EUR/USD: Sambutan Hari Kesyukuran dan Minggu Percanggahan
- Perlu diingatkan bahawa mata wang Amerika menerima tekanan hebat pada 14 November lalu setelah laporan mengenai kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS dikeluarkan. Untuk bulan Oktober, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) susut daripada 0.4% kepada 0% (b/b), manakala dari segi tahunan, kadarnya itu turun daripada 3.7% kepada 3.2%. Kadar CPI Teras untuk tempoh yang sama susut daripada 4.1% kepada 4.0%: kadar paling rendah sejak September 2021. Kadar-kadar ini telah mengakibatkan penurunan kadar Indeks Dolar (DXY) daripada 105.75 kepada 103.84. Menurut Bank of America, inilah penjualan dolar paling ketara pernah dilihat sejak awal tahun ini. Menjadi kebiasaan, kejadian seperti itu memberikan kesan terhadap dinamik pasangan EUR/USD yang menunjukkan pertumbuhan menakjubkan candle bullish hampir 200 mata pada hari itu, mencapai paras rintangan di zon 1.0900.
Minggu lalu kadar DXY terus mengalami penyatuan hampir pada paras 103.90, terus berada di kedudukan paling rendahnya pada akhir bulan Ogos hingga awal September lalu. Sementara itu, pasangan EUR/USD meneruskan pergerakannya di sepanjang garis pivot point yang terbentuk hasil daripada perubahan garis rintangan 1.0900.
Selain daripada Hari Kesyukuran, tahap keyakinan di pasaran turut dipengaruhi oleh keadaan tak menentu mengenai perkara yang bakal dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan (FRS) dan juga Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB). Setelah laporan berkenaan kadar inflasi dikeluarkan, majoriti pelabur percaya polisi kewangan bersifat hawkish oleh bank persekutuan Amerika benar-benar akan ditamatkan. Kadar kebarangkalian penggubal dasar itu akan menaikkan kadar faedah mereka semasa bermesyuarat oada 14 Disember nanti turun kepada sifar. Disamping itu, dalam kalangan peserta pasaran, terdapat khabar angin yang kedengaran bahawa pihak FRD mungkin akan beralih kepada polisi kewangan yang longgar pada musim bunga akan datang dan bukannya pada pertengahan musim panas tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, minit mesyuarat terbaru Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah dikeluarkan pada 21 November, dan kandungannya bercanggah dengan jangkaan pasaran. Minit mesyuarat itu menyatakan bahawa barisan kepimpinan penggubal dasar tersebut sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk lebih mengetatkan polisi kewangan mereka jika kadar inflasi semakin bertambah. Lebih-lebih lagi, ahli-ahli FRS membuat kesimpulan bahawa ia adalah satu tindakan berhemah untuk mengekalkan kadar faedah yang tinggi sehinggalah kadar inflasi sasaran berjaya dicapai.
Laporan itu sedikit sebanyak memberikan sokongan kepada mata wang Amerika: pasangan EUR/USD melintasi garis 1.0900 dari kedudukan atas ke bawah, turun daripada paras 1.0964 kepada 1.0852. Namun, secara keseluruhan, reaksi pasaran agak terhad kerana kesimpulan mengenai masa depan polisi kewangan Amerika Syarikat yang dinyatakan tadi agak samar dan tidak begitu jelas.
Jika jangkaan pasaran bercanggah dengan protocol FRS di Amerika Syarikat, di Eropah, polisi ECB pula bercanggah dengan retorik yang dibuat pemimpin tertentu penggubal dasar tersebut selepas itu. Dalam mesyuarat terbarunya, pihak Jawatankuasa Pentadbir Bank Negara Kesatuan Eropah membiarkan kitaran pengetatan polisi kewangan terus dilaksanakan serta menggesa penggubal dasar untuk tidak melonggarkannya secara tanpa sebarang sebab. Sentimen yang sama turut dibuat oleh presiden ECB iaitu Christine Lagarde semasa memberikan ucapan beliau pada hari Jumaat, 24 November dengan berkata bahawa tindakan memerangi inflasi masih lagi belum berakhir. Namun, sebelum itu, ketua Bank of France iaitu Francois Villeroy de Galhau menyatakan bahawa kadar faedah mereka tidak lagi akan dinaikkan.
