Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 23 - 27 Oktober, 2023

EUR/USD: Tiada Kenaikan Kadar Faedah oleh Rizab Persekutuan dan ECB dalam Masa Terdekat Ini?

  • Sejak hari-hari terakhir bulan September, Indeks Dolar A.S. (DXY) telah didagangkan dalam saluran mendatar. Data makroekonomi yang dikeluarkan pada minggu lalu tidak memberi kelebihan yang jelas sama ada kepada mata wang A.S. mahupun Eropah. Pada hari Selasa, 17 Oktober, data jualan runcit dikeluarkan, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7% dalam masa sebulan. Walaupun kenaikan ini adalah lebih rendah berbanding 0.8% pada bulan sebelumnya, ianya lebih tinggi berbanding jangkaan purata pasaran secara substansial iaitu 0.3%. Pada hari yang sama, Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Eurozone juga turut diketahui, berjaya mencapai kedudukan lebih baik berbanding jangkaan dengan bacaan 2.3, jauh lebih baik berbanding -8 yang diunjur, dan menunjukkan perubahan sepenuhnya daripada bacaan negatif sebelum ini iaitu -8.9.

    Hari Rabu, 18 Oktober, data inflasi pengguna yang dinilai semula di Eurozone telah diketahui. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk bulan September menyamai kadar yang diunjur dan akhirnya dinilai pada kadar 4.3% untuk tahun ke tahun (YoY), berbanding 5.2% pada bulan sebelumnya. Pada hari Khamis, 19 Oktober, jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di A.S. adalah sebanyak 198K, lebih baik berbanding jangkaan dengan jumlah lebih rendah daripada 211K pada bulan sebelum itu serta 212K yang diunjur pasaran.

    Melihat dengan sudut pandangan yang lebih luas, kami mendapati ekonomi A.S. sedang mengalami pertumbuhan kadar KDNK serta jumlah tenaga buruh yang kukuh, penurunan kadar inflasi, pertambahan aktiviti pengguna, dan keadaan pasaran hartanah yang kekal stabil walaupun dengan kenaikan kadar gadai janji. Kesemua faktor-faktor ini menunjukkan kesesuaian untuk satu lagi kenaikan kadar faedah yang seharusnya akan menolak lebih tinggi kadar DXY. Namun, berdasarkan kepada kenyataan para pegawai Rizab Persekutuan, kenaikan kadar dilihat mungkin tidak akan dilaksanakan pada mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) yang seterusnya pada 1 November nanti.

    Khususnya, Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia iaitu Patrick Harker yang menyatakan bahawa tekanan ekonomi seharusnya tidak wujud dengan kenaikan kos pinjaman. Turut sama mengikuti sentimen Harker adalah Lorie Logan, Presiden Bank Rizab Persekutuan Dallas yang sedia maklum walaupun “perkembangan dalam membendung inflasi yang diingini boleh dilihat sekarang, kadarnya masih lagi tinggi”. Beliau menambah lagi bahawa “ekonomi terus menunjukkan prestasi yang menakjubkan, manakala pasaran buruh pula terus kukuh”, tetapi “Rizab Persekutuan masih memerlukan masa untuk memantau keadaan ekonomi dan juga pasaran sebelum membuat sebarang keputusan terhadap polisi kewangan mereka.".

    Ucapan yang disampaikan Jerome Powell di New York Economic Club pada hari Khamis, 19 Oktober tidak menepati jangkaan golongan hawkish dolar, menyebabkan kadar EUR/USD naik lebih tinggi daripada 1.0615. Menurut pakar ekonomi di Rabobank, Pengerusi Rizab Persekutuan itu cuba untuk membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk mana-mana pilihan namun masih mengekalkan pendirian neutral. Rabobank percaya bahawa indikator ekonomi di A.S. mungkin akan mengekalkan kemungkinan kenaikan lebih tinggi kadar faedah. Walau bagaimanapun, dengan tempoh kurang seminggu setengah sebelum berlangsungnya mesyuarat FOMC, “dinamik neutral yang ada sekarang tidak menunjukkan sebarang petanda kadar faedah akan dinaikkan pada 1 November”. Namun begitu, pakar ekonomi di bank berkenaan masih menjangkakan “pasaran bon akan mengambil tugas Rizab Persekutuan, menyebabkan kelewatan dalam menaikkan kadar faedah. Walau bagaimanapun, jika data ekonomi masih lagi kukuh, pihak FOMC mungkin akhirnya perlu meneruskan kitaran kenaikan kadar faedah pada satu ketika nanti."

