Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 30 Oktober - 03 November, 2023

EUR/USD: Menunggu Pasangan Berada Di Kedudukan 1.0200?

  • Setelah memulakan minggu lalu dengan prestasi yang agak positif, menghampiri paras sokongan/rintangan di zon 1.0700 yang penting pada hari Selasa, 24 Oktober, pasangan EUR/USD mengubah arah pergerakan dan turun mendadak selepas itu. Menurut sebilangan penganalisis, pembetulan yang dialami Indeks Dolar DXY sejak 3 Oktober lalu dan menjadi pendorong kepada pertumbuhan kadar EUR/USD ke atas sudah pun berakhir.

    Pencetus kepada trend penurunan ini adalah data aktiviti perniagaan (PMI) di Jerman dan Eurozone yang agak mengecewakan, kadar yang lebih rendah berbanding unjuran serta berada di bawah paras 50.0 mata yang penting, petanda kepada keadaan ekonomi yang merosot. Kadar yang terus menunjukkan nilai rendah sepanjang lima tahun ini begitu jelas bertentangan dengan indikator sama dari Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada hari sama dan melebihi kadar yang diunjur serta lebih tinggi daripada paras 50.0 mata. (Seperti yang disebut-sebut para penggemar analisis teknikal, penurunan ini turut disebabkan oleh hakikat bahawa apabila paras EUR/USD menghampiri 1.0700, kadarnya akan mencecah purata pergerakan (MA) 50 hari).

    Selain daripada data PMI, data awal KDNK di A.S. untuk Q3 yang telah dikeluarkan pada hari Khamis, 26 Oktober memberi lebih banyak bukti bahawa ekonomi di Amerika berjaya berdepan dengan pengetatan polisi kewangan agresif sepanjang setahun setengah lalu. Kadar tahunannya adalah lebih tinggi dengan ketara. Pertumbuhan ekonominya mencecah kadar 4.9% berbanding kadar sebelum ini iaitu 2.1% serta 4.2% yang diunjur. (Perlu diketahui bahawa walaupun ekonominya mengalami pertumbuhan, para penganalisis dari Wall Street Journal menjangkakan pembantutan KDNK kepada 0.9% yang akan mengakibatkan penurunan hasil perolehan bon Perbendaharaan A.S. serta menghalang sedikit pertumbuhan indeks DXY).

    Pada hari Khamis, 26 Oktober juga, telah berlangsungnya mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) di mana ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir dijangka akan membuat keputusan mengenai kadar faedah di Eurozone. Mengikut unjuran konsensus, kadarnya dijangka akan kekal pada paras semasa iaitu 4.50%, dan itulah yang berlaku. Peserta pasaran lebih menumpukan perhatian kepada kenyataan serta komen yang diberikan oleh barisan kepimpinan Bank Negara Kesatuan Eropah itu. Daripada komen Presiden ECB iaitu Christine Lagarde, kesimpulan dapat dibuat bahawa pihak ECB sedang melaksanakan “polisi kewangan efektif, khususnya dalam sektor perbankan.” Namun begitu, situasi di Eropah dilihat tidak begitu ideal. “Kadar faedahnya mungkin sudah berada di kemuncaknya, namun Jawatankuasa Pentadbir tidak menolak untuk kenaikan lebih tinggi,” jelas beliau. Penggubalan polisi yang bergantung kepada data seharusnya dibuat sekarang lebih daripada segalanya. Kadang kala tidak berbuat apa-apa juga dianggap sebagai satu tindakan.

    Selain daripada kenaikan kadar serta mengekalkan status quo, terdapat pilihan ketiga: menurunkan kadar faedah. Lagarde menolak pilihan ini, menyatakan bahawa perbincangan mengenai penurunan kadar adalah terlalu awal buat masa ini. Walau bagaimanapun, sentimen pasaran menjangkakan bahawa pihak ECB akan mengumumkan penamatan kitaran kenaikan kadar semasa secara rasminya pada salah satu mesyuarat yang akan datang. Disamping itu, pasaran derivatif menunjukkan pelonggaran polisi kewangan penggubal dasar Eropah tersebut boleh berlaku seawal bulan April, dengan hampir 100% kebarangkalian ia akan dilaksanakan pada bulan Jun. Semua ini boleh menyebabkan nilai mata wang Eropah menjadi susut untuk satu tempoh masa yang panjang.

