke bawah akan terus berlaku. Beliau berasa ragu-ragu dengan hakikat bahawa aset ini telah mencapai paras terendahnya kerana bentuk segi tiga menurun yang terhasil pada carta dilihat tidak sempurna. Sehubungan itu, Bluntz menjangkakan bahawa nilai bitcoin boleh susut di sekitar paras $23,800, dan seterusnya menyelesaikan tiga gelombang pembetulan berturut-turut.

    Benjamin Cowen, seorang lagi penganalisis terkenal juga memberi pendapat yang bersifat bearish. Beliau percaya bahawa nilai BTC boleh jatuh ke paras $23,000. Dasar kepada unjuran Cowen itu adalah corak sebelum ini yang mencadangkan bahawa nilai mata wang kripto terkemuka itu biasanya akan jatuh dengan teruk sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan. Menurut Cowen, kitaran sebelum ini menunjukkan bahawa BTC dan lain-lain mata wang kripto tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam tempoh sebelum perkara penting itu dilaksanakan.

    Jika nilai aset digital itu turun, pelaksanaan pengurangan penghasilan akan datang ini boleh membawa bencana kewangan kepada kebanyakan penghasil, terdapat sesetengah daripada mereka yang sudah berdepan tekanan mencabar yang sama antara tahun 2021-2022. Buat masa ini, para penghasil beroperasi dalam margin yang kecil. Sekarang, 96% daripada blok pulangan yang diperoleh mereka adalah keuntungan, manakala hanya 4% saja untuk fi transaksi. Pengurangan pelaksanaan akan mengurangkan blok pulangan kepada separuh, dan jika pemotongan ini tidak menaikkan nilai coin, ia boleh mengakibatkan malapetaka kewangan kepada kebanyakan operator.

    Sesetengah syarikat telah mula menyambungkan secara terus ladang penghasilan mereka dengan stesen jana kuasa nuklear, tidak lagi menggunakan rangkaian pengedaran, manakala yang lain pula menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui. Namun, tidak semua memiliki pilihan seperti itu. Mengikut Glassnode, kos purata mengikut industri bagi menghasilkan satu bitcoin buat masa ini adalah berjumlah $24,000, walaupun nilai ini tidak sama jika mengikut negara-negara berlainan. Data CoinGecko menunjukkan kos penghasilan paling rendah adalah di negara Lebanon ($266), Iran ($532), dan Syria ($1,330). Sebaliknya, disebabkan kos elektrik yang sangat tinggi, kos penghasilan di A.S. melonjak kepada $46,280. Jika nilai bitcoin atau fi rangkaian tidak naik dengan ketara menjelang tempoh pelaksanaan pengurangan penghasilan, gelombang muflis mungkin berlaku.

    Adakah ini satu perkembangan yang baik atau tidak? Kebankrapan berskala besar boleh mengakibatkan penurunan penghasilan coin yang baru, mewujudkan defisit bekalan, dan akhir sekali menolak nilainya ke atas. Sekarang ini, rizab yang ada dalam bursa kripto sudah pun berkurang menjadi 2 juta BTC, hampir mencecah jumlah paling rendah dalam tempoh enam tahun. Peserta pasaran lebih gemar untuk menyimpan pemilikan mereka di dalam storan luar, menjangkakan lonjakan nilai pada masa hadapan.

    Firma penyelidikan Fundstrat telah membuat spekulasi bahawa berlatarbelakangkan pelaksanaan pengurangan penghasilan, nilai BTC boleh melonjak naik lebih daripada 500% daripada nilai sekarang, mencecah $180,000. Syarikat kewangan Standard Chartered mengunjurkan nilai mata wang kripto terkemuka itu boleh naik kepada $50,000 pada tahun ini dan $120,000 menjelang akhir tahun 2024. Carta Bitcoin Rainbow yang dihasilkan oleh Blockchain Center juga mengesyorkan untuk membuat pembelian; sebut harga BTC/USD pada carta menunjukkan ia berada di zon rendah buat masa ini, mencadangkan arah pergerakan akan berubah tidak lama lagi.

    Menurut Michael Saylor selaku CEO MicroStrategy, kewujudan penetapan jumlah bekalan bitcoin yang dihadkan kepada 21 juta coin menjadikannya sebagai satu aset terbaik bagi mengekalkan serta menambah nilai modal. Hartawan itu membandingkan kadar susut mata wang fiat dengan dinamik inflasi. Beliau mempertikaikan bahawa nilai simpanan seseorang individu itu boleh berkurang jika disimpan dalam mata wang tradisional, memetik sejak 100 tahun lalu, jumlah dana yang disimpan dalam dolar A.S. telah pun susut 99% daripada nilainya.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 29 September, kadar BTC/USD tidak turun ke paras $19,000 mahupun naik ke paras $180,000. Buat masa ini ia didagangkan pada kadar $26,850. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $1.075 trilion, naik daripada $1.053 trilion pada minggu lalu. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik sebanyak 5 mata, beralih daripada 43 mata kepada 48 mata, bergerak dari zon ‘Fear’ ke zon ‘Neutral’.

    Sebagai kesimpulan, kami berikan unjuran untuk bulan hadapan. Penganalisis sekali lagi telah meminta bantuan kepintaran buatan, kali ini meramal nilai mata wang kripto terunggul itu pada hari Halloween (31 Oktober). AI oleh CoinCodex menjangkakan nilai bitcoin akan bertambah menjelang tarikh itu, mencecah kedudukan $29,703.

    Menariknya, terdapat istilah dalam pasaran kripto yang dikenali sebagai “Uptober”. Ia berasal daripada idea bahawa setiap bulan Oktober, nilai bitcoin akan naik dengan ketara. Melihat pada kadar tahun 2021, bitcoin didagangkan menghampiri nilai $61,300 pada 31 Oktober, menunjukkan pertumbuhan lebih daripada 344% berbanding tahun 2020. Fenomena ini masih relevan walaupun pada tahun lalu, 2022, berikutan keruntuhan bursa FTX yang berprofil tinggi. Pada 1 Oktober, 2022, aset ini didagangkan pada kadar $19,300, namun menjelang 31 Oktober, nilai coin mencecah paras $21,000. Kita tunggu apa yang menanti pada kali ini.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.