Maka, persoalan mengenai masa depan polisi kewangan ECB masih lagi terbuka. Bagi yang berpendirian hawkish, sila maklum bahawa pertumbuhan kadar gaji di Eurozone naik pada Q3 daripada 4.4% kepada 4.7%, manakala kadar pengurusan pembelian dilihat memberi lebih banyak tekanan inflasi. Bagi golongan dovish pula, keadaan ekonomi di Eurozone terus mengalami stagflasi. Kadar aktiviti perniagaan (PMI) berada di bawah bacaan 50 mata yang kritikal untuk enam bulan berturut-turut, satu petanda kegawatan secara teknikal boleh berlaku.
Kilauan cahaya datang daripada statistik makro di Jerman, terdapat beberapa indikator yang beransur-ansur menjadi lebih baik. Kadar PMI turun ke paras minimumnya iaitu 38.8 mata pada Julai lalu dan mula bertumbuh secara perlahan-lahan. Data awal yang dikeluarkan pada hari Khamis, 23 November menunjukkan kadar indeks ini naik kepada 47.1 (walaupun masih di bawah bacaan 50.0 mata). Indeks sentimen ekonomi oleh Institut ZEW kembali berada di kawasan positif buat pertama kalinya dalam tempoh enam bulan, naik mendadak daripada -1.1 kepada 9.8. Menurut sebilangan pakar ekonomi, pertumbuhan ini mungkin disebabkan oleh penurunan ketara kadar inflasi (CPI) di Jerman sejak dua bulan lalu: daripada 6.1% kepada 3.8%.
Walau bagaimanapun, hanya golongan optimis yang terdesak saja boleh mendakwa ekonomi di negara itu sudah pulih dan bertambah baik. Kegawatan yang berlaku di Jerman masih belum berakhir. Kadar KDNK di negara itu terbantut untuk empat suku tahun berturut-turut; lebih teruk lagi, kadarnya menguncup: KDNK untuk Q3 2023 susut sebanyak 0.1% dan jika dibandingkan dengan suku tahun yang sama pada tahun lalu, penurunannya adalah sebanyak 0.4%. Menurut Bloomberg, krisis belanjawan di Jerman boleh mengakibatkan projek-projek infrastruktur dan alam sekitar tidak menerima sebarang dana. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi mungkin akan menjadi lembab sebanyak 0.5% pada tahun depan.
Secara umum, prospek bagi kedua-dua mata wang, dolar dan euro diselubungi dengan keadaan yang tidak menentu. Seperti yang pakar ekonomi dari Bank MUFG Jepun maklum, “ruang untuk dolar mencapai kadar tertinggi yang disasarkan pada bulan Oktober atau berada lebih tinggi daripada itu sudah tiada lagi. Namun, prospek pertumbuhan yang berlaku di Eurozone juga tidak menunjukkan sebarang peluang ketara buat EUR/USD."
Untuk dua minggu berturut-turut, pasangan EUR/USD ditutup hampir pada paras 1.0900, lebih tepat lagi pada paras 1.0938. Buat masa ini, pendapat penganalisis mengenai minggu depan terbahagi seperti berikut: 40% bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, 40% memihak kepada euro, dan 20% lagi kekal neutral. Dari segi analisis teknikal, semua indikator trend dan pengayun pada tempoh masa D1 adalah berwarna hijau, namun satu pertiga daripadanya berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0900, diikuti dengan 1.0830-1.0840, 1.0740, 1.0620-1.0640, 1.0480-1.0520, 1.0450, 1.0375, 1.0200-1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0965-1.0985, 1.1070-1.1090, 1.1150, 1.1260-1.1275, dan 1.1475.
Minggu hadapan, data awal inflasi (CPI) di Jerman serta kadar KDNK di Amerika Syarikat untuk Q3 akan diketahui pada hari Rabu, 29 November. Kita akan mengetahui kadar CPI dan kadar jualan runcit di Eurozone secara keseluruhan pada keesokan harinya, bersama-sama dengan kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) serta jumlah awal bagi tuntutan manfaat pengangguran di Amerika Syarikat. Minggu bekerja akan diakhiri pada hari Jumaat, 1 Disember dengan penyiaran kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan di Amerika Syarikat serta ucapan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell.
GBP/USD: Kenyataan Telah Dibuat. Namun Adakah Terdapat Pelaksanaannya?