    Sudah pasti, dolar A.S. menerima kelebihan daripada kadar faedah yang lebih tinggi (5.50% berbanding 4.50%), serta dinamik ekonomi dan juga daya tahan berdepan tekanan antara ekonomi di A.S dan Eurozone. Lebih-lebih lagi, dolar memiliki daya tarikan sebagai aset selamat. Faktor-faktor ini, ditambah lagi dengan pendirian Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) yang dijangka akan menjadi dovish lebih awal daripada Rizab Persekutuan mendorong para penganalisis untuk mengunjurkan trend penurunan EUR/USD yang berterusan. Namun, dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya pembantutan ketara terhadap pertumbuhan KDNK di A.S., sesetengah penganalisis percaya bahawa pasangan ini mungkin menjadi stabil dalam saluran mendatar untuk jangka pendek. Sebagai contoh, pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB) Singapura menjangkakan bahawa pasangan ini mungkin akan didagangkan pada kadar antara 1.0510-1.0690 untuk tempoh 1-3 minggu akan datang.

    Dalam membuat unjuran hujung tahun, pakar strategi dari syarikat kewangan Jepun iaitu Nomura telah mengenal pasti beberapa pencetus lain yang boleh menurunkan pasangan EUR/USD ke bawah: 1) sentimen risiko global yang menurun akibat kenaikan hasil perolehan bon; 2) jurang hasil perolehan antara bon Jerman dan Itali yang lebih besar; 3) keadaan politik tidak menentu yang semakin reda di A.S. serta kurangnya kemungkinan kerajaan akan dibubarkan; dan 4) ketegangan geopolitik di Timur Tengah berpotensi menjadi pencetus kepada kenaikan harga minyak mentah. Nomura percaya bahawa berita positif mengenai pertumbuhan ekonomi di China yang tersebar baru-baru ini berkemungkinan tidak cukup untuk mengimbangi faktor-faktor tadi, mengekalkan pendirian bearish terhadap euro dalam kalangan peserta pasaran. Berdasarkan kepada elemen-elemen ini, malah dengan mengandaikan Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah mereka pada minggu hadapan, Nomura menjangkakan kadar EUR/USD akan turun ke paras 1.0200 menjelang akhir tahun nanti.

    Pakar strategi dari Wells Fargo, salah satu “empat gergasi” perbankan A.S. menjangkakan pasangan ini akan mencecah paras 1.0200 sedikit lewat, pada awal tahun 2024. Sentimen bearish juga kekal dalam unjuran pakar ekonomi dari ING, kumpulan perbankan terbesar Belanda.

    Berikutan penyiaran data perbelanjaan penggunaan peribadi di A.S. yang benar-benar memenuhi unjuran, pasangan EUR/USD ditutup pada paras 1.0564 minggu lalu. Pendapat para penganalisis untuk minggu depan dilihat bercampur-campur: 45% bersetuju dengan nilai dolar yang menjadi lebih kukuh, 30% memihak kepada euro, manakala 25% mengekalkan pendirian neutral mereka. Dari segi analisis teknikal, pengayun pada carta D1 tidak memberikan sebarang isyarat yang jelas: 30% menunjukkan penurunan, 20% pertumbuhan, dan 50% lagi kekal neutral. Indikator trend memberi petunjuk lebih jelas: 90% menunjukkan penurunan, hanya 10% yang memperlihatkan pertumbuhan. Paras sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di antara 1.0500-1.0530, diikuti dengan 1.0450, 1.0375, 1.0200-1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Rintangan bagi bull berada di antara paras 1.0600-1.0620, 1.0740-1.0770, 1.0800, 1.0865, dan 1.0945-1.0975.