    Penganalisis di kumpulan perbankan terbesar Belanda iaitu ING berpendapat bahawa sementara komen Pengerusi Rizab Persekutuan dianggap sebagai dovish sehingga menyebabkan nilai mata wang A.S. menjadi sedikit lemah, dolar dilihat lebih cenderung untuk mengukuhkan nilainya dalam jangka masa pendek dan bukan menjadi lebih susut. Pakar ekonomi di Commerzbank Jerman mengkategorikan mood yang lebih bersifat hawkish dan bukannya dovish dalam kalangan pegawai Rizab Persekutuan. Mereka juga dapat melihat kebarangkalian kecil untuk satu lagi kenaikan kadar jika mengikut keadaan sekarang. “Memang benar, kadar faedah Rizab Persekutuan dilihat telah berada di kemuncaknya, walaupun Jerome Powelll tidak menolak tentang kemungkinan satu lagi kenaikan akan dilaksanakan bergantung kepada data pada masa hadapan. Namun, buat masa ini polisi kewangan memainkan peranan kedua dalam pasaran. Risiko geopolitik telah menjadi faktor utama, dan dolar terus menjadi pilihan sebagai mata wang selamat,” komen mereka. Penganalisis bank itu menjangkakan bahawa walaupun dolar mungkin berdepan cabaran untuk terus mengukuhkan nilainya dalam senario seperti itu, sokongan boleh didapati daripada harga minyak yang tinggi.

    Di Societe Generale Perancis, mereka percaya bahawa “naratif mengenai kadar faedah jangka masa panjang yang lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan dan juga ECB menunjukkan kepada nilai euro yang lama-kelamaan menjadi lebih susut”. Menurut penganalisis bank itu, “data dari Eurozone tidak begitu meyakinkan, dan unjuran kadar pertumbuhan antara A.S. dan Eurozone yang berbeza mencadangkan bahawa pergerakan sedikit demi sedikit menuju kesetaraan [1.000] dilihat mungkin berlaku, namun bukan lebih rendah daripada itu.".

    Semasa ulasan ini dibuat, EUR/USD terbukti masih belum mencapai kesetaraan dan mengakhiri minggu lalu pada paras 1.0593. Pendapat para penganalisis untuk minggu depan adalah seperti berikut: 50% bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, 35% menjangkakan trend pertumbuhan pasangan ini, manakala 15% lagi mengambil pendirian neutral.

    Beralih kepada analisis teknikal, latar belakangnya juga bercampur-campur. Dalam kalangan indikator trend pada carta D1, nisbahnya adalah 1:1: 50% memihak kepada warna merah (bearish) dan 50% lagi memihak kepada warna hijau (bullish). Pengayun menunjukkan 40% menyebelahi mata wang Eropah, 15% memihak kepada dolar, dan baki 45% berpendirian neutral. Paras sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0550, diikuti dengan 1.0485-1.0510, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di zon antara 1.0600-1.0620, kemudian pada paras 1.0670-1.0700, 1.0740-1.0770, 1.0800, 1.0865, dan 1.0945-1.0975.

    Minggu depan menjanjikan keadaan yang sangat meriah. Data Kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam pelbagai sektor ekonomi di Jerman, Eurozone dan A.S. akan dikeluarkan pada hari Selasa, 24 Oktober. Keesokan harinya, 25 Oktober, data pasaran hartanah di A.S. pula akan diketahui, bersama-sama dengan komen Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell. Hari Khamis, Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) akan mengadakan mesyuarat di mana ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir dijangka akan membuat keputusan mengenai kadar faedah euro. Jika mengikut jangkaan konsensus, kadarnya mungkin akan kekal pada paras 4.50%. Lebih penting lagi, bukan keputusan itu saja yang perlu diberi tumpuan, malah kenyataan serta komen-komen barisan kepimpinan ECB yang dibuat selepas itu juga adalah penting. Pada hari yang sama, A.S. akan mengeluarkan data pesanan barangan modal tahan lama serta kadar awal KDNK untuk Q3 tahun ini. Minggu dagangan akan diakhiri dengan penyiaran data perbelanjaan penggunaan peribadi di A.S. pada 27 Oktober.

GBP/USD: Adakah Kadar BoE Juga Kekal Tidak Akan Berubah?