- Data makroekonomi yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bahawa ekonomi di UK sedang kembali pulih, menyebabkan nilai pound British menjadi lebih kukuh. Aktiviti perniagaan di negara tersebut mula bertambah, manakala kadar indeks PMI Perkhidmatan dan indeks PMI Komposit pula menunjukkan pertumbuhan, walaupun kedua-duanya masih berada dalam keadaan menguncup setelah susut selama tiga bulan. Kadar PMI dalam sektor Pembuatan juga berada di bawah nilai ambangnya iaitu 50.0, menunjukkan penguncupan/pertumbuhan, namun naik daripada 44.8 kepada 46.7, melebihi 45.0 yang diunjurkan. Pertumbuhan aktiviti perniagaan ini disokong oleh penurunan kadar inflasi teras. Mengikut data CPI terkini, kadarnya turun daripada 6.7% kepada 4.6%, walaupun dengan penurunan ini, ekonominya berjaya mengelak daripada berdepan keadaan gawat setelah terus mencatatkan 0% pertumbuhan KDNK.
Menurut sebilangan penganalisis, tidak seperti Rizab Persekutuan (FRS) dan juga Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB), terdapat kemungkinan besar satu lagi kenaikan kadar faedah akan dilaksanakan Bank of England (BoE) setelah melihat perkembangan seperti itu. Jangkaan ini dimarakkan lagi dengan komen-komen bersifat hawkish oleh ketua penggubal dasarnya iaitu Andrew Bailey yang menekankan bahawa kadar faedah seharusnya dinaikkan untuk tempoh yang lebih lama, walaupun jika ianya memberi kesan negatif kepada ekonomi.
Dalam satu temu bual bersama majalah Financial Times pada hari Jumaat, 24 November, Ketua Pakar Ekonomi BOE iaitu Hugh Pill juga menyatakan bahawa pihak Bank Negara itu akan terus membendung kadar inflasi, dan enggan melonggarkan polisi kewangan mereka yang ketat. Menurut Pill, indikator utamanya iaitu inflasi dalam harga perkhidmatan serta pertumbuhan kadar gaji terus-menerus berada pada paras yang tinggi sepanjan musim panas lalu. Justeru, walaupun “kedua-duanya menunjukkan sedikit - tetapi bermakna - penurunan, ianya masih lagi sangat tinggi."
Kenyataan bersifat hawkish oleh barisan kepimpinan Bank of England seperti itu menyumbang kepada sentimen bullish terhadap pound. Walau bagaimanapun, menurut pakar ekonomi di Commerzbank, walaupun Andrew Bailey telah berusaha untuk menyampaikan pendirian hawkish menerusi komen-komen beliau, ia tidak semestinya menjamin tindakan seperti kenaikan kadar faedah akan dilaksanakan. “Walaupun jika terdapat kejutan positif dari sektor sebenar ekonomi UK, pasaran akan sentiasa berhati-hati dengan pendekatan Bank of England yang tidak begitu tegas. Dalam hal ini, potensi untuk nilai pound sterling naik dalam masa terdekat akan menjadi terhad,” Commerzbank memberi peringatan.
Walaupun dengan sambutan Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat, terdapat beberapa data awal mengenai keadaan ekonomi Amerika yang masih lagi dikeluarkan pada hari Jumaat, 24 November. Kadar S&P PMI Global dalam sektor perkhidmatan naik daripada 50.6 kepada 50.8. Kadar PMI komposit kekal tidak berubah untuk bulan November pada paras 50.7. Namun, indeks PMI dalam sektor pembuatan di negara itu menunjukkan penurunan ketara - walaupun nilai sebelum ini adalah 50.0 dan diunjur berada pada paras 49.8, kadar sebenarnya turun kepada 49.4, menunjukkan kelembapan pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan perkara-perkara ini, dengan mengambil kesempatan terhadap keadaan kemeruapan pasaran yang rendah, bull pound menolak pasangan ini ke paras 1.2615.
Bagi analisis teknikal, pasangan GBP/USD telah melepasi kedua-dua paras purata pergerakan (DMA) selama 100 dan 200 hari sepanjang minggu lalu, malah menembusi paras rintangan 1.2589 (50% paras pembetulan semasa penurunan antara Julai-Oktober), menduduki paras tertinggi sejak awal September lalu. Pasangan ini mengakhiri minggu dengan menduduki paras 1.2604.