    Minggu hadapan menjanjikan begitu banyak perkara penting. Hari Isnin, 30 Oktober, kita akan menerima data KDNK serta inflasi (CPI) dari Jerman. Pada hari Selasa, 31 Oktober, kadar jualan runcit dari Jerman akan diketahui, bersama-sama dengan data awal KDNK serta CPI bagi keseluruhan Eurozone. Pada hari Rabu, 1 November, kadar buruh dalam sektor swasta di A.S. serta data PMI dalam sektor Pembuatan akan dikeluarkan. Hari yang sama juga akan berlangsungnya perkara paling kritikal: mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang akan membuat keputusan berkenaan kadar faedah. Justeru, peserta pasaran akan tertumpu khususnya kepada kenyataan serta komen yang akan dibuat oleh barisan kepimpinan Rizab Persekutuan A.S.

    Pada hari Khamis, 2 November, kita akan ketahui jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di A.S. Penyiaran data dari pasaran buruh akan berterusan sehingga hari Jumaat, 3 November. Menjadi kebiasaan untuk hari Jumaat pertama setiap bulan, kita boleh jangkakan satu lagi statistik makro yang penting, termasuklah kadar pengangguran dan juga jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan yang ada di Amerika Syarikat.

GBP/USD: Menunggu Pasangan Berada Di Kedudukan 1.1600?

  • Data yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan bahawa walaupun kadar pengangguran di UK turun daripada 4.3% kepada 4.2%, jumlah tuntutan manfaat pengangguran adalah berjumlah 20.4K. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding jumlah sebelum ini iaitu 9.0K dan 2.3K yang diunjur. Data jualan runcit para peruncit terkemuka oleh Konfederasi Industri British (CBI) untuk bulan Oktober menunjukkan kadar Indeks Jualan Runcit susut daripada -14 mata kepada -36 mata, kadar paling rendah sejak Mac 2021. Tambahan pula, para penganalisis berasa bimbang situasi ini boleh menjadi lagi teruk pada bulan November apabila isi rumah berdepan dengan kenaikan harga yang tinggi, mendorong mereka untuk tidak banyak berbelanja.

    Mengikut unjuran ING, untuk jangka masa pendek, nilai pound masih kekal berisiko untuk turun ke paras sokongan utama iaitu 1.2000. Beralih kepada unjuran jangka sederhana, pakar ekonomi Wells Fargo percaya bahawa bukan saja mata wang Eropah mengalami trend penurunan, malah mata wang British juga sama. “Prestasi yang lebih teruk di Eropah berbanding di A.S. seharusnya memberi tekanan kepada kedua-dua mata wang,” jelas mereka. “Pihak ECB dan Bank of England telah memberi isyarat bahawa kadar faedah mereka mungkin sudah mencapai paras tertingginya, melemahkan sokongan yang diterima mata wang daripada kadar faedah. Berdasarkan perkara ini, kami jangkakan nilai pound menjadi lemah […] pada awal tahun 2024, dengan sasaran minimum di sekitar paras 1.1600 buat GBP/USD."

    Mesyuarat Bank of England (BoE) dijadual akan diadakan pada hari Khamis, 2 November, seleoas pihak Rizab Persekutuan bermesyuarat pada awal minggu tersebut. Mengikut ramalan, penggubal dasar British itu dijangka akan mengekalkan parameter polisi kewangan mereka tidak berubah, meneruskan kadar faedah 5.25%, keputusan sama seperti yang diambil pihak ECB dan juga Rizab Persekutuan. Namun, melihat kepada kadar inflasi yang tinggi di United Kingdom, kadar yang lebih tinggi berbanding pesaing utama ekonomi mereka, retorik BoE mungkin lebih bersifat hawkish berbanding keputusan Lagarde. Dalam situasi itu, pound mungkin akan menerima lebih banyak sokongan berbanding mata wang Eropah, namun perkara ini mungkin tidak banyak membantu apabila berhadapan dengan dolar.