  • Pada awal bulan ini, lebih tepat lagi pada 4 Oktober, pasangan GBP/USD mengalami trend ke atas, bergerak dari paras 1.2037 dan mencapai paras 1.2337 dalam tempoh seminggu. Namun, rintangan yang berada di sekitar zon 1.2320 serta garis trend yang jelas kelihatan pada tempoh masa D1 dan W1 menghalang momentum bullish, menolak pasangan ini turun ke bawah semula. Akibatnya, mata wang British telah susut nilai kira-kira 75% berbanding dolar sejak pertengahan bulan Julai. Faktor yang menjadi pendorong kepada penurunan ini bukan hanya disebabkan oleh analisis teknikal tetapi juga landskap geopolitik serta ekonomi yang berlaku.

    Di tengah-tengah ketegangan yang berlaku di Timur Tengah dan juga konflik ketenteraan antara Israel dan Hamas yang semakin memuncak, para pelabur mengalihkan tumpuan mereka kepada dolar, melihat mata wang itu sebagai mata wang selamat. Menjadi kebiasaan, kenaikan kos komoditi sumber tenaga juga akan memberi kesan kepada harga barangan di United Kingdom, dan perkara ini sudah pastinya akan memberi tekanan terhadap ekonomi negara itu dan juga mata wang mereka yang sering dianggap sebagai aset berisiko oleh para pelabur.

    Perlu diketahui bahawa pada awal tahun ini, para penganalisis menjangkakan United Kingdom akan mengalami kegawatan. Setakat ini, jangkaan-jangkaan itu masih belum menjadi kenyataan, walaupun keadaan ekonominya sudah berada di hujung tanduk dengan pertumbuhan KDNK tahunannya berada pada kadar 0.6% (berbanding 2.1% di Amerika Syarikat). Situasi ini boleh menjadi lebih teruk menjelang hujung tahun kerana harga sumber tenaga yang tinggi sementara menantikan tibanya musim sejuk mampu menaikkan lagi kadar inflasi. Penurunan kadar inflasi di negara itu dilihat sudah pun terbantut, dan Indeks Harga Pengguna (CPI) berada pada kadar antara 6.8-6.7% untuk tahun ke tahun bagi tiga bulan berturut-turut.

    Dalam senario seperti itu, Bank of England (BoE) mungkin akan memilih untuk memfokuskan kepada menyokong ekonomi negara itu berbanding membendung inflasi. Walaupun sesetengah wakil bank-bank negara telah menyatakan bahawa isu mengenai kenaikan kadar faedah masih lagi terbuka, temu bual Belfast Telegraph bersama Gabenor BoE iaitu Andrew Bailey baru-baru ini dilihat bersifat agak dovish, meneutralkan kesan komen Jerome Powell yang hampir sama dovish. Bailey menyatakan bahawa beliau menjangkakan “penurunan ketara” kadar inflasi beberapa bulan akan datang. “Melihat data inflasi untuk bulan September, kami boleh katakan kadar inflasi teras telah menjadi lebih rendah sedikit berbanding jangkaan kami, ia sesuatu yang menggalakkan,” tambah Bailey lagi, menyebabkan kedudukan GBP/USD turun sedikit ke bawah.

    Tekanan yang dihadapi pound turut didesak oleh data jualan runcit UK yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 20 Oktober. Menurut Jabatan Statistik Negara, jualan runcit susut sebanyak -0.9% untuk bulan ke bulan pada bulan September, kadar yang sangat rendah berbanding -0.1% yang diunjur dan kadar bulan lalu iaitu 0.4%.

    Buat masa ini, situasi yang dialami pound masih lagi merumitkan. Masih tidak jelas bagaimana reaksi yang akan diberi pihak BoE terhadap data yang baru dikeluarkan. Berkemungkinan besar, bank negara itu akan mengambil pendekatan “doa yang baik-baik saja” sehinggalah berlangsungnya mesyuarat pada 2 November nanti. Sementara itu, penganalisis dari Bank of America, Deutsche Bank, Goldman Sachs, dan RBC bersetuju sepenuhnya bahawa kitaran kenaikan kadar faedah di United Kingdom mungkin sudah tiba di penghujungnya. Paling tidak, kemungkinan untuk kadar faedahnya dinaikkan pada mesyuarat BoE yang akan datang dianggar kurang daripada 50%.