Pakar ekonomi di Scotiabank percaya bahawa “dalam tempoh jangka pendek, pound akan menerima sokongan pada penurunan kecil (di sekitar 1.2500) dan dilihat secara teknikal bersedia untuk naik lebih tinggi”. Mengenai unjuran median para penganalisis untuk minggu depan, hanya 20% daripada mereka yang menyokong unjuran Scotiabank untuk pertumbuhan nilai pound. Majoriti (60%) mengambil pendirian sebaliknya, manakala baki penganalisis terus berpendirian neutral. Semua indikator trend dan pengayun pada tempoh masa D1 menunjukkan pertumbuhan, dan 15% daripada pengayun sudah menunjukkan keadaan lebihan belian. Jika pasangan ini bergerak ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2570, diikuti dengan 1.2500-1.2520, 1.2450, 1.2370, 1.2330, 1.2210, dan 1.2040-1.2085. Jika ia bergerak ke atas, rintangan akan menanti pasangan ini pada paras 1.2615-1.2635, 1.2690-1.2710, 1.2785-1.2820, 1.2940, dan 1.3140.
Satu peristiwa penting dalam kalendar minggu hadapan adalah ucapan Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey yang dijadual akan berucap pada hari Rabu, 29 November. Buat masa ini, tiada sebarang perkara penting lain yang berkait dengan ekonomi di United Kingdom dijangka akan diketahui pada minggu depan.
USD/JPY: Masa Depan Yen Berada Di Tangan Rizab Persekutuan
- Momentum yang diperoleh pasangan USD/JPY setelah data inflasi di A.S. dikeluarkan pada 14 November terbukti terlalu kuat sehingga ia meneruskan pergerakannya sepanjang minggu lalu. Pada hari Selasa, 21 November, pasangan ini menemui paras terendah mingguannya pada kedudukan 147.14. Sekali lagi, berita lain daripada seberang Pasifik, khususnya penyiaran minit mesyuarat Rizab Persekutuan menjadi pencetus kepada perubahan arah ke atas.
Disebabkan pemangkin utama yen adalah berkisarkan kepada spekulasi mengenai perubahan polisi Bank of Japan (BoJ), pasaran menunggu data inflasi di negara itu untuk dikeluarkan pada hari Jumaat, 24 November. Kadar CPI teras dijangka akan naik sebanyak 3.0% (tahun ke tahun) berbanding kadar sebelum ini iaitu 2.8%. Namun, pertumbuhannya adalah lebih rendah berbanding jangkaan, mencecah 2.9%. Pertumbuhan kadar keseluruhan CPI kebangsaan adalah 3.3% (tahun ke tahun), lebih tinggi berbanding kadar sebelum ini iaitu 3.0% namun lebih rendah daripada 3.4% yang diunjur. Disebabkan itu, data-data itu hampir tidak memberi sebarang kesang terhadap kadar tukaran yen Jepun.
Menurut pakar ekonomi di Commerzbank, indikator inflasi menunjukkan bahawa Bank of Japan berkemungkinan tidak akan cuba untuk menamatkan polisi kewangan teramat longgarnya dalam masa terdekat ini. Dinamik pasangan USD/JPY untuk beberapa minggu akan datang mungkin akan bergantung hampir sepenuhnya terhadap pergerakan nilai dolar.
Keadaan ini mungkin boleh diterima oleh pihak bank negara Jepun, mencerminkan jangkaan pasaran yang rendah mengenai pengetatan polisi kewangan dovish dan pasif mereka. Sentimen ini turut disahkan oleh Perdana Menteri Jepun iaitu Fumio Kishida yang berucap di Parlimen pada hari Rabu, 22 November. Kishida menyatakan bahawa polisi kewangan BoJ bukan disasarkan untuk menentukan hala tuju kadar mata wang pada mana-mana arah. Daripada kenyataan ini, dapatlah disimpulkan bahawa barisan kepimpinan negara itu telah mengamanahkan tugas ini kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
Pasangan USD/JPY ditutup pada paras 149.43 minggu lalu, mengekalkan kedudukannya di atas paras SMA 100 dan 200 hari yang kritikal. Perkara ini menunjukkan bahawa trend jangka panjang masih lagi memihak kepada sentimen bullish, walaupun bear yang mencapai kejayaan baru-baru ini. Berkenaan prospek jangka pendek untuk pasangan ini, hanya 20% penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, 20% lagi memihak kepada yen, manakala majoriti (60%) enggan memberikan sebarang ramalan. Bagi analisis teknikal pada carta harian (D1), unjurannya masih tidak menentu. Dalam kalangan indikator trend, nisbah antara warna merah dan hijau adalah sama (50%) bagi setiap warna. Dalam kalangan pengayun, 60% adalah berwarna merah, 20% berwarna hijau, dan 20% lagi berwarna kelabu neutral. Paras sokongan paling hampir berada di zon 149.20, diikuti dengan 148.90, 148.10-148.40, 146.85-147.15, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, dan 142.20. Rintangan paling hampir berada pada paras 149.75, diikuti dengan 150.00-150.15, 151.70-151.90, kemudian 152.80-153.15 dan 156.25.