    Pasangan GBP/USD ditutup pada paras 1.2120 minggu lalu. Apabila ditanya mengenai prospek minggu hadapan, 50% penganalisis menjangkakan pertumbuhan. Hanya 20% percaya pasangan ini akan meneruskan pergerakan menuju sasaran 1.2000, manakala baki 30% kekal berpendirian neutral. Indikator trend pada carta D1 sebulat suara berpendirian bearish, dengan 100% menunjukkan penurunan serta berwarna merah. Pengayun pula tidak begitu meyakinkan: 80% menunjukkan penurunan (15% daripadanya berada di zon lebihan jualan), 10% menjangkakan pertumbuhan, dan baki 10% berwarna kelabu neutral. Bagi paras dan zon sokongan, jika pasangan ini bergerak ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras 1.2000-1.2040, 1.1960, dan 1.1800-1.1840, diikuti dengan 1.1720, 1.1595-1.1625, dan 1.1450-1.1475. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2145-1.2175, 1.2190-1.2215, 1.2280, 1.2335, 1.2450, 1.2550-1.2575, dan 1.2690-1.2710.

    Selain daripada mesyuarat Bank of England pada 2 November yang telah dinyatakan sebelum ini, tiada perkara penting lain berkaitan ekonomi British yang dijangka akan diketahui minggu hadapan.

USD/JPY: Menunggu Pasangan Berada Di Kedudukan 152.80?

  • Yen Jepun terus menjadi mata wang paling lemah dalam kalangan mata wang negara-negara membangun. Kadar USD/JPY telah naik sepanjang tahun ini, dan pada hari Khamis, 26 Oktober, kadarnya mencapai paras tertinggi tahunan yang baru iaitu 150.77. Seperti yang telah banyak kali ditekankan dalam ulasan kami, sebab utama bagi trend ini adalah perbezaan besar antara polisi kewangan Bank of Japan (BoJ) dan bank-bank negara terkemuka yang lain. BoJ tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menamatkan polisi kewangan mereka yang teramat longgar, terus mengekalkan kadar faedahnya pada kadar negatif -0.1%. Dengan kadar Rizab Persekutuan berada pada paras +5.50%, operasi dagangan harian untuk tukaran yen kepada dolar yang ringkas mampu memberi pulangan besar disebabkan perbezaan kadar ini.

    Yen juga tidak dibantu oleh kawalan lengkong hasil perolehan bon kerajaan Jepun yang telah dilonggarkan. Buat masa ini, sisihan hasil perolehan bagi bon 10 tahun tidak boleh melebihi 0.5% daripada sifar. Pada mesyuarat bulan Julai, pihak BoJ memutuskan bahawa julat ini adalah lebih kepada garis panduan dan bukan benar-benar menjadi sempadannya. Namun, kejadian yang berlaku selepas itu menunjukkan sebarang sisihan ketara yang melebihi julat ini akan menyebabkan pembelian semula bon oleh BoJ, mendorong nilai yen menjadi lebih lemah.

    Walau dengan campur tangan mata wang yang dilaksanakan ketika kadar USD/JPY lebih tinggi daripada 150.00 pada 3 Oktober gagal untuk membantu yen. Pasangan ini turun ke paras 147.26 buat sementara, tetapi naik semula dengan cepat dan kini sekali lagi menghampiri paras 150.00. 

    Barisan kepimpinan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Jepun berterusan cuba untuk mengukuhkan nilai mata wang mereka dengan mengeluarkan kenyataan meyakinkan namun tidak begitu jelas, menegaskan bahawa keseluruhan sistem kewangan Jepun masih lagi stabil dan mereka memantau kadar tukaran dengan rapi. Walau bagaimanapun, kenyataan mereka sudah terbukti hanya memberikan kesan yang kecil. Pada hari Jumaat lalu, 27 Oktober, Hirokazu Matsuno, Ketua Setiausaha Kabinet menambah lagi keadaan tidak jelas itu. Menurut kenyataan yang dibuat, beliau menjangkakan Bank of Japan akan melaksanakan polisi kewangan yang sesuai selari dengan objektif bagi mencapai paras harga yang stabil dan mampan. Walaupun ini kedengaran seperti sesuatu yang baik, memahami implikasi yang akan berlaku juga adalah sesuatu yang mencabar. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan polisi yang “sesuai”? Di manakah “paras harga sasaran” yang sukar difahami ini berada?