    Paras terendah mingguan bagi GBP/USD direkodkan pada paras 1.2089, manakala minggu lalu pasangan ini ditutup pada paras 1.2163. Apabila ditanya mengenai prospek pasangan ini untuk minggu hadapan, 40% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan. Walau bagaimanapun, majoriti (60%) percaya bahawa pasangan ini akan terus bergerak menuju paras 1.2000 yang disasarkan. Pada tempoh masa D1, indikator trend sebulat suara (100%) menunjukkan penurunan, dan berwarna merah. Pengayun pula tidak begitu tegas: 65% menunjukkan penurunan, 15% memberi isyarat pertumbuhan, dan baki 20% lagi kekal neutral.

    Untuk zon dan paras sokongan, jika pasangan ini terus bergerak ke bawah, ia akan menerimanya pada paras 1.2085-1.2130, 1.2040, 1.1960, dan 1.1800. Sebaliknya, jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2190-1.2215, 1.2270, 1.2330, 1.2450, 1.2510, 1.2550-1.2575, dan 1.2690-1.2710.

    Hari Selasa, 24 Oktober akan menjadi tumpuan dalam calendar ekonomi untuk minggu hadapan. Data pasaran buruh serta aktiviti perniagaan di UK akan dikeluarkan pada hari tersebut.

USD/JPY: Di Tengah-Tengah Ketaktentuan yang Berpanjangan

  • Sudah banyak kali kita dengari tentang kenyataan para pegawai kerajaan Jepun mengenai semua perkara dan… tiada apa lagi! Kita ambil beberapa petikan daripada kenyataan yang dibuat pada hari Jumaat, 20 Oktober oleh Gabenor Bank of Japan (BoJ) iaitu Kazuo Ueda sebagai contoh: “Ekonomi Jepun sedang pulih pada kadar sederhana. […] Keadaan tidak menentu berkenaan ekonomi Jepun amatlah tinggi. […] Kadar inflasi berkemungkinan akan turun dan naik semula selepas itu. [Namun] secara keseluruhan, sistem kewangan Jepun masih kekal stabil."

    Seterusnya, kenyataan oleh Menteri Kewangan Shunichi Suzuki: “Amat penting bagi mata wang untuk bergerak dengan stabil dan mencerminkan indikator fundamental. […] Kadar tukaran dipengaruhi oleh beberapa faktor. [Saya] tidak akan memberi komen tentang kadar mata wang dalam pasaran Forex. [Dan] saya tidak akan komen mengenai respon kami terhadap situasi yang berlaku di pasaran sekarang."

    Bagi menjadikan keadaan lebih menarik, kita ambil satu petikan daripada laporan Bank of Japan yang terkini, juga dikeluarkan pada 20 Oktober: “Walaupun sistem kewangan negara secara umumnya berada dalam keadaan stabil, tempoh berhadapan tekanan mungkin akan berpanjangan akibat pengetatan polisi kewangan bank negara yang berterusan serta kebimbangan mengenai kadar pertumbuhan ekonomi yang lembab di negara-negara asing.” Kesimpulannya, dari satu segi, keadaan di Jepun adalah baik-baik saja, namun, dari sudut bertentangan, negara itu sedang berdepan tekanan akibat tindakan bank-bank negara asing yang mengetatkan polisi kewangan serta menaikkan kadar faedah mereka.

    Seperti yang penganalisis sedia maklum, pihak BoJ terus mengekalkan polisi kewangan yang sangat-sangat menyokong, terus-menerus tidak mengendahkan tekanan inflasi yang semakin meningkat di negara itu. Pada hari Selasa, 17 Oktober, Bloomberg melaporkan bahawa unjuran kadar teras CPI Bank of Japan untuk tahun fiskal 2023 yang baru berkemungkinan akan mencecah 3.0% berbanding 2.5% yang dibuat sebelum ini.

    Hakikat bahawa kadar faedah di Jepun yang masih lagi rendah disebabkan polisi kawalan lengkung hasil seharusnya mendorong kepada nilai yen yang lebih lemah berbanding dolar. Penurunan ini boleh dihentikan jika salah satu syarat ini dipenuhi: apabila kadar faedah dolar menjadi lebih rendah atau apabila Bank of Japan tidak lagi melaksanakan polisi YCC (Yield Curve Control atau Kawalan Lengkung Hasil) mereka. Kedua-dua perkara ini berpotensi untuk mula berlaku seawal pertengahan tahun 2024, namun pastinya ia tidak akan berlaku sekarang. (Walaupun tidak siapa harus lupa tentang campur tangan mata wang yang mungkin akan diambil oleh Kementerian Kewangan Jepun).

    Menurut pakar strategi di Societe Generale, “jika hasil perolehan bon yang lebih banyak dapat dilihat di A.S. dan tiada lagi perubahan pada unjuran inflasi yang dibuat oleh Bank of Japan pada mesyuarat yang akan diadakan pada 31 Oktober nanti, maka satu lagi lonjakan [bagi USD/JPY] di atas paras 150.00 boleh dikatakan pasti akan berlaku”. “Yen berpeluang besar untuk menjadi salah satu mata wang paling berjaya pada tahun 2024,” Societe Generale percaya, “namun meramalkan paras tertinggi untuk USD/JPY adalah sama mudah atau sukarnya seperti menentukan berapakah jumlah perolehan paling banyak untuk bon 10 tahun Perbendaharaan A.S."

    Di tengah-tengah ketaktentuan berpanjangan, pasangan USD/JPY mengakhiri minggu dagangan lalu pada paras 149.85. Berkenaan dengan unjuran jangka pendek, hanya 15% penganalisis menjangkakan lonjakan baru menuju paras 150.00. 20% lagi penganalisis mengunjurkan pembetulan ke bawah, manakala majoriti sebanyak 65% kekal berpendirian neutral. Pada tempoh masa D1, kesemua indikator trend bersependapat memberikan isyarat ‘beli’ yang berwarna hijau. Sama juga, 100% pengayun adalah berwarna hijau, namun begitu 40% menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir boleh ditemui di sekitar 149.60, diikuti dengan zon antara 148.30-148.65, 146.85-147.25, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, dan akhir sekali 142.20. Di bahagian atas, rintangan berada di antara 150.00-150.15, kemudian 150.40, diikuti dengan paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.90, dan akhir sekali 153.15.

    Tiada sebarang data ekonomi penting berkaitan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu depan. Satu-satunya perkara yang boleh diberi perhatian adalah penyiaran kadar Indeks Harga Pengguna Tokyo pada hari Jumaat, 27 Oktober.

MATA WANG KRIPTO: Lonjakan Sebenar Pasaran Dicetuskan oleh Berita Palsu Mengenai BTC-ETF

  • Tidak diragui lagi, hari Isnin, 16 Oktober telah menjadi hari paling penting pada minggu lalu. Pada hari itu, nilai bitcoin melonjak naik kepada $30,102 sebelum susut kepada $27,728. Mengikuti BTC, lain-lain aset digital turut menunjukkan pertumbuhan nilai mendadak, diikuti dengan penurunan ketara. Mengikut data Coinglass, lonjakan harga tersebut telah menyebabkan pencairan lebih daripada 33,000 posisi dagangan, dengan nilai kerugian yang dialami para pedagang berjumlah $154 juta. Daripada jumlah tersebut, bitcoin mengalami kerugian sebanyak $92.0 juta, $22.7 juta bagi Ethereum, dan $4.6 juta untuk Solana.

    Lonjakan nilai sebut harga ini berlaku setelah Cointelegraph menyiarkan berita mengenai Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) A.S. yang meluluskan permohonan BlackRock bagi dana dagangan bursa (ETF) spot bitcoin. Hanya selepas itu barulah didapati bahawa berita tersebut adalah tidak benar. Pihak editorial Cointelegraph memohon maaf kerana menyiarkan berita palsu itu. Outlet berita itu menjelaskan bahawa salah seorang daripada staf mereka telah melihat berita mengenai pihak SEC meluluskan BTC-ETF pada platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) dan mengambil keputusan untuk menyiarkannya serta-merta tanpa membuat semakan fakta atau meminta kebenaran daripada ketua editor. Wakil daripada Suruhanjaya itu juga sedar bahawa “sumber maklumat terbaik berkenaan SEC adalah SEC itu sendiri” dan menasihatkan para pengguna agar “lebih berhati-hati dengan maklumat yang disampaikan secara online.".

    Bagi memahami isu ini dengan lebih mendalam, adalah lebih baik untuk melihat semula kepada permulaannya pada tahun 2021. Ketika itu, terdapat banyak syarikat yang menghantar permohonan untuk menghasilkan dana sepertinya. Tiga tahun lalu, Ketua Pegawai Pelaburan Bitwise iaitu Matt Hougan menjelaskan bahawa niaga hadapan ETF mata wang kripto tidak begitu sesuai untuk pelabur jangka panjang disebabkan oleh kos sampingan yang tinggi. Modal pelabur berinstitusi berskala besar akan mula mengalir masuk hanya apabila dana dagangan bursa spot bitcoin mula boleh didapati.

    Penjelasan: BTC-ETF spot adalah satu dana di mana saham-sahamnya didagangkan di bursa dan memantau pasaran atau mengesan harga bitcoin. Idea penting di sebalik ETF seperti itu adalah untuk memberikan akses dagangan bitcoin kepada pelabur-pelabur berinstitusi menerusi produk kewangan yang biasa dan mengikut undang-undang tanpa perlu memiliki aset tersebut secara fizikal.

    Semua permohonan yang dibuat kepada SEC pada tahun 2021 telah ditolak, namun tarikh 15 Jun, 2023 telah memulakan semula keadaan yang sudah reda itu. Pada hari tersebut, situasinya berubah secara drastik: dunia kewangan menjadi gempar setelah tersebarnya berita mengenai gergasi pelaburan BlackRock yang telah menghantar permohonan mereka bagi dana spot bitcoin. Dalam satu temu bual bersama Bloomberg, Hougan menghebahkan permulaan era yang baru. Beliau berkata, “Kini BlackRock telah mengibarkan panji dan menyatakan dengan tegas bahawa bitcoin itu wujud: ia adalah satu aset yang ingin dilabur oleh para pelabur berinstitusi. Saya percaya kita telah memasuki era baru dalam mata wang kripto, keadaan yang saya gelar sebagai era asas, dan saya jangkakan trend bull bertahun-tahun lamanya kini sudah pun bermula."

    Di bawah panji BlackRock, terdapat tujuh lagi institusi kewangan terkemuka turut menghantar permohonan yang sama kepada pihak SEC. Antaranya adalah firma pengurusan aset global seperti Invesco dan Fidelity, dua nama yang penganalisis percaya mampu untuk mengumpul dana bertrilion dolar jumlahnya. Firma kesembilan dalam senarai adalah syarikat pengurusan aset GlobalX. Syarikat itu, bersama-sama dengan beberapa gergasi kewangan lain telah menyertai persaingan untuk ETF sejak tahun 2021, namun usaha mereka telah digagalkan oleh SEC. Kini, pada bulan Ogos 2023, GlobalX membuat satu lagi percubaan.

    Disebabkan inisiatif yang diambil gergasi-gergasi pelaburan ini, nilai bitcoin mengalami lonjakan mendadak pada pertengahan bulan Jun. Ia menembusi paras rintangan $25,000, naik lebih tinggi daripada $30,000, dan berada di kemuncaknya iaitu $31,388 pada 23 Jun. Pertumbuhan ini menunjukkan hasil mingguan lebih daripada 26%. Berikutan kejayaan bitcoin, altcoin seperti Ethereum juga menunjukkan pergerakan ke atas yang ketara, memberikan peningkatan hasil kira-kira 19% dalam tempoh yang sama. Namun, disebabkan tekanan undang-undang daripada pihak SEC serta tindakan yang diambil oleh Rizab Persekutuan A.S. selepas itu, ditambah dengan berita-berita negatif lain, kedudukan pasangan dagangan BTC/USD mula jatuh. Kadarnya mencecah paras terendah iaitu $24,296 pada 17 Ogos.

    Kini, selepas dua bulan, kita telah lihat satu lagi lonjakan dan diikuti dengan penurunan. Apa lagi selepas ini? Ia adalah soalan yang berhubung kait kerana ETF spot bitcoin yang mendapat kelulusan akan menghasilkan gelombang penerimaan kelas aset ini secara besar-besaran oleh para pelabur berinstitusi. Menurut penganalisis di CryptoQuant, keadaan ini akan mendorong kepada pertumbuhan nilai modal pasaran kripto sebanyak $1 trilion dengan pantas. Pada pandangan mereka, kadar kebarangkalian untuk perkara ini berlaku telah naik berlipat ganda berikutan kejayaan tindakan undang-undang yang diperoleh Ripple dan Grayscale terhadap SEC. Buat masa ini penganalisis Bloomberg menganggarkan kebarangkaliannya sebanyak 90%.

    Perlu diketahui bahawa tarikh akhir untuk pihak SEC memberikan keputusan mereka berkenaan permohonan BlackRock dan lain-lain syarikat akan tiba pada Mac 2024. Namun, Mike Novogratz, CEO Galaxy Investment percaya bahawa ETF spot bitcoin boleh menjadi realiti seawal tahun ini. Larry Fink, ketua BlackRock enggan memberikan komen terhadap status permohonan mereka namun menyatakan bahawa lonjakan yang berlaku pada 16 Oktober tidak banyak didorong oleh khabar angin tentang kelulusan itu tetapi lebih kepada keinginan orang ramai yang ingin menggunakan aset berkualiti, dan beliau percaya ia boleh didapati pada bitcoin, emas dan bon Perbendaharaan.

    Anthony Scaramucci, pengasas syarikat SkyBridge Capital yang juga bekas Pengarah Komunikasi White House percaya bahawa mata wang kripto terkenal itu “lebih bernilai daripada emas dalam pelbagai cara”, dan boleh mencapai jumlah modal pasaran sebanyak $15 trilion “dengan mudah”. Mengikut pengiraannya, jumlah modal pasaran sebanyak itu mampu mendorong nilai bitcoin menjadi kira-kira $700,000.

    Scaramucci menegaskan bahawa sistem kewangan yang ada sekarang ini sudah “rosak”. “Anda boleh lihat perkara pelik berlaku apabila negara-negara yang bermusuhan dengan A.S. berdagang dalam bitcoin atau lain-lain aset dalam usaha untuk menjauhi dolar. Ini kerana Amerika Syarikat menggunakan mata wang mereka untuk kepentingan geopolitik sendiri,” jelas beliau.

    Pendapat mengenai masa depan bitcoin (BTC) untuk jangka pendek dalam kalangan industri kripto adalah berbeza-beza. Satu kaji selidik yang dibuat oleh Finbold mendedahkan bahawa sebahagian besar penganalisis tidak menolak tentang kemungkinan kadar BTC/USD naik kepada $100,000 atau menjadi $200,000. Penganalisis di Finbold juga mendapatkan unjuran menggunakan kepintaran buatan PricePredictions. Mengikut pengiraan AI tersebut, setelah ETF bitcoin mendapat kelulusan, nilai aset kripto terunggul ini boleh mencecah julat $100,000 dengan mudah. PricePredictions sedar bahawa faktor-faktor lain seperti penerimaan bitcoin dalam arus perdana, tindakan pelabur-pelabur berinstitusi, pelaksanaan undang-undang, serta keadaan makroekonomi secara keseluruhan turut memainkan peranan penting.

    Pedagang, penganalisis, dan pengasas firma modal teroka Eight iaitu Michael Van De Poppe percaya bahawa berita palsu yang dikeluarkan pada 16 Oktober lalu tidak menghalang pertumbuhan nilai mata wang kripto. Mengikut pemerhatiannya, coin itu sudah pun memasuki fasa momentum positif. “Trend yang dilaluinya sudah menuju ke atas. Paras terendah yang dilihat sekarang adalah peluang terakhir untuk membuat pembelian. ETF bitcoin pada akhirnya akan masuk juga ke pasaran; cumanya hal itu tidak berlaku sekarang,” jelas CEO Eight itu.

    Penulis saluran analisis Root di X (sebelum ini dikenali sebagai “Twitter”) juga merasakan bahawa berita palsu itu tidak memberi tekanan besar kepada mata wang kripto. Pada pendapat beliau, walaupun berlakunya pembetulan selepas itu, lonjakan nilai coin ini sebenarnya telah membantu memperbaiki kedudukannya. Namun, terdapat juga sebahagian daripada komuniti kripto yang mahukan keadaan bearish, mencadangkan nilai coin ini boleh berada di antara $19,000-$23,000.

    Pada hari Jumaat, 20 Oktober, pasangan BTC/USD sekali lagi membuat percubaan untuk melepasi paras $30,000, mencecah ketinggian $30, 207 sebelum menyerah kalah. Semasa ulasan ini dibuat, ia didagangkan pada kadar $29,570. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.120 trilion, bertambah daripada $1.046 trilion pada minggu lalu. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto naik sepanjang minggu lalu daripada 44 mata kepada 53 mata, beralih dari zon ‘Fear’ ke zon ‘Neutral’.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.