Tiada sebarang statistik penting mengenai keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.
MATA WANG KRIPTO: Denda $7,000,000,000 yang “Tidak Seberapa”
- Antara perkara yang berlaku minggu lalu, terdapat satu yang menyerlah. Dilaporkan bahawa bursa kripto terbesar iaitu Binance telah mencapai persetujuan bersama-sama dengan Jabatan Kehakiman AS, Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi, Jabatan Kawalan Aset Asing, serta Rangkaian Pencegahan Jenayah Kewangan berkenaan siasatan mengenai isu pendaftaran, pematuhan, dan pelanggaran sekatan anti Rusia mereka.
Sebahagian daripada perjanjian itu, CZ (Changpeng Zhao) meletakkan jawatan beliau sebagai CEO bursa tersebut pada 21 November, 2023. Selain itu, mengikut perjanjian yang sama, Binance akan membayar sejumlah besar amaun (kira-kira $7 bilion) kepada pihak penggubal dan penguatkuasa undang-undang dalam bentuk denda dan pampasan bagi menyelesaikan dakwaan dan tuntutan terhadap mereka. Selain daripada penyelesaian berbentuk kewangan, Binance juga bersetuju untuk keluar terus daripada pasaran AS dan akan “patuh dengan syarat-syarat sekatan yang ketat”. Tambahan pula, bursa tersebut akan dipantau pihak Perbendaharaan AS selama lima tahun dengan akses sepenuhnya terhadap buku, rekod dan sistem perakaunan.
Bayaran sebanyak $7 billion adalah satu jumlah yang besar dan akan memberi kesan ketara kepada syarikat itu. Mampukah ia bertahan? Selepas berita mengenai denda itu tersebar, satu gelombang sentimen yang panik berlaku di pasaran. Mengikut data oleh DeFiLlama, rizab yang dimiliki Binance susut sebanyak $1.5 bilion dalam tempoh dua hari, dengan modal berjumlah $710 juta mengalir keluar dalam tempoh yang sama. Ini adalah satu kerugian besar. Namun, melihat keadaan sebelum ini, kadar pengeluaran seperti itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pada bulan Jun, setelah pihak SEC memfailkan tuntutannya, aliran keluar modal adalah melebihi $1 bilion dalam masa sehari, dan pada bulan Januari, Ketika berlakunya skandal stablecoin BUSD, aliran keluar modal mencapai rekod $4.3 bilion untuk tahun 2023. Maka, ini mungkin bukan satu bencana, dan bursa itu akan berdepan dengan kepayahan setempat.
Wakil daripada Binance menyatakan bahawa mereka benar-benar percaya dengan industri kripto serta masa depan cerah syarikat itu. Kebanyakan penganalisis melihat perjanjian bursa itu dengan pihak berkuasa AS adalah sesuatu yang positif, dengan mengambil kira peranan penting Binance dalam industri kripto. Dinamik bitcoin mengesahkan perkara ini: dalam beberapa jam terawal, kadar BTC/USD susut sebanyak 6%, namun kemudian kembali pulih: pada hari Jumaat, 24 November, pasangan itu melepasi paras rintangan yang berada di zon $38,000, mencecah ketinggian $38,395.
Menurut sebilangan penganalisis, indikator fundamental mata wang terkenal itu tidak pernah dilihat sebaik ini. Sebagai contoh, daripada 70% bekalan BTC yang sedia ada, tiada sebarang pergerakan antara walet yang dikesan pada tahun ini. “Ini adalah jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah bitcoin: kadar pengeluaran seperti itu adalah sesuatu yang luar biasa bagi aset kewangan,” kesimpulan yang dibuat sekumpulan penganalisis diketuai Gautam Chhugani.
Glassnode, sebuah syarikat analisis juga maklum dengan aliran keluar coin BTC yang konsisten dari bursa. Jumlah bekalan mata wang kripto terkenal itu menjadi semakin terhad, dan bekalan yang ada dalam edaran buat masa ini berada pada jumlah paling rendah dalam sejarahnya.
Dalam laporan yang dikeluarkan Glassnode baru-baru ini, ia menyatakan bahawa 83.6% daripada bitcoin yang diedarkan telah dibeli oleh para pemiliknya dengan kos lebih rendah berbanding nilai semasa. Jika peratusan ini melebihi paras 90%, ia boleh menunjukkan permulaan kepada peringkat euforia, di mana semua peserta pasaran memiliki untuk belum terealisasi.