    Menurut penganalisis di Commerzbank Jerman, “tidak semua polisi kewangan dan tukaran asing di Jepun adalah masuk akal”. “Pasaran mungkin akan terus menguji kadar USD/JPY paling tinggi,” pakar ekonomi bank itu menjangkakan. “Kemudian terdapat dua senario yang boleh berlaku: sama ada Kementerian Kewangan melaksanakan satu lagi campur tangan, atau susut nilai yen yang berlaku dengan lebih cepat apabila pasaran mula mengambil kira tentang risiko campur tangan."

    Penganalisis Commerzbank menyatakan lagi, “Untuk jangka sederhana dan panjang, campur tangan tidak lagi akan dapat menghalang mata wang daripada susut nilai, terutama sekali jika Bank of Japan asyik mengenakan tekanan ke atas yen dengan mengekalkan polisi kewangan yang teramat longgar. Maka, satu-satunya respon yang harus diambil, setidak-tidaknya, adalah menormalkan polisi kewangan secara beransur-ansur, mungkin menerusi pelaksanaan kawalan lengkung hasil perolehan (YCC) yang lebih longgar. Walau bagaimanapun, pelonggaran YCC itu tidak memberi jaminan ianya sudah mencukupi, atau sebarang jaminan Bank of Japan akan membuat apa-apa perubahan semasa bermesyuarat pada hari Selasa [3 Oktober] nanti]."

    Disebabkan itu, penganalisis di bank Societe Generale Perancis percaya bahawa dinamik yang ada sekarang lebih memihak kepada penyambungan pergerakan ke atas. Pada pendapat mereka, halangan seterusnya berpotensi untuk berada pada paras 151.25 dan di zon kedudukan tertinggi tahun lalu iaitu antara 152.00-152.80. Zon sokongan yang penting berada di antara 149.5-148.85, namun ia perlu menembusi kawasan ini bagi mengesahkan penurunan jangka pendek.

    Pasangan USD/JPY menutup dagangan pada minggu lalu pada paras 149.63. Apabila membincangkan tentang prospek jangka pendek, pendapat penganalisis terbahagi sama rata: 50% menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, dan 50% lagi menjangkakan penurunan. Indikator trend pada carta D1 menunjukkan 65% berwarna hijau, menandakan keadaan bullish, manakala 35% lagi berwarna merah, menunjukkan trend bearish. Dalam kalangan pengayun, ia sebulat suara menunjukkan kurangnya sentimen penurunan. 50% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 50% lagi menunjukkan trend mendatar. Paras sokongan berada di zon antara 148.30-148.70, diikuti dengan paras 146.85-147.30, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, dan 142.20. Paras rintangan paling hampir berada di antara 150.00-150.15, kemudian 150.40-150.80, diikuti dengan 151.90 (paras tertinggi Oktober 2022) dan 152.80-153.15.

    Tiada data ekonomi penting berkaitan keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Kebiasaannya, perhatian harus diberikan kepada mesyuarat Bank of Japan pada hari Selaa, 31 Oktober, walaupun tiada sebarang kejutan penting dijangka akan dibuat. Pedagang juga perlu ambil maklum bahawa hari Jumaat, 3 November, adalah hari cuti umum di Jepun kerana negara itu menyambut Hari Kebudayaan.

    Sedikit maklumat meyakinkan untuk penyokong mata wang Jepun telah diberi oleh Wells Fargo. Mereka menjangkakan bahawa “jika Rizab Persekutuan benar-benar menurunkan kadar faedahnya, malah jika Bank of Japan terus beransur-ansur mengetatkan polisi kewangan mereka, perbezaan hasil perolehan seharusnya dapat mengalih kelebihan kepada yen untuk jangka panjang”. Pakar strategi Wells Fargo menjangkakan bahawa “menjelang hujung tahun hadapan, kadar USD/JPY boleh menuju ke paras 146.00."

    Unjuran bank Amerika ini mungkin menanam rasa optimis dalam kalangan pedagang yang membuka posisi short pada paras 150.00. Namun, apakah langkah yang boleh diambil mereka yang membuat jualan pada Januari 2023 semasa pasangan ini didagangkan pada kadar 127.00?

MATA WANG KRIPTO: Permulaan Lonjakan Bull atau Satu Lagi Perangkap Bull?

  • Ulasan bagi pasaran mata wang kripto pada hari ini adalah sangat optimis, dan ia adalah atas sebab yang baik. Pada 23-24 Oktober, nilai bitcoin melonjak kepada $35,188 buat pertama kalinya sejak Mei 2022. Nilai mata wang kripto terkenal ini tetap mengalami pertumbuhan walaupun dengan berlakunya peristiwa nyata yang bercampur-campur, keadaan spekulatif yang hangat, serta berita palsu berkaitan Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) A.S.

    Sebagai contoh, Reuters dan Bloomberg melaporkan bahawa pihak SEC tidak akan membuat rayuan mengenai keputusan mahkamah yang memihak kepada Grayscale Investments. Disamping itu, terdapat juga berita yang mengatakan bahawa pihak SEC tidak akan meneruskan tuntutan mahkamah terhadap Ripple dan para eksekutif syarikat itu. Spekulasi juga tersebar luas berkenaan potensi pihak SEC memberi kelulusan bagi ETF Ethereum dan khabar angin permohonan ETF spot BTC oleh BlackRock akan diluluskan. Minggu lalu BlackRock mengesahkan berita itu adalah tidak benar. Walau bagaimanapun, penyebaran berita palsu yang singkat ini telah membantu pertumbuhan nilai coin itu, menggegarkan sedikit pasaran. Permulaan trend mingguan diperkukuhkan lagi dengan penutupan besar-besaran posisi short yang dibuka dengan kadar leveraj yang besar. Menurut Coinglass, pencairan posisi itu adalah berjumlah $161 juta.

    Walaupun berita itu adalah palsu, terdapat pepatah yang menyebut, “Pokok tak akan bergoyang jika tiada angin.” Dana dagangan bursa spot bitcoin BlackRock iaitu iShares Bitcoin Trust boleh dilihat dalam senarai Perbadanan Amanah dan Penjelasan Depositori (Depository Trust and Clearing Corporation atau DTCC). BlackRock sendiri memberitahu pihak SEC mengenai rancangannya untuk memulakan pusingan benih ujian bagi ETF spot BTC mereka pada bulan Oktober, berpotensi sudah pun mula membuat pembelian mata wang kripto. Hal ini turut menambah spekulasi dan khabar angin bahawa ETF mereka sudah pasti akan mendapat kelulusan.

    Selain itu, menurut sebilangan penganalisis, faktor-faktor teknikal turut menyumbang kepada pertumbuhan kadar sebut harganya. Analisis teknikal sudah lama menunjukkan kemungkinan berlakunya lonjakan bull setelah berakhirnya trend mendatar.

    Sesetengah penganalisis percaya bahawa satu lagi pencetus kepada lonjakan nilai bitcoin adalah penurunan kadar Indeks Dolar (DXY) ke paras bulanan terendah pada 23 Oktober lalu. Namun, faktor ini boleh dipertikaikan. Sebelum ini kami telah memaklumkan bahawa sudah tiada lagi korelasi terus dan korelasi songsang untuk bitcoin baru-baru ini, sudah “terpisah” daripada mata wang A.S. serta pasaran indeks saham. Carta turut menunjukkan pada 24 Oktober, trend dolar telah berubah dan mula bertumbuh. Aset berisiko seperti S&P 500, Dow Jones, dan indeks komposit Nasdaq memberikan respon dengan penurunan mendadak. Namun bukan BTC/USD yang berubah pergerakannya menjadi mendatar di sekitar Pivot Point $34,000.

    Sementara indeks S&P 500 mengikuti trend bearish untuk 13 minggu, nilai BTC telah naik sejak 17 Ogos walau berdepan dengan cabaran. Sepanjang tempoh itu, nilai mata wang terkenal ini telah naik kira-kira 40%. Jika melihat tempoh masa yang lebih lama, nilai bitcoin telah bertambah sebanyak 147% sejak tiga tahun lalu (setakat 20 Oktober, 2023), manakala kadar S&P 500 hanya naik sebanyak 26%.

    Minggu lalu, rata-rata pemilik BTC mula menerima keuntungan semula. Mengikut pengiraan yang dibuat agensi analisis Glassnode, purata kos pemilikan para pelabur adalah $29,800. Bagi pelabur jangka pendek (pelabur yang tidak aktif kurang daripada 6 bulan), kosnya adalah $28,000. Semasa ulasan ini dibuat, keuntungan mereka adalah kira-kira 20%.

    Situasi ini agak berbeza untuk hodler jangka panjang. Mereka jarang memberikan reaksi walaupun dengan perubahan ketara yang berlaku di pasaran, mensasarkan keuntungan besar dalam berbilang tahun. Pada tahun 2023, lebih daripada 30% coin yang mereka miliki susut nilainya, tetapi perkara itu tidak menghalang mereka daripada terus mengumpul. Ketika ini, pemilikan bagi kategori pelabur seperti itu adalah berjumlah 14.9 juta BTC, bersamaan dengan 75% daripada bekalan yang diedarkan. Pelabur terbesar dan paling dikenali dalam kalangan “jerung” adalah syarikat MicroStrategy Incorporated. Syarikat tersebut telah membeli kelompok bitcoin pertama mereka pada September 2020 dengan harga $11,600 setiap coin. Pembelian berikutnya dibuat ketika pasaran naik dan turun, kini mereka memiliki 158,245 BTC setelah membelanjakan $4.7 bilion bagi aset tersebut. Justeru, keuntungan belum direalisasi MicroStrategy adalah berjumlah kira-kira $0.65 bilion, atau lebih kurang 13.6%.

    Jangkaan mengenai pelancaran ETF spot BTC yang tidak boleh dielak lagi di A.S. telah menambah minat para pelabur berinstitusi terhadap mata wang kripto. Namun, disebabkan oleh halangan undang-undang yang dikemukakan oleh pihak SEC, minat yang ditunjukkan ini kebanyakannya sudah terkubur, itulah yang dijelaskan oleh Ernst & Young. Mengikut beberapa anggaran, permintaan terpendam ini adalah berjumlah kira-kira $15 trilion, jumlah yang berpotensi dapat mendorong kadar BTC/USD kepada $200,000 dalam jangka masa panjang. Apa yang boleh dinyatakan dengan penuh kepastian adalah minat terbuka bagi niaga hadapan di the Chicago Mercantile Exchange (CME) sudah pun mencapai rekod 100,000 BTC, manakala jumlah dagangan harian mencecah $1.8 bilion.

    Menurut para penganalisis, satu lagi pendorong kepada pertambahan aktiviti adalah kebimbangan keadaan inflasi di A.S. dan risiko geopolitik seperti ketegangan di Timur Tengah yang semakin memuncak. Zach Pandl, Pengarah Urusan Grayscale Investments menjelaskan bahawa ramai pelabur yang melihat bitcoin sebagai “emas digital” dan mencari jalan untuk mengurangkan risiko kewangan menerusinya. Menurut CoinShares, pelaburan dalam dana kripto meningkat sebanyak $66 juta pada minggu lalu; ini menandakan modal telah mengalir masuk selama empat minggu berturut-turut.

    Menurut penganalisis di JPMorgan, keputusan positif oleh pihak SEC mengenai permohonan ETF spot bitcoin pertama dijangka boleh dibuat dalam masa “beberapa bulan”. Para penganalisis itu maklum dengan penggubal dasar itu yang enggan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan kes Grayscale. Penggubal dasar itu diarahkan untuk tidak menghalang transformasi tabung amanah bitcoin kepada dana dagangan bursa. “Masih belum pasti bilakah kelulusan itu akan diperoleh, namun ia berkemungkinan berlaku […] menjelang 10 Januari, 2024, tarikh akhir bagi permohonan ARK Invest dan 21 Co. Itu adalah tarikh akhir paling awal yang perlu pihak SEC berikan respon bagi bermacam-macam permohonan,” jelas para penganalisis di JPMorgan. Mereka juga menekankan bahawa Suruhanjaya itu mungkin akan meluluskan kesemua permohonan yang tertunda secara serentak kerana ingin mengekalkan persaingan yang adil.

    Pendapat berkenaan pergerakan harga bitcoin pada masa hadapan dilihat tidak berbelah bagi dalam kalangan komuniti kripto. Matrixport telah menerbitkan satu laporan analisis yang membincangkan tentang kesan FOMO (Fear of Missing Our). Penganalisis syarikat itu bergantung kepada indikator proprietari sendiri yang membolehkan mereka membuat ramalan menguntungkan bagi aset digital tersebut. Mereka percaya bahawa menjelang hujung tahun ini, nilai bitcoin boleh mencecah $40,000 dan mungkin naik kepada $56,000 jika ETF bitcoin diluluskan.

    Ramai peserta pasaran yang berasa yakin bahawa keadaan berlatarbelakangkan berita positif ini akan terus memberi sokongan kepada pertumbuhan mata wang kripto. Sebagai contoh, Will Clemente, pengasas bersama Reflexivity Research percaya bahawa pergerakan coin sekarang ini seharusnya menamatkan rancangan bear untuk membeli BTC dengan harga murah. Seorang pedagang dan penganalisis yang dikenali sebagai Titan of Crypto menjangkakan coin ini akan menuju nilai $40,000 menjelang November 2023. Perasaan optimis itu turut dikongsikan oleh Michael Van De Poppe, pengasas syarikat nilai teroka Eight, dan Charles Edwards, pengasas Capriole Fund.

    Namun, terdapat mereka yang percaya bahawa nilai BTC tidak akan naik ke paras lebih tinggi. Sebagai contoh penganalisis Trader_J dan juga Doctor Profit yang begitu pasti setelah nilainya mencecah paras maksimum mingguan yang baru, coin itu akan memasuki fasa pembetulan untuk tempoh yang panjang. Unjuran mereka tidak menolak penurunan BTC/USD ke paras antara $24,000-$26,000 menjelang akhir tahun. Seorang pedagang yang dikenali sebagai Ninja menyokong unjuran bitcoin yang agak negatif ini. Menurut beliau, analisis teknikal yang turut mengandungi analisis jurang indeks CME (ruang antara harga buka dan harga tutup niaga hadapan bitcoin di Chicago Mercantile Exchange) menunjukkan kemungkinan nilai BTC akan turun ke paras $20,000.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada hari Jumaat, 27 Oktober, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $33,800. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.25 trilion, naik daripada $1.12 trilion minggu lalu. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto telah melonjak naik berbanding minggu lalu daripada 53 mata kepada 72 mata, beralih daripada zon Neutral ke zon Greed. Bacaannya merekodkan paras tertinggi untuk tahun 2023 sebelum turun sedikit dan berada pada bacaan 70 mata buat masa ini. Perlu diketahui bahawa hanya sebulan yang lalu, bacaan indeks itu berada di zon Fear. Lonjakan sentimen pasaran yang serupa pernah direkodkan sebelum ini pada pertengahan tahun 2020 dan 2021, berhubung kait dengan kenaikan harganya.

    Membuat kesimpulan daripada ulasan yang optimis ini secara umumnya, kami akan berikan sedikit kenyataan bersifat pesimis oleh Peter Schiff, Presiden Euro Pacific Capital. Tokoh yang sudah lama mengkritik mata wang kripto terkemuka itu telah berkata bahawa bitcoin “bukanlah sejenis aset, tiada apa-apa tentangnya”. Beliau juga menyamakan para pelabur bitcoin seperti satu kultus, dan berkata, “Tiada siapa mahukan bitcoin. Kebanyakan orang yang membelinya hanya berbuat demikian setelah dipengaruhi oleh orang lain. Setelah membelinya [BTC], mereka dengan cepat akan mengajak orang lain untuk turut serta. Bunyi seperti sebuah kultus,” jelas Schiff.

    Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa ini adalah sebuah “kultus” yang sangat besar dan berkembang pesat. Jika jumlah pemilik BTC hanyalah seramai 1.2 juta orang pada tahun 2016, mengikut pelbagai sumber, setakat bulan Mei 2023, jumlah pemilik di peringkat global dianggarkan seramai 420 juta orang, atau 5.1% daripada keseluruhan populasi dunia.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.