Menurut penganalisis, data statistik boleh membantu menentukan peringkat semasa dalam pasaran. Contohnya, apabila jumlah coin BTC yang menguntungkan adalah lebih rendah berbanding 58% daripada keseluruhan jumlah yang ada, pasaran sedang membentuk peringkat paling rendah. Jika indikator ini melebihi paras 58%, pasaran sedang beralih kepada fasa pemulihan, dan jika lebih tinggi daripada 90%, ia memasuki peringkat euforia.
Glassnode percaya sejak sepuluh bulan lalu, pasaran telah berada dalam fasa kedua daripada ketiga-tiga fasa tersebut, berjaya pulih daripada peristiwa-peristiwa negatif yang berlaku dalam tahun 2022, seperti keruntuhan projek Luna serta kebankrapan bursa kripto FTX.
Maka, peluang untuk memasuki Tahun Baru 2024 dengan trajektori ke atas semakin bertambah. Unjuran positif diperkukuhkan lagi dengan pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan pada bulan April nanti. Ia mungkin akan mengurangkan tekanan jualan setiap bulan yang dihadapi para penghasil daripada $1 bilion kepada $500 juta (mengikut kadar BTC semasa). Selain itu, dana dagangan bursa (ETF) bitcoin di A.S. yang berpotensi diluluskan juga menjadi pemangkin positif, memudahkan akses mata wang kripto terhadap pelabur-pelabur besar. Menurut penganalisis di Bernstein, berdasarkan perkara ini, nilai mata wang kripto pertama itu boleh naik kepada $150,000 pada awal tahun 2025.
Ada sesiapa yang boleh menjangkakan pembetulan ketara bitcoin ke bawah dalam masa terdekat ini? Pasaran kripto terkenal dengan kadar kemeruapan tinggi serta keadaan tak menentunya. Namun, menurut penganalisis terkenal Willy Woo, perkara ini tidak mungkin akan berlaku. Beliau telah meneliti data blockchain yang mencerminkan harga beli purata BTC oleh para pelabur, dan membuat kesimpulan bahawa nilai mata wang kripto utama ini tidak mungkin akan turun di bawah paras $30,000 lagi.
Woo berkongsikan carta bersama pembacanya, menunjukkan satu jalur yang padat dengan warna kelabu dan mewakili kadar turun naik bagi nilai sebahagian besar bekalan bitcoin berada. Menurut penganalisis itu, hal ini mencerminkan “kesefahaman nilai yang kuat”. Woo mendakwa bahawa sejak bitcoin dilancarkan, jalur ini telah menjadi paras sokongan harga yang boleh dipercayai. Carta tersebut menunjukkan jalur itu telah terbentuk sebanyak lapan kali sejak kewujudan bitcoin, dan ia sering menyokong nilainya.
Walau bagaimanapun, penting untuk ketahui bahawa tidak semua orang mempercayai pengiraan Woo itu. Seorang penganalisis dengan nama gelaran TXMC mengingatkan bahawa Woo telah membuat ramalan yang sama pada tahun 2021 dengan menyatakan nilai bitcoin tidak akan pernah berada di bawah $40,000. Namun, semuanya berlaku pada tahun berikutnya: pada 20 November, 2022, pasangan BTC/USD mencecah paras terendahnya dalam julat $15,480.
Sejak tarikh yang tragik itu, nilai bitcoin telah naik lebih daripada 2.4 kali ganda. Pada malam Jumaat, 24 November, BTC/USD didagangkan di sekitar $37,820. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.44 trilion (berbanding $1.38 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear and Greed Kripto telah naik daripada 63 mata kepada 66 mata dan terus berada di zon Greed.
Bagi pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) A.S., mereka kekal proaktif. Setelah penyelesaian berjaya dicapai bersama Binance, kini mereka memfailkan tuduhan terhadap platform dagangan mata wang kripto Kraken. Menurut SEC, platform tersebut beroperasi sebagai bursa sekuriti, broker, peniaga, dan agensi penyelesaian tidak berdaftar. Tuduhan undang-undang SEC menuduh Kraken telah menerima hasil pulangan ratusan juta dolar sejak September 2018 dengan memberi kemudahan untuk membeli dan menjual sekuriti dalam bentuk aset kripto secara tidak sah. Masih tidak diketahui berapa banyak kos yang diperlukan Kraken untuk menyelesaikan masalah mereka dengan pihak berkuasa A.S.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali